Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 6
Satu-persatu Syamsul  menyusun tin susu pekat manis di atas rak berdekatan dengan tempat membancuh air. Dia perlu bantu serba sedikit mana-mana kerja yang masih belum siap. Sebentar sahaja lagi restoran akan mula dibuka. Bila sudah dibuka nanti, pastinya dia tidak boleh lagi duduk berehat. Pelanggan restoran yang sering ramai membuatkan dia tidak menang tangan dibuatnya. Walaupun penat dia bangga kerana ramai pelanggan yang gemar dengan hasil tangannya.
Makanan panas yang dimasaknya menyebabkan pelanggan tidak putus-putus mengunjungi restoren milik Kak Ros. Tidak sia-sia dia belajar cara-cara untuk memasak makanan panas beberapa tahun lalu dari tukang masak restoren ini yang terdahulu. Sekarang ini dia sudah mampu mendabik dada kerana ramai pelanggan yang menggemari masakannya. Walaupun dia tidak pernah berlagak sombong begitu, namun rasa bangga itu tetap ada dalam diri. Menyebabkan dia yakin yang dia pasti boleh memulakan perniagaan sendiri. Yang  pentingnya sekarang ialah bagaimana dia mencari modal untuk memulakan sebuah perniagaan.
Malah Kak Ros juga sudah pun menawarkan saham di kedai makan ini untuk memastikan dia tidak akan berhenti kerja dan meninggalkan restoren ini untuk bekerja di tempat lain. Namun, dia masih lagi belum menerima tawaran itu. Terlalu banyak yang perlu difikirkannya sebelum menerima tawaran tersebut.
“Bang... malam ni, Abang Daud datang kerja tak?” tanya Imah yang sejak dari tadi sedang membersihkan sayur-sayuran yang akan digunakan nanti.
Sebentar tadi dia telah membersihkan telur ayam dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya. Semua bahan masakan perlu dibersihkan dan disusun di tempat yang bersesuaian supaya mudah nanti bila kerja-kerja memasak akan dimulakan nanti.
“Entahlah Imah, abang tak tanya pulak tadi. Semalam dia kata nak datang. Kalau tak datang, macam mana anak-anak dia nak makan esok kalau dia tak kerja hari ni,” katanya kepada gadis yang sering mencari peluang untuk membual mesra dengannya.
 Bekerja di restoren memang memenatkan. Terutama yang memulakan perniagaan pada pukul lima petang dan tamat pada jam dua pagi. Namun habuannya cukup berbaloi. Bikannya sedikit untung yang diperolehi Kak Ros. Kalau tidak, mana mungkin dia mampu membuka satu lagi cawangan di Seksyen 2 Shah Alam. Di sana, dia mengupah tukang masak yang pernah bekerja di restoren ini dulu.
Syamsul  pula diminta untuk menjadi tukang masak di restoren ini setelah setahun mempelajari teknik memasak masakan panas dari tukang masak terdahulu. Dia bernasib baik kerana sanggup belajar untuk memperbaiki diri. Dulu, dia sama seperti Abang Daud. Sama-sama mula bekerja di restoren ini sebagai pembantu restoren. Semua kerja dilakukannya. Dari kerja mengambil pesanan, hinggalah membasuh pinggan dan memcuci kawasan restoren.
Akibat dari keadaannya yang tidak sempurna, dia tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja yang lebih berat. Kerja-kerja sebegitu sering diserahkan kepada Abang Daud untuk melakukannya.  Yang membezakan dia dari Abang Daud ialah sikapnya sering cuba untuk membaiki diri. Dia sering memerhatikan cara-cara yang digunakan oleh tukang masak yang bekerja di sini. Sering peluang-peluang untuk belajar memasak juadah-juadah yang di jual akan diambil bilamana salah seorang dari tukang masak restoren tidak dapat datang bekerja.
Lalu akhirnya dia mampu untuk memasak makan yang ringkas. Dari situ, dia terus belajar dan belajar. Dan kini akhirnya dia dipercayai oleh Kak Ros untuk mengendalikan kerja-kerja memasak sepenuhnya di restoren ini. Peningkatan diri yang sungguh menyenangkannya. Kalau dulu dia hanya dibayar sebanyak RM500 sebagai pembantu restoren, kini gajinya sudah dinaikkan sehingga ke angka RM4000. Malah, kini Kak Ros menawarkan 10% saham di restorennya itu untuk mempastikan dia tidak akan meninggalkan kerjanya untuk bekerja di  tempat lain. Satu usaha untuk mengekalkan dia supaya terus bekerja di restoren ini.
“Dia selalu tak datang kerja sekarang ni kan?”
“Apa nak buat Imah, penyakit lelah dia tu nampaknya menjadi-jadi sekarang ni. Kalau dah sakit, macamana nak kerja kan? Kesian juga abang tengok.”
“Abang Syam pun kenalah jaga diri tu. Jangan kuat sangat kerja. Nanti sakit macam Abang Daud, susahlah pulak kan?” tegur Imah dengan jujur.
Gadis itu sering mengambil berat tentang dirinya. Dia tahu Imah menyimpan hati kepadanya. Sering jika ada waktu yang terluang dia akan bertanyakan itu dan ini tentang dirinya. Namun dia tidak mampu untuk melayan perasaan gadis itu. Terlalu banyak yang perlu dilakukannya untuk memajukan diri. Dia tidak boleh melayan perasaan itu kerana ada agenda lain yang lebih utama untuk diselesaikan dalam hidupnya. Tambahan lagi gadis berusia sembilanbelas tahun itu terlalu muda untuknya.
Ingatannya kembali kepada apa yang berlaku beberapa minggu yang lalu. Terus wajah wanita muda yang disebut namanya sebagai Mai itu menarik perhatiannya kembali. Sejak hari itu, wajah itu bagaikan melekat di hatinya. Sukar sekali untuk dilupakan. Dia mengira-gira sendiri usia wanita itu, masih muda, mungkin dalam lingkungan akhir dua puluhan. Satu usia di mana kecantikan seorang wanita sedang mula ranum. Antara akhir dua puluhan hinggalah ke angka awal tiga puluhan. Kalau diumpamakan dengan bunga  dalam usia sebegitu, kecantikan seseorang wanita diibaratkan bagaikan bunga yang sedang mekar berkembang. Harum dan mewangi.
Ingatannya beralih pula kepada bekas suaminya. Seorang lelaki yang menghampiri kesempurnaan dan yang punya segalanya. Ketampanan yang terserlah, kerja yang bagus  dan rumahtangga yang dulunya bahagia. Namun dengan sekali lafaz, segala kebahagiaan itu hilang bagaikan pakaian yang tiba-tiba terlucut dari tubuhnya. Hilang segala-galanya hanya dalam sekelip mata.
Ketika Zamzuri menemuinya untuk menceritakan kisah dua insan ini hatinya jadi sedikit marah pada lelaki itu. Sewenang-wenangnya  dia menggunakan kuasanya sebagi seorang lelaki. Tanpa sedikitpun memikirkan tentang hak seorang isteri, dia menceraikan isterinya. Bila dalam keadaan marah, selalunya akal fikiran tidak lagi memainkan peranan. Sering di waktu itu syaitan yang berbisik di telinga  menjadi rujukan dalam melakukan sesuatu tindakan. Sekarang, bila sudah terlanjur, bukannya mudah untuk membaiki kesilapan tersebut. Dan kini dia perlu membayar harga yang cukup mahal untuk kembali kepada keadaan seperti dulu. Cukup mahal.
“Abang, malam ni agaknya kita tak boleh buat tomyam sampai habis waktu menjual ni,” kata-kata Imah mengembalikan dia dari lamunan.
“Eh, kenapa pulak Imah?”
“Air lada yang kita biasa guna tu cuma tinggal dua botol aje. Selalunya satu malam kita perlu tiga botol. Malam minggu pulak sampai lima botol,”
“Ish... kan abang dah beritahu Kak Ros, minta dia belikan dua hari lepas? Macamana pulak sampai dah nak habis, tak beli-beli lagi ni?”
“Entahlah bang... Kak Ros lupa agaknya,”
“Hem... nanti abang beritahu dia semula,” katanya sambil berkira-kira dalam hati.
Dia sememang perlu berbicara dengan Kak Ros. Terlalu banyak yang perlu diperkatakan pada Kak Ros tentang keadaannya. Kak Ros perlu tahu apa yang akan berlaku. Sebelum ini dia terfikir untuk menyembunyikan semuanya. Namun, dirasakan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan. Selama ini Kak Ros terlalu baik kepadanya.
Di awal perkenalan lagi Kak Ros sudah membantu dia dengan memberikan pekerjaan ini. Walaupun terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya, Kak Ros sering memberi galakan dan peluang untuk dia memajukan dirinya. Maka, malam ini bila Kak Ros datang seperti yang biasa dilakukannya dia akan menceritakan segalanya kepada Kak Ros. Kak Ros perlu tahu tentang perkahwinannya yang bakal dilangsungkan ini walaupun bukan kesemua rahsia disebaliknya.
Malam itu, seperti biasa Kak Ros dan suaminya Abang Din tiba selepas selesai sembahyang Isyak. Syamsul  pula baru sahaja pulang dari masjid. Cepat-cepat dia memberitahu hasratnya untuk berbicara dengan wanita berumur dalam lingkungan usia awal limapuluhan itu. Dia tidak mahu nanti Kak Ros mengatakan bahawa dia membelakangkan wanita itu dalam hal yang berkaitan dengan dirinya.
“Kenapa ni... Syam,”
“Ada hal sikit nak cakap dengan Kak Ros ni,”
“Hal apa ni Syam? Cakaplah...,”
Matanya  menjeling kepada pelanggan-pelanggan yang sedang menunggu giliran pesanan mereka sampai.  Dan kertas pesanan yang tergantung di depan mata juga tersusun sedang menunggu giliran untuk disiapkan. Ada lima lagi pesanan yang perlu dia siapkan.
“Emm... pelanggan masih ramai ni kak. Nanti dah kurang saya beritahu ye?”
“Ok, lepas ni ye. Jangan lupa ingatkan akak pulak nanti. Akak ni... kalau tak diingatkan mudah lupa. Maklumlah... dah tua...,”
Syamsul hanya menyambut kata-kata itu dengan senyuman. Dia sememangnya begitu. Susah sekali untuk meluahkan kata-kata. Setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya bagaikan keramat darinya. Hanya perkara yang penting sahaja yang selalunya menjadi buah bicaranya. Selalunya dia cuma menjadi pendengar sahaja. Namun malam ini, Kak Ros merasakan ada sesuatu yang amat penting yang akan diperkatakannya.
Kira-kira jam sebelas malam barulah pelanggan mula berkurangan. Waktu itu, Syamsul  merasakan amat sesuai untuk dia menyampaikan berita pernikahannya kepada Kak Ros. Perlahan dia menghampiri Kak Ros yang sedang duduk di kaunter pembayaran. Abang Din, suami Kak Ros sudah hilang entah ke mana. Mungkin sedang merehatkan diri di ruang rehat yang terdapat di sebelah dalam restoren tersebut.
“Ada apa hal ni Syam... macam penting sangat nampaknya,”
“Emmm... saya...,”
“Saya apa ni Syam? Suspenlah akak... jangan cakap Syam nak berhenti pulak. Akak tak bagi....,” meleret kata-kata Kak Ros seakan-akan member amaran.
“Tak kak... saya... sebenarnya nak... kahwin,”
Terkejut Kak Ros mendengarkan kata-kata Syamsul  itu. Bersulam pula dengan perasaan lega. Bulat matanya merenung anak muda di hadapannya itu. Seketika kemudian dia tergelak kegembiraan.
“Masyaallah Syam.... akak ingatkan apa tadi... Lega rasanya...,”
Syamsul  tersenyum hambar.
“Eiii... berita gembira ni. Bila? Siapa pengantin perempuannya?” soalnya dengan wajah yang cukup teruja.
“Kak, janganlah kuat sangat. Segan saya kalau ada yang dengar,”
“Lah... apa nak segannya. Benda baik, kenalah diumumkan. Bila? Syam nak ambik cuti ke? Kena beritau awal-awal ni. Boleh akak cari pengganti Syam masa bercuti nanti,”
“Emmm... tak payah kak. Saya kahwin dengan orang kat sini aje. Ingat nak nikah kat pejabat agama aje. Jadi malamnya tak payah cuti,”
“Ish... apa pulak macam tu... Tak kan tak ada majlis. Tak kan tak cuti. Tak kan nak habiskan malam pertama Syam dengan memasak kat sini. Isteri Syam mesti kecil hati. Syam kahwin dengan siapa ni. Mak bapak dia tak marah ke kahwin koboi macam tu?”
“Mak dengan ayah dia dah meninggal Kak Ros,”
“Ia lah... kalau dah meninggal pun, takkanlah kahwin koboi aje. Perempuan tu tak kan tak nak buat majlis. Sekurang-kurangnya buat kenduri doa selamat ke... Kamu ni Syam... jangan buat acuh tak acuh je dengan orang perempuan ni... kecik hati dia nanti kang,”
“Em... dia kata dia tak kesah. Yang pentingnya nikah je kak,”
“Kamu ni Syam... jangan buat main-main soal nikah kahwin ni. Benda besar ni tau. Sekurang-kurangnya buat kenduri sikit supaya orang tahu yang Syam dengan dia dah menikah. Tidaklah nanti jadi bahan umpatan pulak bila tengok Syam dengan dia berkepit ke hulu ke hilir. Kita ni hidup bermasyarakat. Bukannya hidup seorang-seorang...,” kata Kak Ros dengan nada yang agak marah.
Syamsul  terdiam. Terasa agak jengkil pula hatinya. Dia sememangnya telah menetapkan syarat untuk tidak mengadakan kenduri bagi perkahwinan ini. Lagipun bukannya mereka kahwin betul-betul. Untuk apa dia membazirkan wang yang dikumpulnya sejak lama dulu hanya untuk kenduri yang tidak mereka perlukan. Lagipun selepas ini mereka akan bercerai. Bukankah itu pinta bekas suaminya? Jadi untuk apa dia menghabiskan duitnya untuk kenduri kendara bagi hubungan yang tidak akan berkekalan begini.
“Hsh...cerita pasal kenduri ni... siapa pengantin perempuannya. Jangan kau cakap Imah pulak nanti. Budak tu muda sangat lagi. Boleh ke dia jaga anak-anak kau tu nanti...,”
“Tak kak, bukan Imah..., antara saya dengan Imah, tak ada apa-apalah kak...,”
“Habis tu... siapa?”
“Dia tinggal kat Seksyen 9. Akak tak kenal dia kot...,”
“Hem... nanti akak kenallah ye.... kerja apa?”
“Em...cikgu,”
“Amboi... diam-diam ye kau ni Syam... dapat cikgu...,” kata Kak Ros dengan nada yang cukup teruja.
“Bila nak langsungkan ni?”
“Em... dua minggu lagi,”
“Hei... bukan masa cuti sekolah ke? Sempatke ni Syam...,”
“Sempat apa kak?”
“Sempat ke nak buat persediaan... Ish... kamu ni, buat-buat tak tahu pulak,” Kak Ros diam seketika. Raut wajahnya menunjukkan betapa gembiranya dia bila mendengarkan berita ini. Kemudian dia meletakkan tangannya di tepi bibir dan berbisik, “Anak dara ke .... janda?”
“Em... janda kak,”
“Hem ... baguslah... dah lama akak nak tengok kau kahwin. Kesian akak tengok tak ada yang jaga makan pakai kau tu,”
Syamsul  terdiam. Ah... bukan itu tujuan dia berkahwin dengan wanita muda itu. Ada agenda lain yang lebih penting sekarang ini. Semuanya gara-gara sikap bodoh dan terburu-buru bekas suaminya. Dan sekarang, si isteri yang terpaksa menanggung seksanya.
“Mak kat kampung dah tahu?”
“Dah kak, saya dah beritahu minggu lepas,”
“Apa kata anak kamu, suka ke mereka nak dapat mak baru?”
“Saya tak pasti kak, mak kata Wawa macam tak suka, tapi Nabil seronok. Lepas mak beritahu dia, asyik tanya mak bila umi baru dia nak datang,”
“Tentu seronok dia orang nak dapat mak baru. Pasal Wawa tu, tak usah risau Syam, budak perempuan biasalah macam tu. Bila dilayan elok esok, dialah yang paling sayang kat mak tirinya itu nanti. Kau tengoklah...,”
Syamsul  terdiam. Dia tahu, mungkin itu tidak akan berlaku. Perkahwinannya dan perempuan itu tidak akan kekal lama. Untuk apa dia memberi harapan untuk anak-anaknya? Pasti anak- anaknya akan kecewa nanti bila kasih sudah mula terbina dan mereka akan berpisah kelak. Tidak, dia tidak akan membiarkan anak-anaknya jatuh kasih kepada perempuan itu.
Mujurlah anak-anaknya sekarang berada bersama emaknya di kampung. Dia hanya perlu membawa perempuan itu pulang sebentar ke kampung untuk diperkenalkan selepas mereka bernikah nanti. Sekurang-kurangnya perkara itu perlu dia lakukan. Untuk menyembunyikan perkara sebegini dirasakan tidak sanggup. Pasti emaknya akan berkecil hati jika dia berbuat begitu.
Dia tidak boleh mengenepikan perasaan emaknya yang sejak tiga tahun ini telah menjaga dan mendidik anak-anaknya. Mengambil alih sepenuhnya tugas yang terpaksa ditinggalkan demi untuk mendapatkan rezeki untuk menyara mereka. Tugas yang ditinggalkan oleh Suhaila semenjak isterinya yang amat dicintainya itu meninggal dunia empat tahun yang lalu.
“Habis, nanti nak cuti kan? Berapa hari?
“Emmm.. saya cuma pergi nikah kat pejabat agama paginya. Lepas tu, malamnya kerja. Tak perlukan cuti,”
“Dia tak buat kenduri ke pihak dia? Tak kan lah nikah aje,”
“Tak kak, katanya dia tak boleh minta cuti panjang. Cuma ambil cuti dua hari aje,”
“Hei... kamu orang muda ni... buat main-main aje benda macam ni. Tak elok macam tu Syam. Sekurang-kurangnya buat sikit kenduri. Macam ni... nanti Kak Ros tanya Abang Din kalau dia setuju. Lepas nikah, kita buat kenduri doa selamat sikit. Kat sinipun boleh. Ajaklah kawan-kawan Syam, kawan-kawan dia. Akak pun boleh ajak jiran-jiran kat kawasan ini,”
“Ish... tak usahlah kak, menyusahkan akak aje. Lagipun... saya tak ada duit nak buat kenduri,”
“Tak apa, kenduri tu biar akak yang sponser. Akak pun dah lama tak buat kenduri doa selamat. Kita buat sikit-sikit ajelah. Ajak jemaah masjid kat sini,”
“Tak payahlah kak...,”
“Engkau jangan cakap banyak. Akak  kan dah kata akak nak sponser. Jangan risau pasal belanja tu. Lepas tu kau ambil cuti tiga hari. Jangan fikir sangat pasal restoren ni. Kalau terpaksa, tutup aje kedai ni dua tiga hari. Akak pun dah lama tak balik kampung. Nak juga jenguk-jenguk orang tua kat kampung tu. Kau pula, kenalah bagi hak dia sebagai seorang isteri. Bawa dia ke mana-mana, honeymoon....,”
Syamsul  terdiam.  Dia tidak menyangka Kak Ros akan memberikan cadangan begini. Dia malu, jika nanti tiba masanya dia perlu melepaskan wanita itu, pasti Kak Ros akan marah. Dan, melihatkan kesungguhan Kak Ros, tidak sanggup rasanya untuk dia memberitahu bahawa dia cuma menjadi cina buta.



8 comments:

Anonymous said...

mai mesti kekal ngan syamsul kan...... tp mcm x ngam lak meke berdua......

Minsofea said...

...mesti mai jatuh sayang kat anak2 syamsul nanti........moga2 kekal, bagi pengajaran sikit kat x-hubby tu....

IVORYGINGER said...

stuju je ngan kenyataan di ats.
biar mai ngan shamsul jew. br ada akai ckit ex-husband mai. mudahnya lafazkan talak. xfikir kesan lps tu. singkatnya fikiran. huh...
hope anak2 shamsul jd pengikat kasih mai n shamsul. ;D

niah said...

org kahwin dgn niat nak ceraikan, sah ke nikahnya kak laila? ..... bagi syamsul jatuh cinta pada mai dululah kak ...... baru nikah sungguh2.... tak de niat nak ceraikan melainkan mai yang minta.... tapi biar mai cintakan dia juga akhirnya..... pandai2 saya ni kan ... mengalahkan penulis..... hehehe... suka2 cite ni...cepat sambung kak.....

Laila Hanni said...

Niah,

Cerita baru nak mula ni. tunggulah sambungannya ye.... lepas tu komen lagi tau. banyak rahsia yang belum niah tahu lagi ni.

niah said...

kak laila, I follow.....tak sabo ni..... sambung jgn tak sambung

Laila Hanni said...

salam semua,

e-novel SCB ni kena ditangguh dulu penghantarannya. maaf ye kerana akak kena tumpukan untuk menamatkan e novel SYKT. Lepas tamat SYKT akak akan sambung semula. nantikan ye....

aRie_inFiniTy said...

akak, kasi mai ngan syam jer la.. x yah blk ker x-hubby dia tue.. Lelaki klu dah pernah naik tangan + sepak terajang nie bkn mudah nak brubah.. esk2 di buat nyer lagi.. baik mai hidup bahagia ngan syam.. hehehehe..

Post a Comment

Popular Posts