Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Assalamualaikum semua....

Drama Syurga Di Wajahmu dijadualkan akan di tayang bermula esok, pukul 11.30 - 12.30 tengahari di TV1, RTM. Sebanyak 26 episod akan ditayangkan nanti.



 Bagi yang tidak sempat menonton di televisyen, bolehla menonton secara online di :http://tv1.rtm.gov.my/

Terima kasih untuk semua yang menjayakan drama ini. Semoga terhibur...

Laila Hanni




Bab 13

 

“Makcik.... Abang Faris..... emmm... dah lama sampai...?” Fazila cuba memberanikan diri untuk menegur kedua-duanya yang sedang duduk di  ruang menanti di dalam pejabat asrama.

“Baru je sekejap tadi Ila ... Belum pun panas lagi punggung ni duduk...,” jawab Makcik Hasmah sambil membalas senyuman Fazila.

Fazila tahu Makcik Hasmah berbohong. Mungkin untuk tidak membuat dia rasa bersalah kerana membiarkan tetamunya lama menunggu. Sebentar saja tadi Ana memberitahunya bahawa sudah lama mereka sampai. Kebetulan Ana  berada di pejabat asrama untuk mengambil surat semasa petugas di pejabat asrama membuat pengumuman untuk memberitahu Fazila tentang kehadiran mereka. Ana yang kebetulan menginap di bilik bersebelahan dengan biliknya sempat berbual dengan Makcik Hasmah sementara menunggu Fazila datang.

Cepat-cepat Fazila menghulurkan kedua tangannya untuk bersalaman dan mencium tangan bakal emak mertuanya. Ucap salamnya itu disambut dengan senyuman paling manis dari Makcik Hasmah. Senyuman yang menggambarkan kebahagiaan yang dia rasakan. Yang langsung tidak menunjukkan walau sedikitpun keraguan terhadap dirinya. Pun begitu, masih senyuman itu  tidak mampu membuatkan hatinya merasa lega. Memanglah betul kata orang, jika kita melakukan sesuatu yang tidak betul, pastinya akan ada perasaan bersalah walaupun tiada yang menyalahkan diri kita. Dan Fazila tau itulah yang dia rasakan saat ini.

Dia berpaling ke arah Abang Faris dan memberikan senyuman semanis mungkin kepada tunangannya itu. Dia tidak mampu mentafsir apa yang tersirat pada riak di wajah lelaki itu. Namun senyuman yang membuatkan wajah itu kelihatan sungguh kacak membuatkan hati Fazila kembali merasa bersalah. Sememangnya sejak dari dulu lagi dia mengharapkan sesuatu dari lelaki di hadapannya ini. Namun, sikap dingin Abang Faris terhadapnya selama ini membuatkan Fazila merasakan begitu terpinggir sekali.

“Apa khabar Ila ...?” lembut sekali pertanyaan itu singgah di telinganya.

“Baik bang....,” jawabnya sambil tersenyum lagi. Masih cuba untuk berlagak seikhlas mungkin, meskipun terasa hambar sekali senyuman yang diberikan itu. 

Dan dia sendiri pun tahu betapa senyumannya itu sungguh tidak ikhlas. Bagaimana mungkin ikhlas sekiranya hati dihujani dengan rasa bersalah? Pasti kelihatan hambar sekali di mata semua yang memandang. Namun masih dia cuba untuk memaniskan wajahnya supaya tidak terlihat janggal di mata kedua-dua tetamunya.

“Makcik apa khabar?” katanya sambil mengalihkan pandangannya ke wajah Makcik Hasmah.

“Baik Ila ... hari tu demam sikit. Seminggu jugak makcik tak dapat bangun...,”

“Eh.. iye ke?” kata Fazila dengan rasa bersalah kerana terasa seperti dia tidak menghiraukan keadaan bakal emak mertuanya itu. Kalau tak pernah bertanyakan khabar, adakah itu maknanya dia seorang yang tidak mengambil berat? Perlahan dia melepaskan keluh. Cuba menyembunyikan keluhan itu dari Makcik Hasmah.

“Tapi sekarang ni dah baik demamnya. Alhamdulillah...,” senyuman masih tetap meniti di bibir wanita separuh umur itu. Dia bagaikan dapat membaca riak bersalah di wajah Fazila, tetapi dia hanya mendiamkannya.

“Oh ya... mari kita ke kantin. Mesti dahagakan... jalan jauh-jauh ni...,” katanya cuba untuk menutup perasaan bersalahnya. “Mari makcik... abang....,”

“OK.. jom mak... dahaga jugak ni...,” kata Abang Faris. Cuba untuk menceriakan suasana yang agak dingin itu.

Makcik Hasmah tersenyum sambil mengikuti langkah anak-anak muda itu.

 “Maafla tadi... Ila keluar ...,” sambungnya lagi.

“Hemm... itula... nak talipon , tak ada nombor... Ila masih tak ada telefon kan?” tanya Makcik Hasmah. 

Terkesima Fazila dibuatnya apabila mendengar kata-kata Makcik Hasmah itu. Apa harus dia katakan? Jika menjawab tidak, pastinya dia berbohong. Jika menjawab ia.... pasti akan timbul persoalan lain pula. Aduhai ... serba salah jadinya. Akhirnya dia cuma tersenyum tanpa kata.

“Mari... kita duduk kat sini...,” katanya sambil mengambil tempat di satu meja yang agak jauh dari pelanggan lain. Mereka duduk dan sebentar kemudian pelayan kantin datang untuk mengambil pesanan.

“Ila ... mak nak kena pergi tandas ni. Kat mana ye?” pinta Makcik Hasmah menyatakan hasratnya.

“Oh.... mari... Ila temankan...,” kata Ila sambil bangun.

Dalam tangkas bangunnya untuk menunjuk arah letaknya bilik air di bahagian dapur rumah, sedikit pun telinga Fazila tidak terlepas dari mendengar panggilan yang dibahasakan oleh Makcik Hasmah.  Namun dia hanya diamkan sahaja.

“Tak apalah.... mak pergi sendiri. Ila dudukla situ... kat mana tandasnya?” kata Makcik Hasmah menolak pelawaan Fazila untuk menemaninya. Fazila menundingkan ibu jarinya ke arah tempat yang dimaksudkan dan Makcik Hasmah terus melangkah pergi, meninggalkan dia dan Abang Faris di situ. Dia kembali duduk di kerusinya.

Sesaat.... dua saat... dan tiga saat.....  dia jadi tidak menentu.

Sesaat.. dua saat.. tiga saat... terasa mata Abang Faris bagaikan menjilat wajahnya... buat seketika tubuhnya terasa bagaikan hangat.

 “Yang mana satu hostel Ila?” akhirnya Abang Faris bersuara  untuk memecahkan kebisuan.

“Oh... yang sana tu...,” katanya sambil menundingkan ibujarinya ke bangunan hostelnya. “Kalau berjalan dekat je.... lalu ikut tepi padang tu... tapi kalau nak pergi dengan kereta, jauh sikit. Kena pusing kereta ikut jalan sana tu...,” katanya sambil menunjukkan jalan untuk ke perkarangan bangunan hostelnya.

“Owh....,,” jawab Abang Faris  ringkas.

Diam lagi.... sesat... dua saat... tiga saat....

Mata Fazila menatap ke wajah tunangannya itu. Mencuri pandang ke bibir Abang Faris yang masih tersenyum. Namun  rasa malu menerjah ke hatinya apabila dia mendapati yang Abang Faris menyedari perlakuannya itu. Dalam keadaan merah padam rona wajahnya, Fazila berpaling ke arah lain.

“Ila ...,” panggilan Abang Faris membuatkan Fazila kembali berpaling menatap wajah itu. Ternyata dia tidak dapat mentafsir apa yang ada di dalam hati lelaki di hadapannya itu.

“Ila tak baca ke pm (personal message) abang di fb tadi?” tanya Faris perlahan.

Pertanyaan itu membuatkan Fazila terdiam seketika. Ada rasa terkejut dengan apa yang ditanya.

“Owh... ada... Ila dah baca tengahari tadi. Masa abang cakap abang dah nak bertolak tu..,” jawabnya selepas diam seketika.

“Owh... ingatkan tak baca. Sebab Ila tak jawab apa-apa. Lepas tu... Ila tak online lagi ye?”

“Emm... tak... Ila baru je balik... tak sempat lagi nak online. Tadi... emmm... kawan Ila ajak singgah makan... kejap...,” katanya teragak-agak.

Terasa amat bersalah. Namun, salahkah dia? Dia tidak menipu. Apa yang dia nyatakan itu betul semuanya. Selepas balik dari kampus, memang dia keluar makan. Walau dengan siapapun, perlukah dia jelaskan kepada Abang Faris? Sedangkan selama ini Abang Faris tidak pernah sekali pun bertanyakan tentang aktivitinya. Sedangkan selama ini dia dibiarkan sendirian membawa haluan diri?

“Ohhh...,” jawab Faris ringkas.

Perbualan mereka terganggu apabila pesanan mereka tiba.  Pelayan restoren itu menghidangkan air minuman dan sepiring pisang goreng dan keropok lekor yang masih panas-panas.  Selepas selesai tugasnya dia berlalu pergi. Meninggalkan kedua-duanya untuk menyambung bicara.

 “Esok Ila free tak? Weekend, tak ada kelaskan?”

Berdebar hati Fazila mendengarkan soalan itu.

“Emmm... iye... weekend.. selalunya ada kelas, tapi esok pensyarah Ila outstation. Jadi... emm... Ila free... ,” katanya separuh berbohong. Selalunya dia menghabiskan sebahagian waktu yang terluang di hari minggunya bersama anak-anak Professor Ruquiyah. Tetapi sememangnya minggu ini dia sudah memberitahu mereka tentang kedatangan ‘kawannya’ ini.

“Abang nak ajak Ila keluar... boleh?”

Terdiam seketika dek rasa terkejutnya. Sungguh dia tidak menyangka pelawaan itu akan dibuat di saat ini. Tidakkah seperti sedikit terburu-buru mangajaknya keluar begitu, sedangkan Abang Faris baru sahaja tiba. Mungkin kerana tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Lalu persoalan itu yang keluar dari bibir tunangannya.

Dan dia yakin pastinya mereka akan keluar  bersama Makcik Hasmah. Mana mungkin Abang Faris akan meninggalkan Makcik Hasmah sendirian. Fazila tahu bagaimana rapatnya kedua ibu dan anak itu.

“Emmm... nanti Ila tanya mak dulu.... kalau mak kata ok... bolehlah kut...,” katanya perlahan.

 Terdiam Faris mendengarkan kata-kata tunangannya itu. Gadis seusianya masih lagi mahu mendapat izin dari emak dan ayah maupun untuk keluar dengan tunangannya. Terasa kembang hatinya menyedari hakikat itu. Fazila seorang yang cukup taat kepada kedua orang ibu dan ayahnya. Jika tidak, mana mungkin dia sanggup ditunangkan meskipun tidak mengenali siapa tunangannya ini.

Hati Fazila pula bergelodak dengan seribu perasaan. Dia merasa bersalah apabila memberikan syarat yang dia ucapkan seketika tadi. Semasa diajak keluar bersama Amir Hamzah, dia sedikitpun tidak meminta izin dari emak dan abah. Mengapa kali ini syarat itu yang keluar dari bibirnya? Namun hakikat bahawa dia sebenarnya tidak keluar bersendirian  dengan lelaki itu membuatkan dia merasa sedikit lega. Bukankah Epul dan Eisya ada bersama mereka. Lagipun itu bukan suatu temujanji, hanya aktiviti yang termasuk di dalam agenda tugasnya sebagai peneman untuk kedua-dua anak pensyarahnya itu. Dia bukannya bercinta pun dengan Amir Hamzah. Namun entah mengapa hatinya bagai menafikan semua lintasan di fikirannya itu. Benarkah begitu? Benarkah tidak ada apa-apa perasaan antara dia dan Amir Hamzah. Tapi, apa pula maksud kata-kata yang keluar dari bibir Amir Hamzah semasa di restoren KFC tadi?

“Jemput minum bang... emm... air kosong  je ni...,” sapa Fazila perlahan.

Menanti respon Abang Faris membuatkan hatinya mendesah sendirian.

Suasana diam kembali. Masing-masing seperti cuba mencari topik untuk diperbualkan. Ternyata masing-masing bungkam. Hanya sepi yang menyelubungi suasana.

“Ila... ok ke ...?” akhirnya Abang Faris membuka kata.

Perlahan Fazila menarik nafas. Terasa bagai belum bersedia untuk berbicara tentang hubungan mereka pada saat ini. Tetapi dia menganggukkan kepalanya perlahan. Tidak sopan sekiranya dia membiarkan pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan. Abang Faris juga tentunya mengharapkan jawapan untuk persoalan yang dia ajukan itu. Dalam diam Fazila berdoa supaya Makcik Hasmah cepat-cepat kembali ke meja it. Sungguh dia tidak masih belum bersedia untuk membincangkan tentang hubungan mereka di saat ini.

“Emmm... ok... Ila ... ok. Abang.... ok tak? ”

Faris tersenyum. Entah mengapa dia merasakan seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena. Fazila kelihatan seperti begitu tidak selesa dengan kehadirannya. Sejak mula dia tiba lagi, dia sudah meresakan sebegitu. Mungkinkah sikap Fazila itu disebabkan oleh perlakuan dirinya yang bagaikan tidak mengendahkan tunangannya itu selama ini? Atau mungkin kerana sebab-sebab lain. Kalau dulu, semasa mereka bertemu di hari pertunangan, Fazila tidak sebegini. Walaupun dalam keadaan malu-malu, masih gadis itu tidak bersikap sebegini. Faris sendiri tidak mampu mentafsirkan segalanya, tetapi perasaannya kuat, mengatakan yang ada sesuatu yang sememangnya tidak kena.

“Emmm.  Ok... abang ok...,” kata Faris sambil bibirnya melirikkan senyuman. Cuba mencairkan tembok dingin di antara mereka. Cuba memecahkan benteng kelu yang terbina diam di hati mereka

Jawapan tersebut membuatkan Fazila merasa semakin resah. Ada ke patut soalan itu yang dia tanya? Melihatkan keresahan yang membawa kerut-kerut resah di wajah gadis manis itu, Faris terus tersenyum lagi.

“Tak apa... jangan risau....  abang ok je...,”

Kata-kata itu membuatkan Fazila merasa lega. Dia membalasnya dengan sebaris  senyuman. Tiada sindiran yang membalas kata-katanya sepertimana yang selalu dilakukan oleh Amir Hamzah. Hanya jawapan yang kelihatan ikhlas dan senyuman yang manis meniti bibir lelaki itu.

“Ohh.... emmm abang tinggal kat hotel mana? Lupa Ila nak tanya tadi..,”

“Euro Rich Hotel... dekat je.. dalam 15 minit jauhnya..,”

“Emmm.... ,” jawabnya sambil menganggukkan kepalanya.

“Hotel kecil je Ila ... tapi... katanya selesa.. mak yang suruh cari hotel paling dekat dengan tempat Ila ni... itu yang abang booking bilik kat situ...,”

“Ohhh...,”

‘Emak lagi.... semua emak yang mau... abang sendiri tak mau apa-apa ke?’ rungut Fazila dalam hati. Namun kata-kata itu hanya tersimpan diam di dalam hatinya.

Walaupun hatinya berbicara, hanya bungkam yang menyambut bicara mereka. Suasana kembali sunyi di antara mereka. Apa yang harus diperbualkan untuk mengisi waktu sebegini? Fazila jadi buntu. Terus berdoa supaya Makcik Hasmah akan kembali menyertai mereka.

“Emmm... jemput minum bang...,” pelawanya sekali lagi demi untuk mengisi ruang-ruang kosong di antara mereka.

“Kita tunggu mak,”

Fazila mengangguk sambil tersenyum. Sungguh lelaki yang bakal menjadi suaminya ini amat menghormati emaknya. Perasaan hormat memenuhi ruang hatinya. Sungguh dia sentiasa mendahulukan emaknya.

Seketika kemudian, kelihatan Makcik Hasmah keluar dari tandas. Senyuman wanita itu membuatkan dia cuba melupakan apa yang dia alami bersama Amir Hamzah awal petang tadi. Dia perlu menumpukan perhatiannya terhadap tetamunya di saat ini. Biarkanlah perkara Amir Hamzah ini di letak ke tepi dahulu. Ada masa nanti akan dia fikirkan hal itu sebaik mungkin. Malah, dia sendiri tidak yakin apa yang sebenarnya yang ada di antara dia dengan Amir Hamzah. Mungkin tak pernah ada apa-apa pun di antara mereka sebenarnya. Dan mungkin tidak akan ada apa-apa. Hanya sebuah daya tarikan yang biasa disebut sebagai ‘chemistry’.  Itu sahaja.

Popular Posts