Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 17

“Unie, hari ni nak masak apa?”
Suara Kak Pah, pembantu rumahku mengejutkan aku terlalu asyik dengan rancangan televisyen pagi Sabtu itu.
“Masak ajelah apa-apa Kak Pah. Tapi jangan banyak. Unie rasa macam tak selera nak makan. Abang Izwan pun tak balik sini hari ni,” jawabku lemah.
Cuti hujung minggu itu Abang Izwan memenuhi gilirannya pulang ke rumah Kak Reen. Selepas pulang dari kerja semalam, dia singgah sebentar untuk bertanyakan khabarku. Aku marah padanya kerana sepatutnya dia pulang terus ke rumah Kak Reen. Apa tidaknya, baru sahaja tengahari itu dia menghantarku pulang dari hospital selepas ditahan selama lima hari di wad ibu mengandung.
Kandunganku sudah masuk ke bulan ke enam. Sepanjang tempoh itu, sudah tiga kali aku di tahan dalam wad akibat dari alahan yang teruk. Aku masih tidak mampu untuk mengekalkan  sebahagian makanan yang aku jamah dalam tempoh masa yang lama. Jika aku mampu makan, selang beberapa minit aku akan berlari ke bilik air kerana muntah.
Keadaanku ini ternyata amat merisaukan Abang Izwan. Pada bulan pertama dia pulang dari London, dia menghabiskan hampir sepanjang waktu jaganya di rumahku. Sudah menjadi rutin hariannya untuk menghantar dan mengambilku di tempat kerja. Dia tidak membenarkan aku memandu  sendirian. Pernah sekali aku pitam sewaktu memandu, sehinggakan aku mengalami kemalangan kecil. Nasib baik ketika itu aku memandu dengan perlahan. Aku tidak dapat mengawal keretaku dan melanggar kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu trafik.
Pulang dari kerja dia pasti akan  singgah di rumahku walaupun pada hari-hari yang sepatutnya dia memenuhi giliran Kak Reen. Bila aku suarakan hal itu dia akan katakan dia singgah sebentar sahaja. Namun selalunya, dia pasti akan bersamaku sehingga ke malam hari. Selepas memastikan aku makan walaupun sedikit, dan tidak muntah barulah dia pulang ke rumah Kak Reen.
Cukup aku rasa bersalah dengan keadaan itu. Pasti Kak Reen merasa tersingung dengan sikap tidak adilnya itu. Abang Izwan pula langsung tidak memperdulikan nasihatku supaya memenuhi hak Kak Reen. Sering dia mengatakan Kak Reen tentunya faham dengan keadaanku yang masih lagi mengalami alahan walaupun kandunganku sudah masuk ke bulan yang ke enam.
“Kak Pah masak tomyam ye....? Unie rasa itu je yang Unie boleh makan. Tapi jangan pedas tau,”
“Ok,” katanya dengan nada riang
“Masak lebih sikitpun tak apa, nanti boleh bawa balik untuk anak-anak kat rumah,”
“Encik Izwan tak balik sini hari ni?”
“Tak Kak Pah, dia kat rumah Kak Reen hari ni,” jawabku ringkas.
Aku yang masih terbaring di sofa ruang tamu hanya memandang pada Kak Pah yang sedang menyapu di situ. Terkilan di hati kerana terpaksa mengambil pembantu rumah akibat dari keadaan kesihatanku yang sungguh tidak menentu ini. Pernah dulu aku bercita-cita untuk tidak mengambil pembantu rumah. Ingin melakukan sendiri semua kerja-kerja rumah.
Aku ingin mendapatkan pahala sebagai isteri yang redha kerana berkhidmat dengan penuh ikhlas untuk suaminya. Ingin menjadi seperti Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang sentiasa taat kepada suaminya Saidina Ali yang miskin dan buruk parasnya. Namun mana mampu aku melakukan itu. Ada ketikanya aku sihat dan mampu untuk melakukan kerja-kerja ringan. Dan di waktu yang lain pula aku cukup lemah, sehinggakan untuk mengangkat tubuh dari perbaringan pun aku tidak mampu.
Seringkali aku terpaksa mengambil cuti sakit. Prfessor Ahmad, bosku merangkap dekan di jabatanku juga sudah lali dengan masalahku ini. Dia cukup memahami orangnya. Sedikit pun dia tidak merungut dengan apa yang berlaku kepadaku malah bia turut bersimpati dengan apa yang aku alami. Pernah sekali ketika aku terpaksa di tahan di hospital, dia mengunjungiku bersama-sama beberapa teman yang lain. Sugguh dia seorang yang perihatin terhadap orang bawahannya.
Di awal kehamilanku dulu, doktor yang merawatku mengatakan alahan akan hilang bila masuk ke bulan keempat dan seterusnya. Tapi, kini aku di bulan ke enam, masih lagi tiada perubahan. Bila ditanyakan pada doktor, dia mengatakan bahawa ada segelintir wanita yang hamil akan mengalami alahan sehingga ke tarikh dia melahirkan anaknya. Aku mungkin termasuk di dalam golongan itu.
Aduh... sungguh seksa rasanya. Patutlah Allah telah mewajibkan setiap anak mentaati kedua ibu-bapanya. Kalau dulu aku hanya mendengar tentang perkara itu dan meyakininya tanpa banyak soal. Tapi kini, bila aku mengalami sendiri keadaan sebegitu, barulah aku memahami hakikat itu.
Patutlah diumpamakan syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu.  Simbolik yang menggambarkan betapa seorang ibu itu perlu di hormati dek kerana deritanya dia mengandungkan seorang insan yang bergelar anak. Jika dalam keadaan mengandung, seksa ini yang dirasakan oleh seorang ibu, bayangkan bagaimana pula seksanya apabila dia melahirkan dan membesarkan anaknya itu.
“Kak Pah...,” seruku perlahan.
“Ya Unie,”
“Kenapa alahan Unie ni teruk macam ni? Orang lain Unie tengok ok aje masa mengandung. Kawan-kawan kat tempat kerja Unie, tak ada pun yang macam ni. Sampaikan malu rasanya bila terpaksa selalu ambil cuti sakit. Nasib baiklah boss Unie tu faham keadaan Unie, kalau tidak... tak taulah macamana,”
“Entahlah Unie, akak manalah tahu... kena tanya doktor tu...hehehe,” kata Kak Pah sambil ketawa. Dia memang terkenal dengan sikap suka ketawanya. Aku senyum lemah melihatkan telatahnya itu.
“Alah... Unie tu, kalau En Izwan balik, mesti sihatnya. Kita orang perempuan ni, bila mengandung kadang-kadang tu ikut perasaan sangat. Akak dulu, bila mengandung kalau Abang Ucup tu tak ada, sihat aje. Macam-macam boleh buat. Tapi bila dia ada, mulalah tunjuk lembik. Penatlah... loyalah... nak makan itulah... nak inilah... Sebenarnya nak bermanja...,” katanya sambil ketawa lagi. Aku turut senyum.
“Tapi kan kak, Unie bukannya buat-buat... Unie memang tak larat,” kataku bagaikan mengadu padanya.
Dia yang kini sudah bekerja denganku selama lebih tiga bulan sudah cukup mesra denganku. Dan aku, yang begitu memerlukan teman yang memahami situasiku, begitu mudah percaya padanya. Meluahkan hampir semua keresahanku kepadanya.
“Sabar je lah Unie, kita masa mengandung ni, banyak dapat pahala dari Allah tau. Bila bersalin nanti, lagi banyak Allah bagi pahala kat kita. Hem... rugi kalau kahwin tapi tak nak mengandung, tak nak beranak. Dah hilang satu punca pahala free dari Allah,” ucapnya dengan nada yang bersungguh-sungguh.
Aku senyum sahaja. Benar katanya itu. Aku sedikit pun tidak mampu menyanggahnya. Cuma yang aku tidak tahan adalah rasa lemah dan tidak selesa yang aku rasakan kini. Dengan loyanya, dengan sakit-sakit badannya dan dengan perut yang sudah mula memboyot. Semuanya memberikan keadaan yang tidak selesa buatku. Membuatkan ada ketikanya minda jahatku berbisik, bahawa inilah kali terakhir aku akan mengandung. Selepas ini, tidak lagi aku mahu menghadapi situasi yang begini. Sungguh menyeksakan.
****
Bunyi deruan enjin kenderaan yang berhenti di depan pintu pagar rumah mengejutkan aku dari tidur petangku yang tidak begitu lena. Perlahan-lahan aku bangkit dari sofa tempat aku berbaring. Aku mengintai keluar pintu gelangsar untuk melihat siapa yang datang waktu tengahari begini. Demi terpandang akan dia aku jadi kaget. Bukankah dia sepatutnya tidak ke mari hari ini? Bukankah hari ini dia milik Kak Reen? Mengapa pula kini dia santai sekali melangkah masuk ke rumahku ini semasa sepatutnya dia di rumah Kak Reen?
Senyumannya yang lebar mematikan segala persoalan di hatiku. Riak gembira di wajah itu terasa begitu mendamaikan hati yang dilanda keresahan sejak pagi lagi. Rindu yang bergayut di dahan rasa cepat-cepat terbang melayang. Ah... mengapa begini mudah hati ini terlena dengan cinta yang dicurahkan dengan begitu ikhlas sekali? Hingga sering aku lupa dengan hakikat yang tidak mampu untuk kami sama-sama hindari, bahawa ada hati yang dilukai dengan sikap tidak adilnya ini.
Dia duduk di sisiku yang sedang bersandar di sofa. Aku senyum padanya. Lantas diraihnya jemariku lalu dibawa ke bibirnya.
“Dah makan?”
Itu soalan pertama darinya? Aku cuma mengangguk.
“Tak muntah?”
“Belum lagi...,” jawabku lemah.
“Belum lagi? Janganlah muntah.... risau abang,”
Aku cuma senyum lucu bila mengingatkan sudah beberapa kali aku muntah di dadanya, di ribaannya  dan di dalam dakapannya. Mungkin kerana itu dia kini jarang sekali memelukku selepas aku makan. Sering aku merasa loya dan muntah hanya kerana bau tubuhnya yang sepatutnya cukup menggoda naluri wanitaku.
“Abang dah makan?”
Dia mengangguk. “Kat rumah Kak Reen,” katanya sambil senyum. Dia mempamerkan beg plastik yang mengandungi bekas makanan di dalamnya.
“Kak Reen kirim salam. Dia buat puding untuk Unie,”
Aku senyum lagi. Bahagia rasanya di hati bila aku mendapat perhatian begini dari Kak Reen. Sejak aku hamil dia tidak lagi meminggirkanku. Begitu juga dengan Mak Ngah, yang sentiasa bertanyakan khabarku. Sering ada sahaja buah tangan dan kiriman salam dari mereka untukku. Cuma aku sahaja yang tidak mampu untuk membalas setiap kirimannya. Sering bekas makanan kirimannya terpaksa aku hantar kembali kepadanya kosong tanpa apa-apa juadah sebagai balasan.
Ah... sungguh bahagia rasanya apabila merasakan diri ini kembali diterima dalam keluarga sendiri. Perhatian yang mereka berikan bagaikan merawat segala luka yang pernah aku alami satu ketika dulu. Saat aku mula-mula dipinggirkan, walaupun dia sendiri yang memujuk rayu aku untuk menerima semua itu.
Cuma yang masih mampu membawa gundah di hati waktu itu ialah apabila  mengenangkan begaimana penerimaan emak mertuaku terhadap diriku. Masih lagi ada riak dingin terhadapku walaupun tidak sehebat waktu aku mula-mula menikahi Abang Izwan dulu. Namun aku terus bersabar. Mungkin lama-kelamaan dia akan menerima diri ini. Terutamanya apabila aku melahirkan seorang cucu yang selama ini cukup dinantikan olehnya.
“Nak makan sekarang?”
Rasa bahagia yang membanjiri ruang hati membuatkan aku begitu teruja dengan pelawaannya. Mengangguk laju seperti anak kecil yang ditawarkan dengan gula-gula. Mataku bulat memandang ke wajahnya. Hilang seketika rasa tidak selesa yang aku rasakan akibat alahanku.
“Sukalah tu...,” ucapnya lembut sambil dia mengusap pipiku.
Dapat aku lihat ada sinar  yang terpancar di matanya. Mungkin dia juga cukup teruja melihatkan kegembiraan di wajahku. Lantas perlahan dia menyentuh hujung hidungku dengan bibirnya. Perlakuan yang membuatkan aku terhidu bau haruman yang dipakainya. Tidak semena-mena, terasa perutku bergelodak, tekak ku mual dan aku..... uwek...uwek...uwek... Ah, aku muntah lagi di atas dadanya.
“Unie....,’
Terkebil-kebil aku memandang ke wajahnya. Dia memandang ke arah baju T jenama Polonya yang kini sudah disimbahii oleh muntahku sebentar tadi. Aku hanya mampu memandang ke wajahnya.  Rasa bersalah datang lagi. Tapi, apa mampu aku lakukan. Bila rasa mual itu datang,  aku sedikitpun tidak mampu untuk menahan diri dari memuntahkan apa yang ada di dalam perutku ini.
“Habis.... baju abang ni....,”
Aku hanya mampu senyum lagi.
“Sorry... nanti... Unie basuh ye....,” kataku lemah sekali.
Aku manjakan suaraku untuk mengurangkan rasa marahnya. Kak Pah yang sedang melangkah dari arah dapur mendekati kami. Lantas ketawa besar terhambur dari kedua-dua bibirnya. Aku hanya senyum tawar pada mulanya. Memandang ke wajah Abang Izwan yang memandangku dengan riak separuh geram.
Tapi sedikit demi sedikit dia tidak mampu bertahan. Akhirnya pecah juga tawa di bibirnya. Tidak mampu menahan rasa gembiranya, dia menarikku ke dalam pelukannya. Aku tidak mampu mengelak, menyebabkan pakaianku juga sudah terpalit dengan muntahku sendiri.
****
“Abang... sepatutnya janganlah datang ke sini masa giliran Kak Reen. Mesti dia kecil hati abang buat macam ni,”
Kami sedang berbaring santai di depan televisyen ketika itu. Sama-sama menonton  rancangan yang sedikit pun tidak menarik minat kami saat itu. Kami hanya menikmati suasana bahagia apabila menghabiskan masa bersama. Aku yang sedang berbaring mengiring, berbantalkan lengan sasanya memandang lembut ke wajahnya.
Kak Pah telah lama pulang sebaik sahaja Abang Izwan tiba tadi. Tidak ingin mengganggu katanya. Ah... berada berdua begini, sesungguhnya mampu  menaikkan kemesraan antara kami. Bercerita tentang aktiviti harian sambil menikmati juadah minum petang dalam suasana yang sungguh romantis begini. Dalam keadaan lemahku begitu, sesungguhnya aku amat mendambakan keintiman yang sebegini.
Setelah sama-sama mandi dan membersihkan diri dari muntahku sebentar tadi, Abang Izwan memaksa aku makan lagi. Kali ini, aku terpaksa menelan puding yang Kak Reen kirimkan melaluinya tadi. Sedap dan cukup manis rasanya. Namun aku cuma berani makan sedikit sahaja. Bila aku makan dalam jumlah yang sedikit, kemungkinan untuk  aku muntah akan berkurangan. Itu nasihat doktor sebelum aku keluar dari wad semalam. Makan sedikit-sedikit, tetapi kerap. Mungkin dengan cara itu masalah mual dan muntahku mampu aku hindari.
“Tak apalah Unie, Kak Reen faham. Lagipun, abang nak buat apa kat rumah dia kalau weekend macam ni? Asyik tengok TV, tidur...bangun,  makan... tengok TV... lepastu ... tidur lagi..., boring betul... ,”
“Abang tak ajak Kak Reen keluar? Pergi  jalan-jalan.... makan-makan.... Kalau dengan Unie selalu ajak keluar. Unie tak larat nak keluar sekarang ni. Asyik nak muntah aje rasanya. Abang ajaklah Kak Reen...,” ucapku mengingatkannya dengan sikapnya yang satu itu.
“Malaslah jalan-jalan dengan dia. Serius aje... nak pegang tangan pun tak bagi, malu kononnya. Dengan Unie, seronok. Unie tak marah kalau abang pegang tangan Unie, peluk pinggang Unie, bahu Unie,” sambil mengucapkan kata-kata itu, dia mengusap lembut perutku yang telah mula memboyot, menampakkan usia kandunganku itu.
“Tak baik tau... dulu abang kata nak adil. Abang buat macam ni... tak adil tau. Nanti, elok-elok Kak Reen baik dengan Unie, lama-lama jadi tak baik sebab marahkan kita,”
“Insyaallah... tak kannya.... Dia sekarang kan tengah tumpang gembira. Sama-sama tunggu baby dalam perut ni lahir,”
“Tapi... abang masih lagi tak adilkan? Kalau Unie jadi Kak Reen, mesti rasa kecil hati dengan abang. Berdosa tau bang... buat dia macam tu. Dia pun nak bersama abang jugak,”
“Alah, masa abang kat rumah dia, bukannya dia nak layan abang sangat. Selalunya ada aje kerja yang nak buat. Nak kemas rumahlah, nak cuci tandaslah..., nak tanam bungalah. Bukannya dia nak duduk dekat abang, berbual-bual, bercerita, macam yang Unie buat ni. Asyik sangat dengan kegemaran dia. Lepas tu, cerewet sangat. Nak makan depan TV tak bagi, takut bersepahlah. Padahal bukannya abang ni makam macam budak-budak. Bersepah sana, bersepah sini. Lepas tu nak manja-manja macam yang kita buat ni pun tak boleh, ” katanya sambil mencebirkan bibirnya.
Ternyata dia tidak suka dengan sikap cerewet Kak Reen itu. Cepat-cepat aku menampar-nampar perlahan mulutnya dengan jari-jemariku.
“Dahsyat la abang ni.... tak baik tau cerita pasal dia pada Unie macam ni tau. Mengumpat...,” dalam rasa lemahku ini masih lagi aku dapat mengesan sikapnya yang terlalu polos membicarakan soal rumah tangganya dengan Kak Reen. Sesuatu yang tidak sepatutnya dia luahkan kepada orang lain.
“Tak apalah... dia faham, lagipun dia kata, petang ni dia ada kelas aerobik. Daripada abang duduk seorang-seorang kat rumah tu, baik abang datang sini. Boleh manja-manja dengan Unie macam ni, emmm .. seronokkan...,” katanya sambil mencium mataku.
Kali ini kehadirannya yang begitu hampir di sisiku sudah tidak lagi membawa rasa mual padaku. Dia tidak lagi memakai haruman yang sering membuatkan perutku bergelodak. Sudah serik agaknya asyik menadah muntahku. Aku ketawa halus. Gembira dengan perhatiannya itu.
“Nanti... kalau kena muntah lagi?” ucapku manja.
“Tak kesah, kalau sepuluh kali kena muntah Unie, sepuluh kalilah boleh mandi dengan Unie, mmm.... seronok,” bisiknya di telingaku.
Ah... kata-kata yang diucapkannya itu membawa seribu rasa bahagia di sudut hati ini. Sungguh aku leka dengan kebahagiaan yang aku kecapi waktu itu. Lupa... lupa aku dengan kesedihan yang di alami oleh seorang lagi isterinya di sana.... Ah... kejamnya kami... menyinggung hatinya yang sering dalam keresahan.


Bab 6
Satu-persatu Syamsul  menyusun tin susu pekat manis di atas rak berdekatan dengan tempat membancuh air. Dia perlu bantu serba sedikit mana-mana kerja yang masih belum siap. Sebentar sahaja lagi restoran akan mula dibuka. Bila sudah dibuka nanti, pastinya dia tidak boleh lagi duduk berehat. Pelanggan restoran yang sering ramai membuatkan dia tidak menang tangan dibuatnya. Walaupun penat dia bangga kerana ramai pelanggan yang gemar dengan hasil tangannya.
Makanan panas yang dimasaknya menyebabkan pelanggan tidak putus-putus mengunjungi restoren milik Kak Ros. Tidak sia-sia dia belajar cara-cara untuk memasak makanan panas beberapa tahun lalu dari tukang masak restoren ini yang terdahulu. Sekarang ini dia sudah mampu mendabik dada kerana ramai pelanggan yang menggemari masakannya. Walaupun dia tidak pernah berlagak sombong begitu, namun rasa bangga itu tetap ada dalam diri. Menyebabkan dia yakin yang dia pasti boleh memulakan perniagaan sendiri. Yang  pentingnya sekarang ialah bagaimana dia mencari modal untuk memulakan sebuah perniagaan.
Malah Kak Ros juga sudah pun menawarkan saham di kedai makan ini untuk memastikan dia tidak akan berhenti kerja dan meninggalkan restoren ini untuk bekerja di tempat lain. Namun, dia masih lagi belum menerima tawaran itu. Terlalu banyak yang perlu difikirkannya sebelum menerima tawaran tersebut.
“Bang... malam ni, Abang Daud datang kerja tak?” tanya Imah yang sejak dari tadi sedang membersihkan sayur-sayuran yang akan digunakan nanti.
Sebentar tadi dia telah membersihkan telur ayam dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya. Semua bahan masakan perlu dibersihkan dan disusun di tempat yang bersesuaian supaya mudah nanti bila kerja-kerja memasak akan dimulakan nanti.
“Entahlah Imah, abang tak tanya pulak tadi. Semalam dia kata nak datang. Kalau tak datang, macam mana anak-anak dia nak makan esok kalau dia tak kerja hari ni,” katanya kepada gadis yang sering mencari peluang untuk membual mesra dengannya.
 Bekerja di restoren memang memenatkan. Terutama yang memulakan perniagaan pada pukul lima petang dan tamat pada jam dua pagi. Namun habuannya cukup berbaloi. Bikannya sedikit untung yang diperolehi Kak Ros. Kalau tidak, mana mungkin dia mampu membuka satu lagi cawangan di Seksyen 2 Shah Alam. Di sana, dia mengupah tukang masak yang pernah bekerja di restoren ini dulu.
Syamsul  pula diminta untuk menjadi tukang masak di restoren ini setelah setahun mempelajari teknik memasak masakan panas dari tukang masak terdahulu. Dia bernasib baik kerana sanggup belajar untuk memperbaiki diri. Dulu, dia sama seperti Abang Daud. Sama-sama mula bekerja di restoren ini sebagai pembantu restoren. Semua kerja dilakukannya. Dari kerja mengambil pesanan, hinggalah membasuh pinggan dan memcuci kawasan restoren.
Akibat dari keadaannya yang tidak sempurna, dia tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja yang lebih berat. Kerja-kerja sebegitu sering diserahkan kepada Abang Daud untuk melakukannya.  Yang membezakan dia dari Abang Daud ialah sikapnya sering cuba untuk membaiki diri. Dia sering memerhatikan cara-cara yang digunakan oleh tukang masak yang bekerja di sini. Sering peluang-peluang untuk belajar memasak juadah-juadah yang di jual akan diambil bilamana salah seorang dari tukang masak restoren tidak dapat datang bekerja.
Lalu akhirnya dia mampu untuk memasak makan yang ringkas. Dari situ, dia terus belajar dan belajar. Dan kini akhirnya dia dipercayai oleh Kak Ros untuk mengendalikan kerja-kerja memasak sepenuhnya di restoren ini. Peningkatan diri yang sungguh menyenangkannya. Kalau dulu dia hanya dibayar sebanyak RM500 sebagai pembantu restoren, kini gajinya sudah dinaikkan sehingga ke angka RM4000. Malah, kini Kak Ros menawarkan 10% saham di restorennya itu untuk mempastikan dia tidak akan meninggalkan kerjanya untuk bekerja di  tempat lain. Satu usaha untuk mengekalkan dia supaya terus bekerja di restoren ini.
“Dia selalu tak datang kerja sekarang ni kan?”
“Apa nak buat Imah, penyakit lelah dia tu nampaknya menjadi-jadi sekarang ni. Kalau dah sakit, macamana nak kerja kan? Kesian juga abang tengok.”
“Abang Syam pun kenalah jaga diri tu. Jangan kuat sangat kerja. Nanti sakit macam Abang Daud, susahlah pulak kan?” tegur Imah dengan jujur.
Gadis itu sering mengambil berat tentang dirinya. Dia tahu Imah menyimpan hati kepadanya. Sering jika ada waktu yang terluang dia akan bertanyakan itu dan ini tentang dirinya. Namun dia tidak mampu untuk melayan perasaan gadis itu. Terlalu banyak yang perlu dilakukannya untuk memajukan diri. Dia tidak boleh melayan perasaan itu kerana ada agenda lain yang lebih utama untuk diselesaikan dalam hidupnya. Tambahan lagi gadis berusia sembilanbelas tahun itu terlalu muda untuknya.
Ingatannya kembali kepada apa yang berlaku beberapa minggu yang lalu. Terus wajah wanita muda yang disebut namanya sebagai Mai itu menarik perhatiannya kembali. Sejak hari itu, wajah itu bagaikan melekat di hatinya. Sukar sekali untuk dilupakan. Dia mengira-gira sendiri usia wanita itu, masih muda, mungkin dalam lingkungan akhir dua puluhan. Satu usia di mana kecantikan seorang wanita sedang mula ranum. Antara akhir dua puluhan hinggalah ke angka awal tiga puluhan. Kalau diumpamakan dengan bunga  dalam usia sebegitu, kecantikan seseorang wanita diibaratkan bagaikan bunga yang sedang mekar berkembang. Harum dan mewangi.
Ingatannya beralih pula kepada bekas suaminya. Seorang lelaki yang menghampiri kesempurnaan dan yang punya segalanya. Ketampanan yang terserlah, kerja yang bagus  dan rumahtangga yang dulunya bahagia. Namun dengan sekali lafaz, segala kebahagiaan itu hilang bagaikan pakaian yang tiba-tiba terlucut dari tubuhnya. Hilang segala-galanya hanya dalam sekelip mata.
Ketika Zamzuri menemuinya untuk menceritakan kisah dua insan ini hatinya jadi sedikit marah pada lelaki itu. Sewenang-wenangnya  dia menggunakan kuasanya sebagi seorang lelaki. Tanpa sedikitpun memikirkan tentang hak seorang isteri, dia menceraikan isterinya. Bila dalam keadaan marah, selalunya akal fikiran tidak lagi memainkan peranan. Sering di waktu itu syaitan yang berbisik di telinga  menjadi rujukan dalam melakukan sesuatu tindakan. Sekarang, bila sudah terlanjur, bukannya mudah untuk membaiki kesilapan tersebut. Dan kini dia perlu membayar harga yang cukup mahal untuk kembali kepada keadaan seperti dulu. Cukup mahal.
“Abang, malam ni agaknya kita tak boleh buat tomyam sampai habis waktu menjual ni,” kata-kata Imah mengembalikan dia dari lamunan.
“Eh, kenapa pulak Imah?”
“Air lada yang kita biasa guna tu cuma tinggal dua botol aje. Selalunya satu malam kita perlu tiga botol. Malam minggu pulak sampai lima botol,”
“Ish... kan abang dah beritahu Kak Ros, minta dia belikan dua hari lepas? Macamana pulak sampai dah nak habis, tak beli-beli lagi ni?”
“Entahlah bang... Kak Ros lupa agaknya,”
“Hem... nanti abang beritahu dia semula,” katanya sambil berkira-kira dalam hati.
Dia sememang perlu berbicara dengan Kak Ros. Terlalu banyak yang perlu diperkatakan pada Kak Ros tentang keadaannya. Kak Ros perlu tahu apa yang akan berlaku. Sebelum ini dia terfikir untuk menyembunyikan semuanya. Namun, dirasakan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan. Selama ini Kak Ros terlalu baik kepadanya.
Di awal perkenalan lagi Kak Ros sudah membantu dia dengan memberikan pekerjaan ini. Walaupun terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya, Kak Ros sering memberi galakan dan peluang untuk dia memajukan dirinya. Maka, malam ini bila Kak Ros datang seperti yang biasa dilakukannya dia akan menceritakan segalanya kepada Kak Ros. Kak Ros perlu tahu tentang perkahwinannya yang bakal dilangsungkan ini walaupun bukan kesemua rahsia disebaliknya.
Malam itu, seperti biasa Kak Ros dan suaminya Abang Din tiba selepas selesai sembahyang Isyak. Syamsul  pula baru sahaja pulang dari masjid. Cepat-cepat dia memberitahu hasratnya untuk berbicara dengan wanita berumur dalam lingkungan usia awal limapuluhan itu. Dia tidak mahu nanti Kak Ros mengatakan bahawa dia membelakangkan wanita itu dalam hal yang berkaitan dengan dirinya.
“Kenapa ni... Syam,”
“Ada hal sikit nak cakap dengan Kak Ros ni,”
“Hal apa ni Syam? Cakaplah...,”
Matanya  menjeling kepada pelanggan-pelanggan yang sedang menunggu giliran pesanan mereka sampai.  Dan kertas pesanan yang tergantung di depan mata juga tersusun sedang menunggu giliran untuk disiapkan. Ada lima lagi pesanan yang perlu dia siapkan.
“Emm... pelanggan masih ramai ni kak. Nanti dah kurang saya beritahu ye?”
“Ok, lepas ni ye. Jangan lupa ingatkan akak pulak nanti. Akak ni... kalau tak diingatkan mudah lupa. Maklumlah... dah tua...,”
Syamsul hanya menyambut kata-kata itu dengan senyuman. Dia sememangnya begitu. Susah sekali untuk meluahkan kata-kata. Setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya bagaikan keramat darinya. Hanya perkara yang penting sahaja yang selalunya menjadi buah bicaranya. Selalunya dia cuma menjadi pendengar sahaja. Namun malam ini, Kak Ros merasakan ada sesuatu yang amat penting yang akan diperkatakannya.
Kira-kira jam sebelas malam barulah pelanggan mula berkurangan. Waktu itu, Syamsul  merasakan amat sesuai untuk dia menyampaikan berita pernikahannya kepada Kak Ros. Perlahan dia menghampiri Kak Ros yang sedang duduk di kaunter pembayaran. Abang Din, suami Kak Ros sudah hilang entah ke mana. Mungkin sedang merehatkan diri di ruang rehat yang terdapat di sebelah dalam restoren tersebut.
“Ada apa hal ni Syam... macam penting sangat nampaknya,”
“Emmm... saya...,”
“Saya apa ni Syam? Suspenlah akak... jangan cakap Syam nak berhenti pulak. Akak tak bagi....,” meleret kata-kata Kak Ros seakan-akan member amaran.
“Tak kak... saya... sebenarnya nak... kahwin,”
Terkejut Kak Ros mendengarkan kata-kata Syamsul  itu. Bersulam pula dengan perasaan lega. Bulat matanya merenung anak muda di hadapannya itu. Seketika kemudian dia tergelak kegembiraan.
“Masyaallah Syam.... akak ingatkan apa tadi... Lega rasanya...,”
Syamsul  tersenyum hambar.
“Eiii... berita gembira ni. Bila? Siapa pengantin perempuannya?” soalnya dengan wajah yang cukup teruja.
“Kak, janganlah kuat sangat. Segan saya kalau ada yang dengar,”
“Lah... apa nak segannya. Benda baik, kenalah diumumkan. Bila? Syam nak ambik cuti ke? Kena beritau awal-awal ni. Boleh akak cari pengganti Syam masa bercuti nanti,”
“Emmm... tak payah kak. Saya kahwin dengan orang kat sini aje. Ingat nak nikah kat pejabat agama aje. Jadi malamnya tak payah cuti,”
“Ish... apa pulak macam tu... Tak kan tak ada majlis. Tak kan tak cuti. Tak kan nak habiskan malam pertama Syam dengan memasak kat sini. Isteri Syam mesti kecil hati. Syam kahwin dengan siapa ni. Mak bapak dia tak marah ke kahwin koboi macam tu?”
“Mak dengan ayah dia dah meninggal Kak Ros,”
“Ia lah... kalau dah meninggal pun, takkanlah kahwin koboi aje. Perempuan tu tak kan tak nak buat majlis. Sekurang-kurangnya buat kenduri doa selamat ke... Kamu ni Syam... jangan buat acuh tak acuh je dengan orang perempuan ni... kecik hati dia nanti kang,”
“Em... dia kata dia tak kesah. Yang pentingnya nikah je kak,”
“Kamu ni Syam... jangan buat main-main soal nikah kahwin ni. Benda besar ni tau. Sekurang-kurangnya buat kenduri sikit supaya orang tahu yang Syam dengan dia dah menikah. Tidaklah nanti jadi bahan umpatan pulak bila tengok Syam dengan dia berkepit ke hulu ke hilir. Kita ni hidup bermasyarakat. Bukannya hidup seorang-seorang...,” kata Kak Ros dengan nada yang agak marah.
Syamsul  terdiam. Terasa agak jengkil pula hatinya. Dia sememangnya telah menetapkan syarat untuk tidak mengadakan kenduri bagi perkahwinan ini. Lagipun bukannya mereka kahwin betul-betul. Untuk apa dia membazirkan wang yang dikumpulnya sejak lama dulu hanya untuk kenduri yang tidak mereka perlukan. Lagipun selepas ini mereka akan bercerai. Bukankah itu pinta bekas suaminya? Jadi untuk apa dia menghabiskan duitnya untuk kenduri kendara bagi hubungan yang tidak akan berkekalan begini.
“Hsh...cerita pasal kenduri ni... siapa pengantin perempuannya. Jangan kau cakap Imah pulak nanti. Budak tu muda sangat lagi. Boleh ke dia jaga anak-anak kau tu nanti...,”
“Tak kak, bukan Imah..., antara saya dengan Imah, tak ada apa-apalah kak...,”
“Habis tu... siapa?”
“Dia tinggal kat Seksyen 9. Akak tak kenal dia kot...,”
“Hem... nanti akak kenallah ye.... kerja apa?”
“Em...cikgu,”
“Amboi... diam-diam ye kau ni Syam... dapat cikgu...,” kata Kak Ros dengan nada yang cukup teruja.
“Bila nak langsungkan ni?”
“Em... dua minggu lagi,”
“Hei... bukan masa cuti sekolah ke? Sempatke ni Syam...,”
“Sempat apa kak?”
“Sempat ke nak buat persediaan... Ish... kamu ni, buat-buat tak tahu pulak,” Kak Ros diam seketika. Raut wajahnya menunjukkan betapa gembiranya dia bila mendengarkan berita ini. Kemudian dia meletakkan tangannya di tepi bibir dan berbisik, “Anak dara ke .... janda?”
“Em... janda kak,”
“Hem ... baguslah... dah lama akak nak tengok kau kahwin. Kesian akak tengok tak ada yang jaga makan pakai kau tu,”
Syamsul  terdiam. Ah... bukan itu tujuan dia berkahwin dengan wanita muda itu. Ada agenda lain yang lebih penting sekarang ini. Semuanya gara-gara sikap bodoh dan terburu-buru bekas suaminya. Dan sekarang, si isteri yang terpaksa menanggung seksanya.
“Mak kat kampung dah tahu?”
“Dah kak, saya dah beritahu minggu lepas,”
“Apa kata anak kamu, suka ke mereka nak dapat mak baru?”
“Saya tak pasti kak, mak kata Wawa macam tak suka, tapi Nabil seronok. Lepas mak beritahu dia, asyik tanya mak bila umi baru dia nak datang,”
“Tentu seronok dia orang nak dapat mak baru. Pasal Wawa tu, tak usah risau Syam, budak perempuan biasalah macam tu. Bila dilayan elok esok, dialah yang paling sayang kat mak tirinya itu nanti. Kau tengoklah...,”
Syamsul  terdiam. Dia tahu, mungkin itu tidak akan berlaku. Perkahwinannya dan perempuan itu tidak akan kekal lama. Untuk apa dia memberi harapan untuk anak-anaknya? Pasti anak- anaknya akan kecewa nanti bila kasih sudah mula terbina dan mereka akan berpisah kelak. Tidak, dia tidak akan membiarkan anak-anaknya jatuh kasih kepada perempuan itu.
Mujurlah anak-anaknya sekarang berada bersama emaknya di kampung. Dia hanya perlu membawa perempuan itu pulang sebentar ke kampung untuk diperkenalkan selepas mereka bernikah nanti. Sekurang-kurangnya perkara itu perlu dia lakukan. Untuk menyembunyikan perkara sebegini dirasakan tidak sanggup. Pasti emaknya akan berkecil hati jika dia berbuat begitu.
Dia tidak boleh mengenepikan perasaan emaknya yang sejak tiga tahun ini telah menjaga dan mendidik anak-anaknya. Mengambil alih sepenuhnya tugas yang terpaksa ditinggalkan demi untuk mendapatkan rezeki untuk menyara mereka. Tugas yang ditinggalkan oleh Suhaila semenjak isterinya yang amat dicintainya itu meninggal dunia empat tahun yang lalu.
“Habis, nanti nak cuti kan? Berapa hari?
“Emmm.. saya cuma pergi nikah kat pejabat agama paginya. Lepas tu, malamnya kerja. Tak perlukan cuti,”
“Dia tak buat kenduri ke pihak dia? Tak kan lah nikah aje,”
“Tak kak, katanya dia tak boleh minta cuti panjang. Cuma ambil cuti dua hari aje,”
“Hei... kamu orang muda ni... buat main-main aje benda macam ni. Tak elok macam tu Syam. Sekurang-kurangnya buat sikit kenduri. Macam ni... nanti Kak Ros tanya Abang Din kalau dia setuju. Lepas nikah, kita buat kenduri doa selamat sikit. Kat sinipun boleh. Ajaklah kawan-kawan Syam, kawan-kawan dia. Akak pun boleh ajak jiran-jiran kat kawasan ini,”
“Ish... tak usahlah kak, menyusahkan akak aje. Lagipun... saya tak ada duit nak buat kenduri,”
“Tak apa, kenduri tu biar akak yang sponser. Akak pun dah lama tak buat kenduri doa selamat. Kita buat sikit-sikit ajelah. Ajak jemaah masjid kat sini,”
“Tak payahlah kak...,”
“Engkau jangan cakap banyak. Akak  kan dah kata akak nak sponser. Jangan risau pasal belanja tu. Lepas tu kau ambil cuti tiga hari. Jangan fikir sangat pasal restoren ni. Kalau terpaksa, tutup aje kedai ni dua tiga hari. Akak pun dah lama tak balik kampung. Nak juga jenguk-jenguk orang tua kat kampung tu. Kau pula, kenalah bagi hak dia sebagai seorang isteri. Bawa dia ke mana-mana, honeymoon....,”
Syamsul  terdiam.  Dia tidak menyangka Kak Ros akan memberikan cadangan begini. Dia malu, jika nanti tiba masanya dia perlu melepaskan wanita itu, pasti Kak Ros akan marah. Dan, melihatkan kesungguhan Kak Ros, tidak sanggup rasanya untuk dia memberitahu bahawa dia cuma menjadi cina buta.



Bab 16

Kepulangan Abang Izwan aku tunggu penuh sabar. Sehingga malam dia masih lagi belum tiba. Menurut Kak Reen semalam, dia akan tiba dengan penerbangan jam 5.25 petang dari London. Namun hingga jam 12.00 tengah malam begini, dia masih lagi belum menghubungiku. Mungkin terlalu sibuk dengan sambutan Kak Reen atas kepulangannya hinggakan dia lupa pada diri ini.
Ada rasa terkilan di hati bila hakikat ini aku terpaksa terima. Aku hanya orang ke tiga dalam hubungan ini. Pastinya dia mendahului Kak Reen dalam apa-apa urusan. Aku akur dengan takdir itu. Namun, tak kanlah untuk menghubungiku dengan telefon pun dia tidak mampu?
“Awak tu perlukan rehat. Jangan disebabkan tak tidur malam ni, tekanan darah naik pulak. Lagilah lambat awak dapat keluar dari wad ni. Atau, memang awak nak terus tinggal kat sini?”
Leteran jururawat yang bertugas malam itu mengganggu ketenanganku. Ah, kenyataan yang menyakitkan hati itu aku buat tidak endah sahaja. Bukan aku tidak mahu tidur tetapi aku tidak mampu melelepkan mata. Namun aku diamkan sahaja. Malas aku untuk bertegang urat menjawab kata-katanya yang aku rasakan begitu menyakitkan hatiku ini. Ada masalah lain yang lebih besar untuk aku tangani sekarang ini daripada memeningkan kepalaku dengan sindiran-sindirannya itu. Ah... buat apa dilayan bicaranya itu.
Aku terlena juga akhirnya. Akur bahawa mungkin hari ini adalah hari giliran Kak Reen. Biarlah... apa aku boleh buat. Bak kata Suzana, bukankah aku yang menempah situasi begini? Entah berapa lama aku terlena aku sendiri tidak pasti. Tapi kekecohan yang berlaku di wad  itu tiba-tiba mengganggu lenaku. Aku tersedar apabila kecoh suara para jururawat yang bertugas malam itu berbicara sesama mereka. Aku buka mataku perlahan.
Kelihatan beberapa orang jururawat yang bertugas sedang menolak salah seorang pesakit yang sama-sama ditahan di wad ini. Masalahnya aku tidak pasti, tetapi menurut salah seorang jururawat yang biasa datang berbual denganku, wanita itu mengandung dengan masaalah placenta previa iaitu urinya berada di bahagian bawah rahim. Dia sering mengalami pendarahan dan sememangnya menunggu waktu untuk melahirkan anaknya itu melalui pembedahan. Mungkin malam ini sudah tiba masanya untuk dia di bedah. 
Aku membetulkan kedudukkan baringku. Demi sahaja aku berpaling ke sisi  sebelah kiriku, aku terpandangkan wajahnya. Sedang lena dibuai mimpi disebelahku. Dia sedang duduk di kerusi bersebelahan katilku. Kepalanya dilentukkan ke sisi katil dan matanya terpejam rapat. Ya Allah, suamiku yang baru sahaja pulang dari perjalanan yang cukup panjang kini sedang lena sambil melentukkan kepalanya di katilku.
Sungguh terharu aku melihatkan dia begitu. Sangkaku dia tidak akan datang malam ini. Sangkaku dia sedang gembira melayari malam nan indah ini bersama Kak Reen. Rupa-rupanya dia di sini, tidur dengan memanggung kepala di sisi katilku. Pastinya keadaan ini cukup tidak selesa baginya.
Rasa bersalah terus menyelinap masuk ke dalam hati. Kesihan dia kerana terpaksa tidur dengan keadaan yang tidak selesa begini. Perlahan, dengan cukup perlahan sekali jejariku mengusap lembut di pipinya. Tumpah segala rasa kasih sayangku untuknya. Bercambur baur dengan rasa bahagia yang begitu damai mengelus lembut di tangkai hatiku.
Tanpa ku duga, perlahan sekali dia membuka matanya. Mata kami bersatu. Membawa satu rasa yang sungguh aku tidak mengertikan. Satu rasa yang membawa seribu kebahagiaan di hati ini. Membasuh segala resah dan  rindu yang aku simpan dalam hati. Dan senyuman yang aku rindukan sejak sekian lama perlahan terukir di bibirnya.
“Hai...,'” bisiknya perlahan. Hanya untuk pendengaranku sahaja.
“Hai...,” jawapku juga dengan nada perlahan.
Kali ini jejarinya pula mengusap lembut ke pipiku. Mengelus  semua anggota yang ada di wajahku. Mataku, hidungku, pipiku dan akhir sekali menyentuh lembut di bibirku.  Lantas aku memegang tangannya, mengucup lembut jejari kasar itu. Meluahkan sejuta rasa yang ada di hatiku saat itu. Lama kami begitu. Meluahkah kerinduan tanpa bicara. Hanya mata yang mengucapkan segalanya.
I love you,” bisiknya.
Aku terpampan mendegarkan kata-kata yang begitu tulus. Terasa lemah seluruh tubuhku  seketika. Debar di dada membangkitkan lagi sejuta rasa bahagia. Selama ini dia sering menggambarkan perasaannya itu. Sering dia menzahirkan cintanya melalui perlakuan-perlakuan yang membuai perasaan. Sering dia melafazkan tiga patah kata-kata keramat itu dengan begitu romantis sekali. Namun tidak pernah hati ini merasakan sebahagia ini. Terasa lengkap semuanya, terluah segalanya.
Tiada apa yang aku inginkan lagi selain dari mendengarkan kata-kata itu tulus dan polos keluar dari bibirnya. Bibir seorang suami yang telah di takdirkan Allah untuk diriku. Dia senyum lagi bila melihat aku terdiam. Lantas dia mengucup lembut di dahiku, di mataku dan akhirnya di bibirku.
I love you...,” bisiknya lagi. Seolah-olah ingin menyakinkan lagi diriku dengan kata-katanya. Lama aku terdiam.
“Unie pun sayang abang...,” akhirnya aku berbisik.   
“Sayang aje?”
Aku senyum sambil memejamkan mataku. Masih malu untuk menyebut perkataan itu. Perkataan yang selama ini hanya tersemat jauh di sudut yang paling dalam di hatiku ini. Yang tidak pernah aku lafazkan dalam usia singkat pernikahan kami ini.
“Unie cinta pada abang,” kataku perlahan.
Lantas menbawa ketawa bahagia ke bibirnya. Aku kembali membuka mataku. Wajahnya yang samar-samar dipandangan mataku aku tatap lembut. Sungguh aku cinta, sayang dan rindu padanya. Saat itu hanya dia yang bertakhta di hati ini. Ya... dia... suamiku.
****
Keesokkan harinya aku dipindahkan ke wad kelas pertama di mana di sana hanya menempatkan sebuah katil sahaja. Abang Izwan bermati-matian menginginkan aku ditempatkan di situ walaupun aku enggan pada mulanya. Dia mahukan keadaan yang selesa untukku dan juga untuknya menungguku selama aku di tahan di dalam wad.
“Unie tau tak masa abang datang semalam, nurse yang kerja malam semalam tak bagi abang  jumpa Unie. Dia kata, itu wad orang perempuan, mesti pesakit lain tak selesa bila ada orang lelaki yang datang tunggu isterinya. Betul juga kata dia tu. Tapi abang dah tak tahan rindu pada Unie. Bila abang cakap abang baru sampai dari London, barulah dia benarkan abang jumpa Unie. Itupun katanya setengah jam aje. Bila abang tertidur kat katil Unie, tak pula dia kejutkan. Agaknya kesian tengok abang kan?”
“Tapi bang, kat sini nanti Unie sunyi duduk seorang-seorang. Kat wad  sebelum ni ramai pesakitnya. Sekurang-kurangnya bolehlah Unie berbual denga pesakit lain. Kuranglah boring sikit...,”
“Abang kan ada? Kenapa pulak Unie nak boring...,”
“Takkanlah abang nak tunggu Unie sepanjang masa. Abang kan kerja, kenalah pergi kerja. Dan... masa giliran Kak Reen, tak kan lah abang nak duduk kat sini juga. Nanti marah pula Kak Reen pada Unie, sebab ambil giliran dia,” kataku dengan suara lemah.
“Unie, tak kan Kak Reen nak marah. Dia pun faham keadaan Unie kan? Nak bergerak pun tak larat ni,”
“Abang... tak boleh macam tu. Abang mana boleh lupakan giliran Kak Reen sebab Unie sakit.  Mana boleh tinggalkan giliran dia hanya untuk bersama Unie kat sini. Itukan hak dia? Jangan nak nafikan hak dia bang, tak adil pulak nanti. Berdosa bang kalau tak adil macam tu,”
“Unie..., Unie kan sekarang dalam keadaan darurat, seorang suami tu dibenarkan temankan isteri yang sedang sakit walaupun masa giliran isteri yang lain. Cuma..., kita tidak boleh bersama aje,” ucapnya serius.
Kata-kata itu kemudiannya membawa senyum mengusik di bibirnya. Matanya melatari segenar ruang di wajahku. Dan bila melihatkan aku diam,  dia kemudiannya menyambung dengan suara yang cukup romantis sekali,
“Emmm... dalam keadaan Unie macam ni, tak kanlah abang nak makelove dengan Unie. Walaupun kalau boleh itu sebenarnya yang abang nak sangat-sangat sekarang ni.... dah lama abang rindukan Unie tau...,” kata-katanya yang terakhir itu dibisikkan lembut ke telingaku. Membawa gugup di hatiku. Aku dapat rasakan wajahku jadi panas tiba-tiba. Pastinya merona merah wajahku ketika itu.  Untuk menutup rasa gugupku itu aku mencebirkan bibirku.
“Rindu... tak macam orang rindu pun masa kat sana. Nak cakap lama-lama delam telefon pun tak boleh. Asyik Unie aje yang telefon abang. Abang tak ingatpun nak telefon kita kat sini. Rindu apa namanya tu,”  kataku menyindir.
Aku memalingkan wajahku ke tempat lain. Tiba-tiba terasa cukup malas untuk memandang ke wajahnya. Macamlah aku tak punya perasaan, bisik hati kecilku. Ah, rajukku datang lagi. Dia ketawa mendengarkan kata-kata itu.
“Kak Reen pun selalu cakap pada abang macam tu bila abang tinggalkan dia. Tak sangka Unie pun akan kata macam tu. Abang tak pendailah nak cakap rindu-rindu ni dalam telefon. Kalau cakap secara live macam ni kan seronok. Boleh peluk-peluk... cium-cium... hemm macam kita sekarang ni kan?”
Lantas dia mengambil tempat di atas katil bersebelahan denganku. Meraih tubuhku dalam pelukkannya. Mengucup lembut di dahi dan mataku. Turut berbaring di sebelahku sambil memelukku erat. Perlakuan polos yang membuatkan aku lupa langsung kepada rajukku sebentar tadi. Ah... mudah sekali dia memujuk hatiku yang sedang rawan ini.
“Abang... janganlah macam ni. Nanti  nurse tu marah...,” bisikku resah.
Bimbang sekali di hati ini sekiraya saat ini ada sesiapa yang masuk ke bilik ini. Ah... pastinya malu sekali jika ada yang melihat kami dalam keadaan begini. Dan sesungguhnya aku tidak mampu berbuat apa-apa selepas dari itu. Dia mendiamkan bicaraku seperti yang selalu dilakukannya apabila aku cuba membantah untuk bermesra.
Bukannya tidak mahu dilakukan begitu. Sungguh, aku juga mendambakan keadaan begitu. Rinduku terasa sedikit terubat bila dibuat begitu. Namun saat ini aku merasakan cukup tidak sesuai untuk aku dan dia berada dalam keadaan begitu. Dan... sungguh aku rasakan begitu loya  bila terbau haruman yang dipakainya. Walaupun sebelum ini akulah yang memilih dan membelikan haruman itu untuknya.
Tiba-tiba... tanpa aku mampu menolaknya, uwek.... aku muntah di dadanya. Meluahkan segala isiperutku ke bajunya. Terpana dia seketika. Dan, tanpa segan silu dia ketawa, kuat sekali. Menzahirkan rasa bahagianya walaupun saat itu habis pakaiannya dan pakaianku sudah dipaluti muntahku yang hanya terdiri daripada cecair berwarna hijau. Aku muntah dan muntah lagi dan dia ketawa dan ketawa lagi.
Saat kami dalam keadaan begitu, pintu bilik terbuka luas. Kelihatan Kak Reen berdiri di jenang pintu sambil matanya merenung ke arah kami. Suasana jadi sepi seketika. Dia kelihatan serba salah melihatkan kemesraan kami. Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Terus memuntahkan lagi isi perutku. Lemah terasa seluruh tubuhku. Dan Abang Izwan pula kelihatan terpaku melihatkan Kak Reen di situ. Dia juga terdiam tak mampu berkata-kata. Perlahan-lahan dia bangun dari katilku. Dia lantas senyum pada maduku itu. Seperti  orang bersalah dia menjauhkan diri dariku.
“Reen, tengok, Unie muntah... habis baju abang...,” katanya sambil ketawa perlahan. Seolah-olah seperti anak kecil yang tertangkap melakukan kesilapan oleh ibunya, dia memberikan alasan.
“Emmm... a...... maaf, Reen sepatutnya ketuk pintu ni tadi...,”
Ada resah di wajah Kak Reen. Namun saat itu aku tidak mampu berbuat apa-apa. Tidak mampu untuk memohon maaf kerana menyinggung perasaannya. Aku hanya mampu menarik nafas panjang. Muntahku juga sudah berhenti. Terhenti akibat dari terkejut dengan kehadirannya yang tiba-tiba itu. Hanya bau hanyir sahaja yang memenuhi ruang wad kelas satu itu.
“Reen bawa makan ni untuk Unie, tentu dia... tak lalu nak makan makanan hospital. Reen buatkan dia tomyam campur,” katanya lama kemudian.
Matanya masih lagi tidak mampu untuk memandang kepadaku. Ah... Kak Reen, sungguh mulia hatinya. Begitu dia mengambil berat terhadapku, madunya.  Abang Izwan yang sudah  berdiri di sisi katil aku lihat tersenyum padanya. Aku terlalu lemah saat itu sehinggakan tidak mampu untuk mengesan bagaimana reaksi mereka berdua dengan situasi kami sebentar tadi.
Cepat-cepat Abang Izwan mencapai kain tuala yang tersangut di palang penyangkut di tepi katil. Bau hanyir muntahku menyebabkan aku tersa ingin muntah lagi. Lantas dia cepat-cepat membantuku ke bilik mandi yang terletak bertentangan katilku.
“Reen duduk dulu ye, abang kena bersihkan Unie ni. Badan abang pun dah penuh dengan muntah dia ni,” katanya sambil dia memimpinku ke bilik mandi. Aku hanya mampu menghulurkan senyum lemah kepada Kak Reen. 
Lama kami di bilik mandi. Hilang segala rasa malu akibat dek rasa lemah yang aku alami apabila Abang Izwan bersama-sama mandi denganku. Dalam keadaan kesihatan yang begini terganggu, aku sedikitpun tidak merasakan apa-apa keintiman antara kami dalam situasi begitu. Walaupun Abang Izwan kelihatannya ingin sekali bermesra, aku hanya senyum hambar sambil memejamkan mataku, tidak mahu muntah lagi.
Setelah kami sama-sama bersih, aku melangkah keluar dari bilik mandi sambil dibantu oleh Abang Izwan. Di meja kacil berhampiran katil, kelihatan bekas makanan yang dibawa oleh Kak Reen sebentar tadi elok sahaja letak duduknya. Tetapi, Kak Reen tidak kelihatan di mana-mana. Dia rupanya telah pergi, meninggalkan kami.
Terdetik di hati ini, pastinya dia tersinggung melihatkan kemesraan kami sebentar tadi. Aku mengetap bibir, menahan rasa bersalah. Walau dalam keadaan lemah begini, aku dapat merasakan kekecewaan yang dia rasakan melihatkan madu dan suaminya sendiri dalam keadaan yang cukup intim seperti tadi. Ah Kak Reen.... maafkan Unie. Unie tak berdaya....  

_________________________________
Nampaknya Kak Laila terpaksa berhentikan seketika penghantaran bab-bab seterusnya bagi novel ini. Ramai yang kata cofuse bila baca. Akak kena susun balik plotya supaya lebih mudah difahami. Akak sebenarnya nak mencuba, tapi tak berjaya. Akak biasa baca cerita yang plotnya sebegini dalam nocel Inggeris. Tapi, mungkin cara begini kurang sesuai untuk pembaca novel Melayu. Akak dah silap perkiraan rupa-rupanya. Mungkin pengalaman menulis akak masih belum cukup  untuk membuatkan akak mampu menulis novel yang sebegini. Memang betul kata penulis berpengalaman, Maria Kajiwa, plot yang sebegini membuatkan pembaca confuse dan seterusnya melembabkan cerita.
Sorry semua... insyaallah akan dihantar semula bila dah dibaiki nanti.
Thanks kerana menmberi comments.
Salam sayang untuk semua,
Laila Hanni

Popular Posts