Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Prolog

Setahun yang lalu....

Aku gagal lagi. Untuk kali ke berapa sudah tidak terhitung lagi buatku. Sejak dua tahun ini sudah beribu kali kekecewaan ini datang melanda. Sangkaku kali ini usahaku dan Abang Ifan akan berhasil. Sudah dua minggu lamanya aku menunggu saat kehadiran yang mendebarkan. Dan bila selepas sepuluh hari apa yang ku tunggu tak hadir, hatiku melonjak riang. Lagi empat hari, aku sudah mampu mengesahkannya. Itu kata kawan-kawan yang berpengalaman. Kawan-kawan yang menyokong dengan memberi simpati, kata nasihat dan pelbagai petua.

Namun malangnya semalam iaitu hari yang keduabelas, saat yang ingin ku hindari itu tiba. Aku gagal lagi rupanya. Bagaimana agaknya untuk aku sampaikan berita kegagalan kali ini kepada Abang Ifan? Sudah acap kali sejak akhir-akhir ini kecewa di wajahnya tidak lagi mampu dibendungnya setiap kali berita kegagalan ini singgah di telinganya. Jelas sekali dia kecewa. Kalau dulu, dia pasti akan mengucapkan kata-kata perangsang, untuk memujuk resahku. Tapi kini tiada lagi kata-kata itu. Hanya raut wajah kecewa yang menantiku bila berita itu ku sampaikan kepadanya.

“Macamana Mai, jadi?”

Pertanyaan Abang Ifan malam tadi buat aku rasa serba salah. Sudah hampir dua minggu dia ternanti-nanti keputusan dariku. Sudah lebih seminggu kami berharap seperti bulan-bulan yang lalu.

“Tak bang...,” jawab ku kecewa. Nampak jelas di wajah Abang Ifan perasaan kecewanya yang dikongsi bersama.

“Bila datangnya?”

“Pagi tadi, kat sekolah,”

“Mai buat apa..., Mai naik tangga ye?”

“Tak... Mai tak naik tangga pun. Sejak dua minggu ni Mai selalu mintak excuse untuk buat kelas kat makmal komputer di tingkat bawah. Semua cikgu lain dah tahu dan sanggup beri kerjasama....”

“Atau .... semalam Mai makan apa-apa... buah nenas ke, air tebu ke...?”

“Tak... abangkan tau yang Mai dah lama elakkan dari makan benda-benda macam tu... Mak kan dah pesan yang benda tu tajam, tak elok untuk Mai,”

Bila aku tengok Abang Ifan diam, aku jadi serba salah. Aku faham, Abang Ifan kecewa. Tapi, tahu tak Abang Ifan, yang aku lagi kecewa. Aku tak mampu nak penuhi satu-satunya impian yang diinginkan oleh setiap pasangan yang berumahtangga. Setiap kali aku mendengar pasangan yang baru kahwin sudah berjaya mengandung, hatiku jadi cukup hiba. Tertanya-tanya sendiri bilakah pula tibanya giliranku. Setiap kali tarikh haidku lewat, hatiku berdebar-debar. Harapan menggunung tinggi terbina dalam hati. Dan akhirnya bila harapan itu hancur berderai, apabila saat yang ingin ku hindari itu hadir seperti ini, aku jadi hampa lagi. Kecewa lagi. Kalaulah boleh aku laungkan perasaan kecewa ini, sudah pasti aku luahkan semuanya. Biar semua tahu kepedihan yang dirasai saat ini.

Abang, maafkan Mai. Dah pelbagai cara yang Mai lakukan. Dah pelbagai petua yang Mai ikut. Tapi, Mai tetap gagal. Doktor kata kita berdua tak ada masaalah. Abang dan Mai normal, seperti pasangan lain. Cuma, rezeki masih belum berpihak pada kita. Apa lagi yang patut Mai buat bang? Setiap kali ada yang beritahu tentang petua mendapatkan zuriat, Mai ikut. Ada yang nasihatkan supaya jaga permakanan, Mai ikut. Ada yang cadangkan Mai pergi minta air tawar dengan ustaz itu dan ustaz ini..., Mai turut. Dan ada ketikanya Mai turut sama mengheret abang bersama bila ada syarat yang mengatakan kita perlu sama-sama pergi berjumpa ustaz tersebut.
Dah berpuluh kali Mai juga pergi berurut dengan bidan kampung yang dikatakan boleh tolong kita. Macam-macam mereka kata. Rahim Mai ni tinggi sangatlah, kedudukannya tak betullah, sengetlah. Masing-masing cuba tolong kita, tunjukkan kehandalan untuk bantu kita. Tapi, tetap juga gagal. Pergi jumpa doktor, lain pulak ceritanya. Habis satu persatu soalan-soalan doktor yang terlalu peribadi terpaksa kita jawab. Cerita luar, cerita dalam, sampaikan cerita atas ranjang pun kita terpaksa ceritakan pada doktor. Kadang-kadang rasa cukup malu nak menghadapi doktor tu. Apa lagi yang Mai boleh buat bang?

Nak buat rawatan secara 'artificial insemination' iaitu satu kaedah di mana benih Abang Ifan yang telah bersihkan atau diproses disuntik ke dalam rahim aku waktu sedang subur doktor kata tak sesuai. Proses yang juga dikenali dengan nama ‘I.U.I.’ ataupun intra uterine insemination, kata doktor kurang sesuai untuk kami. Abang Ifan tak mempunyai ciri-ciri yang membuatkan kami perlu menjalani rawatan ini. Kata doktor, selalunya rawatan ini hanya untuk mereka yang mengalami empat masalah iaitu; benih sisuami kurang, lemah atau bermasalah; mandul tanpa sebab-sebab yang diketahui; Isteri mengidap penyakit endometriosis tetapi saluran fallopian tidak tersumbat dan sisuami lemah tenaga batin. Tapi, masalah itu semua tak ada pada kami. Jadi, setakat ini doktor hanya nasihatkan kami supaya cuba cara biasa dulu.

Doktor kata kami hanya perlu mendapatkan nasihat tentang teknik mengesan waktu subur untuk meningkatkan kemungkinan aku hamil. Macam-macam nasihat yang dia bagi, termasuk nasihat seperti pemakanan, nasihat untuk mengurangkan tahap stress, memakan ubat-ubatan umum seperti multi vitamin dan kaedah mencatitkan suhu badan bagi mengesan waktu subur iaitu waktu yang paling sesuai untuk kami mengadakan hubungan kelamin. Kami siap beli alat pengukur suhu badan (Fertility/Ovulation thermometer) dari farmasi lagi untuk tujuan itu. Siap menghadap pharmacist yang bertugas di farmasi itu lagi untuk dapatkan penjelasan tentang penggunaannya. Malah aku pun dah menghadap doktor untuk buat ujian ultrasound yang doktor kata boleh mengesan penyakit dalam alat peranakan.

Pernah aku mencadangkan supaya kami mengambil anak angkat. Sudah banyak aku dengar kes-kes di mana pasangan-pasangan yang tidak punya anak, akhirnya berjaya mendapat beberapa anak sendiri selepas mengambil anak angkat. Bila aku tanyakan pada doktor, katanya ini mungkin disebabkan oleh pengaruh psikologi atau emosi yang menyebabkan kemandulan berlaku. Masalah ini boleh dijauhkan dengan adanya anak angkat di samping mereka. Tapi Abang Ifan tak setuju. Egonya untuk menimang anak sendiri bagitu tinggi sekali. Katanya walaupun dengan mengambil anak angkat boleh memenuhi kekosongan dalam rumahtangga kami, namun ia tidak sama seperti anak sendiri yang mewarisi darah daging dan darjat kami sendiri. Doktor juga pernah bercerita di mana ada pasangan yang telah putus harapan setelah menjalani semua rawatan, tetapi setelah beberapa tahun tanpa sebarang rawatan, siisteri berjaya hamil. Mungkin inilah yang dikatakan suratan takdir.

Namun, takdirku pula bagaimana? Sampai bila aku pun tak pasti penantian ini akan berakhir. Aku yakin, kami sudah benar-benar bersedia sekarang. Tempoh tujuh tahun kami bersama sudah cukup lama untuk kami habiskan berdua sahaja. Kini aku inginkan hadirnya zuriat antara kami yang mampu mengeratkan lagi hubungan kami berdua. Aku inginkan bukti cinta yang kami bina selama tujuh tahun ini. Ingin sekali membuktikan pada dunia betapa aku mencintai abang Ifan melalui bukti cinta itu.

Tapi, bagaimana? Bagaimana untuk aku zahirkan bukti cintaku untuk Abang Ifan kalau Allah masih belum merestuinya? Dah puas kami berusaha, dan tanpa rasa letih aku terus-terusan memanjatkan doa kepadaNya. Orang kata, kalau Allah melambat-lambatkan doa seseorang hambanya, bermakna Dia ingin menguji kesabaran hambanya. Dan kalau Allah tidak mengabulkan doanya bermakna Dia sedang merancang yang lebih baik untuk hambanya. Aku tak pasti apa maksudnya kata-kata itu. Yang aku pasti ialah sudah puas rasanya aku bersabar. Dan yang pasti Abang Ifan juga sudah cukup puas bersabar. Menyebabkan sikapnya kini sudah berubah dari dulu.

Waktu lapangnya sudah tidak lagi mahu dikongsi bersamaku. Dia banyak menghabiskan masanya di pejabat. Banyak kerja, itu katanya. Aku pun tak pasti benar atau tidak. Ada waktunya aku nekad untuk menyiasat. Tapi bila difikirkan pula, tak mungkin dia melakukan perkara yang tidak baik di belakangkuku. Dia cintakan aku. Sungguh-sungguh dia cintakan aku. Itu ikrarnya tiap kali aku menuntut bukti cintanya pada ku. Kalau tak cinta masakan dia sanggup menongkah arus, melawan badai untuk menjadikan aku isterinya sejak dari awal pengajian kami lagi. Dia sanggup menemui emak dan ayahku untuk memiliki diri ini walaupun ketika itu kami masih lagi di peringkat awal dalam alam pengajian. Dan akhirnya selepas pelbagai onak dan duri yang dilaluinya dia dapat meyakinkan emak dan ayah untuk memperisterikan aku. Seawal di tahun dua lagi aku sudah menjadi isterinya. Waktu itu dia di tahun tiga, walaupun umurnya tiga tahun lebih tua dariku. Ini kerana dia ;ebih lewat memasukki universiti brbanding denganku.

Dan kerana cintanya itu aku jadi berani membina sebuah istana cinta bersama Abang Ifan. Penuh harapan agar istana cinta ini berkekalan sehingga ke akhir hayat. Tak mampu untuk aku fikirkan apa yang bakal berlaku andai kata istana cinta ini bertukar menjadi istana pasir. Tidak mampu dan tak sanggup untuk ku fikirkan kemungkinan itu

2 comments:

AniLufias said...

salam kak...
waahhh awal2 dah sedey nie...huhuhuhuhu
chaiyok! teruskan lagi

Unknown said...

best :)

Post a Comment

Popular Posts