Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 29
Sungguh aku amat bersyukur atas pelawaannya untuk kami bersarapan pagi terlebih dahulu. Memang sungguh-sungguh aku lapar ketika ini. Kali terakhir aku makan adalah pada waktu makan tengahari semalam. Di waktu malamnya aku cuma makan sebiji epal dengan segelas susu. Manakala pagi ini pula aku cuma sempat minum segelas minuman bijirin.
Sememangnya itulah juadah sarapan pagiku setiap hari. Seawal jam tujuh pagi aku sudah berada dalam kereta untuk memulakan perjalananku ke UPM. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lima belas minit, selalunya berlanjutan sehingga setengah jam. Ada ketika, ia mengambil masa 45 minit hanya untuk sampai ke pajabatku. Ini  semua gara-gara kesesakan lalu lintas di kawasan Seri Kembangan.
Umar Rafiki membawa kami ke sebuah restoren mamak. Hai... bagaikan tahu-tahu saja yang saat ini terasa ingin sekali aku makan tosei, sejenis makanan bangsa india yang amat popular. Sebaik sahaja pelayan datang mengambil pesanan, aku terus sahaja memesan makanan itu.
Kak Madihah, Kak Sufiah dan Ellen bangun dan bergerak  ke kaunter. Masing-masing teruja untuk melihat apa makanan yang terhidang di kaunter untuk dipilih oleh pelanggan. Umar Rafiki pula entah ke mana, mungkin masih di keretanya kerana ketika tiba sebentar tadi telefon bimbitnya berdering mintakan perhatian darinya.
Sedang aku asyik memberikan perhatianku kepada  rancangan Malaysia Hari Ini siaran  TV3 di televisyen yang terpasang di restoren tersebut, dia mengambil tempat betul-betul di hadapanku. Terus hatiku jadi berdebar kembali. Mengapakah setiap kali dia hadir di sisi, perasaan ini yang bertandang di hati? Apa yang ada pada dirinya sehinggakan aku jadi begini? Mengapa aku tidak mampu untuk berlagak seperti biasa? Acuh tidak acuh sahaja seperti yang aku lakukan  bila ada yang datang mengetuk pintu hati ini?
Bagaikan gadis remaja yang pertama kali mengenal cinta, aku jadi gugup, tidak mampu bersuara. Munirah, kau seorang wanita berusia 28 tahun. Tidak sepatutnya engkau bersikap seperti gadis remaja berusia 18 tahun..., getus hatiku mengingatkan keadaan diri ini.
Aku menarik nafas panjang-panjang dan perlahan-lahan mengalih pandanganku kepadanya. Cuba memberanikan diri untuk berhadapan dengannya. Ah... matanya seperti tadi, masih tertancap di wajahku. Senyumannya… ah….. Dan dia mengeluh perlahan.
“Nak bercakap dengan awak pun saya macam terpaksa tertunggu-tunggu? Nampak gugup sangat, kenapa ye?”dia bersuara perlahan.
Terasa berderau darahku dengan kata-kata yang polos dan bersahaja itu. Sungguh lelaki ini seorang yang cukup berterus terang dengan apa yang ingin diperkatakannya. Dengan begitu mudah sekali memberikan komen-komen yang terlintas di hatinya. Mampu membuatkan hatiku sering resah untuk berhadapan dengannya.
“Mana ada... taklah... mana ada gugup,” kataku, cuba menutup perasaanku.
Dia senyum mendengarkan kata-kataku.
“Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan betina...,”
Amboi.... bicaranya bagaikan orang dulu-dulu. Setiap butir bicara diselitkan dengan madah dan kiasan. Kata-kata yang membuatkan aku tersenyum sendiri. Dia juga diam, memerhatikan aku yang terdiam tidak mampu untuk membalas kata-katanya itu. Aku kalih pandang ke arah lain. Terasa malu sendiri.
“Awak tau Unie ...? Sampai  sekarang saya masih lagi menunggu tau,”
Kata-katanya itu membuatkan aku jadi hairan. Aku kembali memandang ke wajahnya.
“Tunggu apa?”
“Tunggu Unie minta maaf,”
Aku mengerutkan dahiku sambil menggelengkan kepala tanda tidak mengerti. Dia senyum lagi.
You owe me an apologise, remember?”
Apologise? Apa... maksud awak? Apa... silap saya pada awak?” tanyaku hairan.
Ya, cukup hairan sekali dengan bicaranya itu. Apa yang dimaksudkannya? Sungguh aku tidak mengerti.
“Empat tahun dulu, bila Unie  tuduh saya ambil meja Unie kat Kenny Rogers tu?”
Kata-katanya membuatkan kenangan lalu terimbau kembali. Rasa malu dengan sikap bodohku dulu kembali menerjah di hati. Ah... mengapa dia masih mengungkit kisah dulu? Pertemuan pertama yang datang kembali menjengah ke pintu hatiku. Yang juga kini sering kali aku kenang kembali bila aku sendiri. Yang sering setiap perlakuan, tutur kata malah pandangan matanya aku kenangi semula. Dan tanpa disedari kenangan itu aku nikmati kembali keindahannya satu persatu.
“Saya masih tunggu lagi tau,” ucapnya kembali.
“Hei... tunggu apa ni Umar?” sampuk Kak Madihah tiba-tiba.
Aku berpaling pada Kak Madihah. Dia mengambil tempat di sebelahku sambil meletakkan sepinggan nasi lemak. Aku jadi malu lagi. Mungkin merah padam mukaku saat itu.
“Tunggu... bulan jatuh ke riba... ,”
“Aik... bulan jatuh ke riba?”
Umar Rafiki menangguk sambil tersenyum. Ah... mengapa terlalu polos perlakuannya itu. Sedikitpun dia tidak menyembunyikan perasaannya itu. Walaupun di hadapan orang lain. Ah... malu sungguh rasanya.
“Bulan yang mana satu ni.... yang kat depan mata tu ke?” usik Kak Madihah lagi.
Matanya meleret ke padaku. Kak Madihah ini, pertama kali bertemu dan berkenalan sudah  bisa mengusikku sebegini. Bagaimana agaknya jika sudah kenal, mesra nanti. Hai....
“Hei... cerita apa ni?” tiba-tiba Kak Sufiah pula menyampuk. Di belakangnya Ellen terjenguk-jenguk penuh minat.
“Ini hah Sufiah, Umar kita ni, dah jadi macam pungguk... menunggu bulan jatuh ke riba,”
Kak Sufiah ketawa kelucuan manakala Ellen terpinga-pinga. Mungkin tidak faham dengan gurauan kedua-dua teman yang lebih senior itu. Masing-masing bagaikan merancang kata-kata yang mengusikku. Membuatkan aku jadi terus malu.
“Unie... jangan lah jadi bulan yang tak jatuh-jatuh... Kesian akak tengok pungguk yang menunggu Unie tu,” usik Kak Madihah sambil ketawa.
Tawa yang menyebabkan tercetus pula tawa di bibir Kak Sofiah. Ellen juga turut tertawa walaupun aku pasti dia sendiri tidak mengerti apa yang diketawakannya itu. Aku jadi malu lagi. Hanya tersenyum. Itu sahaja yang aku mampu lakukan. Malu dengan gurauan itu, malu dengan keadaan itu dan malu dengan keadaan diriku.
Sepanjang waktu makan, aku cuma diam sahaja. Kekok rasanya bila setiap gerak lakuku berada dalam perhatiannya. Sesekali aku memberanikan diri untuk mengangkat muka, memandang kepadanya. Dan tiap kali dia senyum, hatiku bagaikan terubat. Terasa bahagia bila ada yang memberi perhatian begitu. Matanya, kelihatan begitu ikhlas sekali. Namun, mampukan aku menerima keikhlasan itu? Ah... tidak, bukan keikhlasan yang ada dalam mata itu.
Yang ada hanya usikan-usikan yang sama seperti yang dilakukan oleh lelaki-lelaki lain yang mengetahui statusku sebagai seorang janda. Cuba untuk mengambil kesempatan dengan keadaan diri ini. Hanya untuk bersuka-suka. Tidak ada arah tujuan sebenarnya. Lantas aku membuang jauh rasa bahagia yang bertenggek seketika di tangkai hati.
Lupakan angan-anganmu itu Munirah... lupakan. Kau ingin terluka lagi? Adakah apa yang berlaku dulu tidak cukup lagi untuk membuat kau sedar siapa dirimu itu? Hanya untuk dijadikan bahan gurauan. Hanya untuk diperalatkan. Tidak lebih dari itu. Sedarlah dirimu Munirah....
Setelah selesai bersarapan, kami bergerak semula ke kereta. Aku yang terakhir bangun meninggalkan meja makan. Sengaja aku berbuat begitu supaya aku tidak lagi perlu duduk di tempat duduk yang sama dalam MPVnya tadi. Tidak mahu lagi berada di bawah perhatiannya melalui cermin pandang belakang itu. Namun, hasrat itu terbantut pula bila Kak Sufiah dan Ellen mengambil tempat yang mereka duduki sebelum ini. Tiada pilihan lain aku terpaksa duduk di tempat yag sama, memandang ke wajah yang sama melalui cermin itu dan terus-terusan menjadi bahan renungannya. Dan bisikannya sebelum memasukki perut kereta tadi terus terngiang-ngiang di telingaku.
“Antara kita masih belum selesai ye...,”
****
Selesai makan, Umar Rafiki membawa kami ke sebuah syarikat penerbitan di Batu Caves. Banyak buku-buku ilmiah yang kami pilih di situ. Kebanyakkannya adalah buku-buku berbentuk pengetahuan am.  Ada juga beberapa buah yang merupakan buku keagamaan. Namun di syarikat ini, nampaknya terdapat kurang koleksi buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan yang diikuti oleh pelajar-pelajar di fakulti kami.
Selepas itu kami dibawa pula ke syarikat penerbitan di Shah Alam. Sepanjang perjalanan itu, sedikitpun aku tidak menghiraukan perbualan rancak teman-teman lain dalam kenderaan itu. Malah aku jadi leka melayan lamunan hinggakan aku terlupa seketika dengan mata yang terus-terusan mengelus lembut biasan wajahku di cermin pandang belakang. Leka aku melayan perasaan hinggakan aku lupa pada perhatian yang diberikan oleh lelaki ini.
Ingatanku  kembali menerawang mengingati Sarah. Apa khabar anakku itu saat ini? Semalam aku tidak dapat mengunjunginya seperti biasa. Pagi-pagi lagi Kak Reen menelefonku mengatakan mereka perlu menghadiri program hari keluarga jabatan Abang Izwan di Hulu Langat. Terpaksalah aku melupakan hasratku untuk mengunjungi Sarah  seperti selalu hujung minggu itu. Dan kini rinduku terasa begitu membuak-buak pada anakku itu.
Pertemuan demi pertemuan yang kami sering lakukan secara rahsia sehingga sekarang, sering membawa seribu rasa bahagia di hati. Ada ketikanya Kak Reen sendiri yang  membawa Sarah  untuk menemuiku. Semua itu kami lakukan di luar pengatahuan Abang Izwan. Aku, malah Kak Reen masih belum mampu untuk  berterus terang pada lelaki yang hatinya penuh dengan keegoan itu.
Biarlah, setakat ni aku cukup bahagia dengan keadaan ini. Berada bersama Sarah  mampu membuatkan aku bahagia seketika. Bagaikan terasa hidup ini terisi. Tiada lagi resah dan gundah kerana keseorangan bila tiba hujung minggu. Kini aku tidak lagi sanggup untuk mengganggu Suzana supaya menemaniku di waktu-waktu begitu. Dia kini punya tanggungjawab yang lebih utama untuk dipenuhi.  Yang pastinya suatu hari nanti aku akan pastikan hakku akan dipenuhi. Jadi sehingga ke saat itu, aku akan mengambil semua peluang yang terbuka di depan mata.
Di Shah Alam, Umar Rafiki membawa kami ke syarikat penerbitan McGraw Hill. Aku jadi teruja sekali bila melihatkan begitu banyak buku-buku rujukan dalam bidang kejuruteraan yang boleh aku pilih. Kak Sufiah dan Ellen juga begitu. Setu persatu buku-buku itu aku pilih dan meletakkan ke atas sebuah meja yang disediakan di ruang pemeran buku-buku tersebut. Sedar tak sedar, sudah hampir lima puluh biji buku yang aku pilih untuk aku telitikan sebelum pemilihan dibuat.
Aku kemudiannya duduk di meja dan mula membelek buku-buku tersebut satu persatu. Mana yang aku inginkan aku asingkan dan mana yang tidak sesuai, aku letak ke tepi. Malah buku yang dicadangkan oleh teman-teman sekerja juga terdapat di situ. Lega rasanya apabila dapat memenuhi kehendak diri sendiri dan juga orang lain.
Sedang aku asyik membelek buku-buku yang bertimbun di hadapanku, Umar Rafiki perlahan-lahan mengambil tempat di sebelahku. Dia turut sama meneliti buku-buku itu. Aku sedaya mungkin cuba untuk terus menumpukan perhatiaku kepada tugas yang sepatutnya aku selesaikan. Namun, kehadirannya di sisi sesungguhnya mempu menggugat ketenangan jiwaku.
“Yang ini saya rasa sesuai,” katanya sambil menunjukkan beberapa buah buku yang tajuknya berkisar kepada penggunaan automasi dalam kejuruteraan pertanian.
Wajahnya kelihatan serius ketika ini. Tiada lagi renungan tajam yang menusuk ke kalbu. Dia kelihatan begitu profesional sekali memberikan pendapat. Aku mengambil buku di tangannya itu. Lantas aku teliti bahagian isi kandungan dan indeksnya. Ya, buku ini kelihatan menarik. Bila dibaca isi kandungannya ternyata bahasa yang digunakan juga agak mudah difahami.
“Thanks...,” ucapku sepatah sambil tersenyum kepadanya.
Dia senyum kembali. Matanya mengelus kembali ke wajahku. Perlakuan yang membuatkan aku terasa terbuai seketika. Kami berpandangan, dan saat itu aku rasakan hanya aku dan dia sahaja berada di ruang itu.  Dia mengeluh perlahan.
You know what? We  need to talk,” tiba-tiba dia bersuara.
“Maksud Encik Umar?” tanyaku selepas seketika kata-katanya itu cuba aku fahami.
See... you did it again...,”
What?”
“Rasanya macam dah berkali-kali saya beritahu ... panggil saya Rafiki,” katanya dengan suara yang sedikit tegas.
“Emmm... kenapa pula Rafiki. Kan tadi awak sendiri yang minta kami panggil awak Umar?”
“Saya nak awak panggil saya Rafiki. Lain dari orng lain,”
“Tapi, kenapa?”
“Sebab Unie istimewa pada saya. Dan.... saya juga nak jadi seseorang yang istimewa untuk Unie,” katanya dengan nada suara yang cukup romantis.
Berdebar kencang jantungku saat kata-kata itu dilafazkan. Apa maksudnya? Mengapa dia berkata begitu? Apa mahunya? Ingin menjadi seseorang yang istimewa untukku? Ah... Umar Rafiki, mengapa sering kata-katamu mengundang resah dan gundah di hati ini? Aku menggelengkan kepalaku tanda kurang faham.
“Tak faham? Susah sangat ke nak faham apa yang nak saya sampaikan ni?”
Aku menggelengkan kepalaku lagi. Terperanjat dan keliru sebenarnya.
“Saya suka Unie. Dan... saya inginkan hubungan yang lebih serius dengan Unie ,” katanya perlahan-lahan. Seolah-olah ingin menyatakan dengan jelas hasrat hatinya itu.
Aku menarik nafas panjang. Kalau tadi jantungku berdetak, bergetar di tangkainya, kali ini aku rasakan bagaikan ianya sudah jatuh berguguran. Apa yang dilakukannya ini? Menduga hatiku? Mempermainkan perasaanku? Atau cuma bergurau dengan kata-katanya yang polos itu?  Ah... keliru, sungguh aku keliru.
Dia meletakkan sikunya di meja dan memanggung tangannya di dagu. Terus-terusan merenung ke wajahku. Waktu itu aku rasa cukup gugup. Bagaikan hilang kata-kata aku hanya mampu diam sahaja. Kemana perginya teman-teman yang lain? Mengapa tinggalkan aku sendirian di sini?
“Sekarang ni tak ada privasi. Boleh tak... kalau saya nak ajak Unie keluar? Kita perlu bincangkan hal kita ni,”
Aku diam lagi. Mengalihkan pandanganku kepada buku di hadapanku.
“Maaf... saya tak sepatutnya cakap hal peribadi masa kerja macam ni kan? Tapi, saya perlu katakan apa yang ada dalam hati saya ni. Saya takut peluang macam ni tak ada lagi nanti... Unie  memang selalu nak jauhkan diri dari saya,”
“Tapi...,” jawabku setelah sekian lama membisu.
“Syy... tak perlu cakap apa-apa lagi. Fikirkan dulu. Saya akan tuntut jawapannya nanti,”

Bab 28


Telefon di mejaku berdering kuat sekali. Aku yang sedang leka memeriksa kertas cadangan yang dihantar oleh pelajar projek tahun akhirku merungut perlahan. Saat aku sedang sibuk begini ada sahaja yang mengganggu. Cepat-cepat aku mengangkat gagang telefon dan melekapkannya ke telinga.
“Helo...,”
“Assalamualaikum Puan Munirah,” sapa suara di hujung talian.
“Waalaikumsalam... ya saya,” ucapku sopan. Walaupun agak marah akan gangguan sebegitu, aku perlu menjawab dengan sopan. Bukannya si pemanggil tahu yang aku sedang sibuk saat itu.
“Maaf, Puan sibuk ke? Saya Nadia. Maaf sebab ganggu puan pagi-pagi buta ni. Saya perlu sampaikan pesanan Professor Ahmad pada puan ni,”
“Tak  Nadia, tak ganggu apa-apa pun. Pesanan apa tu ye?”
“Prof minta puan tolong gantikan Dr Izzat untuk pergi buat pemilihan buku yang nak dibeli untuk diletakkan di pusat sumber fakulti. Sepatutnya dia yang pergi. Tapi, kebetulan Dr Izzat kena pergi seminar pulak pada tarikh yang sama. Jadi prof Ahmad minta saya tanya puan samada dapat gantikan atau tidak,” tanya setiausaha Professor Ahmad itu.
“Bila tarikhnya tu Nadia,?”
“Hari Isnin depan..”
Aku meneliti kalender yang aku letakkan di mejaku. “Sekejap ye saya periksa jadual saya,” kataku untuk meminta supaya dia menunggu seketika.
“Ok... saya free hari tu, tak ada appoinment. Bolehlah, kalau macam tu,”
“Ok, kalau boleh, nanti saya beritahu prof. Dan nanti surat yang dia minitkan untuk puan saya letakkan dalam pigeon hole puan ye,”
“Ok Nadia, terimakasih,”
“Terimaksaih puan, Assalamualaikum...,”
“Waalaikusalam,”
Hem... macam biasa, tugas sebegini akan diserahkan kepada orang bawahan. Aku akur. Memang begini adatnya. Pensyarah-pensyarah lain sibuk dengan tugas masing-masing. Tugas pemilihan buku sebegini dianggap  remeh, maka di serahkan kepada pensyarah baru. Sedangkan sepatutnya mereka mengambil berat akan keperluan pemilihan buku sebegini. Bukankah mereka lebih pakar dan lebih tahu apa keperluan semu pelajar?
Tapi, dalam pada bersungut begitu, aku rasa amat bersyukur kerana Professor Ahmad menawarkannya kepadaku. Mungkin pengetahuan sedikit yang aku ada ini dan pergaulanku yang agak rapat dengan pelajar-pelajar membolehkan aku membuat pemilihan dengan lebih tepat. Ya, mungkin aku boleh bertanya terus kepada pelajar dan juga teman-teman pensyarah tentang tajuk buku-buku yang mereka perlukan untuk koleksi di pusat sumber fakulti.
Lantas pantas sekali jari-jemariku membuka ruangan email fakulti untuk meminta cadangan tajuk-tajuk buku yang rakan-rakan setugas perlukan. Mungkin ini boleh membantu aku dalam proses pemilihan buku- rujukan di amat diperlukan  itu nanti.

****

Seperti yang dijanjikan, pagi Isnin itu aku menunggu di hadapan ruang legar Fakulti Kejuruteraan, UPM. Bersamaku sekarang adalah Kak Sufiah, Pegawai Sains dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar dan juga Cik Ellen Chua dari Jabatan Kejuruteraan Awam yang akan bersama-samaku untuk misi pemilihan buku rujukan pelajar di pusat sumber fakulti kami. Kami berbual sementara menunggu wakil dari pihak pengedar buku, URAZ Associates untuk menjemput kami untuk melawat beberapa buah syarikat penerbitan yang akan kami kunjungi nanti.
You all rasakan, kenapa selalunya kerja macam ni diberikan pada orang perempuan?” tanya Kak Sufiah.
Dia yang agak peramah itu baru sahaja aku kenali sejak aku kembali bertugas di sini. Kami sering bertemu di surau fakulti tetapi agak jarang berbual mesra. Mungkin dia tahu akan sikapku yang suka menyendiri menyebabkan selama ini dia jarang bertanykan soal-soal peribadiku. Bagaimana tidaknya, aku suka menyendiri? Statusku  sebagai janda beranak satu sering  membuatkan aku cuba meminggirkan diri.
Aku cukup tidak suka bergaul dengan mereka-mereka yang suka bertanyakan hal peribadiku. Sama seperti waktu aku bergelar isteri muda dulu, aku sering mengelak bila ada yang ingin bertanyakan soal peribadi. Aku sesungguhnya cuba berbaik dengan semua orang tetapi, bila soal tepi kainku disentuh, pasti aku akan terus menjauhkan diri. Bagiku, tiada apa istemewanya hidupku itu untuk dikongsi bersama dengan orang luar.
“Biasalah kak, orang lelaki mana nak pergi tempat-tempat macam kita nak pergi ni. Membosankan... Jadi, mereka bagilah pada orang perempuan,”
Aku senyum mendengarkan kata-kata Ellen Chua itu.
“Betul kan? Selalu macam tu. Yang dia orang tak nak, baru bagi kat kita,” jawabku untuk cuba menyertai perbualan itu.
Aku tidak nafikan, aku agak hambar dalam berkawan. Mungkin perangai burukku itu perlu aku kikis dari terus menjadi darah dagingku. Mungkin inilah sebabnya aku tidak punya ramai kawan. Terlalu memilih kawan yang sebulu denganku. Sikap yang sungguh-sungguh negatif, yang menyebabkan tidak ramai yang ingin mendekati diriku.  Ya... aku perlu buang sikap burukku itu, perlu...
“Biasalah Munirah, Kak Sufiah pun perasan. Tapi rasanya lebih baik macam tu. Kita orang perempuan ni lebih teliti. Kerja macam ni perlu diberikan pada orang yang teliti. Kalau tak nanti, pakai tangkap muat aje dia orang pilih buku ni. Bila dah beli, tengok-tengok buku tu tak sesuai,”
Aku senyum mendangarkan kata-katanya itu. Ellen juga senyum sambil matanya menyorot pada sebuah kereta yang perlahan-lahan  berhenti di hadapan kami yang sedang duduk di bangku taman di hadapan ruang legar itu. Seorang wanita yang berada di tempat duduk di sebelah pemandu MPV Nissan Serena berwarna perak itu tersenyum kepada kami.
“Assalamualaikum, Puan Sufiah ke ni...,” sapanya.
“Waalaikummussalam... Ye saya..., ini Puan Madihah ya?” tegur Kak Sofiah kembali.
Wanita  yang bernama Puan Madihah itu keluar dari perut MPV lantas menghampiri kami. Kami turut menghampirinya  dan berdiri di sebelah kenderaan itu.
“Saya... jadi, ini wakil dari  fakulti puan ye? Dah lama tunggu ke?” katanya sambil menyalami tangan kami. Senyumnya kelihatan ikhlas sekali. Aku balas senyuman itu.
“Baru aje.... lagi,”
“Lewat sikit tadi, ada hal kat libruary tadi,”
“Tak apa... bukan lama sangat pun kami menunggu. Ha... ini, Munirah dan Cik Ellen Chua,” kata Kak Sufiah, menjadi jurucakap tak bertauliah kami.
“Saya Puan Madihah, wakil dari perpustakaan. Dan, ini Encik Umar Rafiki, wakil dari URAZ Associates, syarikat pengerdar buku yang akan bekalkan buku untuk pusat sumber fakulti ni nanti...,” ucap Puan Madihah sambil matanya tertumpu pada seseorang di belakangku.
Demi mendengarkan nama itu, hatiku jadi berdebar kencang. Umar Rafiki? Diakah...? Diakah   yang dimaksudkan oleh wanita awal empat puluhan itu. Orang yang samakah? Atau.... mungkin orang lain yang serupa namanya. Perlahan aku berpaling. Aku terpaksa mendongak untuk memandang wajah seseorang yang begitu hampir sekali berada di belakangku.
Sejak bila dia berdiri di situ, aku tidak sedar. Yang aku sedar, Umar Rafiki kini berdiri segak di belakangku, merenung jauh ke dalam mataku. Panahan matanya seperti biasa, menusuk terus ke dalam jantungku. Membuatkan terasa lemah lututku tiba-tiba. Bau segar haruman yang digunakannya menusuk masuk ke deria bauku. Membuatkan terasa longlai langkahku kini.
“Assalamualaikum...,” ucapnya kepada kami. “Dan... selamat pagi.. Cik Chua,” katanya pula pada  Ellen. Gadis tiounghua itu tersenyum kepadanya.
Salamnya itu ku jawab dalam hati. Namun, mengapa saat ini aku rasa bagaikan dia mengucapkan kalimah rindu hanya untukku. Terasa damai menyelubungi hati. Baru sahaja petang semalam kami terserempak di apartmen pada jarak yang agak jauh untuk kami bertegur sapa. Namun kehadirannya itu aku sedari. Dan begitu juga dia, menyedari kehadiranku. Tersenyum dari jauh sambil mengangkat tangannya. Senyum penuh makna yang membuatkan aku bagaikan tidak mampu untuk lena di malam harinya.
Ah... Munirah, kamu berangan-angan lagi? Sudahlah.... sedarlah siapa dirimu itu. Tiba-tiba bagaikan ada satu suara yang membisikkan kata-kata itu di telingaku. Membuatkan aku jadi sedar dari anganan bodohku itu. Cepat-cepat aku menjauhkan diriku darinya. Tidak mahu hanyut lagi dalam angan-angan yang memalukan ini.
“Walaikummussalam....,” jawab Kak Sofiah. Matanya bagaikan dapat mengesan ada sesuatu yang pelik di antara kami. Ellen Chua juga menjawab sapaannya itu. Dapat kulihat saat itu ada sinar kekaguman di mata gadis Tiounghua yang manis itu. Pasti sedang mengagumi ketampanan lelaki di hadapan kami ini.
“Hai Unie, kita jumpa lagi...,” katanya kepadaku dengan senyum yang cukup macho. Menyerlahkan lagi ketampanannya.
“Ye...,” jawabku dalam keluh yang kuharapkan dapat menenangkan debar di hatiku. Aku menarik nafas perlahan. Cukup-cukup aku merasakan seperti dadaku akan pecah dek debaran itu.
“Eh... kamu berdua dah kenal ke?” tanya Puan Madihah yang nampaknya seperti sudah lama mengenali lelaki itu.
“Unie ... jiran saya kak...,”
“Oh..., patutlah. Siap panggil nama manja lagi ye?” kata Kak Sufiah  dengan nada mengusik. Matanya merenungku dengan pandangan dan senyuman penuh mangerti.
Umar Rafiki ketawa perlahan.
“Panggilan aje manja kak... nak ajak berbual, cukup susah. Selalunya nampak dari jauh aje...,” katanya pula.
“Ini dah jumpa dekat-dekat ni, bolehlah cakap puas-puas ye?” kata Puan Madihah pula.
“Tak taulah kak... selalunya macam nak lari dari orang aje. Kalau kat apartment tu, berjalan bukan main laju lagi bila jumpa saya. Nak tegur pun tak sempat. Bila di tegur pulak, cepat-cepat aje nak pergi. Tak nak borak dengan kita agaknya...,” ucap Umar Rafiki memecahkan rahsia antara kami. Mendedahkan perlakuan kalutku yang sering hadir tiap kali bertemu dengannya.
“Bukan tak nak Umar... malu...,” kata Puan Madihah.
Pecah lagi tawa di bibir lelaki itu. Diikuti oleh ketiga-tiga wanita di hadapanku itu. Sungguh aku tidak sangka begini sikapnya. Suka mengusik rupa-rupanya. Lantas aku cuma senyum sahaja. Malas rasanya untuk menyampuk. Lagipun, aku tidak tahu apa reaksi yang sepetutnya aku berikan. Ketawa gembira? Mencebik marah? Merajuk? Ah... biarlah mereka mengusikku. Buat tak tau saja Unie, dah puas mengusik..., diamlah mereka, bisikku dalam hati.
“OK, kalau dah sedia semuanya, kita boleh bergerak sekarang,” kata Pn Madihah selepas habis tawanya tadi.
“Jom....,” ucap Kak Sufiah.
Umar Rafiki bergerak mendekatiku. Perlakuan yang membuatkan debarku datang lagi.
“Tumpang lalu sikit ye Unie,” bisiknya ke telingaku, hanya untukku. Menyebabkan bertambah kuat lagi debaran ini. “You’re blushing lagi...,” sambungnya perlahan.
Cepat-cepat aku melangkah menjauhinya. Masyaallah, kenapalah begini kuat debarannya? Kenapalah setiap perlakuanku ini mampu mencetuskan usikan darinya. Ah... cukup memalukan.
Tangannya menggapai pemegang pintu MPV dan membukanya perlahan.
“Silakan naik...,” katanya kepada semua.
Ellen Chua menaiki MPV itu dan mengambil tempat paling belakang sekali. Kemudian aku masuk diikuti dengan Kak Sofiah. Puan Madihah mengambil tempat di ruang penumpang di hadapan, bersebelahan dengan Umar Rafiki. Setelah lelaki itu mengambil tempatnya di kempat pemandu, barulah aku sedar bahawa aku sudah tersilap mengambil tempat duduk.
Dari tempat dudukku, aku boleh melihat biasan wajahnya di kedua-dua cermin pandang belakang kereta itu. Cermin tengah dan cermin di sebelah sisi pemandu MPV tersebut. Sudah pastinya biasan wajahku pula yang dapat dilihat olehnya. Sepanjang perjalanan itu aku dapat merasakan pandangan matanya yang terus-terusan singgah di wajahku melalui cermin itu. Membuatkan aku jadi resah lagi. 
“Kita nak pergi mana ni Puan Madihah..,” tanyaku untuk mengurangkan debaran di dada akibat dari renungan dalam diam itu.
“Tak payah panggil puanlah Munirah... rasa macam formal lah pulak,”
“Haah... itulah yang dia cakap pada saya masa pertama kali kami jumpa dulu,” kata Umar Rafiki menyampuk. Kak Madihah tertawa mesra.
“Kita... kalau buat kerja ni....formal sangat.... susah. Bukannya sehari dua kita nak berkerja bersama ni kan? Esok-esok nanti akan jumpa lagi. Biarlah mesra sikit. Barulah tak tension,” kata Kak Madihah.
Saat itu aku rasakan aku amat suka berkerja dan berkawan dengan wanita ini. Benar kata-kataya itu. Dia cukup menyedarkan aku. Dia bagaikan membuka pintu hatiku untuk tidak menyendiri lagi. 
“Untuk gembira dengan apa yang kita nak buat, kita kenalah suka dengan apa yang kita buat tu. Suka pada orang yang terlibat dengan kerja kita tu. Barulah seronok. Betul tak Munirah? Eh... apa Umar panggil dia tadi,” tanya Kak Madihah dengan nada ceria.
“Unie...,” ucap Umar Rafiki perlahan.
Sepatah kata yang seakan-akan mengelus lembut hatiku, membelai resah di jiwaku. Membuatkan mata kami bertemu lagi dalam cermin itu. Aku menelan air liur ku lagi. Ah... sudah kering rasanya tekakku ini dek kerana terlalu kerap menelan air liur. Setiap kali ada kata-kata mengusik ku, itu yang aku lakukan.
“Emmm Unie..., manja betul nama tu,”
Umar Rafiki senyum lagi, sambil matanya mengelus wajahku melalui cermin itu.
So..., how’s the process Kak Madihah?” sampuk Ellen Chua.
Kedengaran agak dingin suara gadis aku kira yang sebaya umurnya denganku itu. Mungkin dia sudah bosan mendengarkan usika-usikan mereka terhadapku. Mungkin dia tidak begitu suka senda gurau dalam bekerja. Memang aku dapat rasakan sikapnya itu, setelah mengenalinya sejak pagi tadi lagi.
“OK... macam ni.... Encik Umar ni akan bawa kita ke beberapa buah syarikat penerbit untuk kita pilih mana-mana buku yang kita perlukan. Lepas kita pilih nanti, kumpul buku-buku tu di satu tempat. Penerbit akan buat listing bagi buku-buku yang kita dah pilih tu. Nanti semua list untuk setiap penerbit tu Umar akan kumpul dan emailkan pada akak untuk confirmation. Akak  akan rujuk kau orang jugak untuk confirmation nanti,” terang Kak Madihah.
“Kenapa kena buat confirmation lagi kak? Kan kami dah pergi pilih ni. Kira dah confirmlah tu kan?”  tanya Kak Sufiah.
“Sufiah... kenalah selaraskan dengan budget dulu. Kalau nanti terlebih budget, mana-mana buku yang kurang penting tu, kita akan tolaklah. Sebab itulah nanti akak akan minta you all reconfirm buku-buku mana yang paling penting,”
“Ohh... macam tu...,” kata Kak Sufiah.
“Tapi.... apa-apa pun, sebelum mulakan apa-apa... saya nak bawa semua pergi ke satu tempat,” sampuk Umar Rafiki.
“Kemana Encik Umar...?” tanya Ellen hairan.
“Tengok tu... berencik lagi....” katanya Umar Rafiki seperuh mengusik.
“Ok... Umar...,” jawab Ellen.
Umar Rafiki senyum lagi. Terus memandang wajahku dalam cermin. Ah... mengapalah dia tidak menumpukan perhatiannya kepada jalan raya yang agak sesak itu? Kalau silap-silap kemalangan nanti, kami juga yang susah... rungutku dalam hati.
So... ke mana?” kedengaran suala Ellen Chua menuntut jawapan.
“Kita....minum dulu...,” kata Umar Rafiki sambil ketawa.
Nada suaranya dilagukan mengikut kata-kata dalam iklan minuman kesihatan bagi jenama produk yang sungguh popular itu. Resah di hatiku bagaikan terubat. Aku berbalas senyum dengan Kak Sufiah  yang duduk di sebelahku melihatkan gelagatnya yang sungguh gembira itu. Sungguh dia dalam mood yang cukup baik hari ini. Nampak riang sekali. Dalam senyum, mataku perlahan beralih ke wajahnya dalam cermin. Mahu mencuri pandang, meminjam sedikit keriangannya itu untuk mendamaikan jiwaku. Dan... aku gugup lagi. Matanya... terus-terusan mengelus wajahku. Membelai hatiku.

Popular Posts