Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 5

“Betul ke ni Pudji...,”
“Betul... ,”
“Kau tak nyesal nanti?”
“La... nak kenapa pulak aku nak nyesal?”
“Seingat aku, dari hari tu lagi kau asyik cerita pasal dia pada mak... mak pun selalu cakap yang kau suka kat dia. Habis tu tak kanlah senang-senang je kau nak bagi aku?”
Mata Fauzi galak melatari wajah abangnya. Kalaulah diikutkan hatinya mau saja dia menampar pipi abangnya itu. Sudah berapa kali dia mengulangi perkataan itu sampaikan Fauzi rasakan yang egonya tercalar.
“Berapa kali aku nak cakap ni.... sudahlah.. kalau kau tak nak tak payah... cakap je terus terang. Senang aku nak bagitau dia balik yang kau tak nak...,” ugut Fauzi pada Faris. Kelihatan wajah Faris berkerut mendangarkan ugutan itu.
“Ish... teruknya engkau ni ... tak kanlah tadi mak dah cakap nak... lepas tu sekarang cakap tak nak pulak... yang engkau memandai pergi cakap mak nak datang merisik tu kenapa? Langsung tak tunggu aku bagi jawapan,” rungut Faris dengan kerut yang masih di dahi.
“Hah... tunggu jawapan dari engkau, alamatnya tahun depan pun tak tau lagi ada jawapannya ke tidak. Dah berapa lama emak tanya engkau soalan tu... sama je... tak ada jawapan... sebab tu mak tolong buatkan keputusan..,”
Faris terdiam. Betul kata Fauzi itu dan dia sedikitpun tidak mampu untuk menafikan semuanya. Kalaulah jawapan yang ditunggu pastinya dia akan diam lagi sampai emak merepek lagi. Wajah Fauzi yang muda lima tahun dari dirinya di pandang sinis. Terlihat di matanya seraut wajah yang  menunjukkan kematangan dalam usia semuda itu. Dia sendiri terlalu sibuk untuk memikirkan tentang sebuah perkahwinan. Atau mungkin sengaja mengelakkannya supaya topik ini akhirnya dilupakan begitu sahaja.
“Betulkan cakap aku ni?” sindir Fauzi. Ada rasa geram singgah di hati. Sikap acuh tidak acuh Faris dengan keinginan emak dalam hal ini membuatkan dia merasakan abangnya ini cukup tidak hormat pada emak. Sudah berapa kali emak menyatakan hasratnya untuk menerima menantu, malah untuk mendapat cucu, tapi Faris buat tak endah saja. Terlalu sibuk mengejar kerjayanya. Sedangkan usianya makin bertambah. Teman-teman seusia dengannya sudah pun ada yang beranak dua dan tiga. Namun dia masih sendirian mengusung kenangan.
“Tapi... tidak ke terburu-buru sangat ni... aku belum kenal dia... dia pun belum kenal aku...,”
“Masa bertunang nilah kena berkenal-kenalan... apa susahnya... ,” sambut Fauzi.
“Pudji..... ini zaman melleniumla... mana ada match making lagi dah...,”
“Jangan nak mengarut  bagai... ok.... kalau kau sendiri nak cari match engkau... alamat kempunanla mak nak timang cucu. Jadi, sebelum itu yang jadi... biarlah aku yang matchkan untuk engkau...,”
“Suka hati engkaulah....,” akhirnya Faris berkata setelah agak lama diam menyerap kata-kata Fauzi itu. Dia tidak mampu untuk nafikan kebenarannya.
Matanya melirik kepada emak yang sedang duduk di ruang tamu bersama Farisya yang sedang menulis sesuatu di atas kertas putih. Mesti sedang menyediakan senarai panjang barang-barang yang akan dibeli nanti untuk majlis merisik esok. Itu keputusan emak dan dia tidak mampu berkata apa-apa. Malah dia langsung tidak dibenarkan untuk menghubungi Fazila bagi membincangkan hal ini. Emak bimbang akan nanti keluar patah-patah kata yang akan membuat Fazila menolak hasratnya itu. Sebentar tadi bukan main panjang lebar lagi emak dan emak Fazila berbincang dalam telefon tentang majlis yang ringkas esok. Dan jika kedua-dua pihak bersetuju, pertunangan akan terus dilangsungkan. Dan kini emak mendesaknya untuk pergi mendapatkan  cincin untuk merisik dan juga untuk peminangan sekaligus. Jam baru pukul 8.30 malam, maka sempat lagi ke Poh Kong kata emak. Entah dari mana emak tahu adanya Kedai Emas Poh Kong di KB Mall, salah satu pusat membeli-belah di Kota Bharu ini, Faris pun tak pasti. Emak memang begitu, kalau itu yang dia inginkan, maka akan diusahakannya hingga dia berjaya mendapatkannya.  Sikap yang tertanam kemas dalam diri emak sejak menjadi ibu tunggal selepas ditinggalkan tanpa pesan oleh ayah lebih dua puluh tahun yang lalu.

****

Ketibaan rombongan dari pihak Faris disambut mesra oleh seluruh ahli keluarga Fazila.  Emak dan abah telah menjemput semua emak saudaranya di kedua-dua belah pihak. Selain dari itu, imam masjid di kawasan perumahan itu yang juga merupakan kawan rapat ayah turut hadir sama. Di pihak lelaki pula, selain dari mereka sekeluarga, turut hadir adalah ahli keluarga suami sepupu Makcik Hasmah yang tinggal di Pasir Putih. Rupa-rupanya mereka ada saudara-mara di sini. Memang benarlah rupa-rupanya pelawaan untuk Fazila  menjadi tourist guide mereka itu hanya satu alasan sahaja untuk mempertemukan Fazila dengan Faris. Pandai sungguh Fauzi membuat cerita.

Upacara merisik berlangsung dengan pantas sekali. Fazila  yang berada di dapur, bersama menyediakan juadah untuk hidangan para tetamu tidak sudah-sudah diusik Mak Su Milah. Bila ada yang bertanya sejak  bila dan bagaimana hubungan mereka terjalin, Fazila jadi buntu. Apa yang mampu dia katakan? Sedangkan dia sendiri tidak pasti bila hubungan ini mula terjalin. Malah mereka juga tidak pernah berbicara secara berhadapan.  Suara  Farispun dia sediri tidak pasti bagaimana bunyinya. Terlalu sibuk melayan debar di hati waktu bersama menemanu Makcik Hasmah membeli-belah semalam. Usikan Kak Rini pula buat wajah Fazila makin merona kerana malu.
“Itulah Mak Su..., semalam bukan main lagi masing-masing buat hal sendiri. Langsung tak bercakap, kita langsung tak sangka rupanya dah nak bertunang... pandai betul simpan rahsia,” usik Kak Rini sambil mencubit lengan Fazila yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya. Sempat dia meletakkan seketika pisau yang sedang dia gunakan untuk memotong mentimun untuk dijadikan ulam bagi nasi kerabu sebentar nanti hanya kerana mau mencubit Fazila.
“Adoi... sakitla kak...,” rengek Fazila sambil menggosok bekas cubitan kakak sepupunya itu.
“Itulah.... bukan main lagi ajak kita pergi... langsung tak cakap dia dah nak bertunang..,”
“Manalah Ila tau kak...,”
“Ishhh.... tak kan la tak tau. Ni bukan benda main-main... ,”
Terasa tersirap darah Fazila mendengarkan kata-kata kak Rini itu. Secara sepontan hatinya terjerut hingga seketika terasa sesak nafasnya. Memang dia tahu ini semua bukannya main-main. Jodoh memang ketentuan tuhan, tapi bukankah dia sebagai seorang hamba tidak boleh memilih untuk membuat keputusan? Atau, mungkin pilihan sudah tidak ada baginya?
“Alah... sebab bukan nak main-main la dia datang nak meminang tu. Dah dia minang mesti sebab dia suka. Kalau tak tak kan la dia masuk meminangkan?” kata Mak Su Milah.
Fazila hanya diam. Hatinya masih lagi terasa bimbang meskipun kata-kata Mak Su Milah itu menjentik logik akal itu ke dalam fikirannya.
“Tak lah Mak Su... kita ni kan perempuan, nak lah juga kenal orang yang nak kita jadikan suami. Biar kenal dulu, kalau rasa ok, barulah teruskan...,”
“La Rini... kenal-kenal la masa tempoh bertunang tu...,”
“Kalau masa tu nampak tak serasi macam mana....?”
“Serasikan la...,”
“Isshhh Mak Su ni... kalau tak suka dengan dia... macam mana nak serasikan..,”
“Habis... kalau yang kita dah brcinta bertahun tu, kita yakin ke boleh serasi. Kalau gitu tak adalah orang yang bercinta sebelum kawin tu bercerai..,”
Kak Rini diam.
“Kita selalu kata nak kenal, nak serasi baru nak kahwin. Tapi kita lupa, kita ni manusia... kita ni pun bukannya baik sangat. Ada jugak lemahnya kat sana sini... bila dah macam tu, kenala belajar serasikan diri... cuba ubah mana yang tak sesuai. Cuba terima kelemahan orang... kalau kita nak orang terima kelemahan diri kita... itu sebenarnya serasi dalam hubungan suami isteri...,” panjang lebar Mak Su Milah menasihati dua gadis yang berbeza umurnya itu. Yang seorang, kerana maukan yang serasi hingga lewat usianya masih belum lagi bertemu jodoh akibat terlalu memilih. Yang satu lagi, masih lagi mentah untuk menilai sendiri tentang sebuah hubungan dalam perkahwinan.
Kak Rini juga terdiam, meskipun masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mak Su Milah. cuba memikirkan sesuatu untuk diperkatakan demi untuk menegakkan pandangannya. Semua yang ada di dapur rumah terus yang sempit itu hanya diam memerhatikan mereka. Tidak mahu menimbulkan suasana bising yang mungkin menganggu acara merisik di ruang tamu rumah.
Akhirnya semua mengalihkan perhatian mereka apabila emak masuk ke dapur. Masing-masing teruja dengan apa yang akan diperkatakan olehnya. Soalan yang ditanyakan membuatkan Fazila jadi bingung lagi.
“Macam mana ni Ila... setuju ke tak...,” tanya Puan Norhayati sekali lagi bila Fazila masih tak mampu memberikan jawapannya.
“Eh... orang tu dah nak masuk meminang, masih belum setuju lagi ke?” tanya Mak Su Milah. ada nada gurauan di situ sedangkan Mak Su Milah sebenarnya sudah tahu duduk perkara sebenarnya tentang perhubungan yang baru saja akan terjalin ini.
“Itulah Milah... Sejak semalam, tiada satu jawapan yang dia bagi. Asal tanya je, dia diam... itu yang abah dia suruh tanya balik ni..., dia orang nak terus masuk meminang ni...,”
“Alah... terima je Ila... nampak keluarganya macam orang baik-baik. Lagipun kan abah Ila dah kenal lama. Tak kanlah abah Ila nak bagi anak dia pada orang yang tak baik...,”
“Tapi mak su... mak dia mungkin baik, anaknya tak tentu lagi..,” jawab Fazila setelah lama berdiam diri.
“Ila ... mak tak suka Ila cakap gitu... jangan dok fikir perkara macam tu. Kalau nak, cakap nak, kalau tak nak, cakap tak nak..,” kata emak dengan nada yang lebih tegas.
 Fazila mengeluh perlahan. Semua mata memandang ke wajahnya menunggu jawapan. Hatinya kembali berberbeda-beda. Untuk berkata tak mahu, hatinya bagaikan mahu. Untuk berkata mahu, ah... dia malu sekali. Sungguh... dia masih lagi ragu-ragu. Terasa seperti terlalu awal untuk menjalin hubungan sebegini. Baru sahaja semalam bertemu, hari ini sudah datang merisik dan seterusnya akan bertunang. Tak masuk dek akal betul rasanya.
“Ila... macamana?”
“Ila tak tau mak...,”
“La apa pulak tak tau, jawab aje nak ke tak, senang cerita,”
“Tapi Ila tak kenal dia,”
“Dia kenal Ila. Mak dia kata Fauzi yang kenalkan Ila pada dia. Dia memang nak bertunang dengan Ila. Lagipun  ayahkan  kenal mak dia,”
“Tapi... Ila, tak sempat nak fikir mak...,”
“Apa lagi yang difikir... Mak berkenan dengan dia. Baik orangnya, baik keluarganya. Kalau Ila setuju mereka nak terus meminang ni. Cepatlah bagi keputusan. Kesian mereka dok tunggu tu. Mereka pun nak balik lepas majlis ni. Janganlah nanti dia tertunggu-tunggu pulak. Kalau tak nak, cakap aje tak nak”
“Ila... tak taulah mak...,”
“Kenapa ni Ila?” suara abah menyampuk perbualan dua beranak itu. Mungkin lama menunggu emak keluar dengan keputusannya menyebabkan abah turut sama ke dapur.
“Ila ni bang... tak tau nak bagi keputusan. Sebenarnya suka agaknya. Itu yang tak tau nak cakap apa tu. Kalau tak dah tentu dari semalam lagi dia cakap tak nak...,” kata emak.
“Hah... macamana Ila, kalau tak tau apa nak cakap, biar abah ajelah yang cakap ye?”
Fazila hanya mampu memandang ke wajah abah. Memang abah banyak mengambil peranan dalam membuat keputusan untuk dirinya terutamanya bila dia berada dalam kebuntuan. Ketika menerima tawaran menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan dulu pun abah yang buat keputusan supaya dia menerima. Dia memang tidak meminati jurusan itu dan tidak pernah berangan-angan untuk menjadi seorang jurutera. Tapi, apa pilihan yang dia  ada? Abah mengatakan, jika dia menolak, berkemungkinan dia tidak akan ada peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang lain. Mungkin ini yang Allah tentukan untuknya. Atas dasar itulah maka Fazila menerima tawaran pengajian itu walaupun tidak meminatinya.
“Biar abah bagi keputusannya ye Ila?” kata abah lembut.
Dalam serba salah Fazila hanya mampu mengangguk perlahan sambil menundukkan muka. Namun dalam hatinya doa kepada yang maha kuasa dipanjatkan demi meraih restu dari Ilahi.
“Ya Allah, aku bermohon padamu, biarlah keputusan yang abah berikan ini baik untukku. Ku bermohon padamu, jika dia yang menjadi jodohku, biarlah segalanya berlandaskan ketetapanmu. Biarlah hubungan ini mendapat keredhaanmu. Selama ini aku cukup menjaga maruah diriku seperti yang sering dipesan oleh emak dan abah. Cuba untuk tidak begitu mudah didekati oleh lelaki-lelaki yang entah apa tanggapan mereka terhadapku. Cuba menjaga maruah diri, tidak mudah menerima apa-apa hubungan yang memungkinkan aku melanggar batasan adat dan agama. Hasilnya aku menjadi seorang yang cukup sukar didekati lelaki. Bukan seorang yang mengatakan aku ini sombong dan bukan sedikit yang mencemuhku dengan sikapku yang dikatakan jual mahal. Ya Allah, jadikan keputusan abah ini sebagai titik mula untuk cintaku yang berlandaskan ketaatanku kepada Mu. Jika ini takdirmu, jadikanlah dia lelaki soleh yang akan membawaku ke jalan yang kau redhai. Amin, Ya Rabul Alamin....”








Pertemuan pertama Idayu dan  Hairi, membuahkan rasa cinta di hati Hairi terhadap gadis pingitan ini. Walaupun dirinya sukar didekati, Idayu turut sama merasakan apa yang Hairi rasakan. Mereka akhirnya bertunang dalam tempoh perkenalan yang singkat. Namun rahsia yang terbongkar tentang diri Idayu menyebabkan Idayu dengan rasa rendah diri memutuskan pertunangannya dengan Hairi tanpa memberi sedikitpun penjelasan yang meyakinkan pemuda itu.

Setelah tamat pengajian Idayu berkerja sebagai jururawat peribadi kepada Engku Maryam, hanya kerana ingin terus meminggirkan diri dari dunia luar. Namun pertemuannya dengan Engku Lokman, cucunda Engku Maryam membawa kisah kasih yang ingin sekali dihindari oleh Idayu  selama ini. Kehadiran Idayu pada mulanya tidak diendahkan oleh Engku Lokman. Namun, kejadian di satu senja, telah menyebabkan Engku Lokman tidak mampu untuk menghindarkan gadis itu dari ingatannya. Terbawa-bawa dengan naluri lelakinya untuk memiliki tubuh mulus gadis itu, dia telah  memperkosa Idayu. Bila perlakuannya itu diketahui oleh ayahandanya, dia dipaksa mengahwini Idayu.

Mampukah Idayu mengubah suaminya dari dosa dan noda semalam? Mampukah dia bertahan dengan cinta barunya? Bahagiakah mereka melayari sebuah bahtera dengan cinta yang terpendam dalam diam? Mungkinkah akan ada badai yang melanda bahtera cinta yang baru sahaja memulakan pelayarannya itu? Dan Hairi, apakah kembalinya dia nanti, adalah hanya untuk menagih cintanya yang tidak kesampaian?


Popular Posts