Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


 Bab 30

 

“Nabil..., mana umi?”

“Kat tepi pantai..,”

“Eh, buat apa kat sana? Kan hujan ni... angin pun kuat tu...,”

“Ntah... umi kata dia nak jalan seorang-seorang. Nabil nak ikut dia tak bagi,”

“Ayah nak pergi cari umi kejap..,”

“Nabil nak ikut..?”

“Tak boleh... hujan...,”

Nabil muncung lagi. ‘Kenapa orang dewasa selalu macam ni? Mereka main hujan tak apa, dia main hujan tak boleh pulak...,’ hatinya bermonolog sendiri.

Syamsul  tersenyum hambar melihatkan Nabil yang menarik muncungnya tanda protes. Namun dia bersyukur kerana anaknya itu tidak berkata apa-apa. Hatinya sudah cukup gusar dengan ketegangan yang timbul antara dia dan Mai. Tidak mahu rasanya dia menambah lagi  masalah lain yang memungkin dia jadi marah-marah lagi.

Dia sedar dia silap. Shuhaida sudah memastikan dia merasa cukup bersalah dalam hal ini. Selepas sahaja Mai meninggalkan warung tadi, tidak habis-habis adiknya itu memarahinya kerana sikapnya yang terburu-buru. Walaupun dia tahu Shuhaida sebenarnya tidak memahami situasi sebenar kerana tidak tahu apa yang mereka bicarakan, namun adiknya itu terus-terusan membebel tentang kesabaran kepadanya. Mengingatkan dia tentang kesudian Mai untuk pulang ke kampung bersama mereka. Tentang kesanggupan Mai untuk membantu mereka di warung walaupun sebenarnya dia tidak perlu berbuat begitu. Tentang hati yang telah dilukakannya disebabkan sikap panas barannya itu. Dan yang paling mengejutkannya ialah tentang perasaan Mai terhadapnya yang mampu dilihat oleh anak gadis yang semuda itu. Dan kerana itulah dia segera kembali ke rumah untuk mendapatkan Mai. Mungkin untuk memujuk, dia sendiri tidak pasti. Namun entah mengapa ada debar yang memalu dadanya saat ini. Ada rasa yang begitu indah bergayut di hatinya bila Shuhaida menyatakan tentang perkara itu. Dia tidak pasti tentang semua itu dan dia juga tidak mengharapkan keajaiban itu, tapi dia ingin.. sungguh dia ingin....

Dalam hujan renyai petang itu sepantas mungkin dia cuba menyelusuri pantai yang sedang bergelora. Angin musim tengkujuh yang begitu kuat membadai pantai, membuatkan sukar sekali untuk dia mengatur langkah. Dalam keadaan kakinya yang tidak begitu kuat untuk menstabilkan dirinya, dia cuba sedaya mungkin untuk menyelusuri pantai itu. Matanya melilau mencari kelibat Mai.  Biarpun tidak yakin akan perasaan Mai terhadapnya, dia masih mahukan semua itu. Biar mungkin dia tidak layak untuk berharap, namun dia tetap inginkan semua itu.

****

Hujan renyai dan angin pantai yang tepu dengan titis-titis air laut sudah mula membasahi tubuhnya. Tamparan angin yang begitu kuat singgah di pipi terasa begitu melegakan hatinya yang gundah saat itu. Hatinya terus tertanya, mengapa semua ini terjadi? Pulang dari warung tadi dia sedikit pun tidak mampu meletakkan kecewanya ke tepi. Pertanyaan demi pertanyaan yang diucapkan oleh Nabil dijawab dengan hati yang tawar.

Marahkah dia dengan sikap Syamsul? Kalau marah kenapa akalnya langsung tidak dapat  membuang jauh wajah itu dari mengganggu pandangannya walau ke mana pun dia halakan? Dan mengapa ada debar yang tidak sudah-sudah memalu hatinya sejak sajak itu dibaca tadi? Pulang sahaja dari warung, Mai terus mengurungkan diri dalam bilik tidur. Dia cuba untuk menahan tangis yang membanjiri kolam matanya, namun tidak mampu untuk berbuat begitu. Sejak dari waktu dia meninggalkan warung lagi hatinya sudah dibanjiri tangis akibat marah dengan sikap Syamsul. Namun dia cuba untuk menahan tangisan itu. Tidak sesekali dia mahu Nabil melihat itu semua dan kemudian menceritakan segalanya kepada semua yang ditemuinya. Anak kecil itu sememangnya tidak tahu menyimpan rahsia.

Berada di bilik sendirian, ternyata dia tidak lagi mampu untuk menahan tangis. Dan cuaca yang redup sejak pagi mula menunjukkan suasana yang bagaikan selari dengan apa yang dirasakannya saat itu. Langit mula menangis bersamanya. Memuntahkan kesedihan yang dia sendiri tidak pasti apa sebenar puncanya. Adakah kerana marah disebabkan tuduhan-tuduhan Syamsul  terhadapnya? Atau adakah kerana kecewa akibat sikap tidak acuh Syamsul  terhadap perasaannya? Ah... dia sendiri tidak tahu.

Tapi mengapa sajak itu bagaikan menceritakan sesuatu? Dalam tangis yang tidak mampu untuk dibendung tadi, dia membelek buku nota yang dihadiahkannya kepada Syamsul. Dan di helaian pertama, dia membaca sebuah sajak yang ditulis oleh Syamsul. Ada tarikh dan waktu yang tertera di akhir helaian menunjukkan sajak itu ditulis malam semalam. Pastinya sewaktu dia sedang tidur. Namun masa dan waktu itu bagaikan tidak penting sekarang ini, yang menyentuh hati dan perasaanya adalah bait-bait kata dalam sajak itu. Untuk siapakah sajak itu ditulis? Untuk dirinyakah atau hanya keluhan rasa yang diluahkan tanpa memberi apa-apa makna?

Ombak yang membadai pantai kelihatan begitu rakus sekali menjamah pasir-pasir halus yang berwarna putih. Walau dia duduk agak jauh dari gigi air, getaran yang dibawa ombak itu cukup kuat hingga mampu membawa debar di hatinya. Sesekali ombak itu menjamah hujung jari jemari kakinya, terasa seperti ada kuasa yang menariknya sehinggakan di luar kawalannya tubuhnya semakin bergerak sedikit demi sedikit menghampiri ke gigi air. Begitu juga hatinya. Walau hanya sedikit disentuh oleh Syamsul, bagaikan ada kuasa yang menariknya hinggakan seperti terus cair. Dia tahu Syamsul  tidak pernah menggodanya. Namun tiap tingkah dan kata-kata lelaki itu walaupun dalam keadaan perli ataupun marah-marah, bagaikan terus melarutkan perasaannya. Membuatkan dia tidak mampu untuk menafikan semua perasaan itu.

Dia mengeluh perlahan. Kesalkah dia dengan apa yang dirasakannya itu? Ah, tidak.... dia tidak pernah kesal. Keindahan ini tidak pernah dirasakan selama ini. Mungkinkah ini cinta yang sering disebut-sebut oleh mereka yang pernah merasakannya? Kalau benar, maka apa yang di alaminya  bersama Irfan selama ini? Mengapa bukan ini yang dirasakan bersama bekas suami yang diagung-agungkan selama ini. Perasaan yang selama ini disangkakan cinta, hinggakan sanggup merancang sesuatu yang di luar batas yang sepatutnya.

Perlahan dia bangun sambil matanya memandang jauh ke tengah lautan. Hujan yang turun sederhana lebat itu menyekat pandangannya. Semua ini terasa indah, hanya kerana kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Berada di kampung ini walaupun dalam keadaan yang daif sekali, masih mampu untuk buat dia merasa cukup bahagia. Bersusah payah untuk pulang ke sini dalam jarak yang begitu jauh sekali, masih mampu buat dia amat teruja untuk kembali ke sini.   Berada dalam keluarga yang sepatutnya menyusahkan dirinya disebabkan kedaifan hidup mereka, masih mampu membuatkan dia merindui mereka di saat-saat terpisah jauh. Dia jadi keliru. Sungguh dia tidak mengerti akan perasaan ini.

Kalau dulu dia cukup berkira dalam menjalani hidupnya. Tidak mahu apa-apa pun yang menyusahkan dirinya, tidak akan membiarkan dirinya diganggu oleh sesiapa, tidak mahu yang kelihatannya miskin dan daif sebagai temannya kerana merasakan semua itu menyusahkan dirinya. Namun hari ini, mengapa tidak ada perasaan itu bila berada di sini? Dan tuduhan-tuduhan melulu Syamsul  membuat dia terasa amat sedih sekali. Pun begitu, masih itu tidak mampu untuk buat dia membenci. Tidak mampu untuk buat dia menjauhkan diri. Ah.... sungguh dia amat keliru. Cintakah ini yang dirasakan?

 “Mai ...,” bisik Syamsul  menyedarkan dia yang begitu larut dalam khayalannya. Perlahan dia berpaling. Berdiri di hadapannya seorang lelaki yang tinggi, kurus dan capik. Dalam hujan sebegini, hakikat betapa daifnya keadaan suaminya itu sememangnya tidak dapat dinafikan.Wajah  itu memang tampan, tetapi masih tidak mampu mengalahkan Irfan jika kedua mereka digandingkan bersama. Namun wajah dan tubuh itulah yang sering didambakannya dalam tidur dan jaganya sejak akhir-akhir ini. Ah... sungguh dia tidak mengerti.

Perlahan Syamsul  menghulurkan tangannya. Buat seketika Mai merenung jari jemari itu. Mengapa begitu kuat perasaannya terhadap lelaki itu hinggakan saat ini dia ingin sekali berada dalam dakapannya dan mendengarkan bisiknya. Ingin mendegarkan lafaz cinta dari bibir lelaki ini. Tidakkah dia sepatutnya tidak mengharapkan itu semua? Tidakkah hanya tiga bulan yang lalu cintanya pada Irfan tiada belah baginya? Namun kini, segalanya berubah.

Dan tanpa dia sendiri sedari, pantas sekali Mai memeluk erat tubuh kurus itu. Mereka rebah di gigi air yang ombaknya menghempas deras ke tubuh mereka.  Mereka bagaikan tidak sedar bahawa tubuh mereka ditarik oleh ombak hinggakan bergerak perlahan ke dalam air. Mereka hanya sedar akan kehadiran satu sama lain. Dengan bibir yang bertaut erat dan tubuh yang berada dalam dakapan masing-masing, mereka larut dengan keindahan yang mereka rasakan saat itu. Hingga tubuh mereka berada agak jauh ke tengah air, barulah mereka tersedar akan bahaya jika terus larut sebegitu. Pantas sekali Mai bangun dan menarik tangan Syamsul  yang tidak mampu mensetabilkan tubuhnya apabila berdiri. Sekali lagi mereka rebah di situ. Dan tawa riang mengungkapkan perasaan yang singgah di hati mereka.

Akhirnya, dengan sukar mereka merangkak untuk keluar dari ombak yang bagaikan menarik tubuh mereka. Terbaring keduanya akibat kepenatan semasa melarikan diri dari ombak yag begitu gagah membadai. Tawa riang masih lagi pecah di bibir keduanya. Sehinggalah terhenti tiba-tiba apabila mata mereka bertatapan. Berbicara tanpa suara. Dalam diam, hati mereka saling menyapa. Syamsul  hanya mampu memandang jauh ke dalam mata bening yang bagaikan berkata, “Aku mencintaimu” itu. Dan Mai pula hanya mampu merenung ke dalam mata yang bagaikan begitu tegas berkata, “Kau milikku”. Lalu mereka sekali lagi rebah dalam dakapan masing-masing. Bibir keduanya bertaut lagi, mematrikan hati masing-masing dengan segala keindahan yang dirasakan saat itu. Hujan petang itu menjadi saksi apa yang dirasakan. Tiada siapa pun antara mereka yang ingin menafikan lagi segalanya. Tidak Syamsul  dan tidak juga Mai.

****

Hampir habis azan maghrib berkumandang barulah mereka tiba di rumah. Nabil kelihatan terjenguk-jenguk menanti mereka berdua di beranda. Shuhaida pula sedang duduk di bendul pintu. Terlintas di hati Mai untuk mengusik gadis itu, lantas sebaris senyum singgah di bibirnya. Kedua-duanya kelihatan begitu teruja dengan kepulangan mereka. Dari jauh memandang mereka berdua yang berpimpin tangan menaiki anak tangga.

“Abang dengan Kak Mai ni pergi mana? Dah maghrib baru balik... ,” rugut Shuhaida dalam keadaan ingin tahu.

“La... suka hati kamilah...,” jawab Syamsul  bersahaja. Dia diam berdiri di atas beranda, begitu juga Mai. Tubuh mereka yang basah lencun itu tiba-tiba terasa begitu sejuk sekali. Lantas kedua-duanya merapatkan diri dan pantas sekali Syamsul  memaut bahu Mai.  Semua itu dipandang penuh minat oleh Shuhaida.

“Tadi bergaduh... sekarang dah manja-manja pulak... heee.... tak faham betul...,” kata Shuhaida sambil melangkah naik ke rumah dengan wajahnya dicemikkan. Dalam pada itu bibirnya mengukir senyuman.

“Ayah jumpa umi kat mana? Jauh ke..?” tanya Nabil dengan suara manjanya. Matanya sekejap memandang ke wajah Syamsul, sekejap lagi memandang ke wajah Mai.

“Taklah... ayah jumpa kat depan tu je...,” kata Syamsul  sambil matanya tidak lepas dari memandang wajah Mai. Mai juga memandang ke dalam matanya dengan senyuman bahagia.

“Habis kenapa lambat balik?” soal Nabil lagi.

“Emmm.... ayah dengan umi main ombak..,” kata Syamsul  sambil senyum. Dan senyumannya itu berbalas lagi.

“Ayah kata hujan lebat macam ni tak boleh main ombak... Nanti kena sedut masuk dalam air... lemas ?” tanya Nabil lagi.

“Ayah dengan umi.... tak apa... lemas pun tak apa....,” kata Syamsul  sambil mengenyitkan matanya kepada Mai. Mai senyum lagi.

Tiba-tiba Nabil memeluk erat peha Mai.

“Eh.. kenapa ni sayang...,” kata Mai sambil melutut di hadapan Nabil yang sudah mula mengesat airmatanya. Bila Nabil tidak menjawab soalannya, makin hatinya bertambah risau. Dia memandang ke wajah Syamsul  yang berdiri di sisinya.

Dalam keadaan melutut begitu, Mai kelihatan begitu kecil sekali di pandangan mata Syamsul. Tubuhnya kelihatan tidak jauh bezanya dari tubuh Nabil. Membuatkan terasa ingin dilindungi, dikasihi dan dicintai.  Namun saat ini dia perlu menumpukan perhatiannya terhadap Nabil yang sedang menangis tanpa sebab.

“Kenapa Nabil?” tanya Syamsul  sambil mengusap kepala anaknya itu.

“Nabil tak mau ayah dengan umi lemas... tak mau ayah ngan umi tinggalkan Nabil....,” tangisnya perlahan.

Mendengarkan itu mata Mai dan Syamsul  bertemu lagi. Mai kembali memeluk erat tubuh kecil itu.

“Tak... umi tak tinggalkan Nabil.... insyaallah tak tinggalkan Nabil.... umi akan sama-sama Nabil.... ok?” katanya sambil kemudiannya menolak perlahan tubuh kecil itu dari dakapannya. Dia merenung ke dalam mata anak itu.

“Dah... jangan nangis.... maghrib dah lama ni. Jom... umi nak pergi mandi, lepas tu boleh solat dengan ayah, tengok tu, habis baju Nabil basah... Nanti salin baju lain ok?” pujuk Mai perlahan.

Pada masa yang sama, Shuhaida sudah berdiri di hadapan pintu sambil menghulurkan kain tuala kepada kedua-dua abang dan kakak iparnya. Lalu mereka melangkah masuk beriringan. Dan masing-masing menyedari renungan tajam yang diberikan oleh Wawa yang duduk di ruang tamu. Renungan yang buat Mai mengeluh perlahan.

****

“Mai,”

 “Ya..,”

Syamsul  diam.

“Abang...?”

Syamsul  terus diam. Terbuku di hatinya dengan apa yang ingin diperkatakannya. Suatu hakikat yang tidak mampu untuk dilupakannya. Hakikat yang mampu buat dia terasa begitu kerdil sekali di mata Mai. Terutamanya bila digandingkan bersama Irfan.

“Kenapa bang..?”

“Abang tak ada apa-apa... cacat lagi... Mai ... sanggupke...? ... sanggupke bersusah dengan abang...?” ucapnya perlahan tanpa memandang ke wajah Mai.

Mai yang sedang baring memandang ke atap rumah tanpa siling itu terkebil-kebil. Dia terkedu seketika, tidak mampu menjawab pertanyaan itu. Yang pastinya, itu semua bukan sebab penerimaannya terhadap Syamsul. Yang dia tahu, bersama Syamsul  dia merasakan satu kebahagiaan yang tidak bertepi.

“Kenapa abang tanya semua tu...? Mai rasa abang tau apa jawapannya...,” katanya perlahan setelah diam begitu lama.

“Abang tak faham... semua ni...,”

Perlahan Mai berpaling ke wajah Syamsul. Merenung wajah tampan suaminya dari tepi. Wajah yang sentiasa kelihatan rugged itu rupanya yang mampu merubah perasaannya terhadap erti sebuah  keindahan. Keindahan yang terselindung selama ini dari pandangannya. Keindahan tentang kehidupan yang sebenarnya. Yang membuatkan dia lebih menghargai apa yang dia ada. Bukan sebuah hidup yang palsu, penuh dengan kepura-puraan. Yang hanya mementingkan kehendak hati lantas lupa akan kelangsungan hidup dan keperluan orang lain.

“Perlu ke Mai sebut satu persatu...?” Tanya Mai  dengan nada perlahan.

Syamsul  diam sambil memandang ke dalam mata isterinya.

“Mai cintakan abang...,” bisiknya perlahan. Sebaris ayat yang membuatkan Syamsul  terkedu. Penuh tanda tanya dengan apa yang didengarnya.

“Betul...,” ucap Mai sambil menganggukkan kepalanya.

“Tapi.... Irfan ....,” kata Syamsul pebuh debar.

“Abang Ifan ... satu sejarah dalam hidup Mai, sebuah kenangan. Dan abang .... satu kenyataan... Mai nakkan kenyataan...,”

“Tapi... abang... tak faham,. Apa yang buat Mai berubah?” sungguh dia tidak mengerti semua itu. Walaupun perasaan ini amat membahagiakan, dia merasakan begitu takut sekali. Bimbang ini cuma sebuah igauan dalam lenanya. Bukan mimpi indah yang di dambakannya sejak akhir-akhir ini.

“Segala-galanya tentang abang... buat Mai nakkan semua ni... Mai nak jadi isteri bagi seorang lelaki yang cintakan keluarganya, emaknya dan anak-anaknya... Mai nak seorang lelaki yang menghargai kehidupan yang seadanya. Tak ada pura-pura dalam setiap kata-katanya. Yang walaupun dalam serba daif, mampu buat semua orang di kelilingnya bahagia..,”

“Mai bahagia?”

Mai mengangguk laju sekali. “Mai nak kecap bahagia tu.... dengan abang...,”

Syamsul  terdiam, terkedu lagi.

“Andai rindumu dapat ku raih, akan ku tunggu tanpa kenal erti letih... ingin ku tenggelam di lautan cintamu... biar sesaat ... sudah cukup bagiku...,” perlahan Mai membisikkan bait-bait kata dari rangkap terakhir sajak yang tercatit dalam buku nota yang dihadiahkan kepada Syamsul. Sejak mula membacanya petangtadi, bait-bait itu lekat di hati dan tak ingin dilepaskan lagi.

Syamsul  mengelus lembut wajah Mai yang berada di hadapannya. Sungguh dia cinta pada isterinya ini. Dan dia tahu,  dia tidak mahu kehilangan Mai. Sungguh dia inginkan sesaat buat dirinya. Sesaat lagi... dan lagi... dan lagi.... sehingga selamanya.

40 comments:

Anonymous said...

Yahooooo... kekeliruan telah terlerai. Mai + Syamsul dah lovey-dovey.....

izzah said...

Thanks for this n3.... suka sangat... pinjam kata2 terakhir tuh touching sangat...

Unknown said...

sooo sweetttt.. melelehh dah cair ngan mai n syam.. akhirnya terlerai rindu, terlafaz cinta..bahagia harapnya... senyumm sorang2 dah ni happy sangat2, tq so much kak laila hanni..<3

Wan Ruzana said...

Yuhuuu akhirny kekusutan terlerai keke,.bahagia2 hehe

kak ida said...

pergh..dik terharu..akak..akhirnya mereka dapat meletakkan ego mereka ketepi dan betapa indahnya perkahwenan yg akan dilalui oleh mereka kan..

Akak harap Irfan tidak akan datang dan mengugat kebahgian yg dikecapi oleh Mai..kalau pun Irfan datang untuk meraih janjinya ..akak harap Syam akan menegakkan haknya keatas Mai dan jangan ambil keputusan yg terburu buru tanpa membincangkannya dengan Mai..kerana teras perkawenan yg bahagia adalah kepercayaan dan saling bantu dan membantu dan bermusyawarah apabila ada masalah..kan..

Unknown said...

itu lah cinta,tak pertaruh harta pangkat hatta rupa paras sekali pun.biar hanya sedetik cinta termetri namun iklas memberi n menerima pasti bahgia di iringi!si kecil pun pandai menagih kasih umi ape lagi si hubby,so hendak nye syamsul n mai nilai lah dan bajai rase cinta yg ALLAH anugerah wat adam n hawa,ngan penuh rase syukur kehadrat ilahi.agar shamsul n mai kekal bahgia hingga ke syurga firdausi....

Seorg wanita... said...

best..best...best... speechless.. tak reti nak komen apa yg tulisan K.Laila.. :-) TQSM!!! Citer yg mantap...

Lina Baharuddin said...

Best...... ;)

Anonymous said...

Terbaek nbest sesangat cite nie...

Unknown said...

Syahdunya sampai kelu tak terkata...inikah cinta sebenarnya....terima kasih n terbaik...

novel novellas said...

besttt..akhirnya terlerai jugak segala kekeliruan.
harap2 mai mengandung la..

MaY_LiN said...

yeay!!!
da berbaik..
daring nya mai n sham

Anonymous said...

waaaaa...ari ni dpt bca 2 n3...yuhuuuuu

>>k<<

laila hanni said...

betul tu Ida.... :)

laila hanni said...

hehe... salam semua.... thanks untuk semua yang membaca.... and thanks also for the comments. Hadirnya kalian merungkai gundah di hati... buat ingin aku meminta sesaat lagi....

Akulah.zaty said...

wahhh.. LH.. cm x cukup jer sesaat ni nk bersaat2 lagi Dan lagi.. Dan lagi...... :-)

Unknown said...

oh yeas!!! sgt terbaik ending n3 ni. biasanya ending n3 kak laila mesti menjerut jiwa. heehe. da best of all kak laila!

Unknown said...

mmg menjerut jiwa

kak nora said...

owhhh kak...sesaat tak cukup bagi ku kak...kena sambung cepat2 baru ler cukup...harap mai ngandung la pas nih... agaknya apa kan jadi kat irfan kalo dia tau hati mai dah berubah arah...

Anonymous said...

Sesaat cukup bagimu, tapi sesaat tidak cukup bagiku
Untuk terus berada di sini, membaca lakaran kisah Mai & Syamsul
terima kasih Laila
memberikan 2n3 sekali dalam satu hari

- Maya -

has_1309 said...

Thanks Laila utk n3 baru ni. Sungguh sy betul-2 'salute' dgn karya awk ini. Sungguh menyentuh hati dan perasaan, Sesaat Cukup Bagiku merupakan satu karya yang lain dari yang lain. Tidak seperti yang ada dipasaran sekarang. Terus-terang sy katakan saya amat kagum dgn plot dan juga gaya bahasa yang awk gunakan dalam cerita ini.

Laila, karya awk mmg lain dari yg lain dan sy amat mengaguminya. Sy tahu setiap kali awk nak olah cerita ini tentu mengambil masa yang agak lama kerana agak sukar jika seseorang itu ingin mengolah cerita yang susah sperti ini. Terima kasih utk cerita ini..sy bangga dgn awak.

laila hanni said...

thanks Maya,

tunggukan saat yang berikutnya...:)

Laila Hanni said...

terima kasih atas sokongan Has... memang saya akui.. cukup susah. dan saya masih ingin terus belajar. ingin supaya karya2 saya disukai di semua peringkat usia. sokongan dari semua sangat-sanga saya hargai... semoga saya dapat istiqamah dalam berkarya... selagi saya mampu...

Anonymous said...

Romantiknya mai dgn syamsul ni.. Tercemburu kita jap. Leh golek2 tepi pantai lg.. Huhuhu.. Anyway nice entry kak laila.. Nak yg lg happening and lg romantika d armour.. Hopefully mai dan syam akan bersama selamanya.. Lg best kalau wawa pun blh join d happiness.. Barulah betul2 happy family.. Luv Along

Anor said...

nak lagi bessst... cepat sambung ye.

Hatika said...

Settle dh satu masalah.. Akhirnya syamsul ngan mai tahu ttg perasaan masing2. Alhamdulillah. Nanti tunggu masalah irfan lak nanti.. Hehehe. Best!! Nanti cpt sambung ye.

-Ika Hatika-

jufiza said...

laila, terus terang akak mengikuti blog laila sejak dari karya pertama lagi tapi akak kurang sikit dgn karya pertama terasa cliche. semalam yg kutinggalkan akak betul2 puas hati nampak kelainannya dari novel yg byk dipasaran kisah hidup unie yg sebatang kara terpisah dgn anak dan diceraikan suami begitu meruntun hati.sesaat cukup bagiku pula punya tarikan yg kuat utk terus mengikuti pergolakan hati mai dan syamsul kelainan yg terasa kerana watak hero yg daif jauh dari watak hero yg kaya raya ,ceo anak dato'/tan sri boring betul....syabas semoga nov ini juga berjaya ke versi cetak dan disukai ramai - jufiza

ainul ariff said...

Laila....
karya anda amat-amat melekat di hati saya. Sangat suka akan semuanya, amat lain jalan cerita dan amat dekat dengan kehidupan seharian saya.

Sebenarnya karya yang begini yang sering saya tunggu-tunggu, bukan karya sekadar berfantasi dan memaparkan kehidupan yang indah dan mewah semata-mata.

Saya tetap menyokong anda berkarya...teruskan bakat anda.

Laila Hanni said...

terima kasih Jufiza, terharu rasanya... insyaallah laila akan terus cuba utnuk memaparkan kisah-kisah yang berpijak di bumi nyata dalam karya2 akan datang. karya pertama tu, sebenarnya satu percubaan. masih dalam pencarian arah... harap karya2 akan datang akan lebih menunjukkan kematangan dalam berkarya.

Laila Hanni said...

Thanks Ainul..... sweet of u.... :)

sokongan macam ni amat laila harap-harapkan, demi untuk menambah lagi semangat untuk terus berkarya. laila akan terus cuba menulis sesuatu yang lebih hampir dengan realiti. bukan sekadar untuk berfantasi...:)

muda_13 said...

indah, terasa indah, ^_^. bila kita berdua dalam lautan cinta, hehe, macam tu lah 'sesaat cukup bagiku'

iezzlucky said...

akhirnya kebahgiaan muncul jua....

Laila Hanni said...

emmm.... kisah masih panjang tau iezzlicky...

Laila Hanni said...

ni masa lautan belum membadai lagi ni muda.... hehe

Kak Sue said...

Akhirnya semuanya terurai .... salah faham telah dapat huraian yang baik bagi Mai dan Syamsul.... besttttt.... paras rupa, wang ringgit bukan ukuran yang penting keikhlasan hati....

faiicie said...

TQ kak laila sebab menyajikan kisah kasih yg meruntun dan menyentuh hati siapa pun yg membacanya...cerita2 kak laila mmg lebih menampakkan realiti hidup...mcm yg saudari jufiza katakan di atas...penulis lain suka letakkan watak2 hero yg kaya raya...yg kacak...anak2 VVIP...hehehe hakikatnya berapa keratlah sgt org mcm tu kan...tahniah kak...dan P/s sy nak n3 baru lagi..hehe

Laila Hanni said...

tq Faiicie... :D insyaallah... sabarya...

Laila Hanni said...

tapi Kak sue, masih ada angin yang kuat membadai..... hemmm...

Anonymous said...

Cinta itu telah tersingkap. Kesyahduan mula menyelusuri setiap ruang rasa buat hati makin yakin yang bahagia akan tergenggam.

Namun, pasti ada yang bakal menggugah ketenteraman ini kan Laila? Aduhai, pastinya janji yang telah terpatri akan membuat dua hati penasaran, buat dua jiwa semakin berantakan. Yang berjanji pasti resah menggila bila dituntut pelaksanaan sementara yang menagih, akan mula merencana yang tidak terduga bila menyedari dimungkiri... Aduhai, kisah yang begitu menarik hati akak dari dulu lagi walau menanti karya ini menuntut bukan sedikit kesabaran, dah rasa cam Syamsul yang mengira detik demi detik 3 bulan tu..

Semoga plot mendatang akan lebih memantapkan cerita ini. It has been 3 years kan Laila.. If ever, anak Mai dan Syamsul dah pandai cakap, dah pandai main pantai dengan abang Nabil dan pastinya kakak Wawa pun akan turut menyertai bercanda dengan pantai di halaman chalet keluarga mereka!!!!

laila hanni said...

thanks Anon....,

whoever u are u've described itu very well. untuk bhagia bukan sesuatu yang mudah. bukan hanya perlukan lafaz kata, malah juga tingkah yang harus berbicara.... terima kasih kerana tetap setia menuggu saat demi saat... detik demi detik... moga akan bersabar untuk terus menunggu sessat lagi.... untuk kita bersama mengungkap sejuta makna dalam mencari kebahagiaan... thanks again...:)

Post a Comment

Popular Posts