Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 4

Pandangan matanya dilemparkan kepada anak-anak kecil yang leka bermain papan gelongsor di taman permainan tersebut. Asyik sekali mereka bergelungsur laju ke bawah sambil mengekek tawa. Kemudian berlari-lari kembali memanjat tangga papan gelongsor itu untuk meluncur semula. Ah, dunia kanak-kanak, penuh dengan rasa bahagia yang langsung tidak terusik dengan masalah dunia. Mereka bermain, bermain dan bermain, tanpa hiraukan duka nestapa. Bila berlaku sedikit selisih faham, mereka bertengkar dan masing-masing berlari pulang ke rumah. Dan esok, kembali semula untuk bermain lagi. Sudah hilang segala sengketa semalam. Persahabatan terjalin semula tanpa sedikit pun rasa curiga. Ah, sungguh mudah kehidupan mereka. Kalaulah hidupku ini semudah itu, alangkah bahagianya, detik hati Mai.

Memang sejak berpisah dengan Irfan dua bulan yang lalu itulah rutin sehariannya. Tiba waktu petang, pasti dia akan menapak ke sini. Menikmati suasana hiruk pikuk kanak-kanak di taman permainan ini. Berada di sini hatinya jadi lebih tenang. Tidaklah nanti perasaannya diganggu oleh seribu kenangan antara dia dan Irfan. Kenangan yang mulanya indah, tapi diakhiri dengan seribu duka yang melanda dek rasa kesal. Di awal perpisahan, dia cuba mempertahankan rasa bencinya pada lelaki itu. Panggilan telefon dari lelaki itu langsung tidak diendahkan. Tidak mahu mendengar suara yang pernah melaungkan ucapan talak kepadanya dengan nada yang cukup marah. Bagaikan terngiang-ngiang di telinga kata-kata itu.

Namun perasaan itu tidak mampu untuk dipertahankan. Rasa benci yang kian hari kian menghambat hatinya tanpa diduga bersulam pula dengan rasa rindu. Irfan yang pada awalnya cuba menghubunginya dengan panggilan telefon, kemudiannya bertukar strategi pula dengan cara menghantar SMS dan email. Hati yang sepi itu dipujuk rayu, menggoyahkan ketahanan mentalnya untuk terus tetap dengan pendirian yang dibina di awal tarikh perpisahan. Hampir sebulan dia bertahan , cuba buat acuh tak acuh dengan kiriman SMS yang dihantar saban waktu terluang. Namun segala rasa resah dan kecewa Irfan yang digambarkan dalam SMSnya membuatkan ketahanan itu mula goyah. Irfan tahu akan kelemahan dirinya. Irfan tahu cintanya pada lelaki itu masih tetap utuh. Dan kelemahan inilah yang digunakan oleh Irfan untuk terus memujuk-mujuk dan merayu-rayu sekeping hati yang sarat dengan rasa rindu. Sekeping hati yang terkapai-kapai sendirian tanpa ada tempat untuk mengadu. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Irfan untuk mendekati semula dirinya yang sungguh-sungguh kesepian.

Ah, pada siapa hendak dia mengadu. Ayah dan emak sudah lama pergi meninggalkan dirinya sendirian di dunia ini. Selama ini dia hanya ada Irfan yang menjaga segala kebajikan dirinya. Kematian emak akibat sakit buah pinggang lima tahun yang lalu membuatkan dia terkapai-kapai sendirian. Setelah terpisah mati selama tiga tahun, ayah pula pergi akibat komplikasi jantung. Tinggallah satu-satunya anak tunggal ini di bawah tanggungjawab seorang suami sepenuhnya. Cuma yang ada hanyalah emak saudara yang sememangnya tidak begitu rapat sejak dari kecil lagi. Akibat dari pertelingkahan keluarga yang tercetus dek masaalah pembahagian harta yang tidak sama rata, ayahnya membawa rajuk di hati. Meski pun hubungan kekeluargaan antara ayah dan emak saudaranya sudah kembali jernih, namun bagaikan sudah terbina satu tembok konkrit di antara keduanya. Menyebabkan masing-masing membawa haluan sendiri. Akhirnya, jadilah dia seorang insan yang terkapai-kapai kelemasan dalam lautan kedukaan yang tidak bertepi. Tanpa ada sesiapa yang dapat melayan rajuk di hati dan resah di jiwa yang ketandusan kasih sayang.

Mengadu dengan teman-teman yang kebanyakkannya sudah mempunyai keluarga, tak mampu untuk merawat hatinya yang duka nestapa. Teman yang dia ada hanyalah mereka yang menghulurkan bantuan dengan seribu syarat. Setakat memberi nasihat dan idea sahaja tidak mencukupi. Dia perlukan seseorang yang boleh berkongsi segala rasa resahnya. Namun di mana hendak dicari teman yang sebegitu memahami dirinya.

Maka, bila SMS demi SMS dilayangkan oleh Irfan, jiwanya kembali terpujuk. Hilang melayang sebaga benci yang di luahkan ketika hati berkecamuk dengan rasa marah dua bulan yang lalu.
Cuma yang masih dipertahankan hanyalah keengganannya untuk menerima kehadiran Irfan di sisi. Walaupun hubungan mereka kembali terjalin melalui SMS, email dan YM, permintaan Irfan untuk bertemu masih lagi ditolak. Dia tahu dan sedar, peluang untuk mereka kembali sudah tiada. Saban malam, ketika rindu melanda di jiwa yang sedang ketandusan itu, masing-masing berhubung meluahkan seribu kata rindu yang tak mungkin kesampaian. Ada ketikanya Mai merasa cukup bersalah dengan keadaan itu. Cukup berdosa dirasakan kerana melayan perasaan yang sering bergelodak akibat dari luahan rasa cinta dan rindu yang sudah pasti tidak akan terubat.

Kata-kata rindu Irfan dalam YMnya semalam kembali menyapa.

Abg Ifan: Mai, kalaulah abang boleh luahkan rasa rindu ni dalam bentuk kata-kata, pastinya saat ini tiada pujangga yang mampu mematahkan kata-kata yang ingin abang sampaikan pada Mai. Rindu sekali hati ni pada pujuk rayu, cumbu mesra yang sering kita kongsi bersama satu masa dulu di waktu-waktu malam yang penuh syahdu begini. Saat ini mau saja rasanya abang terbang ke sisi Mai untuk melepaskan beban rindu yang rasanya bagaikan sudah tak tertanggung lagi.

Mai: Kenapa perpisahan ini mesti berlaku? Kenapa kita terlalu terburu-buru mengikut nafsu marah? Sekarang, kita dah tak mampu lagi nak buat apa-apa. Kita dah tak mampu lagi nak kembali bersama. Mai kesal sangat dengan sikap Mai pada abang dulu. Tapi, nak kesalpun dah tak ada gunakan?

Abg Ifan: Ye Mai, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Dan sekarang ni kitalah yang terima padahnya kan? Tapi Mai, bagi abang, kalau dah nak seribu daya kan? Kalau abang usahakan supaya kita dapat kembali bersama, Mai akan sokong abang kan? Mai tak akan hampakan abang kan?

Mai: Apa maksud abang? Mana mungkin kita dapat bersama semula? Semuanya dah berakhir untuk kita. Dah tak ada lagi peluang untuk kita kembali bersama. Abang lupa, yang abang hadiahkan tiga sekali gus?

Abg Ifan: Siapa kata tak ada. Masih ada lagi peluang tu. Dan abang akan usahakan supaya kita akan dapat kembali bersama. Percayalah Mai.

Mai: Mai tak faham bang? Apa maksud abang?

Abang Ifan: Mai tau tak kenapa abang cepatkan proses pendaftaran perceraian kita dulu? Saja abang cepatkan sebab nak pastikan kita cepat-cepat dapat surat cerai kita, hanyalah sebab abang nak cepat-cepat supaya jelas sampai bila tempoh eddah bagi Mai. Bila Mai dah habis eddah nanti, abang akan pastikan Mai akan kahwin secepat mungkin. Dan jangan bimbang perkahwinan itu tak akan kekal. Kalau boleh sehari cukuplah, dan lepas tu dia akan ceraikan Mai. Mai akan kembali jadi milik abang... percayalah Mai. Abang sanggup buat apa saja untuk dapatkan balik Mai.

Mai : Maksud abang? Cina buta? Abang dah gila? Sanggup abang nak serahkan Mai pada orang lain? Sanggup abang minta Mai bersama orang lain? Layan orang lain macam Mai layan abang?

Abang Ifan: kalau diikutkan hati, tak sanggup abang pinjamkan Mai pada orang lain. suami mana yang sanggup relakan isterinya untuk orang lain. tapi, abang terpaksa Mai. Abang terpaksa... Percayalah. dan itupun, kalau boleh hanya untuk sesat.

Mai: Siapa????

Abg Ifan: Abang tengah cari calonnya sekarang. Dah tak ada cara lain lagi Mai . Itu saja caranya. Satu-satu cara supaya kita dapat kembali bersama.

Mai: Sanggup abang buat Mai macam tu?

Abang Ifan : Percayalah Mai satu aje tujuan abang. Supaya kita dapat bersama. Abang tak boleh hidup tanpa Mai.

Mai: Yelah tu... kalau betul abang tak boleh hidup tanpa Mai, tentu abang tak buat macam apa yang abang buat dulu. Ini tak, senang-senang aje abang jatuhkan maruah Mai sampai macam tu.

Abang Ifan : Mai , dah berapa kali dah abang katakan, masa tu abang tak mampu berfikir dengan waras. Mai pun sama, kalau masa tu Mai tak cabar abang mesti benda ni tak akan jadi kan?

Mai meraup mukanya sungguh dia tidak menyangka Abang Ifan akan terfikir hingga ke arah itu.

Abang Ifan : Mai... kenapa diam? Jawablah boleh... jawablah Mai setuju.

Mai : A... apa kata.... kalau dia tak nak lepaskan Mai .

Abg Ifan: Abang bunuh dia.... percayalah....

Kecut hati Mai mendengarkan perancangan Irfan. Sudah hilangkah akal waras bekas suaminya itu?
Bab 5

Mak Ngah merenung wajah Kak Reen dengan penuh rasa marah. Sama-sama tidak menyangka itu keputusan yang diambilnya dalam menangani kemelut dalam perhubungan kami ini. Mengapa begini cepat Kak Reen mengalah? Tidakkah dia tahu dia punya hak dalam sebuah perkahwinan. Tidakkah dia tahu bahawa mengikut syarat berpoligami di Malaysia, si suami tidak boleh berpoligami tanpa izin dari isterinya. Mengapakah dengan begitu mudah dia mengizinkan Abang Izwan mengambil kesempatan dari kekurangan dirinya?

“Reen tak boleh terus mengalah macam ni. Kan dah ditetapkan syarat-syarat yang mesti suami dipenuhi sebelum dia dibenarkan berkahwin lagi satu. Sekurang-kurangnya Reen periksalah dulu syarat-syarat tu. Manalah tahu ada syarat yang tidak dia tak ada,” kata Mak Ngah.

“Reen dah periksa mak. Apa daya yang ada pada Reen? Reen mandul mak, mandul. Doktor dah sahkan dua tahun yang lalu. Itu alasan utama dia untuk kahwin dengan Unie....”

“Tak boleh ke Kak Reen pergi periksa balik? Sahkan semula? Get a second openion. Mungkin doktor tu buat silap Kak Reen.,”

“Unie please, don’t be rediculous ok?” kata Kak Reen sambil memandangku dengan perasaan tak percaya. Dia diam seketika. Matanya dilarikan semula dari wajahku. Mungkin tidak sanggup menatap wajah yang menyiksa batinnya saat ini. Aku mengetap bibir menahan sebak. Kak Reen berhak untuk rasa benci dan sakit hati padaku. Aku yang saat ini, tanpa ku sedari, rupa-rupanya sedang merampas kasih Abang Izwan darinya.

“Kak Reen dah tak sanggup lagi nak lalui semua tu. Dulu, Kak Reen terpaksa sebab nak tahu. Sekarang .... kalau diminta lalui semua tu balik, akak dah tak sanggup Unie,” katanya sambil menggelengkan kepada. Mak Ngah turut sama menggelengkan kepalanya.
Mungkin dia tidak mahu lagi melalui prosedur rawatan yang memalukan dirinya itu. Melihatkan resahnya itu aku jadi cukup simpati padanya. Ini satu-satunya ketentuan Allah yang tidak mampu untuk dia sangkal lagi. Wanita manalah yang sanggup untuk menerima hakikat yang dirinya mandul. Kalau aku berada di tempatnya pasti aku juga akan cukup sedih dengan kegagalan ini.

“Kalau ikutkan undang-undang kat negera kita ni pun, itu salah satu syarat utama yang dia boleh jadikan alasan untuk dapatkan kebenaran untuk kahwin lain mak. Lagipun syarat lain semua dia ada. Dia mampu, zahir dan batin. Dia mampu beri layanan sama rata kepada isteri-isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak,” kata Kak Reen dengan nada suara yang lemah. Lemah kerana sedikit pun dia tidak berupaya untuk menolak hakikat bahawa Abang Izwan layak untuk berkahwin lain mengikut syarak dan juga undang-undang di Malaysia.

“Tapi kak, Unie... boleh tolak. Unie boleh kata Unie tak setuju kak...,”

“Tolonglah Unie. Akak rayu pada Unie. Terima ajelah Abang Wan. Akak kenal Unie. Kalau Unie tak nak, dia mungkin akan kahwin juga dengan orang lain. Dengan siapa pun dia kahwin, hati akak ni memang tetap akan terluka. Akak tetap akan sedih. Jadi biarlah orang yang dia akan kahwini tu yang dia memang betul-betul suka..., sekurang-kurangnya berbaloilah kalau dia sakitkan hati akak ni...,”

Pada pendengaranku suaranya menggambarkan yang dia sedang berjauh hati. Sedihku tak dapat aku bendung lagi. Perlahan-lahan airmata di pipi jatuh berjuraian. Kesihan pada Kak Reen. Ini pengorbanan yang terpaksa dia lakukan demi untuk menzahirkan kehendak hati seorang suami. Sungguh aku kagum dengan pengorbanannya. Dalam hati aku berdoa semoga Allah mencucuri rahmat kepadanya. Dia isteri yang solehah. Cuma, aku cukup-cukup berharap supaya Abang Izwan menghargai pengorbanannya itu.

Bagaimana pula dengan aku? Bukankah aku juga terpaksa berkorban? Mana mungkin aku mampu menolak permintaan Kak Reen ini? Sudah terlalu banyak budi dan jasa yang diberikan untukku oleh Mak Ngah dan Kak Reen sekeluarga. Sejak dari kecil aku dijaga mereka dengan penuh kasih sayang. Tidak sedikit pun aku dibezakan dari anak-anaknya yang lain. Sejak kematian Pak Ngah tiga tahun yang lalu, aku masih terus dianggap seperti anaknya. Walaupun sebenarnya pertalian darahku adalah dengan Pak Ngah, abang kepada arwah ayahku.

Kalau ditanya sejujur-jujurnya, sungguh aku tak mahu menerima hubungan itu. Aku juga ingin punya masa depan yang lebih meyakinkan. Aku juga punya harapan untuk bahagia dengan orang yang tercinta. Mungkin masih ada rasa cinta untuk Abang Izwan di hati ini. Namun cukupkah cinta yang sudah lama ku pendam itu untuk aku korban masa hadapan dan kabahagiaanku? Poligami bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani. Mampukah aku bahagia dalam sebuah kehidupan berpoligami? Aku manusia biasa, begitu juga dengan Kak Reen. Kami punya kelemahan masing-masing. Pastinya akan ada hari-hari di mana kami akan tersinggung dengan sikap Abang Izwan. Pastinya akan ada hari-hari di mana Abang Izwan tidak mampu untuk berlaku adil. Dan pastinya situasi begini mampu menggugat perasaan kami sebagai isteri-isterinya. Lantas membawa kekeruhan dalam hubungan kami yang sememangnya baik selama ini.

“Unie takut satu hari nanti, hubungan kita ...jadi tak baik kak. Bukan senang bermadu ni kak,”

Kak Reen ketawa sinis. Ah... mampu lagi dia ketawa dalam saat-saat begini.

“Siapa kata bermadu ni senang, indah..... terutamanya untuk kita orang perempuan. Kalau tidak tak kan lah Allah janjikan payung Siti Fatimah dalam syurga nanti kan?” katanya dengan nada sayu.

Aku Cuma mengetap bibir. Serba-salah jadinya. Perlahan Kak Reen menyapu airmata di pipiku. Ah... sungguh tabah hatinya. Kalaulah aku mampu untuk setabah itu.


****


“Kau dah gila ke Unie,”

Aku diam. Ya, mungkin.

“Kau tau tak bermadu ni bukannya senang. Sebut aje mudah.... tapi nak laluinya tak semudah kita menyebutnya. Aku taulah.... mak aku dulu bermadu. Bukannya satu tapi dua...,” marah Suzana ada sebab rupa-rupanya. Baru aku tahu kini yang dia punya dua orang emak tiri.

“Wow... hebatnya bapak engkau... madu tiga ye. Macam P. Ramlee tu?” tanyaku dengan nada bergurau.

“Eh... engkau ni boleh buat bergurau pulak benda macam ni. Hari kau berguraulah. Nanti, bila dah kahwin esok baru kau tahu macamana sakitnya hati kalau suami tak adil,”

Senyum di bibirku mati di situ. Ya, aku tahu itu. Siapa yang tak tahu tentang hakikat itu. Sering seseorang lelaki akan berkata mereka akan berlaku adil apabila punya lebih dari satu isteri. Namun hakikat yang sebenarnya selalunya tidak begitu. Hati dan perasaan manusia punya banyak kelemahan. Dan yang jelas setiap manusia ada kekurangannya. Sejak Kak Reen merayu aku untuk menjadi isteri Abang Izwan, sudah banyak buku-buku yang ku baca mengenai poligami. Salah satunya telah manyatakan tentang terjemahan ayat suci Al-Quran, surah An-Nisaa’, ayat 129 yang berbunyi :

“Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri (mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung kepada yang kamu cintai sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri dari kecurangan maka sesungguhnya allah maha pengampun lagi maha penyanyang”

Menurut buku tersebut, ayat ini ditafsirkan oleh Ibnu Katsir Rahimahullah bahawa manusia tidak akan mampu bersikap adil di antara isteri-isteri dari seua segi. Keadilan di segi zahirnya mungkin dapat dipenuhi, tapi bagaimana dengan batinnya. Terutamanya dalam menangani masaalah perasaan. Pastinya akan ada perbezaan dalam rasa cinta, kasih dan sayang. Mampukah Abang Izwan membahagikan rasa cintanya dan kasih sayangnya secara adil sedangkan dalam Al-Quran sendiri menyatakan itu tidak mungkin akan berlaku? Dan jika sekarang ucapan cintanya sudah begitu polos diucapkan padaku, bagaimana pula nanti perasaannya selepas kami berkahwin? Malah dia juga sanggup menzahirkan perasaan itu di mata Kak Reen. Tidak mungkin hati Kak Reen tidak terguris dengan pengakuan polosnya itu. Bukankah perlakuan sebegini yang kelak akan membawa rasa cemburu di hati Kak Reen. Jika rasa cemburu itu terus dibaja pastinya satu hari nanti, sengketa antara kami akan tercetus. Ah... aku tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku.

“Kenapa engkau diam Unie, baru nak fikir tentang masalah yang kau akan hadapi?” kata Suzana mengejutkan aku dari lamunan.

Aku mengeluh perlahan. Memandang tepat ke dalam mata Suzana.

“Aku tak mampu Suzana nak tolak permintaan Kak Reen tu. Dia dengan Mak Ngah selama ni terlalu baik dengan aku. Tak sanggup aku kecewakan mereka,”

“Walaupun hati kau yang akan terluka nanti,”

“Suzana, cuba kau fikir, antara aku dengan Kak Reen, siapa yang lebih terluka, terguris hatinya. Siapa Su?”

Aku menarik nafas panjang. Merenung keluar jendela bilikku. Namun saat itu satu apa pun tidak kelihatan di mataku. Yang ku lihat hanyalah rasa sedih dan gundah yang tergambar di wajah Kak Reen setiap kali kami bertemu.

“Abang Wan tak pernah kesahkan perasaan Kak Reen. Yang dia tahu hanya dia nakkan aku. Siap berterus terang lagi dengan Kak Reen. Sampaikan Kak Reen salah faham pada aku hari tu kau tahu...,”

Suzana menggelengkan kepalanya mendengarkan penerangan dariku. Mungkin dia juga tidak dapat menerima kenyataan ini.

“Daring dia ye... Kalaulah dia bukan suami sesiapa, akupun nak lelaki daring macam tu. Yang sanggup berterus terang macam tu,”

“Itulah Su, aku pun macam tu. Tapi, hakikatnya dia tu suami orang...,”

“Dan dia bakal jadi suami kau jugak,”

Aku diam. Suzana juga diam. Lama kami begitu. Tenggelam dalam perasaan masing-masing. Dia dengan rasa kagumnya dengan sikap polos Abang Izwan. Manakala aku pula dengan rasa serba-salah yang terus memenuhi segenap ruang dalam hati.

“Mulanya Kak Reen cakap, dia nak minta cerai dengan Abang Wan. Tapi Abang Wan tak nak ceraikan dia. Abang Wan kata Kak Reen tu tanggungjawab dia. Sampai bila-bila pun dia tak akan ceraikan Kak Reen. Dia sayang pada Kak Reen. Cuma sekarang dia nak kan anak dari benih dia sendiri. Dan dia nak aku yang melahirkan zuriat untuknya. Macamana Su, kalau aku pun tak boleh berikan dia anak? Mungkin ke dia akan cari yang lain?”

“Hemmm yang tu kau kena tanya dia lah... Orang lain mana tahu. Kalau kau dah nekad nak memenuhi kehendak Kak Reen kau tu, kau kenalah terima benda tu semua. Berkorban konon. Aku tak fahamlah cara kau berkorban. Hinggakan kau sanggup nak share semua ni. Kau sendiri kan tau tak ada masalah sebenarnya yang boleh diselesaikan dengan berpoligami. Mendatangkan masalah adalah...,”

Aku menelan air liur yang terasa begitu pahit sekali. Sejenak aku terdiam mendengarkan kata-katanya itu. Ya Allah, tunjukkan aku jalan kebenaran. Jalan mana yang aku perlu pilih? Demi kebahagiaan masa depanku, masa depan Kak Reen dan masa depan Abang Izwan, tunjukkanlah ya Allah.
Bab 4

Senyuman kemenangan lelaki di hadapanku ini menyemarakkan lagi rasa marahku padanya. Sesungguhnya aku tidak mahu bertemu dengannya. Tapi apakan dayaku. Pertemuan ini perlu berlaku. Mungkin dengan pertemuan ini akan membuatkan dia sedar akan tanggugjawabnya yang sudah mula diabaikan. Mungkin dengan ini dia akan tahu betapa deritanya hati seorang perempuan yang bergelar isteri bila suaminya meminta untuk berkahwin lain. Ya Allah, berikanlah aku ketabahan untuk menghadapinya. Berilah aku kekuatan untuk menyapu senyuman sinis di bibirnya. Aku benci dengan kesombongan yang dipamerkan padaku saat ini.

“So.... when will it be? Unie ke yang tetapkan tarikhnya sendiri...? Kalau boleh kita nikah hari ni pun tak apa...,”

Aku menarik nafas panjang mendengarkan kata-katanya. Tidak sedarkah kata-katanya ini mampu merobek sekeping hati? Bagaikan bisa racun, mampu mengalir dalam darah dan melumpuhkan seluruh urat saraf seorang wanita bergelar isteri? Kalaulah Kak Reen mendengar kata-katanya ini, pasti dia akan terjelepuk rebah di sini. Lemah lumpuh tubuhnya tak mampu untuk terus berdiri.

Aku mengalihkan pandangan mataku ke meja di ruang makan yang diduduki Kak Reen bersama Mak Ngah. Kami berada di rumah Mak Ngah hari ini. Aku yang memohon untuk bertemu dengannya. Meminta dia datang untuk berbincang. Puas aku memujuk Kak Reen supaya duduk bersamaku di ruang keluarga ini. Supaya dia terus kuat dan mampu memberikan kekuatan kepadaku untuk berhadapan dengan lelaki ini. Tapi dia enggan. Ternyata dia tidak sanggup mendengar apa yang akan kami perkatakan. Kelihatan mereka diam di sana. Kak Reen hanya merenung ke hadapan. Tidak sedikit pun pandangannya dihalakan kepada kami. Mak Ngah hanya tersenyum hambar kepadaku. Kelihatan seperti dia sedang memujuk Kak Reen.

“Bukan itu yang Unie nak bincangkan hari ni,”

“Habis, kenapa nak jumpa abang? Atau... Unie nak luahkan rindu Unie yang dah lama terpendam dalam hati tu? Macam rindu yang abang tanggung pada Unie selama ni?”

“Abang... be serious please...,” marahku.

“I am serious Unie. Abang rindu Unie ... Dah sebelas tahun lamanya rindu ni terpahat dalam hati. Dan rindu tu semakin menyala sejak dua tahun ni. Jangan nafikan yang Unie pun rindu pada abang jugak kan?”

Ah... benci sungguh aku mendengarkan kata-kata itu. Terlalu yakin pada dirinya sendiri, itu tanggapan ku terhadapnya saat ini. Ingin sekali aku hilangkan keyakinan itu. Mampukah aku melakukan itu?

“Kita jumpa ni bukan nak cerita pasal kita....,”

“Habis tu? Pasal siapa...?”

“Kak Reen...,”

Matanya beralih ke arah Kak Reen. Aku juga kalih pandang ke sana. Kelihatan Mak Ngah cepat-cepat melarikan pandangannya ke arah lain. Mungkin sejak tadi lagi dia memerhatikan kami.

“Nak cerita apa lagi? Abang dah minta izin dia... dan dia dah benarkan. Untuk apa lagi nak bincang pasal dia... Lebih baik kita bincang pasal kita,”

“Abang... tak tahu ke yang abang dah hancurkan hati dia? Sanggup abang buat dia begini. Dia isteri yang baik. Tak patut abang buat macam ni padanya,”

“Apa yang abang buat pada dia hemm...? Cuba Unie cakap. Abang tak pukul dia, abang tak pernah marah padanya. Abang cuma berterus terang pada dia yang abang nak kahwin lain. Dan abang cuma tetapkan syarat, abang nak kan Unie. Itu aje...,”

Ah... begitu polos jawapannya. Kalau dalam keadaan lain pasti di saat ini aku sudah terbang melayang di awang-awangan. Bahagia kerana ada yang mencintaiku. Kerana ada yang ingin menjadikan aku isterinya. Malangnya aku kini dalam situasi yang berbeza. Serba salah aku jadinya dengan perhatiannya ini.

“Apa yang abang cakap pada dia tu dah lebih dari menyakitkan hati dia. Sakitnya lebih dari abang pukul dia tau tak? Abang sedar tak?”

“Unie.... kalau abang beritahu dia yang abang nak kahwin lain, tanpa tetapkan syarat dengan siapa pun dia akan tetap sedih juga kan? Kalau macam tu, mungkin ke Unie akan minta untuk jumpa dengan abang? Nak nasihatkan abang macam ni? Tentu tidak kan?”

“Tahu pun abang dah sakitkan hatinya. Kenapa abang buat juga?”

Dia mengeluh. Saat itu barulah kelihatan dia mula serius.

“Unie... dah lima tahu kami kahwin. Dulu Unie minta abang cuba terima dia. Abang dah cuba Unie. Abang terima dia, belajar mencintai dia. Abang tak nafikan abang sayang padanya. Tapi sayang abang tu tak melebihi cinta abang pada Unie,”

Matanya menyapu lembut ke wajahku. Entah mengapa saat dia mengucapkan kata-kata itu, ada debar di hatiku. Marah yang aku rasakan tadi bagaikan perlahan-lahan meninggalkanku. Aku kalih pandang. Tak mampu untuk aku terus memandang ke dalam matanya yang begitu menggoda. Aku perlu kuat untuk Kak Reen. Aku tak boleh membiarkan dia mempengaruhi keputusan yang ku buat. Tidak boleh...

“Abang tak tahu kenapa. Abang tak boleh kawal perasaan tu. Abang dah cuba. Tiga tahun abang mengharapkan satu keajaiban. Abang nak ikatan kami diperkukuhkan lagi dengan adanya anak-anak. Tapi kami gagal Unie. Bila doktor sahkan dia tak akan boleh mengandung sebab kecacatan pada ovarinya, abang kecewa Unie. Abang cuba terima hakikat tu. Tapi... abang manusia biasa. Bukannya malaikat. Abang ada kehendak yang perlu dipenuhi. Dan abang tak minta buat dosa. Apa yang abang minta tu adalah sesuatu yang halalkan? Yang dibenarkan syariat kan?”

Aku mengetap bibirku. Marahku datang lagi.

“Lelaki... selalu saja gunakan alasan macam tu...,” rungutku.

Dia ketawa senang mendengarkan kata-kataku.

“Perempuan... selalu marah kalau lelaki minta yang itu...,”

Aku memandang ke wajahnya semula. Dia tersenyum menggoda. Sakit sungguh hatiku melihatkan senyuman itu. Terlalu yakin bagaikan tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan. Benci... sungguh aku benci padanya.

“So? Apa lagi yang kita nak bincangkan? Majlis kita nanti, Unie nak pakai baju apa? Abang rasa warna ungu cantik untuk Unie ...”

“Abang... please,”

“Ye sayang...please what...,” tegurnya lembut.

“Huh...,” sakit sugguh hatiku bila dipermainkan begitu. Dia mempermainkan aku. Apa lagi yang aku boleh katakan?

“Masa belum kahwin dengan dia dulu, abang dah beritahu perasaan abang pada Unie. Ingat lagi kan?” setelah beberapa lama dia bersuara. Bicaranya kembali serius. “Unie cakap Unie belum bersedia. Nak belajar dulu. OK abang terima hakikat tu. Tapi bila perkahwinan abang jadi macam ni, tak ada orang lain yang boleh abang fikirkan untuk memenuhi ruang hati abang yang kosong ni. Abang cuma mahukan Unie sahaja,”

Lembut sekali suara itu menyapa hatiku. Selembut renungannya yang terus-terusan mengelus lembut di wajahku. Membuatkan mukaku terasa panas. Pasti saat ini wajahku sedang merona merah warnanya. Dan aku pasti, benar-benar pasti yang Abang Izwan sedar akan perubahan di wajahku. Kerana saat itu senyum di bibirnya semakin mekar.

“Reen pun sebenarnya dah tahu yang lambat laun abang pasti akan minta untuk kahwin lain. Dua tahun abang tunggu Unie. Sekarang, Unie dah tamat belajar. Dah kerja pun kan? Jadi, abang rasa tak ada apa-apa halangan lagi untuk abang memiliki Unie.”
Aku cuma dapat menelan air liur bila mendengarkan kata-kata itu. Apa yang patut aku katakan?

“Sengaja abang zahirkan perasaan abang ni pada pandangan mata Reen. Abang tak nak dia terkejut. Bila abang beritahu dia minggu lepas, dia marah. Ingatkan kita ada affair di belakang dia. Sebab tu dia pergi jumpa Unie,”

"Emmm... tak semestiya abang kahwin lain. Abang boleh ambil anak angkat ...,” bila kata-kata itu keluar dari bibirku, entah mengapa kedengarannya seperti tidak munasabah. Aku mencari alasan sebenarnya. Dia ketawa lagi mendengar kata-kataku. Ah... aku memperbodohkan diriku sendiri rupanya. Dan di hadapan dia pula....

“Unie mesti dah tau sebabnya kan? Kenapa perlu tanya lagi ... hem...?” dia diam seketika . Senyum masih lagi mekar di bibirnya. Melihatkan aku diam, dia terus menyambung. “Umur abang dah 33 tahun Unie. Abang nak anak abang sendiri. Dari zuriat abang sendiri. Doktor dah sahkan yang abang normal. Hakikat tu dia tak boleh nafikan. Dan Reen pun dah setujukan? Dia dah approach Unie. Dah beritahu hasrat abang pada Unie kan? Jadi, apa lagi masalahnya sekerang? Unie tak nak? Kalau Unie tak nak tentu Unie dah cakap tak nak. In tidak, Unie tak bagi apa-apa jawapan pun. Unie sengaja buat abang ternanti-nanti jawapannya,”

Gulp, aku menelan air liurku yang terasa pahit. Mahukah aku dengan perhubungan yang sebegini? Perhubungan yang dibina atas penderitaan orang lain? Tidak ... tentunya aku tidak mahu. Jika aku menjadi Kak Reen pasti aku juga akan sedih dan kecewa seperti dia. Tapi, bagamana untuk aku menolak permintaan Kak Reen. Dia begitu tulus meminta aku menikahi suaminya. Hanya kerana dia mengerti akan cinta Abang Izwan terhadapku. Lelaki itu telah menerangkan jelas-jelas kepada Kak Reen akan perasaannya terhadapku. Tanpa sedikit pun berselindung.

“Kenapa Unie diam? Kalau jadi katakan jadi... tidaklah abang ternanti-nanti....,” katanya dengan tawa lembut di bibir.

Aku mendengus perlahan. Apa yang patut aku perkatakan. Di awal pertemuan aku begitu yakin dengan kemampuanku untuk menolak permintaan ini. Aku yakin aku dapat menghentikan segala kemungkinan yang akan menyakitkan hati Kak Reen. Tetapi kini aku goyah. Aku sedikit pun tidak mampu untuk melawan segala hujah-hujahnya. Apa yang diperkatakannya itu semuanya benar belaka. Benar, aku masih lagi suka padanya. Kata-kata benci yang aku ucapkan di bibir sebenarnya hanyalah untuk melindungi rasa sayang yang telah lama terpahat di hati.

Kalaulah kami berada dalam situasi yang berbeza pasti lain jadinya. Kalaulah dia masih keseorangan aku pasti tidak teragak-agak untuk menerimanya dengan tangan yang terbuka. Pada usia 24 tahun aku masih lagi bersendirian. Dalam usia sebegini tidak pernah ada mana-mana lelakipun yang datang mengetuk pintu hatiku. Kalau pun ada yang datang, hanyalah seketika. Setelah salam perkenalan dimulakan, mereka akan membisu tanpa kata. Tak pasti mengapa begitu sedangkan aku bukanlah dalam golongan yang buruk rupa parasnya. Walau aku akui aku tidak secantik bidadari. Mungkin ada sesuatu yang kurang pada diri ini. Mungkin aku tidak pandai bergaul, tidak pandai bermesra menyebabkan yang datang menjenguk akhirnya bertempiaran lari menjauhkan diri. Ah.... aku mengeluh sendiri.

Salahkah aku jika selama ini aku masih menaruh hati padanya? Jahatkah aku jika ada ketikanya aku cemburu pada Kak Reen bila melihat mereka mesra bersama. Atau kejamkah aku jika ada ketikanya aku mengharapkan hubungan kami lebih dari abang dan adik ipar angkat? Di awal perkahwinan mereka dulu sering aku menjauhkan diri hanya kerana aku cemburu melihat dia melayan Kak Reen dengan baik. Aku sering mengangankan aku berada di tempat Kak Reen. Aku tahu salah untuk aku mengharapkan keadaan yang sebegitu. Berdosa untuk aku mengangan-angankan seorang lelaki sebegitu. Jadi aku mula mengubah pendirianku. Akhirnya aku mula akur dengan keadaan. Menerima hakikat bahawa dia adalah milik Kak Reen.

Tapi bila dia mula kembali memberikan perhatiannya kepadaku aku jadi marah. Aku jadi benci padanya kerana seolah-olah membiarkan aku kembali membina angan-angan. Lantas aku terus menjauhkan diri kerana tidak mahu pergi jauh dalam angan-anganku itu. Sehinggakan kata-kata benci itu bagaikan sudah sebati kurasakan untuknya. Sering aku ucapkan bila saja aku mendengar namanya disebut. Ah... aku sendiri jadi buntu dengan perasaanku ini.

Diamku membuatkan dia seperti semakin teruja. Bibirnya terus mengukir senyuman yang begitu manis sekali. Menyebabkan aju jadi semakin serba-salah. Adakah dia tahu apa yang ada di hatiku ini? Adakah dia tahu rahsia yang aku pendam selama ini? Mungkinkah dia dapat membaca apa yang ada di hatiku, menyebabkan dia begitu sinis sekali menghulurkan kata-kata. Menyedarkan aku dari hakikat sebenar perasaanku terhadapnya?

“Unie, jangan lari dari perasaan sendiri. Kak Reen tak akan salahkan Unie jika Unie terima abang. Sebab dia tak tahu perasaan Unie pada abang. Yang dia tahu hanyalah perasaan abang yang tergila-gilakan Unie. Pandai sungguh Unie sembunyikan perasaan Unie tu. Tapi, sepandai-pandai Unie, masih lagi belum dapat nak tipu abang. Abang tahu apa yang ada dalam hati Unie tu. Jangan nak bohong pada abang,”
Terkedu aku dengan kata-katanya itu. Sungguh aku tak mampu untuk berselindung lagi. Rona merah di wajahku bagaikan menggambarkan segalanya. Bisu aku saat itu bagaikan mengiakan semua kata-kata yang keluar dari ulas bibirnya. Selepas mengakhiri kata-katanya itu dia bangun dan mendekatiku yang sedang duduk di sofa berhadapan dengannya. Bila dia berada betul-betul di hadapanku, mataku masih lagi menatap wajahnya. Terdongak aku memandang ke dalam matanya. Bagaikan terpukau dek kata-katanya sebentar tadi.

“Tak perlu berselindung dari abang...,”

Lantas dia meletakkan jari telunjuk dan jari hantunya ke bibirnya sendiri. Mengucup lembut jejarinya itu. Dan perlahan-lahan dia meletakkan dua jarinya itu ke bibirku. Aku terpampan dengan perlakuannya itu. Terkaku di tempat duduk tanpa mampu bergerak sedikitpun. Bagaikan bermimpi, aku dibuatnya.

“I wish that I could do more then that...,” bisiknya.

Selepas perlakuan yang cukup romantis itu dia senyum lantas berpaling untuk pergi. Mengatur langkahnya satu persatu dengan begitu yakin sekali. Menggeletar tubuhku dengan perlakuannya itu. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Lantas aku menarik nafasku dan berpaling kepada Mak Ngah dan Kak Reen yang juga terpaku menyaksikan perlakuan Abang Izwan sebentar tadi.
Bab 3

Aku tidak mampu untuk memujuk Kak Reen. Akhirnya aku cuma turut menangis bersamanya. Menyatakan kekesalan di hati melalui perlakuanku. Ketika rembang senja menjelma, aku membawa dia pulang ke rumah sewaku. Langsung tidak menawarkan untuk menghantar dia pulang ke rumahnya. Pasti saat ini dia tidak mahu bertemu dengan Abang Wan. Pasti saat ini dia hanya ingin bersendirian. Aku hanya mampu memerhatikan semua perlakuannya. Selepas solat Maghrib dia mecapai naskah Al Quran milikku yang terletak di kepala katil. Naskah yang sentiasa berada dalam capaian tanganku. Salah satu dari alat untuk meredakan resahku pada saat ia datang bertandang.

Selesai solat Isyak aku mendekati Kak Reen. Duduk bersemuka dengannya. Nyata dia tidak mahu memandang ke wajahku. Dia melarikan matanya ke arah lain saat aku memandang tepat ke wajahnya. Marahkah dia padaku? Aku perlu perbetulkan apa jua tanggapan buruknya terhadapku. Aku tak mahu kata-kata Abang Wan mampu menyebabkan dia membenci diri ini. Sekali-kali aku tidak rela hubungan ini putus akibat salah fahamnya terhadapku.

“Kak Reen, akak jangan salah anggap pada Unie ye?” aku mulakan bicara.

“Sejak bila Unie ada hubungan dengan Abang Wan?” perlahan dia bertanya. Suaranya kedengaran begitu sakit sekali untuk dikeluarkan dari bibir. Aku bagaikan terkedu. Mindaku ligat menyusun kata. Aku perlu berhati-hati menuturkan bicara. Perlu memujuk hatinya yang kini sedang terluka.

“Kak Reen, anggaplah perasaan budak kecil berumur 13 tahun tu hanyalah cinta monyet. Kisah tu dah lama berlalu. Waktu Unie kat sekolah menengah lagi,” kataku sambil mata terus menatap wajahnya.

Aku ingin telus kepadanya hari ini. Aku ingin meluahkan segalanya. Biar dia tahu. Biar dia tidak menyalahkan aku. Perasan itu wujud lama dulu. Waktu mereka masih belum dipertemukan. Dan bila bertemu kembali, aku sedikitpun tidak pernah melayan perasaan Abang Wan. Walaupun dia memujuk rayu, itu hanya berlaku sebelum mereka berkahwin. Selepas perkahwinan mereka aku tidak pernah memberi peluang untuk Abang Wan berbicara soal hati. Kalaupun ada berbalas kata, hanyalah untuk bertanya khabar. Tidak... tidak pernah kami berbicara tentang cinta yang telah hilang lama dulu. Hanya ekor mata dan renungannya sahaja yang menyedarkan aku bahawa masih ada lagi rasa cintanya untukku.

“Unie kenal dia masa tingkatan satu Kak Reen. Kami dulu satu sekolah. Dia abang angkat Unie dulu. Lepas kami STPM kami berpisah. Itu aje. Cuma itu saja hubungan kami. Kami hanya jumpa seminggu sebelum Kak Reen kahwin. Ingat lagi kan masa Kak Reen balik dari pergi membeli-belah barang hantaran dengan dia?”

“Lepas tu apa hubungan Unie dia?” kelihatan wajah Kak Reen yang tadi tenang mula berubah riak. Kemarahannya sedikit demi sedikit mula terserlah. Aku menarik nafas panjang. Bersedia untuk menerima apa juga kemungkinan yang datang.

“Tak ada apa-apa hubungan kak. Dia ajak Unie keluar esoknya. Dia jelaskan semuanya tentang hubungan akak dengannya. Dia ... em..... ,” aku terdiam seketika. Hampir sekali aku menceritakan padanya bagaimana Abang Izwan memujukku untuk kahwin dengannya. Ah... aku tidak boleh ceritakan perkara itu. biarlah kata-kata itu terus menjadi rahsia antara aku dan Abang Wan. Aku tak akan menyemarakkan lagi perasaan syak wasangka Kak Reen.

“Dia ajak Unie kahwinkan masa tu?”

Kata-kata Kak Reen melenyapkan tekadku sebentar tadi. Pasti... pasti Abang Wan yang memberitahunya tentang ini. Selain dari aku, siapa lagi yang tahu tentang rayuannya itu kalau bukan dia. Ah.... kejam sungguh lelaki itu. Mengapa mesti dia menceritakan semua. Tidakkah dia tahu betapa sakitnya hati seorang wanita jika mengetahui bahawa ada orang lain yang lebih dicintai oleh suaminya? Bahawa dirinya hanyalah pilihan kedua? Yang dinikahi hanya kerana memenuhi syarat tuntutan nafsu semata-mata? Ah... kejam sungguh Abang Wan.

“Betulkan?” tanya Kak Reen lagi. pasti dia dapat mengagak perasaan gundahku dengan pertanyaanya itu. lantas dia tersenyum sinis. “Patutlah... masa tu dia sibuk sangat. Seminggu sebelum kami nikah dia tak layan Kak Reen macam biasa. Telefon pun dah tak sempat. Kalau Kak Reen tak telefon dia, memang sunyi sepilah antara kami. Masa tu dia kata dia sengaja tak nak jumpa, tak nak call. Nak bagi thrill sikit masa nak nikah. Rupa-rupanya dia tengak kejar Unie kan masa tu. Tengah pujuk Unie supaya terima dia kan? Habis, akak dia nak campak kat mana?”

Tangisan Kak Reen pecah lagi. Kali ini aku turut menangis bersamanya. Apa yang dapat aku katakan lagi? Semua kata-katanya itu ada kebenarannya. Tak mampu untuk aku menyangkalnya lagi. Lama sunguh kami begitu. Esak tangisnya bagaikan meruntun hatiku ini. Menyebabkan rasa bersalahku datang lagi. Tapi, ini bukan salahku. Aku tidak meminta dia berbuat begitu dulu. Malah aku sedaya mungkin cuba menjauhkan diri. Kata-kata Kak Reen itu juga menyedarkan aku tentang sikap sebenar Abang Wan.
Rupa-rupanya saat dia memujuk rayu diri ini, masih lagi dia mampu berbicara dusta pada Kak Reen. Tak mampu untuk berterus terang dengan Kak Reen. Ah... mujurlah saat itu aku tidak termakan dengan pujuk rayunya. Dasar lelaki....

“Lepas kahwin dia layan Kak Reen baik sangat. Sungguh Kak Reen gembira masa tu. Ingatkan dah jumpa cinta sejati. Ingatkan dia dapat terima Kak Reen seadanya. Tapi, bila sehari demi sehari harapan yang kami bina untuk dapatkan anak berkecai, dia mula buat perangai...,”

“Dia ... buat apa pada Kak Reen?”

Mata Kak Reen beralih ke wajahku. Memandang jauh ke dalam mataku seolah-olah mencari sesuatu. Mungkinkah dia ingin melihat kejujuranku? Dia tersenyum kemudiannya.

“Unie tak usah risau. Abang Wan tak pernah sekalipun naik tangan pada Kak Reen. Dia layan Kak Reen dengan baik. Cuma, dia jadi seorang yang menyendiri. Tak nak lagi kongsi masalahnya dengan Kak Reen. Dan masa tu akak ingat, hatinya sudah mula berubah. Pernah waktu kami bersama dia tersasul sebut nama orang lain. Bukan nama akak. Waktu tu akak sedih sangat. Dia bersama kita, tapi yang ada di hatinya orang lain. Unie tahu nama siapa yang disebutnya?”

Aku bagaikan dapat menduga. Tapi aku menggelengkan kepala. Tak mahu menerima hakikat itu.

“Nama Unie ...,” pecah lagi tangisannya saat itu. Dan sungguh aku tak mampu berbuat apa-apa saat itu. Aku meraih tubuh Kak Reen ke dalam pelukakanku. Ingin sekali meredakan kesedihannya. Kalau aku berada di tempatnya, pasti aku juga akan menangis begini.

“Masa tu akak mula mengagak yang dia ada hati pada Unie. Masa tu juga akak perasan yang Unie selalu elakkan diri dari dia. Lepas doktor sahkan akak ni mandul, dia makin teruk. Langsung dia tak sembunyikan perasaan dia pada Unie. Akak diamkan sebab akak tahu dia cuma bertepuk sebelah tangan. Sampailah minggu lalu, dia terus terang pada akak... Dia cakap.. dia nak kahwin lain. Dan jelas dia sebut, dia nak kahwin dengan Unie.”

Aku terus memandang wajah Kak Reen yang penuh dengan derita itu. Ah ... kuat sekali wanita di hadapanku ini. Kuat sekali dia menerima hakikat ini. Dan... kejam sungguh Abang Wan. Sungguh aku tak sangka begini tekad hatinya.

“Masa tu dia beritahu akak yang dia memang ada hubungan dengan Unie. Akak ingatkaN hubungan kamu berdua baru sekarang terjalin. Sebab tu akak nak jumpa Unie. Nak dengar penjelasan dari Unie. Rupa-rupa yang dia maksudkan hubungan lama dulu. Maaf Unie, akak dah salah sangka tadi,”

Saat itu sungguh terharu rasa di hati. Sempat lagi Kak Reen memohon maaf dariku. Sepatutnya aku yang memohon maaf dari dia. Kerana aku, kekalutan berlaku dalam rumahtangganya. Sungguh serba salah aku rasakan.

“Sepatutnya Unie yang kena minta maaf pada akak... Unie yang menyebabkan semua ni..., Unie sanggup pergi jauh dari sini kak kalau itu yang akak mahu,” ucapku tanpa ragu.

Ya, aku sanggup pergi. Aku sanggup lari dari kekalutan ini. Aku tidak mahu menjadi sembilu dalam rumah tangganya. Aku tidak akan sanggup untuk menjadi duri dalam daging, mencucuk hatinya dengan setiap perlakuanku. Aku sanggup tinggalkan semua di sini jika itu mampu untuk mengembalikan semula kedamaian dalam rumah tangganya. Mungkin benar kata Abang Wan lama dulu. Mana mungkin dia mampu melupakan aku jika setiap hari namaku disebut ke telinganya dan kelibatku sering di depan matanya. Mungkin jika aku menjauhkan diri dia mampu untuk kembali menyemai kasihnya pada Kak Reen. Kak Reen hanya senyum sinis mendengarkan kata-kataku. Mungkin tidak yakin dengan kesanggupan ini.

“Unie nak lari dari dia?” katanya sambil mata hitamnya melatari seluruh wajahku. “Unie belum kenal dia rupanya. Dia bukan seorang lelaki yang mudah mengalah. Kalau itu maunya, pasti dia tidak akan lepaskan sehingglah dia dapat apa yang diinginkan. Lima tahu akak bersamanya Unie ... ,”

Hatiku jadi berdebar bila mendengarkan kata-kata Kak Reen. Benar... aku tak nafikan hakikat itu. Dulu waktu di sekolah, enam bulan dia mengejarku. Memujuk dan merayuku untuk menerima cintanya. Tak pernah dia kalah dengan keenggananku. Setiap kelemahanku dijadikan peluang untuknya mendekatiku. Dalam pertemuan kali kedua, dia masih lagi menunjukkan kesunguhannya. Walaupun tindakannya tidak sedikit pun menggambarkan apa yang ada di hatinya, kesungguhan itu masih ada. Mungkin dia tidak mampu menolak takdir waktu itu. Mungkin kata-kataku tentang murka seorang ibu yang mampu menyebabkan dia jadi anak durhaka, sedikit sebanyak telah menggugat kesungguhannya. Mungkin juga ketegasanku untuk tidak melukakan hati Mak Ngah dan Kak Reen menyebabkan dia sedar hakikat bahawa dia telah ditakdirkan untuk menjadi suami Kak Reen. Ah... sungguh aku tidak mengerti akan sikap lelaki ini.

“Unie bertuah....,” perlahan sekali kata-kata itu diucapkannya. Berkerut dahiku untuk memahami maksud kata-kata Kak Reen itu.

“Dapat meraih cintanya...,”

“Kak... tak sepatutnya dia curahkan cintanya pada Unie. Akak lebih berhak kan?”

Kak Reen senyum lagi. Perasaan kecewanya jelas terpamer di wajahnya, di matanya dan pasti juga di hatinya. “Unie tentu lebih tahu hakikat sebenarnya kan?”

Terdiam lagi aku mendengarkan kata-katanya. Ah... apa patut aku lakukan untuk memperbetulkan keadaan ini? Mungkinkan jika aku dapat memujuk Abang Izwan, dia akan kembali pada Kak Reen.

“Kalau Unie jumpa Abang Wan... Boleh tak kak?”

“Untuk apa Unie? Nak pujuk dia? Makin dalam cinta dia pada Unie nanti,”

Terdiam lagi aku di situ. Lama kami begitu. Melayan perasaan. Akhirnya dengan serba-salah Kak Reen meraih jejariku. Memandang tepat dalam mataku.

“ Unie.... tolong akak ye?”

“Tolong apa kak? Cakaplah.... kalau Unie boleh buat ... Unie akan tolong. Demi akak...,”

Linangan airmatanya membasahi pipi. Sungguh berat sekali aku rasakan untuk dia menuturkannya.

“Unie kahwin dengan Abang Wan....,”
Bab 2

Keresahan hatinya dapat aku lihat ketika kami bertemu petang itu. Pertemuan yang mengundang seribu persoalan di hati ini. Untuk apa pertemuan ini? Saat dia meminta aku menunggunya di sini, aku jadi terpana. Tidak pernah kami bertemu di tempat lain selain dari waktu kami sama-sama kebetulan pulang ke rumah Mak Ngah. Sememangnya sejak lima tahun kebelakangan ini aku cuba mengelak dari bertemu dengannya. Bukan mengelak dari dia sebenarnya tetapi dari bertemu dengan Abang Izwan, suaminya.
Sejak mereka kahwin lima tahun lalu, hidup ku tak sudah-sudah diganggu oleh Abang Izwan. Seminggu sebelum mereka kahwin, Abang Izwan menjadi penunggu setia di hadapan rumah sewaku. Kebetulan tempat kerjanya di Bangi berdekatan dengan kampus pengajianku waktu itu di Serdang. Pagi dia pasti akan menungguku di depan rumah sewa. Aku tidak tahu bagaimana dia tahu di mana letaknya rumah sewaku itu. Mungkin dia mengekoriku waktu aku pulang dari pertemuan kami dulu.

Masih kuingat lagi, dalam pertemuan itu dia mengajak aku berkahwin. Dia sanggup meninggalkan Kak Reen katanya. Sanggup menghancurkan harapan kakak sepupuku itu. Sanggup memalukan emaknya yang mengatur pernikahannya dengan Kak Reen. Katanya, pasti nanti emaknya akan dapat menerima kami semula sekiranya kami pandai mengambil hati orang tua itu. Tapi, sanggupkah aku? Sanggupkah aku melukakan hati seorang yang aku hormati? Seorang yang sering menjadi tempat aku mengadu selama ini. Seorang yang amat mengambil berat pada diriku sejak semua ahli keluargaku pergi lama dahulu.

Tidak... aku tidak akan sanggup melakukan itu. Kasihku pada Mak Ngah dan Kak Reen lebih dalam dari cintaku padanya. Memang dulu aku mencintai dirinya. Tapi, bagiku itu cuma cinta monyet yang aku lalui di zaman remajaku. Hadirnya hanya seketika. Bagaikan monyet, melompat ke dahan yang lain, perasaan itu berubah. Tapi yang nyata dia tidak begitu. Katanya cintanya bagaikan sungai yang mengalir ke lautan. Semakin jauh alirannya, semakin luas sungai itu. Dan bila tiba ke destinasinya, cinta itu menjadi seluas lautan.

Waktu itu sungguh hati ini jadi terpana dengan kata-kata itu. Hampir di luar sedarku aku tergoda, terpesona dengan lembut bicaranya. Nasib baiklah aku mampu kembali ke alam nyata. Menolak cintanya yang hadir pada saat yang sungguh tidak sesuai. Waktu itu aku baru sahaja memulakan pengajianku di tahun pertama. Tumpuanku sepenuhnya adalah untuk pengajianku. Bukan untuk cinta, malah jauh lagi untuk berumah tangga. Malah waktu itu juga amat tidak sesuai untuk dirinya. Dia akan berkahwin dalam masa tujuh hari. Dengan kakak sepupuku sendiri.

Kecewa Abang Izwan padaku tidak lama. Selepas dari itu saban hari dia terus menungguku. Semua rutin harianku dalam pengetahuannya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana dia mengetahui jadual waktu kuliahku. Pagi dia setia menungguku di rumah sewa. Dia menghantarku sebelum masuk kerja. Petang pula dia menungguku di pintu pagar fakulti. Seminggu dia lakukan itu. Dan aku dalam serba salah, tak mampu mengelakkan diri dari perhatiannya. Sehinggalah ke hari terakhir dia bekerja sebelum mula bercuti untuk majlis pernikahannya. Aku merayu supaya dia menerima takdir yang ditentukan ini.

Waktu itu, ada rasa hairan berbisik di hati. Mengapa dia tidak berterus terang sahaja pada Kak Reen. Kalau benar-benar dia cintakan aku mengapa dia tidak nekad untuk meneruskan hubungan kami seperti yang sering dikatakannya. Mengapa kata-kata itu hanya yang diluahkan padaku? Mengapa dia tidak berani untuk menghadapi semua orang terutamanya emaknya dan Kak Reen. Dia tidak berani meluahkan semua yang pernah diucapkan ke telingaku kepada mereka. Pertanyaan-pertanyaan itulah yang menyedarkan aku tentang hakikat bahawa Abang Izwan bukanlah seorang yang berani berhadapan dengan masalah. Di mulut lain bicaranya, tetapi tingkahnya sedikitpun tidak menggambarkan seperti apa yang dibicarakannya. Dia pengecut sebenarnya. Sikap yang benar-benar mematikan keyakinan yang cuba disemaikannya di hatiku waktu itu.

Dan kini, setelah lima tahun, aku masih lagi cuba menjauhkan diri darinya. Mungkin perhatiannya sudah tidak seperti dulu. Mungkin dia sudah jelas kini bahawa aku tidak akan menyahut kehendaknya itu. Malah, di setiap pertemuan aku cuba sekali mengelakkan diri dari berada di sisinya. Rimas... rimas aku dengan renungan matanya yang sering mengekori ke mana aku pergi. Aku tak tahu samada Kak Reen sedar akan perhatian suaminya terhadap diri ini. Mungkin dia sedar tapi dia cuba buat tak endah. Tambahan lagi dengan sikapku yang sering menjauhkan diri dari Abang Izwan. Mungkin Kak Reen mempercayai diriku. Yakin bahawa aku tidak akan mengganggu rumah tangganya. Dan atas dasar kepercayaan ini aku sebaiknya cuba menjaga maruah diri.

Wajah sugul Kak Reen di hadapanku aku tatapi lembut. Mengapa ada resah itu? Mungkinkah kerana masalah yang dihadapi dalam rumah tangganya sudah semakin meruncing kini? Bukan aku tidak tahu, rumah tangga Kak Reen tak bahagia. Bagaimana mampu bahagia jika si suami bersikap begitu. Tak sudah-sudah mengejar adik sepupu isterinya sendiri. Itu yang dilakukan padaku. Ada ketikanya di hadapan Kak Reen sendiri. Tak pelik kalau dia juga bersikap begitu dengan perempuan-perempuan lain. Mungkin dia juga punya hubungan sulit dengan perempuan lain. Mungkinkah pertemuan ini adalah untuk meluahkan rasa hatinya yang tersinggung dengan sikap suaminya?

“Kak Reen ... kenapa ni?” tanyaku lembut. Jejarinya ku raih lantas ku genggam erat. Seerat rasa kasihku padanya.

Ketika matanya beralih kepadaku jelas kelihatan airmata bergenang di situ. Lantas satu-satu menitis di pipi. Dia sebak, menahan tangis. Pertama kali aku melihat airmatanya. Pertama kali dia tidak mampu menahan sedihnya di hadapanku. Tidak pernah dia begini. Selalunya dia kuat menghadapi masalahnya. Kemandulannya yang disahkan doktor dua tahun lalu menambahkan lagi masalah dalam perkahwinanya. Diburukkan lagi dengan sikap ego Abang Izwan untuk tidak mengambil anak angkat. Mak Ngah memberitahuku sejak disahkan mandul, Kak Reen sudah beberapa kali meminta izin dari Abang Izwan untuk mengambil anak angkat bagi memenuhi kesunyian rumahtangga mereka. Tapi Abang Izwan tidak membenarkan. Dia mahukan anaknya sendiri. Yang lahir dari benihnya sendiri.

Ah... lelaki. Egonya tidak pernah mengenal perasaan gundah seorang isteri. Sikap yang menyebabkan aku makin tidak suka pada Abang Izwan. Mujurlah dulu dia bukan jodohku. Kalau tidak, tak pasti bagaimana untuk aku tangani masalah dengan suami yang bersikap sebegini. Tidak pernah perihatin dengan perasaan seorang isteri.

“Unie tahukan masalah akak?” tanya dia dalam tangisnya.

Aku hanya mengangguk. Sebenarnya aku tidak tahu masalah mana yang meresahkannya. Kemandulannya atau sikap mata keranjang suaminya.

“Abang Wan minta nak kahwin lain...,”

Terkejut besar aku mendengarkan kata-kata Kak Reen. Sudah aku menyangka itu yang akan berlaku. Bila Abang Izwan enggan mengambil anak angkat seperti yang dicadangkan oleh semua orang, bagaikan ada satu bisikan di telingaku bahawa dia sebenarnya ingin kahwin lain. Dasar lelaki, senang sekali mengambil sesuatu keputusan. Tambahan lagi masalah ini berpunca dari si isteri. Senang sekali mereka meletakkan kesalahan pada si isteri. Senang sekali mereka menjadikan masalah ini sebagai satu alasan untuk membahagi kasih. Tidakkah pernah dia memikirkan apa perasaan si isteri bila ini yang dipinta? Sudahlah tertekan akibat dari kekurangan diri, ditambah lagi dengan sikap suami yang tidak pernah peka dengan perasaan kecewa siisteri. Dalam hati aku mengutuk keras sikap Abang Izwan.

“Dia nak kahwin dengan Unie ...,”

Masyaallah.... mengucap panjang aku mendengarkan kata-kata Kak Reen. Sesuatu yang di luar jangkaanku. Aku tahu dia suka padaku, tetapi tidak pernah terlintas di hati ini yang dia sanggup meminta itu dari Kak Reen. Terasa gelap seketika pandanganku. Tersekat nafasku. Tak mampu untuk aku berkata-kata. Aku hanya mampu memandang ke wajah Kak Reen dengan rasa yang cukup tidak aku mengertikan. Terperanjat? Benci? Marah? Sakit hati? Ah.... lelaki itu.

“Kenapa Unie tak pernah beritahu akak yang Unie pernah kenal dia dulu? Pernah bercinta dengannya?” dia terdiam selepas kata-kata itu keluar dari bibirnya. Dapat ku dengar betapa sukarnya dia melafazkan kata-kata yang terakhir itu. Aku hanya mampu mengelengkan kepala. Masih kelu tak bisa berkata-kata.

Lama kami terdiam. Airmataku sudah mula mengalir di pipi. Sedihku terluah semuanya. Bukan sedih dengan diri ini tetapi dengan keadaan diri Kak Reen. Dengan nasib Kak Reen. Wanita sebaik dia tidak sepatutnya diberi layanan sebegini oleh suami. Aku tak tahu bagaimana keadaan dalam rumah tangganya. Tidak pernah sekalipun aku bertanya bagaimana layanan Abang Izwan terhadapnya. Tidak mahu menjaga tepi kain orang kononnya. Cuma pada pengamatanku, dulu mereka amat mesra. Sehinggakan sesekali timbul curiga di hatiku dengan pengakuan cinta Abang Izwan padaku dulu. Tapi sejak akhir-akhir ini bagaikan dapat kuhidu masalah antara mereka.

“Unie ....?” mata Kak Reen tak lepas dari memandang ke wajahku. Bagaikan meminta penjelasan dariku.

“Apa yang Abang Wan cakap dekat akak tentang kami?” aku bertanya kembali.

“Dia kata... dia cintakan Unie ... Sejak dulu lagi... Hanya pada Unie ...,'”

Tangisan Kak Reen makin jelas. Bergetar tubuhnya meluahkan segala rasa kecewanya. Aku turut sama menangis. Memeluk tubuhnya yang meratap nasib diri. Terasa amat bersalah saat itu kerana aku yang menjadi punca kesedihannya. Aku tidak bersalah dalam hal ini. Tergamak sungguh Abang Wan menceritakan segala rahsia ini kepada Kak Reen. Mengapa? Hanya kerana keinginannya memiliki diri ini? Atau hanya kerana egonya untuk mendapatkan seorang zuriat? Ah... kejamnya lelaki ini...
Bab 1

Seorang demi seorang penumpang MH124 dari Perth ke Kuala Lumpur bangun dan meninggalkan pesawat. Aku masih lagi melekat di tempat dudukku. Kalau boleh tidak mahu aku meninggalkan pesawat ini. Kalau boleh ingin sahaja aku kembali semula ke Perth. Tak ingin rasanya aku untuk menjejakkan kakiku ke bumi Malaysia yang telah tiga tahun aku tinggalkan. Kalaulah aku mampu berbuat begitu, pasti itulah yang akan aku lakukan.

Akhirnya aku turut bangun sebaik sahaja melihat semua penumpang sudah meninggalkan pesawat. Aku menarik nafasku panjang-panjang. Kemudian perlahan-lahan nafas itu aku lepaskan. Mengumpul semua kekuatan yang ada dalam diri. Beg sandangku yang terletak di tempat bagasi aku capai dengan perasan serba-salah. Memang sejak semalam lagi aku perasaan serba salah ini melanda hatiku. Kalaulah bukan kerana aku terikat dengan kontrak perjanjianku dengan universiti tempat aku bekerja, pasti aku teruskan dengan niatku untuk menetap di Perth. Tempat itu lebih memberikan ketenangan kepada diri ini. Walaupun sering rasa rindu itu terus-terusan mengganggu ketenangan yang aku kecapi di sana.

Rindu. Sememangnya itulah satu-satunya perkataan yang melekat dalam sanubari. Sejak tiga tahun pemergianku perasaan itulah yang kemas tertanam dalam hati. Tapi, rindu pada siapa? Pada dia atau pada Sarah? Pada Sarah sudah pasti. Ibu mana yang tidak merindui anaknya. Tambahan lagi bila anak kecil itu terpaksa aku tinggalkan pada usia yang terlalu kecil. Sering saban malam aku menangis meratap nasib diri yang telah ditentukan Allah. Sering kekuatan diri aku cari dengan terus bermunajat, meminta pada Allah. Ini ketentuannya. Maka aku akur pada ketentuan itu.

Tapi bagaimana pula dengan dia? Masih adakah lagi rindu ini pada dia? Sejak hakikat pernikahan kami aku ketahui, rasanya rindu itu sudah mati. Mati bersama dengan kata-kata Kak Reen yang diucapkan lama dulu. Mati bersama sikapnya yang acuh tak acuh dengan keputusan yang aku buat dulu. Mati bersama keengganannya mendengar kata-kata penjelasan dariku. Semuanya jelas tergambar di situ. Tidak perlu dijelaskan lagi. Dia sememangnya tidak memerlukan diri ini dalam hidupnya. Yang dia mahukan hanyalah Sarah. Bukan aku.

Senyum pramugari yang memberikan ucapan terimakasih kerana menaiki pesawat ini aku sambut dengan perasaan hambar. Perlahan-lahan aku keluar dari perut pesawat. Pertama kali aku melangkah ke balai ketibaan KLIA, hatiku bagaikan sudah dipenuhi dengan satu tekad. Aku tidak akan diperalatkan lagi. Akan aku terukan kehidupan ini. Tanpa dia? Itu sudah pasti. Tapi, tanpa Sarah ? Mampukah aku?

****

“Cik, rumah ni macam tak ada orang aje? Gelap aje?”
Aku senyum mendengarkan kata-kata pemandu teksi itu. Kerisauan jelas tergambar di wajahnya.

“Tak apa encik, kawan saya pergi kursus. Dia beritahu dia tinggalkan kunci pada jiran sebelah. Saya dah talipon akak tu masa mula-mula sampai tadi. Dia memang tengah tunggu saya ni,” Jawabku dengan yakin.

“Baguslah kalau macam tu. Saya bukannya apa cik, malam-malam macam ni bahaya kalau seorang-seorang. Sambil buka kunci rumah pun mungkin ada tengah menunggu nak cekup kita,”

Aku senyum lagi mendengarkan kepertihatinan pemandu teksi yang tidak aku kenali itu. Rasa curiga yang bertandang dalam hati sejak dari mula-mula menaiki teksinya tadi terus hilang. Baik rupanya dia. Tadi, semasa menaiki teksi ini aku terus mengambil maklumat tentang teksi ini. Bimbang juga dalam hati kalau-kalau dia melakukan sesuatu yang tidak kuingini. Sekurang-kurangnya jika ada apa-apa yang berlaku, dengan mudah aku boleh membuat lapuran polis nanti. Kata-kata Suzana yang mengingatkan aku tentang situasi di bandaraya Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini masih lagi terngiang-ngiang lagi di telinga.

“Macam nilah, sambil saya keluarkan barang-barang cik dari bonet teksi ni cik pergilah panggil jiran tu. Tidaklah nanti cik sorang-sorang aje. Malam-malam macam ni bahaya cik,”

Aku mengerling kepada jam ditanganku. Jarum jam menunjukkan ke angka 12.00. Sudah tengah malam rupanya. Patutlah pemandu teksi ini kelihatan begitu resah. Sepanjang masa dalam teksi tadi aku hanya mendengar bicaranya yang tidak henti-henti tentang kota yang telah lama aku tinggalkan ini. Sesekali aku menjawab bila dia bertanyakan soalan. Tidak sangka parjalanan yang kurasakan pendek itu sebenarnya mengambil masa lebih satu jam.

“Ok... saya pergi panggil akak tu dulu ye?” jawapku sambil keluar dari perut teksi. Pemandu itu menganggukkan kepalanya sambil turut keluar untuk mengeluarkan bagasiku dari bonet.

Serba-salah juga rasanya untuk mengganggu jiran Suzana untuk mengambil kunci rumahnya. Tapi bila wajah lembut Kak Maziah ku tatapi buat pertama kalinya, aku dapati orangnya cukup mesra. Lega rasanya bila dia memberitahuku yang dia masih lagi belum masuk tidur kerana menunggu suami yang akan pulang dari tugas syif malammya sebentar lagi. Setelah mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pemandu teksi dan Kak Maziah, aku terus masuk ke rumah. Penat rasanya badan ini kerana perjalanan yang agak panjang itu. Lega kerana akhirnya aku tiba juga ke destinasiku.

Mataku terus melatari suasana dalam rumah teres dua tingkat itu. Ringkas sekali keadaannya. Seringkas tuan punya rumah ini. Sudah tiga tahun Suzana menginap di sini sendirian. Tidak mahu berkongsi rumah dengan orang lain katanya kerana tidak ingin menangani kerenah teman serumah yang tidak dikenali. Jawatannya sebagai seorang akauntan di sebuah bank membenarkan dia mendapat kemewahan ini. Mampu untuk membeli sebuah rumah untuk dirinya. Dan saat ini aku rasa cukup beruntung mengenalinya. Tanpa dia aku tidak pasti di mana dapat aku tumpung semantara aku dapat mencari rumah sendiri.

Mengenangkan hakikat diri yang sendirian di dunia ini membuatkan rasa sedihku datang lagi. Perasaan pilu di hati tak mampu untuk aku gambarkan. Lantas aku segera membersihkan diri untuk menghadap tuhan. Ingin aku lupakan segalanya. Ingin aku tinggalkan segalanya. Agar tenang jiwaku, damai hatiku dan hilang resahku. Mampukah aku?

****

“Unie... please... jangan buat abang macam ni... Abang tak mampu nak tanggung semua ni sendiri,”

Aku menatap wajah tampan Abang Izwan dalam-dalam. Untuk apa kini kami dipertemukan? Air mata yang bergenang di tubir mata aku seka. Semalam, buat pertama kalinya setelah enam tahun, kami dipertemukan dalam suasana yang sepatutnya membahagiakan. Tapi, bila saja mata ini menatap wajahnya, rasa gembira itu hilang. Rasa pilu yang aku simpan selama enam tahun itu perlahan-lahan kembali membaluti hati ini.
Semalam Abang Izwan datang ke rumah Mak Ngah bersama Kak Reen. Mereka baru saja pulang dari membeli belah barangan untuk majlis perkahwinan mereka yang akan berlangsung seminggu sahaja lagi. Aku yang sejak dari mula tiba di rumah Mak Ngah, begitu teruja untuk mengenali bakal suami Kak Reen. Namun, bila menatap wajah lelaki yang tiba bersamanyam, aku amat terkejut sekali. Tidak percaya dengan apa yang kulihat. Dunia ini kecil rupa-rupanya. Sungguh aku tidak menyangka akan bertemu lagi dengan Abang Izwan.

“Abang pun serba salah.... majlis kami cuma tinggal seminggu saja lagi. Tak kan lah abang nak batalkan semuanya dalam tempoh sesingkat ini,”

Aku tak mampu berkata-kata. Mendengarkan kata-katanya itu membuatkan aku sedar. Walaupun sebelum itu dia meluahkan rasa hatinya yang kononnya tulus untukku, namun kata-katanya sebentar tadi meranapkan semua harapan yang aku bina lama dulu. Di awal pertemuan tadi, katanya cintanya padaku tak pernah padam. Tapi dengan kata-kata yang diluahkan sebentar tadi, jelas cintanya padaku tidak sedalam yang diucapkan. Jelas dia tidak mampu untuk menjelaskan perasaannya terhadapku pada Kak Reen.

“Lepas STPM hari tu, abang langsung tak dapat hubungi Unie. Abang nak cari tapi tak tau nak cari kat mana. Bila pergi minta alamat dan nombor telefon Unie dengan kerani sekolah, dia bagi tapi tak dapat hubungi jugak. Akhirnya abang give up. Berharap sangat kita akan jumpa balik,”

Aku diam lagi. Hanya mampu mendengar kata-kata yang keluar dari bibirnya. Terimbau kembali kenangan lalu. Kami belajar di sekolah yang sama. Waktu itu aku di tingkatan satu dan dia di tingakatan enam atas. Perkenalan terjalin semasa minggu suaikenal. Selepas itu, dia bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya ingin mengambilku menjadi adik angkat. Setelah hampir enam bulan dia mengejarku, barulah aku bersetuju untuk menerimanya. Hubungan yang mulanya adik dan abang angkat akhirnya menjadi lebih serius. Dia mengatakan cintanya padaku. Aku yang waktu itu masih terlalu naif, menerimanya tanpa sebarang rasa ragu.

Waktu itu hati remajaku rasa cukup bahagia kerana mendapat perhatian darinya, seorang yang tampan lagi menawan. Hubungan kami aku gunakan sebaik mungkin. Di waktu petang dia pasti akan menjadi tutorku, membantu aku menyiapkan kerja-kerja sekolah yang sentiasa bertimbun. Malam pula waktu prep dia masih setia bersamaku. Kami bersekolah di sekolah berasrama penuh, menyebabkan mudah sekali untuk kami bertemu terutamanya di waktu petang dan malam. Sering aku dicemuhi taman-teman yang sememangnya cemburu dengan hubungan kami. Aku tak punya ramai kawan waktu itu. Hanya dia yang memenuhi ruang waktuku.

“Masa cuti sekolah tu kami sekeluarga kemalangan. Semua keluarga Unie, mak, ayah adik dan abang Unie meninggal. Unie trauma lama sangat sampaikan tak boleh tinggal di asrama. Mak Ngah ambil Unie duduk dengan dia. Sebab tu abang tak boleh nak hubungi Unie,”

Airmata yang ku tahan sejak tadi terus meluncur laju menuruni pipi. Teringat kembali saat itu, betapa aku hampir gila kerana kehilangan semua ahli keluargaku sekaligus. Aku trauma waktu itu. Sehinggakan aku sering terbayang semua ahli keluargaku datang untuk membawaku pergi. Pernah sekali aku hampir jatuh dari beranda bangunan asrama kerana terbawa-bawa dengan mimpiku. Hinggalah pihak sekolah meminta supaya aku dibawa pulang supaya keselamatanku lebih terjamin. Keluarga Mak Ngahlah yang membantu aku mengatasi masalahku itu. Kak Reen yang waktu itu berada di tingkatan empat juga banyak membantu aku menerima hakikat bahawa aku perlu meneruskan kehidupanku tanpa ahli keluarga yang lain. Tak mungkin aku dapat melupakan jasa mereka sekeluarga.

“Unie, semalam bila abang tengok Unie, abang jadi serba salah. Selama ni abang harap sangat dapat jumpa Unie balik. Tapi, tak jumpa-jumpa juga. Mak abang dah lama suruh abang kahwin, tapi abang selalu tangguhkan.. Akhirnya mak merajuk. Abang terpaksa bersetuju. Dia yang carikan calon untuk abang. Kebetulan Mak Ngah Unie kawan dia. Ini semua kaluarga yang aturkan Unie. Abang tak pernah kenal Reen sebelum ni. Kami tunang pun tak lama sebab mak abang dah tak sabar nak bermenantu, nak bercucu.,”

“Alhamdulillah... bang, Kak Reen baik. Mesti dia boleh jadi isteri yang baik untuk abang,” kataku menahan sebak di dada.

“Tapi abang cintakan Unie,”

“Jangan bang, jangan ucap kata-kata tu lagi, abang kena belajar cintakan Kak Reen. Mula dari sekarang,”

“Macamana abang boleh buat macam tu kalau hari-hari terpaksa berhadapan dengan orang
yang abang betul-betul cinta? Cuba Unie beritahu abang? Macamana abang boleh lupakan Unie bila setiap kali balik rumah mak Reen abang akan jumpa dengan Unie?”
Aku menarik nafas panjang. Akukah yang perlu bertindak, melakukan sesuatu? Akukah yang perlu lari dari keadaan ini? Ah... buntu jadinya.

“Tak pe, nanti Unie pastikan yang Unie tak akan balik bila abang dengan Kak Reen balik rumah Mak Ngah,”

“Abang tak boleh lari dari hakikat cinta abang Unie,”

Aku diam. Buntu memikirkan keadaan ini?

“Kita kahwin....,”

Terkejut aku mendengarkan cadangannya yang gila itu. Kahwin? Dengan dia? Dan seterusnya melukakan hati Kak Reen dan Mak Ngah? Sanggupkah aku lakukan itu?

Popular Posts