Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 10

“Mmmm ..... Macam mana saya nak mulakan  ye?” 

“Apa yang kau nak cakap tadi...cakaplah...,”

Mai diam  sambil matanya memandang terus ke dalam mata Syamsul. Dia yang meminta untuk mereka berbincang sejak dari tadi lagi. Tetapi, apabila sudah berhadapan begini, lidahnya kelu. Tak  mampu untuk menyusun kata. Dia meramas-ramas jejarinya yang terasa sejuk dan basah dek kerana peluh. Entah mengapa dia merasakan begitu gementar sekali.

“Kau nak cakap pasal perkahwinan kita ?” tanya Syamsul perlahan.

“Saya cuma nak kita jelas segala-galanya.... mmm... saya....,”

“Kau nak kata yang kau tak nak kita bersama? Kau tak nak kita tidur satu bilik? Irtan tak jelaskan lagi duduk perkara sebenarnya hubungan kita ni?”

Terkejut Mai mendengarkan kata-kata Syamsul  itu. Sungguh dia tidak menyangka Syamsul  akan menyebut perkara itu secepat itu. Dia baru sahaja cuba menyusun ayat untuk meminta perkara tersebut. Sedangkan lelaki ini bagaikan sudah dapat membaca isi hatinya.

“Tak... bukan itu maksud saya.... a...a...,”

“Cakap aje Mai, jangan risau.... aku tak marah. Lagipun aku faham....,”

“Apa yang awak faham?”

“Mai, bila aku cakap pada Irfan tentang perkahwinan kita ni, aku dah anggap dia faham. Tapi  aku tak tahu macam mana dia jelaskan pada engkau. Kau nak aku jelaskan semula pada engkau?”  Syamsul  dengan renungan yang tajam. Renungan yang bisa buat hati Mai jadi tak tentu hala. Untuk menutup perasaannya itu, Mai menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. Ya, dia sudah jelas sebenarnya. Tetapi, dia mahu mendengarnya dari mulut Syamsul  sendiri.

“Bila aku kahwin dengan kau, aku dah tak ada niat sedikit pun lagi untuk jadi cina buta. Aku rasa itu dah jelas kenapa kan?” kata Syamsul. 

Setelah agak lama mendengar kata-kata itu, Mai mengangguk lagi. 

“Aku tahu, kau kahwin dengan aku ni cuma semata-mata sebab kau nak balik semula pada diakan?”

Mata Syamsul terus merenung tajam ke dalam mata Mai, menyebabkan wanita muda itu terus merasa teragak-agak untuk mengiakan kata-kata lelaki di hadapannya itu. Namun mata yang tajam itu terus merenungnya menuntut jawapan dalam kebisuannya. Dan akhirnya Mai mengangguk perlahan.

“Aku dah beritahu Irfan yang aku tak akan lepaskan kau, selagi kau tak minta dilepaskan. Aku nak kau yang buat keputusan. Apa pun keputusan kau, pastikan ia tak malukan sesiapa. Baik engkau ataupun aku.  Terpulanglah sekarang....,” kata Syamsul  dalam nada yang agak sinis.

Terjerut perasaan Mai mendengarkan kata-kata itu. Jadi, sekarang dialah yang perlu buat keputusan? Ah... senang rupa-rupanya lelaki ini... sama sahaja antara dia dengan Irfan. Semua kesalahan mereka lakukan dan sekarang, sebagai wanita dialah pula yang terpaksa membuat pilihan. Membuat keputusan yang sedikit pun tidak boleh memalukan sesiapa.

“Jadi kat sini, sayalah yang mesti tanggung semuanya? Dan kalau saya yang minta dilepaskan, orang tak akan salahkan awak bila perkahwinan ini tak mampu kita teruskan?” tanya Mai sinis. Pertanyaan yang menyebabkan Syamsul  terasa amat tersinggung.

“Ok... aku nak kau jawab... dalam hal ni siapa yang mulakan semuanya? Aku ke? Bukan ke puncanya datang dari Irfan dan kau? Kalau kau orang tak terlanjur sampai bercerai, semua ni tak perlukan?”

Mai terdiam. Tak sanggup untuk menerima kata-kata Syamsul  yang sememangnya benar itu.

“Aku pun kena jaga maruah aku. Kahwin dengan kau ni hanya nak menutup malu engkau je. Hanya untuk pastikan kau boleh kembali pada dia... Patut ke kalau aku yang dipersalahkan?”

Mai diam lagi. Buat Syamsul  jadi makin geram. Kebisuan ini menyebabkan dia merasakan Mai tidak mahu menerima hakikat sebenar. Tidak mahu menerima kesalahan yang dilakukan oleh dirinyaa dan Irfan.
Sedang itu, hati Mai terjerut lagi. Baru saja sebentar tadi mereka kelihatan seperti boleh mesra. Waktu makan  tadi Syamsul  kelihatan begitu mesra melayannya dengan sungguh baik. Berbual tentang dirnya. Bertanya itu dan ini seolah-olah seperti ingin mengenalinya dengan lebih dalam. Namun kini, Syamsul  berubah laku. Dia kelihatan begitu tegas mengatur kata. Hanya kerana egonya sebagai lelaki tercabar kerana kenyataan Mai yang seperti tadi. Ah... lelaki, tak habis dengan ego mereka, bisik hati Mai, diikuti dengan satu keluhan.

“Engkau mengeluh?”

“Entahlah... saya tak tahu apa lagi nak katakan. Terpulang pada awak apa nak kata. Saya..., Cuma nak semua ni cepat-cepat berlalu...,”

“Supaya engkau boleh balik semula pada dia?”

Mai diam lagi. Ya....., jeritnya dalam hati. Kalaulah dia mampu menjeritkan kata-kata itu di hadapan lelaki ini, sudah pasti itu yang dia lakukan. Biar Syamsul  tahu apa yang dia rasakan saat ini. Biar Syamsul  sedar kedudukannya di dalam perhubungan mereka ini.

“Aku cuma nak ingatkan, selagi kita tidak bersama sebagai suami isteri yang sah, selagi itu aku tak akan ceraikan engkau. Bukannya aku nakkan kau sebab nafsu. Jangan kau fikir macam tu pulak. Cuma, aku nak kau jelas, selagi perkahwinan ini tak kita lalui ikut hakikat sebenar sebuah perkahwinan, selagi itulah ianya tak sah untuk kau balik semula pada dia...,” kata Syamsul  dengan nada geram.

Sesungguhnya benar sekali kata-katanya itu. Dia mengahwini Mai kerana ingin membantu, bukan kerana mengharapkan adanya hubungan yang lebih dari yang sepatutnya. Namun aura wanita ini amat menguji kelelakiannya. Sudah sekian lama dia tidak punya hubungan yang  serapat ini dengan seorang wanita. Dan entah mengapa tiba-tiba dia merasakan dia punya hak ke atas Mai. Walaupun untuk seketika, dia tidak suka Mai merendahkan martabatnya sebagai seorang suami. Petang tadi dia merasakan dia amat memahami perasaan Mai. Tapi bila sekarang hakikat perkahwinan ini mereka perbualkan, hatinya terasa marah, egonya bagaikan tercabar. Ah... wanita ini sungguh tidak hormatkan dia sebagai seorang suami. Mungkin kerana cintanya kepada bekas suaminya terlalu kuat hinggakan rasa hormatnya pada seorang suami di abaikannya. 
Ah... tercabar sungguh egonya sebagai seorang lelaki.

Mai yang terdiam sejak tadi tidak mampu menelah gelodak jiwa yang mengocak kedamaian di tasik hati Syamsul. Terlalu sibuk dia melayan gundah di hatinya sendiri,  sehinggakan dia tidak menyedari sedikit kekecewaan yang tercalit di wajah Syamsul.

“Macam nilah... apa kata kalau kita hold dulu hubungan ini berjalan. Saya masihbelum bersedia. Mungkin dalam masa tiga bulan? Lepas tempoh tu, saya akan minta awak lepaskan saya. Saya pun kena jaga reputasi saya juga. Kalau orang tengok kita berpisah dalam masa terdekat ni..., mesti mereka syak nanti yang... kita kahwin sebab... cina buta...,” kata Mai dengan nada berani. 

Namun  Syamsul  dapat mengesan ada getar dalam suara wanita muda itu. Walaupun begitu dia mendiamkan sahaja. Dia menarik nafas panjang. Sungguh dia tidak menyangka Mai akan berkata begitu. Dia menyangka Mai akan memberinya tempoh yang lebih pendek dari itu. Namun masih didiamkannya. Tak mahu memberi apa-apa komen. Jauh di sudut hati dia sebenarnya merasa tidak selesa berbicara sebegini.

“Terpulanglah pada engkau.,” katanya sambil mengangkat bahu.

Mai mengangguk sambil matanya terus memandang ke skrin television tanpa sedikit pun dapat menghayati butir bicara yang terpapar di kaca television di hadapannya itu.

“ Ya... tiga bulan ok?” perlahan dia bersuara. Cuba menampakkan ketegasan walaupun kelihatan goyah sekali di mata Syamsul.

“Jangan nanti kau pulak yang ubah fikiran,” kata Syamsul  seolah-olah memberi amaran.

“Tak ... insyaallah saya tak akan ubah fikiran,”

Syamsul  terdiam mendengarkan kata-kata itu. Lama matanya memandang ke wajah Mai. Cuba menyelami hati wanita itu. Cuba memahami gelodak di jiwanya. Akhirnya dia mengalah. Ah... lantaklah... getus hati Syamsul.

“Maksud aku.... takut kau ubah fikiran nanti... nak terus jadi isteri aku...,” jawab Syamsul  selamba.

Kata-kata yang membawa rasa getar meronta di jiwa Mai. Seketika  dia terdiam, kaku.

****

Irfan mencampakkan kunci keretanya dengan rasa cukup geram. Geram kerana tidak mampu melakukan apa-apa dalam hal antara dia dan Mai. Geram kerana dia hanya mampu memandang sahaja dua pasangan itu berada sebumbung di rumah yang selama ini dikongsinya bersama Mai. Dan yang nyata kini Mai akan berkongsi bumbung dengan lelaki itu dalam tempoh yang dia sendiri tidak tahu berapa lama. Dan yang nyata, dia sebagai lelaki, sudah terlepas pandang satu perkara yang jelas dan nyata. Syamsul  adalah seorang lelaki yang tampan. Dan ketampanannya terserlah kini selepas dia merapikan diri khas untuk majlis pernikahan ini.

“Hei... kalau marahpun, janganlah lepaskan kat kunci tu. ...,” rungut Zamzuri melihatkan Irfan marah-marah.

Melihatkan Irfan mengeluh Zamzuri turut mengeluh halus. Nampaknya malam ini dia akan menghadapi lagi situasi yang sering dialaminya sejak Irfan tinggal bersamanya beberapa bulan yang lalu. Temannya ini sudah benar-benar gila talak.  Gilanya semakin teruk di saat-saat akhir ini. Sejak tarikh pernikahan Mai ditetapkan.
Zamzuri merenung dalam-dalam wajah Irfan yang mencuka. Kalau boleh diikat muncungnya pasti itulah dia lakukan. Lantas Zamzuri tergelak sendiri membayangkan bagaimana rupa Irfan jika itu yang lakukannya kepada temannya itu.

“Dah selamat mereka tu?” Zamzuri bertanya lirih.

Irfan menjeling marah pada teman di hadapannya. Mengapalah Zamzuri tak sudah-sudah  mengingatkan dia kepada apa yang berlaku kepada Mai hari ini? Menyebabkan membuak lagi rasa marah pada dirinya sendiri kerana menyebabkan semua ini berlaku.

“Kau tak pergi intai ke rumah kau malam ni? Mengintip pengantin yang sedang memadu asmara....,” kata Zamzuri dengan ketawa yang makin menjadi-jadi.

Pantas Irfan  bangun dan cepat sekali tangannya menggenggam leher baju T Zamzuri. Kemarahannya tidak lagi mampu dibendung. Lupa seketika dia dengan pertolongan yang diberikan oleh Zamzuri selama dia dalam musibahnya ini.

“Kau jangan nak main-mainkan aku... nak ejek aku...,” kata Irfan dengan mengetap giginya. Menunjukkan kemarahan yang teramat sangat. Kecut perut Zamzuri jadinya. Ah, dia telah melanggar batasan dalam gurauannya kali ini. Menyebabkan Irfan marah. Cepat sekali Zamzuri memegang kedua tangan Irfan yang menggemggam leher bajunya dengan erat... penuh kemarahan dan dendam yang tersimpan sekian lama di hati.

“Sorry Fan... sorry... aku salah cakap Fan... sorry,” pantas sekali bibir Zamzuri memohon maaf. Dia tidak mahu mengambil risiko dimarahi olah Irfan nanti. Tak mahu lebam matanya dek penangan buku lima sahabatnya itu. Pantas irfan melepaskan leher bajunya dan menolak temannya itu hingga jatuh terduduk di atas sofa yang didudukinya sebentar tadi.

“Kau... jangan sesekali buat lawak bodoh kau tu....,” kata Irfan yang masih lagi marah. “nanti kang ada yang lebam bijik mata dia nanti....,” kata-kata berbentuk amaran yang masih keras ditujukan kepada Zamzuri yang termanggu-manggu di sofa.

Terdiam Zamzuri seketika. Terkebil-kebil dia memandang ke wajah Irfan. Satu persatu dia menghitung nafasnya.

“Ok.. ok.... aku cuma tanyakan khabar ...,” ucap Zamzuri.

“Dengan menyindir aku?” jawab Irfan dengan pertanyaan. Nada marahnya menunjukkan dia cukup tidak senang disindir begitu.

“Oklah... aku tak akan sindir kau lagi. Cuma aku nak tahu macam mana semuanya?”

Lama Irfan diam tanpa kata. Tidak mampu menjawab pertanyaan Zamzuri. Dari pagi dia menyaksikan, atau dengan lebih tepat lagi memerhatikan  dari jauh majlis perkahwinan Mai dengan Syamsul. Dari Majlis Agama Shah Alam, hinggalah ke kedai makan di mana sedikit majlis kesyukuran di adakan, dia terus menekur waktu, menanti dan menanti untuk menatap wajah Mai. Ingin sekali dia mendekai Mai dan menyaksikan sendiri bagaimana dia menghadapi semua itu. Ingin sekali dia menyaksikan samada ada cahaya suram atau sinar bahagia di mata itu. Cukup hatinya terjerut dengan rasa cemburu biarpun dia tahu bahawa Mai sebenarnya tidak merelakan semua ini. Dan bila Mai kembali ke rumah mereka di Seksyen 9 bersama lelaki itu, hatinya terhiris bagaikan digores belati tajam.

“Sakit hati aku Zam... tengok dia dengan lelaki tu memasuk ke rumah yang pernah aku kongsi dengan  Mai dulu. Semua ni buat aku jadi curiga Zam,” akhirnya dia meluahkan kata yang terpendam di lubuk hatinya.

 “Maksud kau Fan?”

“Aku curiga ... takut nanti  Mai berpaling tadah dari aku? Mungkin ke satu hari nanti dia jatuh hati dengan lelaki tu?” ucapnya sambil matanya terus merenung ke satu ruang kosong di hadapannya. Ya... mungkinkah Mai aka jatuh hati pada lelaki yang menempatkan dirinya dengan selesa sekali dalam hidup dia dan Mai? Ah... cukup dia merasa marah dengan dirinya. Marah kerana membiarkan semua ini berlaku antara mereka. Marah kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Namun untuk apa menyesali keterlanjuran diri. Yang penting kini ialah dia perlu pertahankan perasaan Mai terhadapnya.

“Engkau bagitau aku ke... atau kau tanya pendapat aku ni?” kata Zamzuri dengan nada yang lebih berhati-hati. Irfan hanya menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak mengerti apa sebenar jawapan yang diperlukannya. Lama kemudian barulah Irfan kembali bersuara.

“Maghrib tadi dia telefon aku,” katanya tiba-tiba. Menyebabkan Zamzuri berpaling padanya tanda terkejut. “ Aku risau Zam. Dia marah.... dia kata aku tipu dia. Mai tuduh aku  sengaja sembunyikan hakikat bahawa lelaki tu tidak akan melepaskan dia sampaikan dia sendiri meminta untuk dilepaskan,”

“Habis apa kau jawab?”

“Apa lagi aku nak jawab, diam ajelah...., makinlah dia marah pada aku. Lepas tu tiba-tiba dia putuskan talian.” Ucap Irfan sambil mengeluh berat sekali.

“Dan malam ni... they will spend the night together.... apa aku nak buat Zam? Isteri aku tu....,” keluhnya lagi. Dia melarikan jari jemarinya di celah-celah helaian rambutnya yang hitam lebat itu. Mengeluh lagi. Sudah tidak pasti untuk kali yang keberapa.




Comments: (4)

Bab 9
Mai serba salah lagi. Patutkah dia lakukan perkara itu? Layakkah dia melayan lelaki yang kini bergelar suaminya sebegitu? Cukup serba salah rasanya untuk memberitahu Syamsul   bahawa dia tidak sanggup untuk berkongsi bilik dengan suaminya itu. Tapi, tidakkah lelaki ini sedar bahawa pernikahan ini bukannya setulusnya datang dari keinginan masing-masing? Tidak keterlaluankah dia jika dia mengharapkan agar tidak ada apa-apa hubungan intim yang akan berlaku dalam perkahwinan ini. Bukankah perkahwinan ini hanya sebagai syarat untuk dia mampu kembali kepada Irfan?
Selepas insiden di dapur tadi, mereka terus keluar ke ruang tamu semula. Tidak mampu untuk dia terus mengingatkan insiden penuh debaran begitu. Rasa rindu pada Irfan kembali meruntun-runtun hatinya. Bagaikan diramas-ramas perasaannya bila mengingatkan pelukan hangat itu tadi biarpun hanya berlaku untuk seketika. Ingin rasanya dia mengembalikan kehangatan itu. Dengan Irfan sudah semestinya, bukan dengan lelaki lain! Hatinya membentak sendiri.
Syamsul  juga memandang Mai dengan penuh rasa serba salah. Dia tahu keresahan Mai bagaikan tidak mampu dibendungnya lagi. Nampak jelas di matanya bagaimana Mai cuba mengelak dari bertentang mata dengannya. Dia juga rasa resah dalam keadaan begitu. Tetapi dia cuba untuk mengawal perasaannya. Terdetik rasa lucu di hati bila mengingatkan bagaimana kalutnya Mai selepas tubuh lembut itu berada dalam pelukannya sebentar tadi. Bagaimana Mai  cepat-cepat cuba menjauhkan diri. Ah... Mai, kelihatannya begitu naif sekali meskipun pernah berkahwin selama tujuh tahun. Hati Syamsul  bagaikan tertanya sendiri bagaimana hubungan isterinya itu dengan Irfan dulu. Adakah  sesyahdu  hubungannya dengan Suhaila?
“Aku nak mandi...,” ucapnya bila dilihatnya Mai resah bila berada di sampingnya. Isterinya itu kelihatan cukup serba salah dan tidak tahu apa yang harus diperkatakan dan apa yang sepatutnya dilakukan.
“A...a....,”
“Kalau engkau rasa tak selesa, aku boleh gunakan bilik kat bawah ni aje. Tak perlulah kita kongsi bahagian tingkat atas rumah ni...,”
Mai menarik nafas panjang. Nasib baik lelaki ini sedar apa yang dia inginkannya. Dia  merasakan hubungan ini terlalu baru untuk mereka berkongsi segala-galanya. Sememangnya dia telah menyiapkan bilik di bawah ini untuk Syamsul. Bukan  niatnya untuk mereka terus tidur berasingan. Tetapi, biarlah untuk sekadar waktu ini, mereka cuba mengenal hati budi masing-masing sebelum memulakan hubungan yang lebih intim.
Irfan telah menjelaskan kepadanya bahawa dia wajib melayan suaminya ini selayaknya untuk mempastikan selepas dia diceraikan nanti, mereka boleh kembali bersama. Walaupun dia enggan menerima kenyataan itu pada awalnya, pujukan Irfan membuatkan dia akur dengan hakikat itu. Memang dia tidak tahu banyak perkara tentang hukum. Tapi bila diberitahu tentang kewajipan dalam Islam, dia terasa takut untuk tidak akur dengan hukum-hakam itu. Dia juga tidak inginkan hubungan yang haram berlaku antara dia dengan Irfan bila mereka kembali bersama nanti. Dia juga ingin keberkatan dalam hidupnya.
Cuma satu perkara yang tidak mampu untuk dilaksanakan setakat ini iaitu menutup aurat sepenuhnya. Dia hanya memakai selendang tipis di kepala ketika berada di sekolah atau dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja yang memerlukan supaya dia berbuat begitu. Tudung yang dipakainya pun dalam keadaan yang kurang sempurna. Selalunya dalam bentuk selendang nipis yang hanya disebarkan ke kepalanya untuk menutup sebahagian sahaja dari rambutnya.
 Dia merasakan yang dia masih lagi belum mampu untuk melakukan kewajipan itu sepenuhnya. Terasa masih berat di hatinya kerana jika dia menutup aurat, pastinya banyak perkara yang tidak sesuai untuk dilakukan. Dia ingin memakai pakaian-pakaian yang mengikut trend semasa. Jika dia memakai tudung, tak mungkin dia dapat memakai gaun-gaun indah yang telah Irfan hadiahkan kepadanya selama ini.  Dia tidak mahu hipokrit.
Baju-baju yang kebanyakkannya mengikut bentuk badan bila disarungkan ke tubuh langsingnya itu pastinya tidak sesuai untuk mereka yang bertudung. Tambahan lagi kebanyakkan baju-baju itu agak seksi sekali. Ada yang  menampakkan lurah di dada dan berlengan pendek. Ada juga yang diperbuat dari kain nipis yang memerlukan dia memakai simis atau pun korset di dalamnya.
Dulu Mai sering menggayakan pakaian sebegitu bila keluar makan malam bersama Irfan. Juga bila menghadiri majlis-majlis yang memerlukan Irfan membawa bersama isterinya. Irfan cukup suka sekali melihat dia berpakaian seksi. Dia sering menyatakan betapa banggaannya dia bila dapat mempamerkan kecantikan Mai ke mata kenalannya di majlis-majlis yang mereka hadiri.
“Mai ...,” teguran Syamsul  mengejutkan Mai yang hanyut dalam lamunan.
Tidak menyedari bahawa dalam dia melamun mengenangkan Irfan serta kenangan manis mereka, rupa-rupanya Syamsul sedang  memerhatikan dirinya. Dia senyum pada lelaki itu. Bagaikan bingung seketika, dia cuba mengingatkan apa yang mereka perkatakan sebentar tadi.
“Aku guna bilik bawah ni boleh?”
Ingatan Mai kembali kepada perkara yang mereka bicarakan.
“Tak apa ke...? Emm ... awak tak kecil hati ke?”
“Huh... pasal apa pula nak kecil hati?”
Mai diam, tidak pasti samada patut atau tidak dia mengutarakan tentang bagaimana hubungan mereka nanti.
“Boleh kita duduk sekejap tak? Bincang tentang... hubungan kita ni?” tanya Mai dengan  teragak-agak. Syamsul  merenung jam dinding yang kebetulan ada berdekatan mereka. Waktu maghrib sudah masuk dan dia masih belum membersihkan diri lagi. Ada kewajipan lain yang perlu mereka laksanakan terlebih dahulu.
“Em... boleh tunggu malam ni tak? Aku rasa dah tak selesa sangat dengan baju melayu yang dah melekit dengan peluh ni,” ucap Syamsul  tegas.
Cepat-cepat Mai mengangguk. Terasa malu kerana sikapnya yang terburu-buru tanpa mengambil kesah tentang keselesaan tetamunya ini. Tetamu? Ah ... Bukankah begitu?  Bukankah dia cuma bertamu sahaja dalam hubungan ini? Dan bila tiba waktunya nanti dia akan pergi dari sini. Cepat-cepat Mai meyakinkan dirinya.
“Kalau boleh jangan marah ye pada saya? Saya masih belum dapat terima lagi.... hubungan kita ni. Awak jangan kecil hati ye?” ucap Mai perlahan. Sungguh dia memerlukan pengertian dari pihak Syamsul.
“Tak ada masalah, malam nanti kita bincang.  Sekarang ni aku nak mandi dulu. Bersihkan diri ni dulu,” kata Syamsul  perlahan. Suaranya yang lembut tetapi sedikit tegas  itu membuatkan Mai terus akur.
“Em... sekejap ye? Saya ambil kain tuala,” tanpa menunggu jawapan dari Syamsul, dia terus berlari mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas rumah.
Syamsul  hanya memandang tubuh kecil isterinya itu berlari ke tingkat atas.  Pada mulanya dia ingin menghalang. Ingin memberitahu yang dia ada membawa kain tualanya sendiri. Namun dilupakan niatnya itu. Biarlah, mungkin ini akan dapat menenangkan hati Mai yang sejak tadi resah gelisah. Dia tersenyum sendiri melihatkan gelagat isterinya itu.
Ah.... dia boleh terpikat dengan sikap naif Mai yang begitu telus. Mudah sekali menggelabah bila ada yang meresahkannya. Sungguh dia tahu Mai cuba berlagak berani. Namun Mai masih lagi tidak mampu untuk menyembunyikan keresahan di hatinya. Membuatkan ada ketikanya Syamsul  merasakan ingin sekali terus-terusan mengusik wanita itu. Tetapi rasa simpati Syamsul menghalangnya dari terus berbuat begitu.
Selepas seketika, Mai turun kembali dan menghulurkan sehelai kain tuala kepadanya. Kelihatan masih baru dan wangi seakan-akan baru lepas dicuci. Syamsul  senyum lagi. Kali ini Mai kelihatan membalas senyuman itu. Terasa  lega di hatinya melihatkan senyuman itu.
****
Selepas mandi Syamsul  keluar dari bilik untuk mengajak Mai solat Maghrib bersamanya. Dia tidak nampak kelibat Mai di mana-mana maka dia melangkah di tingkat atas untuk mencari isterinya itu. Dia tahu, dia telah melanggar batas yang dia sendiri tetapkan tadi, iaitu hanya ingin berada di tingkat bawah rumah tersebut. Tapi, bukankah batas itu hanya dia ciptakan di dalam hati? Lagipun dia punya tanggungjawab untuk memastikan isterinya itu sudah menunaikan solat maghrib atau belum. Kini dia telah punya satu lagi tanggungjawab. Tidak mahu  menganggung dosa yang tidak sepatutnya. Tidak mahu tingkah isterinya nanti yang mengheretnya ke neraka.

Tiba di tingkat atas, Syamsul melihat terdapat tiga buah bilik tidur di atas. Dua daripadanya terbuka luas pintunya. Dia mengintai ke dalam tetapi tidak kelihatan isterinya di situ. Lantas dia menghampiri satu lagi bilik yang pintunya sedikit renggang. Ingin mengetuk tetapi suara perbualan Mai di telefon membuatkan dia terhenti seketika.
Ah... berbual di telefon pada saat-saat begini? Waktu maghrib sebegini sepatutnya mereka habiskan dengan bersolat dan melaksanakan amalan-amalan sunat yang lain sementara menunggu waktu Isyak. Tambahan lagi hari ini adalah hari Khamis dan malam ini adalah malam Jumaat. Seeloknya malam ini surah Yaasin dibacakan, sebagai salah satu amalan mulia yang seeloknya dijadikan amalan mingguan.
Biasanya Syamsul  akan ke masjid bila masuk waktu Maghrib. Restoran Kak Ros sememangnya di berhentikan perkhidmatannya antara waktu Maghrib dan Isyak. Selepas solat Isyak barulah dia kembali ke restoran untuk meneruskan kerjanya. Pelanggan mereka juga sudah faham dengan jadual waktu penjualan di restoran Kak Ros. Selalunya pelanggan tetap restoren tidak datang antara waktu Maghrib  dan Isyak. Kalaupun ada yang datang waktu itu, mereka akan diberitahu tentang waktu perniagaan restoren. Ada ketikanya mereka sanggup menunggu bila tiba saat Syamsul  memulakan kerja memasaknya selepas dia kembali dari masjid. Restoren itu juga ada menyediakan tempat untuk pelanggan bersolat.
 Itulah antara pengajaran-pengajaran baik yang diterimanya oleh Abang Din. Menurut Abang Din, tuntutan bersolat jemaah adalah amalan mulia yang sebaiknya tidak ditinggalkan. Ia mampu menguatkan jemaah dan  merapatkan unkwah. Tambahan lagi orang yang menjaga solat jemaahnya mendapat kebaikan yang tidak terhingga. Antaranya ialah, dia akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab dan juga dia menerima buku amalannya di akhirat kelak dengan tangan kanannya. Mungkin fadhilat ini Allah berikan kerana sememangnya sukar bagi seseorang untuk menjaga solat jemaahnya. Yang benar-benar kuat melawan nafsu sahaja yang mampu melakukan itu. Kerana itulah sejak dari dulu lagi Aband Din  menetapkan masa perniagaannya sebegitu. Dan Syamsul  sedaya mungkin untuk cuba menjadi salah seorang yang tergolong dalam kumpulan itu. Bukan hanya  untuk mendapatkan pahala yang dijanjikan, malah juga untuk membaiki disiplin diri yang sering lalai dalam memastikan dirinya solat di awal waktu.
Namun hari ini dia masih baru di kawasan ini. Juga dia tidak punya kenderaan untuk ke masjid. Masjid yang paling dekat pula terletak agak jauh untuk dia berjalan ke sana dalam keadaan kakinya yang sebegitu. Maka dia berharap agar sekurang-kurangnya dapat mengajak Mai berjemaah bersama. Walaupun dia tidak mendapat pahala berjemaah di masjid, sekurang-kurangnya dia akan mendapat pahala berjemaah bersama isterinya.
Keadaan Mai yang kedengaran seperti menangis dan marah-marah di telefon menyebabkan dia dapat meneka bahawa isterinya itu sedang berbicara dengan Irfan. Mungkin sedang menuntut jawapan untuk pembohongan yang dilakukan oleh bekas suaminya itu. Kedengaran kecewa sekali suara itu. Timbul rasa marah di hati Syamsul dengan sikap Mai yang menghubungi Irfan di malam pengantin mereka. Namun dia akur dengan hakikat tentang siapa dirinya dalam perhubungan ini.
Cepat-cepat dia mengetuk pintu bilik Mai untuk mengganggu perbualan tersebut. Mai tidak boleh dibiarkan terlalu asyik melayan perasaannya. Waktu solat Maghrib bukannya lama. Mereka perlu segera bersolat.
“Assalamualaikum Mai, mari kita solat jemaah,” katanya pantas dengan suara yang cukup kuat. Berharap supaya Irfan mendengar suaranya itu di hujung talian.
Pintu bilik Mai terkuak luas dan Mai berdiri di hadapan pintu. Perasaan marah kelihatan terpamer di wajahnya. Mungkin geram kerana diganggu semasa berbual dalam telefon. Matanya merah dan sedikit bengkak tandanya baru lepas menangis.
“Kenapa kacau masa saya tengah berbual dalam telefon? Nak solat... solatlah dulu. Nanti saya solatlah,” katanya geram.
“Emm... mana lebih utama? Waktu solat atau berbual di telefon?” tanya Syamsul  sinis.
Agak marah dengan sikap biadap Mai itu. Hilang rasa hormatnya kepada kelembutan yang dipamerkan oleh wanita itu sebelum ini. Perkara kedua yang perlu diperbetulkan olehnya, bisiknya dalam hati. Itu tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Tanggungjawab yang terpikul di bahunya sejak dia melafazkan ijab lewat tengahari tadi.
Kata-kata  Syamsul  itu menyebabkan hati Mai bagaikan terjerut. Terasa bersalah kerana berkasar dengan lelaki ini sebentar tadi. Dia bagaikan lupa bahawa yang berdiri di hadapannya ini adalah suaminya. Lantas dia mengeluh perlahan. Kecut rasa hatinya melihatkan renungan Syamsul  yang tajam itu. Perwatakan lelaki ini ada kalanya membuatkan hatinya terasa takut. Serius dan tegas orangnya. Matanya tajam seperti anak panah yang menusuk terus ke dalam jantungnya.
“Sekejap...  saya ambil wuduk,” cepat sekali jawapannya. Sepantas itu juga dia berlalu ke bilik mandi sambil diperhatikan oleh Syamsul.
Mereka bersolat jemaah di bilik yang bertentangan dengan bilik Mai. Syamsul  masih lagi menghormati batasannya untuk tidak masuk ke bilik Mai. Dia tahu dia ada hak sepenuhnya ke atas diri Mai. Namun ini bukan masanya untuk menunjukkan kuasanya sebagai seorang suami. Dia tidak boleh terlalu gelojoh dan bebas untuk menunjukkan  haknya ke atas hidup isterinya. Semua itu perlu dibuat perlahan-lahan dan dengan cara yang paling berhemah.
Setelah untuk pertama kalinya dia mengimamkan solat mereka, Syamsul  memanjatkan pula doa ke hardat Allah subhanahuwataala demi untuk kesejahteraan mereka berdua. Memohon keampunan bagi dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Satu persatu Mai menghayati doa-doa tersebut. Di hatinya timbul satu rasa hormat terhadap lelaki ini. Walaupun cacat, dia mampu untuk mengimamkan sembahyang mereka. Ketegasannya dalam memastikan Mai bersolat bersamanya sebentar tadi menunjukkan dia begitu serius dalam hal ibadah yang satu ini. Sesuatu yang tidak pernah dilihat sepanjang perkahwinannya dulu bersama Irfan. Memang Irfan juga bersolat. Tetapi dia tidak pernah mengajak Mai untuk solat bersama.
Selesai solat Isyak, seperti yang dijanjikan Syamsul  mengajak Mai ke dapur. Ingin memasak sesuatu yang istimewa untuk mereka. Mai tertanya-tanya hidangan apakah yang dimaksudkan dengan menu istimewa itu? Di dapurnya cuma ada bahan mentah yang biasa-biasa sahaja. Hidangan istimewa apa agaknya yang akan dimasak oleh Syamsul ?
“Ok... tadi saya jumpa mee segera dalam kabinet, ayam cincang, sayur campur dan telur dalam peti ais, dan bawang untuk rencahnya. Jom kita masak,” kata Syamsul  dengan nada mesra.
“Nak masak mee segera ke? Kata hidangan istimewa...,” rungut Mai yang sudah sedikit selesa dengan kemesraan yang dipamerkan oleh Syamsul  kepadanya.
Syamsul  ketawa. Kedengaran  parau sekali bunyi suaranya. Ketegasannya sebentar tadi hilang sekelip mata. Lelaki ini mudah sekali berubah sikapnya, bisik hati Mai. Tadi kelihatannya serius tapi kini begitu mesra sekali melayan dirinya. Membuatkan Mai jadi keliru dengan sikap lelaki ini. Teringat dia waktu pertama kali bertemu dahulu. Cukup dia merasa kecut perut dengan pandangan dan renungan lelaki ini yang ketika itu bagaikan sedang meneroka segenap ruang yang ada dalam hatinya. Tidak sangka sama sekali dia punya sikap yang semesra ini.
“Ada daun sup tak?” tanya Syamsul  sambil tangannya mula mengupas bawang besar dan bawang putih. Tangkas sekali kerja itu dilakukan. Ah... mestilah, bukankah dia tukang masak, getus Mai dalam hati. Mai terus menyelongkar ruang sayur-sayuran di dalam peti ais untuk mencari bahan tersebut.
“Emm.. ada pun,” jawabnya apabila menemui daun sup yang sudah sedikit kering di dalam peti aisnya. “Tak apa ke? Emmm... dah kering sikit,”
“Tak apa.... tolong basuhkan boleh tak?” kata Syamsul  sambil tangannya pantas sekali mencincang bawang besar dan bawang putih tersebut.
 Mai menurut sahaja permintaan lelaki itu masih lagi tertanya-tanya juadah apa yang akan dimasaknya. Kalau setakat masak mee segera, dia pun boleh. Malah makanan itulah yang sejak akhir-akhir ini menjadi juadah utamanya. Cukup malas sekali dia memasak sesuatu yang lebih dari itu untuk dirinya sendiri.
Syamsul  merendam mee segera ke dalam air panas yang telah dijerangnya sebelum ini. Kemudian dia mula menumis semua bawang yang telah dicincang dan akhirnya memasukkan isi ayam cincang tadi. Dia memasukkan garam, sedikit lada sulah dan sedikit gula. Mai mula membuka perencah mee segera yang terdapat dalam paket mee dan menghulurkannya kepada Syamsul.
“Opsss tak perlukan itu, kita jangan pakai perencah ye, semua dari sumber asli yang kita yakin keselamatannya... ok?” dia senyum dengan sungguh manis sekali.
Aura kelelakiannya bagaikan menyentap perasaan Mai. Terselit rasa gembira di hati bila melakukan aktviti memasak bersama begini. Sepanjang 7 tahun dengan Irfan dia tidak ingat entah berapa kali mereka melakukan aktiviti begini. Sungguh menyeronokkan rupa-rupanya. Tidak disangka aktiviti yang sebegini ringkas, rupa-rupanya mampu membawa rasa senang di hati? Mai tersenyum sendiri. Ya, bila kembali bersama Irfan nanti dia akan pastikan mereka akan melakukan aktiviti begini bersama.
Bila terlintas ingatan itu di hatinya Mai nafas Mai bagaikan terhenti seketika. Ah... bila agaknya itu akan berlaku? Masih terlalu panjang rasanya masa itu akan tiba. Entah bila dia dan Syamsul  akan bercerai. Kemudian, di perlukan tiga bulan lagi untuk menghabiskan edahnya. Selepas itu barulah dia dan Irfan boleh kembali bersama. Terlalu lama lagi masa itu akan tiba. Cuma yang boleh kini dilakukannya ialah dia boleh meminta cerai dengan Syamsul  dalam masa terdekat ini.  
Mai menatap wajah Syamsul  yang begitu leka memasak. Nampak agak cute bila dalam keasyikan itu dia mengetap bibirnya sambil menyanyi perlahan. Mai cuba memanjangkan lehernya untuk mendengarkan lagu apa yang dinyanyikan. Namun dia tidak dapat menangkap butir senikata yang diungkapkan oleh lelaki yang ada kalanya serius dan ada kalanya kelihatan begitu santai sekali perwatakannya ini.
Ah... dengan cukup selesa sekali dia meletakkan dirinya dalam hidupku, bisik Mai dalam hati. Dia cuba membuang rasa selesa yang mula menyelinap masuk ke dalam hatinya. Tetapi perasaan itu tetap datang dan bagaikan mengelus lembut di hatinya. Menyebabkan ada rasa bahagia mula bertandang di situ.
“Ok... dah siap...bahagian yang ini....,” kata Syamsul  sambil tersenyum sumbing untuk Mai. menyebabkan Mai juga mahu tersenyum melihatkan Syamsul  yang kelihatan lucu sekali perlakuannya.
“Eh, dah siap?” dia bertanya dengan nada hairan.
“Belum... ini bahagian yang pertamanya. Baru nak buat bahagian yang keduanya pula...,”
Pantas sekali Syamsul  memecahkan telur ke dalam sebuh mangkuk yang sederhana besar. Dia memasukkan daging ayam cincang yang telah dimasaknya tadi. Ditambah dengan sedikit sayur capur dan daun sup yang sudah dicincang. Mai terus memerhatikan dia memukul adunan telur itu dengan garfu. Akhirnya Syamsul  memasukkan mee segera yang telah ditoskan ke dalam adunan telur.
Terus dia memasukkan adunan itu ke dalam minyak panas di kuali. Dia menutup kuali itu dengan tudung dan selepas kira-kira tiga minit dia membalikkan adunan yang separuh masak  itu. Kira-kira dua minit kemudian Syamsul  menadah pinggan untuk meletakkan juadah yang cukup harum baunya itu ke dalam pinggan tersebut.
“Siap... murtabak mee segera.....,” kata lelaki itu sambil mengangkat pinggan berisi juadah yang disebut sebagai murtabak mee segera ke hidung Mai.
“Wah... sedapnya bau.... mesti rasanya pun sedap....,” kata Mai dengan cukup teruja. Perutnya yang sudah lapar mengeluarkan bunyi bila deria baunya menangkap bau harum juadah itu.
“Rasanya pun sedap... cubalah...,” kata Syamsul  sambil mengambil sudu dan garfu dan menghulurkannya kepada Mai.
Mai duduk di kaunter dan mula menikmati juadah yang sungguh harum baunya itu.
“Makan dengan sos, lagi sedap...,” kata Syamsul  sambil menuangkan sedikit sos cili ke atas murtabak itu. Mai  menyuap sesudu makanan itu ke mulutnya. Tanpa sedar, makanan yang masih panas itu memijarkan bibirnya.
“A.... panas....,” rengek Mai manja sambil sepontan dia memandang ke dalam mata Syamsul.
Perlakuan luar sedarnya itu membuatkan Syamsul  terpana seketika. Terpesona dengan kemanjaan yang untuk pertama kalinya dipamerkan kepadanya. Dia menarik nafas panjang dan menelan air liurnya. Ah... kalaulah begini selalu, dia boleh terpikat dengan wanita muda ini. Sesuatu yang sepatutnya tidak boleh berlaku kalaulah satu hari nanti mereka terpaksa berpisah.

Popular Posts