Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 14
‘Aku balik kampung. Emak aku sakit. Kalau ada apa-apa telefon aku. Kat bawah ni nombor aku.’
Mata Mai menatap pada nota kecil yang ditulis untuknya. Biarpun tanpa nama, dia tahu nota itu adalah dari Syamsul. Tiba-tiba terasa bagaikan terjerut hatinya. Airmata kembali merembes di tubir mata. Dalam sedu yang tiba-tiba datang Mai duduk di sofa berhampiran. Terasa lemah lututnya, tak mampu menanggung berat tubuhnya. Syamsul telah meninggalkannya. Dia telah pergi dengan alasan yang sebegitu.
Matanya kembali menatap kertas kecil di tangannya. Nombor telefon yang dicatit di atas nota itu dibaca satu persatu. Selama ini dia tidak pernah ambil tahu tentang nombor telefon lelaki itu. Mereka tidak pernah berhubung antara satu sama lain melalui alat telekomunikasi itu. Dan tiba-tiba tanpa sedar airmatanya menitis di atas kertas kecil itu. Dia menangis. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia harus menangis.
Bukankah dia yang mahu semua ini cepat-cepat berakhir. Bukankah pagi tadi dia yang nekad untuk mengakhiri semua ini dengan menurut kata-kata Irfan supaya memberikan hak Syamsul? Bukankah dia yang bertindak menggoda suaminya demi untuk kembali kepada Irfan? Kini Syamsul  telah meninggalkannya. Pasti sengaja alasan itu direka demi untuk meninggalkannya, sebagai tanda awal perpisahan ini akan terjadi. Lebih cepat dari tempoh yang dimintanya dahulu.
Selepas sahaja Mai keluar dari bilik Syamsul  pagi tadi dia terus menyembunyikan diri di biliknya. Dia  menangis semau-maunya. Terasa amat malu dengan perbuatannya dan keliru dengan perasaannya. Dan kini apakah yang dirasakan? Mengapa bila Syamsul  pergi begini dia merasa begitu sedih sekali? Bukankah sepatutnya dia gembira? Bukankah sepatutnya dia merasa lega kerana sudah mampu meminta supaya di lepaskan. Tapi mengapa kesal dan sedih sahaja yang ada dalam hatinya ketika ini?
Dia tidak pasti bila masanya Syamsul  meninggalkan rumah. Seribu persoalan bermain di mindanya. Sambil menyapi airmata, dia mengambil telefon tangannya sambil mendail nombor telefon Syamsul. Teragak-agak sekali untuk menekan butang hijau di telefonnya. Namun dia perlu tahu tentang perkara ini dengan lebih lanjut.
“Helo....,” getar suara parau Syamsul  dalam telefon sudah mempu membuatkan dia menggeletar. Segera kenangan waktu bersama pagi tadi melintas di depan matanya, membuatkan  perasaan gementarnya makin kuat. Mai menarik nafas panjang.
“Assalamualaikum...” sapanya perlahan.
“Waalaikumssalam...,”
“Emmm.... ini saya, ... Mai...,” separuh berbisik dia memperkenalkan diri.
Diam seketika antara mereka. Mai pasti dia dengar seperti Syamsul  mengeluh, biarpun perlahan.
“Ya... ada apa?”
“Saya... baru dapat mesej awak... Awak... kat mana sekarang?” tanya Mai teragak-agak.
“Kat stesen bas... malam baru ada bas...,” seperti hambar sekali suara itu.
“Pukul berapa...?”
“ 10 malam...,”
Mata Mai beralih ke jam di dinding, sekarang baru jam 3.00 petang.
“Emmm... tiket dah beli?”
“Dah...,” jawab Syamsul  perlahan. Seolah-olah bosan dengan pertanyaan demi pertanyaan yang ditanya. “Kau ni kenapa ni.... asyik bertanya aje... dah penat tau menjawab soalan kau ni...,” sambung Syamsul  lagi.
Terdiam Mai mendengarkan itu. Tidak sangka Syamsul  akan berkata begitu. ‘Ah... sebenci itu kah dia padaku...?’ hati Mai berdetik.
Terbayang wajah Syamsul  yang menatapnya dengan pandangan yang cukup syahdu pagi tadi. Teringat riak wajah Syamsul  yang kebimbangan terhadapnya selepas mereka bersama pagi tadi. Mengingatkan itu, hatinya terjerut lagi. Menyesal dengan apa yang dilakukan. Biarpun dia tahu dia sendiri turut sama menikmati sepenuhnya detik-detik bersama yang mereka lalui pagi tadi. Namun, hakikat mengapa dia melakukan itulah yang menjerut perasaannya. Buat dia rasa bersalah pada Syamsul. Patutlah kalau Syamsul  marah atau benci padanya. Dia memang selayaknya dibenci begitu.
“Ada apa ni Mai ...?” tanya Syamsul  setelah lama Mai mendiamkan diri.
“A... serius ke sakit mak awak?”
“Adik aku kata dia kena serangan jantung.”
“Serius ke?”
“Manalah aku tahu... ni nak pergi tengoklah ni...,”
“Awak nak balik sekarang?”
“Maksud engkau?
“Kalau awak nak balik sekarang, saya ambil awak kat stesen bas. Awak pandu kereta saya. Mmmm .... saya temankan awak balik...,” perlahan Mai menawarkan.
Suara Syamsul  yang tiba-tiba tertawa kuat buat Mai terperanjat. Mengapa dia tertawa sekuat itu? Mungkinkah menyindir?
“Kau ni.... mengarut ke? Kau nak permainkan aku macam pagi tadi?”
 “Kenapa awak cakap macam tu?”
“Ialah.... bukannya dekat kampung aku tu. Tujuh  lapan jam baru sampai. Itupun kalau aku pandu laju. Kalau balik sekarang tengah malam baru sampai. Esok belum tentu boleh balik sini semula. Mak aku pun bukannya boleh cepat sembuh. Hari Isnin kan kau dah kerja balik... Tak payah nak tunjuk baiklah Mai.... Atau kau semata-mata nak tunjuk yang kau ni isteri solehah.... temankan suaminya sepanjang masa.... tak payahlah Mai ...”
Kata-kata Syamsul  itu bagaikan belati tajam yang menghiris hatinya. Dia menutup matanya, menyerap pedih setiap patah dari kata-kata Syamsul  sebentar tadi.
‘Sampai hati awak cakap macam tu kat saya...,” katanya separuh merajuk.
“Habis... bukan ke begitu?”
“Tak ada niat pun macam tu... saya cuma nak tolong awak...,”
“Baiknya hati engkau...,” sindir Syamsul. Kata-kata yang mengguris lagi hati Mai.
“Tak apalah.... kalau tak mau... saya cuma berniat nak membantu... Lagipun, saya belum jumpa lagi emak awak. Nanti apa katanya kalau awak balik sorang. Nanti mesti teruk orang kampung awak mangata saya... sebab tak ambil berat,”
“Hahaha........ itu sebenarnya kan? Bukannya ikhlas niat nak tolong... sebenarnya kau takut orang pandang serong kat engkau kan? Bukan ke engkau memang macam tu?  Tak pernah ambil berat perasaan orang lain....,”
Masyaallah... Mai mengeluh lagi. Dia tersilap cakapkah? Bukan itu yang dimaksudkannya. Ah... lelaki ini sudah salah anggap dengan keikhlasan hatinya untuk membantu. Tapi patutkah dia menyalahkan Syamsul? Tidak .... bukankah selama ini dia yang bersikap begitu? Dia sendiri yang meletakkan dirinya dalam keadaan begitu. Sehingga Syamsul  berperasangka sebegitu kepadanya.
“Saya..... saya....,”
“Sudahlah Mai ... kau pergilah mengadu kat Irfan, cakap kau dah boleh mintak cerai. Lepas aku balik nanti kita selesaikan hal kita ni....,”
“Syam..... sampai hati awak kata macam tu....,” kata Mai dengan suara yang bergetar akibat tangis yang tiba-tiba datang. Kata-kata yang membuatkan Syamsul  terdiam seketika. Mungkin terperanjat mendengarkan getar suara Mai itu.
“Kenapa menangis.... bukan ke itu yang engkau nak...?” sindirnya setelah lama membisu.
“Syam... dah... tolong jangan salah anggap pada saya...,”
“La... salah anggap apa pulak. Itu  yang kau nak kan?”
“Tapi... tapi bukan dalam situasi macam ni...,”
“Situasi macam mana Mai? Cakap ......,”
“A...,” teragak-agak Mai untuk berkata-kata. Dia sendiri pun tidak pasti, keliru, buntu untuk terus berkata-kata.
“Sudahlah Mai .... sudahlah...,”
Terdiam Mai di situ. Tak mampu berkata apa-apa untuk membela dirinya. Lagipun segala apa yang Syamsul  katakan itu benar semuanya. Sikap buruk yang ditunjukkannya selama ini membuktikan semua itu.
“Sudahlah... aku tak ada masa nak layan orang yang pentingkan diri macam engkau....,”
Kata-kata Syamsul  itu sekali lagi buat airmatanya menitis lagi. Sedunya pasti didengar oleh Syamsul  kerana kedengaran lelaki itu mengeluh di hujung talian.
“Sudahlah menangis tu.... lepas aku balik nanti, kita selesaikan semuanya...,” kata Syamsul  seakan memujuk.
Makin laju airmata yang mengalir di pipinya.
“Oklah... kita berhenti kat sini...  bye...., assalamualaikum,”
Talian diputuskan tanpa sempat Mai berkata apa-apa. Sedunya dan tangisnya makin kuat. Dia hanya mampu merenung telefonnya itu. Sedikit pun tidak menyangka Syamsul  akan jadi semarah itu. Dan sungguh keliru mengapa dia sendiri merasa  begitu sedih.
****
Mata Syamsul  merenung di kegelapan malam. Bas yang dinaikinya meluncur laju meninggalkan bandaraya Shah Alam menuju ke Kota Bharu, Kelantan. Ingatannya sedikitpun tidak mampu dilarikan dari mengingati isterinya. Serba salah dirasakan, namun itulah yang terbaik bagi mereka berdua. Jika sememangnya Mai ingin kembali kepada Irfan, dia tidak punya pilihan lain. Walaupun terasa kini wajah wanita manis itu sudah mula mengambil tempat di hatinya, dia perlu akur pada hakikat sebenar parkahwinan mereka. Masih terasa lagi kemarahannya pagi tadi. Masih terasa lagi bagaimana Mai mencalarkan keegoannya sebagai lelaki apabila dia mengatakan semua yang berlaku tadi adalah kerana Irfan. Tidak pernah dia merasakan terhina sebegitu sejak 35 tahun kehidupannya. Sewaktu dia dibenci oleh keluarga mertuanya apabila arwah Suhaila menunggal dunia duhulu pun dia tidak merasa kecewa sebegini. Sungguh dia tidak mengerti mengapa dia jadi marah seperti tadi sedangkan sejak mula lagi dia mengetahui sebab utama mereka menikah. Ya... sekembalinya nanti, dia akan menyelesaikan semua ini secepat mungkin. Dalam keluhan, dia menutup matanya untuk membuang ingatannya terhadap Mai. Namun, mana mungkin...
****
Bas ekspress Mutiara yang dinaiki Syamsul  itu perlahan-lahan memasuki ruang menurunkan pelanggan di stesen bas Kota Bharu. Sebaik sahaja berhenti, dan pintu bas terbuka, pemandu teksi yang sedang menanti pelanggan terus berkerumun di hadapa pintu bas. Menyebabkan sukar sekali penumpang bas untuk turun meninggalkan bas tersebut. Syamsul  hanya  menggelengkan kepalanya. Keadaan masih belum berubah, bisiknya dalam hati.
Cepat-cepar Syamsul  meninggalkan bas. Dia tidak suka keadaan yang agak kelam kabut begini. Lantas dia menghampiri seorang pemandu teksi yang duduk agak jauh dari pemandu lain. Segera dia meminta untuk dihantar ke Hospital Univesiti Sains Malaysia di mana emaknya ditahan di Cardiac Care Unit (CCU). Dia telah menghubungi adiknya Shuhaida sebentar tadi dan mereka berjanji untuk bertemu di wad tersebut.
Setiba di wad CCU, HUSM, dia mendapati Shuhaida sudah ada menunggunya di sana. Selepas bersalaman dan bertanyakan khabar,  Syamsul  meminta izin dari jururawat yang bertugas untuk menjengah emaknya sebentar. Namun, dia di minta untuk datang semula pada waktu melawat tengahari nanti kerana pada waktu pagi begini adalah waktu untuk doktor membuat pemeriksaan rutin untk mengenalpasti keadaan pesakit. Lantas Shuhaida mengajaknya ke kantin hospital untuk sarapan pagi.
“Wawa dengan Nabil macam mana Ida?”
“Sihat bang, sekarang mereka kat rumah Kak Yah. Senang Wawa nak ke sekolah,”
Syamsul  mengeluh perlahan.
“Abang jangan risaukan mereka. Insyaallah semuanya baik. Kak Yah pun tak kisah mereka tinggal dengan dia sementara ni. Tapi Ida rasa macam tak sedap juga nak biarkan mereka tinggal lama dengan Kak Yah. Nabil tu...asyik menangis aje malam-malam. Cari Tok Wan dia,” rungut Shuhaida.
“Itulah... Abang buntu  juga bila fikir tentang mereka tu. Ida kena jaga mak kat sini. Abang dah balik ni, rasanya legalah sikit. Bolehlah Ida balik tengokkan mereka...,”
“Isteri abang apa khabar?” perlahan Shuhaida bertanya. Menatap wajah Syamsul  untuk mencari riaksi wajah abangnya apabila nama isterinya itu disebut.
“Baik... dia kirim salam...,” bohong Syamsul.
Semasa Syamsul  memberitahu dia dan emaknya yang dia akan berkahwin, mereka jadi agak tertanya-tanya tentang wanita itu. Tambahan lagi apabila mereka tidak pulang ke kampung untuk diperkenalkan seperti yang dijanjikan oleh Syamsul  tempohari. Apabila di tanya, abangnya itu memberikan alasan bahawa Mai tak dapat mengambil cuti. Suatu alasan yang agak kurang munasabah dirasakan oleh Shuhaida. Terlalu sibukkah dia sehinggakan untuk pulang di hari minggu pun mereka tidak mampu. Alasan itu membuatkan Shuhaida dapat menghidu adanya sedikit keganjilan dalam pernikahan abangnya itu. Dia pernah menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu kepada emak mereka. Namun emaknya telah memarahinya dan meminta supaya dia bersangka baik dengan perihal abangnya itu.
Dan bila menyaksikan sendiri raut wajah Syamsul  yang tidak ceria begitu, dia mensyakki bahawa abangnya tidak bahagia. Syamsul  juga bagaikan tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang perempuan itu. Menyebabkan Shuhaida bagaikan dapat menghidu bahawa ada masalah yang dihadapi oleh abangnya. Dia tidak pasti puncanya, tetapi dia pasti akan mengetahuinya selepas ini. Syamsul  adalah seorang yang suka memendam perasaannya dan jarang sekali berkongsi masalah dan juga kegembiraannya. Tetapi sebagai seorang adik bongsu yang agak rapat, dia pasti Syamsul  tidak akan marah jika dia bertanya nanti. Tetapi di saat ini, ada masalah lain yang harus mereka tangani terlebih dahulu. Soal rumah tangga abangnya itu perlu ditangguhkan dahulu buat masa sekarang.
“Lepas tengok mak tengahari nanti abang nak balik jenguk mereka sekejap. Motosikal Ida adakan? Abang pinjam sekejap ye?”
“La abang ni.... kan itu motosikal abang... abang yang belikan motosikal tu kan?”
Syamsul  hanya senyum sekilas. Sememangnya dialah yang membelikan motosikal itu untuk kemudahan Shuhaida dan emaknya di kampung. Tambahan lagi, anak-anaknya tinggal bersama emaknya.
“Abang tak penat ke?” tanya Shuhaida penuh cakna.
“Penat juga...,” keluh Syamsul. Sememangnya dia cukup penat. Penat kerana tidak mampu tidur semalaman di dalam bas akibat kerana risau tentang keadaan emaknya.  Ditambah lagi dengan ingatannya terhadap Mai.
“Lepas ni, sementara tunggu masa melawat, abang pergilah tidur di surau.  Petang nanti, abang baliklah jenguk Wawa dan Nabil. Dia orang pun rindu sangat pada abang tu. Nabil tu asyik dok bertanya tentang emak baru dia...,”
Syamsul  terdiam mendengarkan  kata-kata Shuhaida. Satu lagi masaalah yang harus di tanganinya bila dia dan Mai akan berpisah nanti. Tiba-tiba dia menyesal dengan keputusnnya untuk membantu Irfan dan Mai. Sesuatu yang sepatutnya dielakkan dari berlaku. Namun, dia tidak pernah menyangka semua ini akan berlaku sebegini. Kalaulah dulu dia mengahwini Mai dan terus melepaskan wanita itu, tanpa pengetahuan emaknya, bukankah lebih mudah? Tetapi dia tidak sanggup berbuat begitu. Tidak sanggup merahsiakan perkara seperti itu dari emaknya. Biarpun emaknya tidak tahu hakikat sebenar pernikahannya.

Popular Posts