Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

BAB 27

Ya Allah  ya tuhanku, jika perasaan ini salah, mengapa Kau hadirkan ia di hatiku? Jika aku berdosa kerana merasakan sebegini, mengapa Kau terus-terusan menemukan  kami? Alangkah baiknya jika kami tidak terus-terusan dipertemukan. Pastinya aku akan mampu meluputkan dia dari mindaku. Mana mungkin aku dapat membuang dia dari hati ini kalau Kau terus-terus mengaturkan pertemuan-pertemuan tanpa dirancang antara kami.
Aku bukan manusia sempurna yang mampu untuk membuang jauh perasaan ini dengan mudah. Aku hanya insan biasa yang hina di sisiMu. Bantulah diri ini ya Allah untuk terus membuang jauh perasaan sebegini terhadap dia. Biarlah aku terus dengan diriku yang dahulu. Yang mampu untuk membuang jauh mana-mana lelaki yang datang mengetuk pintu hatiku. Aku tidak ingin dikecewakan lagi. Terlalu  sakit rasanya dikecewakan sebegitu.
Namun ya Allah, seolah-olahnya Kau tidak mengendahkan doaku ini.   Pertemuan demi pertemuan terus berlaku antara kami. Dengan kedudukan kami yang hanya dipisahkan dengan jarak tujuh tingkat, mana mungkin untuk aku mengelak dari terus terserempak dengannya. Walau aku cuba menjauhkan diri, namun kami terus-terusan ditakdirkan untuk  bertemu. Kebetulan pula tempat parkir bertutup kami yang disediakan untuk kenderaan pemilik pangsapuri ini letaknya bertentangan.
Tidak sukar untuk aku mengenali kenderaan miliknya. Sebuah motosikal mewah jenama Kawasaki 1400 GTR yang diparkir megah bertentangan dengan kereta Myviku itu menampakkan kemewahan pemiliknya. Kata Haziq walaupun hanya sebuah motosikal, harganya setanding dengan kereta mewah yang tidak mampu untuk aku beli. Apa agaknya kerja lelaki ini hinggakan dia mampu untuk memiliki motosikal semewah ini? Segak sekali apabila sesekali aku bertembung dengannya yang sedang menunggang motosikal ini. Ada ketikanya terdetik di hati ini bagaimana rasanya membonceng motosikal sebegini bersama dengannya? Ah...... entah dari mana datangnya fikiran itu. Cukup bersalah rasanya bila fikiran sebegitu melintas di hati ini.
Aku pernah terbaca kata-kata hikmat yang mengatakan , jika doa seseorang itu tidak dikabulkan, bermakna Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik untuk dirinya. Apakah sekarang ini Allah sedang merancang sesuatu antara kami? Mungkinkah? Bermimpikah aku bila setiap kali pertemuan itu berlaku, aku merasakan seolah-olah dia memberikan perhatian yang cukup istimewa untuk diri ini. Atau adakah aku ini terlalu hanyut dalam angan-angan. Perasan  sendiri kata orang. Sedangkan  dia sebenarnya, langsung tidak ada apa-apa perasaan padaku?
Betapa bodohnya aku mengangan-angankan keadaan seperti itu. Memang dia sering memberikan perhatian kepadaku. Sering menegurku setiap kali bertemu. Dan ada ketikanya aku dapat rasakan seolah-olah dia sedang menanti peluang untuk bertemu denganku. Tetapi pastinya ia  hanya untuk setakat itu sahaja. Hanya untuk dijadikan halwa mata sahaja. Mungkin dia gemar memandang padaku kerana sikapku yang sering menjauhkan diri.
Siapalah aku? Bodohlah diri ini jika mengangankan untuk bersama dengan lelaki ini. Hakikat  yang tidak mampu untuk aku nyahkan dari diri ini sering menyedarkan aku dari terus dibuai lena dalam anganku. Aku... seorang janda beranak satu, tidak mungkin setanding dengan dirinya yang begitu segak menawan. Mana mungkin lelaki yang seperti dia masih lagi keseorangan. Mana mungkin lelaki seperti dia tidak pernah disapa hatinya oleh gadis-gadis manis yang sering sedia menemani lelaki sepertinya. Ah... Munirah, kamu hanya mampu memiliki lelaki seperti dia  dalam anganmu sahaja.... tidak lebih dari itu.
Ternyata dia seorang lelaki yang sungguh mudah mesra dengan orang yang baru dikenali. Seawal pertemuan pertama dengannya semasa berpindah ke apartmen ini, dia sudah berjaya menawan hati teman-temanku. Suzana pernah berkata, jika dia tidak bertunang dengan Haziq, pasti... pasti dia akan memikat lelaki ini untuk dirinya. Haziq pernah berkata, sekiranya dia diberi peluang untuk berurusan dengan lelaki ini pastinya dia sanggup mempercayai lelaki ini sepenuh hatinya bila melihatkan perwatakannya yang begitu tegas dalam mengatur semua perkara. Dan Hariz  pula berkata, jika dia tidak punya abang, dia pasti dia akan menganggap lelaki ini sebagai abang kandungnya atas dasar keperihatinannya terhadap kami.
Dan aku, apa tanggapanku terhadap lelaki ini? Dia memang kacak, punya aura tersendiri dan kelihatannya sungguh mengambil berat atas apa juga yang dilakukannya. Sering aku terimbau kenangan bersamanya di atas komuter dulu. Bagaimana dalam keadaan sesak begitu dia tidak mengambil  kesempatan untuk membiarkan dirinya  terus-terusan bersentuhan dengan tubuhku. Bagaimana dia berdiri teguh di hadapanku seolah-olah melindungi diri ini dari didekati oleh  lelaki lain. Bagaimana dalam garauan, ada nada tegas supaya aku menaiki komuter yang dikhaskan untuk penumpang wanita dalam keadaan bersesak-sesak begitu. Perlakuan-perlakuan yang menunjukkan keperihatinannya  agar aku tidak terus-terusan bersikap terlalu ambil mudah dalam menjaga keselamatan diri ini.
Kini, berdepan dengan Kak Pah, aku terus-terusan mendengarkan wanita ini memuji-mujinya. Siapa sangka, rupanya Kak Pah bekerja sebagai pembantu rumah di unit apartmennya. Pagi itu itu aku bertembung semula dengan Kak Pah di pasar mini berhampiran bangunan apartmen tempat aku menginap. Kebetulan aku mengambil cuti sehari untuk ke pejabat peguam atas urusan pembelian rumah yang aku sewa itu. Dalam perjalanan pulang aku singgah sebentar di pasar mini itu untuk membeli sedikit keperluan harianku. Terus aku mengajaknya untuk berbual seketika  di sebuah restoren yang terletak bersebelahan dengan pasar mini tersebut.
Sungguh dia terkejut apabila aku menceritakan kisah malang hidupku kepadanya. Simpatinya kelihatan melimpah ruah sehinggakan dia turut menangis bersamaku bila aku ceritakan bagaimana aku terpaksa berpisah dengan Sarah. Dia turut sama menyapu airmatanya bila mengenangkan apa yang dilakukan oleh Abang Izwan kapadaku. Dan entah mengapa, aku pula dengan mudah menceritakan segalanya kepada bekas pembantu rumahku ini.
Mungkin hubungan kami yang agak rapat satu ketika dulu menyebabkan aku mempercayainya. Sanggup aku meluahkan segala rasa yang terbuku di hati dengan sikap Abang Izwan. Mungkin kerana aku sendiri sudah tidak mampu untuk menanggungnya seorang. Mungkin aku sebenarnya amat memerlukan seseorang untuk meluahkan rasa yang menjerut tangkai hati ini. Aku cuma mahu melegakan segenap rasa gundahku saat ini.
Perbualan yang mulanya berkisar kepada nasib malangku akhirnya beralih kepada cerita tentang dia. Umar Rafiki..., setiap kali nama itu meniti di bibir Kak Pah, bagaikan ada satu rasa damai mengusap lembut di hatiku. Nama yang kedengarannya begitu gagah di telingaku itu mampu menghambat jauh rasa benciku pada insan bernama lelaki. Mengapa aku tidak mampu untuk menjauhkan perasaan itu di hati ini. Sering ianya membawa debar yang tidak berkesudahan tatkala nama itu menyapa di gegendang telinga ini, tatkala wajah itu menjengah di jendela hati ini. Walaupun  untuk seketika waktu.
Umar Rafiki, menurut Kak Pah adalah seorang lelaki yang tegas mengatur hidupnya. Berlatar belakangkan seorang jurutera perunding, kini dia telah meletakkan jawatan itu untuk membuka sebuah syarikat pembekal buku di yang bertempat di Pusat Perdagangan Seri Kembangan. Cukup  dekat rupa-rupanya tempat kerjanya. Patutlah dia kelihatan begitu santai sekali setiap kali keluar ke tempat kerja. Selalunya dia hanya memakai baju T berkolar dan berseluar jeans. Cuma sekali sekala barulah aku melihat dia berpakaian kemas. Mungkin untuk menghadiri temujanji bersama pelanggan ataupun  mesyuarat di tempat lain.
“Dah berapa lama akak kerja dengan dia?”
“Dah dekat setahun. Dulu lepas berhenti kerja kat rumah Unie, akak  balik semula kerja lama kat supermarkat Grand Union. Satu hari kawan akak cakap ada orang tengah cari orang gaji akak pun pergilah jumpa dia, cakap nak kerja dengan dia. Memang sejak dulu pun akak lebih suka kerja jadi orang gaji ni. Rasanya tak seteruk kerja kat tempat lain tau. Masa tu dia tinggal di rumah sewa lama dia kat Seri Serdang. Bila dia pindah ke sini, dia pelawa akak terus jadi orang gaji dia. Akak suka kerja dengan  dia. Tak banyak kerenah, walaupun cerewet sikit. Tak ada masalah sangat dengan dia, asalkan kita buat macam yang dia hendak,”
Aku mengangguk perlahan. Terasa ingin tahu semuanya tentang dirinya. Semuanya....
“Kenapa dia pindah kat sini kak? Kata dulu dia sewa kat Seri Serdang,”
“Apartmen tu sebenarnya kawan dia punya. Mulanya kawan ia nak sewakan. Tapi lepas dua bulan tak ada orang masuk, kawannya tu tawarkan supaya dia duduk kat situ. Minta dia tengok-tengokkan rumah tu sekali. Kawan dia tu cerewet, tak nak orang sembarangan duduk apartmen dia tu. Takut rosak. Hari tu, masa Kak Pah jumpa Unie kat situ, dia baru aje pindah masuk ke situ. Dia minta akak kemaskan apartmennya tu,” katanya sambil tersenyum memandang ke wajahku.
Entah mengapa lirikan matanya membawa rasa malu di hatiku. Apa agaknya yang lelaki itu ceritakan kepada Kak Pah tentang salah faham yang berlaku hari itu? Mesti Kak Pah tahu sesuatu yang tidak aku ketahui menyebabkan dia senyum mengusik.
“Dia dah ceritakan semua yang berlaku hari tu. Bila dia tahu yang Kak Pah kenal Unie, macam-macam dia tanya tentang Unie. Minat betul dia nak tahu pasal Unie,” ucapnya sambil senyum lagi.
“Salah faham je kak. Unie tak tahu yang rumah tu dah ada penghuninya. Memang betul-betul terkejut bila entah dari mana dia muncul. Padahal masa tu Unie dah kunci pintu lepas masuk ke dalam rumah tu...,”
“Itulah... dia kata dia pun terkejut besar. Ingatkan jembalang mulanya.... tapi katanya terfikir pulak....takkanlah jembalang secantik itu...,” Kak Pah ketawa lagi.
Lucu bicara itu membuatkan aku turut sama ketawa. Ada kah patut dia ingatkan aku ni jembalang?
“Haah kak... jembalang tengah menyelongkar peti ais dia. Mujur lah Unie tak campak aje barang dia tu ke tong sampah. Banyak juga makanan segera dalam peti ais dia kan Kak Pah? Kuat makan ke dia tu?”
Entah mengapa soalan tentang peribadinya pula yang menjadi tajuk bicara. Melampaukah aku bila persoalan seremeh itu terlintas di mindaku?
“Encik Umar tu suka makanan yang dimasak sendiri. Dia jenis yang tak suka makan kat luar. Dalam peti ais dia selalunya penuh dengan makanan yang dia boleh masak sendiri. Kalau hari akak kerja, memang akak masakkan untuk dia. Macam masa akak kerja kat rumah Unie dulu, masak banyak-banyak, lepas tu bawa balik untuk anak-anak akak. Selalunya dia suruh tinggalkan sikit aje untuk dia, cukup-cukup aje untuk dia makan,”
Aku senyum mendengarkan kata-katanya itu.
“Dia suka Unie tau...,”
Tiba-tiba soalan itu hinggap ke telingaku. Membuatkan membahang terasa pipiku. Aku hanya menatap wajah Kak Pah tanpa kata.
“Macam-macam dia tanya pasal Unie. Masa tu manalah akak tahu yang Unie dah bercerai. Dia cakap dia kecewa sebab bila dah jumpa yang dia suka, rupanya dah berpunya. Lepas tu, tiba-tiba dia beritahu Kak Pah dia gembira sangat bila tahu yang Unie dah bercerai. Masa tu Unie baru aje pindah masuk ke apartmen Unie. Dia kata, Unie sendiri yang beritahu dia. Akak mulanya terkejut sangat. Dia siap tanya apa pendapat akak tentang Unie,”
“Ah.. Kak Pah ni... mengarutlah,” kataku dengan dada penuh debaran.
“La.. apa yang mengarutnya. Dah itu katanya. Kalau betul dia suka, apa salahnya kan?,”
Aku mengelengkan kepalaku. Tidak... tak mungkin.
“Salah kak.... salah sangat. Unie ... janda kak.... tak layak untuk orang macam dia tu. Mana  ada orang yang suka pada janda macam Unie. Dah ada anak pulak tu,” ucapku perlahan.
Saat itu tidak mampu untuk aku gambarkan perasaanku ini. Ya, siapalah diri ini?
“Unie, siapa kata tak ada yang suka.  Encik Umar suka... Walaupun hari tu dia nampak macam bergurau, akak rasa dia betul serius. Sepanjang akak kenal dia, dia  bukan jenis yang mudah-mudah cakap yang dia suka pada mana-mana perempuan. Lagipun Unie muda lagi kan? Dah sampai tiga puluh ke umur Unie?”
Aku mengelengkan kepalaku. Masih lagi rasa tidak yakin dengan apa yang aku dengar. “28 kak…,” ucapku perlahan.
“Umur dia dah 34 tahun. Ada sekali tu akak tengok dalam kad pengenalannya yang dia letakkan atas meja dalam biliknya. Tak tahulah kenapa pada umur macam tu, dia masih belum kahwin-kahwin lagi. Belum jumpa yang sepadan lagi katanya. Betullah agaknya tu. tapi, sekarang ni rasanya dah jumpalah kot...,” gurau Kak Pah lagi.
Aku faham maksudnya itu. mengeluh perlahan. Alangkah  baiknya jika dulu aku tidak berkahwin dengan Abang Izwan.  Alangkah baiknya jika dulu  aku menolak kemahuan Kak Reen dan Abang Izwan. Untuk apa aku berkorban demi mereka berdua? Satu pengorbanan yang langsung tidak dihargai. Yang sehingga ke saat ini membuatkan aku cukup-cukup serik untuk melibatkan diri dengan mana-mana lelaki.  Sakit yang ditanggung cukup membuatkan aku menyesali kisah silamku. Dan Sarah..., satu-satunya perkara yang tidak pernah aku kesalkan hadirnya setiap kali mengenang kisah dulu. Rindu kembali terus merenggut tangkai hati. Melumpuhkan semua kekuatan yang ada pada diri ini.
“Unie, akak tahu Unie sedih sangat dengan apa yang dah berlaku tu. Tak sangka Encik Izwan tu sanggup buat Unie macam tu. Dulu Kak Pah tengok dia bukan main sayang lagi pada Unie. Macam tak boleh berenggang langsung,”
Tiba-tiba nada suara Kak Pah berubah. Jika tadi bicaranya penuh dengan nada gurauan. Kini ada bunyi simpati yang aku dengar dalam kata-katanya.
 “Itu kat luar..., dalam hati... mana kita tahu kak,” kataku perlahan.
“Mana ada orang yang sanggup buat macam tu pada isterinya kan? Tak pernah rasanya akak dengar benda macam tu berlaku. Ingatkan dalam TV... dalam buku cerita je orang boleh buat macam tu kan?”
 “Kalau benda-benda macam tu tak pernah berlaku, macam mana orang boleh karang cerita macam tu, drama tv pun tak akan ada,”
“Tapi... Unie tak boleh terus macam ni. Unie masih muda, jangan sia-siakan hidup Unie. Kalau ada yang suka, jangan larikan diri. Cuba bina hidup baru,”
Aku mengetap bibir. Hanya mampu untuk menggelengkan kepala.
“Hidup Unie sekarang ni hanya untuk Sarah kak. Hanya untuk pastikan satu hari nanti dia akan balik pada Unie. Dah lama sangat rasanya hak Unie dinafikan. Sekurang-kurangnya Unie nak dia kenal bahawa dia ada ibu kandung yang susah payah mengandungkan dia dulu. Yang separuh mati melahirkan dia ...,” ucapku lembut.
Sebak di hati datang lagi. Air mata yang sudah kering tadi , kembali bergenang di tubir mata. Lantas satu persatu menitis di pipi. Ya, hidupku kini untuk melihat Sarah membesar dan mengenali diri ini sebagai ibu kandung yang satu masa dulu, mengandungkannya, melahirkannya, menyusukannya dan sehingga hari ini menyayanginya....

Popular Posts