Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 15


Fazila membuka pintu dan turun dari teksi yang dia naiki. Selepas mengambil kad nama pemandu teksi tersebut dan membayar harga tambang teksi tersebut dia jadi termanggu-manggu di hadapan pintu pagar rumah Professor Ruquiyah yang tertutup rapat. Selalunya dia datang bersama Amir Hamzah, maka lelaki itu yang membuka pintu pagar menggunakan alat kawalan jauh. Tetapi hari ini dia datang sendirian dengan menaiki teksi.  Malah, siap berjanji pula akan menelefon pemandu teksi ini untuk mengambilnya bila dia akan pulang malam nanti.

Dia tidak menunggu Amir Hamzah seperti yang lelaki itu pinta di dalam SMSnya awal petang tadi. Selepas sahaja waktu pejabat dia terus keluar dan mengambil teksi ke rumah Professor Ruquiyah. Selalunya dia hanya akan keluar dari bilik siswazah, iaitu ruang yang disediakan untuk pelajar peringkat sarjana sepertinya di fakulti menjelang jam 6 petang dan menunggu Amir Hamzah mengambilnya di tempat  biasa. Selalunya dia adalah antara yang paling lewat keluar. Tapi hari ini laju sekali langkahnya menuju ke perhentian bas untuk mengambil teksi ke rumah Professor Ruquiyah. Bimbang sekali kalau-kalau terserempak  dengan Amir Hamzah.

Teksi yang dinaiki bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah Professor Ruquiyah. Fazila memerhatikan teksi itu pergi. Hatinya jadi serba salah untuk memasukki pintu pagar rumah Professor Ruquiyah. Pasti  dia akan dimarahi nanti kerana tidak menghiraukan panggilan dan sms yang dihantar kepadanya. Namun dalam keadaan teragak-agak dia menekan juga suis loceng di pagar.

“Siapa...?” kedengaran suara bibik dari alat intercom yang terdapat di pintu pagar.

Fazila menekan butang pada intercom tersebut.

“Ila ni bibik...,” jawabnya pula ke dalam intercom.

“Owh,,,,  Neng Ila .... tunggu sebentar iya neng...,” terkocoh-kocoh kedengaran suara bibik.
Sebentar kemudian pintu pagar yang dikawal secara otomatik oleh alat kawalan jauh itu terbuka sedikit, muat-muat sahaja tubuh Ila untuk membolosinya. Fazila melangkah masuk dan pintu pagar tertutup semula. Dia menaiki tangga ke aras satu di mana bibik sedang menunggu di pintu masuk utama. Fazila melemparkan senyuman paling manis kepada bibik. Cukup bersedia untuk mendengar leteran bibik.

“Aduhhh... ke mana aja neng...? Udah tiga hari ngak datang... apa Neng Ila sakit?” tepat sekali sangkaannya. Leteran bibik menyambut langkah kakinya di anak tangga yang paling atas.

“Taklah bik... Ila sibuk sikit.. ada kawan dari KL datang..,” ka Fazila sambil mengelengkan kepalanya.

“Kok ngapa tidak di angkatin telefonnya. Udah berbilang kali neng Eisya menelefon. Udah  merajuk anak itu...,” adu bibik lagi.

Bibik kembali ke ruang dapur untuk meneruskan tugasnya menyediakan minuman petang. Sebentar lagi tuan rumahnya akan pulang dari tempat kerja masing-masing, maka dia perlu menyiapkan tugasnya. Fazila mengekorinya.

“Eh... iye ke...? Alamak... mesti Eisya tengah marah pada Ila kan bik....?” katanya sambil menjengah ke arah kuali di atas dapur untuk melihat juadah apa yang sedang disediakan oleh bibik. Dia terasa lapar kerana sepanjang hari dia hanya sempat makan dua biji karipap yang dia beli untuk sarapan pagi tadi. Sebelum datang tadi dia terlalu terburu-buru meninggalkan kawasan kampus hanya kerana hendak melarikan diri dari Amir Hamzah.

“Neng Ila kelaparan iya....? Ini ... makan ya...,” kata bibik sambil mengambil piring dan meletakkan tiga biji cucur udang ke atas piring tersebut. Lalu dia meletakkan piring tersebut bersama dengan sos cili di atas kaunter berhadapan dengan dapur. Bau wangi cucur udang itu membangkitkan selera Fazila yang sememangnya sedang lapar.

“Tak apalah bik.... Ila nak pergi jumpa Eisya sekejap. Dia ada kat bilikkan bik?”

“Iya, Neng Eisya di biliknya... sejak pulang dari sekolah tadi ngak keluar-keluar... Sudah penat diajak makan... tapi ngak juga mahu keluar. Nak Epul pula, katanya ada latihan badminton di sekolah.  Ngak pulang sejak tengahari....,”

“Ohh....,” jawab Fazila sambil menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. Terasa bersalah kerana dia tahu bahawa dialah yang menyebabkan Eisya bersikap sebegitu walaupun bibik tidak menyatakan apa punca sebenar Eisya yang sering manja dan ceria itu merajuk.

 “Hemmm... ok lah bik... Ila naik sekejap. Nak ajak Eisya makan sama. Prof dengan En Saiful belum balik kan bik? Tak nampak pula kereta mereka,”

“Belum neng, sebentar lagi mungkin,’ kata bibik sambil matanya melilau ke arah jam di dinding yang menunjukkan lima belas minit lagi ke pukul 6.00 petang.

“Ok bik.... Ila naik dulu...,” katanya sambil berlalu. Sebelum itu sempat dia mencapai sebiji cucur udang dan menyuapkannya ke mulutnya. Dia mengangkat ibu jarinya kepada bibik untuk memberi isyarat bahawa kuih yang dia makan itu sedap rasanya. Serta-merta merekah sekuntum senyuman di bibir bibik.

Fazila berlari menaiki tangga ke aras dua. Setibanya di pintu bilik Eisya, terus dia jadi teragak-agak semula. Pasti dia akan menghadapi situasi yang agak sukar bila berhadapan dengan Eisya. ‘Padan muka, siapa suruh kau buat tak tahu aje dengan panggilan dari Eisya,’ bisik hatinya

Perlahan-lahan Fazila membaca Bismillah sebelum mengetuk pintu bilik pinky girl. Pintu terbuka sedikit menunjukkan ia tidak tertutup rapat. Cepat-cepat dia menolak daun pintu mencari wajah Eisya. Dia mengeluh perlahan. Dia rela berhadapan dengan Eisya dan memujuk gadis ini. Tetapi bila teringat yang dia juga perlu berhadapan dengan Amir Hamzah, hatinya menjadi kecut serta merta. Hanya dengan mengenangkan lelaki itu sudah terasa begitu kecut hatinya. Bagaimana nanti kalau mereka bersua? Dia tahu saatnya pasti akan tiba nanti.

“Eisya....,” panggilnya lembut apabila melihat Eisya sedang begitu asyik menulis di mejanya  sambil membelakangkan pintu bilik.

Anak gadis itu berdiam diri dan tidak mengendahkannya. Perlahan-lahan Fazila menolak daun pintu dengan lebih luas dan masuk. Dia tahu Eisya menyedari kehadirannya. Dia dapat melihat reaksi tubuh gadis sunti itu semasa namanya diseru sebentar tadi. Sengaja Eisya diam, mungkin untuk menunjukkan protes.

Cepat-cepat Ila menghampiri Eisya dan memeluknya dari belakang. Dia perlu memujuk rajuk gadis ini.

“Eisya.... buat apa ni.... jangan cakap Eisya study... akak tak percayanya....,” katanya penuh kemesraan.

Bila Eisya terus diam, dia tahu bukan mudah kali ini untuk dia memujuk rajuk gadis itu.

“Wahhh... cantiknya Eisya lukis ni.... Pemandangan kat pantai mana ni?” pujinya bila melihat lukisan yang sedang dilukis oleh Eisya.

Masih gadis sunti itu terus diam. Buat-buat tidak tahu dengan kata-katanya. ‘Ok... tak apa... pujuk lagi Ila,’ bisiknya di dalam hati.

Perlahan-lahan dia mencium pipi Eisya. Kemudian dia menyanyikan lagu Sayang, kegemaran Eisya. Sejak dia mengetahui Eisyalah yang memilih lagu itu untuk nada dail telefon  bimbit yang diberikan oleh Amir Hamzah kepadanya, dia pun turut sama sering melagukannya tat kala sendirian. Dan kini hampir kesemua lirik lagu telah dia hafal.

Apabila nyanyiannya masuk ke rangkap  kedua, Eisya masih diam. Masih muncung bibirnya. Lalu Fazila bergerak ke sisi kerusi dan melutut di situ. Mukanya mendongak untuk menatap ke wajah Eisya yang lebih tinggi daripadanya dalam kedudukan sebegitu. Kedua-dua tangannya memalingkan wajah Eisya yang sedang cemberut itu kepadanya.

“Sya.... janganlah macam gini.... akak minta maaf ok?”

“Kenapa akak tak angkat telefon.... sibuk sangat ya? Sampaikan nak angkat telefon pun tak sempat,” rungut Eisya akhirnya apabila sudah tidak dapat menahan perasaannya. Ada senyum terbersit di pinggir bibit Fazila. Lega rasanya  apabila Eisya sudah mula membuka mulut. Itu tandanya sudah ada respon dari gadis sunti itu.

   “Ok.. akak salah... akak minta maaf ye Eisya...  Sebenarnya masa akak keluar dengan kawan akak tu akak tak ingat bawa telefon. Terlupa ..... Tertinggalkan kat rumah. Sebab tu akak tak angkat,”

“Alah, tak kan bila balik tak tengok telefon... akak boleh aje call Eisya kan? Tapi akak tak buat gitu...  Akak sengaja kan?  Tak nak angkat,” masih dalam nada merajuk.

“Akak balik dah tengah malam sangat. Mesti masa tu Eisya dah tidur. Lepas tu ... semalam, akak kena temankan kawan akak tu lagi. Lepas dia balik petangnya, akak kena siapkan assignment untuk dihantar hari ni. Pagi ni pun, akak sibuk sikit, terlupa pulak dengan panggilan dari Eisya tu. Ingatkan tak apa... Akak tak sangka Eisya merajuk sampai macam ni...,” panjang lebar dia memberikan alasannya. Ada di antaranya yang betul, dan ada juga yang tak begitu betul. Kalau terpaksa menipu untuk mengambil hati Eisya, nampaknya itulah yang dia perlu lakukan. ‘Bohong sunat... tak apa kut....,’ bisik hatinya.  

Eisya diam seketika. Matanya memandang terus ke dalam mata Fazila. Tergambar kesedihan di situ.
“Sya.... akak minta maaf ye....,” rayunya lagi. Terharu rasanya dengan kasih yang tergambar di mata itu. Tidak pernah dia menyangka sebegitu sekali Eisya mengharapkan kehadirannya. Air mata mula bergenang di kolam matanya.

“Akak jangan buat lagi ye.... kalau Eisya call jangan akak buat tak tau lagi ye...,” ada genang air mata di kolam mata Eisya bila dia mengucapkan kata-kata itu.

Cepat-cepat Fazila menganggukkan kepalanya. Dan perlakuannya itu mengundang riak lega di wajah Eisya. Akhirnya Eisya tersenyum walaupun tidak semanis senyum yang biasa dia ukir semasa sedang gembira.

“Jom temankan akak makan... akak laparla... bibik buat cucur udang tau. Best...,” kata Fazila sambil mengangkat ibujarinya.

Eisya berdiri dan sambil itu menarik dia untuk turut berdiri sama. Mereka beriringan ke pintu dan waktu itulah dia menyedari kehadiran Amir Hamzah bersandar santai di pintu bilik Eisya. Terpandang saja mata yang begitu tajam memerhatikannya itu, Fazila menjadi kecut perut. Sejak bila lelaki itu berada di situ? Cepat-cepat dia menjatuhkan pandangannya. Tidak berani untuk berhadapan dengan lelaki ini. Nasib baik Eisya ada bersama. Sekurang-kurangnya Amir Hamzah tidak akan mendesaknya untuk menerangkan segalanya di hadapan Eisya. Sungguh dia berharap begitu.

“Pak Uda.... Kak Ila dah datang... Dia janji dengan Sya tak akan buat tak tau lagi kalau Sya call dia...,” adu Eisya kepada Pak Udanya.

“Owh.... iye ke...?” kedengaran sinis sekali suara yang keluar dari bibir Amir Hamzah.

“Mari Sya.... akak laparlah...,” cepat-cepat Fazila cuba menukar topik perbualan. Dia tidak ingin berada bersama Amir Hamzah di saat ini. Dia belum bersedia untuk itu. Tetapi dia tahu, pastinya lelaki ini tidak akan melepaskannya semudah itu.

“Eisya percaya ke .. pada Kak Ila tu?” sinis lagi.

Aduh.... bagai ditikam dek balati rasanya. Tetapi Ila tidak berkata apa-apa. Malas hendak bertekak. Diam lebih baik di saat ini.

“Kalau Kak Ila buat lagi.... kita denda ye Pak Uda...,” kata Eisya sambil menghayun jari telunjuknya kepada  Ila.

“Ok... kita denda....,” jawab Amir Hamzah. “Kali ni tak nak denda?” sambungnya lagi selepas seketika. Seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Haah.... patutnya kena denda jugak kali ni...,” kata Eisya dengan nada gembira. Sudah tergambar apa bentuk denda yang ingin sekali dia berikan.

“Hei... mana aci... tadi Eisya cakap kalau akak buat lain kali... bukan sekarang...,” Fazila membuka suara tanda protes. Matanya mencerlung ke wajah Amir Hamzah tanda marah kerana memberikan idea itu kepada Eisya. 

“Kena denda jugak.... sebab akak buat Eisya kecik hati...,” kata Eisya lagi. Kali ini dia sudah mula tersenyum. Entah apa yang ada di kepalanya, Fazila pun tidak tahu.

“Eisya nak denda apa pada Kak Ila?” tanya  Amir Hamzah pula, menyemarakkan lagi rasa geram di hati Fazila. Dia mengetap bibir menahan marah. Reaksinya itu disambut dengan senyuman kemenangan di wajah Amir Hamzah.

“Nanti.... Sya nak fikir baik-baik dendanya. Barulah kak Ila ingat sampai bila-bila... jangan ignore Sya lagi...,” kata Eisya dengan senyuman yang terus meniti di bibirnya.

Panas dada Fazila dibuatnya melihatkan sikap kedua-dua anak saudara dan bapa saudara itu mengenakannya.

“Jom kak.... Eisya pun dah laparlah...,” kata Eisya sambil tersenyum senang hati. Dia melintasi Pak Udanya sambil memberikan senyuman paling manis untuk lelaki itu. Perlakuan itu terus-terus membakar hati Fazila.

Amir Hamzah terus mendiamkan diri di pintu menyebabkan Fazila terkaku, tidak dapat keluar dari bilik walaupun dia tersangat ingin berada jauh dari lelaki itu.

“Eisya dah terpujuk... tapi aku.... tak semudah itu... ,”

“Siapa pulak kata saya akan pujuk awak...” berkerut kening Fazila menyampaikan rasa geramnya.

“Akulah yang kata.... Selagi tak puas hati, selagi tu aku akan merajuk...,”

“Alah... siapa yang kisah... kalau awak merajuk....,”

“Engkaulah.... ,”

Fazila  mencemikkan mukanya lantas cuba untuk melintasi Amir Hamzah untuk keluar dari bilik itu. Tetapi lelaki itu dengan santainya membetulkan kedudukannya di situ menyebabkansedikit ruang yang kosong di situ menjadi lebih sempit. Fazila mengetap bibirnya geram. Tambahan lagi bila melihatkan senyuman di bibir Amir Hamzah seolah-olah meraikan kemenangannya.

“Kak Ila ... marilah...,” jerit Eisya dari kedudukannya di anak tangga paling atas.

“Ketepilah... saya nak lalu ni...,” katanya kepada Amir Hamzah.  Lelaki itu buat tidak endah sahaja. Lama mereka begitu sehinggakan sekali lagi kedengaran suara Eisya memanggilnya untuk turun ke dapur.

Please....!” katanya dengan wajah geram.

Amir Hamzah akhirnya mengalah dan bergerak sedikit memberikan ruang untuknya. Namun ruang pintu yang sempit itu membuatkan jarak tubuh mereka amat dekat sekali ketika dia melintasi lelaki itu. Bagaikan dapat dihidunya bau maskulin lelaki tersebut.

Cepat-cepat dia berlalu untuk mengelakkan tubuh mereka bersentuhan. Cepat-cepat ingin menjarakkan diri kerana dia sendiri tidak mampu untuk mengawal debaran yang mengetuk kuat di jantungnya. Dia bimbang Amir Hamzah mungkin akan menyentuhnya kerana kelihatannya seperti itu yang ingin dia lakukan sejak dari tadi.

Remember  Fazila... you still need to do some explaination....,” Amir Hamzah memberi amaran.

Dia terpaku seketika. Kemudian meneruskan langkahnya sehingga ke aras satu. Bagaikan terasa tusukan tajam anak mata Amir Hamzah yang mengikuti langkahnya di belakang.

Keriuhan di aras bawah membuatkan Fazila menarik nafas lega. Rupa-rupanya semua ahli keluarga Professor Ruquiyah sudah pulang dan kini sedang menikmati juadah minuman petang di dapur. Buat seketika dia masih dapat melarikan diri dari perlu terus berhadapan dengan Amir Hamzah. Cepat-cepat Fazila menyertai mereka di kaunter dapur. Hilang segannya pada Professor Ruquiyah dan suaminya Encik Shaiful dek kerana mahu lari dari terus bersendirian dengan lelaki di belakangnya itu.

Sedang mereka dalam keriuhan dengan gelagat Epul dan Eisya semasa menjamah juadah minum petang, sempat lagi Fazila termenung memikirkan apa alasan yang dia patut berikan kepada Professor Ruquiyah supaya Amir Hamzah tidak perlu menghantarnya pulang malam nanti. Dan tanpa di duga, telefon tangan jenama Samsung S3 barunya berdering dengan kuat sekali. Cepat-cepat dia minta diri untuk menjawab panggilan dari satu-satunya pemaggil yang menggunakan telefon itu. Merah padam wajahnya apabila menyedari semua orang sedang terlopong memandang kepadanya yang sedang mengeluarkan telefon yang masih berkilat itu. Namun tanpa berlengah, dia terus menjawab panggilan tersebut. Dia tidak mahu membuatkan si pemanggil menunggu.

Dan sepanjang waktu itu, mata Amir Hamzah tidak lepas dari memerhatikan gelagatnya sehinggakan perbualannya jadi terganggu. Amat  terganggu..                                                                                                                                          
Comments: (0)

Bab 14


Mata Fazila sekali lagi menatap pesanan ringkas di telefon bimbit pemberian Amir Hamzah yang dia terima malam tadi. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Lalu dia biarkan sahaja SMS itu tanpa jawapan. Dan bagaikan mengerti, tiada lagi SMS yang dihantar buatnya selepas pesanan terakhir itu. Pertanyaan lelaki itu hanya mati di situ sahaja.

Apa yang harus dia perkatakan? Lelaki itu memohon jawapan. Lalu apa alasan yang harus dia berikan? Mengiakan atau menidakkan, kedua-duanya membuatkan dia merasa cukup serba salah. Untuk mengiakan, dia sendiri tidak tahu hakikat sebenar hubungan dia dengan Abang Faris. Hanya sekadar hubungan yang dijanjikan tanpa sedikitkun ikatan perasaan. Untuk menidakkan, telah jelas dan nyata mereka telah ditunangkan. Lalu apa yang harus dia katakan untuk menjawab pertanyaan yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu?

Matanya singgah di jam tangannya. Sebentar lagi Abang Faris dan Mak Cik Hasmah akan sampai. Dia telah berjanji akan menunggu mereka di perkarangan pejabat asrama pada jam 11 pagi. Selepas makan malam bersama Abang Faris dan Mak Cik Hasmah semalam, Fazila menelefon emak di kampung dengan menggunakan telefon bimbit Abang Faris untuk meminta izin keluar bersama tunangannya itu. Sebaik sahaja dia menekan butang merah untuk menamatkan talian, terus Mak Cik Hasmah bertanyakan samada dia dibenarkan keluar atau tidak. Bila Fazila mengangguk, terlihat jelas riak gembira di wajah Mak Cik Hasmah. Dia kelihatan ceria sekali apabila emak membenarkan Fazila keluar dengan Abang Faris. Apa yang mengecewakan Fazila ialah tiada sedikit pun riak sebegitu terpamer di wajah Abang Faris. Lelaki ini jelas sekali begitu dingin dan tidak pernah mempamerkan apa yang dia rasakan pada riak di wajahnya. Membuatkan Fazila terus tertanya-tanya, apa sebenarnya yang ada di dalam hatinya.

Matanya tersorot kembali ke skrin telefon bimbit pemberian Amir Hamzah. Kembali membaca persoalan yang lelaki itu tanyakan semalam:

“Betul ke apa yang aku dengar dari mulut budak tu? Betul ke yang datang tu tunang engkau? Kenapa selama ni kau tak cakap kau dah bertunang?”

Apa yang harus dia katakan kepada Amir Hamzah? Hatinya serba salah. Selama ini dia cuba untuk menafikan daya tarikan di antara mereka. Namun sejak dari awal perkenalan, terasa bahagia sekali setiap kali mereka berjumpa. Malah dia bagaikan ternanti-nanti saat mereka akan bertemu. Menghitung tiap detik yang berlalu. Saat-saat yang dilalui bersama lelaki itu dia hayati sepenuhnya agar senang untuk dikenang saat-saat tidak bersama nanti. Dan bila tiba waktu berpisah, bagaikan terasa enggan menerima hakikat bahawa mereka tidak seharusnya sering bersama. Seketika lupa pada keadaan dirinya yang telah dijanjikan untuk orang lain. Bagaimana untuk dia tafsirkan perasaan yang dia alami ini? Cintakah itu? Atau mungkin hanya daya tarikan yang disebut sebagai chemistry? Keliru Fazila jadinya.

Jam yang menunjukkan pukul 11 menggamit perhatian Fazila. Cepat-cepat Fazila mengambil beg sandangnya dan hampir berlari untuk cepat tiba di tempat yang dijanjikan. Menyesali diri kerana begitu asyik sehingga lewat dari waktu yang dijanjikan. Dari jauh kelihatan Kia Sorento milik Abang Faris sudah gagah terparkir di situ. Makin laju dia berjalan menuju ke kereta itu dan bila sahaja tiba, cepat-cepat naik ke atas SUV yang sudah terbuka pintu di sebelah penumpang tempat duduk hadapan.  Siapa yang membukakan pintu itu untuknya, dia sendiri tidak pasti. Yang nyatanya kelihatan wajah teruja Mak Cik Hasmah menyambutnya di kerusi belakang.

“Eh... Mak Cik... kenapa duduk kat belakang. Mak Cik duduk kat depanlah, biar Ila yang duduk kat belakang tu...,” katanya sambil melangkah ke arah pintu belakang. Tanpa sepatah kata dia membuka pintu yang bersebelahan dengan tempat duduk Mak Cik Hasmah.

“Eh... ehhh... ehhh... Ila duduk kat depan tu. Mama nak duduk kat belakang ni. Mama nak jadi mem besar hari ni...,” ujar Mak Cik Hasmah sepontan. Dia lantas menutup kembali pintu SUV sambil tersenyum penuh ceria. Terpinga-pinga Fazila jadinya.

Namun untuk tidak menimbulkan masalah lain dia terus menaiki kereta tersebut. Dia berpaling sejenak kepada Abang Faris. Cuba mencari apa yang terselindung di sebalik renungan mata lelaki itu ke wajahnya. Namun seperti biasa tidak dia temui makna yang tersurat di situ. Lantas terus dia memalingkan wajahnya sambil menyibukkan diri dengan talipinggang  keledar yang dia sedang cuba pasangkan. Terkial-kial jadinya dek rasa malu. Dan tiba-tiba tangan Abang Faris mengambil alih tugas itu. Sentuhan lembut jemari yang sering bermain dengan pisau bedah itu membuatkan bergetar jantungnya. Cepat-cepat Fazila melepaskan talipinggang keselamatan itu untuk diuruskan oleh Abang Faris. Beku seketika dia di kerusinya. Terus dia terpaku sebegitu sehingga selesai talipinggang itu dipasang oleh Abang Faris. Bila Abang Faris kembali menjauhkan tubuhnya barulah Fazila kembali melepaskan nafasnya yang tersekat sejak tadi.  

Perlahan-lahan SUV tersebut meninggalkan kampus UTM Skudai. Jam di tangannya menunjukkan ke pukul 11.15 pagi. Fazila tidak berani untuk bertanyakan ke mana mereka akan pergi. Dia cuma diminta untuk membawa telekung untuk memudahkan mereka singgah untuk bersolat nanti. Jadi dia pasti mereka tidak akan pergi jauh. Mungkin di sekitar kawasan Skudai sahaja untuk makan tengahari.

“Ila dah makan pagi ke?” suara garau Abang Faris menyapanya perlahan.

“Dah...” jawabnya sambil menganggukkan kepala.

“Makan apa tadi?”

“Emm... biskut... cicah air milo...,” lambat sekali dia menjawab. Segan untuk memberitahu tentang menu sarapan pagi hariannya itu.

“Ehh... Ila makan biskut aje... tahan ke perut tu?” suara mem besar di tempat duduk belakang menyapanya. Fazila senyum sambil berpaling kepada Mak Cik Hasmah di belakang.

“Cukup Mak Cik... Ila dah biasa makan macam tu... insyaallah tahan sampai tengahari..,”

“Hemm...  kita ni dah habis semangkuk soto pagi tadi. Macam-macam ada kat hotel tu tadi. Ingat nak makan sikit je... tapi tengok semuanya, jadi terliur. Cuma rasanya tu tak bolehlah nak kalahkan masakan kat restoren tepi jalan kan Faris?” panjang sekali Mak Cik Hasmah mencecer.

Fazila hanya senyum mendengarkan kata-kata bakal ibu mertuanya itu. Matanya menjeling ke wajah Abang Faris yang turut tersenyum mendengarkan kata-kata mamanya itu. Dan selepas dari itu telinga mereka dijamu dengan cerita Mak Cik Hasmah tentang bagaimana mereka kebetulan singgah di kedai makan yang menyajikan masakan yang lazat-lazat semasa dalam perjalanan ke sini semalam. Bagaimana sedapnya asam pedas yang dijual di kedai tersebut. Dan bagaimana nanti bila pulang, mereka pasti akan singgah lagi. Dan di sepanjang waktu itu sesekali Abang Faris akan tersenyum bila merasakan ada kelucuan dalam cerita itu. Kalaulah hati Fazila tidak diselubungi rasa bersalah, pastinya dia akan benar-benar menikmati saat-saat indah sebegitu. Saat yang mampu membuat dia terus mengenang lelaki di sebelahnya ini.

‘Kalaulah mereka tahu apa yang ada di dalam hatinya saat itu... mungkinkah mereka akan terus tertawa gembira sebegini?’ hatinya bermonolog sendiri. Senyum di bibirnya tiba-tiba jadi hambar.

****

Suasana hujung minggu di Komplek Beli Belah Skudai Parade membuatkan Fazila kembali teringat kepada waktu dia bersama Eisya, Epul dan Amir Hamzah semalam. Di sinilah mereka menghabiskan hampir dua jam untuk menjamu selera di restoren KFC yang menjadi idaman Eisya. Apabila mereka berjalan melintasi restoran KFC, semakin kuat ingatannya menerawang ke arah apa yang telah berlaku pada hari itu. Seakan-akan terdengar lagi di telinganya kata-kata Amir Hamzah yang sedikitpun tidak dia duga. Ucapan yang kedengarannya sepontan, tetapi kini bagaikan tanpa henti, terus bergema di telinga, malah di hatinya. Benarkah kata-kata yang diucapkan itu? Dalam diam dia mengeluh sendiri.

“Ila nak makan apa?” pertanyaan Mak Cik Hasmah mengejutkan dia dari lamunannya. Tersedar dia dari anganan. Matanya terus tertancap ke wajah Abang Faris. Kelihatan lelaki itu sedang menatap wajahnya. Diam dan memerhati.

“ Ila ... nak makan apa?” sekali lagi soalan itu ditanya buat dia sekali lagi terpinga-pinga.

‘Hai... Mak Cik Hasmah ni asyik ingatkan makan aje...,’ bisiknya lagi dalam hati.

“Owh... tak apa... Ila belum rasa lapar lagi Mak Cik..,”jawabnya setelah kelihatan teragak-agak untuk menjawab pertanyaan tersebut.

“Hem... mak rasakan, Ila dah patut belajar panggil mama ye....? Bila dah kawin nanti, memang kena panggil mamakan?” kata Mak Cik Hasmah sambil melirikkan senyumnya.

Fazila terkedu. Tidak berani untuk memandang walau sedikitpun ke wajah Abang Faris.

“Betul ke Ila belum lapar ni? Kalau belum mak nak tengok handbegla kut-kut ada yang berkenan.... jom Ila ...,” kata Mak Cik Hasmah sambil berpaling kepada Abang Faris.

‘Hemmm... Mak Cik Hasmah ni... shopping je kerjanya. Padahal kat KL tu banyak shopping kompleks, masih juga nak membeli belah kat sini...,’ terus Fazila  bermonolog sendiri. Lemah rasanya melihatkan kegemaran bakal emak mertuanya itu.

Mereka berjalan lagi sehinggalah menemui kedai menjual beg tangan. Bulat mata Fazila melihatkan harga beg tangan yang dipamerkan. Kalau buat belanja makan dia untuk sebulan pun lepas.

Mak Cik Hasmah kemudiannya begitu asyik meneliti beg tangan  yang dipamerkan dan kemudian beralih ke rak-rak yang lain sehingga meninggalkan Fazila sendirian. Jari-jemari Fazila mengelus satu persatu beg yang berjenama itu. Cantik sekali. Pastinya diperbuat dari kulit asli kerana ada yang harganya mencecah ribuan ringgit.

‘Beranganlah aku nak beli beg macam ni...,’ bisiknya lagi di dalam hati.

“Ada yang berkenan?” suara perlahan Abang Faris bagaikan berbisik di telinganya membuatkan Fazila tersentak. Terus debaran jantungnya menggodam di dada. Seketika dia hanya mampu diam.

“Kalau ada ambillah..., abang bayarkan,” suara garau itu mengelus  hatinya lagi.

“Emmm... Ila nak buat apa dengan handbag? Pakai beg sandang ni je... ke mana-mana...,” kata Fazila sambil menunjukkan beg sandangnya yang sudah agak lusuh.

“Ila tak pernah pakai handbag?”

“Tak...,” jawabnya sambil menggelengkan kepala. “Susah... kalau yang kecil, ruangnya terhad nak masukkan semua barang keperluan...,”

“Owh..... ambillah yang besar...,”

“Kalau yang besar susahla pulak nak bawak... kalau beg sandang macam ni... semua benda boleh letak kat dalam ni... Nak apa... semuanya ada... ,” katanya cuba untuk berjenaka. Sedangkan hakikatnya, dia sedang cuba untuk meredakan debaran di dadanya.

Abang Faris tersenyum mendengarkan kata-kata tunangannya itu. Buat pertama kalinya dalam sejarah hubungan mereka, hatinya merasa senang bila bersama gadis ini. Selalunya hatinya merasa cukup gundah dengan apa yang sedang dan bakal dia lalui. Bimbang jika Fazila tahu tentang sejarah silamnya. Fazila akan rasa tertipu. Bimbang Fazila akan mengambil keputusan yang akan menghancurkan harapan mamanya. Dan seribu kebimbangan lagi yang sering menghantuinya. Dia tahu dia perlu berterus terang. Tapi mungkin bukan sekarang masanya. Dia ingin menikmati detik-detik sebegini. Yang pasti akan dia kenangkan apabila mereka berpisah nanti.

“Abang nak belikan sesuatu pada Ila ... Tapi bukan kat sini.... nanti ye... ,”katanya sambil bulat matanya memandang ke wajah mulus di depannya.

Renungannya itu membuatkan ada resah yang singgah di hati Fazila. Entah mengapa, dia bagaikan terasa yang Abang Faris seakan-akan sedang menyelami hatinya. Bimbang sekali tunangannya itu dapat membaca segala yang ada di situ.

Dan waktu itu juga wajah Amir Hamzah melintas lagi di mindanya.

****

Resah.... jiwanya resah. Dua hari dia cuba menghubungi Fazila tetapi gadis itu terus diam. SMS tidak dijawab, telefon tidak di angkat. Sungguh dia merasakan keresahan begitu kuat menghambat hatinya. Terjeruk jiwanya menahan keresahan yang Fazila ciptakan di hatinya.

Kenapa? Dua hari lalu gadis itu bagaikan terkejut dengan luahan hati yang dia lafazkan secara sepontan. Dan selepas itu dia lebih banyak diam walaupun tergambar di wajahnya riak-riak teruja yang menunjukan ada debar di hatinya. Dia yakin, debaran itu hadir dek kerana Fazila turut merasakan sesuatu yang sama seperti apa yang dia rasakan. Memang jelas terpamer di wajah manis gadis itu, membuatkan Amir Hamzah merasa begitu yakin akan perasaan gadis itu terhadapnya. Ataukah hanya dia yang berangan-angan sendirian?

“Pak Uda... kenapa Kak Ila tak jawab telefon ye? Dah banyak kali Eisya telefon, tapi dia tak angkat,” suara manja Eisya kedengaran seolah-olah membuat pengaduan. “Lepas kita balik dari KFC hari tu sampai sekarang dia tak jawab telefon. Dia sakit ke Pak Uda?”

Amir Hamzah diam sambil menghirup teh o yang dihidangkan sebentar tadi di hadapannya. Tiba-tiba hangat air itu terasa menggigit bibir dan lidahnya. Cepat-cepat dia meletakkan kembali cawan ke piringnya. Matanya tertancap ke wajah kakaknya yang duduk di buaian kayu jati berhadapan dengannya.

“Ishhhh.... kenapa gelojoh sangat ni Meer....? Kan panas air tu...? Tunggula sekejap... biar sejuk dulu...,” kata Professor Ruquiyah. “Ni... makan goreng pisang ni dulu...,” katanya lagi sambil menghulurkan piring kepada Amir Hamzah. Cepat-cepat Amir Hamzah meletakkan cawannya ke atas meja. Piring disambut dan dia mengambil sekeping goreng pisang dari pinggan hidangan. Kemudian dia mengambil sedikit sambal kicap yang turut dihidangkan bersama goreng pisang tersebut. Perlahan-lahan dia menyuapkan goreng pisang yang dicicah dengan sambal kicap. Cuba menunjukkan riak bersahaja di depan mata kakaknya.  Abang ipar yang duduk di sebelahnya pula begitu asyik dengan iPadnya. Sedang membaca isu-isu semasa yang di paparkan di ruang blog yang sedang dilawatinya. Sedikitpun tidak menyedari riak wajah isterinya yang kelihatan keruh sambil memandang ke wajah adiknya.

Petang hari minggu sebegini sememangnya mereka biasa bersantai bersama keluarga. Mereka sedang menikmati minum petang di beranda aras satu yang berhampiran dengan dapur. Kawasan lapang yang penuh dengan pokok-pokok bersebelahan dengan rumah membuatkan suasana terasa begitu nyaman sekali. Tambah nyaman lagi dengan pelbagai polok hiasan yang mengelilingi kawasan tempat mereka duduk. Bunyi air mengalir dari kolam buatan yang terdapat di beranda itu membuatkan suasana menjadi lebih nyaman. Lanskap kecil di beranda itu membuatkan suasana petang yang agak hangat itu menjadi lebih selesa. Kawasan perumahan mewah yang terjaga rapi itu membuatkan penghuninya senang dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak yang menguruskan kawasan tersebut. Ia menjanjikan kemewahan, keselesaan dan keselamatan bagi penduduk di kawasan tersebut.

 “Pak Uda.... kenapa diam ni... Kak Ila mana....,” rengek Eisya lagi. Gadis kecil itu duduk bersandar manja di sebelah ibunya.  Kakinya perlahan-lahan menolak buaian supaya bergerak. Lintang pukang dibuatnya Professor Ruquiyah yang sedang memegang piring berisi goreng pisang di tangan kiri dan tangan kanannya pula sedang menceduk sambal kicap untuk suaminya.

“Eisya... janganla ayun buai ni... nanti tumpah ni....,” separuh marah dia menegur perlakuan anak gadisnya.
Eisya hanya mencebirkan bibirnya sambil memandang ke wajah ibunya. Masih tidak puas hati dengan kebisuan pak udanya.

“Pak Uda....,” makin geram Eisya dibuatnya.

 Amir Hamzah tidak tahu apa yang harus dia katakan. Kalau dia memberikan komen pastinya akan ada nada marah dalam bicaranya nanti. Kerana sekarang ini dia merasakan cukup geram dengan sikap Fazila yang diam membisu.

“Kan kak Ila cakap kawan dia nak datang? Mesti dia sibuk dengan kawan dia tu,” kedengaran suara Epul yang sejak tadi begitu asyik dengan games di tabnya. Cukup  bersahaja nada suaranya seolah-olah menyokong sikap Fazila.

“Selalunya hari minggu gini dia mesti datang sini...,” rungut Eisya lagi. Ada nada kecewa dalam suara itu.
“Alah... bagila peluang dia pergi jalan-jalan dengan kawan dia. Hari-hari Eisya panggil dia datang sini temankan kita. Dia pun ada kawan lain jugak...,” kata Epul lagi.

Kata-kata anak saudaranya itu bagaikan belati tajam menusuk ke jantung Amir Hamzah. Dia mengetap bibirnya denga rasa marah. Patutkah dia marah? Ya.. dia sepatutnya marah dengan sikap Fazila yang seketika memberikan harapan untuknya. Walaupun tanpa kata, sikap gadis itu bagaikan meyakinkan bahawa mereka berkongsi perasaan yang sama.

“Yelah... nak kawan dengan siapa tu suka hati dia lah.. tapi kenapa tak nak jawab telefon? Pak Uda.... telefonlah dia... Eisya rindukan Kak Ila ...,” rengek gadis kecil itu lagi.

“Ah... sudahlah.....  lantaklah dia dengan kawan dia.... ,” kata Amir Hamzah dengan nada geram.
Terkejut semua yang ada di situ sambil masing-masing memandang ke arah satu sama lain.  Amir Hamzah menarik nafas panjang. Cuba mengawal perasaan marah yang dia rasakan saat itu.

“Ha.. tengok tu... abang. Pak Uda pun marah dengan Kak Ila ... ,” kata Eisya kepada abangnya. Kata-kata itu membuatkan semua berpandangan, terutamanya Professor Ruquiyah dan suaminya. Hati masing-masing membuat telahan.

“Dahlah.. jom... kita pergi tengok wayang.... ,” kata Amir Hamzah sambil bangun  dari kerusi kayu jati yang dia duduki itu. Laju sekali dia menuruni tangga beranda menuju ke         keretanya yang terletak di aras paling bawah rumah tersebut. Sedikitpun dia tidak menendahkan suara Eisya yang bersorak riang kerana diajak menonton. Tak kiralah cerita apa yang akan mereka tonton, janji ia menyeronokkan. Seketika Eisya lupa pada  Kak Ilanya yang sejak dari tadi mengganggu fikirannya. Terjerit-jerit gadis sunti itu meminta supaya pak udanya menunggu dia dan Epul bersiap

Popular Posts