Bab 33
“Abang rasa abang kena cari dua tiga orang pekerja la Mai.
Susah nak uruskan warung tu seorang-seorang bila dah buka sampai ke malam macam ni,”
“Hemmm... macam ni. Apa kata kita bincang dan rancang
dulu apa jenis makanan yang kita nak jual. Kemudian, barulah kita boleh
tentukan berapa orang yang kita nak ambil bekerja. Macam yang kita bincang hari
tu, jualan untuk sarapan kita serahkan pada Kak Mariah. Tengahari, abang
uruskan. Mungkin boleh tambah menu. Contohnya tambah lauk-pauk lain. Kita
carilah siapa-siapa yang boleh masakkan lauk-pauk tu. Dan petang, Kak Mariah jual
goreng pisang. Malam pulak, abang jual masakan panas,” panjang sekali Mai
memberikan cadangan.
“Ok, pagi dan tenghari memang dah tak ada masalah. Yang
petang tu, Kak Yah dah setuju nak uruskan. Dia dengan Kak Ani akan jual goreng
pisang, keropok, fish ball goreng, ikan celup tepung dan macam-macam lagi.
Mesti laku sebab petang orang ramai akan lalu jalan tu untuk jalan-jalan kat
tepi pantai. Nak-nak kalau hari minggu,” kata Syamsul penuh teruja.
Mai tersenyum penuh bahagia. Pertama kali dalam hidupnya
dia merasakan ada peranan yang dimainkannya dalam hidup seorang lelaki yang
bergelar suami. Pendapatnya di perlukan dalam soal ini. Bukan sahaja
cadangannya didengari, malah dia juga diberi peluang untuk memikirkan bagaimana
cara untuk mereka bersama menaikkan taraf perniagaan Syamsul. Bukankah itu
menunjukkan dirinya diterima secara menyeluruh dalam hidup suaminya ini? Ah.. sungguh dia bahagia.
Tambahan lagi Wawa juga sudah mula menerimanya sebagai mamanya. Bukan sahaja
sebagai seorang ibu, malah juga sebagai seorang teman. Mereka banyak
menghabiskan masa bersama kini. Ketika cuaca mengizinkan, mereka bersiar-siar
di tepi pantai. Ketika perlu membeli belah bagi keperluan harian mahu pun
keperluan di warung, Mai, Wawa dan Nabil akan keluar bersama.
Mereka sudah jadi begitu akrab seperti keluaga-keluarga
lain. Syamsul banyak bergantung
kepadanya dalam pengurusan kewangan perniagaannya. Malah mereka telah membuka
satu akaun bersama demi untuk menguruskan soal kewangan warung mereka. Pada
mulanya Mai meminta supaya Syamsul terus
menggunakan akaun peribadinya. Tetapi suaminya itu berkeras untuk mempastikan
Mai tahu apa yang berlaku terhadap wang yang dipinjamkan oleh Mai. Mai pula
terpaksa menerima syarat itu sekiranya dia ingin membantu. Syamsul telah menjelaskan bahawa dia tidak akan menerima
wang itu kecuali Mai bersetuju bahawa wang itu adalah pinjaman dari Mai.
Waktu berlalu dan ada ketikanya Mai mula merasakan
debaran tentang perpisahan yang akan kembali berlaku. Dia menghitung hari demi
hari bila saat cuti sekolah itu akan berakhir dan dia terpaksa kembali semula
ke Shah Alam untuk menyambung tugasnya.
Untuk memohon pertukaran ke Kelantan sememangnya adalah amat sukar
sekali kerana tidak ada kekosongan jawatan guru di negeri itu setakat ini. Tambahan
lagi dia terpaksa menunggu giliran untuk permohonan pertukaran ke
sekolah-sekolah di negeri itu diluluskan. Menurut pegawai di Jabatan Pendidikan
Negeri Kelantan, kalau pun ada peluang, hanyalah sekiranya ada mana-mana guru
di negeri ini yang ingin membuat pertukaran suka sama suka. Dan masalah ini
pasti berlanjutan kerana setakat ini tiada guru yang memohon keluar dari negeri
Kelantan walaupun mereka sebenarnya tidak berasal dari negeri ini. Ada di
kalangan guru-guru yang cukup selesa berada di negeri ini sehinggakan tidak
mahu memohon pertukaran keluar dari negeri ini. Faktor utama perkara ini
berlaku menurut pegawai tersebut ialah kerana kos sara hidup yang agak rendah
di sini berbanding dengan di negeri lain. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia
berhenti dari tugasnya sekarang. Namun dia tidak cukup berani untuk melepaskan
jawatan yang telah sekian lama disandangnya itu. Namun dia bertekad, bila
sampai masa permohonan pertukaran dibuka nanti, dia pasti akan mencuba nasib,
mengisi borang permohonan pertukaran. Manalah tahu kalau-kalau dia bernasib
baik, permohonannya diluluskan.
Kira-kira dua minggu dari tarikh cuti sekolah tamat, Mai
menghubungi Kak Gee untuk mengetahui aktiviti sekolah menjelang tahun baru
nanti. Panjang lebar kak Gee menerangkan mengenai jadual-jadual mesyuarat yang
perlu mereka ikuti sepanjang minggu terakhir cuti sekolah nanti. Ini bermakna
Mai perlu pulang seminggu lebih awal ke Shah Alam. Semua ini membuatkan hatinya
jadi resah. Dia pasti dia tidak mampu berhadapan dengan Irfan sendirian. Untuk
menyuarakan perkara ini kepada Syamsul
dia merasa agak keberatan memandangkan Syamsul agak sibuk dengan urusan
perniagaannya. Dia tidak mahu mengganggu suaminya yang sedang mula bertapak
dalam bidang tersebut. Mana mungkin dia mampu meminta Syamsul kembali bersama dia di Shah Alam. Lalu dia
mengambil keputusan untuk diam. Malah insiden dia bersama Irfan tempohari juga
masih belum berani untuk dikongsi bersama dengan Syamsul. Dia tidak mahu
Syamsul salah anggap padanya. Dan yang
pastinya dia tidak mahu Syamsul risau
akan keadaannya bila sendirian di Shah Alam.
Namun perkara ini tidak terlepas dari pandangan emak
mertuanya. Malam itu Makcik Nisah menyuarakan tentang perkara itu kepada
Syamsul. Dan tanpa dia menduga, rupa-rupanya perkara ini sememangnya ada dalam
fikiran Syamsul.
“Syam pun risau mak... nanti Mai seorang-seorang kat
sana. Siapa nak temankan dia...,” kata Syamsul
sambil mengeluh perlahan.
“Tak apa bang... Mai ok...” sampuk Mai perlahan.
“Mai pasti ke akan ok nanti?” tanya Syamsul sambil
berpaling kepada Mai yang sedang duduk bersandar manja di sebelahnya.
“Insyaallah tak apa-apa. Selama ni pun Mai ok kan? Nanti,
kalau tak ada aktiviti sekolah, tiap-tiap minggu Mai balik sini..., ” katanya sambil tersenyum. “Cuma Mai nak minta
abang hantarkan Mai balik. Hari tu masa balik sini Mai memandu, konvoi dengan
kawan-kawan. Balik ke sana nanti, terpaksalah balik seorang-seorang sebab tak
ada kawan. Abang hantarkan ye?” sambungnya lagi.
“Tapi Mai, kat sana nanti.... ,”
“Mai oklah bang... Mai nak abang tumpukan pada warung
kita tu. Biar maju... Mai nak abang usahakan sampai berjaya. Biar berbaloi
usaha kita selama ni...,” kata Mai sebelum sempat Syamsul menghabiskan kata-katanya.
Syamsul diam.
Namun di hatinya pertanyaan demi pertanyaan tentang Irfan begitu mengganggu.
Bagaimana nanti kalau lelaki itu kembali menganggu Mai sedang dia tiada di sisi
Mai untuk melindunginya. Namun untuk bertanyakan tentang itu di hadapan emaknya,
dia tidak berani. Dia tidak mahu menimbulkan tanda tanya emaknya tentang siapa
Irfan. Dia nekad, bila dia dan Mai bersendirian nanti, dia akan bincangkan
kembali tentang perkara ini.
Mai terus cuba menukar topik perbualan dengan kembali
menumpukan tentang perbincangan hal-hal perniagaan Syamsul. Sebelum dia kembali
ke Shah Alam, dia akan pastikan segalanya selesai. Dia akan pastikan
Syamsul dapat meneruskan perniagaannya
dengan selesa. Penambahbaikian warung itu juga perlu disiapkan untuk
menyediakan ruang yang lebih banyak untuk meletakkan meja-meja makan untuk pelanggan.
Ruang rehat juga perlu ditambah untuk keselesaan pekerja-pekerja di warung.
Semua penambahbaikian ini telah dipersetujui bersama tuan punya warung dengan
syarat perbelanjaannya akan di tanggung oleh Syamsul. Semua perbelanjaan itu
nanti akan di tolak dari sewa bulanan warung itu sedikit demi sedikit sehinggalah habis kesemuanya.
Mengikut perkiraan, kos itu akan mengambil masa satu tahun untuk tamat
pembayarannya.
Syamsul telah
menentukan penambahbaikian yang memakan kos yang seminima mungkin. Warung
terbuka tanpa dinding itu hanya memerlukan atap rumbia, tiang dan lantai simen.
Di sekeliling tepi dan belakangnya hanya dipagari oleh lapisan dinding kayu
separas pinggang. Suasananya cukup selesa tanpa perlu kipas angin kerana ia
terletak di kawasan yang berhampiran dengan pantai. Angin dari pantai sudah
cukup kuat untuk menyamankan para pelanggan ketika menikmati juadah
masing-masing. Hanya tempat memasak
sahaja yang berada di ruang yang tertutup.
Kerja-kerja pembaikian dijangka akan siap dalam masa dua
tiga hari sahaja lagi. Selepas itu Syamsul
akan mengecat sendiri dinding warung mereka itu untuk mengurangkan kos
upahnya. Anak kak Mariah pula sudah setuju untuk membantu mengecat di bahagian-bahagian
yang lebih tinggi. Dan selepas itu mereka hanya perlu mempastikan ruang-ruang
ini penuh dikunjungi pelanggan. Semua persediaan telah dijalankan. Empat buah
meja makan dan enambelas buah kerusi plastik telah ditempah dan akan di hantar bila
ruang ini telah siap nanti, menjadikan warung itu mempunyai sepuluh buah meja
makan semuanya. Dan dia dan Mai juga telah menyenaraikan peralatan yang perlu beli untuk keperluan di
dapur serta untuk hidangan. Sekiranya mereka tidak sempat untuk pergi bersama,
Syamsul akan meminta Kak Mariah dan
Abang Derasid untuk turut sama membantu. Yang pasti semua persediaan telah
dirancang rapi oleh Mai. Sambil itu juga mereka telah menawarkan kerja-kerja
untuk menarik beberapa orang anak muda di kawasan tersebut untuk bekerja dengan
Syamsul. Yang pasti mereka perlukan beberapa orang pelayan, pencuci pinggan dan
juga pembantu Syamsul untuk menyediakan
bahan-bahan masakkan. Beberapa orang telah datang untuk bertanyakan khabar
tentang peluag kerja itu. Dan Syamsul
telah menyelidiki latarbelakang peribadi mereka untuk memastikan pekerja
yang jujur dan benar-benar ingin bekerja sahaja yang akan di ambil bekerja. Dia
memerlukan mereka yang serius hendak mencari rezeki, bukannya mereka yang nanti
hanya bekerja seperti melepaskan batuk di tangga.
Samada Mai ataupun Syamsul, kedua-duanya cukup merasa
teruja dengan perkembangan ini. Masing-masing bagaikan tidak sabar untuk
melihat wajah baru warung mereka itu. Tukang rumah yang mereka upah, Dollah dan
Mat Yie juga begitu teruja sekali untuk menyiapkan tugas mereka. Pastinya
begitu, kerana Syamsul telah menjanjikan
bahawa baki upah hanya akan dibayar sepenuhnya apabila semua kerja-kerja mereka
siap nanti.
****
Sedang Mai dan Syamsul asyik di dapur menyediakan juadah
untuk jualan tengahari itu, kedengaran sesorang memberi salam kepada Kak Mariah
yang sedang berjualan di ruang tengah warung. Syamsul menjengah keluar untuk melihat siapa yang
datang.
“Assalamualaikum
Pak Din....,” sapanya mesra pada lelaki separuh abad itu. Pak Nordin
yang sedang menatang bungkusan nasi berlauk pagi di tangannya segera
menghampiri Syamsul.
“Mai, tolong buatkan air nescafe ye? Pak Din tu...,”
lembut sekali dia meminta Mai menyediakan air untuk tetamu mereka.
“Baik bang,” kata Mai sambil bangun dari kerja mengupas
bawang yang sedang dilakukannya sejak tadi.
Sebenarnya dia tidak perlu berbuat itu semua kerana anak
Kak Mariah sudah ada yang ditugaskan untuk kerja-kerja itu. Namun Mai yang
tidak betah untuk tinggal di rumah sering datang membantu. Malah Nabil dan Wawa
juga sering mengikutinya ke warung terutamanya di waktu pagi sebegini. Shuhaida
pula jarang turut serta kerana menemani emaknya di rumah. Tambahan lagi dia
perlu menyiapkan tempahan menjahit manik bagi baju-baju pelanggannya. Syamsul bercadang apabila ruang rehat yang sedang
dibina siap nanti, bolehlah emaknya turut bersama mereka di warung tersebut. Kehadiran
emaknya nanti bukannya untuk membuat apa-apa kerja, tetapi hanya sekadar untuk menemani mereka di situ.
Tentu suasana akan jadi lebih menyenangkan bila emaknya ada nanti.
Syamsul meninggalkan
kawasan dapur untuk melayan Pak Din yang sangat dia hormati. Mereka duduk di
meja yang berdekatan dengan pintu masuk ke dapur. Ketika Mai keluar dengan
dulang yang berisi dua cawan nescafe panas untuk suaminya dan Pak Nordin,
mereka kelihatan begitu larut membincangkan sesuatu.
“Nanti dio balik,
Pak Din suruh dia maghi juppo Sye...,” kata Pak Din smbil menganggukkan
kepalanya.
“Hemm... marila...
bila-bila pung tak po. Buke nok interview sangat Pak Din. Cumo nok kenal rupo
dulu sebelum ambik khijo denge kito...” kata Syamsul pula.
Perlahan-lahan Mai meletakkan cawan di hadapan Pak Din
dan Syamsul. Dia cuba untuk memahamkan apa yang dibincangkan oleh suaminya itu.
“Jemput minum Pak Din...,” sapanya sambil tersenyum
manis.
“Emmm... terimo
kasih cikgu. Hari ni air sepsel ni... cikgu sediri hok hide (hidang) ni...,” kata Pak Din sambil ketawa
dalam gurauannya. Syamsul juga turut
ketawa manakala Mai hanya senyum lagi membalas gurauan lelaki separuh umur itu.
Dia diam tak mampu berkata. Dia faham dan suka akan gurauan itu tetapi agak
sukar untuk menjawab kerana kekok dengan dialek bahasa Kelantan yang begitu
pekat sekali. Lantas dia cuma senyum kepada lelaki itu.
“Molek
sungguh cikgu jago Sye nih... Tengok tu,,, berisi doh sikit. Napok segar
benar lo nih..,” kata Pak Din dalam nada gurauan. Matanya beralih dari
wajah Mai ke wajah Syamsul. Membaca kebahagiaan yang terpapar di hadapan mata.
“Tak dok la Pok
Din. Biaso jah ni. Dok paka seluar haghi tu jogok ni. Tok gemuk lagi...,”
kata Syamsul sambil tersenyum lirih.
“Heh... sapo kato
gemuk.... hensemla sikit bilo berisi lagu ni. Tidokla kurus kekek sghupo hari
tu...,” balasnya sambil ketawa besar lagi.
Mereka semua yang ada di warung itu turut ketawa
melihatkan kegembiraan Pak Din, Syamsul
dan Mai. Ada yang menyampuk hingga menggamatkan lagi suasana. Usik
mengusik membuatkan suasana lewat pagi itu makin ceria. Pada saat itu tiada
yang lebih indah dirasakan oleh Mai. Hatinya berbunga riang.
****
“Tadikan... abang bincang pasal apa dengan Pak Din tu
bang? Mai tak fahamla..,” tanya Mai malam itu
setelah mereka masuk ke bilik tidur untuk merehatkan diri.
“Pak Din cakap...
ada anak saudara dia yang tengah kerja kat KL nak balik ke sini. Dia
sekarang ni tukang masak kat restoren di sana. Bila balik nanti dia minat nak
kerja dengan abang. Jadi abang dah setuju nak jumpa. Kalau orangnya ok, bolehlah
abang ambil kerja dengan kita,” kata Syamsul
sambil menukar baju melayu yang sedang dipakainya dengn sehelai t shirt
lusuh yang biasa dipakai untuk tidur.
“Emmm... baguslah kalau gitu. Kalau dia sesuai, mungkin
sebelah malam dia boleh uruskan warung... kan bang?”
“Kalau kita boleh percayakan dia, bolehla...,”
“Abang tak kenal dia?”
“Tak, budak tu muda lagi. Dia mula kerja kat KL lima
tahun lepas. Kata Pak Din, dah dua tahun dia memasak kat restoren di KL tu,”
“Oh.. tapi kenapa dia nak balik sini. Kat KL, gajikan
lebih mahal,”
“Entah la Mai, abang tak tanya la pulak pasal tu...,”
Mai merebahkan dirinya di katil, matanya mulai terasa
cukup mengantuk. Aktiviti hariannya kini sudah bertukar sama sekali dari
sebelum ini. Kalau dulu dia lebih banyak bermalas-malasan terutama di waktu
cuti sekolah begini, tapi kini hidupnya dipenuhi dengan sesuatu yang amat
berguna. Sungguh tidak pernah dia menyangka semua ini akan berubah dalam waktu
yang sebegini singkat.
Matanya beralih ke meja kecil di tepi katil. Jam di situ sudah
menunjukkan ke pukul 11.00 malam. Perlahan-lahan Syamsul mengambil tempat tidurnya di sebelahnya.
Terasa agak pelik mengapa Syamsul tidak
terus mematikan suis lampu, tetapi dia mendiamkan sahaja persoalan di hatinya.
Sementara dia belum lena, biarlah dia menatap wajah itu sepuas-puasnya. Waktu
yang menginjak terasa ingin dihentikannya. Seakan-akan tidak mahu cuti sekolah
kali ini tamat tempohnya.
“Mai ...,” seru Syamsul
memecahkan keheningan yang tiba-tiba berlaku di antara mereka. Suaminya
itu belum lagi merebahkan diri. Hanya duduk menyandarkan dirinya di kepala
katil.
“Emmm....,” jawab Mai dalam keadaan separuh mamai.
“Abang ada benda nak bagi Mai .... tapi abang tak tau Mai
suka ke tak...,” katanya perlahan. Dalam terpinga-pinga Mai memandang ke wajah
suaminya itu. Matanya menggambarkan satu persoalan. Dia bangkit dari
perbaringannya dan duduk menghadap suaminya. Dan, perlahan-lahan Syamsul mengambil sesuatu dari tepi katil dan menghulurkankan
kepada Mai. Makin bertambahlah lagi persoalan di hati Mai namun dia menyambut
pemberian Syamsul yang berupa satu beg
plastik kacil.
“Bukalah... emmm... abang tak tau macam mana nak balut,
pakai letak dalam beg plastik je...,” kata Syamsul apabila melihat Mai hanya diam. Ada
tanya-tanya di hatinya samada pemberiannya nanti akan diterima ataupun tidak.
Mai membuka beg plastik itu perlahan-lahan. Dari
pengamatannya dia dapat rasakan bahawa ianya adalah sehelai kain. Lantas
perlahan dia mengeluarkan benda itu untuk menjawab persoalan di hatinya.
Ternyata ianya adalah sehelai tudung. Dua helai sebenarnya. Matanya terus
menatap wajah Syamsul dalam perasaan
yang cukup terharu. Tak semana-mena
datang satu perasaan yang sungguh tidak dimengertikannya. Cukup terharu dengan
pemberian ini. inilah kali pertama Syamsul
memberikannya sesuatu. Dan ianya sesuatu yang amat bermakna.
“Abang tak tau Mai suka ke tak... emm... harganya murah
je tu...,” ucap Syamsul dalam tanpa
melihat kepadanya. Untuk pertama kalinya Mai melihat Syamsul berada dalam keadaan yang serba salah.
“Dah lama abang beli. Abang nak bagi... tapi abang takut
Mai tak suka. Kalau Mai tak suka, abang harap Mai simpan je lah... tapi kalau
boleh, abang minta Mai pakai...,” ucap Syamsul
perlahan-lahan. Hatinya terus tertanya-tanya apa persepsi Mai dengan
pemberiannya itu. Sukakah, bencikah, meluatkah, atau bagaimana?
Mai terus meletakkan tudung berwarna pink dan kuning air
itu di sebalahnya dan memeluk Syamsul dengan erat sekali. Ada tangis di
matanya, ada sendu di hatinya, ada sayu merantai jiwanya saat itu. Hadiah itu
menunjukkan sesuatu kepadanya. Sesuatu yang selama ini dia tahu tetapi tidak
mampu untuk dia lakukan.
“Selama ni, abang
tak berapa suka bila Mai keluar rumah tak pakai tudung elok-elok, sebab... Mai
cantik. Abang tak suka orang lain tengok kecantikan Mai tu... itu semua milik
abang... Abang tak suka kongsi...,”
Mai menelan air liurnya. Dia meleraikan
pelukannya lalu menatap wajah Syamsul. Kali kedua Syamsul mengisytiharkan Mai sebagai hak miliknya dan
kali ini kata-kata itu terlantun jelas dari bibirnya. Kata-kata yang kedengaran
begitu tegas sekali walaupun ada nada yang tidak pasti di situ. Mungkin
suaminya itu tidak pasti akan penerimaan Mai
terhadap permintaannya untuk Mai menutup aurat. Tetapi begitu tegas
sekali dia menyatakannya walaupun bukan dalam bentuk kata-kata. Ketegasan yang
meruntuhkan ego Mai sebagai seorang wanita. Yang selalu ingin dilihat cantik
walaupun bukan untuk menarik perhatian sesiapa.
“Kalau tak suka... Mai simpan ye...,” kata Syamsul sekali lagi. Mengulangi kata-katanya yang
diucapkan sebentar tadi.
“Mai suka bang... Mai suka... dan Mai akan pakai. Sebab
abang yang bagi...,” bisik Mai sambil menyeka air mata di pipinya. Sungguh dia
terharu dengan kata-kata Syamsul yang
seperti sedang berjauh hati dengan kebisuannya. “Mai akan pakai... untuk
abang..,”
“Jangan... bukan kerana abang...,”
Terkejut lagi Mai mendengarkan kata-kata itu. Namun dia
tidak bersuara. Hanya pandangan matanya yang menunjukkan persoalan di hatinya.
“Abang nak Mai ikhlas, pakai kerana itu syariat kita
sebagai hamba Allah. Wajib atas diri Mai
untuk tutup aurat. Bukan pakai selendang yang tutup sebahagian, tapi sebenarnya
masih lagi tetap dedahkan kecantikan Mai tu. Abang nak Mai tutup supaya tak ada
mata mereka yang bukan mahram dapat melihat keindahannya. Termasuk jugak dengan
bentuk tubuh Mai. Kalau boleh... abang
minta... bila keluar rumah, Mai jangan pakai baju yang ketat-ketat... Pakai
dalam rumah je... yang itu.. hanya untuk abang...,”
Dan kata-kata itu mengingatkan insiden yang berlaku
tempohari, yang membawa penyatuan hati antara mereka. Penyatuan rasa yang
merantai kedua-dua jiwa mereka. Hinggakan tanpa ragu lagi Mai terus yakin akan
perasaannya terhadap Syamsul. Lantas dia kembali memeluk tubuh Syamsul. Dan
kali ini Syamsul juga memeluk tubuhnya
penuh dengan kasih sayang. Lama mereka diam begitu, menikmati perasaan yang
sungguh syahdu akibat dari pengertian ini.
Selama ini Mai selalu mendengarkan semua itu dari banyak
orang, Ustazah Faridah pernah menyebutnya malah juga dari ceramah-ceramah agama
yang sekali sekala diikutinya samada secara langsung ataupun tidak langsung.
Tetapi sedikit pun kata-kata itu itu tidak terkesan di hatinya. Dan kini bila
ianya disebut oleh seseorang yang dicintainya, ia bagaikan membina tekad di
hatinya, bahawa itulah yang akan dilakukannya. Dia tidak akan teragak-agak
lagi.
Setelah sekian lama hanyut dalam dakapan masing-masing,
mereka meleraikannya dan Mai cepat-cepat kembali membelek tudung yang diberikan
oleh Syamsul. Memang ini semua bukan dari jenis kain yang terbaik. Hanyalah dua
helai tudung dari kain bawal dengan taburan batu-batu kristal yang pasti tidak
mahal harganya. Namun itu semua bukan persoalannya. Persoalannya ialah, ini
adalah pemberian suaminya yang begitu tegas sekali menggambarkan bahawa Mai
adalah miliknya dan bukan untuk dikongsi dengan sesiapa pun walaupun hanya
untuk dipandang.
“Mai suka warnanya... sesuai dengan kebanyakkan baju yang
Mai ada...,” katanya sambil melemparkan senyum ke dalam mata Syamsul.
“Ya... abang perasan, Mai ada banyak baju warna pink..
dan, yang kuning air tu... rasanya sesuai Mai pakai dengan banyak baju..,” kaya
Syamsul perlahan.
Dalam hati terasa bahagia kerana keperihatinan
Syamsul pada pakaiannya. Selama ini dia
menyangka Syamsul tidak peduli apa yang dikenakannya. Namun
kini ternyata tidak sama sekali. Terus Mai bangun dan menggayakan tudung itu di
hadapan cermin muka yang tergantung di dinding. Terasa ingin sekali dia melihat
imej penuhnya di cermin yang lebih besar, tetapi nampaknya dia terpaksa
menunggu hingga esok pagi untuk menggayakannya di bilik Shuhaida. Di bilik ini
tiada cermin besar. Yang ada hanyalah cermin muka bersaiz sederhana. Tidak
patut pula kalau tengah malam begini dia mengejutkan gadis itu hanya untuk
menggayakan tudung yang diberikan oleh Syamsul
itu.
Syamsul hanya
melihat reaksi Mai tanpa sepatah kata. Hatinya terasa cukup senang melihatkan
penerimaan Mai atas permintaannya. Telah lama dia membeli tudung itu, tetapi
dia tidak pasti bagaimana untuk memberikannya kepada Mai. Bimbang kalau-kalau
isterinya menolak. Tetapi kini, dia yakin Mai suka bila melihatkan cara
isterinya itu bereaksi. Dia tidak mampu menanggung dosa-dosa isterinya,
sedangkan dosanya sendiri pun banyak, yang mungkin dilakukan samada dalam sedar
mau pun tidak.
Bila Mai kembali duduk di atas katil di sisinya, masih
ada bisik syukur di hatinya dengan perubahan yang dilihatnya pada diri Mai. Senyuman
manis isterinya itu menyejukkan perasaannya. Membuatkan ada rasa bahagia yang
melingkari jiwanya. Dan sering perasaan itu menyelubungi hatinya sejak akhir-akhir
ini. Kelembutan hati Mai dapat dilihatnya kini. Tidak seperti waktu mereka
mula-mula berkahwin tempohari. Dan semua ini membahagiakannya sebagai seorang
lelaki dan suami.
“Dahlah... kita tidur ye...? Dah tangah malam ni...,” kata Syamsul sambil menatap jam yang menunjukkan hampir ke
pukul 12.00 malam. Mai terus melipat tudung pemberian Syamsul dan meletakkannya di dalam almari. Kemudian
dia kembali merebahkan diri dalam dakapan suaminya selepas memadamkan lampu
bilik. Saat itu dia turut sama merasakan kebahagiaan yang dirasakan oleh
Syamsul, lantas dia membisikkan ucapan terima kasihnya ke telinga suaminya itu.
Bisikan itu disambut dengan satu kucupan di dahinya. Menyemarakkan lagi rasa
bahagia di hatinya. Lama mereka diam begitu. Bagaikan tidak mahu melelapkan
mata dek kerana rasa bahagia ini.
“Nanti kan, bila abang dah mula buka warung waktu malam,
mesti abang balik lambatkan?” katanya perlahan sambil membayangkan apa yang
bakal berlaku nanti.
“Kenapa Mai tanya macam tu?”
“Ingat masa kat Shah Alam hari tu. Selalunya tengah
malam, Mai dah tidur, baru abang balik,”
“Masa tu Mai tak kesah kan?”
“Emmm... tapi sekarang... Mai kesah...,” ucapnya sambil
senyum. Matanya tertancap di wajah Syamsul
yang kelihatan berbalam dek lampu dari luar bilik.
“Habis.... kalau Mai kesah.... abang nak buat macam mana
ya?” tanya Syamsul sambil bibirnya
mengukir senyum mengusik.
“Abang pun kena kesahlah...,” jawab Mai berteka teki.
“Macam mana nak buat kesah... kalau abang tak kesah...,”
“Abang...,” rengek Mai manja.
Syamsul ketawa
sambil kembali melingkarkan tangannya ke tubuh isterinya itu.
“Sebab abang kesahlah abang cuba cari tukang masak lain
untuk waktu malam. Insyaallah abang tak akan tinggalkan Mai malam-malam, paling
lewat pukul 12.00. Boleh?”
“Mmmm.... malam-malam masa Mai ada kat sini, tak
boleh...,” katanya sambil melirik manja.
Syamsul ketawa
lagi sambil mengeratkan pelukannya. Sambil sama-sama mengeluh bahagia, mereka
diam lagi seketika.
“Bang...,”
“Ye...,”
“Mai nak dengar boleh?”
“Dengar apa...?”
“Sajak tu.... Mai nak dengar lagi abang bacakan?” bisik
Mai di telinga Syamsul. Perlahan dia mengucup lembut telinga suaminya yang
sedang berbaring sambil mendakap tubuhnya. Syamsul menolak tubuh Mai untuk merenung ke dalam
mata isterinya itu. Mengerutkan dahinya buat-buat tidak mengerti.
“Sajak...? Sajak apa...?”
Mai memuncungkan bibirnya sambil menolak lembut tubuh
suaminya. Dia meniarap sambil buat–buat merajuk di sebelah Syamsul. Kedua-dua
belah tangannya memanggung dagunya. Saat itu paras wajah Mai kelihatan cukup
menggiurkan di mata Syamsul. Lantas dia meraih lembut rambut Mai yang
panjangnya melepasi bahu itu dan menariknya sehingga wajah itu cukup rapat ke
wajahnya. Ingin dikucupnya bibir munggil itu.
Mai memegang tangan Syamsul untuk memberhentikan pergerakkan itu. Perlahan
dia menggelengkan kepalanya. Dahi Syamsul berkerut melihatkan penolakkan
isterinya. Selalunya Mai yang beria-ia mahukan perkara yang sama seperti apa
yang dia mahukan. Mengapa kali ini Mai menolak.
“Baca dulu sajak tu...,” kata Mai sambil memuncungkan
lagi bibirnya untuk menggoda Syamsul.
“Sajak mana....?”
“Ala.... yang sesaat... tu....,” kata Mai perlahan.
Syamsul senyum.
Sejak dari hari itu rasanya sudah beratus kali dia membacakan sajak itu buat
Mai hinggakan kini sudah mampu dia menghafal setiap bait-bait kata dalam sajak
itu.
“Cepatla... asyik senyum je....,” rungut Mai lagi.
“Tak puas ke dengar yang itu....?”
“Tak... dan tak akan puas.... sampai bila-bila...,” ucap
Mai manja sekali.
“Bila tu?”
“Bila apa...?”
Bila tu... sampai bila-bila...,”
“Sampai bila-bila la...,”
Syamsul senyum
lagi melihatkan gelagat manja isterinya. Cukup menggoda perasaan.
“Cepatla....,”
“Hemmm... Mai ni... tak sabar ya?”
“Hemmm... tak sabarla...,”
“Ok... lepas baca tu... Mai nak bagi apa pada abang...?”
“Emmm.... ok.... apa ye?”
“Cepatlah... fikir... selagi tak cakap abang tak nak
bacakan..,”
“Emmm... adalah....abang bacalah dulu...,”
“Mana boleh... kalau dalam perbincangan, dua–dua kena
bagi keputusan walaupun bersyarat...,”
“Emmm... ok.... Mai
nak bagi.... ni....,” Lantas dia mencium pipi Syamsul.
“La... itu saja? Tak aci... abang nak yang lebih lagi”
“Emmm...,”
“Apa emmmm.... tak jadilah bacakan....,”
“Abang...,”
Syamsul ketawa.
“Ok... Mai mulakan..?” katanya memancing isterinya itu.
Giliran Mai pula yang berkerut keningnya.
“Mulakan apa?”
“Sajak tu....,”
“Emmm... ok... Mai mulakan baris pertama. Lepas tu...
abang mesti bacakan sampai habis. Janji....?”
“Tak boleh... kena baca satu perenggan...,” kata Syamsul,
juga menetapkan syarat.
“Mana aci.... abang baca sedap... Mai baca tak sedap,”
“Kalau dibaca dari hati.... mesti sedap...,”
Kata-kata itu buat Mai tersenyum. Dia merenung dalam-dalam
ke mata Syamsul. Cuba untuk berenang di dalam kolam mata itu. Syamsul senyum dan mengangguk perlahan. Mai membalas
anggukan itu sambil matanya terus menatap ke dalam mata Syamsul penuh bahagia. Sesungguhnya itu sahaja
perasaan yang memenuhi ruang rasanya saat itu. Lantas tanpa sedar bait-bait
kata itu meluncur keluar dari bibirnya.
Saat bahteraku gersang
di sebuah Sahara,
Kering dek dahagakan setitis embun bernama cinta,Kau hadir memberi salam tanpa sebuah makna,
Lantas sekeping hati yang alpa, berputik rasa mekar berbunga...
Lalu tanpa banyak bicara lagi Syamsul meneruskan bacaannya. Dan seperti kebiasaannya,
Mai larut lagi dalam kolam mata itu. Larut dalam kata-kata yang mengelus lembut
di hatinya. Satu demi satu, tiada satu pun yang tertinggal dari telinganya.
Turut sama mengucapkan kata-kata itu. Ya.... sesaat juga cukup baginya untuk
menyatakan cinta ini. Namun, dia mahukan sedetik lagi... dan lagi.... dan
lagi....
15 comments:
auwwww.... romantisnya..... sungguh syahdu gitu....
Syamsul dan Mai kena berbincang tentang masalah dengan Irfan... bila Mai balik KL lebih banyak dugaan akan datang... harap Mai dan Syamsul lebih banyak bersabar dan saling percaya mempercayai.... So Sweet Mai dan Syamsul ni.....
sweetnya dan sgt romantik...janganlah irfan kacau
Huhuhu suke bangat ngan syamsul...mcm mana nanti kalo.mai dh blik.s.alam...x best la syamsul x de disisi mai....
Akhirnya kebahagian menjadi milik Syam dan Mai. Kebahagian yg diharapkan berkekalan, tp adakah itu pasti tanpa kehadiran Irfan nanti. Bagaimanakah Mai hendak menangkis kehadiran Irfan jika dia ditinggalkan sendirian di Shah Alam nanti. Selamatkah Mai dari kerakusan Irfan tanpa Syam disisi, perlukah Mai mengalah sekali lagi.. semuanya hanya Cik Laila yang bisa menjawabnya.
hope syam n mai dapat layari bahtera rumah tangga hingga syurga... sama2 harungi pahit getir nye,kerna bile berjauhan dapat kh hati masing2 terima dugaan yg bakal hadir...persoalan yg masih belun terlerai,n dugaan ALLAH kekadang tk terjangkau dek hati manusia...syam n mai kena kuat n jgn ikut kata hati takut sama2 merana sama2 mkn hati...
pergh..Tak sangka Mai yg sombong dan tidak betah hidup susah kini dapat menjalani tanggung jawabnya kepada suami dan anak anak tirinya di rumah syamsul yg banyak kekurangan itu jika dibandingkan dengan kehidupannya dibandar..Akak rasa mungkin kerana cintanya yg telah terukir buat syamsul dan anak anak tirinya yg membuatkan dirinya tidak rasa kekurangan malahan diri terasa dikehendakki dan disayangi oleh keluarga kecil itu.
Mudah mudahan perniagaan yg secara kecil kecilan itu dengan pertolongan Mai dan beberapa org pekerja Syamsul dapat memajukan perniagaan dan menjadi sumber rezki Syamsul untuk menyara kehidupan mereka anak beranak dan juga dapat membesarkan dan memberperbaiki chalet yg dulunya dalam impian syamsul untuk dijadikan sebagai perniagaan disatu masa nanti..
Adakah Irfan akan menunggu kepulangan Mai dengan dendam yg tak akan padam kerana dirinya terasa diperdayai oleh Mai bekas isterinya kini yg seakan akan ingin menjauhi dan teramat dingin perilakunya kepada dirinya akhir akhir ini..dan adakah cinta yg disemai oleh irfan selama ini pada Mai telah beralih arah..dan bagaimana si Syamsul tu hendak melayan kerenah Irfan yg gila talak pada isterinya dan tak mungkin Syamsul akan menceraikan Mai kerana dia telah menjadi sebahgian dari hidupnya dan dia tidak dapat menerima akan ketiadaan Mai disisinya..kerana Mai kini menjadi tiang yg kukuh untuk sandaran hidupnya...
wahhh sgt bahagia ketika ni
selesaikan hal dengan irfan dan familinya...
tak baik menipu orang tua
jgnla irfan wak onar smpai klurga bru mai pun trlibat..kalo antra mai n syamsul blh dtrima ag
>>k<<
romantiknye..... semoga bahagia kekal selamanya.....
Semoga kebahagiaan Mai ini berkekalan. Irfan.. carilah yang lain!!!
panjang
Hehe...best bangat... romantis gitu... :-) sungguh membahagiakan...
moga-moga perubahan Mai lepas ni dah bertudung akan membuatkan Irfan menjauh sebab nampak sangat Syamsul sedang menjaga hak milik dia sebaik mungkin (taknak kecantikan Mai dilihat oleh lelaki lain) dan menunjukkan Syamsul jauh lebih baik daripada Irfan... dan juga membuktikan Mai menerima Syamsul sepenuhnya.. Irfan, please leave them, alone... :-)
Thanks, Kak Laila... :-)
suko pulok bila Syamsul kecek kelate.
Mai pun tak faham...
Post a Comment