Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 3


Ammar buntu lagi. Tengahari tadi Kamila marah-marah lagi padanya hanya kerana dia terlupa bahawa hari ini adalah hari lahir gadis itu. Bagaimana dia boleh terlupa sedangkan dia telah pun memasukkan tarikh itu di dalam kelendar telefonnya sebagai peringatan? Bagaimana dia tidak perasan dan terlepas dari mendengar nada dari peringatan tersebut?

Pening kepala dibuatnya mengingatkan kerenah teman yang satu ini. Kamila sungguh menguji kesabarannya hinggakan dia tidak mampu untuk mengawal diri dari naik angin terhadap gadis itu. Akhirnya dalam rajuk, Kamila pergi meninggalkannya dengan keadaan marah. Terlihat jelas ada genang air di mata Kamila ketika dia meninggalkannya tadi. Dan entah mengapa dia bagaikan tidak terasa apa-apa apabila melihatkan Kamila dalam keadaan sebegitu.

“Ammar...,”

Suara lembut itu mengejutkan Ammar  dari menungan yang panjang. Alisha berdiri di sebelahnya.

“Saya nak minta balik tugasan Madam Teoh yang awak pinjam semalam boleh tak? Hari ni dah nak kena hantar,” pinta Alisha dengan pantas sebelum sempat Ammar menjawab sapanya. Dia hanya inginkan tugasan matematik yang Ammar pinjam sebelum ini dan cepat-cepat pergi dari situ. Hadir Ammar di sisi sentiasa membuatkan dirinya tidak mampu mengawal keadaan. Debaran rasa, kekalutan di tiap tingkahnya, malah jari-jemarinya juga terasa sejuk sekali dek kerana rasa gugup.

“Oh.. ya... nanti saya cari... kejap ye,” kata Ammar sambil mula menyelongkar isi beg sandangnya. Dia mengeluarkan tugasan matematik Alisha yang dia pinjam semalam dan menghulurkannya kepada Alisha. Alisha menyambutnya sambil tersenyum. Sudah sedikit lunyai kertas tugasan itu. Entah berapa ramai yang telah meniru latihan yang sememangnya sukar itu.

“Terima kasih ye Sha,”

Alisha hanya menganggukkan kepala. Dalam gugup, dia berpaling untuk pergi.

“Sha..,”Ammar memanggilnya.

Terhenti langkahnya. Dia kembali berpaling bersama debar di dada.
“Macam mana saya nak ucapkan terima kasih pada awak? Awak selalu pinjamkan kertas tugasan pada saya,”

“Tak apa... saya ikhlas... bagi awak pinjam,”

“Terima kasih ye Sha, saya sangat hargai semua tu,”

“Iya.... emm... saya pergi dulu,”

Alisha berpaling kembali.

“Alisha...,” seru Ammar kembali.

Alisha kembali berpaling kepadanya.

“Saya nak ajak awak keluar makan. Saya belanja. Bila-bila ya?,”

Makin hati Alisha berdebar tak keruan.

“Ehhh... tak apa.. saya ikhlas... awak tak payah bayar balik dengan cara tu,”

Alisha cepat-cepat berlalu. Aduhai, mengapa bibirnya mengucapkan kata itu sedangkan di hati lain pula yang ingin dikatakan. Kalau diikutkan hati ingin saja dia menerima pelawaan itu. Tapi rasa malu masih menebal di hatinya.

Cepat-cepat Alisha menghampiri Hawa yang sedang memerhatikan dia dan Ammar sejak dari tadi. Dari raut wajah Hawa, Alisha tahu yang Hawa mendengar pelawaan Ammar itu. Tanpa berkata apa-apa dia duduk di kerusinya yang bersebelahan dengan kerusi Hawa.

“Hei... kan dia ajak kau keluar tadi... Kenapa tak nak ikut?”

Alisha sudah menjangkakan Hawa akan bertanya begitu. Dia menarik nafas panjang dan memandang ke wajah Hawa.

“Hawa.... dia cuma nak ambil hati aku je sebab nak ucapkan terima kasih. Tak nakla... malula aku,”

“Kalau aku temankan nak tak?”

“Malula.... nanti apa kata Kamila. Mereka berdua tu rapat sangat sekarang. Nanti Kamila marahkan aku kacau teman lelaki dia,”

“La... apa pulak. Kamila bukannya awek dia. Dia tak pernah cakap pun yang Kamila tu awek dia. Kamila pun tak pernah bagitahu yang Ammar tu teman lelaki dia,” kata Hawa menjelaskan suasana sebenar hubungan Kamila dan Ammar.

“Perlu ke semuanya nak dihebahkan dulu baru orang tau. Merekakan rapat, jadi faham-faham aje lah..,” kata Alisha. Ada nada kecewa di situ. Dan yang pasti Hawa dapat mengesan nada itu.

“Alisha.... kau tak nak bagitau dia ye?” tanya Hawa setelah agak lama dia mendiamkan diri selepas mendengar kata-kata Alisha. Seakan-akan dapat dia rasakan perasaan Alisha kecew dengan keadaan yang melanda dirinya itu.

“Bagitau apa? Bagitau siapa?” Alisha cuba berteka-teki. Masih cuba untuk berselindung di sebalik kenyataan yang tidak mampu dia sangkal.

“Sha ... kau tau apa yang aku maksudkan. Jadi jangan nak berteka-teki,” kata Hawa dengan nada marah.

Alisha mengeluh perlahan.

“Hawa... kita ni siapa. Nak beritahu dia? Dia tu siapa?” kata Alisha dengan rendah diri. Akhirnya dia seolah-olah mengakui perasaannya yang selama ini hanya menjadi tekaan oleh Hawa.

“La, engkau... kau... dan dia.... dia.... tak ada bezanya antara kau dan dia. Memang dia tu anak orang senang. Belajar kat sini dengan belanja sendiri. Nanti esok, kalau dapat sambung kat luar negarapun tentunya dengan belanja sendiri. Tapi apa bezanya engkau. Kau bijak. Kau  ada biasiswa. Buat persediaan A-Level untuk ke UK dalam Kursus Sains Aktuari  yang jarang orang lain dapat buat. Kau dapat tajaan penuh dari PNB. Jadi, apa bezanya engkau dengan dia?”

Alisha diam. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Memang dia diberitahu bahawa Ammar adalah anak tunggal dari keluarga yang berjaya dalam perniagaan. Ayahnya memiliki sebuah syarikat perunding. Ibunya pula adalah seorang ahli perniagaan yang mewarisi perniagaan keluarganya. Sedangkan dia, hanya anak orang biasa-biasa yang hidup bergantung kepada pendapatan mamanya yang menguruskan kelas tuisyen. Ada pula seorang abah yang merupakan seorang OKU. Lalu, layakkah dia menyapa hati Ammar meskipun telah diberitahu bahawa Ammar menyukainya. Tambahan lagi, sejak rapat dengan Kamila, Ammar tidak lagi menunjukkan minat pada dirinya. Tidak seperti masa mereka mula-mula kenal dahulu.

“Alisha...,”

“Aku dah cuba Hawa. Tapi, aku tak mampu. Aku malu..., akhirnya kami cerita pasal lain,”akui Alisha.

“La... bila? Kenapa tak bagitau aku?”

“Dua minggu lepas. Aku seganla Hawa. Memalukan sangat,”  akhirnya Alisha meluahkan

“Heee... engkau ni tak sudah-sudah dengan malu. Nak malukan apa... geram aku dengan sikap kau ni tau...,” jelas sekali Hawa geram padanya. Langsung tidak disembunyikan demi untuk menjaga hatinya.

“Bila ingatkan wajah Kamila, aku tak sanggup nak luahkan perasaan aku ni. Kami ini kan kawan... aku, Ammar dan Kamila. Takkan aku sanggup kacau hubungan mereka. Walaupun kami tak berapa rapat, masih mereka tu kawan aku. Tambah lagi... kalau dia tolak perasaan aku, malula Hawa. Aku tak sangguplah,” keluh Alisha perlahan. Sungguh selama ini itu yang dia rasakan.

“Kalau kau tak beritahu dia, sampai bila-bila pun  dia tak akan tahu la Sha. Kau mana boleh mengalah macam ni,” kata Hawa yang lemah dengan sikap mengalah sahabatnya itu. Tidak seperti di dalam pelajaran, Alisha cukup rajin dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pembelajarannya. Mengapa dia tidak mampu untuk berbuat begitu untuk menegakkan cinta dalam hidupnya? Sungguh dia tidak sangka.

“Biarlah  Hawa... perasaan aku ni, biarlah rahsia ye. Lagipun ini bukan masa yang sesuai untuk aku mengharapkan apa-apa. Yang aku nak, cuma belajar dan berjaya dalam hidup. Aku nak bantu mama. Keadaan abah dah cukup buat mama aku susah hati. Aku tak nak susahkan hati mama lagi dengan perkara-perkara lain. Banyak lagi benda yang aku perlu capai sebelum aku bercinta,” kata Alisha akhirnya.

Hawa terdiam. Rasa simpati menyelinap masuk ke hatinya.  Dia pernah beberapa kali mengikut Alisha pulang ke rumah pada hujung minggu. Dia sendiri telah menyaksikan bagaimana keadaan ayah Alisha. Cukup simpati bila dia melihatkan keadaan itu. Hidup Alisha bukannya terlalu susah. Mamanya masih punya pendapatan dan mampu menyediakan keperluan harian anak-anaknya. Tetapi kepayahan yang mereka alami dengan keadaan ayahnya yang lumpuh seluruh tubuh itu menyebabkan hatinya menaruh rasa simpati yang amat sangat. Pun begitu dia melihat kekuatan dalam diri Alisha untuk terus menghadapi rintangan hidup. Bukannya mudah. Namun jelas sekali keluarga Alisha mampu menghadapinya, terutamanya mamanya, Puan Maisarah.

“Abah kau macam mana sekarang?”  Hawa tiba-tiba terpanggil untuk bertanyakan khabar.

Alisha diam seketika. Matanya menatap kertas tugasan yang Ammar pinjam sebelum ini. Dia mengusap perlahan kertas yang sudah sedikit lunyai itu.

“Ok... macam biasalah,” jawab Alisha ringkas.

Hawa diam seolah-olah kehilangan kata. Dia hanya memerhatikan Alisha teragak-agak, menyusun kata.

“Sedaya upaya aku cuba untuk tak fikirkan hal-hal yang tidak baik. Mama selalu meminta untuk aku berfikir secara positif. Tapi... aku dah tak tau apa yang patut aku fikirkan. Kesian mama, dah dekat sepuluh tahun abah macam tu. Kadang-kadang aku terfikir... kuatnya mama, sebab dapat tanggung semua ni sendiri,” saat mengucapkan kata-lata itu, Hawa melihat ada genang air di mata gadis di hadapannya itu. Dia memegang tangan Alisha. Dalam diam, cuba memberikan kekuatan untuk sahabatnya ini.

“Iya... mama kau tabah. Kuat betul jiwa diakan? Kalau aku, entahkan dah lama aku tinggalkan suami aku kalau dah tak berupaya apa-apa selama ni,” kata Hawa tanpa berfikir panjang. Setelah melihat sedikit perubahan di wajah Alisha baru dia tersedar yang kata-kata itu menyinggung perasaan temannya.

“Hawa,  sampai hati kau cakap macam tu. Aku tahu, mama aku sayangkan abah. Dia tak akan tinggalkan abah,” kata Alisha dengan penuh semangat. Dia tahu tentang kasih sayang mama pada abah yang tidak berbelah bagi. Jika tidak kerana sayang, mana mungkin mama boleh bertahan sehingga hampir sepuluh tahun,  menjaga abah yang kini boleh dikategorikan sebagai orang kurang upaya.

“Aku minta maaf ye Sha... aku tak patut cakap macam tu. Tapi... memang aku kagum dengar cerita macam mana mama kau hadapi semua ni selama 10 tahun,”

“Aku ingat lagi Hawa, masa tu aku 9 tahun, Syauki tujuh tahun dan Syafik masih baby lagi. Mama terpaksa tinggalkan kami pada arwah atok kat kampung bila abah kemalangan teruk. Tiga bulan abah koma dekat hospital, sepanjang masa itulah mama duduk kat hospital tu. Hari minggu barulah dia balik atau atok bawa kami pergi jumpa mama dekat hospital ataupun kat rumah kami. Iyalah, bukannya dekat mama nak berulang hari-hari dari Banting ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Mama pula tak sanggup tinggalkan abah kat hospital macam tu aje. Keadaan abah sangat kritikal masa tu. Sampaikan kami rasa rindu sangat dengan mama. Syafik pun terpaksa mama lepaskan menyusu walaupun masih baby...,” 

Hawa hanya mampu diam mendengarkan luahan hati Alisha. Temannya ini jarang sekali menceritakan kisah hidupnya.

“Memang mama kau kuat... aku kagum sangat,” kata Hawa sambil memegang tangan Alisha untuk memberikan kekuatan. “Kalau kau perlukan seseorang untuk kongsi masalah ni, aku ada ya...,”

“Entahla Hawa, banyak sangat cerita sedih, sampaikan Sha tak tahu yang mana satu yang nak dikongsikan dengan kawan-kawan,” airmata mula menitis perlahan di pipinya. Cepat-cepat dia menyeka airmata itu. Dia tidak ingin semua orang tahu tentang kesedihan yang dia alami. Tentu nanti banyak pertanyaan yang tidak mampu dia tangkis.

“Tak apa, perlahan-lahan kita kongsi. Aku tak pernah rasa susah walaupun mak abah cuma orang biasa-biasa saja. Mungkin kalau kau kongsi kesedihan kau tu, hati kau boleh jadi lebih tenangkan?”

Alisha menganggukkan kepalanya. Menerima cadangan Hawa seperti biasa. Bukan sekali dia pernah meluahkan perasaannya itu. Sejak hampir dua tahun belajar bersama, memang sudah banyak yang Hawa tahu tentang kesedihan dalam hidupnya.

“Ok, sapu air mata kau tu, nanti Madam Teoh masuk, kepoh pulak satu kelas kalau dia tengok kau menangis. Kang nanti dia jaja cerita yang engkau putus cinta pulak,” kata Hawa sambil menghulurkan sehelai tisu. Alisha mengambil tisu itu dan perlahan-lahan menyapu airmata yang tadinya hanya diseka dengan jari jemarinya. Dan tanpa dia sedari ada mata yang memerhati dari jauh. Ada minda yang meneka-neka mengapa airmata itu mengalir di pipi mulus seorang Sara Alisha binti Muhammad Ariffin.

****

“Abang.... makan ye.... ,” kata Maisarah sambil  memperbetulkan kedudukan tiub saluran makanan yang digunakan untuk suaminya. Walaupun setiap patah katanya hanya bersambut pandangan yang kelihatan begitu sayu, Maisarah tahu suaminya memahami setiap patah kata itu. Kata-kata yang dia ucapkan dengan penuh kasih sayang.

Ariffin hanya diberikan susu berprotin tinggi untuk makan. Itu sahaja makanan yang perut suaminya mampu terima sejak tiga tahun yang lalu sehinggakan tubuhnya kini hanya tinggal kulit dengan tulang sahaja. Setelah siap dimandikan dengan bantuan Syafik dan Syauki, mereka meletakkan kembali tubuh Ariffin ke atas katil  untuk dipakaikan pakaian. Selesai semua itu, dia memberi makanan. Itulah rutin hariannya selama hampir sepuluh tahun ini. Dan dia sendiri tidak tahu selama mana lagi dia harus berbuat begini.

Tiba-tiba telefonnya berdering.

“Sekejap ye bang... Sarah nak angkat telefon...,” katanya meminta izin seperti selalu. Masih terus berbicara mesra walaupun tiada respon yang dia dapat dari suaminya.

Maisarah bangun untuk mendapatkan telefon bimbitnya yang masih berada di dalam beg tangan. Sewaktu mengeluarkan telefon, sekeping kad kecil yang terletak di dalam poket tepi begnya terkeluar dan jatuh ke lantai. Cepat-cepat dia mencapai kad tersebut sambil menjawab telefon. Mariah.... nama itu terdetik di hatinya.

“Hello Mariah, assalamualaikum,” Maisarah menyapa dengan mesra. Kemesraan yang kembali terjalin setelah sekian lama terpisah, sejak Mariah menghubunginya setelah mendapat nombor telefonnya dari seorang rakan yang lain. Dan sekarang melalui perbualan telefon dan sms, hubungan mereka kembali terjalin erat. Mariah dan suaminya juga sering berkunjung ke rumahnya sekiranya mereka datang ke Kuala Lumpur.

“Waalaikummussalam Sarah. Apa khabar,” kedengaran ceria suara di hujung talian itu.

“Baik, alhamdulillah... kau?” tanya Maisarah kembali sambil matanya tertancap pada kad nama di jarinya.  ‘Muhammad Ridhwan Bin Arshad,’ dia membaca nama itu di dalam hati. Segera ingatannya terbawa kembali ke detik pertemuan mereka hampir sebulan yang lalu. Tiba-tiba dia jadi lupa pada suara Mariah yang sedang berbicara di hujung talian.

“Sarah....,” panggilan itu mengejutkan dia dari lamunan yang seketika itu.

“A...aaa... iya...,” tersentak dari lamunan.

“Sarah tengah sibuk ke?” tanya Mariah.

“Eh... tak la.. baru aje selesai tugas harian,” katanya sambil tersenyum. Matanya kembali tertancap kepada suaminya yang terbaring di katil mereka. Maisarah mengambil tempat di sofa yang terletak di satu sudut bilik yang berhampiran dengan tingkap bilik yang menghala ke jalan besar yang terletak di sebelah kanan rumah teres dua tingkat lot tepi itu. Kenderaan yang lalu lalang di jalan tersebut menggamit pandangannya.  Suasana panas diluar sana sedikitpun tidak dirasakan dengan adanya penyaman udara di bilik tidur mereka.

“Suami kau ok ke?”pertanyaan Mariah membuat dia kembali memandang kepada Ariffin yang sedang terbaring di katil.

“Ok... aku baru aje lepas pasang tiub makanan dia,”

“Oh ya ke? Aku tak mengganggu ke?”

“Eh tak lah. Apa pula mengganggu. Aku dah duduk santai di kerusi ni pun, sementara tunggu susu dia habis. Biasanya dekat setengan jam juga baru habis semuanya. Jadi aku ada cukup masa untuk berborak dengan kawan-kawan,” katanya sambil ketawa senang.

“Sarah... aku sebenarnya nak minta maaf ni..,” tiba-tiba Mariah berkata.

“La... kau ada buat salah ke dengan aku?” tiba-tiba Maisarah jadi terkejut.

“Adalah... ini yang aku nak minta maaf ni...,”

“Tak fahamla... apa maksud kau ni..?”

“Baru-baru ni, aku bagi nombor telefon kau kat...,” Mariah seolah-olah hilang kata-kata.

“Kat siapa?” tanya Maisarah sambil berkerut keningnya. Agak tidak selesa dengan sikap berteka-teki Mariah.

“Kat Ridhwan...,”

Sunyi ... terkedu seketika Maisarah jadinya. Hanya sepi yang menyambut  kata-kata Mariah.

“Sarah?”

“Iya...,”

Kau dengar tak aku tanya tadi?”

“A... a.... iya...,”

“Kau tak marah kan?”

“Taklah.... kenapa pula nak marah?” jawabnya walaupun di dalam hati dia merasakan itu tidak sepatutnya berlaku.

Mengapa Mariah tidak bertanyakan dia terlebih dahulu? Sedaya upaya dia menahan diri dari menghubungi Ridhwan seperti yang terlalu ingin dia lakukan sejak sebulan  kebelakangan ini. Tetapi dia masih berjaya mengekang keinginan itu. Biarlah segalanya berlalu. Dia tidak mahu mengganggu keselesaan yang dia rasakan selama ini. Sejak bertemu dengan Ridhwan, perasaannya mula terganggu. Mahu sahaja dia katakan itu kepada Mariah, tetapi dia tidak mahu menimbulkan sesuatu yang menyebabkan Mariah tahu tentang perasaannya terhadap Ridhwan lama dulu. Perasaan yang kembali mengganggu perasaannya sejak akhir-akhir ini. Iya... dia tidak pernah melupakan perasaan itu rupa-rupanya. Sungguh selama ini dia menyangkakan dia sudah lupa.

“Dia beritahu aku yang dia jumpa kau hari tu. Tapi tak sempat berbual apa-apa sebab kau dah nak balik dari hospital,” suara Mariah mengingatkan dia yang mereka masih lagi berada di talian.

“Iya... memang kami terserempak hari aku nak bawa balik abang Ariffin dari hospital hari tu,” Maisarah mengakui segalanya. Untuk apa dia menyembunyikan sesuatu yang sudah terang dan nyata.

“Dia cakap dia ada bagi kau nombor telefon dia, tapi kau tak telefon dia pun,” kata Mariah mengingatkan Maisarah tentang pertemuan antara dia dan Ridhwan tempohari.

“Iya... aku tak sempatla Mariah,” akui Maisarah.

Matanya memandang ke wajah suami yang masih terlena di atas katil. Mungkin juga dia tidak tidur, cuma sedang merehatkan matanya yang mungkin keletihan. Mata itu sahaja yang menjadi perantaraan komunikasi antara mereka. Mata itu yang mengucapkan sayang, keluh-kesah dan kesedihan yang Abang Ariffin rasakan. Tiba-tiba mata Maisarah jadi berkaca. Sedayanya dia cuba untuk menahan sebak di dada.

“Kau berbualla dengan dia. Mesti ada benda penting yang dia nak sampaikan tu. Kalau tak, tentu dia tak beria-ia minta nombor telefon kau. Dia cakap, dia ada sesuatu yang nak cakap pada engkau,” kata Mariah.

“Dia cakap macam tu pada kau?” Maisarah bertanya kembali dengan rasa hairan.

“Iya... Aku malasla pulak nak bertanya. Bunyinya macam penting aje,” terang Mariah.

“Bila kau jumpa dia?”

“Tak jumpa pun. Dia dapat nombor telefon aku sejak dua bulan lepas dari kawan-kawan kita dulu. Itu mulanya aku jumpa dia semula. Sekarang ni, kita jumpa balikla semua kawan-kawan yang dah terpisah sekian lama dulu. Mereka nak buat reunion tak lama lagi. Apa kata kalau kau ikut aku pergi reunion tu? Nanti kita boleh berjumpa dengan kawan-kawan lama...,”  kata Mariah panjang lebar.

Maisarah hanya diam, tidak mampu untuk berkata apa-apa.

“Sarah...? Boleh?”

“Owh... a.... a... entahla...,” jawabnya dengan teragak-agak. Di hati terasa seperti tidak mahu. Tapi bimbang nanti dikatakan sombong.  

“Tapi aku seganla Mar. Ada antara mereka yang aku dah lupapun,” sambungnya seakan-akan bertingkah.

“Sebab dah lupalah aku nak ajak kau pergi reunion tu. Sekurang- kurangnya kita dapat jumpa balik, eratkan balik silaturrahim kita kan?”

“Emm..  aku susah sikit Mar, suami aku nak tinggalkan kat mana?” jawabnya setelah sekian lama diam.

“Oh... haah ye.... kalau bawak tak boleh ke,”

“Emmm... tak boleh... Lagipun tak sesuai.... nanti rosak majlis orang. Dia pun mesti tak selesa...,”

“Emmm... oklah. Tapi kalau kau rasa nak pergi, bagitau aku ye? Nanti aku boleh bagitau Zaid. Dia yang akan aturkan majlis tu,”

“Oh ye ke.... ,” jawab Maisarah berbasi-basa. Dia masih ingat, Zaid adalah ketua kelas mereka semasa di tingkatan enam dahulu. Lebih dua puluh lima tahun yang lalu.

Mereka berbual lagi seketika. Banyak berita yang Mariah sampaikan tentang kawan-kawan lama mereka dahulu. Sehabis memberi salam, talian diputuskan. Sambil matanya kembali menatap wajah suaminya yang kelihatan masih terlena, ingatan Maisarah kembali kepada wajah Ridhwan yang ditemuinya baru-baru ini. Kad nama lelaki itu masih di tangannya. Ternyata dia adalah seorang yang berjaya sekarang ini. Jawatan yang tertera di kad itu menggambarkan dia sebagai seorang yang amat penting di dalam syarikat tersebut. Maisarah jadi tertanya. Betulkah ada sesuatu yang Ridhwan ingin cakapkan kepadanya? Tentang apa agaknya? Terasa amat hairan di hatinya bila mendengarkan kata-kata Mariah sebentar tadi.

Maisarah terus diam di sofa itu. Segera kenangan lama mengetuk di jendela hatinya. Untuk seketika dia melayan sejuta kenangan yang rupa-rupanya masih terpahat indah di dinding hatinya. Nyatanya  dia masih belum melupakan semua kenangan itu. Kenangan yang menyakitkan, tetapi tetap jadi yang terindah, yang pernah mewarnai kisah remajanya.



Assalamualaikum semua,



Love Novel Enterprise sudah menerbitkan novel Titik mula Cinta dan novel2 terbitanya yang lain dalam bentuk e-book. Bagi mereka yang tidak dpat membeli novel Titik Mula Cinta dalam bentuk naskah, bolehlah membelinya dalam bentuk e-novel. Jika berminat, sila ke link berikut untuk melanggan


Langgan E-novel LoveNovel Enterprise



Selamat membaca...

Salam sayang buat semua.....

Laila Hanni


Bab 2

 
Ammar memarkirkan kereta Suzuki Swift miliknya di tempat letak kenderaan chaletnya di Kolej Yayasan UEM. Dia terus pulang ke kolej selepas keluar dari rumah ibubapanya di Bukit Kayangan, Shah Alam selepas solat Asar tadi. Perjalanan yang biasanya mengambil masa satu jam setengah itu ternyata jadi lebih lama disebabkan satu kemalangan yang berlaku di lebuhraya PLUS, mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir sejauh 5 km. Nasib baik dia hanya perlu memandu ke Lembah Beringin. Kalau dia terpaksa memandu lagi hingga ke  utara, entah sampai ke mana kesesakan lalulitas itu berlaku.

Cepat-cepat dia memasuki chalet yang dia kongsi berdua bersama Haris, teman sekelasnya. Setiap pelajar di kolej itu menghuni bangunan yang berbentuk chalet. Setiap chalet yang mempunyai dua bilik dan dihuni oleh dua orang pelajar. Masing-masing mempunyai bilik yang tersendiri, memberikan privasi untuk setiap orang pelajar. Pengajian di kolej mewah itu sememangnya menyediakan kediaman mewah untuk pelajarnya. Bertepatan pula dengan yuran pengajian yang tinggi.

Masuk sahaja ke dalam chalet, dia dapati Haris sedang bersiap-siap dengan baju T dan seluar trek, tentunya untuk ke dewan makan.

“Eh, awal kau sampai. Selalunya kalau balik hujung minggu macam ni, dah malam baru nampak muka kau,” tegur Haris.

“Puan Hasliza nak buat kuizkan pagi esok?”

“Haah.. Ohh... patutla kau sampai awal...,”  kata Haris sambil dia ketawa mengekek.

“Apa pasal kau gelak?” tanya Ammar sambil membaringkan tubuhnya di sofa ruang tamu chalet tersebut. Tubuhnya terasa penat sekali kerana memandu dalam kesesakan lalu lintas tadi.

“Hehe... aku teringat muka kau masa Puan Hasliza warning kau hari tu, bila dia bagi markah kuiz kita. Masa tu kau ponteng kelas dia kan? Dia bagi amaran kalau kau ponteng lagi nanti, dia nak bagitau mak bapak kau. Ingat lagi macam mana muka kau masa tu...,” Haris tergelak lagi. Dia turut sama mengambil tempat duduk berhadapan dengan Ammar.

“Tak payahla kau nak mengutuk aku Haris. Kau kan tahu yang aku tak boleh terlepas kelas dia pagi esok. Aku dah terlepas dua kuiz Puan Hasliza. Kalau terlepas lagi, maknanya markah kerja kursus aku jadi rendahla nanti. Yang pasti nanti mama aku jadi macam singa betina hilang anak. Tak pasal-pasal nanti dia tak bagi papa aku dapatkan tempat belajar aku kat UK nanti,” katanya sambil cemberut mukanya.

“Alah, mama kau tu cakap je macam tu. Saja nak gertak kau suruh belajar. Aku rasa dia yang nak kau belajar kat UK tu, sebab senang dia bagi alasan nak pergi shopping kat sana macam mama aku,” kata Haris penuh yakin.

“Mama aku bukannya suka sangat shopping. Asyik sibuk aje memanjang. Sebab tu agaknya garang bukan main. Dengan papa aku pun dia boleh herdik kalau tak kena dengan kehendak dia. Kesian juga aku tengok papa aku tu. Sabar betul dia kalau mama aku buat tak tahu je dengan cakap dia,” kata Ammar menjelaskan sikap mamanya yang cukup dia tidak suka.

“Hei, kalau bukan sebab garang dia tu, mana la dia boleh uruskan syarikat arwah atok kau tu kan? Nanti kena pijak dek pekerja dia, siapa yang susah,”

“Sekarang ni aku baru faham kenapa papa aku buka syarikat sendiri. Padahal boleh sangat dia kerja kat syarikat mama aku tu. Nanti tak pasal-pasal kena marah dekat ofis,” kata Ammar sambil ketawa. Sudah lebih setahun dia dan Haris berkawan sejak mereka sama-sama menjejakkan kaki ke kolej itu untuk menyambung pengajian A-Level di situ sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di luar negara. Sudah banyak yang mereka kongsikan bersama, terutama tentang keluarga masing-masing. Jadi dia sudah tidak segan silau menceritakan tentang sikap mama dan papanya.

“Selalu aku cemburu tengok orang lain gembira dengan mak bapak mereka, bila pergi bercuti pun dia orang bebas nak buat apa yang dia orang nak. Kalau aku, semua kena ikut apa yang mama aku rancangkan. Sampaikan masa bercuti pun aku dengan papa kena ikut perintah dia. Boring betul. Pernah aku terfikir, kalau papa aku kahwin lain pun aku tak kisah. Nampak sangat yang papa aku tak gembira...,” rungut Ammar lagi.

“Huih kau... kau nak perang dunia kedua meletus ke... ,” kata Haris dengan ketawa besar.

Ammar turut ketawa. Dia boleh bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya papanya berkahwin lain. Mesti tunggang terbalik jadinya rumah besar mama dan papanya di pinggir Bukit Kayangan itu.

“Tengokla... nanti aku cadangkan pada papa aku nanti,” ketawa lagi.

“Ada berani...?” kata Haris sambil tergelak.

Sambil ketawa Haris menilik jam di tangannya yang menunjukkan ke pukul 7.45 petang.

“Eh, kau belum solat kan? Cepatlah, lepas tu kita pergi dinner. Aku dah lapar ni. Nanti nak balik study subjek Puan Hasliza pulak,”

“Belum. Sebenarnya aku tak la lapar sangat. Tapi, oklah. Sekejap, aku pergi solat sekejap,” kata Ammar sambil bergerak ke biliknya. Nasib baik Haris mengingatkan dia tentang solatnya yang masih belum tertunai. Jika tidak, tentu dia abaikan sahaja dan terus ke dewan makan bersama temannya itu.

Selesai sahaja dia bersolat, mereka meninggalkan chalet dan terus menapak ke dewan makan. Setiba saja mereka berhadapan dengan pintu masuk ke dewan makan, mereka terserempak dengan dua orang gadis yang mereka cukup kenal sedang masuk ke dewan makan yang sama. Ammar menatap gadis yang lemah lembut itu dari jauh. Tudung warna pink yang dipakainya menambahkan keayuannya. Seketika dia jadi asyik memandang gadis itu. Perlakuan di luar sedarnya ini tidak berlalu begitu saja tanpa disedari oleh Haris.

“Hoi..... ,” Haris menyinggung lengan temannya yang kelihatan begitu asyik memandang gadis bertudung litup itu.

“Dia cantikkan?” antara sedar dengan tidak Ammar memuji gadis itu.

“Siapa? Hawa?” kata Haris menduga.

“Hawa pun cantik juga. Tapi, Alisha tu...  aku suka tengok dia. Pandangan mata dia redup je. Tiap kali aku tangok dia, rasa sejuk je hati aku ni,” kata Ammar. Matanya terus memandang ke arah Alisha.

“Hoi... kalau sukakan dia... kenapa kau asyik dok berkepit dengan Kamila?”  soal Haris.

“Entahlah... Kamila tu... kawan aku... kawan rapat,” jawab Ammar secara sepontan. Suaranya kedengaran begitu yakin sekali.

“Iye ke...,”

“Iye.... kami tak pernah pun sebut pasal cinta ke.. apa ke... She’s very pleasent to be with. Nak pergi kemana pun boleh dengan dia tu. Clubbing, shopping, infact nak pergi berenang pun ok. Tak ada segan silu nak pakai swimmming gear..,” jelas Ammar dengan begitu terperinci sekali.

“Iyelah kan... kalau dengan yang sicantik manis kat depan tu, mesti malu itu... malu ini kan? Mana nak seronok pergi dating,” alak Haris.

Ammar diam. Dia hanya membiarkan Haris menyakatnya. Haris menjadi semakin tidak puas hati bila melihatkan Ammar diam.

“Hari tu, sebelum balik cuti Hari Raya aku tengok kau dengan dia berbual kat dalam kelas, korang cerita pasal apa ye?” tanya Haris lagi. Sudah lama dia ingin cuba bertanya. Tetapi sering sahaja dia terlupa. Peluang yang ada sebegini tak akan dia lepaskan. Wajah Ammar masih bersahaja.

“Tak ada.... akukan selalu pinjam tugasan dia. Berboraklah sekejap ucap Selamat Hari Raya,” kata Ammar dengan bersahaja.

“Masa balik ke sini semula selepas Hari Raya hari tu, aku dengar yang kau dengan Kamila bergaduh. Kenapa...? Dia cemburu ke?” soalan Haris yang datang tiba-tiba membuatkan Ammar terpinga-pinga.

“Mana kau tahu?”

“Elehhhh... dengan aku bolehla kau sembunyikan. Kau ingat Kamila boleh sembunyikan dari kawan-kawan lain hal kau berdua ni?” soal Haris lagi.

Ammar diam seketika sambil matanya kembali memandang pada Alisha yang sedang beratur di kaunter makanan. Perlahan-lahan dia dan Haris mendekati kaunter makanan juga. Mereka beratur di belakang dua gadis itu, berselang dengan tiga orang pelajar lain yang turut sama beratur di hadapan mereka.

“Dia suka kan kau kan? Dia bagitau kau ye?” tanya Haris dengan nada perlahan.masih lagi cuba untuk mencungkil rahsia.

“Tak adalah... dia cuma cakap dia tension, exam dah dekat, itu aje...,” kata Ammar terus bersahaja.

Mata Ammar terus memandang ke arah Alisha yang berdiri membelakangkannya. Tubuh Alisha ditatapnya dari hujung rambut ke hujung kaki. Gadis itu hanya berpakaian ringkas, dengan sehelai baju T lengan panjang dan seluar trek. Meskipun ringkas sekali, masih lagi dia kelihatan menarik. Memang Alisha cantik, dengan kulitnya yang cerah dan tubuhnya yang langsing. Ammar berkira-kira sendiri, kalaulah Alisha memakai pakaian seperti Kamila, pasti dia akan lebih cantik dari Kamila.

“Itu aje?” tanya Haris lagi.

“Iye lah...,”

“Betul ke ni? Ada yang bagitau aku, kau dengan dia berborak panjang sampaikan kau lewat pergi ambil Kamila. Itu yang Kamila mengamuk sangat tu sampai kamu bergaduh,”

Sungguh Ammar terkejut dengan kata-kata Haris itu. Pasti Kamila yang memberitahu kepada salah seorang dari kawannya dan berita ini sampai ke pengetahuan Haris. Entah berapa ramai lagi yang tahu tentang perkara ini, dia jadi tertanya-tanya.

“Habis, kalau kau dah tau, tak payahlah bagitau aku...,” katanya masih lagi dengan nada bersahaja.

“Eh... aku cabar kau, apa kata kalau kau bawa dia keluar?” bisik Haris ke telinga Ammar.

“So...?”

 “Kalau kau berjaya, aku bagi kau tiket kosert Taylor Swift. Hari tu kau kata kau nak kan? Tapi dah habis,” bisik Haris lagi.

“Ok.... tengokla nanti... kalau aku dapat, kempunanla kau nak tengok Taylor Swift...,” kata Ammar sambil ketawa. Suaranya juga diperlahankan. Bimbang nanti terdengar dek yang empunya diri yang kini berada begitu hampir sekali dengan mereka.

“Cubala dulu...,” kata Haris akhirnya sambil mencemikkan mukanya kepada Ammar dan kembali memandang ke hadapan bila sudah tiba gilirannya untuk mengambil makanan.

Ammar juga kembali diam. Dia tahu Haris dapat membaca isi hatinya. Dan terus matanya mahu menatap wajah ayu itu. Ah ... gadis ini bukan untuk dijadikan teman wanita. Dia selayaknya untuk dijadikan seorang isteri, bukan seorang teman wanita. Dan yang pastinya saat ini dia masih terlalu muda untuk hubungan yang sebegitu.

  

****

 

Perlahan-lahan Maisarah menolak kerusi roda suaminya ke kereta yang terparkir di ruang untuk menurunkan pesakit di Hospital Besar Kuala Lumpur. Dia telah mendapatkan kebenaran dari pihak pengawal keselamatan hospital untuk memarkir keretanya di situ sementara dia mengambil suaminya dari wad yang diduduki. Kebiasaannya kebenaran itu sukar diperolehi, tetapi memandangkan keadaan suaminya yang sebegitu, pihak keselamatan hospital telah memberikan kelonggaran kepadanya. Sedikitpun dia tidak sedar ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya dari jauh. Setiap kepayahan yang dia alami diteliti dengan begitu berminat sekali.

Setibanya bersebelahan dengan kereta, dua orang anak bujangnya, Syauki dan Syafik yang sejak dari tadi mengekorinya cepat-cepat membantunya mengangkat abah mereka ke dalam kenderaan itu. Tubuh lelaki yang pernah satu ketika dulu gagah, kini kurus dan tidak bermaya. Dia hanya mampu memalingkan kepalanya ke kiri tanpa mampu untuk mengawal pergerakan itu. Selain daripada itu, dia sedikitpun tidak mampu untuk mengawal bahagian tubuhnya yang lain, apatah lagi untuk bersuara. Hanya renungan matanya sahaja yang menggambarkan kemelut di hatinya dan hanya Maisarah sahaja yang memahami kemelut itu.

Selepas memastikan abahnya telah selesa di tempat duduknya, Syauki melipat kereta roda yang digunakan sebentar tadi dan memasukkannya ke dalam bonet kereta. Syafik pula membantu mamanya meletakkan beg dan peralatan lain ke dalam bonet kereta. Selepas semua barangan telah selamat di dalam kereta, mereka masuk ke dalam kereta. Maisarah mengambil tempat di tempat duduk pemandu kerana ingin cepat berlalu dari situ. Waktu dia membuka pintu kereta, matanya menyelitari persekitaran di sekelilingnya. Entah mengapa terasa seolah-olah dirinya diperhatikan.

Tiba-tiba matanya tertancap pada satu susuk tubuh yang sedang berjalan menghampirinya. Dia menumpukan perhatiannya pada tubuh yang sedikit berisi itu. Dia merasakan bagai dia kenal akan susuk tubuh itu. Masih terbayang di matanya. Iya... dia tidak pernah lupa rupa-rupanya. Meskipun tubuh itu tidak lagi langsing seperti dulu, masih dia kenali cara lelaki itu berjalan. Tidak salah lagi. Dan saat dia melihat ke dalam mata lelaki itu yang turut sama merenung ke wajahnya, dia tahu dia memang tidak salah. Renungan itu masih tetap sama seperti dulu. Iya, dia masih ingat lagi.

Tiba-tiba semua yang ada di sekelilingnya jadi sepi. Yang yang ada hanya dia.. dan lelaki itu. Masa seolah berdetik perlahan. Degup jantung bagaikan kuat sekali mengetuk ruang hatinya. Satu persatu langkah lelaki itu dia hitung. Aduh... dia tidak pernah lupa rupa-rupanya.

“Maisarah kan?” sapa lelaki itu apabila sampai di hadapannya. Matanya merenung di setiap inci wajah Maisarah. Matanya seakan-akan tidak mahu melepaskan sedikitpun raut wajah yang masih manis di pandangan matanya itu.

Dan di saat suara itu menyapa di telinganya, ruang minda Maisarah bagaikan diketuk kuat. Dia seakan-akan tersedar dari lamunan. Tiba-tiba mukanya terasa panas. Perlahan-lahan dia menarik nafasnya untuk mengurangkan debaran yang dia rasakan.

“Ridhwan...,” cuba dia mengawal suaranya supaya tidak terlihat dan terdengar jelas debaran di dadanya di mata lelaki itu.

“Betullah... dari tadi saya tertanya-tanya, betul ke ini Maisarah,”

“Aa.... iya....,” tiba-tiba jarak masa 25 tahun bagaikan hilang. Tiba-tiba Maisarah merasakan bagaikan dia berada di usia 18 tahun.

“Dari mana?” tanya Ridhwan sambil menjengah masuk kedalam kereta. Matanya terus menangkap keadaan lelaki di dalam kereta tersebut. Bersamanya, dua anak muda yang masih di peringkat usia remaja, memandang kepadanya. Seorang dalam lingkungan usia 17 tahun dan seorang lagi masih kecil, mungkin 12 tahun.

“Siapa?” dalam keadaan terkejut, soalan itu keluar dari bibirnya tanpa mampu dia sekat. Dan Maisarah tahu siapa yang Ridhwan maksudkan dengan perkataan itu.

“Suami saya,” jawab Maisarah perlahan. Lambat sekali suara itu keluar dari bibirnya. Masih terkejut dengan pertemuan yang sedikitpun tidak dia duga ini.

“Ohhh...,” jawab Ridhwan, bagaikan tidak mampu untu berkata apa-apa.

“Mama... ada kereta nak lalu tu...,” tiba-tiba Syauki bersuara sambil bibirnya menjuih kepada sebuah kereta yang sedang mendekati kereta meraka dari belakang. Mungkin juga untuk menurunkan penumpang atau pesakit di situ.

“Emmm... saya kena pergi dulu ya...,” katanya meminta diri dari lelaki yang masih tercegat begitu hampir dengannya.

“Oh... ok... tunggu sekejap...,”

Ridhwan mencari sesuatu dari dompetnya. Dia mengeluarkan sekeping kad nama dan menghulurkannya kepada Maisarah. Dalam serba salah Maisarah mengambil kad tersebut.

Call me...,” pinta Ridhwan. Buntang mata Maisarah memandang ke wajah lelaki itu. Iya... selama ini dia sangkakan yang dia sudah lupa. Namun yang nyata, dia tidak pernah lupa. “Please....,” sambung Ridhwan seakan-akan merayu.

“A...aa... In shaa Allah,” sahut Maisarah setelah seketika terkedu di tempat duduknya.

“Ma.... , kereta tu tengah tunggu tu..., dah bagi hon dah tu,” suara Syauki mengembalikan Maisarah dari keadaan luar sedarnya. Sedikitpun Maisarah tidak mendengar bunyi hon dari kereta di belakangnya.

“Aa... a... iya... iya... saya.... pergi dulu ya...,”

“Ok...., assalamualaikum,” ucap Ridhwan.

“Waalaikummussalam,” jawab Maisarah sambil menutup pintu kereta dan menghidupkan injin. Sewaktu dia menukar giar kereta, matanya kembali tertancap ke wajah Ridhwan yang masih berdiri di sebelah keretanya. Ridhwan mengangkat tangannya menunjukkan isyarat meminta Maisarah menghubunginya melalui telefon. Dan dengan satu anggukan, Maisarah berlalu. Dan tiba-tiba hati masing-masing terasa kekosongan. Kosong sekosong kosongnya.....

 

****

 

“Kau tau tak... ?”

“Tak. Apa...?”

“Ammar sukakan kau tau.”

Terkedu seketika jadinya. Alisha terdiam. Benarkah? Benarkah? Hatinya menjerit.

“Mengarutlah...,” sanggah Alisha

“Iye....,”

“Mana kau tahu?”

“Haris cakap,”

“Ishhhhh... mengarutlah kau ni..,” namun hatinya bagaikan berbunga.

“Iya... dia cakap kat Haris,”

“Tak percayalah...,”

“Tak percaya... tanyalah sendiri...,”

Dengan kata-kata itu hatinya jadi terus berdebar-debar. Bak gendang dipalu ia mengetuk minda sedar Alisha. Benarkah? Tapi mengapa Ammar kelihatan bersahaja kepadanya selama ini? Mengapa setiap kali berbicara Ammar sepeti kelihatan kebosanan, kecuali ketika dia ingin meminjam tugasan ataupun tutorialnya.  Apakah mungkin Ammar berkata begitu hanya kerana dia selalu meminjamkan pemuda itu bahan pembelajaran mereka setiap kali Ammar meminta? Terkadang dia merasakan seolah-olah Ammar punya agenda tertentu apabila berbaik-baik dengannya. 

“Kau ni... tak kan aku nak tanya Ammar, awak.... awak suka saya tak?”

Hawa tergelak melihatkan gaya sepontan yang dibuat oleh Alisha sambil berkata demikian.  Lucu rasanya melihatkan Alisha tiba-tiba berhenti dan melenggokkan kepalanya sambil mengerdipkan matanya, mengajuk perkataan itu seolah-olah dia berhadapan dengan Ammar.

“Cubalah...,” cabar Hawa.

Alisha terdiam. Dia menarik nafas panjang. Mana mungkin dia mampu bertanyakan perkara itu. Lihat saja bagaimana debaran menggoncang dadanya saat dia cuba  meluahkan isi hatinya kepada Ammar  sebelum ini.

“Takutla tu...,”

“La, mana ada...,”

“Habis... kenapa diam?” soal Hawa

Alisha kembali diam. Meski diam, dadanya terus berdebar kencang. Mengetuk segenap rasa yang ada di dalam tubuhnya. Rasa gembira, takut, semuanya ada. Rasa indah juga menyelinap masuk ke dalam hatinya apabila mendegar kata-kata Hawa tentang perasaan Ammar terhadapnya. Seindah taman yang penuh dengan tunas-tunas harapan yang mula tumbuh di dalamnya.

“Oklah... aku dah sampai. Kau jangan asyik dok berangan pulak. Nanti jatuh longkang aku tak tau ye....,” gurau Hawa sambil memasuki lorong ke chaletnya.  Tanpa sepatah kata, Alisha menganggukkan kepala. Dalam debar, dia meneruskan langkah menuju ke chaletnya yang terletak dua blok ke hadapan.

‘Ammar suka pada aku... tapi kenapa sikap dia macam tu ya?’ dia bermonolog sendiri.

 

 

Popular Posts