Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 31

 

Tiada saat yang lebih indah selain dari saat diri dicintai dan mencintai. Tidak pernah dia tahu akan ujudnya perasaan sebegini. Terlalu indah hinggakan ada ketikanya terasa amat takut sekali sekiranya keindahan ini akan berakhir dalam sekelip mata. Ada ketikanya tidak mampu dia bayangkan apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Dia tahu ada perkara yang masih belum selesai antara dia dan Irfan. Dan dia tahu Syamsul  juga sedar akan hakikat itu. Mereka masih perlu berdepan dengan satu situasi yang tidak mampu untuk mereka bayangkan. Namun di saat ini, masing-masing hanya mendiamkan diri tentang hal tersebut. Di saat ini mereka hanya ingin mengecapi indah rasa yang baru sahaja bertaut di perdu hati. Jika mampu tidak ingin rasanya semua ini di nodai walaupun hanya dengan setitis gundah yang mampu mencalit resah di hati mereka.

Di awal kepulangannya dua minggu yang lalu, hampir saban masa dia dihantui oleh panggilan telefon dari Irfan. Dia cuba mengelak dari menjawab. Malas sekali untuk memikirkan alasan-alasan yang perlu diberikan kepada lelaki itu. Hinggalah akhirnya dia menutup terus telefonnya. Buat masa ini dia tidak perlukan telefon itu lagi. Dia hanya perlukan Syamsul dan yang pastinya suaminya itu kini ada di sisinya. Biarlah kalau Irfan marah, dia sudah tidak hiraukan itu semua lagi.

Makcik Nisah pula semakin kuat dari sehari ke sehari. Kalau di awal kepulangannya tempohari, emak mertuanya itu lebih suka untuk menghabiskan masanya di rumah, kini dia sudah ingin keluar samada mengikuti Mai ke warung, ataupun ke mana sahaja yang Mai bawa. Kalau dulu dia hanya memerhatikan sahaja setiap aktiviti anak-anak dan cucu-cucunya, kini dia mampu untuk turut sama menyertai. Dan terasa begitu lengkap sekali kegembiraan yang dirasakan Mai saat ini.

Berada di dalam keluarga itu, hatinya cukup merasa bahagia. Sering senyum dan tawa menyulami tutur bicara antara mereka. Nabil masih terus menjadi penenang hati yang mampu membuatkan segala senyum dan tawanya makin bermakna. Bukan hanya satu gurisan di bibir tanpa sebarang perasaan, seperti yang dirasakan sebelum ini. Cuma yang membimbangkan hanyalah sikap Wawa yang bagaikan sering ingin menyakitkan hatinya. Terutamanya bila anak gadis itu melihat kemesraan antara dia, Syamsul dan Nabil.

Pening juga bila dia memikirkan  cara paling baik untuk memenangi hati Wawa. Setiap sapaannya seperti tidak diendahkan. Hadiah yang dibeli tempohari juga masih lagi tidak digunakan oleh Wawa. Masih lagi terletak elok di atas almari biliknya tanpa diusik. Telah beberapa kali dia mengajak Wawa untuk turut serta bersamanya pergi bersiar-siar dengan keretanya bersama Nabil, namun setiap pelawaan itu ditolak mentah-mentah oleh anak gadis itu. Namun dia yakin, pasti suatu hari nanti dia akan memenangi hati anak itu. dia akan berusaha untuk itu.

Pagi itu cuaca cerah setelah hujan turun tak henti-henti selama dua hari. Sepanjang dia di sini, barulah dia fahami apa erti musim tengkujuh. Hujan adakalanya turun tanpa henti selama berhari-hari. Dan keesokkan harinya, cuaca boleh jadi cerah seperti biasa. Adakalanya pula, tidak menentu, hinggakan terpaksa sentiasa bersedia untuk apa juga keadaan. Berumah di tepi pantai pula, buat dia mengerti betapa kuatnya angin yang bertiup di musim begini. Ada kalanya bagaikan terasa satu rumah seperti bergoyang. Ada ketika, tikar getah  di lantai rumah bagaikan terangkat dek pukulan angin yang datang dari celahan lantai. Pohon-pohon kelapa dan rhu pula meliuk lentok. Deruan angin kedengaran bagaikan menyeru....  memanggil.... terutamanya di waktu malam. Adakalanya kedengaran seperti suara tangisan seorang gadis. Saat begitu, bagai ada rasa takut yang menjentik tangkai hatinya. Mujurlah Syamsul  sentiasa menenangkan ketakutan yang dirasakannya di saat-saat begitu. Dan adakalanya dia diusik dengan gurauan-gurauan yang begitu membahagiakan. Sungguh dia merasa seperti berada di dalam suatu keindahan yang tidak mampu digambarkannya. Walaupun hanya berteduh di pondok usang dan hanya makan nasi berlaukkan ikan pekasam, ulam dan budu.

Cuaca yang cerah pagi itu dipergunakannya sebaik mungkin. Kain basuhan yang sudah berhari-hari tidak kering, terus di jemur di halaman. Tali rafia diikat dari satu pokok kelapa ke pokok yang lain untuk memuatkan jemuran yang begitu banyak. Ketika gerimis datang secara tiba-tiba, berlarilah dia dan Nabil untuk mengangkat mana-mana kain yang sudah kering. Dan bila matahari kembali mengintai di balik awan, cepat-cepat dia dan Nabil  menjemur kembali mana-mana kain yang masih lembab. Semua ini dilakukan dengan tawa hilai yang bagaikan tidak mahu lekang dari bibir mereka. Perlakuan mesra yang mengundang senyum di bibir Makcik Nisah dan Shuhaida, manakala menerbitkan cemuh di wajah Najwa.

Ketawa mereka terhenti apabila motosikal Syamsul  perlahan-lahan masuk ke kawasan halaman rumah. Masing-masing memandang lelaki itu dengan wajah terkejut. Selalunya dia sudah di warung di saat-saat begini untuk memulakan jualan. Mai pula telah mengambil keputusan untuk tidak ke warung hari ini demi untuk memastikan kain basuhan selama empat hari itu kering. Dan seperti biasa, Shuhaida dan Nabil tidak akan ke warung jika Mai tidak ke sana.

Wajah ceria Syamsul  disambut dengan senyuman paling manis yang boleh di berikan oleh Mai. Cepat-cepat dia memimpin tangan Nabil untuk menghampiri Syamsul  yang telah memarkirkan motosikalnya di bawah sutuh rumah yang hanya mempu memuatkan bahagian bonet depan kereta Mai sahaja. Mata Mai mengintai di dalam raga motosikal, mencari jika ada apa-apa yang dibawa pulang oleh suaminya itu. Namun kosong.  Lantas hatinya jadi tertanya, mengapa Syamsul  tidak ke warung.

“Bang..?” tegur manjanya bersahut senyum dari bibir suaminya. Biarpun hanya senyuman, sudah cukup buat hatinya melonjak bahagia.

“Kenapa abang balik, ada tertinggal apa-apa ke?” cepat sekali Shuhaida menyampuk sebelum Syamsul  sempat berkata apa-apa.

“Taklah Ida, hari ni Pak Soh tak sembelih lembu. Semalam dia kemalangan, masuk hospital. Jadi dia tak jual dagingla hari ni. Abang pun malas nak pergi cari kat tempat lain, hari ni tak payah menjuallah. Ada kerja sikit... nak pergi bank,”

“Eh... teruk ke Pak Soh tu?  Kemalangan dengan apa... sampaikan masuk hospital tu..?” pantas lagi Shuhaida bertanya.

“Ida... kut ye pun bagilah abang kau tu naik dulu. Bertubi-tubi soalannya...,” kata Makcik Nisah. Kata-kata itu buat Shuhaida tertawa perlahan sambil menggigit jarinya yang halus dan runcing. Dan kata-kata itu juga membuatkan dia bagaikan kelu seketika. Dia hanya memandang Syamsul  melabuhkan punggungnya di anak tangga paling atas.

Syamsul  menarik tangan Mai yang berdiri diam di sisinya. Lantas Mai duduk di sebelah suaminya di atas tangga kayu yang agak sempit itu. Dan dengan pantas sekali Nabil mencelah duduk di antara keduanya. Syamsul  tidak berkata apa-apa, cuma jari jemarinya mengelus lembut di rambut Nabil yang duduk antara dia dan Mai.

“Pak Soh accident masa balik masjid semalam. Macam mana entah boleh terbabas masuk longkang. Tiga jari kanan dia patah. Itu yang tak boleh nak sembelih lembu pagi ni...,”

“Oh.... teruk ke?” tanya Makcik Nisah.

“Taklah teruk sangat mak. Patah jari je. Tapi Mak Dah cakap mungkin kena bedah sikit. Lepas tu kena simen,”

“Habis tu, tak menjuallah Syam dua tiga hari ni...?”

“Tak la mak... hari ni je... esok boleh pergi tempah daging kat tempat lain. Hari ni nak ajak Mai pergi bank sekejap,”

“Nak ikut.....,” pantas sekali Nabil menyampuk. Reaksi sepontannya itu buat semua tergelak. Sangka mereka Nabil tidak menumpukan perbualan mereka kerana terlalu asyik dengan kucing kesayangannya yang berada di ribaannya sejak tadi.

“Eh... malasla bawak Nabil... nanti tak sempat sampai dah sibuk cakap lapar... ajak singgah makan,” kata Syamsul sambil tangannya mengusap kasar rambut anaknya itu. Dan mereka ketawa lagi dengan kata-kata itu. Tambah meriah lagi gelak tawa mereka bila Nabil merengus manja, minta dibawa bersama.

“Buat apa nak pergi bank bang?” tanya Mai stelah ketawa mereka reda. Matanya tepat  memandang ke wajah suaminya. Semua mata turut sama memandang ke wajah Syamsul. Masing-masing turut sama tertanya mengapa tiba-tiba sahaja Syamsul  mahu mengajak Mai ke bank.

“Abang nak pulangkan duit Mai yang Mai bagi pinjam untuk bayar rawatan mak hari tu. Dah lama abang minta nombor akaun Mai, tapi Mai tak nak bagi. Hari ni... abang nak bawa sekali dengan tuannya. Susah sangat nak bagi nombor dia tu,” rungut Syamsul.

“Abang... kan Mai dah cakap, Mai nak abang guna duit tu... buat berniaga...,”

“Bukan sebab... nak langsaikan hutang?” tanya Syamsul, ambil mengangkat keningnya. Masih ada nada ragu di situ. Dan perlahan sekali kata-kata itu dilafazkan. Dia tidak mahu Shuhaida dan emaknya mendengar usikan itu.

“Abang...,” rengek Mai sambil jari halusnya singgah bersama satu cubitan di peha Syamsul. Syamsul  menggosok tempat cubitan itu singgah sambil wajahnya menyeringai kesakitan.

“Mai dah cakap kan.... mana ada hutang. Cuma Mai nak abang anggap itu satu sedekah buat abang dari Mai. Duit tu, kalau tersimpan macam tu, bukannya bertambah pun...”

“Tapi, abang tak nak guna duit tu.., Itu duit Mai,”

“ Mai bagi abang, Mai nak abang guna duit tu...,” katanya dengan lebih tegas lagi, cuba meyakinkan bahawa dia benar-benar serius. “Mak... tengok abang ni, Mai dah cakap banyak kali, Mai nak dia guna duit tu buat berniaga. Asyik-asyik sebut pasal hutang...,” kata Mai kepada emak mertuanya yang duduk di beranda.

“Siapa yang berhutang? Mai ada hutang dengan Syamsul  ke? Hutang apa?” tanya Makcik Nisah dengan penuh tanda tanya.

“Haah... tak logik akak berhutang dengan abang. Mana dia ada duit nak bagi hutang pada akak...,” sampuk Shuhaida.

Mai bagaikan terkedu saat itu. Adakah dia tersilap cakap sehingga akan terdedah rahsia perkahwinan mereka? Matanya singgah di wajah Syamsul  untuk mengharapkan bantuan dari suaminya itu.

“Hutang sebab kahwin dangan dia la tu... kalau tak... mesti sekarang ni... dok seorang-seorang  kat rumah dia kat Shah Alam tu. Tak ada Nabil, tak ada emak... tak ada Shuhaida... tak ada Wawa... dan.... ,”

“Tak ada ayah..... ,” sampuk Nabil sambil tertawa manja.  Buat yang lain turut sama tertawa kecuali Najwa.

Dalam tawanya Mai menarik nafas perlahan. Kata-kata Syamsul  tu benar sekali, namun masih mampu menyembunyikan punca perkahwinan mereka yang sebenar. Masih lagi mampu lelaki ini menjaga maruahnya dari tercemar akibat dari silapnya sendiri, akibat mengharapkan untuk kembali bersama bekas suaminya. Kesilapan paling besar yang pernah dilakukan, selain dari bertindak secara terburu-buru sehingga dia diceraikan oleh Irfan tempohari.

“Bang, sekarang ni, depan mak... depan Ida... Mai nak mereka jadi saksi. Mai nak minta abang buat sesuatu dengan duit tu. Mai nak minta abang supaya gunakan duit tu, untuk modal abang berniaga. Abang boleh buka restoren dan tambah perniagaan abang. Atau mungkin abang boleh siapkan chalet abang tu...,” kata Mai dengan nada yang lebih serius. Dia mahu Syamsul  tahu yang dia bersungguh-sungguh dalam hal ini. Bukan sekadar melepaskkan batuk di tangga.

“Tapi duit tu banyak Mai, dua puluh ribu ringgit... Kalau letak dalam ASB mesti duit tu bertambah. Tak payah susah-susah, penat-penat nak berniaga...,"

“Betul kata Syam tu Mai,” sampuk emaknya.

“Mak... Mai nak bantu abang. Bila lagi, kalau tak sekarang. Mai tahu, abang perlukan duit untuk mulakan perniagaan. Warung kecil tu memang boleh tampung sara hidup kita semua, tapi kalau nak berjaya, abang kena kumpul lagi banyak modal. Kalau abang ambil duit tu, mesti abang boleh besarkan lagi modal berniaga. Untung lagi cepat, dan satu hari nanti, boleh buat modal asas untuk resort yang abang angan-angankan tu,” jawab Mai panjang lebar.

Dalam hatinya Syamsul  mengiakan kata-kata Mai itu, namun dia tidak mahu menyebutnya terang-terang. Telah sekian lama dia cuba mengumpul modal. Apabila emaknya sakit tempohari, semua  wang simpanannya itu telah digunakan. Demi untuk mendapatkan semula kesihatan emaknya, dia sanggup. Wang boleh dicari, namun kasih sayang seorang ibu, tak akan mampu ditukar ganti.

“Mai ikhlas bang...,” ulang Mai dengan nada yang agak perlahan. Terasa sedikit kecil hati kerana Syamsul  tidak mahu menerima keikhlasannya.

“Mai... bukannya abang tak nak terima duit tu. Tapi abang tak nak terhutang budi,”

“Bang... apa pulak terhutang budinya. Mai kan isteri abang. Kalau bukan Mai yang tolong abang, siapa lagi yang patut buat macam tu. Kalau abang nak, biar Mai yang kawal modal tu. Buat permulaan ni, kita cuma besarkan atau baiki warung tu. Kalau boleh kita bayar harga warung tu dari Maksu Jah. Lepas tu, banyakkan  makanan yang boleh kita jual. Kalau tak sempat, kita ajak siapa-siapa yang boleh masak satu-satu makanan yang special, macam nasi lemak ke, nasi ayam ke, atau makanan lain. Biar ada yang buat makanan lain yang lebih cepat dijual. Tapi kena lah pastikan semuanya sedap. Abang teruskanlah buat masakan panas selain dari sup tu semua. Nanti semua tu boleh bagi pilihan pada pelanggan, kalau mereka tak nak tunggu masakan panas...,”

Mata Syamsul  dan emaknya saling bertatapan. Dalam diam mereka sama-sama mengkagumi idea yang diberikan oleh Mai. Sememangnya itulah yang ingin dilakukan oleh Syamsul. Namun dia belum cukup modal untuk melakukan semua itu. Dalam senyum yang menguntum di bibir, Syamsul  memaut bahu Mai.

“Kita ye....? Mai macam yakin je........?” katanya dalam gurauan.

Mai terdiam seketika. Untuk seketika dia bagaikan tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Syamsul  dengan kata-kata itu. Namun bila senyuman suaminya itu makin mekar, dia juga turut tersenyum mula memahami. Lantas dia mengangguk laju.

“Emmm.... kita.... semua kita. Masa cuti sekolah ni, kita sama-sama bantu. Nanti, abang carilah siapa-siapa yang pandai masak makanan sampingan yang Mai sebut tadi. Kita ajak dia orang sama-sama jual makanan masing-masing kat warung tu. Kita mintalah sikit sewa ruang dari mereka...,”

“Mai ni kan... macam pandai baca je apa yang ada dalam fikiran abang..,” kata Syamsul  sambil terus tersenyum.

“Alah abang ni.... memanglah, kan Kak Mai tu isteri abang. Mestilah sehati sejiwa...,” sampuk Shuhaida dalam gurauannya. Kata-kata itu disambut dengan senyum dari Syamsul  dan emak mereka. Masing-masing bahagia kerana ada yang sanggup menghulurkan bantuan. Ketawa riang menyambut gurauan demi gurauan selepas itu. Tanpa mereka sedar ada mata yang menjeling iri dengan kegembiraan yang dikongsi, ada bibir yang terjuih mencemuh dengan idea yang diberikan oleh Mai itu dan ada hati yang sungguh sakit kerana sekali lagi ibu tirinya itu mendapat perhatian sepenuhnya dari ayahnya. Sungguh dia geram dengan keadaan itu.    

 

****

 

Sudah seminggu Nabil demam. Mai sudah pun membawanya ke klinik, namun masih demamnya belum kebah. Dalam keadaan Mai dan Syamsul  sibuk menguruskan aktiviti pembesaran ruang makan untuk warung yang kini disewa dari pemiliknya, Maksu Jah, sungguh keadaan Nabil itu terasa amat menyusahkan hati mereka. Tambahan lagi anak kecil itu tidak mahu hanya duduk diam di rumah walaupun dalam keadaan dirinya yang tidak begitu sihat. Ke mana sahaja Mai pergi pasti dia akan ikut sama.

Petang itu Mai terpaksa ke bandar Kota Bharu untuk membeli keperluan-keperluan di warung. Kebetulan Syamsul  tidak dapat ikut serta kerana sibuk dengan  perniagaannya. Lalu Mai pergi ditemani oleh Shuhaida dan Nabil. Puas dia meminta supaya Nabil tinggal sahaja di rumah kerana keadan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Namun anak kecil itu tetap degil, ingin turut serta.

“Nabil... mana boleh pergi. Nabil kan demam, nanti lambat baik..,” marah Najwa terhadap adiknya.

“Nak pergi jugak... nak pergi jugak... nak pergi jugak...,” kata Nabil separuh mengemuk. Dihentak-hentakkan kakinya ke lantai.

“Nabil, dengar la cakap umi... ye? Nanti bila Nabil dah sihat, umi bawak Nabil dengan kak Wawa jalan-jalan... ok?”

“Tak nak... nak ikut jugak...,” kata Nabil yang sudah mula menangis. Hiba hati Mai melihatkan itu.

“Ok... ok... kita pergi... tapi, Nabil kena dengar cakap umi ye?”

Kata-kata itu buat Nabil berhenti menangis dengan tiba-tiba. Wajahnya terus ceria, menggambarkan kegembiraan yang dirasakan kerana dapat turut serta.

“Su Ida.. Nabil tak boleh pergi... dia demam tu...,’ kata Wawa dalam keadaan marah kepada Su Idanya. Seringkali begitu, bila ada rasa tidak puas hati , dia akan menyuarakannya kepada Shuhaida, bukan terus kepada Mai.

“Habis, dah dia degil nak ikut...? Kalau tak bawa kang, mengamuk pulak. Tinggal kat rumah nanti, bergaduh pulak dengan Wawa... Tak apalah, biar dia ikut...,” kata Shuhaida.

“Tapi Su Ida, Nabil tu kan senang kena sawan kalau demam. Nanti kalau masa tengah beli barang dia kena... macam mana?”

Shuhaida terdiam seketika mendengarkan kata-kata Najwa. Ada benarnya kata-kata anak gadis itu. Dan pada saat yang sama Mai juga agak terkejut dengan maklumat terbaru ini.

“Nabil senang kena sawan kalau demam?” dia bertanya secara sepontan.

“Haah kak... tapi sekarang ni dah lama dia tak kena. Kalau demam, suhu badan dia naik tiba-tiba dan lepas tu boleh jadi sawan,”

“Selalu ke dia kena?,”

“Dulu selalu jugak. Sekarang ni dah lama tak kena.,”

“Tak bahaya ke?” tanya Mai ingin tahu.

“Emmm.... bahaya jugak kata doktor. Kalau boleh kita kena elakkan,,”

“Macam mana?”

“Kalau demam, tak boleh biarkan suhu badan dia naik mendadak. Nanti sawan tu datang...,” kata Shuhaida. “Ida pun tak pandai sangat kak, tapi pernah tengok, dulu kalau dia kena,  mak selalu mandikan dia sebab nak sejukkan badan dia. Lepas mandikan baru okay...,”

Mai terdiam seketika. Patutkah dia membawa Nabil untuk urusan yang memerlukan mereka ke sana kemari dalam suasana yang tidak mampu diduga. Sekejap hujan turun, dan sekejap pula matahari akan menyelar di ubun kepala.

“Nabil.. Nabil tak payah pergi ye... nanti umi belikan mainan... Nabil duk kat rumah dengan kakak ye?”

“Tak nak... tak nak... Nabil nak ikut. Kalau dok kat rumah, kakak marah...,” jerit Nabil tanda memberontak. Dia mula menangis menunjukkan ragam yang seringkali membuat Mai rasa serba salah.

“Nabil.... diamlah....,” jerit  Wawa demi untuk mententeramkan adiknya itu.

Cepat-cepat Mai memberikan isyarat kepada Shuhaida supaya membawa Wawa untuk menjauhi Nabil. Sikap anak gadis itu sering tidak mampu untuk di duga. Dia sering meradang tiba-tiba lantas memukul adiknya walaupun hanya atas sebab-sebab yang kecil. Mai tahu, tindakan itu adalah kerana ada dendam di hati anak gadis itu padanya. Yang menjadi mangsanya ialah Nabil kerana sikap anak kecil itu yang sering memenangkan Mai dalam apa juga hal. Dan yang pastinya ini membuatkan Wawa semakin marah.

“Ok... ok.. tak apa... Nabil boleh ikut. Tapi, kena makan ubat dulu tau. Lepas tu, tak boleh lasak sangat, kena jalan dekat dengan umi atau Su Ida... boleh?” kata Mai akhirnya.

Nabil mengangguk perlahan. Saat itu, apa sahaja syaratnya pasti akan dia sanggupkan. Asalkan dapat bersama dengan uminya itu.

11 comments:

Unknown said...

mcm nk ada masalah baru je

Hafia Hana said...

xnk dh mslh...nk yg elok2je

Lieynaim mohd noor said...

semoga bahagia mereka hendaknya

Unknown said...

Indahnya kebahagiaan Mai....

Minsofea said...

harap x jadi apa2 yg memudaratkan kat nabil

Akulah.zaty said...

adess wawa ni.... umi mai jgn putus asa ye.... nabil kena gi wat cek up tu.... aoiyai... menjeling menjeling ku bertentang mata saling memandang......

MaY_LiN said...

alahai..
baik nye umi ni..
bile mai nak pindah ke terengganu trus

Seorg wanita... said...

Part atasnya rasa happy & bahagia dah dengan keadaan Mai, Shamsul, Nabil, Shuhaida & Mkck Nisah.. nasib baik dpt cover pasal rahsia.. :-)

Tapi.. part ending tu, seriau gak.. dgn keadaan Nabil tgh demam tu, kalaulah terjadi sesuatu yg buruk, mesti Wawa mengamuk dgn Mai.. tapi kalaulah Mai dapat buat sesuatu untuk rawat sawan Nabil, insyaAllah Wawa akan dapat terima Mai seperti Nabil terima Mai.. :-)

Thanks Kak Laila :-)

Kak Sue said...

Semoga Syamsul dan Mai akan bahagia.... macam dia cakap KITA... rasa happy sangat bila Mai kata KITA.... Mai takut Wawa buat apa-apa pada Nabil.... kasihan Mai... semoga Wawa akan terbuka hati menerima Mai dalam keluarga ....

has_1309 said...

Cik Laila, sy suka part ni. Kebahagian yg diidamkan oleh Mai dan juga Syamsul. Mai pula merasakan ini adalah kebahagian yg dicari selama ini, harap-2 mana tahu Allah nak bagi rezeki kat Mai dan Syamsul. Wawa bukan masalah, jika Mai pandai mengelami hati anak gadis itu. Nescaya semuanya akan berjalan dengan lancar seperti yg dimahukan.

misza said...

Alahai...tak sabar nak baca next part. :)

Post a Comment

Popular Posts