Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 11

Idayu membuka mata perlahan-lahan. Lampu kalimantang yang terpasang di siling mengeluarkan cahaya yang terang menyilaukan mata. Berpinar-pinar matanya cuba untuk menyesuaikan dengan cahaya terang yang masuk terus menusuk ke dalam retina. Tak tahan dengan keadaan itu Idayu menutup matanya kembali. Kepalanya dirasakan begitu sakit sekali. Kedengaran pergerakan seseorang mundar mandir berhampiran dengannya.

“Kena sampuk ke dia bang...itulah... suka sangat pergi tepi jeram tu. Dekat Maghrib baru balik...,” kedengaran suara emak seperti cemas.

“Jah kata tadi dia ke rumah si Yam, hantarkah baju yang dikirim Salmah. Bila pulak masanya dia ke tepi jeram tu. Lagipun, mereka jumpa dia pengsan kat tepi pokok mangga belakang rumah Yam. Nasib baik pengsan kat situ. Kalau dibuatnya pengsan kat tepi jeram... siapa pun tak akan jumpa dia kat tempat sunyi macam tu...,” kedengaran pula suara Pak Dollah.

Dalam kesakitannya, Idayu cuba berfikir. Apa yang mereka bicarakan? Aku pengsan ? Kenapa ? Perlahan-lahan matanya dibuka. Kecil pada mulanya, melawan cahaya terang kalimantang yang menyilaukan. Dia menghela nafasnya perlahan. Cuba untuk mengingatkan kembali apa yang berlaku. Demi sahaja melihatkan Idayu membuka mata, Mak Su Jah cepat-cepat menghampirinya. Lantas dia duduk di birai katil Idayu. Kepala gadis itu diusap perlahan.

“Ayu....,”

Idayu diam sambil memandang kepada emaknya. Masih lagi bingung.

“Ayu ke mana tadi....? Kenapa pengsan....?”

“Ayu... pengsan..?” jawab Idayu lemah.

“Hemm... pengsan kat belakang rumah Mak Yam... nasib baik orang kampung nampak..., mereka yang bawa Ayu balik ke rumah. Kenapa... Ayu nampak apa-apa ke? Atau Ayu sakit ke...?”

Pak Dollah yang sekarang berdiri di sebelah katil memandang Idayu juga dengan wajah bimbang. “Jah... perlahan-pelahan... dia tengah lemah tu...,”

Mak Su Jah menghulurkan segelas air ke mulut Idayu.

“Nah minum ni sikit. Air zam-zam... biar segar sikit badan tu...,”

Idayu meneguk air yang dirasakan begitu pahit. Mengapa tekaknya terasa begini perit sekali? Mindanya masih cuba mengingati apa yang berlaku petang tadi.

“Ayu rehat dulu ye... ayah dengan mak nak pegi sembahyang Maghrib dulu. Kalau dah rasa segar sikit, bangun sembahyang. Waktu Maghrib dah tak banyak ni. Kalau rasa tak sihat, rehatlah dulu. Nanti kalau dah sihat, qadalah sembahyang ni,” Pak Dollah bersuara.

Malam ini Pak Dollah tidak sempat berjemaah di masjid. Kehilangan Idayu disedarinya ketika hampir masuk waktu Maghrib tadi. Hatinya jadi bimbang lantas mengambil keputusan untuk mencari anaknya itu. Sangkanya, Idayu ke jeram di belakang rumah. Tetapi apabila melihat Idayu dikendong pulang oleh orang kampung, perasaan bimbangnya menjadi semakin kalut.

Idayu hanya mengangguk lemah mendengarkan kata-kata Pak Dollah. Masih buntu dengan apa yang berlaku, dia memejamkan matanya rapat-rapat. Apa sebenarnya yang berlaku petang tadi. Ya, dia ingat, dia ke rumah Mak Yam untuk menghantar baju yang ditempah oleh Mak Yam dari Kak Salmah. Kebetulan baju itu dikirim oleh Kak Salmah kepadanya semasa dia mengambil bajunya sendiri yang telah siap dijahit. Satu persatu peristiwa yang berlaku petang itu terlayar di matanya.

****

“...kan dia tu anak haram.... anak luar nikah....,”
“...kan dia tu anak haram.... anak luar nikah....,”
“...kan dia tu anak haram.... anak luar nikah....,”

Kata-kata yang penuh dengan bisa itu berulang-ulang semula di layar ingatannya. Bagaikan mengejeknya, kembali merenggut tangkai hatinya, menusuk ke dalam jantung dan mengalir ke dalam urat sarafnya. Dan bagaikan bisa ular, kata-kata itu melumpuhkan segala kekuatan yang bersisa dalam dirinya. Menghancur lumatkan perasaannya.

Benarkah....? Benarkah begitu....? Mengapakah selama ini aku tidak pernah tahu? Ya, aku tahu aku cuma anak angkat pada emak dan ayah. Tapi, bila ditanya pada emak dan ayah tentang ibu dan bapa kandungku, mereka cuma mengatakan yang aku adalah anak yatim piatu. Kedua ibubapa kandungku telah meninggal dunia. Mengapa perlu mereka membohongiku? Ya Allah, dugaan apakah ini...? Mengapakah dalam kegembiraanku untuk melanjutkan pelajaran ini, aku dikejutkan dengan berita yang begitu memalukan begini?

Airmatanya yang mengalir deras dibiarkan jatuh satu persatu ke atas bantal tidurnya. Tangisan yang sebentar tadi perlahan, kini menjadi sedu sedan yang meruntun hati. Segala impian dan harapannya dirasakan musnah. Kelam semuanya. Aku anak luar nikah. Bagaimanakah nanti penerimaan dunia terhadapku bila semua tahu. Selama ini, ayah dan emak menyembunyikan segalanya. Tapi, tindakan Mak Yam membuka semua rahsia ini, bagaikan memberitahu dunia keaiban diri ini. Amanah yang diberikan ayah untuk Pak Mat telah dimusnahkan. Mengapa perlu mereka bercerita tentang perkara ini. Kerana dengki? Sakit Hati? Tapi apa yang telah aku lakukan pada mereka? Tak pernah rasanya diri ini menyakitkan hati sesiapa? Mengapa...?

“Ayu... kenapa ni...,” suara emaknya mengejutkannya dari lamunan. Mengembalikan dirinya ke alam nyata. Lantas disekanya airmata yang meniti di tubir mata.. Dia memandang Mak Su Jah dengan penuh rasa kecil hati. Kenapa mak....? Kenapa dirahsiakan semua ini? Kenapa mak tak terus terang tentang siapa Ayu sebenarnya...?, hatinya berdetik sendiri.

Kesedihan Idayu bagaikan dapat dirasakan oleh Mak Su Jah. Dia memandang Idayu dengan penuh tanda tanya. Meletakkan punggungnya di sebelah anaknya yang masih mengiring di perbaringannya. Lantas diusap-usap rambut Idayu. Apa yang menyedihkan hati anaknya ini? Baru sahaja dua minggu yang lalu dia menerima surat mengatakan dia layak untuk mengikuti kursus Diploma Kejururawatan di UiTM Shah Alam. Dia perlu melapurkan diri dalam masa seminggu lagi. Semua persiapan awal telah dibuat. Keperluannya telah dibeli. Tinggal dua atau tiga benda yang kurang pentingnya sahaja yang masih belum dibeli. Hairi banyak membantu untuk mendapatkan keperluan-keperluan Idayu semasa belajar itu nanti. Malah Hairi juga banyak menghabiskan masanya menemani mereka berdua untuk membeli keperluan-keperluaan Idayu walaupun ditolak keras oleh Idayu. Hanya setelah Hairi meminta izin Pak Dollah dan Mak Su Jah, barulah Idayu terpaksa menurut permintaan Hairi. Itupun dengan syarat, emaknya mesti turut serta dan mereka hanya pergi ke bandar Jerteh sahaja. Tak mahu dia pergi lebih jauh dari itu. Walaupun kelihatan agak kecewa, Hairi menurut sahaja permintaan Idayu. Mak Su Jah tahu, anak muda itu sanggup lakukan apa sahaja asalkan dia dapat keluar bersama Idayu.

“Ayu...,” gundah Mak Su Jah melihatkan airmata di pipi Idayu. Disekanya perlahan-lahan.

Idayu diam.

“Kenapa ni... sakit ke.., cakaplah pada mak...”

Idayu menggeleng-gelengkan kepala. Tak tahu apa yang harus dikatakan. Tak pasti apa pertanyaan yang harus diluahkan kepada wanita di hadapannya. Wanita yang selama ini menjadi tulang belakangnya. Yang membesarkannya dengan penuh kasih dan sayang. Yang telah mendidiknya menjadi seorang anak yang baik. Yang tidak pernah mengeluarkan kata-kata nista dalam memberikan tunjuk ajar. Yang sentiasa memimpinnya untuk menjadi anak yang soleh dan yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Tapi, wanita ini jugalah yang merahsiakan segala-galanya. Dan kini apabila rahsia ini terbongkar, ia telah merobek sekeping hati yang selama ini amat mempercayainya.

“Ayah...?”

“Pergi masjid... bila nampak Ayu baik sikit tadi, dia kata nak pergi masjid... sekejap lagi, dia balik,” ucap Mak Su Jah. Serentak dengan itu, azan Isyak berkumandang di udara. Membelah malam yang sedikit dingin. Sedingin hati Idayu ketika ini.

“Kenapa mak.....,”

Mak Su Jah terpinga-pinga tidak mengerti dengan pertanyaan Idayu.

“Kenapa selama ni mak sembunyikan dari Ayu...,”

“Sembunyikan apa Ayu...., cuba cakap pada mak...,” entah mengapa hati Mak Su Jah terdetak ketika itu. Apa maksud Idayu?

“Kenapa selama ni mak tak cakap yang.... Ayu ni.... anak luar nikah...?”

Demi mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Idayu, Mak Su Jah terpana. Terkejut besar lantas mambuatkan dia terdiam. Siapa yang memberitahu Idayu tentang rahsia ini? Apa yang perlu dikatakannya pada anaknya ini. Ya Allah... rahsia yang selama ini tersimpan kukuh dalam peti ingatannya dan Pak Dollah telah terbogkar. Siapa yang membongkarnya ?
Bab 10

Keputusan peperiksaan yang diterima dari tangan pengetua sekolahnya ditatap penuh debar. Dengan tangan yang terketar-ketar matanya melatari dada kertas slip peperiksaan tersebut. Dibacanya satu persatu keputusan yang diperolehinya.

“Tahniah Idayu ...,” ucap Cikgu Mustapha, pengetua sekolahnya sambil tersenyum.

Memang itulah ucapan yang diberikan untuk semua pelajar yang lulus, samada cemerlang maupun sekadar cukup makan. Idayu jadi terkedu, memandang kepada Cikgu Mustapha. Senyum lega terpamer di wajahnya. Biarpun keputusannya tidaklah begitu cemerlang, sekurang-kurangnya dia mendapat kelulusan penuh. Semua matapelajarannya lulus, tak ada satupun yang gagal. Sekurang-kurangnya Hairi tak boleh jadikan kegagalannya sebagai alasan untuk mempercepatkan tarikh pernikahan mereka. Bibirnya tersenyum lagi. Menara gading yang dulu dalam angannya kini sudah berpindah ke dalam impiannya. Tak sabar rasa hatinya untuk pulang segera menyampaikan berita ini kepada emak dan ayah.

Setelah beberapa lama berkongsi kegembiraan bersama teman-teman, dia keluar ke pintu pagar sekolah untuk menunggu Pak Dollah. Langsung dia tidak menceritakan pada teman-teman yang dia sudah bertunang. Tak mahu mengundang pertanyaan-pertanyaan yang membawa gusar di hati. Nasib baiklah sekolahnya jauh dari kampungnya, sekurang-kurangnya berita pertunangannya tidaklah tersebar di sekolah. Teman-teman juga tiada yang tinggal sekampung, memudahkan lagi dia menyembunyikan berita pertunangannya. Bukan hendak disembunyikan, tapi tak mahu dihujani pelbagai persoalan. Lagipun hanya setakat bertunang sahaja, tak perlulah dihebahkan. Lainlah kalau akan berkahwin nanti.

Cepat-cepat langkahnya dilajukan kerana sudah berjanji dengan Pak Dollah yang mereka akan bertemu di pintu pagar sekolah pada jam 12.00 tengahari. Setiba di situ, dia mencari kelibat Pak Dollah dan motosikalnya. Ayahnya masih belum tiba nampaknya.
Sedang dia termanggu-manggu sendiri, sebuah kereta Kancil perlahan-lahan berhenti di sebelahnya. Demi sahaja berpaling pada pemandu yang keluar dari perut kereta, perasaan gundahnya kembali menerpa. Abang Hairi..... ah...katanya akan datang petang nanti...., dia berbisik sendiri. Senyum di bibir Hairi menambah debar di hati.

“Mari.. abang hantar balik..,”

Hai, macamana dia tahu sekolah aku kat sini..., detik hati Idayu. Dia memandang kiri dan kanan, memastikan yang tiada mata yang sedang memandang mereka. Kalaupun ada teman-teman yang sama-sama datang mengambil keputusan peperiksaan masing-masing kelihatan sibuk membincangkan mengenai keputusan itu bersama teman-teman lain atau ibubapa mereka. Lantas, tanpa berlengah Idayu melangkah memasuki kereta, cuba lari dari pandangan mata di sekelilingnya. Hairi agak terperanjat dengan tingkah Idayu. Sangkanya Idayu akan menolak, seperti biasa. Tapi, kini mudah saja gadis itu menerima pelawaannya. Bibirnya mengukir senyum bahagia.

“Macamana keputusannya...?” dia bertanya penuh minat.

“Emm OK..,” sepatah dari Idayu.

“OK macamana tu... Ayu boleh sambung belajar ke atau.... kita boleh....kahwin...,”

Idayu menghela nafasnya dan menjeling ke arah Hairi. Hatinya tak keruan bila terpandangkan senyuman Hairi yang bergitu memukau hati gadisnya. Hairi terus senyum sambil memandu kereta menjauhi kawasan sekolah.

“Sebelum datang tadi, abang telefon mak Ayu, dia cakap Ayu masih kat sekolah.
Jadi... abang tawarkan diri untuk datang ambil Ayu. Nasib baik dia bagi. Kebetulan ada kematian kat kampung, ayah Ayu kena pergi tolong uruskan,” jelas Hairi tentang kehadirannya yang pastinya memeranjatkan Idayu. Ah.. satu kebetulan yang membahagiakan...

Idayu diam tanpa kata. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan sebenarnya. Lagu riang dihatinya menambah debar. Setiap kali bersama, walaupun hanya di talian telefon, lagu riang ini akan bergema memenuhi seluruh ruang rasa. Cintakah dia pada lelaki ini? Hubungan merka yang baru berusia kira-kira dua bulan lebih ini begitu cepat dirasakan berlalu. Apa sepatutnya reaksi yang perlu ditunjukkan jika perasaan cinta itu yang dirasakan. Apakah dia sepatutnya berbicara dengan suara yang lembut manja untuk meluahkan rasa itu? Atau adakah dengan lentuk tubuh yang mengada-ngada seperti yang banyak dilihatnya dalam cerita-cerita dalam drama di televisyen. Ah... geli geleman rasanya jika perlakuan itulah yang patut ditunjukkan. Dan adakah Hairi suka perlakuan sebegitu? Tidak....bukan itu yang akan aku lakukan. Tapi bagaimana...? hatinya tertanya sendiri.

“Macamana keputusan tu... ,” pertanyaan Hairi menyedarkan dia dari lamunan yang panjang.

“Nantilah... sampai rumah...,” jawab Idayu ringkas.

“Abang ingat nak bawak Ayu pergi kat air terjun Lata Tembakah dulu. Tempat tu dalam perjalanan balik ke rumah kan?” kata Hairi penuh harap walau dia pasti, Idayu akan menolak.

Wajah Idayu yang tiba-tiba cemas mengiakan segala apa yang disangkakanya itu. Tersenyum sendiri dengan sikap gadis ini. Cukup menjaga tatasusilanya. Bahagia meresap ke dalam hati Hairi. Dia pasti kini, Idayu memang seorang yang begitu menjaga dirinya, bertepatan dangan cita-citanya untuk jadi seorang isteri yang solehah untuk suaminya. Dan Hairi bahagia kerana dialah lelaki yang bertuah itu.

“Tak nak lah... kita balik terus. Mak mesti tengah tunggu ni. Nanti dia marah kalau kita singgah tempat lain...,” Idayu bertingkah. Sesuatu yang memang telah diduga oleh Hairi.

Perjalanan mereka yang agak panjang itu disulami dengan usikan-usikan mesra Hairi. Dan Idayu dengan gaya selamba yang biasa ditunjukkannya kepada lelaki itu lebih banyak mendengar, tersenyum dan menjawab dengan kata-kata yang cukup ringkas. Terdetik di hati Hairi adakah gadis in sebenarnya tidak suka padanya dan tidak sudi menerima cintanya hinggakan begini rupa perlakuannya. Terlalu dingin terhadapnya. Tapi seketika kemudian dia membuang tanggapan itu jauh-jauh. Idayu seorang yang terdidik dalam adab sopannya. Tentunya dia menjaga kesopanan dirinya ketika ini. Bukan kerana tidak suka. Ya... dia akan pastikan gadis ini akan jatuh cinta padanya. Secepat mungkin.

****

Setiba mereka di rumah, Idayu terus mendapatkan Mak Su Jah. Slip keputusan peperiksaannya dihulurkan kepada emaknya. Setelah ditatapnya seketika, Mak Su Jah menghulurkannya kembali kepada Idayu.

“Tak retilah mak nak tengok...,”

Hairi yang kini berada berhampiran Idayu menyambut slip keputusan peperiksaan itu. Dia menatap keputusan yang terpamer di dada kertas kecil itu. Tersenyum seketika, Idayu lulus semua matapelajaran. Terlintas di hatinya tentang perancangan yang difikirkan sejak beberapa hari lalu untuk mendekatkan mereka berdua.

“Kut ye pun marilah duduk dulu...,”

Mereka bertiga mengekori Mak Su Jah ke ruang tamu. Duduk sambil menunggu Hairi meneliti keputusan ini. Hati Idayu bagaikan tak sabar untuk mendengar pandangan bakal doktor itu dengan keputusannya. Banggakah dia dengan keputusan ku ini? Atau mencemuhkah di hatinya kerana keputusan yang tidak seberapa ini?

“Macamana Hairi ? Boleh ke Ayu masuk U dengan keputusan dia tu..?”

Mak Su Jah bertanya akhirnya setelah dilihatnya Hairi seperti tidak mahu cepat-cepat bersuara.

“Boleh makcik. Keputusannya baik.... walaupun tak cemerlang,”

Lega hati Mak Su Jah mendengarkan kata-kata Hairi. Sekurang-kurangnya angan-angan Idayu boleh menjadi kenyataan.

“Ayu minat kursus apa ye....?” pertanyaan itu Hairi tujukan kepada Idayu.

Idayu yang diam sejak tadi, mengelengkan kepalanya. Tak tahu keputusan apa yang patut diambilnya. Senyum penuh makna yang dilemparkan oleh Hairi kepadanya menambah debar di dada. Dia faham dengan senyuman itu. Hairi mengusiknya lagi. Harap-harap janganlah dia mengusikku tentang isteri solehah di depan mak. Malu.....

“Begini lah....abang cadangkan.. Ayu ambil kursus kejururawatan. Kat USM ada kursus tu,” cepat saja cadangan itu diluahkannya. Ya, kalau Idayu belajar di HUSM nanti, bolehlah mereka berdekatan. Kalau nasib baik, Pak Dollah mungkin akan cadangkan mereka bernikah sebab dah duduk berdekatan. Boleh mengelakkan fitnah. Hati Hairi berlagu riang. Bahagia di hati menantikan saat itu tiba.

“Hemm jadi misi.... bagus jugak cadangan tu ... macamana Ayu?”

Terdiam Idayu berkira-kira sendiri. Kenapa Hairi mencadangkan kursus itu? Mengapa bukan kursus lain, cikgu ke, doktor ke, akauntan ke....

“Saja saya cadangkan kursus tu sebab nanti , lepas dah banyak pengalaman jadi doktor, bila dah setabil kewangan, saya ingat nak buka klinik persendirian. Bolehlah nanti Ayu kerja bersama saya aje masa tu nanti...,” luah Hairi.

Dia mahu tujuannya jelas, dia mahu Idayu dan emaknya tahu betapa seriusnya dia dalam hubungan mereka ini. Dan dia pasti, tak mahu Idayu bekerja untuk orang lain. Hanya untuk dia.... untuk dia sahaja.
Comments: (0)
Bab 9

Keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan esok, itu maklumat yang diterimanya dari radio pagi tadi. Hati Idayu meresa sedikit lega. Bagaikan terasa akan berakhirnya satu penantian yang panjang. Satu titik noktah yang akan menjadi permulaan bagi menentukan hala tuju hidupnya di masa hadapan. Ada ketika hatinya merasa tidak yakin dengan keputusan yang bakal diterimanya nanti. Dan satu saat yang lain pula, bagaikan ternampak-nampak angan-angannya ke menara gading akan menjadi kenyataan.

Keresahannya jelas terpamer dari nada suaranya semasa Hairi menghubungi malam itu. Dalam usia pertunangan mereka yang menjangkau usia sebulan itu, Hairi bagaikan telah dapat menelah banyak perkara tentang Idayu. Tentang ketaatannya pada perintah Allah, tentang rasa hormatnya kepada kedua emak dan ayahnya, tentang cita-citanya untuk terus belajar dan menjadi orang yang berguna.

Cuma yang masih belum dapat ditelah ialah tentang hati gadis ini untuknya. Cintakah dia...? Sayangkah dia...? Rindukah dia...? Pandai sungguh gadis ini menyembunyikan apa yang tersirat di hati. Setiap hari mereka berhubung, tetapi Idayu masih lagi dengan sikapnya yang dulu. Setiap kali dihubungi, Idayu lebih banyak mendiamkan diri, sambil mendengar celotehnya. Walau apapun, Hairi yakin kini, dia telah membuat pilihan yang tepat.

“Ayu takutlah bang..,”

“Alah, apa nak takut. Insyaallah baik keputusannya nanti. Ayu kan dah usaha,”

“Tapi, Ayu tak sebijak abang..,”

“Tak apalah... kalau Ayu keputusannya kurang baik, kita pilihlah kursus yang sesuai dengan kelulusan Ayu. Atau .. kalau gagal... mmm... lagi seronok... kita boleh terus kahwin...,” bisik Hairi.

Merona merah wajah Idayu ketika itu. Dirasakan semua darahnya mengalir naik ke kepala saat itu. Nasib baiklah Hairi tidak dapat melihat perubahan wajahnya. Tapi, diamnya dia membuatkan Hairi bagaikan dapat menelah gelodak di jiwa Idayu.

“Boleh ye... kita kahwin....tak sabar rasanya nak hidup dengan Ayu... nak bangun tidur, tengok Ayu kat sebelah...nak makan masakan Ayu hari-hari....nak duduk releks-releks dengan Ayu lepas balik dari tempat kerja... dan malamnya.... nak renung tepat dalam mata Ayu... sebelum kita... mmmm....,”

“Ah... abang ni...,” Idayu yang semakin merah mukanya, mematikan kata-kata yang bakal keluar dari bibir Hairi. Tak sanggup mendengar apa yang bakal dikatakan oleh Hairi. Tanpa sedar keluhan manjanya menusuk terus ke dalam hati Hairi. Ah..tak sabar rasanya dia untuk memiliki gadis ini. Cukup tak sabar rasanya...

“Ayu...,”

Idayu diam, merajukkah dia?

“Ayu...,”

Diam lagi.

“Ayu... cakaplah ... jangan diam macam ni...,”

Lama Hairi menunggu. Dia pasti Idayu masih lagi di talian.

“Ayu... janganlah merajuk macam ni...ok, abang tak akan sebut lagi kata-kata macam tu. OK?”

“Janganlah desak Ayu..., dulu kata tak nak desak Ayu, nak bagi peluang Ayu belajar dulu. Sekarang dah lain pulak bunyinya,” Idayu bersuara semula setelah sekian lama dia diam membisu, setelah suaranya kembali normal, setelah jiwanya kembali tenang dari berkocak akibat dari rasa malu yang membuak-buak dek kata-kata romantis Hairi sebentar tadi.

“Ok...ok... abang tak akan desak lagi. Nanti... petang esok abang datang rumah Ayu , boleh kita bincang kursus apa yang Ayu boleh pohon,” begitu bersahaja Hairi mengucapkan kata-kata itu. Hati Idayu yang baru tenang, berkocak semula.

“Abang... nak datang? Esok ....?”

“Ehem... boleh kan...?”

“Emmm...”

“Bolehla..,”

Idayu diam, tak berani menyuarakan kata hatinya. Datanglah abang, Ayu rindu... Senyuman di bibir munggilnya, menyingkap rasa hatinya. Ah... nasib baik Hairi tidak dapat melihat.

“Nanti, kita jumpa kat tepi jeram ye...,” pinta Hairi.

Ah... tidak. Tidak... dia tak boleh jumpa lelaki itu di tepi jeram itu lagi. Dia tidak mahu jumpa lelaki itu di tempat sunyi itu lagi. Dia bimbang, tak dapat mengelak dari menurut perasaannya nanti. Tidak.

“Boleh ye...,”

“Tak boleh....,”

“Hah...kenapa? Nanti macamana nak jumpa Ayu...,” sedikit kecewa kedengaran pada nada suara itu.

“Emm nanti... abang ...datang ke rumah..,” teragak-agak Idayu mempelawa. Dia takut sebenarnya jika ayahnya tidak mengizinkan. Tapi, itu sahaja caranya untuk mereka berjumpa. Dia tidak lagi berani ke jeram itu dengan Hairi.

“Ayu tak percaya pada abang ye...,”

“Hemm...,” jawabnya ringkas.

Teringat dia pada foto yang diambil oleh lelaki ini semasa perjumpaan mereka tempohari. Entah bila fotonya itu diambil, dia sendiri tidak sedar. Tahu-tahu sahaja, Hairi menghantar foto wajahnya itu bersama surat yang dikirimkan kira-kira seminggu selepas pertemuan itu. Lelaki itu mengambil gambarnya tanpa meminta izin darinya. Ah.. entah apa lagi yang boleh dibuat oleh lelaki ini tanpa izinnya nanti. Tidak, mereka tidak boleh lagi bertemu berdua-duan di tempat sunyi begitu.

“Oklah... nanti sebelum kita berpisah malam ni.. abang nak cakap dengan mak Ayu ye. Nak minta izin...,”

“OK...,”

“Nak minta izin... kalau Ayu gagal ... nak kahwin dengan Ayu esok jugak...,” usik Hairi sambil tertawa.

“Hah....?”

Terkejut besar mendengarkan kata-kata itu. Janganla dia serius ni..., detik hatinya. Gelak tawa Hairi bagaikan mendendangkan lagu riang di hatinya. Dia turut tersenyum.

“OK, kalau dapat keputusan yang baik, Ayu nak buat apa...? Apa cita-cita Ayu...?” tanya Hairi apabila ketawanya reda. Segera mereka bertukar topik yang lebih serius. Melegakan hati dan perasaan Idayu. Dia lebih selesa berbicara dengan nada yang serius begini. Tidaklah hatinya jadi terus tidak keruan nanti.

“Entahlah ye... nak buat apa ye...,;

“Apa cita-cita Ayu...?”

“Dulu... Ayu tak ada cita-cita yang tinggi. Dulu... kalau orang tanya mesti Ayu kata.. nak jadi isteri yang solehah,” luah Idayu tanpa berfikir panjang. Memang sejak dulu, jika ditanya, itulah jawapannya. Dan, hari ini dia tersalah bicara. Lupa orang yang di hujung talian adalah tunangannya sendiri. Sambil menghela nafas, Idayu menutup bibirnya dengan jari jemarinya. Alamak... terlepas kata....
Mendengarkan kata-kata Idayu itu, Hairi tertawa riang. Hatinya berlagu irama yang cukup membahagiakan.

“Ye ke ni.... betul ke ni.... Ayu nak jadi isteri yang solehah... untuk abang? Betul ni ....?”

“A..a...,” Idayu jadi termangu-mangu. Silap bicaranya mengundang usikan demi usikan dari Hairi. Membawa damai dalam mimpi tidurnya malam itu. Dan kehadiran Hairi esok dinanti-nantikan dengan penuh debaran di hati.
Comments: (0)
Bab 8

Pagi Isnin berikutnya Pak Soh dan Mak Dah datang bertandang. Mereka berdua dengan gembiranya menyampaikan hasrat hati Hairi untuk merisik anak gadis Pak Dollah dan Mak Su Jah. Idayu jadi terkesima setelah diberitahu oleh emaknya, selepas kedua-dua jirannya itu berlalu pergi. Bila ditanya ibubapa Hairi meminta supaya jawapan diberikan secepat mungkin kerana, rombongan peminangan akan datang menyusul pula selepas ini.

Sungguh-sungguh Idayu tidak menyangka Hairi begitu serius dengan kata-katanya tempohari. Dalam hatinya masih tertanya-tanya tentang ketulusan hati lelaki itu, Hairi telah membuktikannya dengan tindakan yang begitu drastik. Dan tanpa mampu untuk berfikir panjang dan tanpa mampu untuk mengelak dari persoalan-persoalan yang ditanya oleh emaknya, Idayu mengambil keputusan untuk hanya menyerahkan semunya kepada emak dan ayahnya.

Malam itu Idayu mendapat panggilan telefon dari Hairi ketika ayahnya ke masjid. Dia pasti tentunya Hairi memilih waktu itu kerana bimbang dimarahi oleh Pak Dollah kerana begitu berani menelefon anak gadisnya. Dalam serba salah, Idayu menyambut gagang telefon yang dihulurkan oleh emaknya.

“Cakap sekejap aje tau... nanti ayah balik ... marah pulak dia tengok Ayu melayan orang lelaki..,” pesan Mak Su Jah kepada anak gadisnya itu. Idayu hanya mengangguk lesu.

“Assalamualaikum...,”

Kedengaran suara Hairi begitu gemersik sekali dalam telefon. Lambat-lambat Idayu menjawab salam itu. Sunyi seketika, bungkam untuk bersuara.

“Ayu dah fikirkan jawapannya..?” tanya Hairi tanpa berlengah lagi. Tak disangka-sangkanya Hairi begini tergesa-gesa meminta jawapannya.

“Ayu..ayu nak belajar lagi...,”

“Tak apalah.. kita bertunang dulu... Ayu belajarlah.. nanti dah sedia.. kita kahwin..,”

“Ayu.. Ayu ....,”

“I love you so much Ayu...I can’t bare to loose you...,”

Hatinya berlagu riang mendengar ayat-ayat itu walaupun hanya separuh sahaja kata-kata Hairi itu yang difahaminya. Ah, setulus ini lelaki ini menghulurkan kata cinta. Mengapa mesti ada lagi keraguan di hati sedangkan dia setulus ini meluahkan rasa hati.

“Ayu...abang tak sanggup kehilangan Ayu..,” luah Hairi lagi apabila tiada sebarang reaksi lahir dari bibir Idayu. Ya, dirasakannya lebih senang begini. Berbicara tanpa melihat wajah masing-masing. Dapat meluahkan rasa hati tanpa segan silu.

“Tapi... tak ke semuanya ni... berlaku cepat sangat... Ayu rasa... macam terburu-buru,”

“Apa yang terburu-burunya. Kita tunang dulu. Lepas ni... kita belajarlah bercinta... boleh...?” suara Hairi jadi semakin romantis.

“Tapi...tak ke terlalu awal.... kita belum kenal...,”

“Lepas ni kita kenallah...,”Hairi terus memujuk.

“Kenapa terburu-buru sangat..,”

“Abang .. takut orang lain sambar Ayu. Kita jauh. Apa-apa pun boleh jadi pada Ayu.
Kalau kita bertunang, sekurang-kurangnya orang tau yang Ayu ni dah dijanjikan untuk abang. Tak adalah yang akan ganggu Ayu nanti,”

“Emm ...,” Idayu tak mampu untuk mematahkan kata-kata Hairi.

Tak sangka sungguh sejauh itu tanggapan Hairi dengan hubungan mereka. Sejauh itu dia mengharapkan hubungan ini dan tak mahu kehilangan Idayu. Tidakkah terlalu awal untuk dia berperasaan begitu? Bukankah mereka baru saja berkenalan? Tekad hati yang diluahkan oleh Hairi membuatkan Idayu rasa terharu.

“Ayu, abang tak akan halang Ayu kalau Ayu nak belajar. Nanti.. kita sama-sama belajar. Abang pun tak habis belajar lagi. Bila kita dah betul-betul sedia nanti, kita kahwinlah. Sementara tu kita dapat kenal antara satu sama lain. Abang sebenarnya dah buntu. Bila jauh macam ni, abang tak tahan rindu pada Ayu. Kalau abang tak dapat cakap dengan Ayu... tak dengar suara Ayu.. abang tak dapat tumpu nak belajar. Abang...cukup rindu pada Ayu... Kalau kita tak ada apa-apa hubungan, mak dan ayah Ayu mesti marah kalau abang asyik telefon Ayu aje. Mesti dia orang fikir yang bukan-bukan. Kalau kita bertunang, sekurang-kurangnya tak adalah sebab untuk mereka marah jika abang selalu telefonAyu. ”

“Emmm... hanya sebab tu ke a..abang nak kita bertunang?”

Hairi tertawa bahagia ketika itu, pertama kali dia mendengar Idayu memanggilnya dengan panggilan abang. Manja sekali kedengaran di telinganya.

“Ah... akhirnya. Ayu panggil dengan panggilan yang abang nak dengar..,”

Idayu jadi serba salah. Malu.

“Tak. Bukan itu sebabnya. Abang nak bertunang sebab abang sayang pada Ayu. Abang nak Ayu jadi milik abang. Hak abang sorang saja...,”

Idayu menahan nafas mendegar kata-kata iklas dari bibir Hairi. Ah, begitu yakin kata-kata itu dilafazkan.

“Janganlah... ikutkan hati sangat... nanti... diri kita yang susah. A...a...abang ...,”

“Abang tak kira, selagi Ayu tak terima, hari-hari abang akan telefon Ayu kat rumah. Kalau ayah Ayu marah, abang tak kisah. Lantaklah. Hari tu nak bagi telefon, tak nak. Kalau tak tentu Ayu boleh cakap dari dalam bilik. Taklah ayah Ayu tau nanti...,”

“Tak baik macam tu. Kalau Ayu ambil telefon abang ayah mesti akan tahu jugak akhirnya. Nanti, lagi dia marah. Dah lah ye..kita berhenti kat sini dulu. Nanti kalau ayah balik tengok kita macam ni... Ayu... kena marah dengan ayah...,”

“Biarlah... biar ayah marah... selagi Ayu tak terima pinangan abang... abang akan
terus telefon Ayu. Tiap-tiap malam,” luah Hairi dengan bersungguh-sungguh.

“Kalau ayah marah abang..?”

“Tak pe... abang akan telefon jugak... biar sampai ayah Ayu tau... betapa abang cintakan Ayu..”

“Huh... abang ni... menyusahkan Ayu lah.... kita berenti dululah... nanti ayah balik dari masjid... marah pulak.., Ayu.. letak dulu ye... assalamualaikum,”

Tanpa banyak bicara, Idayu terus meletakkan telefon. Matanya beralih seketika pada emaknya yang sejak dari tadi asyik memerhatikan gelagatnya itu. Takut-takut dia meninggalkan meja telefon.

“Ayu... bila cakap dengan lelaki dalam telefon, jangan lembutkan suara macam tu. Berdosa... suara kita ni aurat tau. Kita tak boleh bercakap dengan nada lembut macam tu. Orang lelaki ni, dengar suara manja orang perempuan pun, dah boleh fikir macam-macam,” nasihat emaknya itu menyebabkan langkah Idayu terhenti seketika.

“Baik mak..,” jawabnya ringkas sambil mengangguk perlahan. Terasa malu sendiri. Sempat lagi rupanya emak mendengar perbualan antara mereka, detik hatinya. Ah,
malu... malu...

“Hairi cakap apa tu..?”

Idayu jadi teragak-agak. Mahu diceritakan kepada emaknya tetapi terasa malu. Kalau tak diceritakan nanti, lain pula tanggapan emak nanti.

“Emm.. dia... dia... minta Ayu bagi keputusan cepat-cepat. Dia... nak... Ayu terima dia.”

“Habis Ayu jawab apa?”

“Ayu beritau dia yang Ayu nak belajar dulu. Tapi... dia tetap nak bertunang jugak..,”
Mak Su Jah tersenyum sambil mengeluh perlahan.

“Itulah yang emak dia cakap pada mak masa dia telefon hari tu. Hairi nak bertunang sebab tak nak Ayu disambar orang lain. Dia kata nak chup Ayu cepat-cepat. Ayu rasa macamana..?”

Soalan emaknya membuatkan Idayu terdiam. Lama dia berfikir sendiri.

“Entahlah mak..,”

“Ayu suka pada dia?”

Pertanyaan Mak Su Jah itu membuatkan Idayu jadi bertambah malu. Tak sanggup membicarakan apa yang tersimpul dalam hatinya dengan emaknya ini. Mak Su Jah juga terdiam melihatkan keadaan Idayu yang serba salah itu.

“Ayu rasa, Ayu boleh bahagia dengan dia?”

“Ayu.. tak tau mak,”

“Sebenarnya macamana dia boleh kenal Ayu ye?”

“A....a...,” alamak, macamana nak jawab ni ? Tak sanggup rasanya membuka rahsia tentang surat-surat cinta yang dihantar kepadanya. Pertemuan di tepi jeram belakang rumah juga biarlah jadi rahsia. Kalau dibuka rahsia itu, pasti mengamuk ayahnya nanti. Tidak sanggup dia menanggung risiko itu. Akhirnya soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.

Dan seperti yang diucapkan, setiap malam Hairi akan menelefon Idayu untuk mendengar suaranya. Saban hari, selama sebulan telefon dari Hairi mengganggu hidupnya. Ada ketika terasa rimas. Namun ada ketikanya terselit rasa bahagia. Dan sesekali jika Hairi lambat menelefon, terasa resah jiwanya. Rindukah dia pada lelaki itu?
Melihatkan sikap Hairi yang sudah angau itu, mama dan abahnya juga sentiasa menghubungi Pak Dollah dan Mak Su Jah. Akhirnya tanpa banyak bicara lagi Pak Dollah memberikan kata putus. Mereka ditunangkan setelah genap sebulan dari tarikh Pak Soh dan Mak Dah datang merisik. Majlis pertunangan yang diadakan ringkas sekali, hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Abang dan kakak Hairi bersama keluarga masing-masing turut hadir sama ketika itu. Di saat cincin pertunangan disarungkan ke jari manis Idayu oleh mamanya, Hairilah orang yang paling bahagia. Dan mengharapkan kebahagiaan itu akan kekal sehingga ke akhirnya. Penuh harapan Hairi menanti. Dan penuh debaran, hati Idayu disapa rasa bahagia.
Comments: (0)
Bab 7

Pertama kali dalam hidupnya dia melangkah kaki untuk memulakan satu pertemuan dengan insan bernama lelaki. Kini dia pasrah, jeram kecil ini bukan lagi milik pribadinya. Ada insan lain yang telah turut sama menemui keindahan itu. Dan di saat ini dia akan bersama-sama berkongsi kedamaian dan keindahan ini. Turut bersama berkongsi rasa hati yang memendam seribu perasaan. Tapi, sanggupkah dia? Serba-salah dibuatnya.
Dengan langkah yang lemah, dia menghampiri tempat yang selalunya menjadi rahsia. Hatinya bagaikan sedang berperang dengan seribu perasaan. Malu, takut, bercambur baur dengan rasa ingin tahu. Hatinya terus meneka, tetapi mindanya takut untuk mengiakan. Ingin sekali dia berpatah balik, tak mahu menghadapi kenyataan ini. Tetapi, rasa ingin tahunya begitu membuak-buak.

Adakah yang diteka itu betul atau salah? Adakah penulis surat itu adalah dia yang ditemuinya dulu di tepi jeram kecil ini? Hairi ....nama itu meniti di bibirnya. Tersenyum sendiri. Lantas debar di dada jadi kian kencang. Patutkah aku pergi....? Idayu bertingkah sendiri. Dalam ragu-ragu langkahnya diteruskan jua. Biarlah, ketepikanlah rasa malu ini buat seketika. Mungkin dengan ini akan terjawab segala persoalan di hati.

Setibanya di tepi jeram, hatinya jadi tak keruan. Tiada sesiapa pun di situ. Untuk mengatakan dia terlalu awal, azan Asar sudah agak lama berkumandang. Terlalu asyik bertingkah, samada datang atau tidak, dia membiarkan waktu itu berlalu. Dan selepas berfikir entah untuk kali yang ke berapa, barulah dia mengambil keputusan untuk datang. Apakah aku sudah terlewat? Adakah dia sudah berlalu pergi, kerana bosan menunggu ketibaanku yang begini lewat...?, hatinya tertanya sendiri. Agak kecewa dirasakan kerana terlalu lama membiarkan hatinya di palu oleh pelbagai persoalan. Hinggakan... kini dia telah pergi. Lantas dengan rasa kecewa Idayu berpaling untuk pergi.

“Ayu...,”

Suara itu mematikan langkahnya. Membuat dia membatu di tempat dia berdiri sejak tiba tadi. Tak berani berpaling, dia mendiamkan diri sambil menghitung debaran di hati yang jadi kian kencang.

“Dah lama abang tunggu...., ingatkan Ayu tak sudi datang...,”

Halimunankah lelaki ini, hati Idayu tertanya sendiri. Sebentar tadi, tiada sesiapa pun di sini. Bila aku berpaling untuk pergi, tiba-tiba suaranya bergema.

“Ayu...,”

Idayu jadi tak tentu arah dibuatnya. Ingin berpaling, terasa malu. Ingin menyahut, terasa takut. Betulkah keputusannya ini? Betulkah apa yang dibuatnya ini? Bersendirian bersama lelaki di sini, pastinya boleh mengundang kemarahan ayahnya. Bersendirian di sini bersama lelaki ini, boleh mengundang fitnah. Bersendirian di sini bersama lelaki ini, akan membuka rahsia hati yang masih terpendam.

“Duduklah sekejap. Abang nak cakap dengan Ayu...” pujuk Hairi lembut.

Dengan rasa serba salah Idayu duduk di satu sudut yang agak jauh jaraknya dari kelibat lelaki itu. Dia masih belum berani untuk berpaling memandang pada Hairi. Namun hatinya pasti, lelaki itu Hairi. Suaranya yang sering bergema di kotak ingatannya sejak dari pertemuan kali pertama dulu masih belum dilupakan lagi. Begitu gemersik meruntun kalbu gadisnya.

Agak lama mereka diam membisu. Tak mampu untuk bersuara. Tak tahu apa yang perlu dikatakan. Hairi yang juga bungkam memandang wajah Idayu dengan penuh kerinduan. Dan bermula esok, kerinduan itu akan bertambah parah lagi. Sekurang-kurangnya di sini, dia dapat juga mencuri pandang pada gadis ini. Melihat dari kejauhan bila rindu datang melanda. Esok, bila dia mula bertapak pulang semula ke Kampus Kesihatan USM, wajah Idayu akan ditinggalkan pergi. Bagaimana dapat dia mengubat hati yang parah merindu nanti. Ah.. tak dapat dibayangkan olehnya di saat ini.

“Ayu, perlu ke abang .... ulang apa yang ...abang tulis dalam surat pagi tadi?”

Idayu diam. Lama kemudian dia menggelengkan kepalanya perlahan.

“Ayu .. faham apa yang abang maksudkan, tentang..... perasaan abang?”

Dengan teragak-agak Idayu menganggukkan kepalanya. Hairi tersenyum melihatkan
gelagat Idayu. Lega di hati kerana isi hatinya dapat disampaikan dan gadis ini memahaminya.

“Hai, main angguk dan geleng aje? Macamana nak diubat rindu di hati abang ni kalau tak dengar suara Ayu ?” Hairi memberanikan diri menyentuh soal hati.

Wajah Idayu kelihatan merona merah. Ah, cukup pemalu gadis ini. Dengan kata-kata sebegitu pun, sudah merona merah wajahnya, bisik Hairi dalam hati.

“Ayu terima...?” lambat-lambat soalan itu diajukan.

Idayu terus diam. Tak mengerti dengan kehendak hatinya sendiri. Terima atau tidak? Hendak di terima, hatinya masih lagi ragu-ragu. Hendak ditolak, terasa begitu sayang sekali dengan hubungan yang baru sahaja mahu berputik ini. Tapi, untuk apa dia ke mari? Apakah hanya untuk menjawab persoalan yang menghantuinya sejak pertama kali menerima bait-bait irama tanpa suara dari Hairi seminggu yang lalu? Idayu mengeluh lembut. Sungguh dia sendiri tidak mengerti apa yang tersirat di hatinya sendiri.

“Esok abang akan balik semula ke USM...,” ujarnya lembut. Meneliti reaksi di wajah Idayu.

Terkesima Idayu mendengarkan kata-kata itu. Ah...di saat hati mula berbicara, perpisahan pula yang bakal tiba. Baru sahaja hati mula mengayam rindu, jarak pula yang bakal memisahkan mereka. Sayu hatinya mendengarkan kata-kata Hairi sebentar tadi. Dalam diam, hatinya meronta penuh sendu.

“Abang pasti akan rindu pada Ayu,”

Ah... begitu telus, tanpa segan silu dia meluahkan perasaannya.

“Abang ingat, abang nak bagi handphone ni pada Ayu. Nanti, kalau rindu abang boleh call Ayu,”

Kata Hairi sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada Idayu. Idayu hanya memandang dengan ekor matanya ke arah lelaki itu. Tak pasti apa yang patut dikatakan.

“Nanti, abang transfer nombor-nombor lain ke handphone abang yang satu lagi dan tinggalkan nombor abang aje. Kalau ada apa-apa, Ayu boleh call abang,”

“Mmm... tak nak lah...nanti ayah marah. Ayu pun tak suka terima apa-apa barang dari orang,” laju suara Idayu memecah kebeningan antara mereka.

Jawapan Idayu mengecewakan Hairi. Suara yang dirinduinya saat ini, berbicara untuk pertama kali dalam pertemuan ini hanya untuk menolak kemahuannya. Tidak disangka sama sekali Idayu akan menolak pemberiannya itu. Rasanya kalau gadis lain, sudah pasti akan menerima pemberian ini dengan tangan terbuka.

“Habis... macamana nanti abang nak call Ayu. Nak cakap dengan Ayu, bila abang ingatkan Ayu. Bila abang rindu pada Ayu ...,” ucap Hairi dengan nada kecewa.

“Ambillah Ayu. Please....,” rayunya lagi.

Idayu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dengan laju. Dia tidak akan...tidak akan... menerima pemberian itu. Kalaulah betul rindu seperti yang dikatakannya, telefon rumahkan ada. Bukannya dia tak nak, tapi pasti dia akan dimarahi emak atau ayahnya jika menerima pemberian ini. Kalaupun nak dirahsiakan, sampai bila? Pasti satu hari nanti emak atau ayah akan tahu. Dan ketika itu, Hairi tiada untuk membelanya. Kalau dikatakan Hairi yang beria-ia dan memaksanya menerima pemberian ini, apa buktinya? Nanti tak pasal-pasal pulak emak dan ayah menuduhnya terlalu mudah menerima pemberian orang. Terlalu senang disogok dengan pemberian-pemberian yang bertujuan untuk memikat hatinya. Tidak...tak mungkin dia akan menerima pemberian ini, bisik hatinya sendiri.

Hairi jadi tak tentu arah bila melihatkan Idayu terus enggan menerima pemberiannnya. Bagaimana mungkin dia dapat menghubungi gadis ini apabila mereka terpisah nanti. Hendak menghantar email, dia tak pasti samada gadis ini punya alamat email atau tidak. hendak berhubung dengan YM, pastinya dia tidak punya kemudahan internet di rumah. Berada jauh di ceruk kampung begini, manalah ada kemudahan-kemudahan sebegitu.

“Ayu ada alamat email? Yahoo massenger ke?” Hairi mengharap.

“Ada, tapi.... tak ada komputer kat rumah...,”

“Ayu selalunya surf internet kat mana?”

“Dulu... masa kat sekolah..,”

“Nanti abang email pada Ayu ye. Pergilah sekolah, boleh kita terus berhubung. ”

“Sekolah Ayu jauh. Dulu duduk kat asrama,”

“Tak ada CC ke kat kampung ni?”

“Tak...,”

Hairi kecewa lagi.

“Ayu ambik lap top abang...?”

Timbul rasa hairan di hati Idayu. Sampai begini sekali lelaki ini menawarkan barang kepunyaannya. Sanggup dia menyerahkan komputernya hanya untuk memastikan dia boleh menghubungiku? Seorang yang hanya dua minggu dikenalinya? Rasa seperti tak masuk dek akal.

“Tak nak... , handphone pun mak boleh marah, inikan pulak lap top” jawab Idayu ragu-ragu.

Hairi kecewa lagi. Buntu untuk terus berfikir bagaimana untuk dia menghubungi gadis ini bagi melepaskan rindunya nanti. Semua yang ditawarkan, ditolak bulat-bulat. Bagaiamana mungkin dia dapat meneruskan hubungan ini? Dia tidak mahu melepaskan hubungan yang baru saja nak bermula ini. Tidak...

Cara yang ada, hanyalah melalui talian telefon tetap di rumahnya. Itu sahajalah satu-satunya cara untuk membolehkan dia mendengar suara lembut gadis ini untuk menghilangkan rindunya nanti. Tapi, jika berhubung dengan talian telefon tetap, pastinya kurang privacy. Pastinya Idayu menjawab panggilannya nanti di bawah pemerhatian emak atau ayahnya. Pastinya tak boleh berbicara lama-lama dengan gadis idamannya ini. Tapi kalau sudah tak ada pilihan lain, apa dia boleh buat, detik hatinya sendiri. Ya, dia mengingatkan dirinya untuk meminta nombor itu dari Pak Dollah nanti, ataupun Abang Sahak. Dia pasti jika dia meminta dari Idayu, gadis ini pastinya tidak akan memberikan nombor itu.

“Nombor telefon rumah Ayu ada tak... Boleh bagi abang tak?” dia mencuba nasib.

Idayu hanya menggelengkan kepalanya. Hairi tak pasti apa maksudnya. Adakah samada di rumahnya tiada talian telefon, ataupun dia sengaja tidak mahu memberikan nombor itu. Tak mungkin tak ada talian telefon. Rumah ketua kampung perlu ada talian telefon, untuk mudah dihubungi oleh mereka yang perlu berurusan dengan Pak Dollah. Hairi yakin, gelengan kepala Idayu tadi menunjukkan dia tidak mahu memberikan nombor telefon rumahnya. Mengapa....? detik hati Hairi. Ah... mengapa begini susah untuk mendekati gadis ini. Yang diinginkan, begitu sukar untuk didekati. Yang tak diinginkan, beratus yang datang menyerah diri. Hai... dah nasib badan. Tiba-tiba timbul satu idea di mindanya. Ah, apa salahnya jika dia mencuba. Lagipun, dia pasti itu yang diinginkan dalam hubungan ini.

“Ayu...boleh tak ...emmm...abang pinang Ayu...?,”

Terkejut Idayu mendengarkan kata-kata Hairi yang berterus terang. Lantas dia terus berpaling kepada Hairi. Memandang wajah tampan itu dengan hati yang cukup berdebar. Tak pernah termimpi pun dia akan kemungkinan ini. Bertunang? Dengan lelaki ini? Lelaki yang hanya baru dikenali namanya, yang tidak pernah diketahui asal-usulnya, yang terlalu asing baginya dan yang ..... mencintai dirinya. Ah....apa yang perlu dikatakan pada lelaki ini ?

Mereka berpandangan seketika. Hati masing beperang dengan pelbagai perasaan. Bila sedar dirinya direnung penuh kasih, Idayu melarikan wajahnya. Apakah perasaan yang dilihat dalam mata lelaki ini satu kenyataan? Adakah renungan yang tersirat seribu makna itu boleh dipercayai? Ataupun hanya satu angan-angan yang sukar untuk digapai. Idayu resah lagi.

“Janganlah main-main.... ,” bisik Idayu hampir tidak dapat didengari oleh Hairi.

“Abang tak main-main.... abang serius ni...,” ucapnya sambil matanya mengelus lembut wajah Idayu.

Seakan ingin diusapnya wajah gadis di hadapannya ini. Seakan ingin dipeluknya tubuh tinggi lampai gadis ini. Kalaulah tiada iman di hati sudah pastinya di saat ini dia sudah mendekati gadis ini. Sudah pasti tubuh itu kini berada di dalam dakapannya. Ah...syaitan, pergi kau dari sini, pergi.... Aku tidak mahu digoda di saat ini. Aku ingin terus berada di sisi gadis ini. Jika bisikan kau aku ikutkan, pastinya aku akan kehilangan gadis ini. Ya, pasti.... , kerana gadis ini bukanlah calang-calang gadis yang boleh dibuat sesuka hati. Untuk memilikinya, pastinya halangan yang paling besar perlu ditempuhi adalah ayahnya.

Ya, dia perlu mendekati gadis ini melalui ayah dan emaknya. Menunjukkan kesungguhan hati, melalui kedua orang tuanya. Hairi nekad, petang ini juga dia akan menghubungi mama dan abahnya di Pulau Pinang. Akan dibincangkan hal ini dengan mereka. Mungkin Pak Soh dan Mak Dah sudi membantu. Hairi tersenyum sendiri. Idayu...., nantikan ya....., akan abang buktikan...., hati Hairi berbisik bahagia.
Comments: (0)
Bab 6

“Kak Ayu…,”

Tersentak Idayu disergah oleh Aiman, anak sulong Abang Sahak ketika dia sedang asyik menjirus pokok bunga di halaman rumah petang itu. Dia menggosok dadanya sambil menjeling pura-pura marah pada Aiman. Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu tersengeh-sengeh memandangnya.

“Aiman ni... terkejut akak...,”

“Alah... akak ni buat macam tu pun terkejut,”

“Ye lah... dah Aiman sergah akak tu kenapa. Tak baik tau, kejutkan orang macam tu,”

Aiman tak menjawab soalannya, tetapi bergerak pantas mendekatinya. Matanya melilau, mencari-cari seseorang.

“Ada apa ni...,”

“Ni.. ada surat cinta...,” kata Aiman, masih lagi tersengeh-sengeh. Dia menghulurkan satu sampul surat kecil kepada Idayu.

Terkejut Idayu memandang sampul surat yang dihulurkan itu. Hai... siapa pula yang pandai tulis-tulis surat untuk aku ni, detik hatinya. Dia mencapai surat tersebut lantas menatap nama yang tertera di luar sampul. Tertera ringkas dengan tulisan yang agak kucar-kacir,

“Aida Idayu binti Abdullah”

Hei, teruknya tulisan pengutus surat ini. Siapa gerangan pemiliknya, Idayu tertanya sendiri.

“Siapa bagi ni..,”

“Abang tu tak bagi beritahu... Dia suruh Kak Ayu baca...,”

La..., dah diberi surat, mestilah untuk dibaca. Takkan lah untuk dibuat bungkusan nasi lemak pulak...Lepas baca, mungkin la...., Idayu tersenyum sendiri.

“Dia kata...., satu surat sampai dengan selamat pada Kak Ayu, dia akan bagi Aiman 50 sen. Aiman suruh dia tulis banyak-banyak. Nanti Aiman dapat banyak duit,” kata anak itu, masih lagi tersenyum-senyum.

“Aiman ni...,”

“OK kak... bye..,” kata Aiman sambil berlari pergi. Tak sempat Idayu bertanyakan lebih lanjut lagi tentang siapa gerangan sipenulis surat ini. Dia memandang ke kanan dan kiri, bimbang kalau-kalau dilihat emaknya. Idayu terus menyimpan surat tersebut dalam poket seluar tracknya. Nantilah...lepas ni baca, dia berkira-kira sendiri.
Cepat-cepat Idayu menyiapkan kerja menyiram pokok bunga di halaman. Setelah selesai, Idayu berlari-lari ke jeram kecil belakang rumahnya. Ingin membaca surat yang baru diterima di tempat yang penuh privacy ini. Dengan hati yang berdebar dan jejari yang terketar-ketar menahan rasa, dia membuka sampul surat tersebut. Terlalu asyik dia menatap surat yang dititipkan untuknya. Tanpa sedar, dia sebenarnya diperhatikan sepasang mata yang sekian lama merindukan wajah lembutnya.

Tiada apa yang ditulis. Yang ada cuma bait-bait senikata lagu “Milik Siapakah Gadis Ini” nyanyian Allahyarham Sudirman tertera di dada lembaran. Dibacanya satu persatu patah-patah perkataan itu. Dilagukan perlahan-lahan setiap bait kata-kata itu. Debar di dadanya masih belum terjawab. Alamak jiwangnya...siapa yang hantar ni..., getus hatinya.

Matanya meneroka isi kandungan surat itu yang hanya terdiri dari senikata lagu yang penuh syahdu itu. Mencari-cari siapa gerangan sipemiliknya. Tiada ... Ah... siapa yang cuba berahsia ni. Malu nak tunjukkan diri? Tersentuh naluri halus gadisnya menatap isi kandungan surat yang begitu ringkas.
Dari tempat persembunyiannya, Hairi hanya memandang wajah Idayu dengan penuh rasa bahagia. Ya... dia yakin akan perasaannya pada Idayu. Kalaulah boleh diluahkan pastinya ketika ini dia sudah berada di hadapan gadis itu dan meluahkan perasannya. Namun, masih ada rasa kurang yakin di hati dengan kata-kata yang mungkin akan keluar dari bibir. Dia tidak pandai berkata-kata terutamanya tentang hati dan perasaan. Biarlah, untuk permulaan ini dititipkan surat-surat yang menyatakan rasa hati melalui bait-bait lagu cinta. Bila terbit rasa ingin tahu di hati Idayu, barulah dia akan bertindak dengan langkah yang seterusnya. Dia yakin, dengan strategi ini, lebih mudah untuk menghampiri Idayu.

****

Dan sejak itu, saban pagi dan petang Aiman akan tiba di sisinya menitipkan surat-surat tanpa nama yang hanya tertulis dengan bait-bait lagu cinta yang menyentuh jiwa. Setiap satunya bagaikan menyampaikan satu rasa yang menyentuh naluri remajanya. Dan di setiap surat itu siapa gerangan sipenulisnya terus jadi tanda tanya di hati Idayu. Bila ditanya pada Aiman, langsung tidak diendahkan oleh anak kecil itu.

“Abang upah Aiman seringgit kalau tak cakap kat akak,” jelas Aiman bila ditanya.

Amboi... banyak betul duit mat jiwang ni, detik hati Idayu.
Dan sepanjang minggu itu hati Idayu terus dengan tanda tanya. Setiap malamnya pula dia menatap surat-surat itu sambil melagukan sendiri lagu-lagu cinta yang dititipkan untuknya. Tersenyum sendirian, tertanya-tanya sendirian, siapa gerangannya lelaki itu. Apa tujuannya? Mengapa perlu bersembunyi? Mengapa tidak sahaja berterus terang meluahkan rahsia hati? Ah... Idayu terus resah. Resah menanti setiap lembaran yang tiba.

Setiap persoalan yang sering meramas tangkai hatinya terjawab jua apabila akhirnya sepucuk surat yang dinanti-nantikan tiba. Setelah seminggu dia bagaikan di awang-awangan setiap kali bait lagu-lagu cinta dialunkan tanpa suara, akhirnya tiba sepucuk surat yang lain sekali isi kandungannya. Ditatapnya dada lembaran itu penuh debar.


Aida Idayu,
Pertama kali tangan ini menulis sesuatu yang telus datangnya dari hati kecil ini. Tentunya Ayu tertanya kini siapa gerangannya yang begini berselindung, tak berani menampilkan diri. Dan tentunya Ayu tertanya-tanya apakah tujuan surat-surat sebelum ini dititipkan. Perlukah abang terus berbicara sedangkan semuanya telah diluahkan melalui bait-bait kata tanpa suara yang abang persembahkan sejak seminggu yang lalu? Sesungguhnya setiap bait kata yang abang persembahkan untuk Ayu sebelum ini, adalah bicara hati abang yang tidak mampu diluahkan melalui kata-kata.

Idayu,
Abang jatuh cinta pada Ayu pada kali pertama terpandangkan wajah Ayu yang mendamaikan itu. Selama ini abang tidak pernah parcaya pada cinta pandang pertama. Namun, di saat ini abang yakin bahawa itulah yang dirasakan di hati ini. Abang tak pasti apakah yang patut dikatakan lagi selain dari kata-kata cinta ini. Abang ingin terus telus dalam membicarakan soal hati. Ingin semua persoalan di hati abang maupun di hati Ayu terjawab.

Ayu,
Percayalah dalam hati ini tiada niat untuk membuat Ayu terus tertanya-tanya. Untuk menjawab persoalan ini abang ingin sekali jika kita dapat bertemu. Tak perlu lama, cukup untuk tidak lagi menyebabkan tandatanya terus bersarang di hati Ayu. Dan yang pastinya abang tidak akan berhenti di sini kerana ini baru satu permulaan. Dan untuk permulaan ini ingin sekali abang bertemu dengan Ayu. Jika Ayu ingin menjawab teka-teki di hati Ayu, jika ingin mengetahui siapakah yang setulus ini mencintai Ayu, harap sudilah kiranya Ayu datang ke tempat pertemuan pertama kita dulu. Di tepi jeram belakang rumah Ayu.

Sayang dari,
Abang.....

p/s : Abang tunggu Ayu lepas Asar petang ini.

Terketar-ketar jemari Idayu membaca coretan yang begitu telus sekali. Matanya terus menatap, mengulangi ayat yang terakhir dalam surat tersebut. Siapa...? Siapa gerangan empunya diri? Dan hatinya bagaikan meneka. Tapi mindanya bagaikan menidakkannya. Mungkinkah dia ...? Tak mungkin dia....
Comments: (0)
Bab 5

Wajah mulus yang manis menawan itu ditatapnya penuh rasa rindu. Renungan menggoda sepasang mata bundar itu bagaikan sebilah keris, menikam menusuk ke kalbu. Senyuman lembut bibir munggil yang sedikit terbuka itu bagaikan merayu-rayu, menggoda hati lelakinya. Sesekali lirikan manja itu menyapanya dalam diam. Perlakuan manja gadis di depannya itu bagaikan meruntun-runtun tangkai hatinya. Terasa sejuk hatinya bak dedaunan kering yang disirami embun pagi. Ah… rindu yang ditanggungnya sejak dua hari lalu terasa terubat jua akhirnya.

“Hei Hairi … apa senyum-senyum sorang ni… berangan ke…?”

Lamunan Hairi dikejutkan oleh tepukan kuat yang menyinggah di bahunya. Tersentak, bagaikan hampir luruh jantungnya. Hairi berpaling kepada Razlan yang duduk tercongok di tepi tilam sambil memandangnya dengan wajah penuh tandatanya.

“Aku tanya ni… berangan ke?” ulang Razlan apabila Hairi tidak memberi sebarang respon. Cuma matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang pada wajah Razlan yang mula tersenyum mengusik. Mindanya bagaikan belum dapat menangkap apa yang berlaku. Ah… aku berangan rupanya, getus hatinya.

“Mana ada…,” dia cuba menyangkal kenyataan.

“Habis tu… yang tersenyum sorang-sorang tu, apa ke helnya yoep,” kata Razlan mula tergelak. Dia tak pernah melihat temannya ini dalam keadaan sebegini. Satu pembaharuan….

“Tak adalah…,” Hairi masih lagi cuba berdalih.

Razlan masih tersenyum lucu melihatkan perlakuan Hairi yang terus-terusan menidakkan apa yang telah dilihatnya sebentar tadi. Hei, nak tipu aku ye. Nanti, siap kau, getus hati Razlan.

“Aku kan.. pelik betul sekarang ni…,” Razlan cuba menukar topik.

“Pelik apa…?” kata Hairi cuba melarikan diri dari persoalan yang diperbualkan.

“Aku perasan dah dua tiga petang ni…kau asyik hilang aje. Kau ke mana…?”

“Ada… saja jalan-jalan..,”

“Ye ke… atau jumpa awek? Selalunya nak ke mana-mana kau mesti ajak aku. Tapi kan kali ini, pergi sorang-sorang…aje, Kau ke mana sebenarnya…” Razlan masih lagi belum lagi berpuas hati dengan jawapan Hairi yang seolah-olah cuba untuk menyembunyikan
sesuatu.

“Ada la…,” jawab Hairi ringkas menyebabkan Razlan naik geram.

“Engkau jangan nak sembunyi dari aku… Nanti kang aku pergi intai kang… haru…,”

Hairi tergelak. Hai, apa yang nak diintaikan. Dah dua hari dia ke sana, tempat pertemuan pertama di tepi jeram itu, tapi bayang Idayu tak muncul tiba. Terkulat-kulat dia menunggu bagaikan orang bodoh. Ah… bodoh pun bodohlah… janji satu hari nanti pasti dapat jumpa, getus hatinya .

“Hei… berangan lagi ke. Kau ni dah angau ke apa ni…Nampak macam nak tembus siling atap rumah ni kau tenung. Wajah sapa depan mata tu…,” Razlan masih tak puas hati.

Hairi yang kelihatan diam seketika tak bersuara kembali merenung jauh tanpa arah tujuan. Matanya bagaikan terbayang wajah mulus Idayu, gadis yang dalam diamnya, dalam malu-malunya, mampu mengusik hati lelakinya yang selama ini degil sekali kalau dalam bab melayan perempuan.

“Aku dah jatuh cinta lah Lan...,” luah Hairi dengan satu keluhan akhirnya.

“Masyaallah..., dengan siapa ni. Kau biar betul. Mentang-mentanglah berjauhan, baru kau sedar yang kau dah jatuh cinta. Selama ni kau buat tak kesah aje pada dia,”
Tercengang Hairi menatap wajah Razlan yang becok berkata-kata. Siapa yang dimaksudkan?

“Siapa maksud kau...?”

“Laaa... Intan lah. Siapa lagi...,”

Terlintas wajah manis Intan, teman sekuliahnya yang sama-sama belajar di USM. Intan? Mengarut betullah Razlan ni. Mata Hairi kembali menatap atap bata rumah Pak Soh. Wajah Idayu kembali datang menerpa.

“Bukan Intan...,” jawabnya selamba.

Terkejut Razlan mendengarkan kata-kata Hairi itu.

“Habis... siapa...?”

“Idayu...”

“Hah...?”

“Idayu..,”

“Idayu...? siapa ...?,”

“Anak Pak Dollah ...,”

Terdiam Razlan seketika. Cuba menangkap makna kata-kata Hairi. Bila menyedari maksud Hairi, terbeliak matanya memandang temannya itu.

“Maksud kau... anak ketua kampung ni. Idayu ..?,”

Senyum Hairi mengiakan kata-kata temannya itu.

“Hei... gila kau... Kau pernah jumpa dia ke..?”

“Tiga kali..”

“Bila...?”

“Pertama kali, masa hari pertama kita kat sini, kali kedua, sehari selepas kita makan tengahari di rumahnya. Dan kali ketiga, petangnya...,” ucap Hairi sambil matanya terus menatap bayangan wajah Idayu di atap rumah tanpa siling itu. Satu-satu kenangan dia bertemu Idayu bermain di depan matanya.

“Kau ni biar betul Ri... Tak kan lah tiga kali berjumpa dah jatuh cinta kut. Love at the first sightla ni ye...,”

“Itulah... aku pun tak sangka aku boleh jatuh cinta pada pandangan pertama. Selama ni aku tak percaya benda-benda macam tu.,.” jawab Hairi perlahan. Sekali lagi mengeluh.

“Dia dah tau ke..?”

“Siapa..?”

“Apa namanya tu... Idayu.... Wah...siap ingat lagi nama tu... Dulu, rasanya Abang Sahak yang beritahu kita nama tu kan?”

“Hem..,”

“Tak sangka ya... akhirnya jatuh cinta jugak kau ye... Selama ini aku ingat kau immune dengan perempuan. Rupanya tak... rupanya ini taste kau ye... pendiam, pemalu kan?” ulas Razlan perlahan-lahan.

“Hem..,”

“Hoi...hoi... dah lah berangan tu. Ni ha... aku nak tanya ni. Kau dah edar ke semua soal selidik kita tu? Feedbacknya dah dapat ke? Kalau dah.. cepatlah kita boleh analisa. Jangan dok berangan aje breder....kang kerja tak siap, tak pasal-pasal kita kena extend masa kita kat sini,”

“Extend pun tak apa... Dapat tengok dia lama sikit.” Ucap Hairi perlahan.

“Hai, baru aje minggu lepas aku dengar kau kata tak suka dok kat sini. Tak sabar-sabar nak balik ke Kota Bharu, emm... senangnya hati berubah bila dah terpikat kan?” usik Razlan sambil tersenyum.

Hairi hanya memandang temannya tanpa sebarang bicara. Ya, hatinya sudah terpikat pada kampung ini. Sebenarnya, pada seseorang yang istimewa dari kampung ini. Ah.. mudah sekali persepsi manusia boleh berubah. Jika ada yang disukainya, perkara yang pernah dibenci pun mampu berubah menjadi rindu. Hairi senyum lagi.

“Hoi Hairi, dah lah berangan tu... aku tanya ni, macamana dengan soal selidik kita tu?”

Lamunan Hairi tersentak lagi dan dia kini cuba kembali kepada alam nyata. Terasa berat untuk melontarkan angan-angannya ke tepi seketika. Ada perkara lain yang sama pentingnya yang perlu dilaksanakan.

“Masalah jugaklah yang itu...Lan,”

“Hei, ingatkan aku je yang bermasalah. Kau pun... sama ke..,”

Hairi mengangguk pantas

“Ini.. orang kampung ini, ramai yang tak tahu membaca. Kalau ada yang tahu pun, dia orang tak faham Bahasa Melayu yang kita gunakan dalam soal-selidik tu. Sudahnya kenalah aku bacakan dan explain pulak soalan-soalan tu pada mereka. Kena buat macam interview pulak. So, ambil masa jugalah untuk dapatkan feedback yang aku nakkan tu.,” keluh Hairi.

“Aku pun rasa macam tu lah Ri. Mencabar betullah buat kajian kat kampung ni. Dah lah macam tu, ada setengah tu, malu nak diinterview. Tak orang tahu pendapat dia agaknya.”

“Kita cuma ada tempoh seminggu aje lagi. So kita kenalah pastikan kita dapat cukup data-data yang kita nak tu,”

Razlan mengangguk mengiakan kata-kata Hairi .

“Apa apa pun...pastikan kerja kita beres. Jangan asyik dok berangan, sampaikan semua kerja tak jalan. Ingat kita ada masa satu minggu aja lagi kat sini,” kata Razlan sambil mengangkat jari telunjuknya menunjukkan tanda satu.

Ya... aku cuma ada masa satu minggu saja lagi, aku perlu lakukan sesuatu, gatus hati Hairi.
Comments: (0)
Bab 4

Suasana lepas hujan petang itu kembali menggamit Idayu untuk bersendiri lagi di tepi jeram, tempat kegemarannya. Mundar mandir dia sambil mengutip ranting kayu dan daun-daun yang gugur akibat hujan lebat sebentar tadi. Langit yang sedikit gelap, memungkinkan hujan akan turun lagi nanti. Entah mengapa sejak tengahari tadi hatinya meronta-ronta untuk datang ke mari.
Lamunan Idayu tiba-tiba dikejutkan oleh kocakan air jeram. Dia berpaling ke arah bunyi itu. Terkaku seketika bila mengetahui yang dia tidak sendirian di situ. Di satu sudut berhampiran batu besar yang selalu didudukinya, kelihatan seorang pemuda tercegat sambil memandang padanya. Hatinya tak semena-mena berdebar apabila melihat pemuda itu.
Doktor muda yang datang ke rumah pagi tadi? Eh... apa dia buat kat sini? Macamana dia jumpa tempat aku ni? Hati Idayu tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba hatinya merasa sedikit takut kerana sedar yang hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Pemuda itu melangkah perlahan menghampirinya dan berhenti kira-kira lima kaki darinya. Idayu berfikir-fikir untuk pergi dari situ, tapi kakinya terasa bagaikan kaku di tempat dia berdiri.
“Assalamualaikum,”
Sunyi.
“Tak baik salam tak di jawab,” lembut sekali kedengaran suara itu.
Sepi lagi.
“Salam wajib dijawab...,”
“Waalakumsalam,” akhirnya Idayu menjawab antara dengar dengan tidak. Suasana sunyi semula. Idayu lantas berpaling untuk pergi.
“ Tunggu dulu.....,”
Suara pemuda itu menyebabkan langkah Idayu terhenti. Dia tahu dia tidak sepatutnya berada berduaan dengan lelaki ini di tempat sunyi begini. Hatinya tertanya-tanya bagaimana lelaki ini menjumpai tempat kegemarannya itu. Sedikit marah kerana sekarang tempat ini bukan rahsianya lagi.
“Tak apa kalau saya duduk di sini? Saya sukakan keindahannya....” tanya Hairi menduga.
Sebal hatinya sebentar tadi apabila Idayu berpaling untuk pergi. Dia ingin berbual dengan gadis ini, memang itulah tujuannya datang ke sini selepas hujan reda tadi. Dia menunggu penuh sabar kedatangan gadis ini. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang untuk menegurnya kali ini.
“Tak apa... tempat ni memang dalam tanah ayah tapi, keindahannya bukan milik peribadi sesiapa...” lembut Idayu menutur kata tanpa memandang pada Hairi. Terasa sejuk hati Hairi, bagaikan disiram dengan salju mendengarkan tutur bicara perlahan, antara dengar dengan tidak, yang keluar dari bibir gadis ini.
“Idayu selalu ke datang ke sini?” tanya Hairi bersahaja. Sengaja mencari-cari idea untuk terus berbicara.
Tersentak Idayu mendengarkan namanya disebut lancar oleh pemuda itu. Hai, dari mana dia tahu namaku, detik hati kecilnya. Ah, mungkin dari Pak Soh dan Mak Dah kut.
“Em... doktor tahu nama saya?” teragak-agak Idayu memberanikan diri bertanya untuk menjawab persoalan di hatinya. Matanya masih lagi tidak dapat memandang wajah kacak pemuda itu. Hairi tersenyum. Ah, jerat dah mengena. Sengaja dia menyebut nama Idayu supaya timbul tanda tanya di hati gadis ini. Sekurang-kurangnya ada topik yang dapat menjadi sebab untuk dia meneruskan bicara dengan gadis ini.
“Ramai yang sebut nama Idayu, Abang Sahak, Pak Soh, Mak Dah...., sampaikan saya tertanya-tanya siapa gerangan empunya nama yang semanis ini....,” ucap Hairi sambil matanya melirik memandang wajah Idayu yang separuh berpaling ke arah lain.
Gelisah Idayu jelas nampak dipandangan mata lelakinya. Hairi bagaikan dapat merasa debaran hati gadis itu dari riak wajahnya yang kelihatan malu-malu. Idayu terdiam mendengarkan kata-kata Hairi. Debar di hati semakin kencang.
“Idayu, boleh kita berbual-bual sekejap ?” tanya Hairi dengan penuh harapan. Matanya terus merenung wajah gadis itu yang masih lagi menunduk. Idayu terus diam. Serba salah dengan permintaan pemuda itu. Hatinya bagaikan terpanggil untuk bersetuju tetapi akalnya bagai menyanggah. Bagaimana nanti kalau ayah dan emak tahu, tentu mereka marah kerana tidak manis untuk dua orang yang bukan mahram duduk berdua-duaan di tempat sunyi begini. Perlakuan sebegini boleh mendatangkan fitnah.
“ Bolehkan Idayu?” rayu Hairi lagi.
“A.... tak baik doktor, ...berdua macamni......,” kata Idayu setelah agak lama dia mendiamkan diri.
“Saya tak nak Idayu panggil saya dengan gelaran tu. Belum layak lagi. Nama saya Hairi. Panggil Hairi saja atau abang Hairi,” kata Hairi tegas.
Sunyi menyulami suasana yang agak damai ketika itu. Kedengaran kicauan burung layang-layang yang sedang terbang pulang ke sarang menandakan waktu Maghrib hampir tiba. Idayu teragak-agak, dia tahu, dia perlu pulang ketika itu kalau tidak mahu dimarahi emaknya. Hairi pula masih terdiam mencari idea untuk meneruskan bicara. Dia sedar akan keresahan Idayu dan dia pasti gadis ini sudah mahu pulang. Tapi, hatinya bagaikan tidak sanggup melepaskan gadis ini pergi. Masih belum puas dia berbicara dengan Idayu. Agak terkilan kerana Idayu datang agak lewat ke tempat ini.
“Idayu balik dulu ye doktor...,”
“Hairi..” potong Hairi megingatkan Idayu dengan permintaannya sebentar tadi. Kedengaran begitu tegas di telinga Idayu. “Tunggu dulu, saya nak tanya Idayu satu soalan,” sambungnya.
Dia perlu tahu. Dia tidak perduli apa kata Idayu. Yang pastinya dia perlu tahu dari mulut Idayu sendiri. Idayu hanya mengangkat mukanya memandang wajah Hairi. Hatinya tertanya-tanya apa soalan yang akan keluar dari mulut pemuda itu nanti.
Debaran hati dua insan yang berpandangan ini mengandungi makna yang berbeza. Tak lama mata bertentangan, Idayu tunduk semula tanpa kata. Hairi terus merenung wajah ayu di hadapannya. Mulutnya bagaikan berat untuk meneruskan kata tapi, persoalan di hatinya perlu dirungkaikan segera. Dia tahu, masih terlalu awal untuk dia mendapatkan kepastian tetapi dia tidak peduli. Perasaan yang timbul sejak pertama kali melihat gadis ini tiga hari yang lalu perlu ditenangkan supaya damai waktu tidurnya dan aman waktu jaganya.
“Idayu ...dah... ada yang punya....?” terpacul soalan itu di bibir Hairi.
Berkerut kening Idayu cuba memahamkan maksud soalan itu. Matanya terus menatap wajah Hairi dengan penuh kehairanan. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh pemuda itu. Demi terpandang wajah Hairi yang terpancar dengan harapan, Idayu jadi kaku.
Sedikit demi sedikit dia dapat menangkap makna yang tersirat dari pertanyaan Hairi tadi. Sedikitpun tidak menyangka lelaki ini akan begitu telus bertanya. Kali kedua bertentang mata, persoalan itu sudah berani ditanya. Tak perlu dengan seribu kata-kata. Hanya dengan pandangan mata yang tersirat penuh makna, dia bagaikan dapat menelah hati dan perasaan lelaki ini. Lantas dia melarikan matanya dari terus memandang wajah pemuda itu.
“Idayu....saya perlukan kepastian....,”
Idayu diam.
“Idayu...”
Ah, malunya.... apa perlu aku katakan, bisik hati Idayu.
“Idayu...”
“Kenapa....,” akhirnya Idayu bersuara, separuh berbisik. Suara yang bagaikan tidak mampu untuk keluar dari bibirnya.
“Saya.....perlu tahu.....,”
“Tapi ...kenapa...,” kedengaran suara Idayu agak gugup, setelah lama membisu. Hairi menunggu penuh debar.
“Saya......tak pasti kenapa.....tapi, saya perlu tahu.” Mata Hairi tidak lepas dari memandang Idayu. Dia sendiri agak terkejut dengan persoalan yang dibangkitkan itu. Lain yang ingin ditanya tadi, tapi lain pula yang keluar dari mulutnya. Mungkin persoalan ini sebenarnya yang meruntun-runtun di hatinya. Jadi, dalam kekalutan untuk menghalang Idayu dari pergi meninggalkannya, persoalan itu terpacul tanpa sedar.
“Idayu...” dia masih menunggu. Resah di hatinya kerana Idayu bagaikan tidak mahu bersuara.
“Ada....,” jawab Idayu akhirnya. Dia menjeling sekilas ke wajah pemuda itu. Wajah yang penuh harapan itu berubah serta-merta. Terpancar kini rasa kecewa di wajah ala artis Bollywood itu.
“Mak dan ayah...” sambung Idayu sambil bibirnya tersenyum sekilas. Malu dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya, Idayu lantas melangkah pergi dengan pantas. Dia dapat merasakan panahan mata Hairi menikam jantungnya sekilas sebelum dia melangkah pergi. Di hati, berbunga sekuntum harapan.
Comments: (0)
Bab 3

Pak Dollah dan Mak Su Jah menyambut mesra ketibaan Sahak, Hairi dan Razlan. Keluarga ini memang baik dan bersopan santun pada pandangan Hairi. Terasa amat dihormati apabila Mak Su Jah memanggil dia dan Razlan dengan panggilan doktor. Timbul juga rasa malu di hati. Dia sebenarnya masih belum layak lagi diberi gelaran itu.
Rumah pusaka milik Pak Dollah kelihatan cantik, bersih dan dihias sederhana. Diperbuat dari kayu cengal, suasana di dalamnya juga nyaman dan selesa. Keluasannya sederhana namun ia mengundang rasa nyaman kerana beratapkan bata tanahliat. Seperti rumah Abang Sahak, rumah ini juga tidak mempunyai siling. Namun ia masih dapat memberikan suasana sejuk walaupun di waktu tengahari begini. Sambil berbual, dia tidak melepaskan peluang untuk mengamati suasana nyaman dalam rumah itu. Berlainan sekali dengan rumah Abang Sahak yang panas dan merimaskan. Terdetik di hatinya mungkin Pak Dollah ini lebih berada orangnya.
Ketika asyik berbual dengan tuan rumah, sekali-sekala dia mencuri pandang ke arah dapur. Kelibat seseorang di dapur mencuri perhatian Hairi. Tiba-tiba dia merasakan debaran membadai di hatinya apabila melihat gadis yang ditemuinya di jeram kecil semalam sedang mundar-mandir di dapur menyediakan hidangan makan tengahari itu. Hatinya tak semena-mena melonjak riang. Ah... gadis itu, tidak susah rupanya untuk dia menemukannya semula. Idayu ........ Bisikkan di hati mengingatkan dia kembali nama yang disebut oleh Sahak pagi tadi. Lembut nama itu selembut empunya diri. Dia bagaikan tidak dapat memberi perhatian kepada topik perbualan bersama dengan tuan rumah tersebut. Tak sabar rasa hatinya untuk menatap wajah gadis itu dengan lebih jelas. Idayu... keluarlah, aku ingin menatap wajahmu..., bisik hati Hairi.
Seketika kemudian Mak Su Jah berlalu ke dapur. Mungkinkah untuk mengajak gadis itu keluar dan memperkenalkannya? Hairi mengharap dalam hati. Tapi, sebentar kemudian Mak Su Jah keluar semula dengan membawa sebidang tikar mengkuang. Hampa merenggut tangkai hati anak muda itu kerana hajatnya tidak kesampaian. Tak apa, mungkin selepas ini Idayu akan keluar menghantar hidangan, bisik hati Hairi lagi.
Namun begitu harapannya hampa lagi. Gadis bernama Idayu itu tidak juga keluar dari dapur. Hanya Mak Su Jah saja yang berulang alik ke dapur mengangkat bakas air basuh tangan, dulang air minuman dan talam berisi nasi dan lauk-pauk. Dan apabila dijemput makan, hati Hairi masih mengharap supaya Idayu keluar makan bersama, walaupun dia tahu perkara itu mustahil akan berlaku.
Walaupun tak dapat menatap wajah manis gadis itu, Hairi masih merasakan sedikit kegembiraan. Sekurang-kurangnya dia dapat merasa masakan bekas air tangan gadis itu. Suapannya begitu berselera lagi. Masak lemak pucuk ubi dengan ikan gelama goreng itu cukup membangkitkan selera. Disertakan dengan sambal tumis ikan bilis, telur masin dan ikan kering. Hemmm... sedap betul.
“Tambah lagi Dr Hairi, Dr Razlan... jangan malu-malu.” Sapa Mak Su Jah.
“Makcik, tak payahlah panggil saya doktor. Saya ni belum jadi doktor lagi...,” ujar Hairi merendah diri. Mak Su Jah hanya tersenyum memandang anak muda yang sopan, berwajah iras-iras artis Bollywood.
“Sedap betul masakan makcik, berselera saya dibuatnya. Bukan tak biasa makan masak lemak pucuk ubi kat bandar tu, tapi masakan makcik ni lain rasanya,” sahut Razlan.
“Alah, lauk kampung aje. Bahan-bahannya segar. Santan diperah sendiri, pucuk ubi pun yang ditanam, dipetik sendiri, itulah yang sedap tu...” ujar Abang Sahak. Dia juga kelihatan berselera sekali.
Hairi mendiamkan diri sambil menikmati juadah tengahari itu. Tapi, terdetik di dalam hatinya, tentulah sedap, dimasak sendiri ... oleh gadis pujaan hati.
“Hai Hairi, senyap aje, tambahlah lagi,” suara Pak Dollah lagi.
“Ye... ye pakcik, terima kasih, mak cik tak makan sama?” tanya Hairi. Di hati masih mengharapkan Idayu keluar. Ingin ditatapnya wajah itu dari jarak yang lebih dekat.
“Silalah makanlah dulu,” sepatah Mak Su Jah menjawab sambil senyum meniti di bibir. Berselera betul budak-budak ni makan, detik hatinya.
“Sambil makan tu, pakcik nak beritau ni. Pak Soh dengan Mak Dah yang tinggal kat rumah sebelah tu dah setuju untuk tumpangkan Hairi dengan Razlan di rumahnya. Mereka tu tinggal berdua aje, jadi selesalah sikit kamu berdua nanti. Tak adalah berebut-rebut dengan anak-anak Sahak ni nanti.” Jelas Pak Dollah sambil menunding jarinya ke rumah Pak Soh yang letaknya kira-kira 100 m dari rumahnya.
“Petang ni bolehlah pindah. Nanti lepas ni bolehlah singgah sekejap di rumah Pak Soh, kenal-kenal dulu,” kata Pak Dollah lagi.
Tak semena-mena hati Hairi berlagu riang. Rumah Pak Soh yang disebut tadi berdekatan dengan rumah Pak Dollah. Sekurang-kurangnya ada peluanglah dia untuk bertembung dengan Idayu nanti, dia berharap.
***
Idayu berlari-lari anak menuju ke arah van Pak Wan Hamat yang menjual pelbagai lauk-pauk dan sayur-sayuran. Pagi tadi Pak Dollah telah menyembelih dua ekor ayam dan Idayu disuruhnya menggulai ayam tersebut. Pak Dollah juga berpesan supaya dia menghantarkan sedikit gulai ayam itu ke rumah Mak Jah. Jadi Idayu perlulah mendapatkan rencah-rencah untuk masakannya. Lagi pun, beberapa bahan asas seperti bawang dan lada kering sudah hampir habis.
“Hai Idayu, nak masak apa hari ni?” tegur Pak Wan Hamat. Hatinya selalu girang apabila terpandangkan gadis ini. Kelembutannya sering mendamaikan hati tua Pak Wan Hamat.
“Ayah sembelih ayam pagi tadi. Nak gulailah ni. Pak Wan bawa sayur apa hari ni?” sahut Idayu mesra.
“Macam-macam ada... pilihlah,”
Selepas membayar barangan yang dibeli, dia membawa bahan-bahan tersebut pulang ke rumah. Setibanya di tangga dapur rumah, sebuah kereta memasuki kawasan rumah dan berhenti berhampiran dengannya. Dia kenal kereta itu, milik salah seorang orang doktor yang datang bertandang ke rumahnya tengahari semalam. Doktor muda itu keluar dari kereta dan merenungnya tajam.
Bibir Idayu menguntum senyum penuh ragu-ragu apabila mata mereka bertemu untuk kali pertama. Entah mengapa, bagaikan ada getaran di hati Idayu apabila senyuman berbalas. Pemuda berkulit hitam manis, berdarah kacukan India itu menghampirinya perlahan dan untuk seketika dia bagaikan tak dapat berkata-kata. Hanya merenungnya tanpa kata. Idayu jadi tak menentu.
“Assalamualaikum,” ucapan pertama.
“Waalaikum salam,” jawab Idayu. Dia resah diperhatikan begitu.
“Pak Dollah ada?” lembutnya suara itu.
“Tak... em...ayah ke kebun. Tengahari ni baliklah...em.. doktor nak jumpa dia?” tanya Idayu teragak-agak sambil menundukkan pandangan. Tak tahan hatinya menghadapi renungan tajam itu. Mata Hairi galak merenung Idayu dari hujung kepala ke hujung kaki. Masih tetap bertudung gadis ini, getus hati kecil Hairi.
“Tak apalah... kalau tak ada, nanti saya datang lagi,” ucap Hairi dengan nada yang girang.
“Em... ya...,” Idayu mengangguk.
Pemuda itu masuk semula ke dalam kereta dan diam sejenak. Matanya masih lagi merenung Idayu. Tak mahu rasanya dilepaskan pandangan ini. Hai, tak lena tidur lagilah dia malam ini.
Idayu lantas berpaling untuk meninggalkan pemuda itu. Di hatinya tertanya-tanya mengapa pemuda itu masih lagi enggan berlalu pergi. Hatinya resah gelisah direnung begitu. Setelah Idayu menaiki tangga dan memasuki rumah, barulah kereta itu bergerak pergi.
Eeei, kenapa dia pandang aku macam tu. Ada apa-apa yang tak kena ke? bisik Idayu sendiri. Setelah meletakkan bahan-bahan yang dibeli tadi di meja dapur, Idayu ke bilik. Dia merenung wajahnya di cermin, melihat apa-apa yang tak kena pada dirinya. Manalah tau kalau-kalau auratnya terbuka atau rambutnya terjuntai. Ah... semuanya kelihatan baik aje, jadi apa yang dipandangnya sampai tak berkelip-kelip matanya, getus hati Idayu. Terasa sedikit gembira di hati Idayu kerana diberi perhatian begitu. Tambahan lagi dari pemuda sekacak itu, ala-ala Hrithik Roshan. Idayu tersenyum sendiri.....
Comments: (0)
Bab 2

Mata Hairi terus merenung atap yang tidak ditutupi siling. Dalam kesamaran malam kelihatan beberapa ekor cicak merayap pada kekisi atap rumah. Di waktu malam begini, kedinginannya menggigit hingga ke tulang hitam. Kalau di waktu tengahari, panasnya bagai berada dalam sauna. Begitulah suasana kampung. Bagaikan tidak percaya yang dia kini berada di sini. Pada awalnya dia membantah kerana ditempatkan untuk membuat kajian di perkampungan yang agak terceruk begini. Seumur hidupnya dia tidak pernah tinggal di kampung.

Berasal dari bandar Pulau Pinang, dia tidak tahu bagaimana untuk hidup di kampung sekecil ini. Kedudukannya agak jauh dari bandar besar dan kemudahan yang ada cukup terhad. Namun, atas nasihat penyelia projek tahun akhirnya dia datang juga ke sini. Mulanya dia difahamkan akan tinggal di rumah tok penghulu kampung ini, tapi akhirnya dia dan Razlan ditempatkan di rumah abang Sahak yang agak kurang selesa ini. Malah, mereka hanya diberikan tikar, bantal dan selimut sahaja. Bilik yang ada hanya sebuah dan dihuni oleh Abang Sahak, Kak Midah dan anaknya yang bongsu.

Terpaksalah dia dan Razlan tidur di ruang tamu ini bersama dua orang anak-anak Abang Sahak yang paling besar, Aiman dan Hamdi. Untuk menukar pakaian pun terpaksa dilakukan di ruang tamu. Rumah kecil ini hanya ada tiga ruang sahaja, ruang tamu, satu bilik tidur dan dapur yang agak luas. Memang betul-betul asas kemudahannya. Tiada satu pun bilik mandi di dalam rumah. Cuma yang ada hanyalah ruang yang menempatkan sebuah perigi yang dipagari oleh dinding konkrit separas bahu. Tanpa privasi, dia terpaksa mandi air perigi yang sejuknya hingga ke tulang hitam. Tandas disediakan kira-kira 50m dari pintu dapur. Dia tidak dapat membayangkan kalaulah dibuatnya sakit perut di malam hari, terpaksalah meredah gelap malam untuk ke tandas.
Selama duapuluh lima tahun hidupnya, dia tidak pernah membayangkan sebuah kehidupan yang sebegini daif. Dilahirkan dalam keluarga yang agak mewah, ibunya adalah seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan ayahnya seorang ahli perniagaan, dia tidak pernah merasakan kesusahan dalam kehidupan. Walaupun ini baru hari keduanya, dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke Hospital USM Kubang Kerian, tempat pengajiannya. Belajar di tahun akhir dalam bidang perubatan memaksa dia membuat kajian ke atas penyakit-penyakit yang berkaitan dengan persekitaran. Dan, malangnya dia terpaksa mengkaji kaitan persekitaran terpencil kepada kesihatan penduduknya. Tempat ini pula dipilih oleh penyelianya yang memang gemar membuat kajian di tempat-tempat terpencil begini.

Hairi mengeluh sambil memandang pada Razlan yang lena di sebelahnya. Razlan kelihatan begitu selesa berada di sini. Tidak seperti dirinya yang merasakan berada di sini, bagaikan satu beban amat berat untuk ditanggung. Mungkin kerana Razlan berasal dari kampung, maka dia tidak merasa terbeban berada di kampung terpencil begini. Walaupun kampung Razlan tidaklah sejauh ini dari bandar dan mempunyai kemudahan asas yang lebih baik, tapi dia sudah biasa dengan kehidupan yang sederhana.

Fikiran Hairi kembali menerawang mengenangkan peristiwa petang tadi. Sewaktu dia meninjau-ninjau kawasan di pinggir sungai belakang rumah Abang Sahak, dia terjumpa sebuah jeram kecil yang terletak di satu kawasan yang agak tersembunyi. Dengan batu-batan yang pelbagai saiz dan pohon-pohon yang pelbagai jenis, kawasan itu dirasakan amat menarik.

Yang lebih menarik lagi sedang dia termanggu-manggu di situ, kelibat seorang gadis manis tiba di situ. Terpaku dia melihat raut wajah gadis itu. Orangnya tinggi lampai, berkulit cerah dan sekali pandang dia seakan-akan dapat mengagak bahawa gadis itu berusia dalam lingkungan akhir belasan tahun. Wajahnya sedehana sahaja. Cuma, yang menariknya ialah keayuan dan kelembutannya. Perwatakannya lembut dan agak berlainan sekali dengan gadis-gadis lain yang ditemuinya sepanjang dua hari dia berada di kampung ini.

Gadis itu tidak menyedari kehadirannya menyebabkan lebih mudah untuk dia mengamati perlakuannya yang sungguh ayu. Berbaju kurung dan bertudung, walaupun berada di kawasan terpencil sebegitu. Sesekali dia menyelak kainnya untuk mencecahkan kakinya ke dalam air sungai, menampakkan kaki dan betisnya yang cantik bak bunting padi. Pemandangan yang mengasyikkan itu sedikit sebanyak dapat melegakan hatinya yang gundah kerana terpaksa datang ke tempat terceruk sebegini.

Pada mulanya ingin sekali Hairi menegur gadis itu untuk memulakan salam perkenalan. Tetapi apabila dilihatnya keasyikan gadis itu pada waktu itu, dia mendiamkan sahaja dirinya. Menikmati sahaja pemandangan menarik yang disajikan di depan mata. Terdetik juga di hatinya kalau-kalau perlakuannya diketahui orang. Tak pasal-pasal pulak nanti dia ditangkap mengintai anak dara orang. Baru saja dua hari berada di sini, sudah buat hal. Tapi, dia tidak dapat mengelak dari terus memandang. Dan kedudukannya yang berada di sebalik batang pokok besar mampu menyembunyikan dia dari pandangan gadis itu. Mungkin gadis itu dapat merasakan kehadirannya kerana sesekali dia memandang sekeliling, seakan-akan tercari-cari disekitar kawasan tersebut.
Agak lama gadis itu termenung sendirian. Sesekali dia tersenyum bagaikan terkenangkan sesuatu. Dan apabila gadis itu melangkah untuk pulang bagaikan ada satu perasaan sayu melanda di hatinya. Timbul rasa bimbang di hati yang dia tidak akan bertemu lagi dengan gadis itu. Untuk menegur dan berkenalan, Hairi merasakan terlalu awal. Tapi, Hairi merasakan terlalu sayang untuk melepasnya pergi begitu sahaja, tanpa dikenali dengan lebih dekat lagi.

Tapi kini, di saat hati ini berbicara sendiri, terasa cukup kesal di hati kerana melepaskan gadis itu pergi tanpa mengetahui siapa gerangan empunya diri. Kesal kerana tidak berani untuk menunjukkan diri dan mengambil peluang yang terbentang di depan mata. Dia nekad, jika diberi peluang sekali lagi, dia akan cuba untuk mengenali gadis ini. Keayuan dan kelembutan yang sebegitu agak jarang ditemuinya sekarang ini. Rata-rata kenalan perempuannya agak agresif dan lincah. Maklumlah, mereka terdidik sebegitu, sebagai bakal doktor yang perlu sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya nanti.

Siapakah dia gadis itu? Akan bertemu lagikah dengannya? Di mana dapat aku menemuinya lagi? Semua persoalan itu bagaikan tidak terjawab di mindanya. Dia nekad, jika bertemu lagi, dia akan memulakan salam perkenalan. Daya tarikan gadis itu begitu kuat dirasakannya. Seumur hidupnya, Hairi tak pernah terkenangkan mana-mana gadis, tapi yang satu ini lain sekali perwatakannya, sehinggakan tak lena tidur dibuatnya. Ah, milik siapakah gadis itu......

***

“Tengahari ni... Mak Su Jah, isteri Pak Dollah tu, ajak makan di rumahnya. Nak berkenalan katanya...” jelas Sahak kepada dua anak teruna yang menumpang di rumahnya.

“Lagipun, katanya nak minta maaf sebab sepatutnya kamu berdua tinggal di rumahnya,
tapi Mak Su Jah tu tak setuju sebab mereka ada anak dara. Tak manislah nanti kalau dua anak teruna tinggal sebumbung dengan anak dara dia. Lagipun Idayu tu, pemalu orangnya, nanti tak selesa pulak dia di rumah sendiri.” sambung Sahak lagi
Hairi dan Razlan yang sedang menghirup kopi mereka pagi itu tersenyum sesama sendiri. Masing-masing agak terharu dengan layanan yang diberikan kepada mereka sejak berada di kampung ini. Hari pertama mereka di sini, Pak Dollah telah membawa mereka melawat sekitar kampung. Dia telah menjelaskan perkara itu kepada mereka. Dan sementara itu mereka ditempatkan di rumah Sahak sehinggalah mendapat tempat lain yang lebih selesa lagi.

“Abang Sahak ni bukan apa, rasanya terkilan jugak sebab kamu berdua terpaksa duduk kat rumah kami yang kecil ni sementara dapat tempat lain. Mesti kamu rasa tak selesa kan? Tapi dalam keadaan tergesa-gesa ni susah nak cari orang yang sanggup tumpangkan kamu berdua. Orang kampung ini kebanyakkannya susah hidupnya. Malu juga nak tumpangkan orang bandar di rumah kami. Takut nanti tak selesa selama di sini.” Jelas Sahak apabila melihat kedua-dua pemuda itu diam tanpa kata.

“Alah... tak apalah Abang Sahak. Tinggal di sini pun dah cukup selesa. Tak ada halnya....” ujar Razlan.

“Betul kata Razlan tu. Sekurang-kurangnya kami ada pengalaman tinggal di kampung... bolehlah cerita kat kawan-kawan dan keluarga kami nanti bagaimana seronoknya tinggal di kampung ni.” sahut Hairi untuk menyedapkan hatinya sendiri. Tak mau dia menyinggung perasaan Abang Sahak yang baik hati itu.

“Memang kat sini kebanyakkannya macam Abang Sahak ni, hidupnya susah. Ialah , kerja kampung kampunglah katakan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang nak bagi anak bini makan. Pak Dollah tu, dulunya polis, jadi dia senanglah sikit banding dengan kami, ada pencen...” cerita Sahak tanpa ditanya.

“Anak dia ramai jugak ke Bang Sahak...” tanya Razlan ingin tahu.

“Tak adalah... Idayu tu seorang ajelah anak dia. Itupun, anak angkat. Pak Dollah dengan Mak Su Jah tu tak ada anak sendiri. Mereka ambik Ayu tu sebagai anak angkat masa dia kecil lagi, masa tu mereka tinggal di Perak. Tapi, layanan mereka pada dia langsung tak macam anak angkat. Sayang sungguh mereka padanya. Budaknya pun baik. Baru aje lepas SPM baru ni. Anak dara suntilah katakan.... manis orangnya. Nanti kamu tengoklah, kut-kut ada yang berkenan, nanti boleh buat bini...” usik Sahak mengundang tawa besar kedua-dua tetamunya itu.
Comments: (0)
Bab 1

Idayu mencecahkan hujung jari kakinya ke dalam air jeram yang mengalir perlahan. Dengan segera riak-riak ombak kecil terbentuk. Damai hatinya, sedamai riak-riak ombak kecil itu. Ya, dia ke sini lagi seperti selalu. Menyendiri di kawasan jeram kecil di belakang rumahnya. Kawasan yang sering mendamaikan setiap keresahan yang singgah di hatinya. Deru air jeram itu seperti selalu, bagaikan memberikan seribu ketenangan di jiwa.

Mana mungkin dia melupakan tempat ini. Terlalu banyak kenangan indah yang mendamaikan tasik hatinya berlaku di sini. Di sinilah waktu kecilnya dihabiskan bermain-main bersama kucing kesayangannya, Montok. Di sini juga dulu, petangnya dihabiskan dengan menangkap anak-anak ikan sempilai, puyu dan haruan. Masih diingat lagi, bagaimana dia menyusun batu-batu kecil untuk dijadikan empangan bagi mengepung anak-anak ikan tersebut.

Di sini jugalah tempat dia mengadu segala keluh kesahnya. Ada ketikanya dia ke mari hanya untuk mengelamun, memasang angan-angan yang tak pernah ada kesudahan. Sikap suka menyendiri menyebabkan dia sering terlalu asyik melayan perasaan. Walaupun bercupak leteran emak dengan sikapnya itu, Idayu bagaikan tidak mengendahkan. Ah... bukannya dia mengganggu sesiapa. Dia ke mari pun bukannya untuk bertemu sesiapa.
Masih ingat lagi bagaimana dulu dia menemukan tempat ini. Waktu itu emak mengajaknya mengutip pucuk paku di pinggir sungai untuk dibuat lauk tengahari. Dia tidak menyangka langkahnya pagi itu, akan membawa dia ke sini. Sejak itu, kawasan yang mendamaikan ini sering menjadi tempat kunjungannya.

Ada waktunya dia datang untuk menghabiskan kerja sekolah di sini, menelaah buku-buku ketika peperiksaan menjelang, membaca novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau hanya berkunjung untuk menikmati kesegaran udaranya. Waktu yang paling digemarinya adalah waktu selepas hujan turun. Sungguh damai dan nyaman udaranya.
Tapi, entah mengapa suasana petang ini dirasakan agak berbeza. Ketenangan yang dirasakan petang ini, tidak seperti biasa. Bagaikan terasa yang tempat ini bukan lagi milik peribadinya. Terdetik juga dihatinya, mungkinkah ada seseorang yang sedang bersembunyi, memerhatikannya di balik rimbunan pohon-pohon kecil di sekelilingnya?

Cepat-cepat dia mematikan detik hatinya itu. Ah... siapalah gerangannya yang akan ke mari? Bukankah selama ini hanya aku saja yang selalu ke sini? Selama ini tidak pernah dia berkongsi tempat ini dengan sesiapapun, kecuali Montok. Dan jika boleh dia tidak ingin berkongsi kedamaian ini dengan sesiapa pun.

Redup petang itu memberi isyarat supaya dia pulang. Sudah hampir dua jam dia di situ melayan perasaan. Dia tahu, kalau lewat lagi pulangnya, dia akan dileteri emak seperti hari-hari lalu. Suara emak yang damai itu ada ketikanya mampu menyentuh hati gadisnya. Dia sedar, leteran emak itu hanya untuk melahirkan rasa tak puas hati dengan sikapnya yang suka menyendiri. Mak, Idayu senang begini, getus hatinya.

****

“Idayu.... ke mana aje kau ni, senja-senja begini baru balik?” sapa Mak Su Jah. Dia merenung wajah anak gadis itu. Risau di hati melihat sikap anak dara suntinya yang amat suka menyendiri.

“Tak ke mana mak...” ucap Idayu lembut. Jangan risau mak.... Idayu bukannya buat benda tak elok, getus hatinya.

Idayu memandang sekilas pada emak dan ayahnya yang sedang duduk di beranda rumah pusaka itu. Pak Dollah telah siap mandi dan berpakaian lengkap untuk ke masjid. Sebagai ketua kampung, dia memang tak pernah ketinggalan dari bersolat jemaah di masjid.

“Idayu masuk dulu ye mak... ayah...,” ucapnya sambil berlalu. Langkahnya hanya diikuti oleh sorotan mata emaknya.

“Habis, budak-budak tu nanti nak dok kat sini berapa lama?” kedengaran suara Mak Su Jah bertanyakan kepada Pak Dollah.

“Dua minggu...”

“Abang Lah suruh dia tinggal di rumah siapa?”

“Itulah... mereka tu tak boleh tinggal di rumah kita. Kita ada anak dara. Tak manis nanti anak dara dengan anak teruna tinggal serumah. Sementara ni mereka tinggal di rumah Sahak. Tapi tak sesuai pulak sebab anak–anak Sahak tu ramai. Tak selesa pulak budak-budak tu nanti. Masa tanya Sahak hari tu, dia terima aje. Abang pun tak terfikirkan masalah ni dulu. Nantilah, abang tanya Pak Soh. Dia tinggal berdua aje dengan Mak Dah tu. Anak-anak semuanya dah tak tinggal sekali dengan dia. Kalau dia nak, mungkin budak-budak tu boleh tinggal di rumah dia.” Terang Pak Dollah panjang lebar. Susah juga hatinya kerana terpaksa meninggalkan tanggungjawab itu kepada orang lain.

“Nak ke Pak Soh dengan Mak Dah tu terima. Mereka kan orang susah. Kesian pulak nanti kena tanggung dua orang anak muda. Menyusahkan pulak nanti,” sahut Mak Su Jah.

“Tak apa, budak-budak tu bukannya datang dengan tangan kosong. Keluarga yang ambil anak angkat ni diberikan RM 30 sehari untuk seorang anak angkat. Sekurang-kurangnya bolehlah buat belanja mereka. Kalau Pak Soh nak ambil dua-dua, lagilah mudah,” sahut Pak Dollah.

Dari dalam rumah Idayu mencuri dengar perbualan kedua-dua emak dan ayahnya. Agaknya tentang program anak angkat dari Hospital Universiti Kubang Kerian yang diceritakan oleh emak semalam, Idayu meneka sendiri. Menurut emaknya semalam, dua orang pelajar bidang kedoktoran dari HUSM datang untuk buat kajian tentang tahap kesihatan penduduk di kampung ini. Sepatutnya Pak Dollah yang perlu mengambil tanggungjawab ke atas mereka sepanjang masa mereka di sini. Tapi, mana mungkin ayah akan menerima anak teruna tinggal di rumah ini sedangkan dia punya anak dara.

Pak Dollah seorang yang tegas, terutamanya dalam urusan berkaitan adat melayu dan adab sopan dalam agama. Setiap perlakuan Idayu sentiasa di bawah perhatiannya. Apa sahaja perlakuan yang tidak manis gadis itu akan ditegurnya melalui Mak Su Jah. Idayu tahu, ayahnya sanggup melakukan apa saja demi menjaga maruah agama dan peradaban Melayu. Malah, dirasakan, jika dia melakukan sesuatu perkara yang sumbang ayahnya pasti tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman. Terbayang dia pada watak Tok Penghulu dalam filem P.Ramli, “Sumpah Semerah Padi”. Ya, ayah sememangnya mempunyai perwatakan sebegitu. Tegas dengan pendiriannya dalam hal-hal keagamaan.

Dari kejauhan terdengar sayup-sayup azan Maghrib berkumandang. Pak Dollah bangun dan mula melangkah ke motosikalnya untuk ke masjid. Cepat- cepat Idayu beredar ke biliknya untuk mandi dan solat Maghrib. Tak mahu dia tertangkap ketika mencuri dengar perbualan ayah dan emaknya. Saat itu hatinya terdetik, sanggupkah dua anak muda itu tinggal di kampung yang serba kekurangan ini? Sudahlah jauh dari kota, kemudahan yang ada hanya di tahap minima.

Ah, tak mungkin anak-anak muda yang datang dari bandar itu dapat bertahan lama di kampung ini. Maklumlah, sudah biasa senang. Tertanya-tanya dalam hati, mengapa mereka memilih kampung terpencil ini untuk membuat kajian. Tak ada kampung lain ke yang boleh mereka pilih.

****

Persoalan itu diajukan kepada emaknya malam itu. Mak Su Jah hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Alah... ayah kata tempat ini dipilih oleh universiti. Mereka kena buat kajian di banyak tempat. Kawasan bandar, kawasan kampung dan kawasan hulu macam kat sini...” terang Mak Su Jah.

“Emmm... seronok ye mak, dapat masuk universiti. Belajar jadi doktor tu mesti susahkan? Mak rasa Ayu nanti dapat lulus dan masuk universiti tak mak?”

“Ayu rasa macamana? SPM baru ni boleh lulus tak? Ayu kan dah usaha. Kalau ada rezeki, mesti boleh masuk unversiti...”

“Tapi mak, Ayu rasa tak yakin sangatlah... takut lulus, tapi tak capai tahap yang diterima masuk U. Cikgu Harun kata, nak masuk U kena lulus tinggi...,” keluh Idayu sedikit kesal dengan sikapnya yang kurang bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan SPM tempohari.

“Itulah... dulu mak selalu cakap, jangan leka sangat. Tapi Ayu buat tak tahu aje. Kita ni duduk di kampung, kemudahan belajar kurang. Kalau kita tak usaha sendiri, macam mana nak berjaya. Tengok tu, belum keluar keputusan, diri sendiri dah menyesal...” tempelak Mak Su Jah.

Idayu terdiam seketika, menyesali sikapnya yang agak acuh tak acuh dengan pelajaran. Memang dia akui, dia agak leka sebelum peperiksaan SPM akhir tahun lepas. Cuma dua bulan sebelum tarikh peperiksaan, barulah dia mula bersungguh-sungguh. Itupun akibat nasihat dari Cikgu Maria, guru pelatih yang datang ke sekolah untuk latihan praktikalnya tiga bulan sebelum peperiksaan SPM. Guru itulah yang banyak menasihati dia dan teman-temannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita di masa hadapan.

Masih ingat lagi kata-kata Cikgu Maria bahawa, tiada siapa yang boleh mengubah nasib diri kita melainkan kita sendiri. Hasil dari nasihat dan usaha gigih Cikgu Marialah, dia dan temah-teman sekelas mula berusaha. Tapi, waktu itu tarikh peperiksaan sudah terlampau dekat. Terlalu banyak yang perlu dipelajarinya semula. Kalaulah Cikgu Maria datang menjalani latihan praktikalnya lebih awal, tentu dia sudah mulakan usahanya sejak dari awal lagi. Tapi, apa lagi yang nak dikesalkan. Dia telah buat setakat yang dia mampu. Kini, dia hanya dapat bertawakkal kepada Allah, semuga keputusan peperiksaannya nanti akan dapat menempatkannya ke mana-mana IPTA. Itu harapannya

“Sudahlah Ayu, jangan asyik dok berangan aje. Kita tu anak dara. Kalau tak lulus nanti, kahwin aje lah...” usik Mak Su Jah sambil tersenyum.

“Ala mak.... Ayu tak naklah kahwin lagi. Muda lagi.... baru lapanbelas tahun. ..,” rengek gadis itu manja.

“Ah... mak hari tu enambelas tahun dah kahwin dengan ayah...,” usik emaknya.

“Em.. tak nak lah... Kalau tak lulus, Ayu nak belajar semula, ambik periksa SPM semula, sampai lulus dapat masuk U,” luah Idayu bersungguh-sungguh.

“Amboi, senangnya hati, habis tu, nak belajar lagi, mana nak cari duit? Ingat ayah tu banyak sangat duit nak tanggung Idayu ambik SPM semula ?” ungkit Mak Su Jah.

“Biarlah, kalau ayah tak ada duit, Idayu kerja. Pergi Kota Bharu, cari kerja sambilan, lepas tu Ayu belajarlah...”

Tergelak besar Mak Su Jah mendengarkan kata Idayu.

“Hai, kerja apalah yang Ayu boleh buat, hemm...?”

“Buatlah apa-apa pun, Jadi orang gajipun Ayu sanggup... asalkan dapat belajar semula....” rungut Idayu.

Mak Su Jah menghabiskan ketawa yang bersisa. Gelihati dia melihat kesungguhan Idayu ketika itu. Kalaulah kesungguhan itu ada pada anak gadisnya sejak awal tingkatan empat dan limanya dulu, alangkah baiknya. Tapi, sekarang dia tidak begitu yakin dengan anaknya itu.

“Apa-apa pun, kita tunggu keputusan SPM keluar nanti. Ha... masa tu bolehlah buat keputusan....,” rungut Mak Su Jah. Idayu mendengus perlahan. Kekesalan tergambar di wajahnya. Kalaulah dulu lagi dia sedar, tentu sekarang dia lebih yakin dengan kemampuannya itu. Kesal dulu berpatutan, kesal kemudian, apalah gunanya.
Bab 3


Suasana bening di luar bilik meyakinkan Maizatul Hazirah yang dia kini telah ditinggalkan sendirian. Ah, seperti biasa dia ditinggalkan lagi. Setiap kali mereka bergaduh, Irfan akan terus meninggalkan rumah. Keluar entah ke mana untuk mencari ketenangan hati. Mungkin bersama Maya ataupun mana-mana perempuan yang senang untuk didampingi. Dan kini, Mai tahu yang dia akan terus ditinggalkan pergi. Irfan tak akan kembali kali ini. Dia sudah tidak layak lagi untuk kembali. Nekad sugguh lelaki itu kali ini untuk memutuskan hubungan yang sudah sejak sekian lama terjalin. Nekad tidak mahu kembali hinggakan dia dihadiahkan dengan tiga talak sekaligus. Mungkin kini puas hatinya, merayakan perpisahan ini. Mungkin kini dia sudah bersama Maya untuk meraikan perpisahan ini.

Perlahan-lahan dia menguak pintu bilik tidur. Melangkah keluar dari bilik, matanya menyoroti ruang rumah yang kembali tenang setelah menyaksikan kekecohan yang membawa kepada peristiwa hitam tadi. Menyaksikan keadaan ruang tamu dan dapur yang bersepah, Mai jadi sedikit terkejut dengan perlakuan di luar sedarnya petang tadi. Ruang yang bersepah dengan majalah-majalah yang dibalingkan kepada Irfan ketika perang mulut sedang meletus tadi diamati dengan perasaan yang sungguh sayu. Bila masanya dia melemparkan majalah dan perhiasan-perhiasan kecil sehinggakan keadaan yang berantakan menyambutnya kini? Sungguh dalam marahnya dia tidak sedar apa yang dia telah lakukan.

Bergerak ke dapur, kelihatan suasana di dapur juga agak bersepah. Nasib baiklah dia tidak bertindak melemparkan pinggan mangkuk pada Irfan dalam peperangan tadi. Dalam marahnya masih ada sekelumit akal waras yang membisikkan supaya perlakuan itu tidak dilakukan. Matanya terarah pula ke meja makan. Jejarinya pantas sekali mengangkat tudung saji yang masih elok letak duduknya di atas meja. Melihat makanan yang masih terhidang di atas meja, bagaikan mengundang rasa pedih dan pilu di hati. Pulangnya ke rumah lewat tengahari tadi, dia nekad untuk menjernihkan keadaan antara mereka yang telah lebih sebulan dilanda badai. Tiba saja dari sekolah dia terus ke dapur untuk menyediakan juadah makan malam. Nasihat dari Kak Yana beberapa hari lalu masih terngiang-ngiang di telinga.

“Mai cubalah bersabar dengan dia. Jangan timbulkan marah dia. Kalau boleh hari-hari Mai masak untuk dia. Pikat balik hati dia. Suami ni, kalau makan pakai dia kita jaga, layanan kita first class, orang Kelantan kata, mati di kaki dia dengan kita,” kata Kak Yana menyebut peribahasa Kelantannya siap dengan loghatnya sekali. Tergelak kecil Mai mendengarkan kata-kata Kak Yana.

“Mati di kaki Kak Yana? Apa maksudnya tu?”

“Maksudnya.... suami kita sayangkan kita, sampaikan semua yang kita nak dia turutnya. Tak marah-marah, tak mudah jauh hati sebab sayangkan kita,”

Dia menarik nafas dalam-dalam mengenangkan kata-kata Kak Yana yang sudah tidak mendatangkan apa-apa erti lagi saat ini. Belumpun sempat dia menunjukkan hasrat hatinya untuk menjernihkan keadaan mereka, dia diduga lagi. Kepulangan Irfan yang agak lewat petang itu mengundang seribu tanda tanya di hati. Lantas dia menekan nombor telefon tangan untuk menghubungi suaminya. Terkedu saat mendengar satu suara manja seorang wanita yang bagaikan berbisik menjawab panggilan tersebut. Lantas hatinya bagaikan gendang dipalu debarannya. Tak semena-mena darahnya terasa bagaikan naik ke kepala dan tanpa membalas panggilan itu Mai terus memutuskan talian. Hatinya cukup panas saat itu. Bagaikan ada larva yang sedang menggelegak mengalir keluar dari gunung berapi yang sedang meletus, dia mula mengamuk. Kepulangan Irfan ditunggunya dengan perasaan yang cukup berapi.

Apa guna kalau dia seorang sahaja yang berusaha untuk menjernihkan keadaan antara mereka kalau Irfan masih terus mengulangi perlakuannya. Sudah beribu kali diucapkan kata-kata dusta bahawa tiada apa-apa hubungan antara dia dengan perempuan-perempuan lain. Namun mengapa seringkali ada sahaja perempuan yang berada di sampingnya. Samada terserempak dengannya ataupun apabila dihubungi dengan telefon. Ah... sememangnya Irfan bagaikan seorang kasanova. Hidupnya sejak akhir-akhir ini sering dikelilingi dengan wanita. Mana mungkin dia mampu percaya dengan kata-kata dusta suaminya yang sering menafikan sikapnya itu? Hati mana yang tidak terus rasa curiga dengan kata-kata Irfan.

*****

Saat Irfan tiba di rumah hatinya sudah cukup menggelegak. Melangkah sahaja kaki suaminya ke dalam rumah, dia disambut dengan balingan majalah, kusyen, dan entah apa-apa lagi yang mampu dicapai oleh tangan Mai. Isterinya itu sudah bagaikan gila menanti kepulangannya. Tangisan dan jeritannya bercampur baur. Hati lelakinya yang sebentar tadi tenang tiba-tiba bagaikan mahu pecah dirasakannya. Mai buat hal lagi. Lantas pecahlah pertengkaran antara mereka. Tubuh Irfan yang letih akibat penat dengan tugas-tugas harian, bercampur dengan perasaan geramnya terhadap isterinya itu akhirnya membawa kepada pergaduhan yang lebih hangat lagi. Dan seperti pertengkaran yang lalu, sekali lagi tamparan Irfan hinggap di pipinya. Terjelepuk Mai di lantai. Pedih di pipi sudah tidak dirasakan. Namun, pedih di hatinya bagaikan tidak dapat ditahan lagi.

“Tamparlah... tamparlah Mai ni kalau abang rasa dah benci sangat dengan Mai. Tak ada guna lagi Mai jadi isteri abang kalau macam nilah caranya abang layan Mai. Mai benci abang ... benci..,” jerit Mai.

“Ingat Mai aje yang benci... ingat abang suka Mai buat abang macam ni? Terjerit –jerit macam orang gila,”

“Memang... memang Mai dah gila. Abang yang buat Mai gila. Dah tak sanggup lagi rasanya Mai hidup dengan abang. Hari-hari asyik dok menipu Mai aje. Kata tak ada apa-apa hubungan dengan perempuan lain, tapi tadi tu siapa? Masa Mai call tadi tu dok buat apa dengan perempuan tu?”

“Abang dah cakapkan... abang tertinggal handphone tu. Kebetulan Maya masih kat office. Dia jawablah.... Mai ni asyik-asyik dengan sikap cemburu buta Mai. Langsung tak nak dengar cakap abang ..,” balas Irfan juga dengan nada geram. Geram sungguh dengan sikap cemburu Mai.

“Hah... tak habis-habis dengan Maya. Maya...Maya...Maya.... macam tak ada oang lain... Agaknya memang betul abang ada affair dengan dia. Apa dia buat dalam office dengan abang? Kalau dia tak ada dalam office abang takkanlah dia boleh jawab call tu. Bilik dia kan kat lain? ”

“Mai jangan tuduh dia bukan-bukan. Dia bukan macam tu... bukan macan yang Mai tuduh tu,”

“Oh... sekarang ... abang dah bela dialah pulak, buah hati abang tu. Dia yang baik ye... yang salahnya Mai kan? Apa yang dia dah bagi pada abang? Body dia...?” jerit Mai pula. Kesabarannya sudah hilang melayang entah ke mana. Akal warasnya sudah tidak lagi mampu untuk mengawal hatinya yang kini hanya dibaluti dengan rasa marah. Menyembunyikan segala rasa kasih sayang dan cinta untuk suaminya itu.

Sekali lagi pipi Mai terasa panas pedih dek tamparan tangan lelaki Irfan. Kali ini lebih kuat lagi hinggakan dia terjelepuk di lantai. Kesabaran Irfan betul-betul hilang kini. Lantas dia menyepak di punggung Mai yang separuh tertiarap di lantai. Geramnya bagaikan tak sudah rasanya. Sakit hati dia dituduh sebegitu. Akalnya kini diselubungi nafsu amarah yang membuak-buak. Azan Maghrib yag berkumandang suda tidak didengarinya lagi. Yang ada dalam hati hanyalah perasaan marah yang dibakar dek hasutan syaitan.

Memang betul dia tertinggal telefonnya di pejabatnya petang tadi. Setelah menyedari kesilapannya itu, dia kembali semula untuk mendapatkannya. Maya yang ketika itu sedang terpingga-pingga sambil memegang telefonnya, terus memberitahunya tentang panggilan yang tidak berbalas itu. Tapi, hatinya tidak sedikit pun mensyakki apa-apa. Tidak sangka langsung Mai akan berperasangka begitu. Sungguh tidak disangkanya.

“Apa guna Mai jadi isteri abang lagi kalau macam nilah caranya abang layan Mai. Ingat Mai ni bola ke... boleh tendang sana tendang sini. Mai dah tak sanggup lagi. Dari buat Mai macam ni.... baik abang lepaskan aje Mai ni. Dah tak sanggup lagi jadi isteri abang... tak sanggup lagi...,” jerit Mai dengan suara yang cukup sayu sekali. Namun , kesayuan itu tidak lagi didengar di telinga Irfan. Amarahnya bagaikan membuak-buak. Terasa tercabar dengan kata-kata Mai itu.

“Ok... kalau kau nak sangat, aku bagi pada engkau.... tiga sekali... aku ceraikan engkau dengan talak tiga sekali....hah...puas hati....,”

Terkesima Mai mendengarkan kata-kata itu. Tak disangkanya kata-kata itu akan terluah dari bibir Irfan. Walaupun dia yang membentak meminta-minta, tidak disangka sama sekali Irfan akan melafazkan kata-kata itu. Kata-kata yang bagaikan menarik nafas terakhir dari tubuh kecilnya itu. Kata-kata yang bagaikan parang, menetak dan memanggal segala ketenangan yang dirasakan di tasik hatinya sejak dia meluahkan segala rasa gundahnya kepada Kak Yana beberapa hari yang lalu. Melayang jauh segala harapannya untuk membetulkan keadaan antara dia dan suaminya. Hanya disebabkan amarah yang membuak-buak, melimpah ruah sehinggakan terlafaznya kata-kata yang sungguh tidak disangkakan itu. Untuk seketika dia memandang wajah Irfan yang masih lagi disimbah dengan api kemarahan. Menggelengkan kepalanya tanda kecewa dengan luahan kata Irfan yang menghancur lumatkan segalanya. Ya... segala-galanya....

Lantas denga raungan yang memilukan, Mai berlari pantas menuju ke bilik. Ke mana lagi harus dia pergi. Tidak sanggup lagi rasanya dia menatap wajah yang penuh dengan riak kebencian itu. Pintu bilik begitu kuat sekali dihempas dan kemudiannya dikunci dari dalam. Bagaikan terasa seperti dipanah halilintar, Irfan juga terpaku di tempat dia berdiri. Apa yang dilafazkannya sebentar tadi? Perkataan apakah yang diluahkan seketika tadi? Tiba-tiba tubuhnya terasa menggeletar. Seribu perasaan kesal tiba-tiba menjelma.

Lama Mai berkurung di situ, meraung, meratap meluahkan segala rasa yang terpahat sekian lama di hati. Sungguh tidak dia menduga begini kesudahan antara mereka. Lama juga telinganya mendengar pujukan Irfan yang entah mengapa bergema tiba-tiba. Bagaikan tidak ada apa-apa kesalahan yang dirasakan oleh suaminya itu, dia memujuk rayu. Meminta seribu kemaafan dari Mai. Namun, kemaafan sudah tidak membawa apa-apa erti lagi saat ini. Semuanya sudah hancur. Tiada apa lagi yang boleh dipertahankan.
Telefon tangannya mendendangkan lagu yang amat dikenalinya, mengejutkan dirinya dari lamunan. Nada dering yang dikhaskan hanya untuk panggilan dari suaminya. Berlagu syahdu irama lagu Lelaki Ini, nyanyian Anuar Zain. Sering dalam angannya, nada dan irama itulah diharapkan menggambarkan perasaan Irfan terhadapnya. Namun kini semuanya hanya tinggal kenangan. Hati yang masih lagi gementar akibat terkejut dengan kata-kata yang Irfan luahkan dalam marahnya petang tadi terusik lagi.
Merenggut-renggut tangkai hati yang sudah bagaikan tidak mampu dipujuk lagi. Airmata yang tadinya kering kembali merembes di tubir mata. Apa lagi yang mampu dikatakannya. Dia menatap skrin taliponnya, 71 missed call terpapar di situ. Semuanya dari Irfan. Tak satupun dijawabnya. Untuk apa dijawap lagi. Tidak ada memberikan apa-apa maknanya lagi panggilan itu. Walau seribu kali diulangi, sudah tidak ada maknanya lagi.

Popular Posts