Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 33


 

“Abang rasa abang kena cari dua tiga orang pekerja la Mai. Susah nak uruskan warung tu seorang-seorang bila dah buka sampai ke malam macam ni,”

“Hemmm... macam ni. Apa kata kita bincang dan rancang dulu apa jenis makanan yang kita nak jual. Kemudian, barulah kita boleh tentukan berapa orang yang kita nak ambil bekerja. Macam yang kita bincang hari tu, jualan untuk sarapan kita serahkan pada Kak Mariah. Tengahari, abang uruskan. Mungkin boleh tambah menu. Contohnya tambah lauk-pauk lain. Kita carilah siapa-siapa yang boleh masakkan lauk-pauk tu. Dan petang, Kak Mariah jual goreng pisang. Malam pulak, abang jual masakan panas,” panjang sekali Mai memberikan cadangan.

“Ok, pagi dan tenghari memang dah tak ada masalah. Yang petang tu, Kak Yah dah setuju nak uruskan. Dia dengan Kak Ani akan jual goreng pisang, keropok, fish ball goreng, ikan celup tepung dan macam-macam lagi. Mesti laku sebab petang orang ramai akan lalu jalan tu untuk jalan-jalan kat tepi pantai. Nak-nak kalau hari minggu,” kata Syamsul  penuh teruja.

Mai tersenyum penuh bahagia. Pertama kali dalam hidupnya dia merasakan ada peranan yang dimainkannya dalam hidup seorang lelaki yang bergelar suami. Pendapatnya di perlukan dalam soal ini. Bukan sahaja cadangannya didengari, malah dia juga diberi peluang untuk memikirkan bagaimana cara untuk mereka bersama menaikkan taraf perniagaan Syamsul. Bukankah itu menunjukkan dirinya diterima secara menyeluruh dalam hidup  suaminya ini? Ah.. sungguh dia bahagia. Tambahan lagi Wawa juga sudah mula menerimanya sebagai mamanya. Bukan sahaja sebagai seorang ibu, malah juga sebagai seorang teman. Mereka banyak menghabiskan masa bersama kini. Ketika cuaca mengizinkan, mereka bersiar-siar di tepi pantai. Ketika perlu membeli belah bagi keperluan harian mahu pun keperluan di warung, Mai, Wawa dan Nabil akan keluar bersama.

Mereka sudah jadi begitu akrab seperti keluaga-keluarga lain. Syamsul  banyak bergantung kepadanya dalam pengurusan kewangan perniagaannya. Malah mereka telah membuka satu akaun bersama demi untuk menguruskan soal kewangan warung mereka. Pada mulanya Mai meminta supaya Syamsul  terus menggunakan akaun peribadinya. Tetapi suaminya itu berkeras untuk mempastikan Mai tahu apa yang berlaku terhadap wang yang dipinjamkan oleh Mai. Mai pula terpaksa menerima syarat itu sekiranya dia ingin membantu. Syamsul  telah menjelaskan bahawa dia tidak akan menerima wang itu kecuali Mai bersetuju bahawa wang itu adalah pinjaman dari Mai.

Waktu berlalu dan ada ketikanya Mai mula merasakan debaran tentang perpisahan yang akan kembali berlaku. Dia menghitung hari demi hari bila saat cuti sekolah itu akan berakhir dan dia terpaksa kembali semula ke Shah Alam untuk menyambung tugasnya.  Untuk memohon pertukaran ke Kelantan sememangnya adalah amat sukar sekali kerana tidak ada kekosongan jawatan guru di negeri itu setakat ini. Tambahan lagi dia terpaksa menunggu giliran untuk permohonan pertukaran ke sekolah-sekolah di negeri itu diluluskan. Menurut pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, kalau pun ada peluang, hanyalah sekiranya ada mana-mana guru di negeri ini yang ingin membuat pertukaran suka sama suka. Dan masalah ini pasti berlanjutan kerana setakat ini tiada guru yang memohon keluar dari negeri Kelantan walaupun mereka sebenarnya tidak berasal dari negeri ini. Ada di kalangan guru-guru yang cukup selesa berada di negeri ini sehinggakan tidak mahu memohon pertukaran keluar dari negeri ini. Faktor utama perkara ini berlaku menurut pegawai tersebut ialah kerana kos sara hidup yang agak rendah di sini berbanding dengan di negeri lain. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia berhenti dari tugasnya sekarang. Namun dia tidak cukup berani untuk melepaskan jawatan yang telah sekian lama disandangnya itu. Namun dia bertekad, bila sampai masa permohonan pertukaran dibuka nanti, dia pasti akan mencuba nasib, mengisi borang permohonan pertukaran. Manalah tahu kalau-kalau dia bernasib baik, permohonannya diluluskan.

Kira-kira dua minggu dari tarikh cuti sekolah tamat, Mai menghubungi Kak Gee untuk mengetahui aktiviti sekolah menjelang tahun baru nanti. Panjang lebar kak Gee menerangkan mengenai jadual-jadual mesyuarat yang perlu mereka ikuti sepanjang minggu terakhir cuti sekolah nanti. Ini bermakna Mai perlu pulang seminggu lebih awal ke Shah Alam. Semua ini membuatkan hatinya jadi resah. Dia pasti dia tidak mampu berhadapan dengan Irfan sendirian. Untuk menyuarakan perkara ini kepada Syamsul  dia merasa agak keberatan memandangkan Syamsul agak sibuk dengan urusan perniagaannya. Dia tidak mahu mengganggu suaminya yang sedang mula bertapak dalam bidang tersebut. Mana mungkin dia mampu meminta Syamsul  kembali bersama dia di Shah Alam. Lalu dia mengambil keputusan untuk diam. Malah insiden dia bersama Irfan tempohari juga masih belum berani untuk dikongsi bersama dengan Syamsul. Dia tidak mahu Syamsul  salah anggap padanya. Dan yang pastinya dia tidak mahu Syamsul  risau akan keadaannya bila sendirian di Shah Alam.

Namun perkara ini tidak terlepas dari pandangan emak mertuanya. Malam itu Makcik Nisah menyuarakan tentang perkara itu kepada Syamsul. Dan tanpa dia menduga, rupa-rupanya perkara ini sememangnya ada dalam fikiran Syamsul.

“Syam pun risau mak... nanti Mai seorang-seorang kat sana. Siapa nak temankan dia...,” kata Syamsul  sambil mengeluh perlahan.

“Tak apa bang... Mai ok...” sampuk Mai perlahan.

“Mai pasti ke akan ok nanti?” tanya Syamsul sambil berpaling kepada Mai yang sedang duduk bersandar manja di sebelahnya.

“Insyaallah tak apa-apa. Selama ni pun Mai ok kan? Nanti, kalau tak ada aktiviti sekolah, tiap-tiap minggu Mai balik sini..., ”  katanya sambil tersenyum. “Cuma Mai nak minta abang hantarkan Mai balik. Hari tu masa balik sini Mai memandu, konvoi dengan kawan-kawan. Balik ke sana nanti, terpaksalah balik seorang-seorang sebab tak ada kawan. Abang hantarkan ye?” sambungnya lagi.

“Tapi Mai, kat sana nanti.... ,”

“Mai oklah bang... Mai nak abang tumpukan pada warung kita tu. Biar maju... Mai nak abang usahakan sampai berjaya. Biar berbaloi usaha kita selama ni...,” kata Mai sebelum sempat Syamsul  menghabiskan kata-katanya.

Syamsul  diam. Namun di hatinya pertanyaan demi pertanyaan tentang Irfan begitu mengganggu. Bagaimana nanti kalau lelaki itu kembali menganggu Mai sedang dia tiada di sisi Mai untuk melindunginya. Namun untuk bertanyakan tentang itu di hadapan emaknya, dia tidak berani. Dia tidak mahu menimbulkan tanda tanya emaknya tentang siapa Irfan. Dia nekad, bila dia dan Mai bersendirian nanti, dia akan bincangkan kembali tentang perkara ini.

Mai terus cuba menukar topik perbualan dengan kembali menumpukan tentang perbincangan hal-hal perniagaan Syamsul. Sebelum dia kembali ke Shah Alam, dia akan pastikan segalanya selesai. Dia akan pastikan Syamsul  dapat meneruskan perniagaannya dengan selesa. Penambahbaikian warung itu juga perlu disiapkan untuk menyediakan ruang yang lebih banyak untuk meletakkan meja-meja makan untuk pelanggan. Ruang rehat juga perlu ditambah untuk keselesaan pekerja-pekerja di warung. Semua penambahbaikian ini telah dipersetujui bersama tuan punya warung dengan syarat perbelanjaannya akan di tanggung oleh Syamsul. Semua perbelanjaan itu nanti akan di tolak dari sewa bulanan warung itu sedikit  demi sedikit sehinggalah habis kesemuanya. Mengikut perkiraan, kos itu akan mengambil masa satu tahun untuk tamat pembayarannya.

Syamsul  telah menentukan penambahbaikian yang memakan kos yang seminima mungkin. Warung terbuka tanpa dinding itu hanya memerlukan atap rumbia, tiang dan lantai simen. Di sekeliling tepi dan belakangnya hanya dipagari oleh lapisan dinding kayu separas pinggang. Suasananya cukup selesa tanpa perlu kipas angin kerana ia terletak di kawasan yang berhampiran dengan pantai. Angin dari pantai sudah cukup kuat untuk menyamankan para pelanggan ketika menikmati juadah masing-masing. Hanya tempat memasak  sahaja yang berada di ruang yang tertutup.

Kerja-kerja pembaikian dijangka akan siap dalam masa dua tiga hari sahaja lagi. Selepas itu Syamsul  akan mengecat sendiri dinding warung mereka itu untuk mengurangkan kos upahnya. Anak kak Mariah pula sudah setuju untuk membantu mengecat di bahagian-bahagian yang lebih tinggi. Dan selepas itu mereka hanya perlu mempastikan ruang-ruang ini penuh dikunjungi pelanggan. Semua persediaan telah dijalankan. Empat buah meja makan dan enambelas buah kerusi plastik telah ditempah dan akan di hantar bila ruang ini telah siap nanti, menjadikan warung itu mempunyai sepuluh buah meja makan semuanya. Dan dia dan Mai juga telah menyenaraikan  peralatan yang perlu beli untuk keperluan di dapur serta untuk hidangan. Sekiranya mereka tidak sempat untuk pergi bersama, Syamsul  akan meminta Kak Mariah dan Abang Derasid untuk turut sama membantu. Yang pasti semua persediaan telah dirancang rapi oleh Mai. Sambil itu juga mereka telah menawarkan kerja-kerja untuk menarik beberapa orang anak muda di kawasan tersebut untuk bekerja dengan Syamsul. Yang pasti mereka perlukan beberapa orang pelayan, pencuci pinggan dan juga pembantu Syamsul  untuk menyediakan bahan-bahan masakkan. Beberapa orang telah datang untuk bertanyakan khabar tentang peluag kerja itu. Dan Syamsul  telah menyelidiki latarbelakang peribadi mereka untuk memastikan pekerja yang jujur dan benar-benar ingin bekerja sahaja yang akan di ambil bekerja. Dia memerlukan mereka yang serius hendak mencari rezeki, bukannya mereka yang nanti hanya bekerja seperti melepaskan batuk di tangga.

Samada Mai ataupun Syamsul, kedua-duanya cukup merasa teruja dengan perkembangan ini. Masing-masing bagaikan tidak sabar untuk melihat wajah baru warung mereka itu. Tukang rumah yang mereka upah, Dollah dan Mat Yie juga begitu teruja sekali untuk menyiapkan tugas mereka. Pastinya begitu, kerana Syamsul  telah menjanjikan bahawa baki upah hanya akan dibayar sepenuhnya apabila semua kerja-kerja mereka siap nanti.

 

****

 

Sedang Mai dan Syamsul asyik di dapur menyediakan juadah untuk jualan tengahari itu, kedengaran sesorang memberi salam kepada Kak Mariah yang sedang berjualan di ruang tengah warung. Syamsul  menjengah keluar untuk melihat siapa yang datang.

“Assalamualaikum  Pak Din....,” sapanya mesra pada lelaki separuh abad itu. Pak Nordin yang sedang menatang bungkusan nasi berlauk pagi di tangannya segera menghampiri Syamsul.

“Mai, tolong buatkan air nescafe ye? Pak Din tu...,” lembut sekali dia meminta Mai menyediakan air untuk tetamu mereka.

“Baik bang,” kata Mai sambil bangun dari kerja mengupas bawang yang sedang dilakukannya sejak tadi.

Sebenarnya dia tidak perlu berbuat itu semua kerana anak Kak Mariah sudah ada yang ditugaskan untuk kerja-kerja itu. Namun Mai yang tidak betah untuk tinggal di rumah sering datang membantu. Malah Nabil dan Wawa juga sering mengikutinya ke warung terutamanya di waktu pagi sebegini. Shuhaida pula jarang turut serta kerana menemani emaknya di rumah. Tambahan lagi dia perlu menyiapkan tempahan menjahit manik bagi baju-baju pelanggannya. Syamsul  bercadang apabila ruang rehat yang sedang dibina siap nanti, bolehlah emaknya turut bersama mereka di warung tersebut. Kehadiran emaknya nanti bukannya untuk membuat apa-apa kerja, tetapi  hanya sekadar untuk menemani mereka di situ. Tentu suasana akan jadi lebih menyenangkan bila emaknya ada nanti. 

Syamsul  meninggalkan kawasan dapur untuk melayan Pak Din yang sangat dia hormati. Mereka duduk di meja yang berdekatan dengan pintu masuk ke dapur. Ketika Mai keluar dengan dulang yang berisi dua cawan nescafe panas untuk suaminya dan Pak Nordin, mereka kelihatan begitu larut membincangkan sesuatu.

Nanti dio balik, Pak Din suruh dia maghi juppo Sye...,” kata Pak Din smbil menganggukkan kepalanya.

Hemm... marila... bila-bila pung tak po. Buke nok interview sangat Pak Din. Cumo nok kenal rupo dulu sebelum ambik khijo denge kito...” kata Syamsul  pula.

Perlahan-lahan Mai meletakkan cawan di hadapan Pak Din dan Syamsul. Dia cuba untuk memahamkan apa yang dibincangkan oleh suaminya itu.

“Jemput minum Pak Din...,” sapanya sambil tersenyum manis.

Emmm... terimo kasih cikgu. Hari ni air sepsel ni... cikgu sediri hok hide (hidang) ni...,” kata Pak Din sambil ketawa dalam gurauannya. Syamsul  juga turut ketawa manakala Mai hanya senyum lagi membalas gurauan lelaki separuh umur itu. Dia diam tak mampu berkata. Dia faham dan suka akan gurauan itu tetapi agak sukar untuk menjawab kerana kekok dengan dialek bahasa Kelantan yang begitu pekat sekali. Lantas dia cuma senyum kepada lelaki itu.

 Molek  sungguh cikgu jago Sye nih... Tengok tu,,, berisi doh sikit. Napok segar benar lo nih..,” kata Pak Din dalam nada gurauan. Matanya beralih dari wajah Mai ke wajah Syamsul. Membaca kebahagiaan yang terpapar di hadapan mata.

Tak dok la Pok Din. Biaso jah ni. Dok paka seluar haghi tu jogok ni. Tok gemuk lagi...,” kata Syamsul  sambil tersenyum lirih.

Heh... sapo kato gemuk.... hensemla sikit bilo berisi lagu ni. Tidokla kurus kekek sghupo hari tu...,” balasnya sambil ketawa besar lagi.

Mereka semua yang ada di warung itu turut ketawa melihatkan kegembiraan Pak Din, Syamsul  dan Mai. Ada yang menyampuk hingga menggamatkan lagi suasana. Usik mengusik membuatkan suasana lewat pagi itu makin ceria. Pada saat itu tiada yang lebih indah dirasakan oleh Mai. Hatinya berbunga riang.

 

****

 

“Tadikan... abang bincang pasal apa dengan Pak Din tu bang? Mai tak fahamla..,” tanya Mai malam itu  setelah mereka masuk ke bilik tidur untuk merehatkan diri.

“Pak Din cakap...  ada anak saudara dia yang tengah kerja kat KL nak balik ke sini. Dia sekarang ni tukang masak kat restoren di sana. Bila balik nanti dia minat nak kerja dengan abang. Jadi abang dah setuju nak jumpa. Kalau orangnya ok, bolehlah abang ambil kerja dengan kita,” kata Syamsul  sambil menukar baju melayu yang sedang dipakainya dengn sehelai t shirt lusuh yang biasa dipakai untuk tidur.

“Emmm... baguslah kalau gitu. Kalau dia sesuai, mungkin sebelah malam dia boleh uruskan warung... kan bang?”

“Kalau kita boleh percayakan dia, bolehla...,”

“Abang tak kenal dia?”

“Tak, budak tu muda lagi. Dia mula kerja kat KL lima tahun lepas. Kata Pak Din, dah dua tahun dia memasak kat restoren di KL tu,”

“Oh.. tapi kenapa dia nak balik sini. Kat KL, gajikan lebih mahal,”

“Entah la Mai, abang tak tanya la pulak pasal tu...,”

Mai merebahkan dirinya di katil, matanya mulai terasa cukup mengantuk. Aktiviti hariannya kini sudah bertukar sama sekali dari sebelum ini. Kalau dulu dia lebih banyak bermalas-malasan terutama di waktu cuti sekolah begini, tapi kini hidupnya dipenuhi dengan sesuatu yang amat berguna. Sungguh tidak pernah dia menyangka semua ini akan berubah dalam waktu yang sebegini singkat.

Matanya beralih ke meja kecil di tepi katil. Jam di situ sudah menunjukkan ke pukul 11.00 malam. Perlahan-lahan Syamsul  mengambil tempat tidurnya di sebelahnya. Terasa agak pelik mengapa Syamsul  tidak terus mematikan suis lampu, tetapi dia mendiamkan sahaja persoalan di hatinya. Sementara dia belum lena, biarlah dia menatap wajah itu sepuas-puasnya. Waktu yang menginjak terasa ingin dihentikannya. Seakan-akan tidak mahu cuti sekolah kali ini tamat tempohnya.

“Mai ...,” seru Syamsul  memecahkan keheningan yang tiba-tiba berlaku di antara mereka. Suaminya itu belum lagi merebahkan diri. Hanya duduk menyandarkan dirinya di kepala katil.

“Emmm....,” jawab Mai dalam keadaan separuh mamai.

“Abang ada benda nak bagi Mai .... tapi abang tak tau Mai suka ke tak...,” katanya perlahan. Dalam terpinga-pinga Mai memandang ke wajah suaminya itu. Matanya menggambarkan satu persoalan. Dia bangkit dari perbaringannya dan duduk menghadap suaminya. Dan, perlahan-lahan Syamsul  mengambil sesuatu dari tepi katil dan menghulurkankan kepada Mai. Makin bertambahlah lagi persoalan di hati Mai namun dia menyambut pemberian Syamsul  yang berupa satu beg plastik kacil.

“Bukalah... emmm... abang tak tau macam mana nak balut, pakai letak dalam beg plastik je...,” kata Syamsul  apabila melihat Mai hanya diam. Ada tanya-tanya di hatinya samada pemberiannya nanti akan diterima ataupun tidak.

Mai membuka beg plastik itu perlahan-lahan. Dari pengamatannya dia dapat rasakan bahawa ianya adalah sehelai kain. Lantas perlahan dia mengeluarkan benda itu untuk menjawab persoalan di hatinya. Ternyata ianya adalah sehelai tudung. Dua helai sebenarnya. Matanya terus menatap wajah Syamsul  dalam perasaan yang cukup terharu.  Tak semana-mena datang satu perasaan yang sungguh tidak dimengertikannya. Cukup terharu dengan pemberian ini. inilah kali pertama Syamsul  memberikannya sesuatu. Dan ianya sesuatu yang amat bermakna.

“Abang tak tau Mai suka ke tak... emm... harganya murah je tu...,” ucap Syamsul  dalam tanpa melihat kepadanya. Untuk pertama kalinya Mai melihat Syamsul  berada dalam keadaan yang serba salah.

“Dah lama abang beli. Abang nak bagi... tapi abang takut Mai tak suka. Kalau Mai tak suka, abang harap Mai simpan je lah... tapi kalau boleh, abang minta Mai pakai...,” ucap Syamsul  perlahan-lahan. Hatinya terus tertanya-tanya apa persepsi Mai dengan pemberiannya itu. Sukakah, bencikah, meluatkah, atau bagaimana?

Mai terus meletakkan tudung berwarna pink dan kuning air itu di sebalahnya dan memeluk Syamsul dengan erat sekali. Ada tangis di matanya, ada sendu di hatinya, ada sayu merantai jiwanya saat itu. Hadiah itu menunjukkan sesuatu kepadanya. Sesuatu yang selama ini dia tahu tetapi tidak mampu untuk dia lakukan.

 “Selama ni, abang tak berapa suka bila Mai keluar rumah tak pakai tudung elok-elok, sebab... Mai cantik. Abang tak suka orang lain tengok kecantikan Mai tu... itu semua milik abang... Abang tak suka kongsi...,”

    Mai menelan air liurnya. Dia meleraikan pelukannya lalu menatap wajah Syamsul. Kali kedua Syamsul  mengisytiharkan Mai sebagai hak miliknya dan kali ini kata-kata itu terlantun jelas dari bibirnya. Kata-kata yang kedengaran begitu tegas sekali walaupun ada nada yang tidak pasti di situ. Mungkin suaminya itu tidak pasti akan penerimaan Mai  terhadap permintaannya untuk Mai menutup aurat. Tetapi begitu tegas sekali dia menyatakannya walaupun bukan dalam bentuk kata-kata. Ketegasan yang meruntuhkan ego Mai sebagai seorang wanita. Yang selalu ingin dilihat cantik walaupun bukan untuk menarik perhatian sesiapa.

“Kalau tak suka... Mai simpan ye...,” kata Syamsul  sekali lagi. Mengulangi kata-katanya yang diucapkan sebentar tadi.

“Mai suka bang... Mai suka... dan Mai akan pakai. Sebab abang yang bagi...,” bisik Mai sambil menyeka air mata di pipinya. Sungguh dia terharu dengan kata-kata Syamsul  yang seperti sedang berjauh hati dengan kebisuannya. “Mai akan pakai... untuk abang..,”

“Jangan... bukan kerana abang...,”

Terkejut lagi Mai mendengarkan kata-kata itu. Namun dia tidak bersuara. Hanya pandangan matanya yang menunjukkan persoalan di hatinya.

“Abang nak Mai ikhlas, pakai kerana itu syariat kita sebagai hamba Allah.  Wajib atas diri Mai untuk tutup aurat. Bukan pakai selendang yang tutup sebahagian, tapi sebenarnya masih lagi tetap dedahkan kecantikan Mai tu. Abang nak Mai tutup supaya tak ada mata mereka yang bukan mahram dapat melihat keindahannya. Termasuk jugak dengan bentuk tubuh Mai. Kalau  boleh... abang minta... bila keluar rumah, Mai jangan pakai baju yang ketat-ketat... Pakai dalam rumah je... yang itu.. hanya untuk abang...,”

Dan kata-kata itu mengingatkan insiden yang berlaku tempohari, yang membawa penyatuan hati antara mereka. Penyatuan rasa yang merantai kedua-dua jiwa mereka. Hinggakan tanpa ragu lagi Mai terus yakin akan perasaannya terhadap Syamsul. Lantas dia kembali memeluk tubuh Syamsul. Dan kali ini Syamsul  juga memeluk tubuhnya penuh dengan kasih sayang. Lama mereka diam begitu, menikmati perasaan yang sungguh syahdu akibat dari pengertian ini.

Selama ini Mai selalu mendengarkan semua itu dari banyak orang, Ustazah Faridah pernah menyebutnya malah juga dari ceramah-ceramah agama yang sekali sekala diikutinya samada secara langsung ataupun tidak langsung. Tetapi sedikit pun kata-kata itu itu tidak terkesan di hatinya. Dan kini bila ianya disebut oleh seseorang yang dicintainya, ia bagaikan membina tekad di hatinya, bahawa itulah yang akan dilakukannya. Dia tidak akan teragak-agak lagi.

Setelah sekian lama hanyut dalam dakapan masing-masing, mereka meleraikannya dan Mai cepat-cepat kembali membelek tudung yang diberikan oleh Syamsul. Memang ini semua bukan dari jenis kain yang terbaik. Hanyalah dua helai tudung dari kain bawal dengan taburan batu-batu kristal yang pasti tidak mahal harganya. Namun itu semua bukan persoalannya. Persoalannya ialah, ini adalah pemberian suaminya yang begitu tegas sekali menggambarkan bahawa Mai adalah miliknya dan bukan untuk dikongsi dengan sesiapa pun walaupun hanya untuk dipandang.

“Mai suka warnanya... sesuai dengan kebanyakkan baju yang Mai ada...,” katanya sambil melemparkan senyum ke dalam mata Syamsul.

“Ya... abang perasan, Mai ada banyak baju warna pink.. dan, yang kuning air tu... rasanya sesuai Mai pakai dengan banyak baju..,” kaya Syamsul  perlahan.

Dalam hati terasa bahagia kerana keperihatinan Syamsul  pada pakaiannya. Selama ini dia menyangka  Syamsul  tidak peduli apa yang dikenakannya. Namun kini ternyata tidak sama sekali. Terus Mai bangun dan menggayakan tudung itu di hadapan cermin muka yang tergantung di dinding. Terasa ingin sekali dia melihat imej penuhnya di cermin yang lebih besar, tetapi nampaknya dia terpaksa menunggu hingga esok pagi untuk menggayakannya di bilik Shuhaida. Di bilik ini tiada cermin besar. Yang ada hanyalah cermin muka bersaiz sederhana. Tidak patut pula kalau tengah malam begini dia mengejutkan gadis itu hanya untuk menggayakan tudung yang diberikan oleh Syamsul  itu.

Syamsul  hanya melihat reaksi Mai tanpa sepatah kata. Hatinya terasa cukup senang melihatkan penerimaan Mai atas permintaannya. Telah lama dia membeli tudung itu, tetapi dia tidak pasti bagaimana untuk memberikannya kepada Mai. Bimbang kalau-kalau isterinya menolak. Tetapi kini, dia yakin Mai suka bila melihatkan cara isterinya itu bereaksi. Dia tidak mampu menanggung dosa-dosa isterinya, sedangkan dosanya sendiri pun banyak, yang mungkin dilakukan samada dalam sedar mau pun tidak.

Bila Mai kembali duduk di atas katil di sisinya, masih ada bisik syukur di hatinya dengan perubahan yang dilihatnya pada diri Mai. Senyuman manis isterinya itu menyejukkan perasaannya. Membuatkan ada rasa bahagia yang melingkari jiwanya. Dan sering perasaan itu menyelubungi hatinya sejak akhir-akhir ini. Kelembutan hati Mai dapat dilihatnya kini. Tidak seperti waktu mereka mula-mula berkahwin tempohari. Dan semua ini membahagiakannya sebagai seorang lelaki dan suami.

“Dahlah... kita tidur ye...? Dah  tangah malam ni...,” kata Syamsul  sambil menatap jam yang menunjukkan hampir ke pukul 12.00 malam. Mai terus melipat tudung pemberian Syamsul  dan meletakkannya di dalam almari. Kemudian dia kembali merebahkan diri dalam dakapan suaminya selepas memadamkan lampu bilik. Saat itu dia turut sama merasakan kebahagiaan yang dirasakan oleh Syamsul, lantas dia membisikkan ucapan terima kasihnya ke telinga suaminya itu. Bisikan itu disambut dengan satu kucupan di dahinya. Menyemarakkan lagi rasa bahagia di hatinya. Lama mereka diam begitu. Bagaikan tidak mahu melelapkan mata dek kerana rasa bahagia ini.

“Nanti kan, bila abang dah mula buka warung waktu malam, mesti abang balik lambatkan?” katanya perlahan sambil membayangkan apa yang bakal berlaku nanti.

“Kenapa Mai tanya macam tu?”

“Ingat masa kat Shah Alam hari tu. Selalunya tengah malam, Mai dah tidur, baru abang balik,”

“Masa tu Mai tak kesah kan?”

“Emmm... tapi sekarang... Mai kesah...,” ucapnya sambil senyum. Matanya tertancap di wajah Syamsul  yang kelihatan berbalam dek lampu dari luar bilik.

“Habis.... kalau Mai kesah.... abang nak buat macam mana ya?” tanya Syamsul  sambil bibirnya mengukir senyum mengusik.

“Abang pun kena kesahlah...,” jawab Mai berteka teki.

“Macam mana nak buat kesah... kalau abang tak kesah...,”

“Abang...,” rengek Mai manja.

Syamsul  ketawa sambil kembali melingkarkan tangannya ke tubuh isterinya itu.

“Sebab abang kesahlah abang cuba cari tukang masak lain untuk waktu malam. Insyaallah abang tak akan tinggalkan Mai malam-malam, paling lewat pukul 12.00. Boleh?”

“Mmmm.... malam-malam masa Mai ada kat sini, tak boleh...,” katanya sambil melirik manja.

Syamsul  ketawa lagi sambil mengeratkan pelukannya. Sambil sama-sama mengeluh bahagia, mereka diam lagi seketika.

“Bang...,”

“Ye...,”

“Mai nak dengar boleh?”

“Dengar apa...?”

“Sajak tu.... Mai nak dengar lagi abang bacakan?” bisik Mai di telinga Syamsul. Perlahan dia mengucup lembut telinga suaminya yang sedang berbaring sambil mendakap tubuhnya. Syamsul  menolak tubuh Mai untuk merenung ke dalam mata isterinya itu. Mengerutkan dahinya buat-buat tidak mengerti.

“Sajak...? Sajak apa...?”

Mai memuncungkan bibirnya sambil menolak lembut tubuh suaminya. Dia meniarap sambil buat–buat merajuk di sebelah Syamsul. Kedua-dua belah tangannya memanggung dagunya. Saat itu paras wajah Mai kelihatan cukup menggiurkan di mata Syamsul. Lantas dia meraih lembut rambut Mai yang panjangnya melepasi bahu itu dan menariknya sehingga wajah itu cukup rapat ke wajahnya. Ingin dikucupnya bibir munggil itu.

Mai memegang tangan Syamsul  untuk memberhentikan pergerakkan itu. Perlahan dia menggelengkan kepalanya. Dahi Syamsul berkerut melihatkan penolakkan isterinya. Selalunya Mai yang beria-ia mahukan perkara yang sama seperti apa yang dia mahukan. Mengapa kali ini Mai menolak.

“Baca dulu sajak tu...,” kata Mai sambil memuncungkan lagi bibirnya untuk menggoda Syamsul.

“Sajak mana....?”

“Ala.... yang sesaat... tu....,” kata Mai perlahan.

Syamsul  senyum. Sejak dari hari itu rasanya sudah beratus kali dia membacakan sajak itu buat Mai hinggakan kini sudah mampu dia menghafal setiap bait-bait kata dalam sajak itu.

“Cepatla... asyik senyum je....,” rungut Mai lagi.

“Tak puas ke dengar yang itu....?”

“Tak... dan tak akan puas.... sampai bila-bila...,” ucap Mai manja sekali.

“Bila tu?”

“Bila apa...?”

Bila tu... sampai bila-bila...,”

“Sampai bila-bila la...,”

Syamsul  senyum lagi melihatkan gelagat manja isterinya. Cukup menggoda perasaan.

“Cepatla....,”

“Hemmm... Mai ni... tak sabar ya?”

“Hemmm... tak sabarla...,”

“Ok... lepas baca tu... Mai nak bagi apa pada abang...?”

“Emmm.... ok.... apa ye?”

“Cepatlah... fikir... selagi tak cakap abang tak nak bacakan..,”

“Emmm... adalah....abang bacalah dulu...,”

“Mana boleh... kalau dalam perbincangan, dua–dua kena bagi keputusan walaupun bersyarat...,”

“Emmm... ok.... Mai  nak bagi.... ni....,” Lantas dia mencium pipi Syamsul.  

“La... itu saja? Tak aci... abang nak yang lebih lagi”

“Emmm...,”

“Apa emmmm.... tak jadilah bacakan....,”

“Abang...,”

Syamsul  ketawa.

“Ok... Mai mulakan..?” katanya memancing isterinya itu.

Giliran Mai pula yang berkerut keningnya.

“Mulakan apa?”

“Sajak tu....,”

“Emmm... ok... Mai mulakan baris pertama. Lepas tu... abang mesti bacakan sampai habis. Janji....?”

“Tak boleh... kena baca satu perenggan...,” kata Syamsul, juga menetapkan syarat.

“Mana aci.... abang baca sedap... Mai baca tak sedap,”

“Kalau dibaca dari hati.... mesti sedap...,”

Kata-kata itu buat Mai tersenyum. Dia merenung dalam-dalam ke mata Syamsul. Cuba untuk berenang di dalam kolam mata itu. Syamsul  senyum dan mengangguk perlahan. Mai membalas anggukan itu sambil matanya terus menatap ke dalam mata Syamsul  penuh bahagia. Sesungguhnya itu sahaja perasaan yang memenuhi ruang rasanya saat itu. Lantas tanpa sedar bait-bait kata itu meluncur keluar dari bibirnya.

Saat  bahteraku gersang di sebuah Sahara,
Kering dek dahagakan setitis embun bernama cinta,
Kau hadir memberi salam tanpa sebuah makna,
Lantas sekeping hati yang alpa, berputik rasa mekar berbunga...

 
Lalu tanpa banyak bicara lagi Syamsul  meneruskan bacaannya. Dan seperti kebiasaannya, Mai larut lagi dalam kolam mata itu. Larut dalam kata-kata yang mengelus lembut di hatinya. Satu demi satu, tiada satu pun yang tertinggal dari telinganya. Turut sama mengucapkan kata-kata itu. Ya.... sesaat juga cukup baginya untuk menyatakan cinta ini. Namun, dia mahukan sedetik lagi... dan lagi.... dan lagi....

15 comments:

Anonymous said...

auwwww.... romantisnya..... sungguh syahdu gitu....

Kak Sue said...

Syamsul dan Mai kena berbincang tentang masalah dengan Irfan... bila Mai balik KL lebih banyak dugaan akan datang... harap Mai dan Syamsul lebih banyak bersabar dan saling percaya mempercayai.... So Sweet Mai dan Syamsul ni.....

Anonymous said...

sweetnya dan sgt romantik...janganlah irfan kacau

Roza mamat said...

Huhuhu suke bangat ngan syamsul...mcm mana nanti kalo.mai dh blik.s.alam...x best la syamsul x de disisi mai....

has_1309 said...

Akhirnya kebahagian menjadi milik Syam dan Mai. Kebahagian yg diharapkan berkekalan, tp adakah itu pasti tanpa kehadiran Irfan nanti. Bagaimanakah Mai hendak menangkis kehadiran Irfan jika dia ditinggalkan sendirian di Shah Alam nanti. Selamatkah Mai dari kerakusan Irfan tanpa Syam disisi, perlukah Mai mengalah sekali lagi.. semuanya hanya Cik Laila yang bisa menjawabnya.

Unknown said...

hope syam n mai dapat layari bahtera rumah tangga hingga syurga... sama2 harungi pahit getir nye,kerna bile berjauhan dapat kh hati masing2 terima dugaan yg bakal hadir...persoalan yg masih belun terlerai,n dugaan ALLAH kekadang tk terjangkau dek hati manusia...syam n mai kena kuat n jgn ikut kata hati takut sama2 merana sama2 mkn hati...

kak ida said...

pergh..Tak sangka Mai yg sombong dan tidak betah hidup susah kini dapat menjalani tanggung jawabnya kepada suami dan anak anak tirinya di rumah syamsul yg banyak kekurangan itu jika dibandingkan dengan kehidupannya dibandar..Akak rasa mungkin kerana cintanya yg telah terukir buat syamsul dan anak anak tirinya yg membuatkan dirinya tidak rasa kekurangan malahan diri terasa dikehendakki dan disayangi oleh keluarga kecil itu.
Mudah mudahan perniagaan yg secara kecil kecilan itu dengan pertolongan Mai dan beberapa org pekerja Syamsul dapat memajukan perniagaan dan menjadi sumber rezki Syamsul untuk menyara kehidupan mereka anak beranak dan juga dapat membesarkan dan memberperbaiki chalet yg dulunya dalam impian syamsul untuk dijadikan sebagai perniagaan disatu masa nanti..

Adakah Irfan akan menunggu kepulangan Mai dengan dendam yg tak akan padam kerana dirinya terasa diperdayai oleh Mai bekas isterinya kini yg seakan akan ingin menjauhi dan teramat dingin perilakunya kepada dirinya akhir akhir ini..dan adakah cinta yg disemai oleh irfan selama ini pada Mai telah beralih arah..dan bagaimana si Syamsul tu hendak melayan kerenah Irfan yg gila talak pada isterinya dan tak mungkin Syamsul akan menceraikan Mai kerana dia telah menjadi sebahgian dari hidupnya dan dia tidak dapat menerima akan ketiadaan Mai disisinya..kerana Mai kini menjadi tiang yg kukuh untuk sandaran hidupnya...

Lieynaim mohd noor said...

wahhh sgt bahagia ketika ni

Unknown said...

selesaikan hal dengan irfan dan familinya...
tak baik menipu orang tua

Anonymous said...

jgnla irfan wak onar smpai klurga bru mai pun trlibat..kalo antra mai n syamsul blh dtrima ag

>>k<<

iezzlucky said...

romantiknye..... semoga bahagia kekal selamanya.....

Unknown said...

Semoga kebahagiaan Mai ini berkekalan. Irfan.. carilah yang lain!!!

Anonymous said...

panjang

Seorg wanita... said...

Hehe...best bangat... romantis gitu... :-) sungguh membahagiakan...

moga-moga perubahan Mai lepas ni dah bertudung akan membuatkan Irfan menjauh sebab nampak sangat Syamsul sedang menjaga hak milik dia sebaik mungkin (taknak kecantikan Mai dilihat oleh lelaki lain) dan menunjukkan Syamsul jauh lebih baik daripada Irfan... dan juga membuktikan Mai menerima Syamsul sepenuhnya.. Irfan, please leave them, alone... :-)

Thanks, Kak Laila... :-)

misza said...

suko pulok bila Syamsul kecek kelate.
Mai pun tak faham...

Post a Comment

Popular Posts