Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 18

Mai mengeluh perlahan. Hatinya sayu mengingatkan bagaimana cemasnya wajah Syamsul  mendengarkan kata-kata doktor petang tadi. Bagaimana dia boleh membantu lelaki itu? Patutkah dia menghulurkan bantuan? Melihatkan wajah Syamsul  yang begitu bimbang akan keadaan emaknya itu, Mai dapat merasakan betapa besarnya kasih sayang lelaki itu kepada orang tuanya. Dan dia tidak pernah melihat keadaan Syamsul  yang sebegitu resah sepanjang hampir dua bulan perkenalan mereka itu. Namun dia dapat merasakan perasaan lelaki itu, menyebabkan terselit sedikit rasa bangga kerana bersuamikan lelaki yang begitu mengambil berat tentang ahli keluarganya.

Setibanya mereka dari lapangan terbang petang tadi, doktor yang merawat emak Syamsul mengatakan bahawa keadaan emaknya semakin teruk. Dia perlu diberi rawatan segera. Dan untuk rawatan tersebut, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM30, 000.00. Itupun sebenarnya hanyalah kos rawatan asas.  Dan yang pastinya dia tahu Syamsul  tentunya tidak memiliki wang sebanyak itu.

Penyakit jantung kronik yang dialami oleh emak mertuanya sudah berada di tahap yang membimbangkan. Menurut doktor yang ditemuinya petang tadi, setelah menjalani ujian angiogram dua minggu lepas doktor telah mendapati bahawa terdapat beberapa kedudukan di mana pembuluh darah emak Syamsul tersumbat. Rawatan yang paling sesuai untuk keadaan ini adalah rawatan angioplasti koronori  di mana satu dawai halus dan satu gegelung besi dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat untuk memastikan aliran darah mampu menjadi lebih lancar. Namun, yang menjadi masalahnya, rawatan itu memakan belanja yang amat tinggi. Dan akibat dari itu mereka terpaksa menunggu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat meluluskan permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan tersebut. Namun, kelulusan itu mengambil  masa yang begitu lama untuk diluluskan. Dan mungkin mereka tidak mampu lagi untuk  menunggu masa yang begitu lama.

Dapat dia melihat wajah cemas Syamsul  bila mendengarkan kata-kata dari doktor petang tadi. Dia tahu Syamsul bimbang dengan keadaan emaknya. Dia merasakan ketegangan yang dialami Syamsul  untuk memenuhi keperluan emaknya itu. Meskipun dia baru sahaja mengenali lelaki itu, dia tahu, Syamsul adalah seorang yang cukup bertanggungjawab. Terlihat jelas dari setiap perlakuannya sejak dia mengenali lelaki itu.

“Kak...,”

Lamunannya dikejutkan oleh sapaan lembut Shuhaida. Dia berpaling menatap wajah adik iparnya yang kelihatan berbalam dalam cahaya lampu neon di beranda rumah emak Syamsul. Lantas dia tersenyum manis kepada gadis berusia lapanbelas tahun itu.

“Dah senyap semua... dah tidur ye budak-budak tu?”

“Haah... letih betul Wawa tu, hari ni Ida paksa dia kemas almari dia yang bersepah. Semua kain baju dia Ida punggah keluar dan suruh dia lipat dan susun balik. Kalau tak buat macam tu, alamatnya macam sarang tikuslah dalam almari tu,” kata Shuhaida bagaikan mengadu.

“Garang jugak Ida ni ye?” kata Mai dalam senyum.

“Terpaksa buat macam tu kak. Kalau tidak, penat lah kita nak buat semuanya. Lagipun dah darjah tiga. Kenalah belajar buat sendiri. Dan yang pentingnya kenalah ajar kemas sikit. Kalau  tidak nanti sampai besarla macam tu...,”

Mai mengeluh perlahan mendengarkan tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh gadis semuda ini. Tanggungjawab yang membuatkan dia kelihatan lebih matang.

“Apa yang akak menungkan tadi...? Duduk kat sini dalam  gelap macam ni, banyak nyamuk ni kak..,”

“Tak adalah... mana ada nyamuk kat sini... kan berangin ni... Nyaman betul duduk kat sini ye. Angin pantai bertiup macam ni... bau air laut... terasa masinnya sampai ke bibir,” kata Mai sambil tersenyum. Sungguh dia terasa amat damai sekali menghayati suasana yang sebegitu nyaman.

“Hem... masa ni, kebetulan angin tak berapa kuat kak... Kalau masa angin kuat, macam nak tercabut rumah ni. Memang kalau musim tengkujuh macam ni cuacanya tak menentu. Kadang angin sepoi-sepoi bahasa.. kadang tu, bila ribut datang, takut tau kak...,”

“Hai... entahlah.... tapi akak suka suasananya... Sejuk dan nyaman sangat...,”

Shuhaida tersenyum sambil matanya beralih tepi pantai yang terletak hanya kira-kira 300 meter dari rumahnya. Kelihatan di kejauhan, cahaya-cahaya kecil dari lampu-lampu yang berbaris di benteng pemecah ombak yang dibina di muka kuala sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ. Bulan yang sedang mengambang penuh menyimbah cahaya suram ke pada malam yang damai itu. Bunyi ombak bagaikan berlagu lembut menyapa di kesunyian malam. Keindahan yang terpapar di depan matanya dinikmati dengan penuh bangga sekali. Lantas dia melepaskan satu keluhan halus.

“Sebab tu lah abang Syam sayang sangat nak tinggalkan kampung ni kak. Tapi dia terpaksa sebab katanya kat KL dia boleh dapat kumpul modal  perniagaan dia tu cepat sikit banding dengan kat sini..,”

Mai diam seketika mendengarkan kata-kata Shuhaida itu. Sesuatu yang baru diketahuinya tentang lelaki ini.

“Apa maksud Ida? Modal? Modal apa?”

“Masa arwah ayah ada dulu dia berangan nak buka chalet kat sini, tapi tak ada modal. Sebab tu dia tanam banyak pokok ketapang kat kawasan ni. biar teduh katanya. Dia nak buat pondok kecil dua tiga buah dulu. Bila ada modal bolehlah tambah lagi. Sempat juga dia bina dua buah bilik untuk disewakan kat sana tu, tapi belum sempat siap.. ayah meninggal,” kata Shuhaida membuka cerita. Bibirnya menjuih menunjukkan arah pada dua buah bangunan terbengkalai yang hanya sempat disiapkan hingga ke tahap pembinaan dinding bata dan atap sahaja.

“Bila ayah meninggal, abang Syam macam rasa dia wajib tunaikan angan-angan ayah tu. Tapi nak bina chalet tu, perlukan modal banyak. Itu sebabnya dia pergi KL nak kerja katanya. Kerja kat sana dapat kumpul modal cepat banding kat sini.  Tapi masa kat sana dia kemalangan teruk. Putus kaki dan patah dua-dua tangannya. Nasib baik doktor dapat sambung balik kaki dia tu. Lama betul dia kena duduk di hospital kat sana.  Masa yang sama pulak, arwah Kak Su meninggal masa lahirkan Nabil kat sini. Lepas abang Syam dah ok sikit baru kami bawa balik dia ke sini. Dekat tiga tahun jugak dia tak mampu buat apa-apa kerja. Sampailah akhir tahun lepas, barulah dia boleh kerja-kerja yang ringan balik. Itu yang dia pergi ke Shah Alam ikut kawan dia kat sana...,”

Mendengarkan cerita itu, Mai jadi gumam. Dia tidak menyangka semalang itu nasib Syamsul.

“Abang tak pernah cerita ke hal dia ni kat akak?”

Terkejut Mai mendengarkan soalan itu. Mana mungkin Syamsul  bercerita jika hampir tiada pertemuan antara mereka sejak pernikahan dilangsungkan. Bagaimana untuk bercerita jika tiada langsung kemesraan antara mereka. Dan bagaimana untuk bercerita jika dia hanya menunggu Syamsul di pagi itu, dua minggu yang lalu, hanya untuk melaksanakan hasrat Irfan? Ah... kenangan itu masih lagi mengelus rasa bahagia di hati. Membuatkan timbul rasa bersalah pada kedua-dua lelaki itu. bersalah pada Syamsul, kerana mencabar keegoannya sebagai seorang suami. Dan bersalah pada Irfan, bila dia merasa bagaikan kesetiaannya pada bekas suaminya itu ternoda dek keinginan untuk mengulangi lagi keindahan yang dirasakan bersama Syamsul  pada saat itu.

“Ada... tapi tak banyak..,”

Mai mengangguk sambil berkata-kata, timbul rasa hiba di hati. Kemudian diam untuk memberi ruang kepada Shuhaida untuk terus menyambung cerita.

“Masa dia dirawat hari tu, banyak belanja yang kami terpaksa tanggung. Duit simpanan dia tu, terpaksa kami guna sedikit demi sedikit. Jadi, sampai sekarang, masih belum banyak yang dia boleh kumpul. Bila mak jadi macam ni, lagilah banyak terpaksa guna duit. Dah dua minggu dia tak kerja. Dia kata tak sanggup tinggalkan mak sorang-sorang kat hospital tu. Nak bawa balik ke rumah, doktor kata risiko tinggi sebab rumah kami jauh dari hospital...,” dia mengeluh perlahan sambil matanya terus menatap ombak di pantai yang nampak berbalam. Mengkagumi deru ombak yang bagaikan simpati dengan kesedihan hidup Syamsul  yang di luahkannya itu.

“Duit yang dia kumpul tu terpaksa kami guna sekarang ni. Nak buat belanja rawatan mak, bukannya cukup. Kesian abang Syam, macam-macam dia fikir macam mana nak dapatkan duit. Itupun dia kerja tau kak. Ambil upah jual makanan dari wad ke wad. Sekurang-kurangnya ada lah jugak duit buat dia belanja kat hospital tu. Dapatlah jimat-jimt sikit duit simpanan dia tu. Tapi, kesian kak, dengan kaki dia yang macam tu, terpaksa jalan dari wad ke wad, bawak bakul makanan untuk dijual pada pesakit-pesakit yang nak beli.  Ida nak bantu, kerja kat mana-mana... abang tak bagi. Dia suruh Ida jaga budak-budak tu. Itupun ada jugak Ida ambil upah jahit manik pada baju-baju yang tukang jahit tempah kat Ida. Sekurang-kurangnya tak la rasa tak berguna sangat duduk kat rumah ni...,”

Terkebil-kebil mata Mai memandang wajah gadis itu. Tidak pernah dia mendengar luahan hati seseorang yang amat memerlukan sebegitu. Pilu di hati mendengarkan kesusahan yang dialami oleh keluarga suaminya. Terbit perasaan simpati yang tidak bertepi.

“Akak tahu kan.. abang pandai tulis puisi?” kata Shuhaida tiba-tiba dengan mata yang bercahaya sekali. Kelihatan begitu gembira dengan apa yang ingin disampaikannya itu.

Tanpa dia sedari, dia menggelengkan kepala. Lelaki itu pandai berpuisi...? Wah ... ini sesuatu yang menarik.

“Ia...?”

“Ia kak...., nanti Ida bagi buku catatan sajak-sajak yang dia tulis. Mesti akak pun suka nanti...,”

“Akak tak pandailah baca puisi... tak faham ...,” kata Mai sambil ketawa kecil. Shuhaida turut ketawa.

“Masa dia dengan kak Suzana dulu, banyak dia tulis puisi cinta. Dia ada tulis untuk akak tak,?”

‘Aduhai... soalan cepu emas ni... macam mana nak jawab ni...?,’ Mai bermonolog sendiri. Sebagai jawapan, dia menggelengkan kepalanya perlahan sambil senyum terukir di bibir. Sungguh tidak dia menyangka akan kebolehan Syamsul  itu. Menulis puisi...?

“Patutlah dia... a.... abang Syam tu..., macam itu. Orang seni rupanya...,” katanya sambil terus senyum. Melegakan sedikit kepiluan yang dirasakan bila mendengar akan kesusahan yang dialami suaminya itu. Dan tanpa sedar dia bagaikan menggambarkan hubungan mereka yang tidak begitu mesra.

“Pelik jugak akak tak tau.... tapi memang abang Syam tu cukup perahsia orangnya. Mungkin dia nak kejutkan akak kut. Tak nak cerita kebolehan dia tu. Tau-tau aje nanti dapat surat cinta penuh dengan puisi...,” usik Shuhaida dengan ketawa mesra di bibir.

“Ish... Ida ni... mana lah sempat nak berpuisi... Hari-hari balik pukul dua... tiga pagi...,” kata Mai untuk menutup keadaan sebenar perkahwinan mereka itu. Dan kata-kata itu bagaikan mematikan tawa di bibir Shuhaida. Lalu dia melapaskan satu keluhan.

“Emmm.. itulah kan?”

Suasana jadi diam seketika.

“Tapi kan kak... sambil-sambil buat kerja pun dia sempat tulis tau. Diam-diam je.. siap satu puisi....,” katanya menyambung bicara. Menunjukkan betapa dia begitu menyokong abang kesayangannya itu. Membawa senyum di pinggir bibir munggil Mai. 

“Tak sabar rasanya nak baca puisi dia tu..,” ucap Mai.

“Nanti Ida cari buku catatan dia tu ye..? Esok ok...?,”

Mereka diam semula. Merenung di kegelapan malam yang hanya disimbahai cahaya suram bulan yang sedang mengambang penuh. Mendengar nyanyian ombak yang memukul pantai. Merasakan dinginnya elusan angin malam di pipi masing-masing.

“Ida...,”

Lama kemudian Mai bersuara. Cuba untuk menjawab teka-teki yang menyelubungi hatinya sejak dia tiba ke rumah itu lewat petang tadi. Masih dia ingat bagaimana dia di sambut dingin oleh Wawa, ketika dia tiba di rumah ini bersama Syamsul tadi. Setelah solat maghrib, Syamsul  terus kembali ke hospital untuk menemani emaknya semula. Pada mulanya dia enggan dihantar oleh Syamsul  kerana tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Dia bercadang untuk mengambil teksi. Tetapi, Syamsul tidak membenarkan dia berbuat begitu. Bimbang akan keselamatannya untuk melepaskan dia pulang dengan teksi bersendirian, terutamanya di waktu lewat petang begitu. Namun bila mengingatkan Syamsul yang bimbangkan keadaan emaknya waktu itu menghantarnya pulang, dia merasa lebih bersalah lagi kerana menyusahkan lelaki itu.

“Ia kak... kenapa?”

“Wawa tak suka kat akak ke Ida? Nampak macam tak nak bercakap aje bila akak bertanya. Lepas tu, suka jauhkan diri dari akak. Tak macam Nabil, asyik sekaki aje dengan akak. Asyik tanya itu ini dengan akak,”

Terdiam Shuhaida mendengarkan kata-kata Mai. Memang dia tau tentang itu. lalu dia mengangguk perlahan.

“Wawa tu memang kuat memberontak sikit kak. Dia, selalu tak boleh sembunyikan perasaan dia tu. Dari dulu lagi, kalau abang Syam usik dia, cakap nak kahwin dan gantikan arwah emaknya, dia mesti marah kat ayahnya tu. Entahlah kak... Ida pun tak tau macam mana nak cerita perangai budak-budak ni...,” keluh Shuhaida perlahan.

“Hem... patutlah...,” kata Mai perlahan. Menyedari keadaan dirinya yang tidak di terima oleh Wawa.

“Tak apa kak... Wawa tu memang manja. Tak boleh bagi muka sangat.  Kena tegas sikit dengan dia. Kalau tak nanti naik tocang dia tu kak...,”

Mai hanya senyum mendengarkan kata-kata Shuhaida walaupun dia tidak begitu setuju dengan pendapat gadis tersebut.

‘Tapi Nabil tu... bukan main seronok lagi dapat jumpa umi dia ni. masa abang balik tadi dengan akak, dia tengah mandi. Bila Ida cakap akak datang, terus keluar dari bilik mandi sampai lupakan kain tualanya. Berlari keluar nak tengok umi barunya sampaikan lupa dia tu tak berbaju.... ,” cerita Shuhaida dengan tawa yang tak mampu dibendungnya. Ketawa mesra yang membuat Mai turut sama tertawa.

“Haah... bila sedar dia tak pakai baju, lari lintang pukang sembunyikan diri. Tapi sekejap aje malu dia. Lepas pakai baju, elok-elok aje dia datang bersalam dengan akak,...,” kata Mai bila tawanya makin surut. Buat senyuman terus bermain di pinggir bibirnya mengingatkan inseden lucu itu.

“Nanti bila dapat anak sendiri, mesti lebih seronok lagi kan kak...?,”

Kata-kata Shuhaida itu bagaikan belantan yang meredam kuat di hatinya. Perlahan dia menarik nafas panjang. Mungkinkah semua itu akan berlaku?

****

Bulat mata Syamsul  memandang ke wajah wanita di hadapannya. Wajah lembut yang kini sudah dihafal bagaimana tiap ekspresi yang dirasakan oleh pemiliknya. Bila marah, bila bingung, bila resah dan bila sedih, wajah itu menggambarkan semuanya dengan mudah sekali. Cuma yang dirasakan saat ini adalah ingin sekali untuk melihat wajah itu dalam keadaan gembira dan bahagia. Pasti wajah itu akan jadi lebih indah lagi jika perasaan itu yang dirasakan oleh pemiliknya.

Menyedari renungannya itu membuatkan isterinya itu resah, dia berpaling ke arah lain. Entah mengapa tiap kali memandang Mai, dia jadi terpegun. Dua minggu tidak bertemu rupanya menggamit satu perasaan yang sungguh tidak dimengertikannya. Dalam kesibukkan dan kebimbangannya menemani emaknya dihospital, rupanya wajah itu tak pernah meninggalkan kotak ingatannya. Wajah itu bagaikan kemas terlukis di hamparan hatinya.

“Kenapa kau nak buat macam tu?” katanya perlahan, mengembalikan dirinya kepada perbincangan mereka yang tergendala seketika kerana keasyikkannya melayan  perasaan.

“Saya nak bantu awak sekeluarga,” jawab Mai ringkas.

“Tapi semua tu bukannya sikit. Aku tak nak terhutang budi pada kau pulak,”

“Saya yang terhutang budi pada awak. Awak kahwin dengan saya dengan niat nak membantu. Jadi saya rasa, apa salahnya kalau saya turut sama bantu awak pula. Lagipun emak awak memang perlukan bantuan tu,”

Entah mengapa kata-kata Mai yang kedengaran lembut itu bagaikan belati mengguris hatinya. Ya, dia perlu terus sedar bagaimana hubungan mereka akan berakhir. Semua ini hanya atas dasar simpati. Semua ini hanya untuk membalas budi. Dia tahu bagaimana pengakhiran hubungan mereka. Namun mengapa terasa sakit sekali untuk menerima hakikat itu.

“Aku berbudi... tak pernah minta berbalas..,”               

“Saya tahu...,” jawab Mai sambil menatap wajah itu. Mungkin wajah itu tidak setampan Irfan, tetapi aura kelelakiannya cukup kuat menambat hatinya. Tidak mampu untuk dia menafikan lagi hakikat itu.

“Tak payahlah... nanti esok aku pergi jumpa orang kat Jabatan Kebajikan Masyarakat tu. Minta dia orang cepatkan kelulusan  tu..,”

“Tapi nanti mesti semua tu ambil masa lagi. Saya tengok mak awak tu, perlu cepat dirawat. Doktor pun cakap macam tu hari tu. Kalau kita dapat adakan duit tu, mesti dia boleh cepat sembuh,”

“Bukan mesti Mai, insyaallah... Ingat semua ni di tangan Allah,”

Bagaikan terpukul Mai rasakan bila mendengarkan teguran itu.

“Ya, insyaallah..,” ucapnya perlahan.

Dia diam menantikan sepatah kata dari Syamsul  berkenaan dengan keinginannya itu. namun lelaki itu tetap diam.

“Syam ...?”

Syamsul  memejamkan matanya. Untuk kesekian kalinya namanya disebut oleh isterinya. Bagaikan ada embun dingin yang menyelubungi hatinya saat itu. Terasa seperti dibelai perasaannya mendengarkan sebutan namanya yang memang jarang sekali di dengar dari wanita muda ini. Terasa amat bahagia mendengarkan kata-kata yang sepatah  itu.

“Tapi aku tak boleh terima semua tu,” ucapnya perlahan. Cuba menafikan perasaan indah yang dirasakan seketika nanti.

“Macam nilah.. anggap ini satu pinjaman dari saya. Nanti kalau ada duit awak bayarlah..,” ucap Mai memberikan cadangan. Membuatkan Syamsul  kembali merenung tajam ke dalam matanya. Buat hatinya berkocak lagi.

“Kau yakin aku boleh bayar?” katanya menduga. Sekali lagi buat Mai tak mampu membalas kata-kata itu. Tidak yakin apa patut dia perkatakan.

“Kalau awak kerja, mestilah boleh bayar... kalau mak awak terus sakit macam ni.. macam mana awak nak bayar? Kalau dia dirawat, dan sihat.. awak boleh kerja balik kan?” akhirnya timbul idea itu di mindanya. Sesuatu yang buat Syamsul  terdiam tanpa mampu berkata apa-apa.

Popular Posts