Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 16

Satu peratu mukasurat dalam buku anak muridnya diselak. Sejak dari tadi lagi dia cuba menumpukan perhatiannya kepada kerja memeriksa buku latihan anak muridnya. Namun tulisan kecil anak-anak itu bagaikan tidak kelihatan di mata. Terlalu larut dia dalam menung yang panjang. Terlalu leka dia dengan ingatannya terhadap lelaki itu. Hatinya terus tertanya, mengapa... mengapa dan mengapa...

Tujuh tahun dia bersama Irfan, namun bila lelaki ini hadir dalam hidupnya, kenangan bersama Irfan terasa seperti sudah lenyap begitu sahaja. Dia mata dan di hatinya kini hanya ada lelaki itu sahaja. Tiap tingkahnya dan tiap bicaranya sering menyapa lena dan jaga Mai sejak akhir-akhir ini. Dia sendiri jadi tidak mengerti dengan apa yang dirasakan itu. Puas dia cuba untuk membuang jauh ingatan ketika mereka bersama lebih seminggu yang lalu. Namun semakin dia cuba melupakan, semakin dia tidak mampu membuang wajah itu dari kotak fikirannya. Wajah yang penuh dengan aura kelelakiannya, yang terkadang kelihatan serius dan terkadang pula kelihatan begitu mesra. Ah... sungguh dia tidak mengerti perasaan yang dirasakan kini. Sungguh...

“Mai ....,”

Lamunannya dikejutkan oleh satu suara. Di cuba untuk fokus terhadap suara itu dan mencari dari mana arah datangnya. Akhirnya matanya tertumpu pada wajah Kak Gee yang perlahan-lahan mengambil tempat di kerusi kosong di sebelahnya.

“Dari tadi akak perhatikan Mai ni... asyik menung aje. Ingatkan siapa ni?”  kata Kak Gee bagaikan menduga.

Mai hanya membalas sapa itu dengan senyum hambar.

“Hemm.. ingatkan cik abang ye?” kata Kak Gee menduga lagi.

“Tak adalah kak..,”

“Orang baru kahwin la katakan.... dok sana menung... dok sini menung... kalau boleh nak duduk dekat dia je sepanjang masa kan?” usik Kak Gee lagi.

Cepat sekali tangan Mai hinggap di lengan Kak Gee yang berisi itu dan serentak itu juga Kak Gee mengadoi perlahan dek cubitan manja wanita muda di hadapannya. Biar pun kelihatan mesra dan manja, sedikitpun tidak terlepas riak sedih dan gundah wanita muda itu di pinggir matanya. Wajah Mai yng kelihatan memerah menahan malu itu ditatapnya lembut.

“Kenapa ni.... macam susah hati aje akak tengok?” akhirnya dia bertanya selepas agak lama menunggu Mai membalas bicara. Namun diamnya Mai membuatkan dia dapat menghidu keresahan itu.

“Tak adalah kak....,” kata Mai , cuba mengelak.

“Akak tengok Mai macam tak nak cakap je dengan akak sejak Mai kahwin ni. Akak ada buat salah ke dengan Mai?”

“Tak lah kak... mana ada...,” jawab Mai lagi. Masih cuba bertingkah.

“Habis tu.... Mai macam tak nak mesra je dengan orang lain sekarang. Kami semua perasan tau yang Mai macam nak mengelak dari kami semua,”

Terdiam Mai seketika mendengarkan kata-kata Kak Gee itu. Sungguh dia tidak menyangka bahawa begitu sikapnya sejak akhir-akhir ini. Terlalu leka dengan kesedihan di hatinya hinggakan tanpa sedar dia meminggirkan diri.

“Mai da macam nak asingkan diri aje dari kami semua. Dulu, masa Mai bercerai dengan Irfan pun macam ni. Jadi akak dapat rasa, mesti Mai sedang susah hati kan sekarang ni? Sebab tu selalu muram je... tak nak lagi mesra-mesra dengan kami semua. Akak pun perasan yang Mai sekarang ni asyik sibukkan diri dengan kerja-kerja pusat sumber tu kan? Kenapa Mai? Cakaplah pada akak, kalau akak dapat tolong, mungkin ringan sikit beban di hati Mai tu,”

Mai memandang sayu ke wajah Kak Gee. Kalaulah dia mampu membuka semua rahsia ini, sudah lama dia lakukan itu. Kalaulah dia mampu menceritakan bagaimana dia dan Irfan terlalu nekad untuk kembali bersama sehingga sanggup mengundang seorang asing dalam hubungan mereka. Dan kalaulah dia mampu menceritakan bagaimana  orang asing itu kini sudah mula berani singgah di hatinya. Namun dia tidak sanggup melakukan sesuatu yang akan memburukkan namanya sendiri, bagaikan meludah ke langit. Tidak... dia tidak akan melakukan itu.

“Ceritalah Mai ...., suami baru Mai ni tak baik dengan Mai ke? Dia ada apa-apakan Mai ke?”

Pantas sekali Mai menggelengkan kepalanya. Kak Gee, Mai yang jahat dengan dia kak, bisik hatinya. Dan kalau boleh ingin sekali dia meluahkan kata-kata itu. Namun bagaikan tersekat di kerongkongnya semua kata-kata itu.

“Dia baik kak... Cuma...,” terhenti bicara itu.

“Cuma apa Mai ?”

“Sekarang ni dia tak ada... balik kampung dah seminggu lebih...,”

Kak Gee tersenyum sambil mengeluh bila mendengarkan kata-kata Mai itu.

“Oh... rindula ni ye? Buat penat aje akak meneka macam-macam,”

Mai diam, tidak mampu mengiakan kata-kata itu. Malah tidak pernah pun dia terfikir akan itu. Dia tidak mahu mengiakannya. Biarpun di sudut hatinya bagaikan mahu melakukan itu.

“Kenapa dia balik kampung?” tanya Kak Gee lagi.

“Mak dia sakit..,”

“Sakit apa..?”

“Kena serangan jantung kak..,”

“Oh... kesiannya... bila lagi...,”

“Hari Jumaat minggu lepas dia kena. Hari Sabtu Syamsul  balik,” jawab Mai perlahan.

 “Mai tak balik sama ke?”

“Tak kak..,”

Mai terdiam bila melihat Kak Gee memandangnya dengan perasaan hairan. Fikirannya buntu memikirkan perasaan yang dirasakannya saat ini.

“La... kenapa tak balik sama...? Hujung minggu baru ni pun Mai tak balik?”

Mai menggelengkan kepalanya perlahan.

“Masyaallah Mai ... kenapa tak balik? Cuti Mai dah habis ke?”

“Ada dua hari lagi kak,”

“Mak mertua sakit, Mai tak balik? Kecil hati orang tua tu. Balikla Mai, jenguk dia kat sana. Weekend ni dah tak ada aktiviti sekolah kan? Minggu depan budak-budak dah periksa. Bolehla Mai balik kampung sehari dua. Ambil flight je kalau tak larat nak naik bas. Jauhkan kampung dia tu. Kat Kelantan kan?”

Mai hanya menganggukkan kepala. Hatinya tertanya-tanya patutkah dia pulang ke kampung Syamsul ? Tidakkah lelaki itu akan marah kepadanya jika dia berbuat begitu.

“Tempah aje tiket kapalterbang tu... lambat-lambat nanti kang habis. Tiket ke Kelantan bukan boleh buat main-main. Kawan akak kata kalau nak buat tempahan ke sana, kena buat awal-awal. Kalau dekat sangat dengan masa nak pergi nanti, habisla pulak tiket tu. Kena naik bas. Tidak ke susah... Nanti akak boleh tolong hantarkan Mai ke lapangan terbang,”

Mai memandang ke wajah kak Gee. Hatinya teragak-agak.

“La... apa terkebil-kebil lagi ni. Ni hah... cepat... komputer pun dah online ni. Buka aje laman web syarikat penerbangan. Kalau naik Firefly, lagi senang sebab dekat dengan sekolah kita ni. Tak payahlah kena pergi jauh-jauh ke Sepang,”

Kak Gee bagaikan terhidu rasa teragak-agak di hati Mai. Terasa agak hairan dengan keadaan itu tetapi dia tidak bertanya lebih lanjut berkenaan perkara itu. Tangannya pantas sekali melayari laman web syarikat penerbangan Firefly untuk memeriksa samada tiket ke Kelantan untuk hari Jumaat akan datang masih boleh di tempah atau tidak.

“Hah... ada pun lagi. Akak tempahkan untuk Mai ye? tapi Mai kena bayar sendirilah...,” katanya sambil ketawa. Cuba untuk mengendurkan riak yang kelihatan tegang di wajah Mai.

“Nanti dulu kak..,” pantas sekali Mai bersuara.

“La.. apa yang nanti pulak ni. Mak mertua kita ni macam mak sendiri tau Mai. sakit dia, macam sakit suami kita. Sepatutnya Mai balik dulu lagi, masa Syamsul balik hari tu,”

“Dia yang tak bagi Mai balik kak..,” jawab Mai perlahan. Terdiam seketika Kak Gee mendengarkan kata-kata Mai. Makin bertambah hairan dia dengan jawapan Mai sebentar tadi.

“La.. kenapa pulak... tak patutla macam tu...,”

“Dia tak bagitau Mai pun,,, tiba-tiba aje dia balik, dah kat stesen bas baru dia cakap kat Mai,”

Berkerut kening Kak Gee mendengarkan kata-kata Mai.

“Eii... betullah akak tak faham apa yang berlaku ni sebenarnya. Mai dengan Syamsul  ni kahwin ke apa ni. Dah lah hari tu lepas kahwin tak balik kampung. Sampai dah lebih sebulan belum jumpa mak mertua lagi. Masa akak dengar perkara tu, akak dah pelik dah. Ini sekarang ni... dengar macam ni pulak. Betul.... Tak faham betul akak ni... ,” rungut Kak Gee.

Mai terus lagi diam. Tak berani meluahkan semua rahsia yang disimpan selama ini. Telah penat dia menahan rasa. Telah penat rasanya dia menyembunyikan rahsia ini tanpa ada sesiapapun untuk dia  meluahkan semuanya.

“Akak tak akan faham kak... tak ada yang akan faham..,” katanya tiba-tiba sambil terhembur tangisnya.

Saat itu tangisan tidak lagi mampu dibendung lagi. Telah terlalu penat dia menahan tangis selama ini. Cepat-cepat Kak Gee memeluknya. Matanya melilau memerhatikan sekeliling. Semua guru yang berada di dalam bilik guru ketika itu tercengang-cengang melihatkan Mai yang kini sedang menangis hiba. Tanpa segan silu lagi dia menghamburkan segala rasa yang tersimpan di hati. Kekecewaan yang tersimpan dalam diam terluah semuanya. Beberapa orang guru wanita cepat-cepat menghampiri mereka. Masing-masing cuba untuk mendengar butir bicara yang mereka kongsi bersama. Cepat-cepat Kak Gee menarik Mai yang sedang menangis untuk ke bilik solat yang terletak di penjuru bilik guru itu. Mereka memerlukan sedikit privasi. Beberapa orang guru wanita turut sama mereka.  Turut sama membantu memapah Mai yang sudah tidak mampu berjalan sendiri. Keadaannya itu membuatkan dia mendapat perhatian semua yang ada di bilik guru lewat pagi itu. Kebetulan waktu itu adalah waktu rehat bagi pelajar tahap satu. Maka, ramai jugalah guru yang berada di bilik itu untuk turut sama merehatkan diri.

Setibanya mereka di bilik solat, Kak Gee meminta guru-guru lain meninggalkan mereka. Yang tinggal hanyalah Ustazah Faridah yang selama ini juga agak rapat dengan Mai. Mereka berdua hanya diam tanpa bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku. Memberikan ruang untuk Mai menagis, meluahkan segala yang terbuku di hati.

Hampir 10 minit Mai menangis di dalam pelukan Kak Gee. Ustazah Faridah hanya diam sambil menggosok-gosok belakang Mai. Cuba untuk mengembalikan semula  semangat Mai yang hilang seketika tadi. Sesekali dia juga turut sama memeluknya sehingga tangis wanita muda itu mula reda.

“Kenapa ni Mai? Apa yang dah berlaku sebenarnya ni?” tanya Kak Gee perlahan.

“Mai tak tau nak cakap macam mana kak..,” katanya dalam esak tangis.

“Apa dia buat pada Mai ?”

“Dia... tak bagi Mai balik dengan dia... kami gaduh hari tu...,”

“Ya Allah... Mai tahu tak, kita ni isteri Mai, kalau bergaduh, kita kenalah sama-sama bertolak ansur. Kalau dia marah, mengalahlah dulu. Bila dia dak ok, barulah kita bincang. Tak boleh buat keras hati masing-masing..,”

Mai diam lagi. Memang dia sebenarnya yang memulakan semuanya. Dia menduga hati Syamsul  sehingga suaminya itu jadi cukup marah dan menawarkan untuk berpisah selepas hal emaknya selesai nanti. Pada waktu itu Mai  begitu yakin bahawa itu yang dia mahukan. Berpisah dan memulakan kembali hidupnya bersama Irfan. Namun kini dia sendiri sudah tidak yakin lagi. Dia sendiri sudah buntu dengan perasaannya ini. Aura kelelakian Syamsul  begitu kuat sekali bertaut di hatinya. Tidak pernah dia merasakan ini semua sejak dulu, saat dia mula mengenali Irfan. Memang dulu dia dan Irfan bercinta, tetapi bukan ini yang dirasakan selama dia bersama Irfan.

“Mak dia tu macam mana sekarang? Dah okay ke?”

“Entah kak... sejak balik dia belum lagi telefon ..,”

“Mai ada telefon dia?”

Mai menggelengkan kepala. “Mai cuma sms dia aje... tapi tak berjawab. ..,”

Kak Gee mengeluh perlahan. Dia tidak tahu punca perbalahan pasangan muda itu. Dan jika boleh dia tidak mahu tahu. Biarlah apa juga masalah mereka, lebih baik dia tidak tahu. Yang dia ingin lakukan saat itu ialah cuba untuk menyatukan keduanya. Biar mereka berdua sahaja yang menyelesaikan permasalahan ini.

“Akak rasa Mai mesti balik kampung Syamsul weekend ni,” akhirnya Kak Gee memberikan cadangan.

“Mai takut dia marah.. dia tak bagi Mai ikut..,”

“Apa yang kamu berdua gaduhkan sampai macam tu sekali marahnya. Hinggakan mak dia sakit dia tak bagi Mai balik dengan dia? Dia kecil hati sebab Mai tak nak balik kampung dengan dia ye?” tanya Kak Gee penuh hairan.

Mai hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak ingin berkongsi cerita. Perlakuan ini menyebabkan Kak Gee makin hairan. Di hatinya mula terdetik suatu keyakinan bahawa Mai kini sedang menyembunyikan masalah yang lebih besar. Masalah yang mungkin berpunca dari perkahwinannya. Atau mungkin juga dari perceraiannya yang lepas. Hatinya terus tertanya-tanya.

“Macam mana marah pun dia, Mai tetap isteri dia. Mai perlu berada di samping dia masa dia susah macam ni...,” kata Ustazah Faridah yang sejak tadi lagi lebih suka mendengar tanpa menyampuk bila mendengarkan kisah itu.

“Tapi...,”

“Tak ada tapi- lagi... hujung minggu ni Mai balik kampung. Jangan cakap apa-apa kat dia... bila dah sampai, baru Mai telefon dia.  Kalaupun  dia marah, Mai  diam aje. Bila dia tengok Mai sanggup balik untuk jumpa mak dia, mungkin dia tak marah lagi pada Mai. orang lelaki ni Mai, kalau tengok kita menurut cakap dan ambil berat pasal orang yang dia sayang, mesti hilang marah dia tu...,”

Mai hanya diam memandang wajah Kak Gee. Entah mengapa hatinya bagaikan pecaya itulah yang akan berlaku bila dia pulang ke kampung Syamsul  nanti. Ingin sekali dia menceritakan segalanya supaya Kak Gee dan Ustazah Faridah faham akan duduk perkara yang sebenarnya. Bukan kerana dia enggan pulang ke kampung Syamsul  yang menjadi penyebab Syamsul  marah kepadanya. Ada sebab lain yang lebih besar lagi. Sebab yang berpunca dari dia sendiri. Namun dia bagaikan tidak sanggup membuka pekong di dada. Menceritakan segala-galanya hanya akan menyebabkan segala rahsia perkahwinan ini terbongkar. Yang pastinya ini akan memalukan dirinya dan juga Irfan. Tidak... dia tidak akan melakukan itu...

Popular Posts