Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


“Macamana Zam…? Kau ada tak sesiapa yang boleh aku minta tolong?  Sebulan lagi edah Mai habis. Kalau boleh, tamat aje eddah dia aku nak dia kawin. Lepas tu, orang tu kena cepat-cepat ceraikan isteri aku tu...”
“Eh... kau ni Fan, sabarlah.... kot ye pun janganlah desperate sangat. And  correction, bekas isteri.... kau dah ceraikan dia dengan talak tiga... ingat tu,”
Irfan mengetap bibir tanda marah dengan peringatan yang diberikan oleh temannya. Untuk seketika dia lupa.
“Memang aku desperate. Bukannya aku tak boleh cari sendiri. Masalahnya aku tak nak ramai yang tahu. Kalau mak ayah aku tahu, matilah aku. Mai pulak, bukannya ada saudara mara. Dan kalau boleh aku tak nak keluarga aku dan Mai tahu. Kecoh nanti...,”
“Kau ingat senang ke nak cari orang yang sanggup buat kerja gila tu. Itulah dari dulu lagi aku dah cakap, selesaikan masalah kau dengan Mai tu secara berhemah. Ceritakan pada mak ayah kau. Biarkan dia orang bagi nasihat. Kalau susah sangat, cari pakar motivasi, jumpa mana-mana kauselor. Ini tidak, kau biarkan masalah tu berlanjutan. Kau biarkan diri kau dan Mai terus dalam keadaan stress. Sekarang... tengok semua dah susah. Sampaikan aku pun kau babitkan dalam masalah kau ni...,”
Kata-kata Zamzuri itu bagaikan minyak yang menyemarakkan lagi api kemarahan yang melingkari hati Irfan. Dia tidak perlukan leteran dari sesiapa pun jua di saat ini.
“Habis, kau tak nak tolong aku yang dalam kesusahan lah ni?” bentaknya dalam kemarahan.
Mata Zamzuri melatari wajah murung sahabatnya itu. Marah dan simpati bercampur baur dengan sikap temannya itu.
“Bukan aku tak nak tolong.... tapi benda ni sulit Fan. Jadi aku kenalah tapis-tapis sikit. Kenalah pilih orangnya betul-betul. Dibuatnya orang tu buat hal, ceritakan pada semua orang macamana. Kau dengan Mai juga yang dapat malu kan?”
Irfan menyikat rambutnya dengan jejari kasarnya. Mengeluh... dan terus megeluh. Mengapalah dia menempah semua ini, detik hatinya kesal.
“Kalau susah-susah, kau lah yang kahwin dengan dia...,”
“Hah... gila kau? Nak cari nahas? Yana aku tu nak letak kat mana? Aku tak nak nanti sebab nak tolong engkau, aku pulak yang porak peranda,”
“Aku dah tak ada jalan lain lagi Zam.... tolonglah aku...,”
“Kut ye pun kau desperate, agak-agaklah sikit. Janganla main tangkap muat aje... Dibuatnya nanti dia tak nak lepaskan Mai tu , nahas kau,”
“Aku bunuh dia.... ,” kata Irfan dengan muka yang merah menyala menahan kemarahan.
Dia nekad, jika itu berlaku, dia sanggup lakukan itu daripada kehilangan Mai.
“Mengucap Fan... jangan kau tambah lagi masaalah kau tu...,”
Nafas Irfan turun naik menahan kemarahan yang dirasakan pada saat itu.


****
“Yana... macam mana ni... akak takutlah,” Mai menyatakan resahnya kepada gadis yang dua tahun lebih muda darinya.
 “Tak apa kak, nanti Irfan ada kat sana. Dia kata dia akan bersama akak jumpa lelaki tu,”
“Abang Ifanlah  yang akak takutkan Yana..., bukan lelaki tu.  Lepas  jumpa kat Pejabat Agama dulu, ini kali pertama kami jumpa. Tak tau macamana rasanya nak tatap muka dia tu,”
“Emmm... ingatkan takut nak jumpa bakal suami....,” usik Liyana sambil ketawa kecil.
Mai memasamkan mukanya. Mengeluh perlahan dengan apa yang telah dan akan dihadapinya nanti.
“Itupun satu hal lagi,” keluhnya lagi.     
Ah... siapa lelaki itu? Siapa yang sanggup menjadi cina buta dalam hubungan ini? Menurut Irfan lelaki itu seorang yang terdesak. Dia setuju mengahwini Mai selepas mengetahui bahawa Irfan sanggup  memberikan sejumlah wang kepadanya. Irfan tidak menyatakan berapa jumlah yang akan dibayarnya untuk membolehkan dia kembali kepada Mai. Tetapi, Mai dapat rasakan bahawa jumlahnya tentu bukan sedikit.
Mampukah dia menghadapi kedua-duanya sekaligus? Pertama kali bertemu dengan bakal suami ditemani oleh bekas suami. Pernahkah perkara sebegini dibuat orang? Sanggupkah dia berhadapan dengan mereka. Apa yang perlu dikatakannya kepada mereka? Bagaimana perlakuannya nanti?
“Dia ok lah kak. Zam kata dia baik orangnya. Mereka sekampung. Dia kenal benar dengan lelaki tu. Dia kata, orangnya jujur. Sekarang ni dia perlukan duit untuk mulakan perniagaan. Dah lama dia cuba kumpul duit, tapi masih lagi tak mampu nak dapatkan jumlah yang Irfan tawarkan tu. Sebab tu dia sanggup jadi cina buta ni,”
“Yana tau ke berapa Abang Ifan bagi dia?”
“Tak...,”
“Dia tak bagitau Zam?”
“Tak pulak...,”
Kereta yang dipandu Liyana berhenti di persimpangan lampu trafik. Peluang itu digunakan untuk Liyana mengamati wanita muda di sebelahnya. Matanya menatap lembut ke wajah Mai. Simpatinya tergambar jelas di situ. Kasihan dirasakan kepada wanita muda ini. Diceraikan suami dengan talak tiga. Dan kini, si suami pula jadi gila talak. Sanggup mengatur perkahwinan si isteri semata-mata supaya dia boleh kembali memiliki bekas isterinya ini. Seorang yang ternyata amat dicintainya ini.
Sepatutnya Zamzuri yang membawa Mai ke tempat yang dijanjikan untuk bertemu. Tetapi teman lelakinya itu tidak dapat meninggalkan tempat kerjanya lebih awal seperti yang dirancangkan. Terpaksalah Liyana yang menghulurkan bantuan kerana Mai tidak mahu dijemput sendiri oleh Irfan. Dia tidak sanggup menghadapi lelaki itu bersendirian. Dia tahu dia pastinya akan goyah jika dipujuk rayu oleh bekas suaminya itu.
“Yana... pernah jumpa dia ke?” tanya Mai dengan nada serba salah.
Dia ingin sekali mengetahui tentang lelaki ini. Sejak Irfan memberitahunya bahawa dia telah menemukan lelaki yang sanggup menjadi cina buta, hatinya tertanya-tanya. Namun dia merasakan terlalu malu untuk bertanya pada Irfan. Mungkin nanti Irfan akan menyangka dia amat teruja pula untuk berkahwin lain.
Sudah empat bulan mereka berpisah. Sudah terlalu lama dia bersendirian sehinggakan dirasakan dia tidak lagi mampu untuk menahan rasa sepi ini sendirian. Dia ingin kembali kepada Irfan. Dia juga mahu Irfan kembali kepadanya. Walau apa cara sekalipun, dia tidak akan melepaskan peluang yang sedikit ini supaya mereka mampu kembali bersama.
“Pernah sekali kak... tapi bukan jumpa berdepan. Cuma nampak dia dari jauh aje. Masa tu Zam pergi beritahu dia tentang perjumpaan ni. Yana duduk dalam kereta, Zam aje yang keluar,”
“Orangnya macamana ye Yana?” dia bertanya setelah agak lama dia berkira-kira sendirian.
“Entahlah ye kak... Yana pun tak nampak sangat mukanya sebab masa tu dia berdiri kat depan pintu masuk rumahnya. Gelap... Jadi... Yana tak nampak macamana rupanya. Cuma....,”
Liyana diam seketika. Perlukah dia bercerita tentang lelaki itu? Atau mungkin dia sepatutnya membiarkan Mai melihat sendiri keadaan lelaki itu. Lagipun mereka kini dalam perjalanan untuk menemuinya.
“Cuma apa Yana?” tanya Mai apabila Liyana berdiam diri.
Hatinya jadi tertanya-tanya melihatkan Liyana kelihatan seperti teragak-agak. Liyana jadi serba salah dengan keadaan ini. Dia mengeluh perlahan. Ah... biarlah Mai melihat sendiri lelaki ini sebentar lagi.
“Emmm... Kak Mai tengoklah nanti ye. Em... Yana tak tahu nak cakap macamana,’
Mai merenung wajah Liyana dari tempat duduknya. Gadis itu yang sudah mula memandu meninggalkan persimpangan lampu isyarat itu cuba mengelak dari berbalas pandang dengannya. Apa maksudnya? Mengapa dia berkata begitu tentang lelaki itu? Apakah ada sesuatu kekurangan pada lelaki yang akan dinikahi itu nanti?
Persoalan demi persoalan silih berganti melanda hatinya. Namun satu pun tidak disuarakannya. Untuk seketika waktu, dia lupa segala rasa resah dan gundah yang sejak beberapa hari ini bergayut di tangkai hatinya setelah dihubungi  Irfan tentang pertemuan ini. Tanda tanya tentang lelaki yang akan mengambil tempat dalam lipatan kenangan hidupnya ini mula sedikit demi sedikit mengaburi ingatannya kepada Irfan.
****
Mai menarik nafas panjang. Buat kali pertama dalam tempoh empat bulan dia akan berhadapan dengan Irfan. Mampukah dia berbuat begitu? Suara Irfan yang mengucapkan lafaz talak tiga lama dulu kembali terngiang-ngiang di telinganya. Walaupun kenangan itu dulu pernah membuatkan dia begitu berkecil hati dengan Irfan, dia tahu dia perlu menghadapi saat ini. Tekad di hati yang dibina Irfan untuk sama-sama kembali menyulam kasih bagaikan memberi kekuatan untuk dia teruskan langkah kakinya untuk menemui bekas suaminya itu.
Dan buat pertama kalinya pula, dia akan menemui lelaki yang masih terlalu asing  kepadanya. Terlalu asing sehinggakan nama lelaki itupun masih belum diketahuinya. Terlupa langsung untuk dia bertanyakan tentang nama lelaki itu kepada Irfan semasa dihubungi dua hari yang lalu. Segan rasanya untuk bertanyakan tentang lelaki itu dari Irfan.
Dari jauh dia dapat mengesan kelibat Irfan yang sedang duduk berhadapan dengan seorang lelaki di satu sudut dalam restoran tersebut. Mereka kelihatan begitu asyik berbicara. Wajah Irfan cukup serius ketika itu. Lelaki itu membelakangi Mai ketika dia melangkah masuk melalui pintu masuk restoran. Makin berdebar rasa hatinya untuk menghadapi keadaan ini.
Langkahnya yang perlahan terhenti seketika apabila melihat pandangan mata Irfan tersorot ke wajahnya. Mata mereka bertemu, rindu mereka bersatu dan hati mereka berbicara. Ah,  sungguh....sungguh dia amat merindukan wajah itu. Segala rasa cinta tergambar di wajahnya.  Segala rindu terpapar di matanya. Membuatkan dia merasa lemah untuk meneruskan langkahnya.
Memang benar kata orang, selalunya selepas kehilangan sesuatu yang amat berharga barulah kepentingannya disedari dan kehadirannya dirindui. Saat itu barulah satu demi satu kebaikannya tergambar di hadapan mata. Hilang segala kebencian di hati. Timbul pula rasa ingin kembali memiliki.
Irfan bangun dari duduknya.  Pandangan mereka terus bersatu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia memerlukan bekas isterinya ini dalam hidupnya. Sehinggakan sanggup dia melakukan apa yang bakal dilakukan ini. Dia sanggup meminjamkan Mai untuk seketika waktu kepada lelaki di hadapannya ini. Dia tidak sanggup untuk terus kehilangan Mai.
Untuk seketika mereka berbalas pandang. Saat itu tiada apa yang mampu mengganggu mereka. Hati mereka berbicara dalam diam. Pada jarak yang tidak lebih dari 50 meter, mereka menyulam rasa rindu. Akhirnya Irfan bergerak mendekati Mai. Tangan Mai diraih dan digenggam erat. Membuatkan Mai lupa segalanya. Hanya ada rasa cinta dalam dada.
“Mai ...,”
Mai memejamkan matanya. Menyerap segala bait kata-kata yang singgah di telinganya.  Biarpun hanya dengan sepatah kata, terasa damai di hatinya. Terbang melayang segala rasa benci yang membaluti hati sejak lafaz talak itu diucapkan dulu. Bila dia kembali membuka matanya, Irfan masih lagi merenung wajahnya.
“Abang...,”
Saat itu terasa ingin sekali Irfan memeluk tubuh kecil di hadapannya. Kalaulah diikutkan hati, pasti tubuh kecil itu sudah berada dalam dakapannya. Pasti bibirnya sudah hinggap di bibir mulus itu. Pasti dia sudah kembali menikmati kelembutan dan kemanisan bibir yang sungguh menghairahkan itu.  Pasti dia sudah menyatakan pada seluruh dunia bahawa Maizatul Hazirah ini adalah miliknya.
“Ehem...,”
Suara Liyana mengejutkan mereka yang hanyut seketika dalam buaian rasa. Cepat-cepat Mai  cuba menarik tangannya dari terus digenggam erat oleh Irfan. Hubungan mereka yang sudah terlalu lama terjalin  menyebabkan dia lupa bahawa kini mereka tidak lagi boleh bersentuhan. Lelaki ini sudah tidak lagi boleh bebas menyentuhnya.  Namun genggaman Irfan jadi semakin erat.
“Mari... kita duduk kat sana,” ucap Irfan hanya untuk Mai.
“Abang... lepaskan tangan Mai ...,”
Namun permintaan Mai tidak diendahkan oleh Irfan. Makin erat tangan itu digenggamnya. Dia menarik Mai ke meja yang diduduki oleh lelaki itu. Liyana menurut langkah mereka perlahan. Terasa bagaikan terasing dia ketika itu. Serba salah untuk duduk semeja dengan tiga insan itu, dia meletakkan punggung di kerusi meja yang berdekatan. Kalau tidak kerana rayuan Mai supaya dia menemankannya, sudah tentu dia sudah pergi meninggalkan mereka. Lagipun Zamzuri sudah berjanji akan menyusuli mereka selepas tugasnya selesai nanti.
Dengan dada penuh debar Mai duduk bersebelahan dengan Irfan. Tangannya masih terus digenggam erat oleh lelaki itu. Dia sendiri sudah tidak ingat lagi dengan permintaannya supaya Irfan melepaskan tangannya sebentar tadi. Terasa terlerai semua rindu yang terbuku di hati hanya dengan genggaman erat itu. Terasa seperti semuanya seperti dahulu. Seperti semuanya betul, tiada yang haram antara mereka.
Dia menguak rambutnya yang terjuntai di dahi. Tidak berani memandang kepada lelaki di hadapannya, dia mengalih pandangannya ke wajah Irfan. Tersenyum ke dalam mata itu. Dengan lembut sekali Irfan membalas senyuman itu. Bahagia  menyelinap dalam hati apabila senyum itu berbalas. Terbang melayang segala rasa serba-salah yang dirasakan waktu itu. Bertambah nekad di hatinya untuk menerima lelaki ini kembali.
“Mai... abang kenalkan... ini Encik Syamsul Hasni bin Syamsuddin...,”
Mai menelan air liurnya sambil perlahan berpaling kepada lelaki di hadapannya. Menarik nafas panjang demi sahaja pandangan mata mereka bertaut. Mata itu merenungnya tajam  sekali. Bagaikan anak panah menusuk menikam ke jantungnya. Terasa bagaikan salju yang dingin menyelinap masuk ke dalam jantungnya, mengalir dalam darahnya dan menyelubungi seluruh tubuhnya. Dan bagaikan  membeku kesejukkan, tubuhnya tiba-tiba menggeletar. Entah mengapa dia merasa takut untuk terus menatap mata itu dan wajah itu. Lantas dia menundukkan pandangan.
“Encik Syam... ini Maizatul Hazirah binti Ariffin, isteri saya,”
Entah mengapa kedengaran asing sekali suara itu di telinga Mai.
****
“Abang... dah tak ada orang lain ke....?” tanya Mai dengan rasa gundah yang teramat sangat.
Entah mengapa, pertemuan yang singkat itu membuatkan dia terasa bagaikan enggan untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya. Entah mengapa renungannya yang sungguh dingin itu membuatkan dia merasa amat takut untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.
“Mai, abang dah tak ada pilihan lain lagi. Dia aje yang sanggup. Abang... dah tak boleh tunggu lagi. Lagi lama... lagi parah hati ni rindukan Mai,”
Keretanya diberhentikan di kawasan letak kereta Taman Tasik Shah Alam. Setelah pertemuan tadi, dia cepat-cepat mengajak Mai ke sini. Kalau diikutkan hati ingin sekali dia membawa Mai pergi ke satu tempat yang lebih jauh lagi. Kebetulan esok hari minggu.
Ingin sekali rasanya dia membawa Mai jauh dari suasana yang amat biasa bagi mereka begini. Tetapi Mai menolak dengan keras. Untuk saat ini persetujuan Mai untuk mengikutinya bersiar-siar disini sudah cukup membahagiakannya. Ini kali pertama mereka kembali bersama selepas berpisah.
“Sanggup abang nak biarkan Mai kahwin dengan dia?”
“Kita tak ada pilihan lain lagi Mai. Zam kenal dia, walaupun dia macam tu, kata Zam hati dia baik. Cuma, dia jadi macam tu sebab dia selama ni sedih dengan kematian isterinya. Zam kata dulu dia cukup ceria orangnya. Sejak isteri dia mati dan dia dipersalahkan, dia jadi menyendiri macam tu,”
“Mai takut bang... tengok dia...,”
It’s ok... Abang dah interview dia. Memang dia cakap dia akan ceraikan Mai lepas semuanya selesai,”
“Tapi... dia tu macam... penagih dadah aje... , mukanya tak terurus, rambutnya panjang...,” rungut Mai menyatakan gundahnya.
Irfan diam seketika. Melihatkan  Irfan diam, Mai meneruskan bicara.
“Dahlah tu.... kakinya tempang pulak tu...,”
 “Habis... Mai nak yang handsome ke? No way... I can’t bare to see you falling in love with him. Sebab tulah abang setuju dengan dia. Melihatkan rupa parasnya yang selekeh, kusut masai tu, abang jadi berani nak buat tawaran ni padanya,”
“Abang ni... tak kan mungkin Mai akan jatuh cinta padanya. Cinta Mai untuk... abang aje...,” katanya lembut.
Irfan mengeluh lembut mendengar kata-kata Mai. Puas hatinya mendengarkan kata-kata itu. Sejak empat bulan lalu dia amat-amat merindui bekas isterinya itu. Matanya  langsung tidak melepaskan wajah yang dicintainya itu. Cukup bahagia kerana setelah puas memujuk rayu, akhirnya Mai setuju dengan rancangannya ini. Tangan Mai yang langsung tidak mampu dilepaskannya dibawa ke bibir. Tidak sabar rasanya menanti saat mereka boleh kembali bersama semula. Namun, permintaan Shamsul Hasni dalam pertemuan tadi sungguh membuatkan dia resah.
“Kenapa dengan dia bang?” tanya Mai sambil matanya memandang jauh ke dalam tasik di hadapan mereka.
“Jom kita keluar...,” kata Irfan sambil melangkah keluar dari perut kereta. Pertanyaan  Mai diabaikan seketika.
Mereka berpimpin tangan menyusuri laluan pejalan kaki yang mengelilingi tasik buatan manusia yang mempunyai lanskap yang begitu cantik itu. Semuanya yang ada di tasik ini bagaikan  mengembalikan nostalgia lama mereka. Terletak di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam, ia merupakan tempat yang menjadi tumpuan penduduk sekitar Shah Alam di waktu petang begini. Ada yang sedang bersama keluarga menghabiskan petang Sabtu mereka, ada juga yang sedang berjogging mengelilingi tasik yang terletak di kawasan seluas 43 hektar itu.
Sungguh damai suasananya. Bersesuaian dengan nama-nama yang diberikan untuk ketiga-tiga bahagian tasik tersebut iaitu Tasik Damai di bahagian timur, Tasik Permai di bahagian barat dan Tasik Indah di bahagian tengahnya. Pemandangan lanskap cukup indah di sekeliling tasik itu menambahkan lagi rasa bahagia yang mula bertapak kembali di kolam hati masing-masing.
“Cantikan Mai, kawasan ni..., abang dah lupa betapa cantiknya kawasan ni. Ingat lagi tak, dulu kita selalu datang ke sini kalau kita tak sempat pergi bersiar-siar di tempat yang lebih jauh. Ingat lagi tak?” kata Irfan setelah mereka duduk berdampingan di atas rumput yang lembut di tepi tasik tersebut.
Tangannya memaut bahu Mai dan menarik bekas isterinya itu supaya duduk rapat dengan tubuhnya. Bau harum rambut Mai mengocak naluri lelakinya yang telah sekian lama tidak dilunasinya. Ah... cukup rindu dia pada Mai. Terfikir di hatinya, mungkinkah Mai sanggup melayannya semula seperti waktu mereka masih bergelar suami dan isteri dahulu? Mungkinkah Mai tidak akan menolak? Pastinya  Mai juga amat merinduinya.
“Ingat bang....,”
“Abang rindu pada  saat-saat itu. Mai rindu tak?” katanya penuh mengharap.
Mai merenung wajah Irfan. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh bekas suaminya itu. Dia sudah cukup mengenali lelaki ini sehingga setiap gerak tubuhnya sudah mampu difahaminya.
“Kalaupun kita rindu, kita dah tak boleh buat apa-apa lagikan? Mai ... dah tak halal lagi untuk abang kan? Duduk macam ni pun... sepatutnya dah tak boleh...,” bisik Mai ke telinga Irfan.
Irfan mengeluh perlahan. Dia tahu semua itu. Tapi, saat ini nalurinya begitu membuak-buak, terasa ingin sekali dia melepaskan rasa rindu dendamnya pada Mai.
“Emm.. Mai, malam ni... boleh tak abang balik rumah kita? Abang rindu sangat pada Mai,”
Terkejut Mai mendengarkan rayuan Irfan. Cepat-cepat dia menjauhkan dirinya dari dakapan Irfan. Sungguh dia tidak menyangka Irfan akan meminta yang itu. Tidak... tidak mungkin dia akan membenarkan Irfan melakukan begitu. Memang dia tahu Irfan rindu padanya. Dia juga rindu, namun, dia tidak akan melakukan perkara terkutuk bersama bekas suaminya itu.
“Abang dah gila ke? Mana boleh bang... kita dah tak boleh lagi macam tu. Mai dah tak halal lagi untuk abang... Tak kanlah benda macam tu... abang tak tahu,” ucap Mai dengan nada kesal.
“Abang tau Mai, tapi... abang tak boleh tahan hati ni. Rindu rasanya tak tertanggung lagi,” rayu Irfan.
Lama Mai diam sambil memandang ke wajah lelaki kesayangannya itu.
“Sabar ye bang..., tunggu sampai... semua ni selesai. Kita nikah balik. Lepas tu... Mai akan jadi milik abang selamanya,” ucap Mai memujuk hati Irfan.
“Lambat lagi Mai, sementara tu.... apa abang nak buat untuk hilangkan rasa rindu ni?”
Mai diam lagi. Dia juga tidak pasti jawapan apa yang boleh diberikan kepada Irfan.
Malam itu, selepas mereka menjamu selera di restoran terapung ditengah-tengah tasik yang menyajikan makanan laut yang begitu enak sekali, Irfan menghantar Mai pulang ke rumah yang pernah mereka kongsi bersama. Sekali lagi dia memujuk rayu supaya Mai membenarkan dia singgah dan bermalam di situ. Dan dengan keras sekali Mai menolak. Tidak... dia tidak akan melakukan perkara yang terkutuk itu.
Walau betapa kuat pun rindu mereka, dia akan pertahankan maruahnya sebagai seorang wanita. Dia tidak akan melakukan dosa besar itu. Tidak akan berbau syurga bagi mereka yang melakukan perkara itu. Dia bukanlah seorang yang banyak ilmu agama, namun perkara yang satu itu tidak sekali-kali akan dilakukannya. Biar pun sekuat mana rindunya pada bekas suaminya itu meruntun jiwa mudanya.



0 comments:

Post a Comment

Popular Posts