Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 7
Irfan menarik nafas panjang. Urusan permohonan perkahwinan Mai dan Shamsul Hasni sudah pun selesai. Semua dokumen-dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pihak yang berwajib. Pengesahan pernikahan dari Penolong Pendaftar Nikah Qariah juga telah diperolehi.  Kebenaran nikah dari Pejabat Agama Islam Shah Alam juga telah diserahkan kepada Penolong Pendaftar Nikah Qariah. Mereka hanya perlu menunggu hari nikahnya sahaja. Baru sebentar tadi dia menelefon Shamsul Hasni untuk memberitahu tentang perkara itu. Tiada apa-apa riaksi pun pada nada suara lelaki itu. Apa perasaannya? Apa yang difikirkannya ? Dan apa tanggapan lelaki itu terhadap dirinya dan juga Mai?
Yang  pastinya dia tahu Shamsul mesti merasakan yang Mai dan dia adalah pasangan yang paling bodoh. Yang membiarkan diri mereka terjebak dalam kemelut begini. Rasa malu melingkari hati. Namun perasaan itu perlu dibuang jauh. Demi untuk kembali menyambung hubungan yang kini telah putus di tengah jalan. Dia tidak punya cara lain lagi selain dari cara begini. Maka dia perlu buang jauh rasa malu itu. 
Ingatannya kembali kepada perbualan mereka tempohari. Kali pertama dia bertemu dengan lelaki ini dia yakin Zamzuri telah membuat pilihan yang tepat. Semua syarat-syarat yang ditetapkannya kepada Zamzuri dalam mencari calon suami untuk Mai dipenuhi oleh lelaki ini. Dengan wajah yang berserabut, dan riak muka yang sentiasa murung, pasti Mai tidak akan tergoda dengan lelaki ini. Dia terlalu serius dan kelihatan sedikit pun tidak pandai untuk menggoda hati wanita.
Pertemuan kali kedua diatur untuk memperkenalkan lelaki ini dengan Mai. Dalam   pertemuan kedua ini, lelaki itu memberikan satu syarat. Syarat yang sugguh membuatkan dia merasa agak tertekan. Kalaulah diikutkan hatinya bila mendengarkan syarat yang diberikan oleh Shamsul Hasni, ingin sekali dia membatalkan niatnya untuk menikahkan mereka berdua.
Namun, di mana lagi dia akan temui lelaki yang boleh dipercayai untuk melaksanakan semua ini. Dia tidak mahu ramai yang tahu masalah ini. Kalau boleh dia tidak mahu sesiapapun di kalangan ahli keluarganya yang tahu apa yang berlaku kepada perkahwinan dia dengan Mai. Nasib baiklah mereka tinggal jauh di kampungnya di Kulai, Johor. Sekurang-kurangnya perkara begini dapat dirahsiakannya setakat ini. Cuma yang dirisaukan ialah bila tiba waktu Hari Raya nanti. Pastinya emak dan ayahnya akan terkejut jika dia tidak pulang bersama Mai kali ini. Namun perkara itu boleh diketepikan buat sementara waktu ini dan akan difikirkan jalan penyelesaiannya nanti.
Dia mungkin boleh memberikan pelbagai alasan supaya dia tidak perlu pulang ke kampung pada Hari Raya nanti. Lagipun tarikh menjelangnya Hari Raya masih jauh lagi. Nasib baiklah emak dan ayahnya tidak pernah mahu  datang ke sini untuk menziarahi merka. Waktu ini dia rasa sungguh bersyukur dengan sikap ayahnya yang cukup tidak suka untuk datang ke Kuala Lumpur jika tiada sebarang urusan yang betul-betul penting.
Penceraiannya dengan Mai juga cuba untuk disembunyikan sebaik mungkin. Namun, bangkai gajah manakan mampu untuk ditutup. Ada yang dapat menghidu masalah ini dan mula bertanyakan itu dan ini. Lantas dia cuba untuk menjelaskan sebaik mungkin. Dia tidak mahu dirinya dan diri Mai dipandang serong oleh semua orang. Niatnya untuk mencari cina buta bagi merungkai masalah ini juga dia rahsiakan sebaik mungkin.
Setakat ini, yang tahu dia merancang cina buta hanyalah Zamzuri dan Liyana. Selain dari mereka berdua, tiada orang lain yang tahu bahawa perkahwinan Mai kali ini adalah perkahwinan yang dirancang olehnya. Semua menyangka bahawa Mai telah bertamu jodohnya selepas enam bulan diceraikan.
“Engkau faham kan maksud aku?” teringat perbualan mereka sebelum Mai tiba untuk diperkenalkan dengan lelaki itu tempohari.
Lelaki di depannya itu memandangnya dengan mata yang terkebil-kebil. Dia diam tanpa sebarang reaksi di wajahnya. Satu perlakuan yang membuatkan Irfan jadi cukup marah dengan keadaan itu. Mengapa perlunya dia menerangkan kesilapan yang dilakukannya dulu kepada lelaki ini? Mengapa dia harus melibatkan lelaki ini dalam hidupnya? Ah, semua ini silapnya. Terlalu lancang menggunakan kelebihannya sebagai seorang suami.
“Aku tak nak kau sentuh dia. Kau kahwin dengan dia kat Thailand, lepas tu terus ceraikan dia,”
“Tak boleh... aku tak boleh buat macam tu,” kata Shamsul Hasni  dengan nada yang cukup tegas. Wajahnya terus serius tanpa sebarang reaksi.
“Apa yang tak boleh. Kau jangan berangan nak bersama isteri aku. Kau nikah ni  pun aku yang benarkan. Kalau bukan sebab aku, jangan harap engkau dapat kahwin dengan dia,” jawab Irfan  yang cuba mempertahankan sesuatu yang dulu pernah menjadi haknya. Namun kini, hak itu bukan miliknya lagi. Dia hampir lupa tentang itu.
“Hei..., aku tahu kau memang nak sangat berbaik balik dengan bekas isteri kau tu. Tapi engkau kena ingat, berdosa kau buat macam ni. Memang mulanya aku setuju nak jadi cina buta. Itupun sebab aku tak tau. Tapi bila aku pergi tanya ustaz yang mengajar kat masjid kawasan rumah aku tu, aku jadi takut. Dia kata hukumnya haram. Kalau aku buat, berdosa besar aku jadinya. Dahlah dosa yang sedia ada pun  aku tak tertanggung, ini nak tambah lagi dosa menganyiaya bini....”
“Apa maksud kau menganiya bini?”
“Engkau tak sepatutnya buat dia macam ni. Dah bercerai tu.... biar ajelah...tak payahlah nak cari cina buta,”
“Habis... kau nak tolaklah tawaran aku ni?”
“Bukan itu maksud aku... Aku cuma nak ingatkan kau, jangan ditambah lagi dosa kita ni... Aku pun silap sebab nakkan sangat duit engkau tu dulu. Nasib baiklah aku terfikir nak tanya ustaz tu hari tu,”
“Kau nak batalkan semua ini? Kalau nak batalkan tak apa... aku cari orang lain,” ugut Irfan.
“Kau dengar dulu cakap aku. Aku boleh kahwin dengan dia. Tapi engkau jangan tetapkan masa untuk aku ceraikan dia. Kalau aku kahwin dengan dia, aku tak akan niatkan untuk ceraikan dia lepas tu. Kalau dia tak suka kat aku, baru aku ceraikan.  Ustaz yang aku tanya tu kata kahwin cina buta ni hukumnya haram. Kalau buat jugak, tak sah aku kahwin dengan dia. Aku tak nak macam tu,” Shamsul Hasni mengeluh sambil memandang keluar tingkap restoren.
Sungguh lelaki di hadapannya ini lansung tidak tahu tentang hukum agama yang sebegini penting. Terlalu mengambil ringan tentang perkara yang amat berat ini. Perkahwinan yang tidak sah sebenarnya akan membawa hubungan yang juga tidak sah. Akibatnya nanti jika ada zuriat yang terhasil dari pernikahan itu, zuriat itu juga akan jadi tidak sah.
“Lagipun kalau kahwin dengan dia aku kena bersama dengan dia. Aku tak boleh ceraikan dia sebelum kami bersama,” ucap Shamsul  sinis.
Terkejut Irfan dengan pernyataan lelaki di hadapannya ini. Dia memandang wajah Shamsul dengan riak yang cukup marah.
“Mana boleh, kau tak boleh sentuh dia. Kahwin sudahlah. Mana orang tahu kau bersama dengan dia atau tidak,”
Reaksinya itu menyebabkan Shamsul juga naik marah. Keadaan menjadi bertambah tegang antara mereka.
“Hei gila kau... Engkau tahu tak, kalau aku kahwin dengan dia, lepas tu aku ceraikan dia tanpa bersama dulu, engkau tak boleh rujuk balik dengan dia. Kalau aku ceraikan dia tanpa sentuh dia, tak sah kalau kau rujuk balik dengan dia. Bila tak sah, tiap kali kau bersama dengan dia, kau sebenarnya berzina dengan dia. Kau nak ke buat dosa sepanjang hayat kau?”
Irfan memandang wajah Shamsul Hasni dengan perasaan yang bercampur baur. Agak terkejut dengan pengetahuan agama lelaki di hadapannya itu.
“Mana kau tahu semua tu?” kataya dengan perasaan marah yang masih meluap-luap.
“”Hei, aku tahulah aku ni bodoh. Kau tu sepatutnya lebih cerdik dari aku. Tapi tak nak gunakan akal. Kalau tak tahu tanyalah orang yang lebih tahu. Jangan pandai-pandai nak buat rancangan sendiri. Kau nak tipu siapa? Nak tipu Allah? Orang bolehlah kau nak tipu. Tapi kalau nak tipu Allah, kena laknat, tak berbau syurga engkau nanti,”
Kata-kata Shamsul Hasni itu bagaikan meramas-ramas hatinya. Ya, benar. Hakikat itu tidak mampu untuk dinafikan.  Selama ini dia tahu bahawa  cina buta ini bukan perkara yang sihat. Tapi bukankah itu sahaja caranya untuk dia kembali bersama Mai?
“Habis tu? Apa patut aku buat?” kemarahannya tadi kembali mengandur. Dia serba-salah tiada pilihan lain yag dia ada. Dia ingin memiliki Mai kembali. Biar dengan apa cara sekali pun.
“Aku cadangkan macam ni... aku kahwin dengan dia tanpa kau bagi syarat berapa lama tempohnya. Aku tak akan niatkan untuk ceraikan dia selagi dia tak minta. Kalau dia tak nak pada  aku lagi, barulah aku ceraikan,”
Irfan mengeluh berat. Bagaimana nanti jika Mai tidak mahu dirinya diceraikan oleh lelaki ini? Apa yang dia boleh buat untuk pastikan lelaki ini akan ceraikan Mai nanti? Lama dia berfikir. Akhirnya dia mengeluh perlahan. Ya, dia tidak punya pilihan lain.
“Macam ni lah. Aku benarkan kau kahwin dengan dia. Tapi, kau jangan sekali-kali goda dia,” kata-kata itu dikeraskan sedikit seolah-olah mengugut.
Shamsul Hasni diam, hanya memandang dengan sinis wajah lelaki di hadapannya itu. Apabila melihatkan dia diam , Irfan menyambung lagi kata-katanya.  
“Sampai masanya nanti, dia akan minta cerai dengan engkau. Aku akan pastikan itu berlaku. Masa tu nanti, kau kena ceraikan dia. Upah kau aku bagi separuh dulu lepas nikah ni. Lepas kau ceraikan dia aku bagi bakinya,”
Shamsul mengeluh lagi. Mengeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Matanya kembali menatap ke wajah Irfan yang kelihatan cukup gusar itu.
“Kau tak faham lagi maksud aku rupanya. Kalau aku buat macam ni, aku tak harapkan upah dari kau. Cuma, aku nak kau tanggung semuanya. Dari  perbelanjaan kahwin aku, sampailah selesai semuanya. Kalau kami bercerai nanti pun, semua belanja perceraian tu kau yang kena tanggung. Kalau kau setuju, semua kau yang kena uruskan. Aku cuma lafazkan nikahnya aje,”
Irfan mengeluh lega. Sangkanya lelaki ini akan meminta bayaran lebih. Rupa-rupanya ini yang dimaksudkan lelaki ini semasa memberitahunya yang mereka perlu berbincang. Sekurang-kurangnya selamatlah wang ringgitnya nanti. Belanja perkahwinan mereka nanti pastinya tidak sebanyak upah yang dia tawarkan. Yang menjadi masalahnya ialah tempoh perkahwinan itu nanti. Pastinya akan jadi lebih panjang. Sehingga Mai minta cerai, kata Shamsul. Berapa lama? Ah... dia perlu berbincang dengan Mai tentang perkara ini.
“Aku... cuma nak tolong kau aje. Kesian jugak aku tengok kau ni. Dah gila talak sampaikan teruk  macam ni,” kata Shamsul Hasni apabila melihatkan Irfan agak lama mendiamkan dirinya.
“Aku sayangkan dia, sejak dulu dan selama-lamanya,” ucap Irfan dalam menungnya yang panjang. Ada riak sedih di situ. Dan riak itu bagaikan dapat dihidu oleh Shamsul Hasni.
“Kau sepatutnya tak ikut perasaan. Kalau kau ikut akal fikiran benda ni tak akan jadi,” sinis sekali Shamsul menyindirnya.
Dia  melihat jam di tangannya. Sejak dari tadi lagi mereka menunggu kedatangan wanita yang akan dijodohkan dengannya. Timbul sedikit tanda tanya dalam hati, apa istimewanya wanita muda ini sehinggakan bekas suaminya ini jadi gila talak sebegini. Tentu ada sesuatu yang istimewa pada dirinya. Tidak semana-mena hatinya jadi berdebar. Agak teruja menantikan kehadirannya.
“Jadi, macamana? Kalau kau setuju, aku akan uruskan tentang permohonan nikah di pihak aku. Lepas selesai nanti aku serahkan semua dokumen tu pada engkau. Dari situ kau selesaikanlah bagi pihak dia. Aku rasa dia mesti tak akan selesaikan sendirikan? Dan aku juga perlu tahu samada dia setuju atau tidak dengan semua ini. Dia tak ada masalah kan nak kahwin dengan aku?” tanya Shamsul Hasni untuk meminta kepastian.
Irfan mengeluh lagi. Tentang itu dia tidak begitu pasti. Mungkin selepas pertemuan ini nanti Mai akan menunjukkan reaksinya tentang lelaki ini.
Pada waktu itu barulah dia menyedari kehadiran Mai yang sedang merenungnya dengan perasaan rindu terpapar jelas di wajahnya. Melihatkan seraut wajah yang dirinduinya itu, dia jadi lupa segalanya. Yang dia nampak hanyalah dia dan Mai akan kembali bersama menyulam kasih yang hangat membara.
****
Shamsul Hasni menarik nafas lega. Wanita itu sudah menjadi miliknya kini. Namun rasa janggal terdetik di hatinya bila membayangkan perkataan miliknya itu. Dia tahu hakikat sebenarnya perkataan itu. Wajah Mai yang kelihatan cukup murung dipandang tajam. Hatinya jadi serba salah. Bagaimana reaksi dia terhadap dirinya nanti? Apa yang akan diperbualkan dengan isterinya ini nanti? Huh... isteri...? Hakikatnya bagaimana? Segalanya antara mereka terlalu asing. Mampukah isterinya ini menerima dirinya sebagai suami.
Kecacatannya yang pastinya kekal selamanya ini, mencacatkan sedikit keyakinannya untuk meraih cinta dari mana-mana wanita. Kecacatan yang selamanya akan sering mengembalikan ingatannya kepada Suhaila. Kerana kecuaiannya Suhaila meninggal dunia. Dan  kini berkahwin dengan Mai,  menyababkan ingatan itu makin kuat berpaut di hati. Dengan renungan matanya, senyuman dibibirnya dan kelembutannya  ketika dia memandang kepada Irfan membuatkan ingatannya kepada Suhaila terimbau kembali. Renungan itu, senyuman itu dan kelembutannya itulah yang selalu diberikan oleh Suhaila kepadanya lama dulu.
Tidak... dia tidak mungkin akan melupakan kenangannya bersama isterinya itu. Satu ruang khas telah disediakan untuk arwah Suhaila dalam hatinya. Dan yang pasti tidak akan ada sesiapapun yang akan mampu menggugat kehadirannya di ruang itu. Tidak akan ada gadis lain, maupun Mai sekalipun yang bisa melakukan itu. Itu janjinya untuk Suhaila.
Teringat Syamsul pada saat wanita muda itu diperkenalkan kepadanya, dia menarik nafas dalam  diam. Meneliti raut wajah yang begitu manis dia jadi faham mengapa Irfan jadi gila talak. Saat Mai bertentang mata dengan bekas suaminya itu, Shamsul dapat merasakan kehangatan cinta mereka berdua. Lantas waktu itu ingatannya kembali menerpa ke wajah Suhaila, arwah isterinya yang tercinta. Ada sedikit persamaan antara wanita muda di hadapannya ini dengan Suhaila. Bukan pada raut wajahnya atau pun pada bentuk tubuhnya. Sungguh apa yang ada pada wanita ini tiada pada Suhaila. Begitu juga sebaliknya. Sungguh keduanya langsung tiada apa-apa persamaan. Tetapi melihatkan pada perlakuannya yang lemah lembut dan renungan matanya yang kelihatan begitu telus sekali, rindunya pada Suhaila kembali merenggut tangkai hatinya. Ah... mana mungkin dia akan lupakan Suhaila tiap kali menatap wajah manis yang cukup menawan di hadapannya ini nanti? Shamsul Hasni jadi serba-salah.

“Lepas ni ada kenduri sikit kat kedai Kak Ros. Dia jemput semua orang yang ada kat sini ke kedainya,” ucap Syamsul kepada Mai setelah upacara membatalkan air sembahyang dilakukan. Mai hanya mengangguk lesu.
Tiada istimewanya majlis tersebut. Setelah dia menunaikan solat sunat selepas dijabkabulkan sebentar tadi, dia menghampiri Mai yang duduk bersimpuh di satu sudut di dalam masjid tersebut. Mai yang ditemani Liyana dan Kak Gee, teman sekolahnya hanya menyambut salamannya dengan dingin sekali. Bagaikan ada protes di pihaknya untuk meneruskan keterlanjuran ini. Liyana pula  mengambil gambar mereka dari kamera kecilnya sebagai tanda kenangan.
Kak Ros tidak hadir ke majlis pernikahan ini. Hanya berpesan melaluinya dan juga Abang Din untuk menyampaikan jemputan ini kepada yang hadir di majlis pernikahan yang serba ringkas ini. Dia kini sibuk melayan tetamu-tetamu yang hadir ke majlis doa selamat di kedainya. Sebentar tadi Abang Din  telah menyampaikan hajat Kak Ros ini kepada tok kadi, saksi-saksi dan beberapa orang lain yang turut sama hadir di majlis pernikahan yang dilangsungkan di masjid ini. Masing-masing telah menyatakan persetujuan mereka untuk hadir di kedai yang letaknya kira-kira setengah kilometer dai masjid ini.
Emak saudara Mai yang tinggal jauh di Terengganu juga tidak dapat hadir kerana agak sukar untuk meninggalkan kerjanya sebagai penenun kain songket. Yang hadir hanyalah sepupunya yang kebetulan bekerja di Putrajaya. Sejak suaminya meninggal dunia dia sudah tidak betah lagi untuk berjalan jauh. Lagipun, majlis ini bukanlah begitu penting buatnya kerana hubungannya dengan keluarga Mai yang kurang baik sejak dulu lagi. Mai akur dengan hakikat itu. Dia juga sebenarnya bukanlah terlalu terdesak menantikan kehadiran emak saudaranya itu.  Sedikitpun dia tidak tersinggung kerana ketiadaan emak saudaranya yang sememangnya tidak rapat dengannya sejak dari dulu lagi. Jemputannya itu pun hanya untuk memenuhi syarat sebagai anak saudara. Tidak mahu dianggap sombong kerana tidak menjemput satu-satunya ibu saudaranya ke majlis itu.
Wajah murung Mai di renungnya kembali. Dia tidak tahu apa yang akan diperkatakan kepada isterinya itu. Lantas dia terus membisu. Membiarkan Mai dengan kemurungannya. Mungkin murungnya Mai kini kerana Irfan telah menerangkan tentang syarat yang dimintanya dulu. Biarlah, mungkin bila mereka bersendirian nanti mereka boleh berbincang. Dia mungkin boleh menerangkan duduk perkara sebenar dalam perkahwinan mereka ini.
Dia terpaksa meminta syarat itu. Dia tidak mahu hubungannya dengan Mai dicemarkan dengan keadaan yang menyebabkan bertambah dosanya nanti. Memang dulu dia cukup mengharapkan upah yang akan diberikan oleh Irfan. Tetapi sejak dia menemui ustaz yang menerangkan tentang hakikat betapa berdosanya mereka yang melakukan cina buta, dia jadi takut. Dia tidak mahu menambah lagi dosanya. Kerana itu, dia menukar rancangannya dulu. Untuk membatalkannya dia merasakan tidak tergamak. Irfan kelihatan begitu berharap dan Mai pula kelihatan begitu memerlukan bekas suaminya itu. Sungguh dia tidak sampai hati untuk mengecewakan mereka berdua. Tetapi dia lebih takut pada murka Allah. Mungkin ini jalan terbaik antara mereka. Biarlah Allah yang menentukan segalanya.
Setelah tiba di kedai makan Kak Ros, Syamsul dan Mai duduk makan di meja yang berasingan. Syamsul  bersama tok kadi, saksi-saksi serta jemputan-jemputan lelaki yang lain. Mai pula duduk bersama tetamu-tetamu wanita yang lain. Selesai makan, masing-masing membantu melayan tetamu yang datang. Namun masing-masing cuba mengelak dari bertembung dan memulakan bicara. Mereka tenggelam dalam fikiran masing-masing. Tiada sedikitpun kemesraan yang ditunjukkan. Bila ada yang ketawa, mereka kelihatan turut ketawa. Bila ada yang mengusik, mereka turut senyum walau pun dalam hati masing-masing ada satu rasa yang cukup tidak selesa.
Shamsul  sedikit pun tidak merasakan bahawa dia adalah pengantin lelaki di majlis ini. Lagipun majlis ini hanyalah merupakan kenduri doa selamat sahaja. Kak Ros pada awalnya mahu menyediakan persediaan untuk menyambut pengantin yang selayaknya untuk Syamsul  dan Mai. Namun pasangan ini menolak keras-kerasnya. Alasan mereka, tidak mahu membazir untuk perkara yang tidak perlu. Kak Ros kelihatan agak kecewa bila mendengarkan itu. Namun dia terpaksa akur dengan pandangan yang empunya diri.
Selesai majlis yang begitu sederhana itu, Kak Ros menolak pelawaan Syamsul  untuk turut sama  mengemas ruang restoren yang agak bersepah-sepah itu. Cepat-cepat Kak Ros mencadangkan mereka supaya balik dan berehat. Di mata wanita separuh umur itu ada sinar yang mengusik kedua pengantin baru itu. Walaupun gurauannya disambut dingin oleh Mai, namun dia masih lagi mampu memberikan senyuman manis kepada Kak Ros. Mungkin untuk  berterimakasih kerana mengadakan majlis ini.
Sememangnya sudah ada perbincangan antara mereka tentang di mana mereka akan tinggal. Dengan kata lain, perbincangan antara dia dengan Irfan. Semua perkara berkaitan dengan urusan perkahwinan ini hanya dibincangkan bersama Irfan selama ini. Mai langsung tidak pernah mengambil bahagian. Apa-apa sahaja protes maupun persetujuan pada Mai, hanya  disampaikan melalui Irfan.
Telah dipersetujui bahawa selepas perkahwinan ini mereka akan tinggal di rumah Mai. Syamsul  tidak mungkin akan dapat membawa Mai pulang ke rumahnya kerana dia menyewa bersama lima orang lagi teman serumah. Maka buat semantara waktu ini mereka akan tinggal di rumah Mai. Sesuatu yang amat sukar diterima oleh Mai, tetapi apa pilihan yang dia ada? Dia tahu yang Mai tidak suka dia tinggal dengan Mai di rumah yang pernah dikongsi bersama dengan Irfan dulu. Mungkin terlalu banyak kenangan yang akan mengganggu kehidupan mereka berdua nanti. Tapi, dia pastinya terpaksa terus bersabar dengan keadaan itu.
Lagipun dia yakin dan pasti yang Mai tidak akan lama menjadi isterinya. Lambat laun Mai akan meminta cerai seperti yang dinyatakan oleh Irfan tempohari. Bekas  suaminya itu nanti akan memastikan mereka berkahwin dalam jangkamasa yang tidak lama. Dia akan memastikan bahawa Mai akan minta cerai bila masanya sesuai nanti. Dan bila waktunya tiba nanti Syamsul  tahu dia tidak mampu untuk menghalang perkara itu dari berlaku. Ada sedikit rasa terkilan menerpa di hatinya bila mengingatkan hakikat itu.
Bila tiba masa untuk mereka meninggalkan majlis tersebut, terdetik lagi rasa tidak selesa di hati Syamsul. Sekali lagi rasa rendah diri menghambat hati. Dia tidak punya kereta, yang ada hanyalah sebuah motosikal cabok yang digunakan untuk berulang alik dari rumah sewa ke restoren Kak Ros. Mana mungkin Mai akan mahu mereka menaiki motosikal buruknya itu untuk ke mana-mana.
“Engkau nak balik sekarang?” dia bertanya pada Mai.
Mai hanya mangangguk perlahan.
“Aku, hantarkan? Tapi... kita kena naik kereta engkau. Aku tak ada kereta, motosikal buruk adalah...,”
“Tak apalah... naik kereta saya,” kat Mai sambil mengeluh perlahan.
“Tapi... esok kita kena datang semula. Ambil barang-barang aku kat rumah sewa,”
Mai diam tanpa sepatah kata. Hanya memandangnya dengan wajah selamba. Dia juga begitu. Lama mereka bertatapan tanpa bicara. Dan akhirnya Mai melarikan wajahnya. Entah apa yang ada dalam hatinya Syamsul  tidak pasti. Yang pastinya hati isterinya itu tentu bergelodak deras seperti apa yang dirasakan di hatinya saat ini.
Mereka bergerak ke kereta. Langkah Mai laju sekali mendapatkan keretanya yang diletakkan kira-kira 100 meter dari restoren Kak Ros. Syamsul  menurut dari belakang dengan langkah yang agak perlahan. Tertinggal dia beberapa meter ke belakang. Sambil melangkah, dia hanya  memandang tubuh kecil Mai yang begitu laju meninggalkannya. Seketika dia merasakan bagaikan ada satu tangan halus yang mengelus lembut di jiwanya. Terasa damai di hatinya melihatkan tubuh itu. Dan bila Mai berpaling kepadanya, hilang melayang perasaan tersebut. Wajah keruh isterinya itu bagaikan menyedarkan dia dari lamunan yang datang seketika itu.
*******************************
Salam pembaca semua,
N3 untuk e-novel ni Kak Laila terpaksa berhentikan sekejap kerana Kak Laila nak tumpukan kepada pembikinan bab-bab terakhir bagi e-novel SYKT. E-novel tu tengah dalam bab-bab yang kritikal dan perlukan perhatian yang lebih. Diharap semua sabar menunggu hingga akak sambung balik SCB ni ye? Insyaallah selepas tamat SYKT, akak akan sambung semula.
Thanks for reading.
Laila Hanni

6 comments:

Anonymous said...

syurga di wajahmu bila nak publish yek..... x saba nak tau ending ni....hehehe......

keSENGALan teserlah.. said...

alalaalala..
jgn stop lame2 ehh..
tak sabar nk bace ni haa..
huhu

IVORYGINGER said...

yuhuu... dah kahwin dah mai n shamsul.
hope perkahwinan depa kekal la.
biaq dirasanya irfan. suka-suki ja lafazkan talak tanpa mfikirkan kesan kemudian. lps tu gila talak smpai sanggup cari cina buta. xtau hukum apa. benda tu haram.
apapun kak,jgn lama sgt stop ya.
im waiting the new episod. he... ;D

aqilah said...

best........akak follow....................

niah said...

saya pun follow .......asal ada sambungan, kita tetap sabar menanti......

hud said...

owh kak...bila nak sambung ni...sampai dah abes semua entry saya baca...dah tak tahu nak baca apa lagi ni...nanti saya ulang-baca entry2 lain plak..

karya akak memang tak mengecewakan..best!

lain dari yang lain.

Post a Comment

Popular Posts