Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 28

“Mai…. Bangun… dah dekat subuh…,”

Lembut sekali suara itu mengejutkan dia dari tidurnya. Membawa senyum ke bibirnya dalam lena yang masih lagi mahu memautnya agar jangan terjaga.

“Mai ... bangun sayang...,” pujuk suara itu lagi.

Lantas dalam matanya masih terpejam, Mai  memaut manja leher sipemanggil itu.

“Tak nak buka mata.... nak ...,” lantas dia juihkan bibirnya manja sekali.

Syamsul  jadi terkedu dengan kemanjaan yang terpamer di depan mata. Untuk diakah? Ataupun siapa yang ketika ini bermain di minda separuh sedar isterinya itu. Dia mengetap bibir tanda geram. Namun dalam geram yang dirasakan, godaan itu sedikit pun tidak mampu untuk dia tolak. Lantas dengan rakus sekali, dia mencium bibir yang ternyata sedang menanti untuk disentuh.

Demi tersentuh sahaja dua bibir itu, barulah Syamsul  sedar bahawa dia sudah melakukan satu kesilapan. Dia silap kerana yang pasti dia tidak mampu untuk melepaskan bibir itu. Dia ingin terus menikmati keindahannya. Lalu tanpa menghiarukan apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku, dia semakin rakus meratah bibir munggil milik Mai. Dan dia membiarkan sahaja  logik akal dari terus berbicara tentang apa yang patut dibuat dan apa pula yang tidak patut. Dia hanya mengikut naluri yang kini menyatakan bahawa itu adalah haknya. Dan dia inginkan haknya sebagai seorang lelaki, juga sebagai seorang suami. Hak yang selama ini telah dinafikan.

Mai juga hanyut dan terus hanyut. Sejak dari tadi dia telah  bangkit dari keadaan separa sedarnya. Dan kini dalam keadaan sedar sepenuhnya dia tidak mahu melepaskan semua rasa itu. Biarlah mereka terus hanyut. Dia tidak lagi mahu menafikan segalanya. Dia ingin menikmatinya, kini dan selamanya. Bukankah itu haknya sebagai seorang isteri. Tiada siapa... tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang dirinya dari menikmati semua ini... dan yang pastinya tidak sesekali Irfan.

Hanyut mereka bagaikan bahtera berlayar di samudera rasa yang tidak bertepi. Tiada kata yang terlafaz, hanya terzahir dalam rindu yang tidak pernah terucap. Namun rindu itulah yang memaut dua jiwa untuk terus tenggelam dalam lautan kasih seluas saujana mata memandang. Dan bila bahtera cinta itu kembali singgah ke muara, masih lagi tiada kata yang mampu terucap. Tidak perlu bersuara, kerana desah nafas  mereka telah menceritakan segala-galanya.

Dan entah mengapa, saat itu Mai tidak mampu untuk memandang sedikit pun ke wajah suaminya. Terasa malu dengan dirinya sendiri kerana terlalu larut dia menikmati apa yang dia pernah nafikan selama ini. Terasa begitu bersalah kerana menafikan hak suaminya, setelah hampir tiga bulan kini usia pernikahan mereka. Teringat dia akan kata-kata ustazah Faridah beberapa hari yang lalu dalam perbualan mereka, bahawa betapa seorang isteri itu dilaknati Allah sehinggalah dia kembali ke pangkuan suaminya. Mungkin tepat sekali kenyataan itu kerana saat ini hatinya terasa begitu tenang sekali, tidak lagi dihantui rasa bersalah seperti hari-hari yang sebelumnya.

“Mai ...,” bisik Syamsul  di telinganya. Dia  diam, menghayati perasaan indah yang dirasai dengan bisik itu.

“Mai ...,” ulang Syamsul  lagi bila Mai tetap diam.

“Emmm..,”

“Abang bukan bermimpikan?” tanya Syamsul  perlahan. Dia cukup sabar menantikan jawapan dari Mai.

“Tak... Mai juga tak bermimpi...,” lama sekali baru dia menjawab pertanyaan Syamsul  itu tadi.

“Dah hampir tiga bulan.. maksudnya Mai ...,”

Jari Mai menyentuh lembut bibir Syamsul. Cuba untuk mendiamkan apa sahaja yang mungkin keluar dari bibir Syamsul. Bila Syamsul  terdiam, dia menggelengkan kepalanya.

“Hem... sekarang bukan masanya kita bincang perkara ni. Kita kena solat dulu..,” bisik Mai sambil matanya tersorot ke jam di meja kecil sebelah katil. Jam menunjukkan ke pukul 6.15 pagi. Ada riak tidak puas hati di mata Syamsul. Namun dia terpaksa akur dengan waktu yang begitu mencemburui meraka. Lalu dia bangun dan duduk di birai katil. Dia ingin sekali senyum untuk menyatakan rasa bahagianya. Tetapi tidak berani untuk berbuat begitu. Tidak berani menaruh harapan. Tidak akan mengharapkan apa-apa sehingga dia cukup pasti dengan kebahagiaan yang terpamer di mata Mai sebentar tadi. Dia perlu bersabar untuk mengukir senyum sehinggalah semuanya akan jadi lebih pasti nanti. Buat masa ini, simpan dulu senyum itu Syamsul , hatinya berbisik sendiri.

“Jom, mandi.... dan solat bersama...,” ucapnya untuk menutup perasaan ragunya dengan penerimaan Mai terhadap dirinya pagi ini. Sungguh total penerimaan itu, bagaikan diserahkan segalanya tanpa ragu dari pihak Mai. Sehinggakan ada rasa takut di hatinya kalau-kalau Mai melakukan semua ini sekali lagi kerana Irfan. Dan masih dia merasakan ragu-ragu akan kemungkinan Irfan sudah ada menunggu di mana-mana, untuk menanti dia mengucapkan lafaz talak buat Mai. 

Dengan terlintasnya kemungkinan itu di hatinya, Syamsul  mengetap bibir menahan marah. Ah... kalau benar begitu, bermakna dia membiarkan dirinya dipermainkan lagi oleh Mai. Dan patutkah dia bergelar dayus lagi? Cepat sekali dia bangun meninggalkan Mai untuk ke bilik air yang terletak di dapur rumahnya itu. Dan sikapnya yang tiba-tiba dingin itu membuat Mai jadi terpinga-pinga.

Sebentar tadi cukup mesra suara itu berbisik di telinganya. Menuntut jawapan yang diperlukannya. Tapi, mengapa  tiba-tiba sahaja dia berubah dingin. Apakah salahnya kali ini? bisik hatinya. Dia tidak melakukan apa-apa kesilapan. Dia telah mencurahkan segenap perasaannya sebentar tadi. Apakah Syamsul  tidak memahaminya?

Malas untuk melayan perasaan kecewa Mai bangun dan menapak ke dapur. Sambil menanti gilirannya untuk mandi, dia menjerang air untuk menyediakan sarapan pagi. Seketika kemudian Shuhaida menyertainya di dapur.

“Nak masak apa pagi ni kak?”

“Entahla Su... apa yang ada untuk kita masak?”

“Macam-macam ada....,” kata Shuhaida dalam nada lawak.

Mai tersenyum sambil cuba menyembunyikan keresahan di hatinya.

“Akak belum mandi?” tanya Shuhaida.

“Belum, tunggu abang siap..,”

“Eh... abang tak pergi masjid pagi ni?” tanya Shuhaida dalam kehairanan. Sesuatu yang jarang berlaku pada abangnya.

“Tak sempat, emm... tadi... terlewat bangun..,”

“Owh...,” kata Shuhaida dalam senyum mengusik.

Pada waktu yang sama Syamsul  keluar dari bilik mandi. Cepat-cepat Mai melangkah untuk melepaskan diri dari usikan Shuhaida. ‘Hei... gadis ni, tak padan dengan usianya yang masih terlalu muda, suka sangat mengusik..,’ dia merungut dalam hatinya.

Dari dalam bilik mandi dia dapat mendengar Shuhaida berkata sesuatu kepada Syamsul. Dia tidak tahu apa yang dibualkan antara mereka, tetapi dia pasti, mesti Shuhaida mengusik abangnya. Syamsul  kedengaran gelak besar lalu berkata, ‘hei... awak tu anak dara lagi....’ Dan saat itu ada senyum yang terpanggil untuk menghiasi bibir Mai. Terasa lega bila mendengarkan Syamsul  tidak lagi dalam keadaan marah. Lantas cepat-cepat dia mandi untuk menyucikan diri dari hadas besar. Dan mengambil wuduk untuk sama-sama solat subuh.

Bila Mai kembali ke bilik, dia melihat Syamsul  sedang menunggunya untuk solat bersamanya. Terharu di hati bila melihatkan Syamsul  begitu mementingkan solat berjemaah. Dia masih ingat kata-kata Ustazah Faridah, betapa sekiranya seorang suami sempat solat subuh di masjid, tentunya ganjaran pahala yang diterimanya akan berlipat ganda. Dan dia tahu jika dia berusaha untuk pastikan Syamsul  sempat solat subuh di masjid, dia juga akan mendapat gajarannya. Bukankah itu yang telah dijanjikan untuk isteri yang mentaati suaminya? Akan menerima pahala ganjaran atas semua kebaikkan yang dilakukan oleh suami, asal sahaja dia redha. Lantas dia berjanji dalam hatinya akan mempastikan selepas ini Syamsul  tidak akan lalai dalam solat berjemaah. Dan dia tidak akan menggoda Syamsul  di saat-saat begitu lagi. Senyuman kembali terukir di bibirnya bila mengingatkan itu. Dan dengan hati yang tenang, dia mula mengangkat takbir untuk solat yang diimamkan oleh suaminya... Syamsul Hasni.

Selesai solat, Syamsul  terus bangun dan keluar dari bilik tanpa menghiraukannya. Sekali lagi hatinya tersentuh. Mengapa Syamsul  bersikap dingin terhadapnya selepas saat-saat yang begitu indah yang mereka lalui tadi? Tidakkah itu semua bermakna baginya? Bukankah itu semua itu adalah bukti penerimaan Mai terhadapnya?

Dengan rajuk yang singgah sebentar di hati, Mai mengambil masa yang agak panjang untuk bersiap dan keluar dari bilik tidur. Tiada sesiapa pun yang ada di ruang tengah rumah, lalu dia terus ke dapur. Saat itu dilihat Makcik Nisah dan Wawa sedang duduk bersila di atas pangkin tempat mereka menghadapi sarapan pagi. Manakala Shuhaida pula sedang melakukan sesuatu di sinki. Cepat-cepat dia mengukirkan senyuman pada semua. Tidak ingin perasaan sedihnya dapat dilihat oleh mereka kerana yang pastinya mesti Shuhaida akan bertanyakan apa puncanya. Dia tidak mahu sesiapa tahu insiden kecil yang berlaku antara dia dan Syamsul  pagi tadi. Itu rahsia mereka suami isteri. Tidak perlu diwar-warkan sehingga seluruh dunia tahu pula nanti. Ternyata rasa sedih itu hilang serta-merta bila senyumannya bersambut mesra oleh emak mertuanya.

“Mai ... mari kita makan...,”

“Ya mak... sedapnya bau... Ida masak apa ni..?”

“Pulut pagi kak ... dengan ikan masin...,”

 “Wah.. sedap ni..,”

Shuhaida berpaling kepadanya sambil memberikan senyuman mesra.

“Mestilah... tengok la siapa yang masak...,” kata Shuhaida sambil tersengih menampakkan giginya yang agak tidak teratur itu.

“Nah, ambil piring ni...,” kata Makcik Nisah sambil menghulurkan piring kepada Wawa yang duduk di antara dia dengan Mai. Wawa diam tak berkata apa-apa. Dia menumpukan perhatian sepenuhnya kepada juadah  di hadapannya. “Wawa .. bagi piring ni kat umi Wawa tu...,” kata  Makcik Nisah dengan nada lembut tapi tegas.

Cepat-cepat Wawa mengambil piring dari tangan tok wannya dan menghulurkannya kepada Mai tanpa sedikit pun memandang pada Mai.

“Terima kasih sayang...,” ucap Mai dengan lembut sekali. Dia terus duduk bersimpuh  di sebelah anak itu. Wawa cuma diam tanpa berkata apa-apa.

“Nabil mana Wawa ? Tak nampak pun? Tidur lagi ke?” tanya Mai untuk memulakan bicara dengan gadis sunti yang berdiam diri. Dia tidak pasti panggilan apa untuk dia bahasakan dirinya kepada Wawa. Patutkah dia membahasakan dirinya umi sedangkan dia tahu Wawa tidak suka? Dia tidak akan menggunakan panggilan itu jika Wawa tidak suka.

“Tengah mandi kak... dari tadi lagi tu. Senyap aje dalam bilik mandi tu..,” kata Shuhaida sambil mendekati pintu bilik mandi. Dia mengetuk pintu yang diperbuat dari zing aluminium. Bergegar pintu itu bila di ketuk. 

“Nabil ... cepat.... umi nak makan dengan Nabil ni..,” laungnya kepada Nabil.

“Uuuu..... sejuk la Chu Ida...,” kedengaran Nabil merengek dari dalam bilik mandi.

“Hah... kalau sejuk, mandi la cepat-cepat,” kata Shuhaida lagi.

Terus Mai teringat kepada pancuran air panas yang dibelinya tempohari.

“Emmm... mak, Mai ada belikan alat pemanas air untuk kita pasang dalam bilik mandi tu. Nanti bolehla minta sesiapa pasangkan..,”

“Alat apa tu Mai ?”

“Alat tu, kita sambung ke paip air. Bila kita buka suis, nanti air masuk dalam alat tu dan keluar air panas dari paip air hujan dia tu. Kan senang tu... tak payahla Ida masakkan air panas untuk mak, Wawa dan Nabil mandi pagi-pagi. Tambah lagi musim hujan macam ni, memang sejuk sangat..,” kata Mai sambil ingatannya kembali ke hari dia mandi di awal pagi dua minggu yang lalu. Ketika hujan turun tanpa henti selama tiga hari di sini. Insiden yang menyebabkan dia membeli pemanas air itu untuk kemudahan semua di sini. Makcik Nisah mengangguk-anggukkan kepalanya untuk menunjukkan tanda dia mengerti, walaupun tidak sepenuhnya.

“Nanti bolehla minta sesiapa yang boleh pasangkan ye?” kata Mai.

“Hemm... nanti kita tanya abang, rasanya dia tahu macam mana nak pasang kut...,” ucap Shuhaida perlahan. 
Dia kini sudah mengambil tempat di sisi Mai untuk turut sama bersarapan.

“Haah... nanti tak payahla bayar upahnya... buat membazir saja..,” kata Makcik Nisah.

Terdiam Mai mendengarkan kata-kata emak mertuanya. Sehingga begitu sekali mereka berkira dalam memenuhi keperluan harian. Hinggakan upah yag sedikitpun berkira untuk dikeluarkan demi untuk kemudahan hidup mereka.

“Tak mahal ke bil letriknya nanti kak?” tanya Shuhaida  lagi.

“Emmm... tak pasti pulak Ida..,” jawab Mai dengan rasa bersalah. Adakah dia sudah menyebabkan keluarga ini terpaksa menanggung beban bil yang tidak sepatutnya. Masyaallah, tidak pernah dia terfikirkan semua itu. Yang dia tahu hanyalah untuk memberikan keselesaan untuk mereka.

Sememangnya keluarga Syamsul  hidup dalam keadaan yang agak daif. Tiada alat elektrik yang mereka gunakan kecuali televisyen yang sudah agak lama, sebuah radio usang dan peti sejuk yang juga daif kelihatannya. Kelangkapan dapur juga hanya menggunakan dapur gas. Tiada mesin basuh, periuk nasi elektrik dan semua kelengkapan untuk memudahkan penggunaan harian mereka. Kipas pula hanya ada dua buah yang merupakan kipas mudah alih, untuk memudahkan di bawa ke mana ia diperlukan.

Dia faham kini. Setiap perbelanjaan mereka begitu diambil kira. Sebaik mungkin mereka cuba mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh Syamsul. Cukup dia terharu dengan keadaan itu. Bagaimana dia mampu membantu untuk menaikkan taraf hidup mereka? Memang mereka miskin harta, tetapi tidak miskin kasih sayang. Itu yang membuatkan dia cukup senang berada di sini. Dan sungguh dia tidak mahu menjadi beban buat Syamsul, malah juga keluarganya.

“Abang Syam ke mana Ida?” dia bertanya akirnya. Sememangnya sejak dari tadi dia ingin bertanyakan soalan itu. Namun tidak ingin dilihat seperti tidak tahu apa-apa tentang aktiviti suaminya.

“Abang pergi ambil tulang dan daging lembu untuk buat sup nanti. Hari-hari dia tempah dengan Pak Cik Arshad yang jual daging tu. Biasanya lepas ambil daging tu dia terus pergi gerai untuk mula masak..,”

“Awalnya..,”

“Kena awal la kak... nanti daging tu tak  sempat empuk. Biasanya pukul 12.00 dah mula jual meehoon sup dia tu. Kalau lambat, marah la pulak pelanggan yang datang nak beli. Abang kata awal-awal berniaga ni... kenala jaga hati pelanggan. Kalau tak nanti pelanggan tak percaya pada kita,”

“Ohh....,”

“Ada sesiapa ke tolong dia kat situ?”

“Ada Mai, Hafiz, anak Mek Yah..., sepupu mereka ni. Anak abang Derasid tu. Kebetulan dia tak ke laut sebab musim tengkujuh ni... Mek Yah pun ada. Pagi sampai tengahari dia jual nasi kat warung tu. Tengahari sampai petang abang pulak jual meehon sup, kuetiaw sup, dan mee sup... ,” sampuk emaknya.

“Jadi ke Kak Yah nak jual goreng pisang nanti mak?” tanya Shuhaida kepada emaknya.

“Entahla..., jadi kut. Kena cari tok peraih pisang dulu... kalau tak ada pisang, macam mana nak jual kan?” katanya sambil tertawa perlahan. Dan tawanya itu disambut oleh Mai dan Shuhaida. Cuma Wawa sahaja yang terus diam sambil menghabiskan pulut dalam piringnya.

Dalam suasana penuh kegembiraan itu, tiba-tiba pintu bilik mandi terbuka dengan kuatnya, menyebabkan semua yang ada terperanjat. Tubuh Nabil yang tidak diliputi dengan seurat benang itu terus berlari keluar dari bilik mandi.

“Sejukkk..... Chu Ida....,” katanya sambil menggeletar. Bibirnya kelihatan biru menahan kesejukkan. Sepontan rasa simpati singgah di hati Mai.

“Hei Nabil.... tak malu....,” jerit Wawa dalam keadaan yang kelam kabut begitu.

Nabil yang baru menyedari kehadiran Mai cepat-cepat duduk mencangkung untuk menutup muka kerana malu. Perlakuan luar sedar yang membuatkan semua ketawa. Wawa yang sudah siap makan terus bangun dan mendapatkan kain tuala lusuh milik anak kecil itu yang tersangkut di tali yang terletak berhampiran bilik mandi. Dia cepat-cepat membalutkan tubuh Nabil untuk menutup malu adiknya.

Mai tersenyum melihatkan perlakuan sepontan Wawa itu. Dia tahu, Wawa cukup sayangkan Nabil, dari cara dia begitu mengambil berat terhadap adiknya itu. dia cuba melindungi Nabil dalam apa keadaan sekalipun. Dalam hatinya terdetik rasa bangga kerana sikap perihatin Wawa terhadap adiknya. Menunjukkan selama ini marah Wawa pada Nabil bukanlah kerana adiknya yang nakal, tetapi kerana keadaan Mai yang dianggap mengganggu hidup mereka. Perlahan Mai mengeluh. Dia perlu menangani masalah ini, segera ... Tapi, bagaimana? Apa harus dia lakukan, agar dia tidak kehilangan semua ini? Bagaimana...? 



25 comments:

blinkalltheday said...

sian lak kat mai..ish syamsul nih!

Nanie Amsyar said...

Best... tp nak lagi...

Norbiha Hj. Sabtu said...

Ishhhh... Syamsul ni!!! Mai dah menyerah pun nak sangsi lagi... :/

Anonymous said...

Syamsul masih ragu2 dengan keikhlasan Mai...nampaknya Mai kena berterus terang dengan Syamsul secara lisan, baru Syamsul faham kot?...kak laila memang super duper bestttt...nak lagi..harap akak cepat2 update next chapter yer..

ainulrida said...

pendam lagi.... bila la nak terungkai segalanya. cik writer, jgn la lama sgt mcm Semalam Yg Kutinggalkan... tak sabar ni nak tahu mcm mana kesudahan kisah depa ni :)

Kak Sue said...

Mai berterus terang dengan Syamsul supaya Syamsul x bersangka buruk apa yang Mai buat itu... walaupun niat Mai ikhlas.... dan tentu Syamsul pun kena berterus terang juga...

einaz lynna said...

hadoii.. xhabis2 syamsul nie nak salah faham

has_1309 said...

Bilalah Mai nak berterus terang kat Syamsul. Apa salahnya Mai yg mulakan dulu dari terus-menerus biarkan Syamsul bersangka yang bukan-2.

Komunikasi amatlah penting dlm membentuk keluarga bahagia, kalau masing-2 asyik saling memendam rasa sampai bila perkara ni nak selesai. Mai, cubalah bawa berbincang dgn Syamsul tentang hati dan perasaan supaya tidak menyesal suatu hari nanti.

Anonymous said...

Yeay... langkah pertama - dah buat.... Sekarang, kena perbanyakkan meluahkan isi hati pulak... suara...suara..suara.... hihihi....

Nak entry lagi... tak cukup.... hihihi...

misza said...

Tahniah LH. entry yang tak pernah mengecewakan. dan setiapnya akan buat pembaca tak sabar nak tunggu next part. part perasaan terpendam ni yang buat orang tak sabar. bila semua dah terungkai kira citer dah abis la...^_^

Minsofea said...

...mai kena mulakan dululah, luah isi hati. lelaki ni ego sikit.....

dgn wawa pun mai kena atur strategi jugak tu...susah jugak tu

Anonymous said...

Gelodak dua jiwa yang semakin berperang angkara dek terlalu memendam rasa.. Syamsul terlalu takut menghadapi diri disingkir.. Mai pula terlalu yakin Syamsul mampu mentafsir kehendak hatinya melalui gerak-laku.. Lontaran rasa yang cukup syahdu. Suka sangat akak. Nyata meraih bahagia tidak semudah merelaikannya.. :-)

sharifah muda said...

rasa nak ketuk je kepala syamsul ni..nape suka sangt buat andaian bukan2..mai teruskan usaha nk tambat hati syam n wawa.. harap kebahagiaan milik mereka selamanya

itu_aku +_^zue said...

lack of communication...mcm ni smpai sudah la byk mslh akan timbul.

Anonymous said...

ala...sikitnya, xpuas baca, smbung cepat2 ye...

muda_13 said...

hope Mai cepatkan atur strategi clearkan problem diorang ni, hehe, nak tengok Syam ngan Mai bahagia sekeluarga

MaY_LiN said...

tamola sham cenggitu

Ain Iskandar said...

cerita ni mmg lain dr yang lain.. mmg best! harap kak laila update cepat2 ye...

idA said...

salam dik..

E3 yg memberikan kita satu harapan agar perkawenan mereka ini akan sampai kehjg hayat mereka..

Kenapalah sisyamsul tu sengal tak bertempatkan? Dah Mai memberikan segalanya pada dirinya..masih kah perlu ada rasa ragu dihati..kalo difikir secara akal yg waraskan..sudah tentu Mai telah mencintai dirinya..kerana tidak semua benda mampu diluahkan oleh seorg wanita yg bernama Mai..perilakunya sahaja terhadap dirinya dan keluarganya akan tidak dapat diagak..kan..

cepatlah sambung dik nak..tahu..macam mana Mai berdepan dengan hubby nya yg sengal tu..

Miqael Arshad said...

Salam... tahniah di atas kelahiran novel seterusnya kak... wah! blog dah bertukar wajah ya... lama x jenguk... cantik...

dayana iyz said...

N3 yg bestttt!! Tk puas la baca.. ;)

Anonymous said...

kalau boleh akak update la n3 3x seminggu..geram dgn syamsul ni,mai pulak kena la luahkan..

i.k.h.l.a.s said...

alaaa...macamana nak bagi syamsul faham yang mai sukakan dia? gerammnya..susah2 sangat kena face to face la..saya yang tak sabar pulak nak tengok kebahagiaan diaorang

Seri Ayu said...

Salam, Harap Mai dan Syamsul dapat cinta sejati mereka jika mereka berterus terang. Mai kena usaha main peranan skit untuk dapatkan cinta Syamsul, Wawa dan Nabil...

Seri Ayu said...

Salam, Bila nak sambung n3 ya dah rindu dengan Mai dan Syamsul ni...

Post a Comment

Popular Posts