Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 2

“Tiga Fan…? Tiga sekali gus…. Kau dah gila apa?”

“Memang… aku dah gila sekarang … Tak tau apa lagi aku nak buat. Menyesal betul Zam….
Menyesal”

“Dia kat mana sekarang?”

“Rumah kami”

“Engkau…?”

“Inilah… aku datang ni nak minta tolong kau tumpangkan aku sehari dua sebelum aku
dapat cari tempat tinggal baru”

“Kau ni betullah… cari nahas,”

“Bukan nahas lagi dah Zam… bala…,”

“Hah.. tau pun kau. Siapa suruh kau pandai-pandai cari nahas… er…bala…,” Zamzuri mengeluh sebentar. Terlahir seluruh rasa kesal dengan keterlanjuran temannya.

“Dia macamana?”

“Aku tak tau, lepas aku terlepas cakap tu, dia terus meraung, masuk bilik. Puas aku pujuk dia tak nak keluar dari bilik. Lepas tu, aku call handphone dia tak jawab. Aku mesej pun dia tak jawab jugak,... aku risaulah Zam... Apa patut aku buat sekarang?”

“Macam ni lah...kau pergi mandi dulu. Aku tengok dah macam mat pit tepi jalan dah rupa kau ni. Lepas solat, kita pergi sarapan. Nanti kita fikirkan apa nak buat ok?”

“Macamana ni ... aku dah tak tau apa nak fikir lagi,”

“Kan aku dah kata tadi, pergi mandi... kau tak sembahyang lagi kan?” kata Zamzuri sambil matanya menjeling ke jam di dinding yang menunjukkan ke pukul 6.30 pagi.
Selepas dia mandi dan solat Subuh tadi, Irfan tiba sambil mengetuk kuat pintu apartmennya. Terkejut besar dengan kehadiran temannya itu. Pada saat itu hatinya jadi cukup hairan mengapa Irfan datang ke rumah bujangnya pagi-pagi minggu begini.

Selesai mandi dan bersolat Irfan cuba melelapkan matanya. Sejak semalam, selepas peristiwa itu dia tidak tidur sekelumit pun. Namun mana mungkin dia mampu tidur dalam kekalutan ciptaannya ini. Semuanya berlaku selepas kembalinya dia dari tempat kerja jam 8.00 semalam, dia terus bergaduh dengan Mai. Mai seakan-akan sedang menunggunya kembali untuk memulakan pergaduhan itu. Pelbagai prasangka yang merasuk fikirannya kali ini hinggakan dia mengungkit semula kejadian hampir sebulan dulu, ketika Mai terserempak dengan dia bersama Maya di kompleks beli belah semasa mereka dalam perjalanan pulang dari mesyuarat cawangan tempohari. Memang dia menyesal kerana menuruti permintaan Maya untuk singgah di kompleks beli belah itu. Katanya ingin mencari hadiah ulang tahun perkahwinan untuk emak dan ayahnya. Malah dia sendiri turut sama menyumbang idea dalam membuat pilihan hadiah tersebut. Mungkin kemesraan mereka semasa memilih hadiah itu disalahertikan oleh Mai.

“Mai nampak abang cukup mesra dia... pilih hadiah sampaikan tak perasan ada orang nampak dia...,” suara marah Mai masih kedengaran di telinganya dalam pertengkaran sebulan yang lalu.

“Kami cuma cari hadiah untuk anniversary mummy dan daddy dia. Tak buat apa-apa pun...,” dia cuba mempertahankan perlakuan mereka.

“Hah... cari hadiah untuk bakal mak mertua ke? Bukan main mesra lagi. Siap pegang-pegang tangan lagi. Itu abang cakap tak buat apa-apa....? Sesiapa yang tengok pun mesti nampak macamana mesranya abang dengan dia. Benci Mai tengok tau....,” jerit Mai.

“Mai , jangan jerit pada abang... abang tak suka tau...,” katanya dengan nada marah memberi amaran.

“Hah... abang ingakan marah abang aje... marah Mai abang tak ambil tahu...? Perasaan Mai abang tak kesah...,” bentak Mai lagi. “Dahlah tu... abang tipu Mai. Abang cakap betul-betul, baju yang dia pakai hari tu bukan ke baju yang abang minta Mai pilihkan? Baju yang abang cakap nak bagi pada Syira. Tapi sebenarnya abang beli untuk dia kan? Sanggup abang buat Mai macam ni....” sambung Mai dengan tagisan yang cukup meruntun perasaan.

Irfan menumbuk meja sambil menahan marah. Cepat-cepat dia mengambil kunci kereta dan bergegas keluar dari rumah. Tak boleh lagi berlama-lama dengan isterinya itu. Terasa tercabar akibat dari kesilapannya sendiri. Kalau lebih lama, entah apa yang mungkin dia lakukan pada Mai. Entah mengapa tangannya cukup cepat naik ke muka Mai sejak akhir-akhir ini. Mungkin disebabkan sikap Mai yang sering menyakitkan hatinya.

Hatinya sememangnya cukup rasa bersalah. Memang dia mesra dengan Maya. Manja Maya yang merupakan anak bongsu memang sejak dulu lagi dilayannya. Malah Maya juga selalu menunjukkan sifat mesra dan manja kepadanya. Dia senang dengan sikap gadis itu. Kadang-kadang dia ingin Mai juga manja kepadanya seperti itu. Seperti yang pernah mereka lalui lama dulu. Tapi entah ke mana hilangnya sikap manja Mai sejak akhir-akhir ini. Terutamanya sejak hati isterinya itu sering risau dengan masaalah yang mereka berdua alami.

Malam itu dia tidak pulang, bermalam di rumah Zamzuri. Dan hal ini pula disalahertikan oleh Mai. Bila dia pulang keesokkan harinya Mai menyerangnya lagi. Menuduh dia bermalam di rumah Maya. Sesuatu yang sungguh-sungguh tidak pernah terlintas di hatinya. Sungguh isterinya itu cuba menduga perasaannya. Membawa kemarahan demi kemarahan di hatinya. Menbuatkan kesabarannya hilang lagi. Dan petang itu, dia tidak mampu untuk menahan sabar. Untuk kesekian kalinya tangannya sekali lagi singgah di pipi Mai. Tamparan yang singgah waktu itu sekali lagi mengundang tangisan Mai. Sejak itu hampir setiap hari mereka bertengkar. Ada sahaja yang tidak kena di mata Mai. Sering kali isterinya curiga dengan apa sahaja tingkahnya yang tidak disenanginya. Bila dia memakai minyak wangi Mai curiga. Bila sahaja telefonnya berbunyi Mai bagaikan ingin menyelidiki siapa pemanggilnya. Bila dia pulang lewat Mai menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Hinggakan rimas perasaannya, sakit jiwanya dan bosan hatinya dengan keadaan itu. Dan sepanjang waktu itu, Zamzurilah menjadi tempat dia meluahkan perasaan hatinya setiap kali mereka bertengkar.

“Fan.... apa kau nak buat sekarang?” suara Zamzuri mengejutkannya dari lamunan.

“Entahlah Zam, aku pun buntu,” katanya dengan satu keluhan yang cukup berat.

“Apa puncanya...?”

“Maya...,”

“La... kau buat hal lagi ke? Keluar dengan Maya lagi ke?”

“Tak ade lah..... Cuma semalam ... aku tertinggal hp kat office. Bila aku lambat balik, dia call Maya yang jawab, dia terus syak. Bila aku sampai aje malam tu, dia terus mengamuk,”

“Huh... kalau aku jadi dia pun aku mengamuk. Dahlah dulu kau buat hal dengan Maya. Bila dah jadi macam ni, siapa yang tak salah sangka...,”

“Kau ni berpihak dengan dia ke?”

“Tak lah... aku cuma cakap yang betul. Cuba kau fikir apa perasaan dia. Cuba kau duduk kat tempat dia. Agaknya apa yang kau rasa?”

Irfan terdiam. Dia tidak nafikan kata-kata Zamzuri sebentar tadi. Siapa yang tidak marah dengan keadaan begini. Isteri mana yang tak mengamuk jika telefon suaminya yang pulang lewat dijawab di luar waktu pejabat oleh wanita yang sejak dulu disyakki teman wanita suaminya?

“Kau tau tak Fan, cerai talak 3 dengan sekali lafaz ni menunjukkan kau ni jenis yang tak fikir panjang, panas baran dan sebagainya. Mungkin ini hikmahnya kamu berdua bercerai. Mungkin kalau kamu berdua tak bercerai talak tiga, sesuatu yg lebih buruk boleh berlaku .. hari ni kau tampar dia, mungkin esok-esok kena sepak terajang pulak Mai tu bila kau dah hilang akal. Itulah... dulu aku dah cakap, duduk bincang baik-baik dengan dia. Ini tidak, bila dia marah aje, kau keluar. Sepatutnya kau pergilah bincang dengan keluarga kau. Mintak mereka nasihatkan dia. Ini tidak, larikan diri dari masaalah. Bukannya kau cuba selesaikan. Masaalah ini sepatutnya dapat diatasi jika kau berdua sama-sama duduk berbincang ,”

“Macamana nak bincang, dia asyik marahkan aku aje. Tak sempat nak kata apa-apa. Aku ni lelaki, ada ego aku sendiri. Kalau salah cakap, cepat aje rasanya tangan ni naik ke muka. Dah berapa kali aku tampar muka dia sebab mulutnya yang kuat menjawab tu...,”

“Itu satu lagi masaalah kau. Tinggi sangat ego kau tu. Sikit-sikit naik tangan. Sikit-sikit nak tampar. Dia pun ada ego dia kan?”

Irfan meraup mukannya menahan rasa kecewa. Memang sejak dulu Zamzuri sering menasihatinya supaya menangani masalah antara dia dan Mai secara berhemah. Namun, tidak pernah diendahkannya. Sangkanya masalah mereka tidak akan sampai ke tahap ini.

“Dah lah... apa lagi nak di katakan? Gigit jari ajelah kau...,”

“Tapi, aku sayangkan dia Zam... aku tak nak berpisah dengan dia. Aku cuma terlepas kata aje,”

“Terlepas kata ke apa ke…. Kau tau kan yang kau dengan dia mana boleh rujuk balikkan? Cerai talak tiga ni mana boleh balik semula kan? Tak kan lah itu pun kau tak tahu?”

“Hei, kau ingat aku ni jahil sangat ke? Aku pun tau jugak. Ini yang buat aku buntu ni”

“Apa yang nak dibuntukan lagi, kesilapan dah terjadi. Kau terpaksa terima aje…. Lepas kan lah dia,”

“Mana boleh, aku cintakan dia, dia isteri aku. Tujuh tahun kami kahwin. Walaupun tak ada anak, kami sayang satu sama lain… Menyesal betul aku. Kalaulah dulu aku terima aje cadangan dia ambil anak angkat, mesti kami tak jadi macam ni. Mesti dia tak stress sangat sampaikan semua pergerakkan aku dia curiga. Menyesal Zam…,”

“Apa nak dikesalkan lagi…? Benda dah jadi….,”

“Ada satu cara Zam...,”

“Apa maksud kau?”

“Ada cara untuk aku boleh balik dengan dia...,”

“Apa?”

“Cina buta...???”

“Hah....?”

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts