Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 10

“Mmmm ..... Macam mana saya nak mulakan  ye?” 

“Apa yang kau nak cakap tadi...cakaplah...,”

Mai diam  sambil matanya memandang terus ke dalam mata Syamsul. Dia yang meminta untuk mereka berbincang sejak dari tadi lagi. Tetapi, apabila sudah berhadapan begini, lidahnya kelu. Tak  mampu untuk menyusun kata. Dia meramas-ramas jejarinya yang terasa sejuk dan basah dek kerana peluh. Entah mengapa dia merasakan begitu gementar sekali.

“Kau nak cakap pasal perkahwinan kita ?” tanya Syamsul perlahan.

“Saya cuma nak kita jelas segala-galanya.... mmm... saya....,”

“Kau nak kata yang kau tak nak kita bersama? Kau tak nak kita tidur satu bilik? Irtan tak jelaskan lagi duduk perkara sebenarnya hubungan kita ni?”

Terkejut Mai mendengarkan kata-kata Syamsul  itu. Sungguh dia tidak menyangka Syamsul  akan menyebut perkara itu secepat itu. Dia baru sahaja cuba menyusun ayat untuk meminta perkara tersebut. Sedangkan lelaki ini bagaikan sudah dapat membaca isi hatinya.

“Tak... bukan itu maksud saya.... a...a...,”

“Cakap aje Mai, jangan risau.... aku tak marah. Lagipun aku faham....,”

“Apa yang awak faham?”

“Mai, bila aku cakap pada Irfan tentang perkahwinan kita ni, aku dah anggap dia faham. Tapi  aku tak tahu macam mana dia jelaskan pada engkau. Kau nak aku jelaskan semula pada engkau?”  Syamsul  dengan renungan yang tajam. Renungan yang bisa buat hati Mai jadi tak tentu hala. Untuk menutup perasaannya itu, Mai menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. Ya, dia sudah jelas sebenarnya. Tetapi, dia mahu mendengarnya dari mulut Syamsul  sendiri.

“Bila aku kahwin dengan kau, aku dah tak ada niat sedikit pun lagi untuk jadi cina buta. Aku rasa itu dah jelas kenapa kan?” kata Syamsul. 

Setelah agak lama mendengar kata-kata itu, Mai mengangguk lagi. 

“Aku tahu, kau kahwin dengan aku ni cuma semata-mata sebab kau nak balik semula pada diakan?”

Mata Syamsul terus merenung tajam ke dalam mata Mai, menyebabkan wanita muda itu terus merasa teragak-agak untuk mengiakan kata-kata lelaki di hadapannya itu. Namun mata yang tajam itu terus merenungnya menuntut jawapan dalam kebisuannya. Dan akhirnya Mai mengangguk perlahan.

“Aku dah beritahu Irfan yang aku tak akan lepaskan kau, selagi kau tak minta dilepaskan. Aku nak kau yang buat keputusan. Apa pun keputusan kau, pastikan ia tak malukan sesiapa. Baik engkau ataupun aku.  Terpulanglah sekarang....,” kata Syamsul  dalam nada yang agak sinis.

Terjerut perasaan Mai mendengarkan kata-kata itu. Jadi, sekarang dialah yang perlu buat keputusan? Ah... senang rupa-rupanya lelaki ini... sama sahaja antara dia dengan Irfan. Semua kesalahan mereka lakukan dan sekarang, sebagai wanita dialah pula yang terpaksa membuat pilihan. Membuat keputusan yang sedikit pun tidak boleh memalukan sesiapa.

“Jadi kat sini, sayalah yang mesti tanggung semuanya? Dan kalau saya yang minta dilepaskan, orang tak akan salahkan awak bila perkahwinan ini tak mampu kita teruskan?” tanya Mai sinis. Pertanyaan yang menyebabkan Syamsul  terasa amat tersinggung.

“Ok... aku nak kau jawab... dalam hal ni siapa yang mulakan semuanya? Aku ke? Bukan ke puncanya datang dari Irfan dan kau? Kalau kau orang tak terlanjur sampai bercerai, semua ni tak perlukan?”

Mai terdiam. Tak sanggup untuk menerima kata-kata Syamsul  yang sememangnya benar itu.

“Aku pun kena jaga maruah aku. Kahwin dengan kau ni hanya nak menutup malu engkau je. Hanya untuk pastikan kau boleh kembali pada dia... Patut ke kalau aku yang dipersalahkan?”

Mai diam lagi. Buat Syamsul  jadi makin geram. Kebisuan ini menyebabkan dia merasakan Mai tidak mahu menerima hakikat sebenar. Tidak mahu menerima kesalahan yang dilakukan oleh dirinyaa dan Irfan.
Sedang itu, hati Mai terjerut lagi. Baru saja sebentar tadi mereka kelihatan seperti boleh mesra. Waktu makan  tadi Syamsul  kelihatan begitu mesra melayannya dengan sungguh baik. Berbual tentang dirnya. Bertanya itu dan ini seolah-olah seperti ingin mengenalinya dengan lebih dalam. Namun kini, Syamsul  berubah laku. Dia kelihatan begitu tegas mengatur kata. Hanya kerana egonya sebagai lelaki tercabar kerana kenyataan Mai yang seperti tadi. Ah... lelaki, tak habis dengan ego mereka, bisik hati Mai, diikuti dengan satu keluhan.

“Engkau mengeluh?”

“Entahlah... saya tak tahu apa lagi nak katakan. Terpulang pada awak apa nak kata. Saya..., Cuma nak semua ni cepat-cepat berlalu...,”

“Supaya engkau boleh balik semula pada dia?”

Mai diam lagi. Ya....., jeritnya dalam hati. Kalaulah dia mampu menjeritkan kata-kata itu di hadapan lelaki ini, sudah pasti itu yang dia lakukan. Biar Syamsul  tahu apa yang dia rasakan saat ini. Biar Syamsul  sedar kedudukannya di dalam perhubungan mereka ini.

“Aku cuma nak ingatkan, selagi kita tidak bersama sebagai suami isteri yang sah, selagi itu aku tak akan ceraikan engkau. Bukannya aku nakkan kau sebab nafsu. Jangan kau fikir macam tu pulak. Cuma, aku nak kau jelas, selagi perkahwinan ini tak kita lalui ikut hakikat sebenar sebuah perkahwinan, selagi itulah ianya tak sah untuk kau balik semula pada dia...,” kata Syamsul  dengan nada geram.

Sesungguhnya benar sekali kata-katanya itu. Dia mengahwini Mai kerana ingin membantu, bukan kerana mengharapkan adanya hubungan yang lebih dari yang sepatutnya. Namun aura wanita ini amat menguji kelelakiannya. Sudah sekian lama dia tidak punya hubungan yang  serapat ini dengan seorang wanita. Dan entah mengapa tiba-tiba dia merasakan dia punya hak ke atas Mai. Walaupun untuk seketika, dia tidak suka Mai merendahkan martabatnya sebagai seorang suami. Petang tadi dia merasakan dia amat memahami perasaan Mai. Tapi bila sekarang hakikat perkahwinan ini mereka perbualkan, hatinya terasa marah, egonya bagaikan tercabar. Ah... wanita ini sungguh tidak hormatkan dia sebagai seorang suami. Mungkin kerana cintanya kepada bekas suaminya terlalu kuat hinggakan rasa hormatnya pada seorang suami di abaikannya. 
Ah... tercabar sungguh egonya sebagai seorang lelaki.

Mai yang terdiam sejak tadi tidak mampu menelah gelodak jiwa yang mengocak kedamaian di tasik hati Syamsul. Terlalu sibuk dia melayan gundah di hatinya sendiri,  sehinggakan dia tidak menyedari sedikit kekecewaan yang tercalit di wajah Syamsul.

“Macam nilah... apa kata kalau kita hold dulu hubungan ini berjalan. Saya masihbelum bersedia. Mungkin dalam masa tiga bulan? Lepas tempoh tu, saya akan minta awak lepaskan saya. Saya pun kena jaga reputasi saya juga. Kalau orang tengok kita berpisah dalam masa terdekat ni..., mesti mereka syak nanti yang... kita kahwin sebab... cina buta...,” kata Mai dengan nada berani. 

Namun  Syamsul  dapat mengesan ada getar dalam suara wanita muda itu. Walaupun begitu dia mendiamkan sahaja. Dia menarik nafas panjang. Sungguh dia tidak menyangka Mai akan berkata begitu. Dia menyangka Mai akan memberinya tempoh yang lebih pendek dari itu. Namun masih didiamkannya. Tak mahu memberi apa-apa komen. Jauh di sudut hati dia sebenarnya merasa tidak selesa berbicara sebegini.

“Terpulanglah pada engkau.,” katanya sambil mengangkat bahu.

Mai mengangguk sambil matanya terus memandang ke skrin television tanpa sedikit pun dapat menghayati butir bicara yang terpapar di kaca television di hadapannya itu.

“ Ya... tiga bulan ok?” perlahan dia bersuara. Cuba menampakkan ketegasan walaupun kelihatan goyah sekali di mata Syamsul.

“Jangan nanti kau pulak yang ubah fikiran,” kata Syamsul  seolah-olah memberi amaran.

“Tak ... insyaallah saya tak akan ubah fikiran,”

Syamsul  terdiam mendengarkan kata-kata itu. Lama matanya memandang ke wajah Mai. Cuba menyelami hati wanita itu. Cuba memahami gelodak di jiwanya. Akhirnya dia mengalah. Ah... lantaklah... getus hati Syamsul.

“Maksud aku.... takut kau ubah fikiran nanti... nak terus jadi isteri aku...,” jawab Syamsul  selamba.

Kata-kata yang membawa rasa getar meronta di jiwa Mai. Seketika  dia terdiam, kaku.

****

Irfan mencampakkan kunci keretanya dengan rasa cukup geram. Geram kerana tidak mampu melakukan apa-apa dalam hal antara dia dan Mai. Geram kerana dia hanya mampu memandang sahaja dua pasangan itu berada sebumbung di rumah yang selama ini dikongsinya bersama Mai. Dan yang nyata kini Mai akan berkongsi bumbung dengan lelaki itu dalam tempoh yang dia sendiri tidak tahu berapa lama. Dan yang nyata, dia sebagai lelaki, sudah terlepas pandang satu perkara yang jelas dan nyata. Syamsul  adalah seorang lelaki yang tampan. Dan ketampanannya terserlah kini selepas dia merapikan diri khas untuk majlis pernikahan ini.

“Hei... kalau marahpun, janganlah lepaskan kat kunci tu. ...,” rungut Zamzuri melihatkan Irfan marah-marah.

Melihatkan Irfan mengeluh Zamzuri turut mengeluh halus. Nampaknya malam ini dia akan menghadapi lagi situasi yang sering dialaminya sejak Irfan tinggal bersamanya beberapa bulan yang lalu. Temannya ini sudah benar-benar gila talak.  Gilanya semakin teruk di saat-saat akhir ini. Sejak tarikh pernikahan Mai ditetapkan.
Zamzuri merenung dalam-dalam wajah Irfan yang mencuka. Kalau boleh diikat muncungnya pasti itulah dia lakukan. Lantas Zamzuri tergelak sendiri membayangkan bagaimana rupa Irfan jika itu yang lakukannya kepada temannya itu.

“Dah selamat mereka tu?” Zamzuri bertanya lirih.

Irfan menjeling marah pada teman di hadapannya. Mengapalah Zamzuri tak sudah-sudah  mengingatkan dia kepada apa yang berlaku kepada Mai hari ini? Menyebabkan membuak lagi rasa marah pada dirinya sendiri kerana menyebabkan semua ini berlaku.

“Kau tak pergi intai ke rumah kau malam ni? Mengintip pengantin yang sedang memadu asmara....,” kata Zamzuri dengan ketawa yang makin menjadi-jadi.

Pantas Irfan  bangun dan cepat sekali tangannya menggenggam leher baju T Zamzuri. Kemarahannya tidak lagi mampu dibendung. Lupa seketika dia dengan pertolongan yang diberikan oleh Zamzuri selama dia dalam musibahnya ini.

“Kau jangan nak main-mainkan aku... nak ejek aku...,” kata Irfan dengan mengetap giginya. Menunjukkan kemarahan yang teramat sangat. Kecut perut Zamzuri jadinya. Ah, dia telah melanggar batasan dalam gurauannya kali ini. Menyebabkan Irfan marah. Cepat sekali Zamzuri memegang kedua tangan Irfan yang menggemggam leher bajunya dengan erat... penuh kemarahan dan dendam yang tersimpan sekian lama di hati.

“Sorry Fan... sorry... aku salah cakap Fan... sorry,” pantas sekali bibir Zamzuri memohon maaf. Dia tidak mahu mengambil risiko dimarahi olah Irfan nanti. Tak mahu lebam matanya dek penangan buku lima sahabatnya itu. Pantas irfan melepaskan leher bajunya dan menolak temannya itu hingga jatuh terduduk di atas sofa yang didudukinya sebentar tadi.

“Kau... jangan sesekali buat lawak bodoh kau tu....,” kata Irfan yang masih lagi marah. “nanti kang ada yang lebam bijik mata dia nanti....,” kata-kata berbentuk amaran yang masih keras ditujukan kepada Zamzuri yang termanggu-manggu di sofa.

Terdiam Zamzuri seketika. Terkebil-kebil dia memandang ke wajah Irfan. Satu persatu dia menghitung nafasnya.

“Ok.. ok.... aku cuma tanyakan khabar ...,” ucap Zamzuri.

“Dengan menyindir aku?” jawab Irfan dengan pertanyaan. Nada marahnya menunjukkan dia cukup tidak senang disindir begitu.

“Oklah... aku tak akan sindir kau lagi. Cuma aku nak tahu macam mana semuanya?”

Lama Irfan diam tanpa kata. Tidak mampu menjawab pertanyaan Zamzuri. Dari pagi dia menyaksikan, atau dengan lebih tepat lagi memerhatikan  dari jauh majlis perkahwinan Mai dengan Syamsul. Dari Majlis Agama Shah Alam, hinggalah ke kedai makan di mana sedikit majlis kesyukuran di adakan, dia terus menekur waktu, menanti dan menanti untuk menatap wajah Mai. Ingin sekali dia mendekai Mai dan menyaksikan sendiri bagaimana dia menghadapi semua itu. Ingin sekali dia menyaksikan samada ada cahaya suram atau sinar bahagia di mata itu. Cukup hatinya terjerut dengan rasa cemburu biarpun dia tahu bahawa Mai sebenarnya tidak merelakan semua ini. Dan bila Mai kembali ke rumah mereka di Seksyen 9 bersama lelaki itu, hatinya terhiris bagaikan digores belati tajam.

“Sakit hati aku Zam... tengok dia dengan lelaki tu memasuk ke rumah yang pernah aku kongsi dengan  Mai dulu. Semua ni buat aku jadi curiga Zam,” akhirnya dia meluahkan kata yang terpendam di lubuk hatinya.

 “Maksud kau Fan?”

“Aku curiga ... takut nanti  Mai berpaling tadah dari aku? Mungkin ke satu hari nanti dia jatuh hati dengan lelaki tu?” ucapnya sambil matanya terus merenung ke satu ruang kosong di hadapannya. Ya... mungkinkah Mai aka jatuh hati pada lelaki yang menempatkan dirinya dengan selesa sekali dalam hidup dia dan Mai? Ah... cukup dia merasa marah dengan dirinya. Marah kerana membiarkan semua ini berlaku antara mereka. Marah kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Namun untuk apa menyesali keterlanjuran diri. Yang penting kini ialah dia perlu pertahankan perasaan Mai terhadapnya.

“Engkau bagitau aku ke... atau kau tanya pendapat aku ni?” kata Zamzuri dengan nada yang lebih berhati-hati. Irfan hanya menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak mengerti apa sebenar jawapan yang diperlukannya. Lama kemudian barulah Irfan kembali bersuara.

“Maghrib tadi dia telefon aku,” katanya tiba-tiba. Menyebabkan Zamzuri berpaling padanya tanda terkejut. “ Aku risau Zam. Dia marah.... dia kata aku tipu dia. Mai tuduh aku  sengaja sembunyikan hakikat bahawa lelaki tu tidak akan melepaskan dia sampaikan dia sendiri meminta untuk dilepaskan,”

“Habis apa kau jawab?”

“Apa lagi aku nak jawab, diam ajelah...., makinlah dia marah pada aku. Lepas tu tiba-tiba dia putuskan talian.” Ucap Irfan sambil mengeluh berat sekali.

“Dan malam ni... they will spend the night together.... apa aku nak buat Zam? Isteri aku tu....,” keluhnya lagi. Dia melarikan jari jemarinya di celah-celah helaian rambutnya yang hitam lebat itu. Mengeluh lagi. Sudah tidak pasti untuk kali yang keberapa.




7 comments:

blinkalltheday said...
This comment has been removed by the author.
blinkalltheday said...

hai irfan..terlajak perahu bole diundur,terlajak kata..buruk padahnye..sah la syamsul tu punye aura yg kuat..beriman..hope mai akan jadi isteri yg solehah..aminnn~~

Seorg wanita... said...

Kesian Shamsul... hopefully dia dalam tempoh 3 bulan dia boleh buat Mai beralih cinta kepada suami barunya.. :-)

Padan muka Irfan... suka2 je lepaskan talak 3.. terimalah kenyataan... Mai bukan tercipta untuk dia...

Unknown said...

Cina buta ada sini call 010 8990998 hihi

Laila Hanni said...

Hehe.....

afiqq iskandar said...

Cina buta ujung kampung.

afiqq iskandar said...

Cina buta ujung kampung.

Post a Comment

Popular Posts