Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


 

Bab 1

  

25 tahun kemudian....

 

“Ammar, boleh tak kalau lepas ni saya nak bercakap awak sekejap?”

“Kenapa?” tanya Ammar yang sedang asyik menatap langkah penyelesaian dalam tugasan matematik yang sedang ditelitinya sejak tadi. Tugasan Puan Teoh yang dia tiru dari Alisha sebentar tadi perlu dia fahamkan. Manalah tau kalau-kalau Puan Teoh tiba-tiba menyoal seluruh kelas tentang tugasan tersebut. Kalau nasib tidak baik, mungkin namanya nanti yang dipanggil oleh Puan Teoh.

“Adalah...,” kata Sara Alisha separuh merayu.

Ammar menggaru kepalanya. dia mendongak memandang ke wajah Alisha yang sedang berdiri berhampiran mejanya. Apa yang harus dia katakan kepada gadis ini. Untuk menolak terasa segan kerana baru sahaja sebentar tadi dia meminta tugasan Alisha untuk dia tiru. Tetapi dia telah berjanji dengan Kamila. Esok hari minggu, jadi mereka bercadang untuk pulang ke rumah masing-masing. Dia sudah berjanji untuk mengambil Kamila sebaik sahaja selesai kelas hari ini. Kamila mengajak dia menemaninya pergi membeli sedikit keperluannya sebelum menghantarnya pulang.

“Sekarang tak boleh?” soal Ammar kembali.

“Sekejap lagi kan kita ada kelas? Macam mana Saya nak bercakap sekarang,” kata Alisha dalam malu-malu. Dia yakin, Ammar pasti tertanya-tanya apa yang ingin dia katakan. Dia sendiri tidak pasti apa yang akan dia katakan nanti. Tapi dia tahu, dia perlu bersemuka dengan Ammar. Dia perlu meluahkan segalanya.

“Cakapla sekarang, sementara Madame Teoh belum sampai ni...,” Ammar cuba memujuk Alisha untuk mengatakan apa sahaja yang ingin dia katakan.

“Saya seganla... ramai yang dengar nanti. Lepas ni lah...,” kata Alisha sambil menokhtahkan perbualan mereka itu. Tanpa berlengah lagi dia kembali ke tempat duduknya di bahagian hadapan bilik kuliah. Dia perasan beberapa orang kawan-kawan lelaki mereka yang duduk bersama Ammar memerhatikannya. Nekadnya membuatkan dia meletakkan malunya ke tepi untuk seketika.

 

****

 

Sehabis kuliah, Alisha mendekati Ammar yang kelihatan seperti resah menantinya di kerusi yang dia duduki. Mata Alisha memerhati seorang demi seorang kawan-kawan mereka meninggalkan bilik tersebut.  Masing-masing kelihatan bergegas untuk pulang ke chalet bagi persediaan balik kampung sempena cuti Hari Raya Puasa. Tiba-tiba hatinya jadi serba salah. Patutkah dia katakan apa yang tersembunyi di hatinya sekarang? Mungkinkah masanya belum sesuai?

“Awak dah nak balik juga ke?” tanya Alisha apabila melihatkan Ammar resah di kerusinya. Terasa bersalah pula kerana menyebabkan Ammar terpaksa menunggunya sedangkan kawan-kawannya semuanya sudah keluar.

“Duduklah... cakapla dulu apa yang Alisha nak cakapkan,” kata Ammar sambil cuba menunjukkan sikap bersahaja. Sebagai seorang lelaki dia perlu melihatkan sikap bersahaja walaupun hatinya sebenarnya begitu menggelabah memikirkan apa yang Alisha akan katakan nanti.

Perlahan-lahan Alisha duduk di kerusi yang berhadapan dengan Ammar. Tubuh mereka yang duduk secara berhadapan itu hanya dipisahkan dengan meja belajar dalam bilik itu. Entah mengapa tiba-tiba Alisha merasa cukup malu. Perasaan yang dia simpan selama ini tiba-tiba terasa seperti sesuatu yang salah. Haruskah dia jelaskan? Atau mungkin dia patut diamkan sahaja?

“Kenapa ni Sha? Awak nampak macam susah hati je...,” tegur Ammar apabila Alisha tetap diam tanpa kata.

Alisha  hanya mampu bermain dengan jari-jemarinya. Dia tidak tahu di mana hendak dia mulakan.

“Tak apa ke? Atau awak dah nak balik sekarang?”

“Tak apa. Sayakan ada kereta. Bila-bila masa nak balik pun tak apa. Awak macam mana? Nanti mak ayah awak datang ambil ke?”

“Iya... nanti mama datang ambil. Tapi dia dah beritahu mungkin dia lewat sikit,” jelas Alisha sepontan.

Alisha jadi terkedu lagi, tidak tahu bagaimana untuk menyambung ayat. Di awal pertemuan mereka lebih setahun yang lalu, saat pertama kali dia menatap wajah pemuda di hadapannya ini, hatinya tiba-tiba jadi berdebar tidak keruan. Setiap kali mata mereka bertatapan selepas itu, jantungnya berdetak pantas. Tambahan lagi, Ammar kelihatan seperti begitu menunjukkan minatnya kepada dirinya. Selalu mengusiknya, malah selalu juga mempertahankan dirinya apabila ada teman-teman mereka yang mengusiknya. Dan sehingga ke hari ini,  dia bagai tidak mampu untuk melupakan wajah Ammar walau sedetik waktu pun. Perasaan apakah yang dia rasakan ini?  Satu perasaan yang baru, yang bagaikan mengganggu seluruh konsetrasinya dalam pengajiannya yang kini masih lagi di peringkat awal.

“Alisha?” sapaan Ammar buat hatinya semakin kecut. Suara yang sering kali menyapa lenanya itu membuatkan Alisha jadi semakin serba salah.

“Kenapa? Sha ada masalah ye?”

‘Iya.... saya ada masalah.. masalah saya adalah awak.. Saya tak dapat lupakan awak...,’  jelas kata-kata itu bergema di mindanya.

“Saya... saya ..... rasa tertekan sangat sekarang ni...,” akhirnya kata-kata itu pula yang keluar dari bibirnya.

“Kenapa?” berkerut dahi Ammar sambil matanya menatap wajahnya. Untuk seketika Alisha jadi terkedu bila ditatap sebegitu.

“Saya ni.... ,” kata-kata itu terhenti. Untuk seketika Alisha memandang tepat ke wajah Ammar. Namun debaran di hatinya membuatkan dia kembali memandang pada jari-jemari halusnya.

“Cakaplah...,” kata Ammar memberikan perangsang. Dapat dia lihat dengan jelas keresahan gadis manis di hadapannya ini.

“Awak taulah kan...? Final dah dekat. Saya rasa macam... belum bersedia aje lagi,” jawab Alisha  sambil menyembunyikan keluh. Mengeluh kerana tiada kekuatan untuk meluahkan apa yang dia mahu. Kelihatannya seakan-akan lebih mudah untuk menyatakan persoalan pembelajaran mereka itu daripada meluahkan masalah sebenar yang mendera perasaannya saat itu.

“Owh... itu... ,”

Entah mengapa Alisha seakan-akan ternampak riak lega di wajah Ammar. Dia dapat rasakan bahawa Ammar tahu akan perasaannya. Mungkin terlalu telus sikapnya di mata pemuda itu. Hawa telah menceritakan betapa selama ini Ammar tahu. Tetapi, saat ini seolah-olah Ammar seperti tidak ambil tahu dan tidak mahu tahu apa yang akan dia ingin ucapkan. Terasa seolah-olah Ammar cuba mengelakkan diri dari membicarakan soal hati. Apakah mungkin Ammar  tidak suka padanya? Tiba-tiba terasa malu pada diri sendiri. Perasaan itu tidak mampu dia bendung lagi. Dia tidak mampu untuk memang sedetikpun ke mata Ammar.

‘Ya Allah, apa yang aku buat ni? Nak luahkan perasaan pada lelaki macam ni? Alisha... tak malu betul...!!!,’ dalam diam hatinya berteriak mengutuk akan sikapnya yang dia rasakan agak keterlaluan itu.

“Rilexla.... tak perlulah bimbang. Shakan pandai, rajin lagi. Insyaallah, boleh buat masa final nanti,” kata Ammar menyedapkan hati Alisha.

“Saya tak tahu macam mana nak buat...  bila study aje saya jadi tertekan. Lepas tu, mesti dah tak dapat study. Saya risau, final kali ni penentu ke mana arah tuju kita lepas ni. Saya takut tak dapat capai point yang sepatutnya untuk buat kursus yang PNB tawarkan pada saya nak bila kat universiti nanti,” adunya kepada Ammar.

Diam-diam Alisha bersyukur kerana masih belum terlepas kata. Alangkah malunya sekiranya Ammar tahu apa sebenarnya yang ingin dia sampaikan. Tambah malu lagi sekiranya Ammar sedikit pun tidak mempunyai perasaan terhadapnya seperti yang dia rasakan.

“Jangan study seorang-seorang. Ajakla Hawa ke, Aishah ke. Belajarlah sama-sama dengan mereka tu,” nasihat Ammar yang cuba melegakan kebimbangan teman sekuliahnya ini.

Entah mengapa Ammar bagaikan dapat merasakan bahawa ada perkara lain yang ingin Alisha sampaikan. Dia bagaikan dapat memahaminya, namun terasa begitu bimbang untuk cuba memahaminya dengan lebih mendalam. Bimbang ada sesuatu yang lain yang Alisha ingin sampaikan. Sesuatu yang dia sendiri masih belum mampu hadapi. Lalu dia menolak ke tepi semua kemungkinan itu. Alisha bukalah seorang yang sangat pemalu. Pastinya dia akan memberitahu apa jua masalahnya dan  tidak akan menyembunyikan sesuatu darinya. Gadis ini mungkin pendiam, tetapi dia bukanlah seorang yang pemalu.

“Iya... mungkin saya  patut buat macam tu,”

“Cubalah. Sha tahu tak, kami geng lelaki memang selalu buat macam tu. Memang tak mampu nak belajar seorang-seorang. Selalu belajar sama-sama. Tapi lepas tu... tengok-tengok, lebih banyak lepak  dan borak daripada belajar,” kata-kata Ammar mula bersulam tawa. Alisha hanya tersenyum memandang pemuda yang telah mampu membuat dia jatuh hati kepadanya.

Dan tiba-tiba.... perbualan mereka bertukar topik.

 

**********

 

“Hai Ammar, kenapa sampai aje papa tengok masam je muka tu. Sejak bila Ammar tak suka balik ke rumah ni?” lelaki separuh umur itu menyapa anak bujangnya yang berjalan perlahan-lahan dari kereta yang dia parkir di bawah sutuh rumah.

“Tak adalah pa... penat je,” dia menjawab sambil melemparkan kunci Suzuki Swiftnya ke atas meja kayu jati yang terletak di hadapan papanya.  Bergemercing bunyi kunci itu bila terlanggar dengan jug kristal yang berisi dengan jus lemon yang sejuk dan kelihatan amat menyegarkan.

“Kemana tadi.. sampai penat macam ni?” kata papanya sambil menuangkan jus lemon ke dalam gelas untuk Ammar.

“Temankan Kamila, dia nak beli telefon baru,” katanya dengan sedikit riak geram di wajahnya.

“Hei, kenapa ni? Macam marah je papa tengok? Nah, minum air ni dulu. Lepas tu cerita kat papa,” katanya lagi sambil meletakkan gelas itu di atas meja di hadapan Ammar.

“Siapa tak geram pa, lewat sikit je dah mengamuk. Lepas tu, semua jadi tak kena. Nak pergi pilih handphone kat kedai aje pun kan? Bukannya pilih bakal suami sampai nak cerewet macam tu. Habis satu mall tu dia ajak Ammar jelajah,” rungutannya itu disambut oleh ketawa sinis papanya. Nampaknya anak sulungnya yang masih berusia setahun jagung ini perlu belajar lebih banyak lagi tentang perempuan.

“Alah, tak ada apa-apanya. Lepas ni baiklah tu. Mesti Ammar buat dia tersinggung kan sampai dia marah. Kenapa ni..? Apa yang terjadi?”  sambil memujuk sempat lagi dia mengorek rahsia.

“Ammar cuma lewat sikit datang ambil dia, dah marah-marah. Ammar janji nak ambil dia lepas kelas, tapi lepas kelas si Alisha tu pulak nak jumpa Ammar. Kami berbual sampai Ammar lupa, dekat sejam baru Ammar keluar dari kelas. Bila jumpa dia, dia dah mula mengamuk,” adunya kepada papanya yang begitu ghairah mendengar cerita satu-satu anak bujangnya itu.

Cemberut di wajah Ammar buat papanya tergelak kuat sekali. Bergema suara itu memecah kesunyian petang hari di halaman rumah mewah itu. Kawasan perumahan mewah di Bukit Kayangan Shah Alam itu memang jarang sekali bising. Suasananya sentiasa aman dan damai bersesuaian dengan penghuninya yang berjawatan tinggi dan memerlukan privasi. 

“Habis... Ammar buat dia tunggu sampai sejam tu kenapa?”

Ammar hanya diam.

“Lagi satu, siapa pula Alisha ni? Ammar tak pernah sebutpun nama dia selama ni? Girl friend  baru?” kata papanya meneka.

“Ishhh.. tak adalah... Kawan...  hemmm...  hanya kawan...,” kata Ammar sambil menganggukkan kepalanya.

“Ammar nak yakinkan siapa ni? Nak yakinkan papa ke atau diri Ammar sendiri? Dok  terangguk-angguk macam tu, macam tak yakin je dengan kata-kata Ammar tadi? Mesti dia ni seorang yang istimewa ni... papa nampak muka Ammar lain je bila sebut nama tu. Dan, dia boleh buat Ammar berbual dengan dia sampai dekat sejam. Jarang orang yang boleh buat Ammar macam tu. Mama pun tak mampukan nak borak lama dengan Ammar? Mesti dia ni special,”

“Taklah pa.... a friend... dia banyak bantu Ammar study. Jadi rasanya tak salah kalau Ammar layan dia berbual sekali-sekalakan?” cepat sekali Ammar menjawab soalan itu menyebabkan papanya dapat menghidu sesuatu yang ingin anaknya sembunyikan.

“Ohhh... gitu... pandaila ye dia ni?”

“Emmm.... oklah jugak... pandai jugak. Dia rajin...,” dalam hati dia berdoa supaya papanya tidak bertanya banyak tentang Alisha. Dia bimbang andai dia tidak mampu merahsiakan lagi bagaimana dia banyak meniru tugasan-tugasan Alisha untuk dihantar.

“Ok.... Lepas tu, macam mana Ammar pujuk awek Ammar tu?”

Ammar menarik nafas lega apabila papanya mula menukar topic. Dia memandang tepat ke wajah papanya yang sedang meneguk minuman petangnya.

“Pa... dia bukan awek Ammar. Kami kawan je,”

“La... pulak... Habis, yang ke hulu, ke hilir bersama tu apa?”

Ammar mengeluh perlahan.

“Dia selalu minta tolong Ammar temankan dia..,”

“Esok kalau dia minta tolong Ammar kahwin dengan dia? Ammar kahwin ke,”

“Papa ni.. ada pulak kesitu. Kahwin bukan main-main la pa..,” kata Ammar. Kerut di dahinya menggambarkan perasaannya pada kenyataan papanya itu.

“Ammar, kalau tak suka, Ammar janganla bagi dia harapan. Dah banyak kali papa dengar benda macam ni. Ammar merungut lepas keluar dengan dia. Dia tu bukan sesiapapun pada Ammar. Belum lagi... jadi dia bukan tanggungjawab Ammar,”

“Ammar tau tu pa... tapi dia banyak minta tolong Ammar. Dan Ammar pun tak tau nak cakap apa tiap kali dia minta tolong,”adunya kepada papanya.

“Dia suka kat Ammar? Maksud papa, dia cintakan Ammar ke?” tanya papanya lagi. Matanya merenung tajam ke dalam mata anak bujangnya itu.

“Entahla pa. Cuma dia selalu mengadu semua masalah dia pada Ammar,”

“Jadi, Ammar layanla semua masalah dia tu? Macam tu?”

Ammar mengeluh. Sememangnya dia suka kepada Kamila. Kamila cukup menyenangkan hati dengan keletah manjanya. Mereka boleh berbual dan berkongsi segalanya. Namun, bila Kamila mengamuk, bagaikan bergoncang dunia ini dibuatnya. Setakat ini dia masih belum mampu menganggap Kamila lebih dari sekadar kawan. Hanya sekadar itu buat waktu ini.

 

****

 

“Sha, nanti tolong ambilkan Syafik kat sekolah.  Sekejap lagi habislah latihan bola dia tu. Mama tengah kemas barang-barang abah ni....,”

“Ok ma...,” jawab Alisha ringkas. Matanya masih menatap televisyen yang terpasang di ruang keluarga rumah. Malas rasanya mahu mengambil adiknya di sekolah. Kalaulah tidak kerana mama, tentu dia akan terus lekat di kerusi malas yang dia duduki saat ini. Kalaulah dia tidak fikirkan bagaimana mama telah menghabiskan sebilangan besar duitnya untuk menghantarnya belajar dan mendapatkan lesen memandu, tentu saja dia sudah menolak permintaan mamanya itu.

“Pergila... sekejap lagi mama nak pergi hospital pula. Kalau tidak nanti abah tertunggu-tunggu pulak mama,”

Alisha bangun dan mencapai kunci kereta yang terletak di atas almari kecil sebelah televisyen.

“Ala... abah tu bukannya tahu mama datang ke tidak...,” katanya selamba.

 “Alisha.. tak baik cakap macam tu. Walaupun abah tak boleh bercakap dan nampak macam tak tau apa-apa, dia masih dapat rasakan kehadiran kita,” pantas sekali mamanya mematahkan ayat sinis Alisha. Seketika itu juga Alisha jadi sedar akan keterlanjuran kata-katanya. Dan pantas sekali dia mendekati mamanya yang sedang membelakanginya dan memeluk wanita itu erat-erat.

“Ma... maaf ye Sha cakap macam tu. Kadang-kadang Sha rasa macam sia-sia je abah tu dalam keadaan macam tu. Rasa macam dia dalam keadaan terseksa sangat kan ma...?” airmata mula merembes di tubir mata gadis berusia 19 tahun itu.

Sebak memenuhi ruang rasa. Kedua-duanya diam seketika, tidak mampu untuk bersuara. Maisarah sedayanya cuba untuk menyeka airmata dari tumpah. Dia tidak mahu menangis dan menunjukkan kelemahan diri.  Dia perlu kuat untuk anak-anaknya. Dia juga perlu kuat untuk suaminya yang telah sepuluh tahun terlantar sebegitu.

“Sha jangan cakap macam tu. Kalau abah dengar, kecil hati dia tu. Setiap apa yang kita cakap, dia dengar tau Sha. Mama tau, dia dengar. Selalu mama nampak kesedihan dalam mata dia. Jangan cakap macam tu lagi ye? Walaupun bukan depan abah,” rayunya perlahan di telinga anak sulungnya itu.

“Baik ma...,” perlahan juga Alisha bersuara. Matanya menatap wajah mamanya. Dalam usia 44 tahun, wajah mama masih manis terutamanya apabila dia tersenyum. Tapi sekarang jarang sekali dia melihat senyuman di wajah mamanya itu, apatah lagi ketawa.  Kalaupun ada, hanya satu senyuman yang hambar. Pun begitu dia cukup menghormati mama. Dalam kepayahan yang mereka lalui, mama masih mampu untuk bersabar. Sungguh mama seorang yang cukup tabah.

“Dah la.... pergilah ambil Syafik. Nanti lama pula dia tunggu Sha datang. Mama nak siapkan barang-barang abah ni,” kata mamanya. Ada nada sebak yang Alisha dengar dari suara itu. Dan jelas kelihatan mama seolah-olah seperti melarikan matanya dari bertaut pandang dengannya. Mama menangis, dan seperti selalu dia cuba menyembunyikan tangisnya itu.

“Rasanya bila abah boleh balik ma? Dah dua minggu mama dok berulang alik ke hospital. Kalaula bukan sebab abah kena tahan kat ICU, mesti malam-malam pun mama akan temankan abah kan? ” Alisha bertanya untuk melarikan seketika sebak di dada mamanya.

“Entahla, doktor kata bila kesihatan abah dah makin setabil. Mungkin sehari dua lagi dia boleh keluar ke wad biasa. Kalau dah ok nanti baru boleh balik,” kata mama dengan penuh harapan. Dia sudah penat, namun dia gagahi juga. Dia tetap bersyukur, walaupun sibuk berulang alik ke hospital, dia masih mampu untuk menguruskan kelas tuisyen yang dia usahakan sejak suaminya mengalami kemalangan.

“Emmm...,” Alisha hanya bergumam sambil menganggukkan kepalanya. “Alisha pergi dulu ye ma...?”

“Ok... hati-hati memandu tu ye Sha,” pesan Maisarah.

Matanya menghantar lenggok anak gadisnya itu memasukki bilik tidurnya. Seketika kemudian dia keluar semula sambil menyarungkan tudung di kepalanya. Dia mengeluh perlahan. ‘Aduhai... sudah besar anak gadisnya ini,’ bisik hati kecilnya.

  

 

2 comments:

Suzila said...

Permulaan yang baik laila....

laila said...

TQ Suzila... :)

Post a Comment

Popular Posts