Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 17

Suasana di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang itu begitu sibuk sekali dengan penunpang-penumpang yang baru sahaja tiba melalui penerbangan sebelah petang  dari Kuala Lumpur. Kelihatan juga sebuah kapalterbang  yang sedang   menunggu masa  untuk berlepas. Mai melangkah perlahan menuju ke balai ketibaan. Dia tidak perlu mengambil apa-apa bagasi kerana hanya membawa sebuah beg bimbit kecil serta sebuah beg kertas yang mengandungi sedikit buah tangan buat keluarga Syamsul.

Semalam dia buntu memikirkan apa buah tangan yang patut dibelikan buat keluarga Syamsul. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membeli sebuah kereta kawalan jauh untuk anak lelaki Syamsul  serta sebuah buku cerita untuk anak gadis Syamsul. Bagi emak mertuanya dia membelikan sehelai kain pasang untuk dibuat baju dan buat adik ipar perempuannya dia membelikan sehelai selendang berwarna ungu. Sungguh dia tidak pasti samada pilihannya itu akan dapat memenuhi selera mereka sedangkan dia sendiri tidak tahu bagaimana kegemaran mereka semua. Namun setelah diyakinkan oleh Kak Gee, bahawa pastinya mereka akan suka dengan apa sahaja pemberian pertama darinya, barulah Mai terasa sedikit yakin dengan apa yang dibelinya itu. Menurut Kak Gee, bukan apa yang diberi itu yang utama dalam hal ini, tetapi keikhlasan memberi itu sebenarnya yang mampu menarik minat seseorang untuk menerima apa juga pemberian.

   Setelah tiba di balai ketibaan barulah Mai mengaktifkan telefon bimbitnya. Terdapat beberapa panggilan dan satu pesanan ringkas dari Syamsul  yang sudah pastinya membawa getaran debar di hatinya.

Kenapa datang tak bagitahu dulu... bukan ke aku dah cakap, kita selesaikan hal kita bila aku balik Shah Alam nanti...

Ringkas... tapi padat mesej yang ingin disampaikan. Syamsul  sesungguhnya tidak memerlukan dia di sisi. Malah suaminya itu masih marah seperti waktu dia meninggalkannya dua minggu yang lalu. Sebelum menaiki kapal terbang sebelum berangkat tadi, dia telah menghantar pesanan ringkas ke telefon Syamsul  untuk memberitahu akan kedatangannya ini. Selepas menghantar SMS itu, dia cepat-cepat mematikan telefon bimbitnya seperti yang di arahkan oleh peramugari yang bertugas. Tidak mahu menerima apa-apa panggilan dari Syamsul  yang pastinya akan melarangnya dari datang.

Dan kini, setibanya dia di sini, terasa amat janggal sekali. Sepanjang dalam penerbangan tadi dia memikirkan tentang hal ini. Menyesali setiap apa yang pernah dikatakan pada Syamsul  hinggakan ego suaminya itu tercabar. Tanpa sedar perlakuan dan kata-katanya telah mencalar perasaan lelaki itu. Pun begitu dia cukup tidak mengerti. Bukankah di awal perkahwinan ini telah dinyatakan semuanya. Bahawa ini semua cuma sementara. Namun, mengapa bila ini terjadi, bagai ada rasa kecewa yang melanda hati. Mengapa Syamsul  menunjukkan kemarahannya bila dia menyatakan apa yang berlaku tempohari antara mereka adalah kerana Irfan? Bukankah dia sudah tahu itu semua?

Sedang dia berkira-kira untuk mendapatkan teksi ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di mana emak mertuanya di tempatkan, telefonnya berbunyi. Nama Syamsul  terpapar di skrin. Dan debar di hati tiba-tiba jadi kencang. Cepat-cepat dia menjawab panggilan  itu.

“Mai kat mana ni?” sapaan Syamsul  kedengaran lembut di telinganya. Walaupun ada sedikit nada marah, dia bagaikan dapat mendengar kerisauan pada suara yang bagaikan berbisik di telinganya. Terasa seperti hatinya dibelai lembut sekali mendengarkan namanya disebut sebegitu. Dia memejamkan mata menikmati perasaan itu. Inilah pertama kali namanya disebut dalam perbualan antara mereka sejak dinikahi oleh lelaki ini. Bagaikan indah terasa di hati.

“Mai kat airport... Baru saja sampai... Tadi ... kena matikan telefon masa dalam kapalterbang,” jawabnya.

Entah mengapa dia bagaikan ingin berbisik manja ke telinga Syamsul. Bagaikan ingin meraih simpati buatnya supaya tidak dimarahi. Tidak mahu rasanya tindakannya ini disalah ertikan oleh Syamsul. Dan entah mengapa debar di hatinya bagaikan makin kencang bila mendengarkan suara itu. Terasa bagaikan ingin meluahkan rasa rindu... Rindu????

“Habis sekarang kat mana ni?”

“Tengah nak tempah teksi. Mai ... pergi ke hospital terus  ye?” dia bertanya perlahan. Mengharapkan Syamsul  tidak lagi marah kepadanya.

“Terpulang pada Mailah. Aaa... aku boleh datang ambil ... kalau kau sudi nak naik motosikal cabuk aku,” biarpun terasa bagaikan disindir, namun hatinya seperti berlagu riang. Debar di dada kian kencang.

“Emm... tak menyusahkan a.... awak ke?” Sahutnya bagaikan meraih simpati. Entah mengapa ingin sekali dia menggunakan panggilan abang pada Syamsul. Tapi dia mengubah fikiran di saat akhir.

“Tak, aku boleh tingalkan emak ni kejap. Lagipun dia tengah tidur ni..,” jawab Syamsul  bersahaja. “Tunggu aku datang,” sambung lelaki itu dalam nada mengarah.

“Ok...,”

Dan talian diputuskan. Mai memejamkan matanya sambil menarik nafas panjang. Terasa serba salah jadinya. Bagaimana dia akan menghadapi suaminya itu? Akan dimarahikah nanti? Apa yang harus diperkatakan bila bersama dengannya nanti? Dia mengeluh perlahan. Cuma mampu mengharapkan Syamsul  tidak lagi marah kepadanya.

****



Serba salah jadinya. Kalau diikutkan hatinya ingin sekali dia menyuruh Mai kembali ke Kuala Lumpur dalam penerbangan yang selanjutnya. Cukup marah rasanya bila Mai menghantar pesanan ringkas kira-kira satu jam tadi untuk memberitahunya yang dia akan datang. Masalah emaknya masih lagi belum selesai, timbul pula masalah dari perempuan yang sepatutnya mendamaikan jiwanya ini.

Setelah  seminggu berada di bawah pemerhatian di wad Cardiac Care Unit (CCU), Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, emaknya ditempatkan di Wad Medikel di hospital yang sama sejak seminggu yang lalu sementara menunggu masa untuk menjalani rawatan selanjutnya. Buat masa ini apa-apa rawatan masih lagi belum dapat dilakukan kerana menunggu kelulusan pembayaran kos rawatan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut pegawai di jabatan tersebut, tempoh kelulusan itu bergantung kepada proses yang perlu mereka jalankan. Mungkin akan mengambil masa lebih sebulan. Dan kini dia telah pun berkampung di Hospital USM selama dua minggu. Bila sahaja dia dibenarkan berada di sisi emaknya, dia pasti akan berbuat begitu. Dan bila waktu doktor membuat lawatan untuk memberikan rawatan yang diperlukan, dia terpaksa meninggalkan emaknya buat seketika. Untuk meninggalkan hospital dia tidak sanggup sama sekali. Bimbang jika sesuatu berlaku kepada emaknya semasa dia tiada di situ. Lantas dia menjadi penunggu setia di luar wad tersebut.

Kedatangan Mai yang sungguh tidak disangkanya ini membuatkan terasa sedikit gundah berpaut di tangkai hatinya. Bagaimana nanti dia akan menjalankan tugasnya sebagai anak jika Mai ada dan ‘menganggu’nya? Tidakkah nanti Mai akan menyusahkannya dengan terpaksa menghantarnya pulang ke rumah emaknya yang jauh nun di Pantai Melawi? Perlukah dia membenarkan Mai menemui emaknya dalam keadaannya yang daif begitu? Dan mungkinkah emaknya akan dapat menghidu kedinginan hubungan dia dan Mai? Cukup risau rasanya dia bila memikirkan kemungkinan kesihatan emaknya akan makin terganggu dengan kehadiran Mai.

Dari jauh dapat dilihatnya Mai yang sedang duduk di sebuah bangku di dalam bangunan lapangan terbang tersebut. Kelihatan isterinya itu sedang resah sekali. Isteri.... dia mengeluh perlahan. Sememangnya Mai sudah menjadi isterinya dengan erti kata yang sebenarnya. Bila mengingatkan peristiwa yang berlaku pagi itu, bagaikan bertandang sejuta resah  rindu di hatinya.  Membuatkan ingin sekali dia mengelus pipi mulus wanita itu. Membuatkan dia menginginkan peristiwa itu berulang lagi.. lagi... dan lagi.... ahhh....

 Sejenak kemudian Mai berpaling ke arahnya. Seperti dapat merasakan dirinya sedang diperhatikan, terus pandangan mata mereka bertaut. Terdiam Syamsul  seketika di tempat dia berdiri. Mata itu kelihatan bagaikan bercahaya, mematrikan  pandangannya terhadap kedua-dua bola mata hitam milik Mai. Dan dapat dilihatnya Mai juga bagaikan terpaku seketika.

Syamsul  melangkah lambat menghampiri Mai yang perlahan-lahan bangun bila melihat suaminya itu  menghampirinya. Tepat memandang ke dalam mata masing-masing. Sama-sama cuba mencari apa yang tersembunyi di sebalik renungan masing-masing. Bila Mai tidak mampu meneka apa yang tersirat di dalam hati Syamsul  dia menutup resahnya dengan sekumtum senyum yang pastinya kelihatan hambar. Syamsul  turut mengukirkan senyum tawar. Terasa ingin sekali dia menghulur tangan bersalam dengan Syamsul , tetapi bila melihatkan raut wajah Syamsul  yang seakan-akan tidak senang, dia membatalkan keinginan itu.

“Maaf... Mai tak minta izin dulu nak datang..,” katanya perlahan. Sapanya itu di sambut dengan tawa sinis dari Syamsul.

“Sejak bila kau mula minta izin dari aku bila nak buat apa-apa...” sindirnya.

Mai diam. Rasa tersinggung di hatinya dibiarkan sahaja. Bukankah dia yang memulakan semua ini. Syamsul  baik kepadanya di awal pernikahan mereka dulu. Tetapi sikap acuh tak acuhnya sendiri yang menyebabkan lelaki ini bagaikan membencinya. Di tambah lagi dengan apa yang berlaku pada mereka dua minggu yang lalu. Entah mengapa terasa begitu sayu di hatinya bila merasakan bahawa ada kebencian di hati lelaki itu buatnya.

“Emak a... awak macam mana?”

“Emm... ok... ,”

“Masih di hospital lagi kan?”

“Hem..,”

“Awak datang sini, siapa yang jaga dia ..,”

“Aku tinggalkan dia sekejap. Lagipun dia tengah tidur tadi masa aku tinggalkan dia tadi...,”

“Maaf sebab susahkan awak. Tadi... Mai ingat nak naik teksi aje....,”

“Huh... tambang teksi dari sini mahal...,” kata Syamsul  seolah-olah mencemuh. “Buat apa bazirkan duit. Tapi... tak kesahlah kan? Sebab duit kau banyak..,”

Sinis lagi suara itu membuatkan tersentuh lagi hati Mai dibuatnya. Namun sekali lagi didiamkannya. Nasihat Kak Gee semasa dalam perjalanan menghantarnya ke Lapangan Terbang Subang tengahari tadi masih diingatnya. Jangan dilawan cakap suami. Cuba bersabar dengan kernahnya. Dia akur, barpun di merasakan tidak selayaknya dia dilayan sebegitu. Tapi dalam keadaan marah, dia tidak mahu memperbesarkan masalah di antara mereka. Sarang tebuan jangan dijolok. Dia sudah cukup sedar tentang itu. Pengalaman semasa diceraikan Irfan dengan talak tiga dahulu masih lagi melekat kemas di hatinya.

“Jom..,” kata Syamsul  sambil mengangkat beg Mai. Dengan membimbit beg yang mengisi buah tangan untuk anak-anak Syamsul  serta emaknya, dia menurut langkah Syamsul  perlahan-lahan menuju ke motosikal Syamsul  yang diparkir di luar bangunan lapangan terbang tersebut.

“Harap kau tak malu naik motosikal buruk aku ni...,” sinis lagi kata-kata Syamsul  di telinganya. Dan di diamkan lagi. Malas untuk bertekak. Namun di hati kecilnya terdetik rasa gerun. Dia pernah mengalami kemalangan semasa kecil apabila membonceng dengan arwah ayahnya. Dan sehingga ke hari ini dia tidak pernah lagi membonceng motosikal. Fobianya masih terasa sehingga ke hari ini.

Syamsul  mengambil beg yang dibimbit oleh Mai dan meletakkan ke dalam raga motosikal yang terletak di bahagian hadapan tempat duduk. Perlahan dia menghulurkan topi keledar yang dipinjamnya dari ahli keluarga salah seorang pesakit yang menghuni wad  yang sama dengan emaknya. Melihatkan Mai agak kekok untuk mengikat topi keledar itu, dia membantu, membuatkan kedudukan mereka begitu rapat sekali. Dan matanya terus merenung ke wajah manis Mai sepanjang masa dia membantu Mai mengikat tali topi keledarnya. Perlakuan yang membuatkan resah di hati Mai tak mampu di bendung. Mai cuba merenung kembali ke dalam mata suaminya itu. namun tidak mampu bertahan lama. Lantas matanya jatuh ke leher Syamsul  yang setentang dengan wajahnya. Mula merasakan sesuatu yang tidak enak mengetuk pintu hatinya. Suatu getar yang cukup asing dan tidak pernah dirasakannya selama ini.  Dan wajah selamba Syamsul  membuatkan dia merasa bersalah kerana membiarkan hatinya disapa perasaan itu. Bukankah dia yang meletakkan pelbagai syarat dia awal cerita antara mereka?

Tanpa kata dan masih dengan wajah selamba, Syamsul  menunggang dan menghidupkan injin motosikal. Kemudian dia memberi ruang untuk Mai membonceng di belakangnya. Dalam debar yang tak mampu diseka, Mai melangkah perlahan menghampiri motosikal usang Syamsul. Cuba untuk berlaku berani sedangkan dalam hati tuhan sahaja yang tahu perasaan takutnya. Dia berpegang kemas pada hujung baju T Syamsul. Tidak tahu di mana untuk meletakkan kedua-dua tangannya. Genggamannya yang kemas itu menyebabkan Syamsul  menyedari ketakutan yang dirasakannya.

“Engkau takut ke?” tanya Syamsul  sambil berpaling kepadanya. Mata mereka bertatapan lagi. Mai hanya mengangguk tanpa kata. Membawa senyum di bibir Syamsul. Dia tidak pasti apa maksud senyuman itu. Kelihatan seperti sinis, tetapi cukup melegakan kerana Syamsul  tahu akan apa yang dirasakan.

Dan tanpa disangka-sangka Syamsul  menarik kedua-dua tangannya sehingga melingkari tubuh lelaki itu. Dalam rasa terkejut Mai memejamkan matanya, memeluk tubuh lelaki di hadapannya itu. Menikmati perasaan indah yang melingkari hatinya. Cuba untuk mengerti tentang apa yang dirasakannya itu. Satu rasa indah yang bagaikan mengelus perasaan. Membuatkan dia tertanya-tanya dan keliru.

“Pegang kuat-kuat... aku suka tunggang motosikal laju-laju...,” kata Syamsul  dalam nada mengusik. Dan Mai dapat melihat sebaris senyuman terukir di pinggir bibir Syamsul. Dan hatinya sudah tidak hiraukan apa maksud senyuman itu. Dia hanya ingin melayani perasaannya di saat ini. Perasaan indah... dalam suasana yang cukup indah. Dan bila Syamsul  mula menggerakkan motosikalnya itu, dia mengeratkn lagi pelukannya pada tubuh lelaki yang memenuhi ruang ingatannya sejak dua minggu ini. dia merebahkan kepalanya di belakang Syamsul  dan menikmati perasaan indah yang dirasakan. Dan dia tidak ingin mengingatkan yang lain saat ini. Hanya dia...

****

Mendung yang melatari langit petang itu membawa rasa sejuk di hati Syamsul. Suasana bertukar dari panas menjadi redup dan hujan renyai-renyai yang tiba-tiba turun di awal November itu bagaikan mengelus hatinya. Pelukan kemas Mai di pinggangnya membuatkan damai menyelubungi hatinya. Ah... rindu itu makin kemas berpaut di tangkai rasanya. Ya... rindu... dan dia ingin menikmati perasaan ini selagi dia diberi peluang ini.

Tiba-tiba telefon bimbitnya begitu nyaring sekali berbunyi, mengejutkan Syamsul  dari melayan perasaan damai yang dihayatinya sejak motosikalnya meninggalkan pagar lapangan terbang lima belas minit yang lalu. Pelukan Mai di pinggangnya terasa seperti lingkaran kasih yang tidak ingin sekali dileraikan. Terlalu asyik dengan perasaan indah yang dirasakan. Namun dia tahu, dia perlu melepaskan pelukan itu demi untuk menjawab telefon. Perlahan-lahan dia memberhentikan motosikalnya di pinggir jalan. Terasa yang Mai cepat-cepat melepaskan tubuhnya sebaik sahaja motosikal berhenti di bahu jalan. Sebelum sempat menjawab telefon, Syamsul  berpaling ke arah Mai. Bibirnya  mengukir lagi senyuman mengusik seperti tadi.

“Seronok...?,” dia bertanya sepatah sambil membawa telefon bimbitnya ke telinga. Sambil itu sekuntum senyum  mengusik meniti di bibirnya. Senyuman dan kata-kata yang membawa rona merah di pipi Mai, namun wanita muda itu hanya diam sambil memerhatikan Syamsul  yang masih lagi duduk di hadapannya. Tidak tahu apa yang harus diperkatakannya. Matanya hanya merenung wajah lelaki yang sedang bercakap di telefon. Dia dapat melihat bagaimana tiba-tiba wajah Syamsul  yang sebelum itu tersenyum sinis sambil mengusiknya, berubah ke raut penuh kebimbangan.

“Apa...?  Bila ...,?” Kata Syamsul  dengan nada penuh kerisauan.

Syamsul  diam seketika mendengar kata-kata dari si pemanggil. Perbualan yang kelihatan membuat Syamsul  resah turut sama membuat hatinya berdebar. Makin terukkah keadaan emak mertuanya itu?

“Ya... ya... saya datang..,” balas Syamsul kemudiannya. Lantas dia mematikan telefon bimbitnya. Matanya memandang ke wajah Mai dengan pandangan penuh kerisauan. Membawa tanda tanya di hati wanita muda itu.

“Kenapa...?”

“Mak aku......,” kata Syamsul  cemas.

“Kenapa dengan mak...?”

“Dia... tenat semula... dia orang masukkan ke CCU. Aku kena cepat,” katanya lagi sambil memandu motosikalnya semula.

Dan kali ini, Syamsul  memang memandu motosikalnya dengan laju sekali. Membuat Mai makin merasa takut dengan keadaan itu. Dan, bagaikan terasa bersalah di hatinya kerana menyebabkan Syamsul  terpaksa meninggalkan emaknya seketika semata-mata untuk menjemputnya.

Popular Posts