Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Comments: (4)

Bab 11


Bas yang Fazila naiki berhenti perlahan-lahan di perhentian bas yang paling hampir dengan kawasan perumahan Professor Ruquiyah. Perkataan hampir itu bagaikan tidak bermakna kerana dia masih perlu berjalan selama hampir dua puluh minit untuk sampai ke rumah prof. Dia  tidak pernah menyukat jarak perjalanan sebenar yang dia harus lalui, apapun dia masih perlu berpeluh untuk sampai ke rumah teres mewah milik prof. Dalam suasana petang yang tidak menentu cuacanya itu, terasa amat memenatkan sekali. Namun ini sahaja cara untuk dia menambah pendapatan bagi menambah wang saku untuk menyara kehidupan hariannya.  Sekurang-kurangnya itu boleh dijadikan aktiviti riadah untuk menyihatkan tubuh badannya. Seboleh-bolehnya dia tidak lagi mahu menyusahkan abah dan emak. Sudah cukup dia menyusahkan mereka selama ini. 

Rutin hariannya kini masih tetap sama. Pagi, dia ke kuliah, ataupun jika waktu-waktu tiada kuliah, dia terus ke makmal untuk menjalankan kajiannya. Buat masa ini dia masih lagi di peringkat mencari kaedah terbaik untuk dia cadangkan di dalam kertas kerjanya untuk  melaksanakan projeknya nanti. Professor Ruquiyah mencadangkan supaya dia mendapatkan sekurang-kurangnya seratus kertas kajian dari jurnal-jurnal yang berkaitan dengan kajian yang akan dia laksanakan nanti. Untuk mencari seratus kertas kajian bermakna dia perlu membaca dua ratus,  atau mungkin lebih kertas kajian yang berkaitan dengan kajian-kajian pengkaji yang terdahulu. Aduhai ... bukannya mudah rupanya. Semuanya bergantung kepada kekuatan diri untuk melaksanakan semuanya kerana di peringkat pengajian sarjana sebegini dia perlu bergerak sendiri. Tiada lagi yang akan mengatur perjalanan  proses pengajiannya seperti yang berlaku di peringkat sarjana muda dahulu. Penyelia seperti Professor Ruquiyah cuma menjadi penasihat sahaja supaya dia tidak tersasar dalam menjalankan kajian berdasarkan objektif yang telah dia sendiri tetapkan. Aduhai... penat dan mencabar sekali rupa-rupanya....

Rutin petangnya pula dia akan ke rumah Professor Ruquiyah untuk bersama Eisya dan Epul. Mengikut jadualnya dia perlu datang hanya tiga kali. Tetapi ada waktunya dia memang dipanggil oleh anak-anak itu untuk belajar bersama mereka. Dan prof sudah menjanjikan akan memberikan bayaran tambahan dari apa yang dipersetujui di peringkat awal dia menjalankan tugasnya itu. Semua itu tidak menjadi masalah kepadanya kerana dia masih boleh turut sama belajar bersama kedua-duanya yang sudah dianggap seperti adiknya itu. Malah kehadiran Epul dan Eisya sebenarnya meminjamkan kekuatan untuk dia terus belajar. Berada bersama mereka seolah-olah dia berada bersama-sama sebahagian daripada adik-adiknya di kampung.

Sepanjang sebulan ini dia sebenarnya hanya menjadi peneman kepada kedua-duanya. Mereka adalah anak-anak yang bijak, yang tidak memerlukan  guru tusyien sebenarnya, jadi dia cuma bertindak sebagai peneman. Dan dalam tugas menemani anak-anak itu, dia sebenarnya tidak terlalu terikat dengan jadual yang tertentu. Dia cuma perlu mempastikan Epul dan Eisya menyiapkan kerja-kerja sekolah mereka sentiasa yang berlambak. Jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, barulah dia berperanan untuk membantu. Jika tidak, dia hanya menjadi pemerhati sahaja. Dan jika tiada kerja sekolah yang perlu mereka selesaikan, barulah dia berperanan untuk membantu dengan menyediakan aktiviti-aktiviti tambahan. Jadi waktu begitu dia gunakan sepenuhnya untuk memilih dan membaca mana-mana jurnal yang berkaitan dengan kajian untuk tesisnya.

Fazila tiba di lorong berhadapan dengan rumah Professor Ruquiyah  ketika mendung mula bertukar menjadi titis-titis hujan. Cepat-cepat dia berlari memasuki lorong itu. Tanpa memandang ke kiri dan kanan, dia terus sahaja berlari memasuki pintu pagar yang memang telah sedia terbuka untuk menanti kepulangan prof dan suaminya. Setiba saja dia di muka pintu, terus sahaja pintu itu terbuka dan terjengul wajah itu di situ. Dan sedetik itu juga darahnya bagaikan dipam laju. Debaran jantungnya tak bisa dia kawal sehinggakan bagai tercungap-cungap dia rasakan. Benarkah apa yang dia lihat di hadapan mata? Ataukah ini cuma khayalan semata? Khayalan yang sungguh membahagiakan.

 “Hei.... awak ni memang takutkan air hujankan?”

Teguran sinis itu singgah di telinganya sehinggakan dia bagaikan tersedar dari lamunan. Sejak wajah itu muncul di pandangan, dia sendiri tidak sedar berapa lama dia terpaku di tempat dia berdiri. Gumam menggigit bibirnya hingga tidak mampu melontarkan walaupun sepatah kata. Bibir Amir Hamzah yang kemerah-merahan itu menguntum senyum. Buat dia makin terpaku memandang wajah yang amat dia rindukan itu.

****

“Minumla Kak Ila.... best ni Eisya buat...,” kata–kata Saidatul Batrisya mengejutkan Fazila dari lamunan. Tak habis-habis aku mengelamun... rungutnya dalam hati terhadap sikap barunya itu.    

Fazila menghirup perlahan jus tomato yang di hidangkan oleh Eisya. Jus yang pekat dan berbuih terasa begitu sedap sekali.

“Eiii... bestnya... macam mana Eisya buat ni... ,” pujinya sambil matanya kembali tertumpu pada gelas setinggi 10 cm itu.  Dia tidak pernah merasa jus yang sesedap ini. Pekat dan sangat bersari. Fazila tidak pernah tahu yang tomato boleh dibuat jus yang begini enak rasanya.

“Lain rasanya kan kak dari jus tomato yang biasa minum kat kedai. Selalunya dia orang letak sikit je buah tomato tu. Eisya bubuh banyak... barulah best...,”

“Emmm betul... sedap... nanti ajarkan akak buat jus gini ye... bestnya,” pujinya lagi. Sememangnya dia ikhlas memuji. Dan buat seketika dia menumpukan perhatiannya kepada Eisya. Tidak seperti sebentar tadi, saat mindanya asyik melayan detik-detik indah sewaktu bertatapan dengan sidia. Walau hanya dengan sebaris ayat, masih sidia mampu menjentik ruang ingatannya hampir setiap detik. Amir Hamzah ... terlintas nama itu di dalam hatinya.

Mereka meneruskan aktiviti pengajian masing-masing diselang-selikan dengan perbualan-perbualan kecil. Namun sepanjang waktu itu Fazila jadi tidak menentu. Bagaikan ternanti-nanti wajah itu menjengah di pintu bilik Eisya tempat dia, Eisya dan Epul sedang sama-sama belajar. Kehadiran Amir Hamzah itu kembali membawa debar yang menggetarkan perasan. 

“Bukan takut hujanlah... tak nak basah... nanti habislah laptop dengan kertas-kertas saya ni,” matanya melilau pada hujan yang mula turun membasahi bumi. 

“Nasib baik awak sempat sampai kan? Kalau tidak memang lencun awak petang ni...,”  balas Amir Hamzah yang masih lagi berdiri di muka pintu seolah-olah tidak mahu membenarkan Fazila masuk ke rumah. Teragak-agak Fazila dibuatnya.

“Emmm.. boleh saya masuk?” pinta Fazila akhirnya.

Tanpa sepatah kata Amir Hamzah memberi laluan walaupun dia masih berdiri di tengah-tengah gerbang pintu. Demi sahaja Fazila melintasinya, sesuatu yang sungguh tidak dia sangka singgah di telinganya. Antara dengar dengan tidak suara itu berbisik,

“Silakan... masuk saja terus ke pintu hati aku ni...,”

Dalam debar yang menguatkan lagi pecutan jantungnya Fazila hanya menyambut kata-kata itu dengan diam. Mana mungkin dia berkata apa-apa sedangkan dia sendiri tidak yakin samada kata-kata itu benar-benar diucapkan oleh Amir Hamzah atau hanya sekadar angan-angan yang tercipta di mindanya semata-mata.
Dia memandang ke dalam mata Amir Hamzah. Berlagak berani walaupun hatinya cukup gementar saat itu. Dia tidak pernah tahu yang dia boleh sebegini gementar di hadapan lelaki. Dan sepintas lalu wajah Faris menjelma di hadapan matanya. Membuatkan Fazila bagaikan tercungap dek rasa terkejut. Cepat-cepat Fazila memalingkan mukanya dan melangkah masuk. Seribu rasa bersalah hinggap di hatinya.

“Kak....,”

Lamunannya terhenti apabila Eisya menggoncang tubuhnya dengan kuat sekali.

“Eiii... Kak Ila ni kuat berangan la... abang Epul... ,” rungut Eisya pada abangnya.

“Mesti ingatkan boyfriend dia tu..,” kata Epul sambil terus dengan kerja sekolah yang sedang dia siapkan. Tidak begitu mengambil berat dengan kerenah Fazila dan adiknya. Dia perlu menumpukan perhatiannya terhadap latihan matematik yang sedang dia buat, markah peperiksaan pertengahan tahunnya telah jatuh dan papa dan mama telah memberi amaran “tak boleh main iPad sampai Epul baiki balik keputusan ujian akan datang”. Aduhhhh....

Fazila meletakkan kertas kajian yang sedang dia baca dan mencubit kedua-dua belah pipi Eisya sambil pura-pura marah kepada gadis sunti tersebut, “eee..... sibuknya dia...,”

“Eleh... orang panggil dua tiga kali tak dengar.... ingat boyfriend la tu...,” kata Eisya selepas menjelirkan lidahnya kepada Fazila. Dia turut mencubit kedua-dua pipi Fazila bagi membalas semula semua perlakuan Fazila terhadapnya. Akhirnya mereka ketawa dalam gurauan yang menggeletek hati masing-masing. Epul hanya memandang dengan penuh minat. Ada waktu terasa seperti mau dia bergurau dengan kak Fazila seperti yang Eisya lakukan. Tetapi mesti kak Ila tidak suka. Dia sudah berada di alam remaja dan mereka bukan muhrim. Kalaulah kak Ila ini kakaknya sendiri, tentu seronok. Bolehlah dia bergurau dan bermesra-mesra dengan kak Ila.

Sehabis bergurau, Eisya mengubah kedudukannya pula. Dia kini sudah terbaring di ribaan Fazila. Fazila terus meletakkan jurnal yang sedang dibacanya dan menumpukan perhatiannya kepada Eisya.

“Kak Ila ...,” panggil Eisya.

“Iya dik... apa...?”

“Akak ada boyfriend ya?”

“Ehhh... kenapa pulak Eisya tanya macam tu...?”

 “Akak selalu je termenung.. ingatkan boyfriend akak ye?”

“Ehhh... mana ada...,”

“Iya.... akak selalu gitu... ,”

“Tak adalah....,”

“Iya.... kan abang Epul...,”

“Haah...” sahut Epul mengiakan kata-kata adiknya.

“Selalu Eisya tengok akak senyum sorang-sorang... kadangtu... nampak sedih...,”

“Mana ada.... pandai je Eisya buat cerita...,”

“Iya...,”

Fazila diam.

“Eisya cakap kat Pak Uda.... dia kata akak ingatkan boyfriend akak...,”

“Eiii... memandai aje lah... akak mana ada boyfriend...,” wajah Fazila sudah mula memerah. Sungguh dia tidak menyangka dia dijadikan bahan perbualan antara dua anak suadara dan bapa audara itu.

“Tapi Sya tengok... kak Ila tak pernah gayut kat handphone kan?”

“Macam mana nak gayut. Kak Ila mana ada handphone...,” kata Epul pula. Matanya terus berada pada buku latihan yang berada di hadapannya. Kak Ila sudah beritahu bahawa dia perlu siapkan tiga set contoh soalan yang terdapat di dalam buku latihan tersebut sebelum dia boleh berhenti. Jadi seboleh mungkin dia cuba untuk menyiapkannya secepat mungkin. Kalau ada peluang nanti bolehlah dia bermain dengan playstationnya sebelum masuk tidur pukul 11.00 nanti.

“Malam ini mama dan papa balik lewat sikit... kak Ila tidur kat sini ye?” kata Eisya.

“Eh... tak boleh... esok akak ada kerja. Awal pagi lagi kena pergi cek alat kat lab, ... untuk kajian akak...,”

“Nanti pak Uda yang hantarkan ye... macam selalu tu?” tanya Eisya penuh minat.

Fazila diam. Tidak tahu bagaimana untuk memberi respon kepada kenyataan itu.

 “Ala... Kak Ila jadi girlfriend Pak Udalah... kan senang...,” ucap Eisya lagi.

Tersentak Fazila dengan kenyataan itu. Kenyataan yang membuatkan ada debar bak gendang yang dipalu di perdu hatinya. Namun semua perasaan itu disembunyikan diam di hatinya. Hanya ada cebir di bibir menjawab saranan itu. Mana mungkin sedang dirinya sudah terikat dengan janji. Meskipun hatinya ingin sekali, namun mana mungkin. Tak mungkin dia mampu untuk melakukan sesuatu yang mampu buat abah dan emak terluka.

“Mesti nanti mama suka.... Eisya lagi suka... abang Epul pun suka... abang kan,” bebel Eisya sendirian. Tangannya laju menulis di buku latihan yang telah Fazila tugaskan untuk dia siapkan malam itu juga.
Fazila menarik nafas panjang sambil  buat-buat tidak layan sahaja kepada kenyataan itu. Malu pada diri sendiri. Dia yang sudah bertunangan, kini melayan debaran demi debaran yang melibatkan lelaki lain. Sungguh dia tidak layak untuk merasakan debaran itu. Namun masih lagi debaran itu mahu singgah di hatinya. Untuk seketika ini biarlah dia menikmatinya. Nanti akan tiba masanya dia tidak lagi dapat menikmati rasa itu.

****

 Mata Fazila melilau mencari orang yang dia perlu temui. Tengahari tadi Professor Ruquiyah meminta supaya dia menunggu di tempat biasa. Dan seperti biasa dia sudah terpacak di situ sejak awal lagi. Dia tidak mahu Professor Ruquiyah yang menunggunya pula. Tidak sepatutnya begitu. Majikan menunggu pekerjanya.
Dan bila kereta Suzuki Swift milik Amir Hamzah yang menghampirinya, Fazila tiba-tiba jadi resah. Professor Ruquiyah tidak pula mnegatakan yang lelaki ini yang akan menjemputnya. Selepas bicara yang terluah dari bibir Eisya tentang dia dan lelaki ini semalam, dia cuba sedayanya untuk membuang semua keinginan yang berpaut di hatinya. Dia tidak layak untuk itu semua. Dia sudah menjadi tunangan orang. Seharusnya dia menyimpan rindu buat Faris, bukan buat lelaki ini.

Bila tiba sahaja kereta itu di hadapannya, pintu kereta terus terbuka. Dengan hati yang berbelah bagi, dia masuk ke dalam ruang tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Ucap salam anak muda itu menyapa di telinganya. Sambil menjawab salam, dia menghalakan pandangannya ke luar tingkap tanpa memandang ke wajah Amir Hamzah. Terus matanya memandang keluar tanpa melihat apa yang ada dalam arah yang dipandangnya.

Amir Hamzah juga diam. Mata anak muda itu hanya memerhatikan jalan di hadapannya. Sesekali dia menjeling kepada Fazila. Setiap kali bersua, bagaikan ada ketegangan antara mereka.  Dia cukup tidak suka dengan keadaan sebegitu. Namun dia diamkan sahaja gelodak jiwa yang sedang dirasakan  ketika itu.
Seperti biasa dari ekor matanya dia meneliti wajah gadis yang sederhana menawan itu. Kalau bukan kerana sikapnya yang seolah-olah jual mahal, tentunya dia tidak tertarik untuk mendekati gadis ini. Wajahnya biasa-biasa sahaja, walaupun terselit kemanisan apabila dia tersenyum dan ketawa. Namun, sikap jual mahal dan juga sedikit kemanisan yang ada itulah rupa-rupanya yang sering menyapa pandangan matanya walapun di mana dia berada sejak kebelakangan ini. Sehingga dia bagaikan tidak mampu untuk menafikan rasa sukanya kepada gadis ini. Perasaan yang hadir perlahan-lahan di hatinya. Yang bagaikan tak mampu dia sekat dari terus berkembang memenuhi segenap ruang hati.

Lima belas minit masa berlalu dalam sepi sehinggalah mereka sampai di pintu pagar rumah Professor Ruquiyah. Masing-masing masih lagi diam tanpa kata. Bila Amir Hamzah memberhentikan keretanya di situ, cepat-cepat Fazila membuka pintu dan keluar. Dia perlu pergi jauh dari lelaki ini. Dia tidak mahu hatinya terus remuk digodam dek sejuta perasaan yang hadir setiap kali mereka bersama. Namun, langkahnya yang cuba dipercepatkan terhenti bila tangannya diraih oleh Amir Hamzah. Perlakuan yang buat dia gamam seketika, hingga gumam jadinya. Sedikitpun tidak mampu untuk menarik tangannya untu melepaskan diri dari disentuh lelaki ini. Dia  hanya mampu memandang ke dalam mata yang kali ini memandang redup ke dalam matanya.

“Saya ada sesuatu untuk awak...,”

Mata Fazila melahirkan persoalan yang yang berbisik di hatinya. Saat ini tiada suara yang mampu keluar dari bibirnya.

“Ini.... awak bukalah nanti... instruction semuanya ada kat dalam. Saya nak awak gunakan sebaik saja awak buka kotaknya...,” kata Amir Hamzah separuh memberi arahan.


Jemarinya melepaskan tangan Fazila lalu mengambil sesuatu dari tempat duduk belakang. Tanpa banyak soal, beg kertas sederhana besar itu berpindah tangan.  Fazila masih gamam di pintu pagar rumah Professor Ruquiyah apabila kereta Amir Hamzah berlalu meninggalkannya  yang masih gumam, tak mampu berkata apa-apa.



Comments: (1)

Bab 10


“Hei… kau jangan…. Kesian dia tau… kalau abang kau betul sukakan dia, kenapa diam je tak bertegur sapa. Dia pun ada perasaan jugak. Dia pun dapat rasa jugak samada orang suka atau tak suka pada dia… ,”

“Nantilah.. biar aku bincang dengan abang aku... tapi rasanya lagi senang kalau aku cakap kat mak aku..,”

“Eh... korang ni... semua nak mengadu pada mak ke?”

“Engkau tak tau abang aku Nad...., dia bukannya tak suka... tapi tak ada masa nak layan semua tu...,” Fauzi memberikan alasan yang dia tahu tidak munasabah sekali.

“Habis, kalau tak sempat nak layan bakal isteri, buat apa dia bertunang... buat apa dia nak kahwin...  baik dia kahwin je dengan kerja dia tu...,”

Fauzi terdiam. Betul juga cakap Nadia.

“Aku kesian tengok kawan kita tu... dia gelisah.. Macam-macam dia fikir. Dia kata abang kau tak sukakan dialah. Dia kata yang abang kau ada orang lainlah. Siap kata emak kau sebenarnya yang sukakan dia, lepas tu paksa abang kau kawin dengan dia. Betul ke gitu Fauzi?” tanya Nadia meminta kepastian terhadap persoalan-persoalan yang Fazila luahkan kepadanya tiga hari yang lalu. Ada juga persoalan yang dia sendiri tambah demi untuk mendapatkan kepastian tentang perasaan Faris pada kawan baiknya. Persoalan yang turut sama mengganggu mindanya sejak tiga hari lalu. Lantas bila sahaja ada waktu terluang sebelum dia melelapkan mata, dia terus menelefon Fauzi untuk bertanyakan tentang hal ini.

“Taklah.... ,” berkerut kening Fauzi mendengarkan tanggapan yang melanda ruang fikir Nadia dan Fazila. Aduhai... suka sekali kedua-dua sahabatnya ini menelah sesuatu mengikut kata hati. Kalaulah mereka tahu cerita sebenar, barang kali apa pula tanggapan yang akan mereka buat.

“Atau kau je yang sebenarnya sukakan dia... kau tak dapat, jadi kakak ipar kau pun tak apalah kan? Asal dapat selalu tengok muka dia?” soal Nadia lagi.

“Ishhh... kau ni.... melalut sampai macam tu pulak... Suka sangat fikir yang bukan-bukan...,”

“Iyalah.. mesti macam tu kan? Kau sendiri tau taste Fazila... suka yang lebih matang... kan?”

“Ish.... kau ni... teruk tau...,”

“Tak adalah... aku agak je... kalau betul, kesianla kat dia... jadi mangsa match maker..  kalau yang jadi calon tu ada perasaan, tak apa jugak... ini buat tak tau je.... aku tak sanggup tengok dia kecewa nanti...,”

“Tak apalah... aku taulah macam mana nak selesaikan masalah ni... kau tengok aje nanti...,” kata Fauzi penuh yakin.

“Ok... aku tunggu. Dahlah... aku dah mengantuk ni... tak pasal-pasal pulak aku kena tidur lewat.. kena selesaikan masalah kawan aku... tapi... mestilahkan... that’s what friends are for...,”

“Oklah.... aku pun dah mengantuk... good night... Bye..,”

“Bye...,”

Fauzi mematikan talian telefon tangannya. Dia mengeluh keras. Sangkanya semua masalah itu telah selesai selepas dia berhadapan dengan abangnya tempohari. Rupa-rupanya ini jadinya. Sia-sia saja dia memberikan alamat email Fazila dan juga akaun id temannya di facebook dua bulan yang lalu. Rupa-rupanya abangnya masih lagi tidak menghubungi Fazila sejak dari tarikh itu. Sungguh semua ini membuatkan dia merasa geram.


****


“Betul mak.... tak kan Nadia bohong kut.... dia kan rapat dengan Ila ...,” kata Fauzi sambil menyambut pinggan berisi meehoon yang emaknya hulurkan kepadanya. Cepat-cepat dia menyuap juadah sarapan pagi yang dimasak oleh emaknya itu. Dia sudah lewat ke tempat kerja sebenarnya, tetapi untuk menolak pelwaan emak bersarapan bersama, sungguh dia tidak sampai hati.

Makcik Hasmah mengeluh keras. Sungguh hati anak lelaki sulungnya itu keras sekali. Lepas satu, satu kerenahnya. Dalam diam dia bagaikan memberontak. Memang tiap patah kata yang keluar dari bibirnya tidak pernah Faris sangkal, namun setiap perlakuan anak sulungnya itu begitu menduga akalnya sebagai seorang ibu. Apa lagi yang dia tunggu? Masihkah dia menggantung harap pada kenangan yang sedikit pun tidak menyebelahinya? Pening jadinya memikirkan kerenah anak sulungnya itu.

“Mak rasa Faris tu masih ingatkan kak Auni ke mak?” tanya Fauzi tiba-tiba.  

“Hish... dah lah ... jangan sebut lagi nama dia tu..., terutamanya depan abang kau tu...,”

“Tapi mak... dia kan tau... mereka sepatutnya kawin..,”

“Memang la tau... macam jugak orang yang bercinta... masing-masing tau... apa yang halal, apa yang haramnya dalam bercinta... tapi masih buat jugak benda-benda yang tak sepatutnya. Itulah... kalau ikutkan hati sangat...,” rungut Makcik Hasmah dengan nada kesal. Menyelinap rasa kesal di hatinya kerana membiarkan Faris terlalu larut dalam kenangan cintanya yang terdahulu. Mana pernah dia menyangka semua akan jadi sebegitu menyakitkan buat mereka semua. Kalau dia sebagai ibupun dapat merasakan betapa sakitnya apa yang Faris alami, apa lagi dengan tuan punya diri. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Faris tidak pernah meluahkan perasaannya namun dia tahu Faris sangat kecewa dengan takdir yang telah tertulis buat dia dan Auni. Hampir separuh mati  Faris dan Auni menderita dalam dugaan yang Allah berikan pada mereka. Dugaan yang tak pernah terfikir dek akal manusia. Namun kebijaksanaan dan kekuasaan Allah tidak ada yang pernah mampu untuk menduga. Dia yang tahu segala rahsia bagi setiap apa yang dititipkan buat hambanya. Lantaran itulah Makcik Hasmah sebaiknya cuba untuk membuat Faris terus untuk bertahan supaya Auni juga mampu untuk terus bertahan. Namun sampai bila mereka mampu berbuat begitu seandainya masing-masing masih menyimpan keindahan mimpi-mimpi semalam?

Semua masalah ini tidak sedikit pun dia rahsiakan daripada Dahlan dan Norhayati. Telah dia jelaskan semuanya semasa mereka berbincang tentang pertunangan anak-anak mereka  sebelum majlis itu berlangsung dua bulan lalu. Nasib baik Dahlan dan Norhayati memahami semuanya dan menasihatkan supaya semua itu dirahsiakan dari Fazila, sekurang-kurangnya buat masa ini. Mereka bimbang sekiranya anak gadis mereka menolak perhubungan ini. Perhubungan yang bukan sahaja diharap dapat menyambung silaturrahim dua keluarga yang terpisah sekian lama, namun juga diharap berupaya untuk menyelamatkan dua jiwa yang terlalu larut dalam kekecewaan akibat dari cinta yang terlarang.

 “Hari minggu ni mak nak engkau cancel semua urusan engkau. Mak nak kita pergi rumah dia. Kalau dia dah segan sangat nak balik jenguk mak, biar kita yang pergi jenguk dia. Kau telefon dia, tanya bila masa dia tak kerja, kita pergi jumpa dia masa tu. Biarlah, kalau mak ni terpaksa buat temujanji semata-mata nak jumpa anaknya. Kalau bukan sebab Ila, mak tak pergi. Tapi semua ni tak boleh dibiarkan. Menjadi-jadi pulak degil abang kau tu... pening kepala mak ni Fauzi...,” kata Makcik Hasmah dengan nada suara yang penuh dengan kebimbangan. Sungguh dia bimbang mengenangkan masalah yang baru tiba di pendengarannya itu.


****


Hatinya cukup bimbang. Fauzi menelefonnya memberitahu tentang kedatangan emak mereka petang nanti. Pasti, Faris pasti segalanya berpusatkan kepada dirinya dan juga perkahwinan yang akan dilangsungkan nanti. Dan bila itu berlaku, tentu segalanya akan kembali mengungkit kenangan silam yang tak pernah lekang dari ingatannya. Yang senantiasa mengiringi setiap degup nadinya yang berdetak.

Faris memperlahankan motorsikal berkuasa tingginya lalu memasukki tempat parkir The Orion. Shift malamnya tamat awal pagi tadi dan dia hanya inginkan rehat di saat ini. Terlalu penat rasanya setelah hampir 10 jam dia bersama surgery teamnya berhempas pulas demi untuk menyelamatkan pesakit jantung yang perlu mereka bantu.  Namun panggilan telefon dari Fauzi di awal pagi tadi yang memberitahunya tentang kedatangan mereka berdua membuatkan dia yakin, pastinya dia tidak akan mampu untuk melelapkan mata nanti. Kedatangan mereka petang ini pasti akan mengganggu ketenangannya. Dan dia bagai sudah tahu apa yang akan emak bicarakan. Seperti yang disebut oleh Fauzi dalam perbualan mereka di telefon sebentar tadi. Semua salah faham ini perlu dia jelaskan.  Tapi emak bukanlah seorang yang mudah untuk diyakinkan.

“Itulah... hari tu aku dah cakap, berhubungla dengan dia...kau buat tak kisah...,”

“Aku dah cuba... aku dah buat akaun fb... yang aku rasa langsung tak perlu bagi aku.... aku dah cuba cari id dia yang kau bagi pada aku dulu... aku dah request friendship pada id dia tu... tapi sampai sekarang dia belum terima aku... dah dekat dua minggu tu... habis aku nak buat macam mana... ,” bentak Faris  dalam keadaan marah. Keletihan akibat dari berjaga sepanjang malam untuk menyelesaikan tugasnya buat dia bagaikan hilang pertimbangan.

Alangkah baiknya jika Fauzi berada di hadapannya saat ini. Sudah tentu Fauzi dapat melihat kesungguhan yang dia lakukan demi untuk menghubungi gadis itu. Tidak pernah dia rasakan sebodoh ini sehingga sanggup melakukan sesuatu yang dia rasakan membuang masanya sahaja. Dia bukan seorang yang punya banyak masa untuk bersosial melalui laman web. 

 “Habis tu lepas kau request friend dengan dia, bila kali terakhir kau cek dia online ke tak?”

“Hei... aku bukannya ada masa nak layan fb sepanjang masa..,” kata Faris lagi. Geram dengan tuduhan yang diberikan.

“Ya Allah... kau ni buta IT betullah.... kan aku dah kata... dia  tak ada telefon, jadi itulah saja cara untuk kau hubungi dia... kau tak cuba email pulak ke...,”

Faris diam memendam perasaan geram. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menengking adiknya itu.   

“Kalau dia ada telefon kan senang... bagi je nombor telefon dia... bila-bila masa aku free bolehlah aku call dia...,”

“Kalau nak... seribu daya... kalau banyak alasan itu maknanya tak nak... bila ditanya nak ke tak, kau tak jawab, tapi sikap kau ni macam tak nak...,”
Faris mengetap lagi bibirnya. Suka hati dialah samada dia nak atau tidak, rungutnya dalam hati.

“Dahlah... aku malas nak bersoal jawab dengan engkau... kau jawab ajelah soalan-soalan mak petang nanti...,” kata Fauzi.

Dan bila dia mematikan talian, hatinya jadi tambah geram dengan tuduhan Fauzi. Kenapa hanya dia yang dipersalahkan bila dia tidak menghubungi Fazila. Kenapa Fazila tidak dipersalahkan sedangkan gadis itu yang tidak menerima friend request yang dia hulurkan? Dan mengapa terlalu sukar gadis itu untuk dihubungi? Tak mungkin dia tidak mampu untuk membeli sebuah telefon tangan.  Berapalah sangat harga sebuah telefon tangan yang paling murah? Hanya untuk berhubung dan menerima sms, dia tidak perlukan telefon yang mahal dan canggih. Tak mungkin dia tidak punya wang untuk membeli sebuah untuk kegunaannya sendiri. Bukankah itu satu keperluan yang amat penting dalam dunia sekarang? Dia masih lagi merasa tidak percaya bahawa masih ada lagi orang yang tidak memiliki sebuah telefon bimbit.


****


Kedatangan Puan Hasmah disambut mesra oleh Faris. Di awal pertemuan seperti biasa emaknya membebel kerana sudah lama dia tidak pulang walaupun jarak rumah mereka tidaklah begitu jauh. Namun setelah dia memeluk mesra orang tua itu dan memberikan alasan yang biasa diucapkannya tentang kesibukannya, bebel emak jadi berkurangan. Hanya jelingan Fauzi sahaja yang masih mengingatkan dia tentang masalah yang masih menghantui dirinya yang pasti akan disebut emak dalam sedikit masa sahaja lagi.

“Fazila apa khabar Faris ?” Sebaik sahaja mereka duduk di ruang tamu, emak terus membuka bicara. Sudah dia mengagak, tentu emak tidak akan mampu untuk buang masa bagi hal-hal remeh-temeh. Emak seperti yang dia dan semua orang kenali.... a straight to the point person.
Terdiam seketika dibuatnya bila soalan cepu emas itu di tanya. Memang emak selalu bertanyakan soalan-soalan yang di luar jangkaan. Walaupun sudah tahu persoalan itu yang akan  menjadi tajuk perbualan, masih lagi seseorang tidak dapat menduga  apa yang akan ditanya. Lantas akan buat seseorang itu terdiam seketika mencari jawapannya.

Makcik Hasmah mencabut tudung yang dipakai lalu menyangkutnya di penyandar sofa berbentuk L yang dia duduki. Fauzi pula terus membaringkan dirinya di atas bahagian L sofa tersebut dan mula menekan alat kawalan jauh  television untuk mencari siaran yang ingin dia tonton saat-saat santai begini. Akhirnya dia temui rancangan masakan yang menyajikan perbagai juadah yang menarik. Larut dia dalam rancangan yang ditontonnya. Namun masih lagi telinganya begitu peka menanti jawapan yang akan diberikan oleh Faris terhadap persoalan yang keluar dari mulut emak tadi.

“Faris ... tak dengar ke mak tanya apa ni...?” suara Makcik Hasmah sedikit keras kini. Menuntut jawapan dari bibir anak sulungnya.

“Baik... agaknya mak..,”

“Agaknya...?” berkerut kening Makcik Hasmah.

“Iyalah mak.. dia jauh kat sana. Manalah Faris tau...,”

“Faris tak berhubung dengan dia?”

Faris diam seketika. Bila kelihatan seperti Makcik Hasmah mahu memberikan komennya, dia terus menjawab dengan sepatah kata, “tak....”

“Hemmm... betullah cakap Fauzi tu...,” Makcik Hasmah berbicara sendirian. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Faris cuma diam dan terus bangun dan melangkah ke dapur untuk mengambil minuman. Dia mengeluarkan sekotak jus epal dari peti ais dan menghidangkannya di atas dulang bersama tiga biji gelas.  Kemudian dia membuka beg plastik yang di bawa oleh emaknya sebentar tadi untuk melihat apa yang dibawa untuk hidangan petang mereka.  Semerbak bau durian memenuhi nostrilnya. Wah... jemput-jemput durian... bisik hatinya. Lantas dia membawa kesemuanya ke meja kopi di hadapan sofa tempat emak dan Fauzi duduk.

“Kalau dah ada isteri nanti, jangan harapkan isteri aje yang buat semua tu..,” sindir emak membuatkan dia terkedu seketika. Lantas sebaris senyuman dari bibir anak sulungnya itu singgah di pandangan Makcik Hasmah. Senyuman yang sering membuatkan Makcik Hasmah  kalah, tak mampu terus marah-marah pada anaknya yang satu ini.

“Ni mak nak tanya ni... kenapa Faris tak berhubung dengan Ila ... dah lebih dua bulan kamu berdua bertunang... kau tak mula kenal-kenal lagi ke dengan dia?”

Faris terus menjamah jemput-jemput durian yang masih suam itu. Memang dia sukakan durian walaupun tidak suka makan banyak-banyak. Fauzi yang sebentar tadi asyik dengan rancangan masakan di television sudah mula menumpukan perhatian kepada makanan yang terhidang di hadapannya pula. Masing-masing asyik sekali dengan jemput-jemput durian buatan emak mereka itu.

“Faris ...,”

“Iya mak...,” lambat-lambat dia menjawab panggilan emaknya.

“Dengar ke tak apa mak tanya tadi...? Anak-anak ni memangla suka buat mak susah hati... tak boleh ke kalau jangan buat mak macam ni...,” rungut Makcik Hasmah sambil wajahnya mula keruh dan kelihatan ada air yang mula merembes di genang matanya.

“Faris dengar mak... janganla macam ni.. Faris dah lama tak jumpa mak. Tak kan jumpa sesekali mak nak sedih-sedih...?” katanya sambil bangun lantas duduk di sebelah Makcik Hasmah. Dia meraih tangan emaknya lalu menggenggam erat jemari yang sering membelainya dalam detik-detik sedih dan gembira yang pernah dia lalui.

“Habis yang Faris buat mak susah hati tu kenapa...,”
Faris diam.

“Mak dapat tau Ila mengadu yang kau tak pernah hubungi dia... kau ni sebenarnya nak ke tidak kahwin dengan dia?”

Faris mengeluh. Berat sekali pertanyaan emak itu untuk dia jawab secara jujur. Namun dia tahu dia pastinya tidak akan mampu untuk membiarkan pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan.

“Mak bukannya apa Faris... mak tak mau lagi Faris asyik dok mengenang kisah lama. Faris kena tutup buku lama, buka buku baru... ,”

Faris diam lagi.

“Kalau engkau tak mula berkenalan dengan dia, sampai bila nak kenal...? Sampai bila nak suka...?”

“Tapi mak, macam mana nak kenal kalau kami jauh. Dah la tu.... dia tak guna telefon pulak tu.. ,”

“Faris kena faham. Dia tu tengah belajar lagi. Mana dia ada duit nak beli. Emak ayah dia bukannya orang senang nak belikan benda-benda macam tu...,”

“Bukannya mahal mak... dia pun mesti dapat biasiswa ke... pinjaman ke... beli yang biasa-biasa sudahlah... ,”

“Senang aje engkau bercakap ye Faris ... mentang-mentang duit kau tu banyak...,”

Fauzi mula tergelak. Untuk kesekian kalinya dia dapat melihat kebodohan abangnya itu. Wajah Faris yang juga terkejut dengan kata-kata emak mereka itu juga buat dia mahu ketawa sekuat-kuat hatinya.

“Kau memangla rasa seratus dua tu tak banyak. Tapi bagi orang yang tengah belajar macam Ila tu, sepuluh sen pun berharga. Mak ayah dia bukan orang senang. Ayah dia pun bukannya gaji besar. Mak dia pula kena ambil upah jaga anak orang semata-mata nak tambah keperluan keluarga. Adik-adik dia ramai. Semua tengah belajar. Dia anak yang sulung. Jangan dibandingkan dia dengan engkau. Engkau belajar dapat biasiswa penuh. Mak ni berkerja... dan  walaupun gaji mak tak besar, cukuplah buat tanggung kamu tiga beradik...,”

Entah mengapa terasa begitu terkesan dengan apa yang emaknya katakan itu. Bagaikan tersedar dari lena yang panjang, dia merasakan selama ini dia begitu asyik dengan kemewahan yang dia nikmati dari hasil penat lelah dia belajar hingga mampu hidup mewah. Dulu dia juga pernah susah, namun sejak dia berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh, kesusahan yang dialaminya  juga makin berkurangan.  Dan bila Fauzi dan Farisya juga berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh, keadaan keluarga merka menjadi semakin baik. Keadaan terus berpihak kepada mereka bila mereka bertiga  mendapat biasiswa semasa melanjutkan pengajian ke universiti di luar negara. Dan bila dia tamat pengajian  dan kini bertugas sebagai seorang doktor, semua kesusahan yang pernah mereka alami seakan-akan menjadi sejarah dalam hidup.  Sungguh dia bagaikan sudah lupa. Terlalu larut dalam dunianya yang dikelilingi dengan segala bentuk kemewahan. Seketika datang sedar di hatinya. Sedar tentang kesusahan yang Fazila dan juga orang lain alami.

“Alah... kalau engkau rasa murah, belilah satu bagi kat dia ... kan mak?” kata Fauzi tiba-tiba. 

Sememangnya inilah yang telah dia bincangkan bersama emak semasa mereka di dalam perjalanan ke sini tadi.

“Kalau Faris  betul-betul sayangkan mak, buat betul-betul.. pergi beli telefon untuk Ila tu. Lepas tu ambil cuti, pergi jumpa dia kat sana. Bagi sendiri kat tangan dia. Kalau nak mak temankan, bagitau awal-awal,”

Terlopong Faris mendengarkan perancangan emaknya itu. 

Popular Posts