Bab 15
Bunyi tapak kaki kecil yang berlari mendekatinya buat
resah di hati Syamsul hilang melayang.
Gembira sungguh hatinya bila mendengarkan bunyi itu. Kali terakhir dia pulang
ke kampung ialah seminggu sebelum dia menikahi Mai. Tujuannya waktu itu adalah
untuk membawa emaknya ke Shah Alam untuk majlis perkahwinannya. Namun
disebabkan kesihatan emaknya yang tidak mengizinkan, emaknya menolak dengan
harapan dia akan pulang bersama Mai selepas mereka berkahwin. Namun hajat itu
masih belum sampai bila dengan terus terang Mai meletakkan syarat dalam
perkahwinan mereka. Syarat yang membuatkan dia begitu tawar hati untuk
melaksanakan hasrat emaknya itu. Malah, dia terpaksa mencipta pelbagai alasan
untuk menjelaskan mengapa dia dan Mai tidak dapat pulang ke kampung selepas
majlis itu berlangsung.
Dan bila kali ini dia pulang sendirian, dia pasti,
tentunya pelbagai persoalan akan timbul. Setakat ini dia masih buntu dengan
alasan yang harus diberikan. Nasib baik Shuhaida tidak bertanyakan dia tentang
perkara itu semasa mereka bertemu di hospital tadi. Timbul sedikit kesal di
hati kerana menolak pelawaan Mai untuk pulang bersama semalam.
Sekurang-kurangnya jika Mai pulang bersama, dia tidak perlu memberikan alasan-alasan
yang tidak munasabah.
Derap kaki yang pantas berlari tadi tiba-tiba terhenti
dan sepasang tangan kecil terasa memeluk erat di pehanya membuatkan dia
terhoyong-hayang untuk menstabilkan kedudukannya. Dia tersenyum riang. Sengaja di biarkan tangan
itu memeluknya kuat. Pura-pura baru menyedari akan hadirnya si kecil itu.
“Erk... hei siapa ni ... kuatnya tangan dia... peluk kaki
ayah ni....,” dalam nada terkejut Syamsul
pura-pura merungut.
Terdengar suara si kecil tertawa mengekek-ngekek. Hilang
melayang segala resah yang menyelubungi hatinya sebentar tadi. Perhatiannya
kini di tumpukan sepenuhnya kepada anak kecilnya itu. Perlahan dia berpaling
melihat si kecil yang tegak berdiri hanya separas pangkal pehanya. Senyuman itu
memang tak pernah dilupakannya. Malah senyuman itulah yang sering dirinduinya.
Sering mengharapkan ia hadir di setiap detik waktu yang dia ada. Namun, tekad
memisahkan mereka. Biarlah untuk seketika ini, dia jauh dari senyum itu. Akan
tiba saatnya nanti senyum itulah yang akan kembali mewarnai hari-harinya.
“Ayah... Nabil la niii....” ucapan manja dari anak kecil
berusia lima tahun itu singgah di telinganya. Segera dia bertinggung untuk
menyamakan aras wajahnya dengan wajah anak kecil itu. Dia memeluk kemas tubuh
anak yang dirinduinya itu. Senyuman si kecil yang kelihatan begitu nakal sekali
bagaikan air dingin yang membasahi hatinya. Membuatkan hilang segala rindu yang
dirasakan selama ini.
“Nabil rupanya.... ingatkan siapa tadi... kuat betul anak
ayah sekarang ni... nasib baik ayah tak jatuh tadi...,” katanya dengan gurau
yang begitu mengujakan. Anak kecil itu ketawa mengekek lagi.
“Nabil makan banyak...tau yah... Cik Yah cakap kalau
makan banyak nanti kuat,”
“Ia...? Nabil makan apa?”
“Makan nasi lah... dengan lauk ayam...,” jawabnya dengan
manja.
“Wah... mesti best ni,”
“Nanti Nabil nak makan lauk yang ayah masak ... boleh?”
Syamsul ketawa
kuat sekali. Meluahkan rasa bahagia yang menyelubungi hatinya saat itu.
“Mestilah boleh...,” ucapnya sambil memeluk erat tubuh
kecil itu kembali. “Kak Wawa mana?” tanya dia, menduga si kecil.
“Sekolah...,”
“Ohhh...,”
Senyum masih lagi mekar di bibirnya melihatkan wajah
mulus anak kecil itu. Mata yang bercahaya itu sering mengingatkan dia kepada
Suzana. Mana mungkin dia mampu melupakan arwah isterinya itu sedangkan segala-galanya
tentang dia ada pada raut wajah anak-anaknya. Nabil mewarisi lirikan mata
Suzana sedangkan Wawa mewarisi semua apa yang pernah ada pada Suzana. Semakin
dia membesar kini, semakin itulah dia menunjukkan raut wajah dan perwatakan
Suzana. Ya, Suzana hidup dalam anak gadisnya Najwa.
“Mana Cik Yah?”
“Kat atas... masak,” jawab Nabil ringkas.
“Cik Yah masak apa hari ni?”
“Entah...,”
“Jom kita naik...?”
“Jom...,”
Perlahan Syamsul berdengket-dengket bertapak menaiki
tangga ke atas rumah sepupunya. Buat sementara waktu ini Nabil dan Najwa
terpaksa tinggal di sini. Dan sekarang, setelah dia pulang untuk mengambil alih
tugas Shuhaida menemani emak mereka di hospital, bolehlah adiknya itu kembali
menjaga anak-anaknya di rumah mereka. Setidak-tidaknya anak-anak tidak lagi
akan menyusahkan sepupunya, Kak Mariah.
Kepulangannya itu di sambut mesra oleh Kak Mariah. Dia
merasa amat terhutang budi kepada sepupunya itu. Biarpun dari keluarga yang
susah, hidup dalam serba kekurangan, dia masih lagi sanggup mengambil alih
penjagaan anak-anaknya sementara mereka dalam kesusahan begini.
Makan tengahari itu, nasi yang berlaukkan ulam pegaga,
pucuk ketereh dan dan pucuk serai kayu dicicah dengan budu yang diletakkan
seulas durian. Ikan kembong bakar menaikkan lagi selera anak muda yang sudah
sekian lama tidak menikmati juadah kegemarannya itu. Seringkas itu sahaja
juadahnya, namun sudah mampu membuatkan dia menambah nasi hingga tiga pinggan.
Sudah sekian lama dia tidak makan sebanyak itu. Kak Mariah dan suaminya Abang
Derasid, cukup teruja melihatkan Syamsul
makan begitu berselera sekali.
“Isterinya tak balik sekali Syam?” tanya Abang Derasid
tiba-tiba.
Terhenti seketika suapannya. Sungguh dia tidak menyangka
soalan itu akan terlantun di saat-saat begini.
“Tak bang... esok dia mengajar. Susah jugak sebab cuti
dah tak ada. Dah habis dia ambil masa
kami kahwin hari tu..,” Syamsul
beralasan.
Abang Derasid mengangguk. Namun Syamsul dapat rasakan anggukan itu bagai dapat
membaca bahawa tiada keikhlasan dalam ucapannya itu.
Tengahari itu
Syamsul merehatkan diri seketika sebagai
persediaan untuk menemani emaknya di hospital malam nanti. Sebenarnya dia tidak
begitu memerlukan rehat itu. Dia hanya ingin sendirian, tanpa gangguan, tanpa
pertanyaan-pertanyaan yang membuatkan dia terpaksa berbohong tentang Mai. Satu
persatu pertanyaan tentang Mai yang dari Nabil yang terpaksa dijawabnya. Kenapa
dia tidak turut sama balik dengan ayah, mengapa dia tidak pernah menelefon
bertanyakan khabar, mengapa umi barunya itu tidak membelikan apa-apa hadiah
untuk dia dan kakaknya. Dan satu persatu Syamsul terpaksa menjawab pertanyaan
demi pertanyaan itu dengan pembohongan. Menyesali setiap pembohongan yang
terpaksa dia ucapkan. Malah kini dia menyesali keputusannya untuk membantu
pasangan itu untuk kembali bersama, lalu memberikan harapan palsu untuk anak
kecilnya ini. Harapan yang tidak mungkin akan jadi kenyataan. Dalam kesalan itu
dia terpaksa akur dengan kesilapan yang dia telah lakukan. Sungguh-sungguh dia
menyesali segalanya. Dan akhirnya dalam kesalan yang tidak berkesudahan itu,
dia lena bersama Nabil, menantikan Najwa pulang dari sekolah.
****
Najwa tiba dari sekolah tepat jam 4.15 petang. Hari Ahad
dia terlibat dengan kelas Fardhu Ain menyebabkan waktu pulangnya adalah pada
jam 4.00 petang. Sejak dari tadi lagi hatinya cukup teruja kerana kepulangan
ayahnya. Bagaikan tidak sabar rasanya hati kecilnya untuk menemui ayah dan
mungkin emak tirinya.
Bila mengingatkan kehadiran perempuan itu, hatinya
menjadi sakit. Mengapa ayah perlu kahwin lain? Tidakkah dia sayang pada ummi?
Mengapa perlu ada orang lain dalam hidup mereka? Mengapa perlu mereka
memasukkan orang lain dalam keluarga mereka? Sungguh dia tidak mengerti
mengapa.
Setiba di rumah kak Yah, hatinya hampa apabila melihat
ayahnya sedang lena bersama Nabil. Terasa ingin sekali dia mengejutkan ayah
untuk meleraikan sejuta rasa rindu yang bersarang di hatinya. Namun terasa
kasihan pula bila melihatkan ayah keletihan. Dalam hati tertanya-tanya di
manakah gerangan emak tirinya. Bila tiada kelibat wanita lain yang kelihatan di
dalam bilik tidur tempat ayahnya dan Nabil terlena, hatinya bertambah hairan. Ah...,
lantaklah.... bisik Najwa dalam hati.
Cepat-cepat Najwa kembali ke dapur untuk mencari sedikit
makanan bagi melegakan rasa lapar. Tengahari tadi dia cuma makan dua keping
keropok lekor di sekolah sementara menunggu kelas fardhu ain bermula. Setibanya
di dapur, dia melihat Cik Yah sedang menyendukkan nasi ke pinggan.
“Ha... basuh tangan tu Wawa... nanti makan nasi ni...,”
“Hem...,” dia bergumam sendiri. Kak Mariah memandang anak
gadis sunti itu dengan pandangan simpati. Najwa memang kelihatan sedang
bersedih. Sejak kematian umminya lima tahun yang lalu, anak kecil yang pada
waktu itu berusia empat tahun masih belum kenal apa erti kematian. Namun dengan
kematian itu, dia menjadi anak yang suka menyendiri. Tambahan lagi apabila
kawan-kawan lain punya ibu dan bapa. Sedangkan dia, tak punya sesiapa. Ayah
yang ada pula jauh dari mata.
“Orang tu mana Cik Yah?” soalan terpacul dari bibir
munggil anak gadis sunti itu setelah sekian lama dia diam sambil menyuap nasi
ke mulutnya. Kak Yah yang sedang menggoreng jemput-jemput pisang sedikit
terperanjat mendengarkan panggilan yang digunakan oleh Najwa. Dia tahu siapa
yang dimaksudkan, tetapi diam, buat-buat tidak tahu.
“Siapa Wawa... ?”
Lama kemudian barulah dia bersuara.
Najwa diam sambil meneruskan suapan. Lama sekali dia
diam.
“Wawa ...?” tanya Kak Mariah lagi.
“Ala... orang yang
ayah kahwin tu..,”
“Wawa ... jangan panggil dia macam tu... dia kan umi Wawa
sekarang..,” pujuk Kak Marih.
“Siapa kata dia umi Wawa...,” keras kedengaran kata-kata
itu buat Kak Yah terkejut dengan sikap anak gadis itu. Lantas dia menggelengkan
kepalanya.
“Tak baik Wawa cakap macam tu. Ayah kan dah kahwin dengan
dia, mestilah dia dah jadi umi Wawa...,” kata Kak Yah bersahaja sambil
meneruskan kerjanya. Perhatiannya terus diberikan kepada jemput-jemput yang
sedang digoreng di dalam kuali.
Tetapi bunyi dentuman kuat di belakangnya membuatkan dia
terkejut. Dia berpaling pada Najwa yang sedang berdiri di tepi meja. Kerusi
yang diduduki Najwa sudah terbalik di lantai. Anak gadis sunti itu pula
kelihatan begitu marah sekali memandang kepadanya.
“Tak nak... Wawa tak nak... Wawa nak umi Wawa ... tak nak
orang lain....,” jeritnya sambil menangis. Pantas sekali kakinya melangkah
pergi meninggalkan nasi yang masih berbaki di pinggan.
****
Dentuman kuat dari arah dapur mengejutkan Syamsul dari lenanya. Sebentar kemudian kedengaran
suara Wawa menjerit dalam tangis yang bagaikan membentak. Dalam sedar tak sedar
dia tidak dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh anak gadisnya itu. Namun
dari tangisan dan jeritan itu dia bagaikan dapat meneka tentang kesedihan yang
sedang dialami Najwa. Sebentar kemudian kedengaran bunyi hentakan kaki yang
berlari di atas lantai kayu rumah papan itu bersama dengan tangisan sendu
seorang anak gadis.
Perlahan dia bangun supaya pergerakannya itu tidak
mengganggu Nabil yang sedang lena berbantalkan lengannya. Seketika dia merenung
anak kecilnya itu. Alangkah baiknya jika
Najwa bersikap seperti Nabil? Labih senang menerima apa sahaja yang
dikatakannya. Tidak banyak membantah. Malah ada ketikanya lupa tentang sesuatu
yang tidak begitu menarik minatnya. Larut dalam dunia kanak-kanaknya bersama
dengan Ultraman dan Kamen Ridernya. Dua watak superhero yang menjadi pujaannya.
Dia dapat mengesan penolakkan Najwa pada keputusannya
untuk berkahwin dengan Mai sejak kali pertama dia memberitahu perkara itu
kepada keluarganya. Waktu itu dia tidak menjelaskan tentang mengapa perkahwinan
itu perlu dilaksanakan. Emaknya dan Shuhaida
dapat menerimanya dengan baik sekali. Malah kelihatan begitu teruja
sekali. Nabil hanya terkebil-kebil bagaikan tidak mengerti. Tapi Najwa terus
memasamkan mukanya tanda protes. Apabila dia menunjukkan foto Mai kepada
emaknya, Najwa sedikit pun tidak menunjukkan minatnya untuk menatap foto itu.
Terus sahaja diam di tepi pintu tempat dia duduk memeluk pehanya sejak dari
awal perbualan dimulakan. Waktu itu hanya Nabil sahaja yang terlompat-lompat
ria melihatkan kecantikan Mai yang bakal menjadi ibunya. Bila mengenangkan kembali sikap teruja Nabil
untuk menerima Mai, terkilan rasa di hatinya dengan sikap Mai yang bagaikan
acuh tidak acuh untuk mengenali keluarganya terutamanya anak-anaknya. Sikap
dingin yang timbul kerana kesombongan dan keangkuhan untuk kembali kepada
Irfan. Hinggakan dia tidak langsung menghiraukan apa pun juga yang berlaku
dalam hidupnya kini. Yang ada di mata Mai hanya Irfan. Hinggakan sanggup
menyerahkan diri kepadanya demi kerana ingin cepat dapat kembali semula bersama
Irfan.
Mengenangkan itu terasa bagaikan membuak kembali rasa
marahnya kepada Mai. Egonya sebagai
lelaki dan suami terasa begitu tercabar sekali. Walaupun waktu itu Mai bagaikan
turut menikmati semua keindahan yang
mereka kongsi bersama, dia jadi ragu-ragu. Adakah mungkin waktu itu Mai
membayangkan Irfan? Bukan dia yang sedang berada bersamanya? Ah.... Tiba-tiba
tubuhnya menggeletar akibat perasaan marah yang dirasakannya. Lantas dia bangun
dan meninggalkan Nabil yang sedang lena.
Keluar sahaja dari bilik tempat dia dan Nabil terlena
sebentar tadi dia terus ke dapur untuk menemui Kak Mariah. Kelibat dan suara
Najwa tidak lagi kelihatan. Hanya Kak Mariah sahaja yang kelihatan sedang
bingung di dapur.
“Kak...,” tegurnya membuatkan Kak Mariah berpaling
kepadanya.
“Hah Syam... dah bangun kamu?”
“Dah.... .” jawabnya ringkas. Mananya menatap ke dalam
mata kak Mariah. Cuba meneka apa yang ada di dalam hati wanita yang lebih tua
daripadanya itu.
“Najwa tak suka ke Syam nikah dengan isteri Syam tu?” Cepat sekali kak Mariah bertanya
untuk meleraikan kebingungan di hatinya. Belum sempat lagi dia melabuhkan
punggungnya di atas kerusi berhampiran meja makan, soalan cepu emas itu sudah
ditnyakan. Terdiam seketika Syamsul
memikirkan bagaimana dia harus menjawab soalan itu.
“Syam ... Kak Yah tanya ni....,”
“Ya kak... Syam dengar...,”
“Kenapa Syam kahwin juga walaupun anak-anak tak suka?
Sekurang-kurangnya kenalkanlah dulu, biar anak-anak berkenan...,”
Terdiam lagi dia mendengarkan kata-kata itu. Ah .... dia
sendiri tidak pernah memikirkan itu. Yang dia tahu, pernikahannya dengan Mai
bukannya untuk selamanya. Maka untuk apa perlu dia mengharapkan anak-anaknya
suka dengan Mai. Malah, dia juga tidak nampak mengapa perlu dia merapatkan jurang antara Mai dan
anak-anaknya.
“Kita ni Syam..,kalau nak kahwin tu... kenalah pikat hati
anak dulu. Barulah senang... Kahwin ni bukan perkara main-main. Kita kahwin nak
sampai ke akhir hayat kalau boleh kan?”
Syamsul hanya diam
mendengarkan kata-kata Kak Mariah. Tak mampu berkata apa-apa. Juga tidak mahu
membuka pekong di dada. Cepat-cepat dia bangun. Tidak mahu lagi di hujani
pertanyaan demi pertanyaan dari kakak sepupunya itu.
“Syam nak siap-siap pergi temankan mak ni Kak Yah. Lewat
Syam sampai nanti kang, lewat pulaklah Shuhaida dapat balik,” katanya sambil
berlalu pergi. Kak Mariah hanya memandang Syamsul meninggalkannya. Menggeleng-gelengkan
kepalanya dengan sikap berahsia anak muda itu.
9 comments:
nak taw kisah mai ni...
Kisah Mai lngsung xde ;(
b0ring meyh .
Satu bab ambil masa satu bulan..
Syam berbincanglah dengan Mai secara baik....
Bila kahwin lain ni semua hati kena jaga. Tapi hati sendiri siapa pula nak ambil tahu....
sabar ye blinkalltheday, satu satu ekk... hehe... winks...
miss... next entry kisah mai pulak...
aduhai... anonymous... kalau ikut hati... hari2 nak post tau...
menarik citer ni...jangan tak sambung :) i like
aduh kak hani,
udeh penasaran ni ...rindu banget nak bace sambungan seterusnya..
kak hanni bz ke??
x sbr nak tunggu SCB dibukukan..
kalo dah ade buku x payah tunggu camni..
penantian suatu penyeksaan..huhuhu
x sbr nak wat SCB sbg koleksi peribadi
yg sgt2 hebat mcm anita aruszi
jalan cerita yg fresh dan berilmu..
Post a Comment