Bab 13
“Makcik.... Abang Faris..... emmm... dah lama sampai...?” Fazila cuba
memberanikan diri untuk menegur kedua-duanya yang sedang duduk di ruang menanti di dalam pejabat asrama.
“Baru je sekejap tadi Ila ... Belum pun panas lagi punggung ni
duduk...,” jawab Makcik Hasmah sambil membalas senyuman Fazila.
Fazila tahu Makcik Hasmah berbohong. Mungkin untuk tidak membuat dia
rasa bersalah kerana membiarkan tetamunya lama menunggu. Sebentar saja tadi Ana
memberitahunya bahawa sudah lama mereka sampai. Kebetulan Ana berada di pejabat asrama untuk mengambil
surat semasa petugas di pejabat asrama membuat pengumuman untuk memberitahu
Fazila tentang kehadiran mereka. Ana yang kebetulan menginap di bilik
bersebelahan dengan biliknya sempat berbual dengan Makcik Hasmah sementara
menunggu Fazila datang.
Cepat-cepat Fazila menghulurkan kedua tangannya untuk bersalaman dan
mencium tangan bakal emak mertuanya. Ucap salamnya itu disambut dengan senyuman
paling manis dari Makcik Hasmah. Senyuman yang menggambarkan kebahagiaan yang
dia rasakan. Yang langsung tidak menunjukkan walau sedikitpun keraguan terhadap
dirinya. Pun begitu, masih senyuman itu
tidak mampu membuatkan hatinya merasa lega. Memanglah betul kata orang,
jika kita melakukan sesuatu yang tidak betul, pastinya akan ada perasaan
bersalah walaupun tiada yang menyalahkan diri kita. Dan Fazila tau itulah yang
dia rasakan saat ini.
Dia berpaling ke arah Abang Faris dan memberikan senyuman semanis
mungkin kepada tunangannya itu. Dia tidak mampu mentafsir apa yang tersirat
pada riak di wajah lelaki itu. Namun senyuman yang membuatkan wajah itu
kelihatan sungguh kacak membuatkan hati Fazila kembali merasa bersalah.
Sememangnya sejak dari dulu lagi dia mengharapkan sesuatu dari lelaki di
hadapannya ini. Namun, sikap dingin Abang Faris terhadapnya selama ini
membuatkan Fazila merasakan begitu terpinggir sekali.
“Apa khabar Ila ...?” lembut sekali pertanyaan itu singgah di
telinganya.
“Baik bang....,” jawabnya sambil tersenyum lagi. Masih cuba untuk
berlagak seikhlas mungkin, meskipun terasa hambar sekali senyuman yang
diberikan itu.
Dan dia sendiri pun tahu betapa senyumannya itu sungguh tidak ikhlas.
Bagaimana mungkin ikhlas sekiranya hati dihujani dengan rasa bersalah? Pasti
kelihatan hambar sekali di mata semua yang memandang. Namun masih dia cuba
untuk memaniskan wajahnya supaya tidak terlihat janggal di mata kedua-dua
tetamunya.
“Makcik apa khabar?” katanya sambil mengalihkan pandangannya ke wajah
Makcik Hasmah.
“Baik Ila ... hari tu demam sikit. Seminggu jugak makcik tak dapat
bangun...,”
“Eh.. iye ke?” kata Fazila dengan rasa bersalah kerana terasa seperti
dia tidak menghiraukan keadaan bakal emak mertuanya itu. Kalau tak pernah
bertanyakan khabar, adakah itu maknanya dia seorang yang tidak mengambil berat?
Perlahan dia melepaskan keluh. Cuba menyembunyikan keluhan itu dari Makcik
Hasmah.
“Tapi sekarang ni dah baik demamnya. Alhamdulillah...,” senyuman masih
tetap meniti di bibir wanita separuh umur itu. Dia bagaikan dapat membaca riak
bersalah di wajah Fazila, tetapi dia hanya mendiamkannya.
“Oh ya... mari kita ke kantin. Mesti dahagakan... jalan jauh-jauh ni...,”
katanya cuba untuk menutup perasaan bersalahnya. “Mari makcik... abang....,”
“OK.. jom mak... dahaga jugak ni...,” kata Abang Faris. Cuba untuk
menceriakan suasana yang agak dingin itu.
Makcik Hasmah tersenyum sambil mengikuti langkah anak-anak muda itu.
“Maafla tadi... Ila keluar ...,”
sambungnya lagi.
“Hemm... itula... nak talipon , tak ada nombor... Ila masih tak ada
telefon kan?” tanya Makcik Hasmah.
Terkesima Fazila dibuatnya apabila mendengar kata-kata Makcik Hasmah
itu. Apa harus dia katakan? Jika menjawab tidak, pastinya dia berbohong. Jika
menjawab ia.... pasti akan timbul persoalan lain pula. Aduhai ... serba salah
jadinya. Akhirnya dia cuma tersenyum tanpa kata.
“Mari... kita duduk kat sini...,” katanya sambil mengambil tempat di
satu meja yang agak jauh dari pelanggan lain. Mereka duduk dan sebentar
kemudian pelayan kantin datang untuk mengambil pesanan.
“Ila ... mak nak kena pergi tandas ni. Kat mana ye?” pinta Makcik Hasmah
menyatakan hasratnya.
“Oh.... mari... Ila temankan...,” kata Ila sambil bangun.
Dalam tangkas bangunnya untuk menunjuk arah letaknya bilik air di
bahagian dapur rumah, sedikit pun telinga Fazila tidak terlepas dari mendengar
panggilan yang dibahasakan oleh Makcik Hasmah.
Namun dia hanya diamkan sahaja.
“Tak apalah.... mak pergi sendiri. Ila dudukla situ... kat mana
tandasnya?” kata Makcik Hasmah menolak pelawaan Fazila untuk menemaninya.
Fazila menundingkan ibu jarinya ke arah tempat yang dimaksudkan dan Makcik
Hasmah terus melangkah pergi, meninggalkan dia dan Abang Faris di situ. Dia
kembali duduk di kerusinya.
Sesaat.... dua saat... dan tiga saat..... dia jadi tidak menentu.
Sesaat.. dua saat.. tiga saat... terasa mata Abang Faris bagaikan
menjilat wajahnya... buat seketika tubuhnya terasa bagaikan hangat.
“Yang mana satu hostel Ila?” akhirnya
Abang Faris bersuara untuk memecahkan
kebisuan.
“Oh... yang sana tu...,” katanya sambil menundingkan ibujarinya ke
bangunan hostelnya. “Kalau berjalan dekat je.... lalu ikut tepi padang tu...
tapi kalau nak pergi dengan kereta, jauh sikit. Kena pusing kereta ikut jalan
sana tu...,” katanya sambil menunjukkan jalan untuk ke perkarangan bangunan
hostelnya.
“Owh....,,” jawab Abang Faris ringkas.
Diam lagi.... sesat... dua saat... tiga saat....
Mata Fazila menatap ke wajah tunangannya itu. Mencuri pandang ke bibir
Abang Faris yang masih tersenyum. Namun
rasa malu menerjah ke hatinya apabila dia mendapati yang Abang Faris
menyedari perlakuannya itu. Dalam keadaan merah padam rona wajahnya, Fazila
berpaling ke arah lain.
“Ila ...,” panggilan Abang Faris membuatkan Fazila kembali berpaling
menatap wajah itu. Ternyata dia tidak dapat mentafsir apa yang ada di dalam
hati lelaki di hadapannya itu.
“Ila tak baca ke pm (personal
message) abang di fb tadi?” tanya
Faris perlahan.
Pertanyaan itu membuatkan Fazila terdiam seketika. Ada rasa terkejut
dengan apa yang ditanya.
“Owh... ada... Ila dah baca tengahari tadi. Masa abang cakap abang dah
nak bertolak tu..,” jawabnya selepas diam seketika.
“Owh... ingatkan tak baca. Sebab Ila tak jawab apa-apa. Lepas tu... Ila
tak online lagi ye?”
“Emm... tak... Ila baru je balik... tak sempat lagi nak online. Tadi...
emmm... kawan Ila ajak singgah makan... kejap...,” katanya teragak-agak.
Terasa amat bersalah. Namun, salahkah dia? Dia tidak menipu. Apa yang
dia nyatakan itu betul semuanya. Selepas balik dari kampus, memang dia keluar
makan. Walau dengan siapapun, perlukah dia jelaskan kepada Abang Faris?
Sedangkan selama ini Abang Faris tidak pernah sekali pun bertanyakan tentang
aktivitinya. Sedangkan selama ini dia dibiarkan sendirian membawa haluan diri?
“Ohhh...,” jawab Faris ringkas.
Perbualan mereka terganggu apabila pesanan mereka tiba. Pelayan restoren itu menghidangkan air
minuman dan sepiring pisang goreng dan keropok lekor yang masih
panas-panas. Selepas selesai tugasnya
dia berlalu pergi. Meninggalkan kedua-duanya untuk menyambung bicara.
“Esok Ila free tak? Weekend, tak
ada kelaskan?”
Berdebar hati Fazila mendengarkan soalan itu.
“Emmm... iye... weekend..
selalunya ada kelas, tapi esok pensyarah Ila outstation. Jadi... emm... Ila free...
,” katanya separuh berbohong. Selalunya dia menghabiskan sebahagian waktu yang
terluang di hari minggunya bersama anak-anak Professor Ruquiyah. Tetapi
sememangnya minggu ini dia sudah memberitahu mereka tentang kedatangan
‘kawannya’ ini.
“Abang nak ajak Ila keluar... boleh?”
Terdiam seketika dek rasa terkejutnya. Sungguh dia tidak menyangka
pelawaan itu akan dibuat di saat ini. Tidakkah seperti sedikit terburu-buru
mangajaknya keluar begitu, sedangkan Abang Faris baru sahaja tiba. Mungkin
kerana tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Lalu persoalan itu yang keluar
dari bibir tunangannya.
Dan dia yakin pastinya mereka akan keluar bersama Makcik Hasmah. Mana mungkin Abang Faris
akan meninggalkan Makcik Hasmah sendirian. Fazila tahu bagaimana rapatnya kedua
ibu dan anak itu.
“Emmm... nanti Ila tanya mak dulu.... kalau mak kata ok... bolehlah
kut...,” katanya perlahan.
Terdiam Faris mendengarkan
kata-kata tunangannya itu. Gadis seusianya masih lagi mahu mendapat izin dari
emak dan ayah maupun untuk keluar dengan tunangannya. Terasa kembang hatinya
menyedari hakikat itu. Fazila seorang yang cukup taat kepada kedua orang ibu
dan ayahnya. Jika tidak, mana mungkin dia sanggup ditunangkan meskipun tidak
mengenali siapa tunangannya ini.
Hati Fazila pula bergelodak dengan seribu perasaan. Dia merasa bersalah
apabila memberikan syarat yang dia ucapkan seketika tadi. Semasa diajak keluar bersama
Amir Hamzah, dia sedikitpun tidak meminta izin dari emak dan abah. Mengapa kali
ini syarat itu yang keluar dari bibirnya? Namun hakikat bahawa dia sebenarnya
tidak keluar bersendirian dengan lelaki
itu membuatkan dia merasa sedikit lega. Bukankah Epul dan Eisya ada bersama
mereka. Lagipun itu bukan suatu temujanji, hanya aktiviti yang termasuk di
dalam agenda tugasnya sebagai peneman untuk kedua-dua anak pensyarahnya itu.
Dia bukannya bercinta pun dengan Amir Hamzah. Namun entah mengapa hatinya bagai
menafikan semua lintasan di fikirannya itu. Benarkah begitu? Benarkah tidak ada
apa-apa perasaan antara dia dan Amir Hamzah. Tapi, apa pula maksud kata-kata
yang keluar dari bibir Amir Hamzah semasa di restoren KFC tadi?
“Jemput minum bang... emm... air kosong
je ni...,” sapa Fazila perlahan.
Menanti respon Abang Faris membuatkan hatinya mendesah sendirian.
Suasana diam kembali. Masing-masing seperti cuba mencari topik untuk
diperbualkan. Ternyata masing-masing bungkam. Hanya sepi yang menyelubungi
suasana.
“Ila... ok ke ...?” akhirnya Abang Faris membuka kata.
Perlahan Fazila menarik nafas. Terasa bagai belum bersedia untuk
berbicara tentang hubungan mereka pada saat ini. Tetapi dia menganggukkan
kepalanya perlahan. Tidak sopan sekiranya dia membiarkan pertanyaan itu berlalu
tanpa jawapan. Abang Faris juga tentunya mengharapkan jawapan untuk persoalan
yang dia ajukan itu. Dalam diam Fazila berdoa supaya Makcik Hasmah cepat-cepat kembali
ke meja it. Sungguh dia tidak masih belum bersedia untuk membincangkan tentang
hubungan mereka di saat ini.
“Emmm... ok... Ila ... ok. Abang.... ok tak? ”
Faris tersenyum. Entah mengapa dia merasakan seakan-akan ada sesuatu
yang tidak kena. Fazila kelihatan seperti begitu tidak selesa dengan
kehadirannya. Sejak mula dia tiba lagi, dia sudah meresakan sebegitu. Mungkinkah
sikap Fazila itu disebabkan oleh perlakuan dirinya yang bagaikan tidak
mengendahkan tunangannya itu selama ini? Atau mungkin kerana sebab-sebab lain.
Kalau dulu, semasa mereka bertemu di hari pertunangan, Fazila tidak sebegini.
Walaupun dalam keadaan malu-malu, masih gadis itu tidak bersikap sebegini.
Faris sendiri tidak mampu mentafsirkan segalanya, tetapi perasaannya kuat,
mengatakan yang ada sesuatu yang sememangnya tidak kena.
“Emmm. Ok... abang ok...,” kata
Faris sambil bibirnya melirikkan senyuman. Cuba mencairkan tembok dingin di
antara mereka. Cuba memecahkan benteng kelu yang terbina diam di hati mereka
Jawapan tersebut membuatkan Fazila merasa semakin resah. Ada ke patut
soalan itu yang dia tanya? Melihatkan keresahan yang membawa kerut-kerut resah
di wajah gadis manis itu, Faris terus tersenyum lagi.
“Tak apa... jangan risau.... abang
ok je...,”
Kata-kata itu membuatkan Fazila merasa lega. Dia membalasnya dengan
sebaris senyuman. Tiada sindiran yang
membalas kata-katanya sepertimana yang selalu dilakukan oleh Amir Hamzah. Hanya
jawapan yang kelihatan ikhlas dan senyuman yang manis meniti bibir lelaki itu.
“Ohh.... emmm abang tinggal kat hotel mana? Lupa Ila nak tanya tadi..,”
“Euro Rich Hotel... dekat je.. dalam 15 minit jauhnya..,”
“Emmm.... ,” jawabnya sambil menganggukkan kepalanya.
“Hotel kecil je Ila ... tapi... katanya selesa.. mak yang suruh cari
hotel paling dekat dengan tempat Ila ni... itu yang abang booking bilik kat situ...,”
“Ohhh...,”
‘Emak lagi.... semua emak yang mau... abang sendiri tak mau apa-apa ke?’
rungut Fazila dalam hati. Namun kata-kata itu hanya tersimpan diam di dalam
hatinya.
Walaupun hatinya berbicara, hanya bungkam yang menyambut bicara mereka.
Suasana kembali sunyi di antara mereka. Apa yang harus diperbualkan untuk
mengisi waktu sebegini? Fazila jadi buntu. Terus berdoa supaya Makcik Hasmah
akan kembali menyertai mereka.
“Emmm... jemput minum bang...,” pelawanya sekali lagi demi untuk mengisi
ruang-ruang kosong di antara mereka.
“Kita tunggu mak,”
Fazila mengangguk sambil tersenyum. Sungguh lelaki yang bakal menjadi
suaminya ini amat menghormati emaknya. Perasaan hormat memenuhi ruang hatinya.
Sungguh dia sentiasa mendahulukan emaknya.
Seketika kemudian, kelihatan Makcik Hasmah keluar dari tandas. Senyuman
wanita itu membuatkan dia cuba melupakan apa yang dia alami bersama Amir Hamzah
awal petang tadi. Dia perlu menumpukan perhatiannya terhadap tetamunya di saat
ini. Biarkanlah perkara Amir Hamzah ini di letak ke tepi dahulu. Ada masa nanti
akan dia fikirkan hal itu sebaik mungkin. Malah, dia sendiri tidak yakin apa
yang sebenarnya yang ada di antara dia dengan Amir Hamzah. Mungkin tak pernah
ada apa-apa pun di antara mereka sebenarnya. Dan mungkin tidak akan ada
apa-apa. Hanya sebuah daya tarikan yang biasa disebut sebagai ‘chemistry’. Itu sahaja.
0 comments:
Post a Comment