Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 4

“Laaa... mak.... tak habis lagi ke.... buat apa nak pergi Pengkalan Kubur pulak... kan sama je....,”
“Mak tak kisah... mak nak pergi jugak... bukannya tiap-tiap bulan mak datang sini. Lepas ni entah bila la pulak nak jejak kaki kat sini. Abang kau tu asyik sibuk je memanjang. Engkau pulak, dah nak mula kerja tak lama lagi. Lagilah mak susah nak berjalan nanti,”
Fazila tersenyum mendengarkan perbualan antara Fauzi dengan emaknya.
“Itulah makcik... kalau kat Rantau Panjang ni banyak jual pakaian ... kat Pengkalan Kubur tu banyak jual barang-barang dapur, pinggan mangkuk...,” kata Kak Rini, menambahkan lagi keinginan Makcik Hasmah untuk ke sana pula. Fazila menjeling ke wajah Kak Rini. Kalau boleh ingin sahaja dia berbisik pada Kak Rini supaya tidak menggoda Makcik Hasmah dengan keterujaannya itu.
“Rini, jauh ke Pengkalan Kubur tu dari sini?” tanya Makcik Hasmah.
“Tak jauh makcik...kalau tengok kereta banyak macam ni... dalam sejam je rasanya..,”
“Faris, kita pergi ye ?” seperti meminta izin sahaja lagaknya Makcik Hasmah menyapa Faris.
“Ok mak,  kita pergi,” tanpa sepatah kata bangkangan Faris memberikan persetujuan. Ada senyum di bibirnya saat itu. Wahhh... baiknya dia dengan emak dia.... bisik hati Fazila. “Rini, kalau pergi sekarang sempat tak solat Jumaat kat sana nanti?” soalnya pada Kak Rini pula.
“Insyaallah sempat rasanya. Sekarang ni baru pukul 11.30,” jawab Kak Rini.
Faris merenung jam di tangan. Mungkin berkira-kira tentang waktu.
“Ok... jom kita pergi sekarang...,” katanya sambil tersenyum lagi kepada emaknya. Hai... bagai mahu luruh rasanya jantung Fazila melihatkan senyuman itu. Kalaulah senyuman itu untuknya, pasti saat itu terjelepuk dia di tempat dia berdiri. Jadi lemah longlai lututnya.
Selepas itu mereka menyambung kembali perjalanan mereka ke Pengkalan Kubur. Sepanjang waktu itu Makcik Hasmah begitu mesra membuka kisah-kisah lama yang satu pun tidak Fazila ingati lagi. Dan Fauzi pula yang teruja mengupas satu persatu kisah-kisah itu. Memandai aje, padahal dia sendiri pun kecil lagi waktu itu, bisik hati Fazila.
Di Pengkalan Kubur, Makcik Hasmah shopping sakan lagi selepas selesai sahaja Fauzi dan Faris menunaikan solat Jumaat. Kali ini pinggan mangkuk dan pelbagai alat dapur pula yang dipunggahnya. Fauzi tidak habis-habis merungut tentang kegilaan emaknya berbelanja. Cuma Fazila merasa cukup pelik dengan sikap Faris. Dia langsung tidak mengambil peduli dengan sikap emaknya. Semua yang diinginkan oleh Makcik Hasmah akan ditunaikannya. Semua perbelanjaan dia yang tanggung. Bila emaknya minta untuk membeli set pinggan mangkuk yang sangat mahal pun dia sanggup bayarkan. Lemah rasanya Fazila melihatkan sikap Makcik Hasmah yang satu itu. Banyak duit betul mamat ni, bisik hati Fazila.
“Mak.... dah lah... dah banyak ni... mana kita nak letak semua ni nanti... nanti tak pasal-pasal mak kena buat kabinet baru pulak...,” rungut Fauzi bila melihatkan Makcik Hasmah mula membelek cawan kristal yang jelas sekali tidak murah harganya.
“La... harganya murah ni kat sini ... kalau kat KL, harganya dua tiga kali ganda ni Fauzi... betul tak Ila ..,” jawab Makcik Hasmah, cuba menarik Fazila yang kelihatan sedikit leka sendiri.
“A... ya... haah makcik... memang...,” jawab Fazila pantas. Sekadar mengiakan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti akan kebenarannya.
Matanya kembali tersorot kepada Faris dan Kak Rini yang begitu asyik meneliti harga satu set pinggan jenama noritake yang turut sama dijual di kedai tersebut. Sambil itu masing-masing memberikan komen, mungkin tentang harganya yang mencecah hampir lima hingga enam ribu ringgit. Lagaknya bagai pasangan yang sedang membeli peralatan dapur untuk rumah mereka.
Sepanjang masa mereka melayan kerenah membeli-belah Makcik Hasmah itu, tidak sekali pun Faris menegur Fazila untuk berbual walaupun dia kelihatan mesra sekali dengan Kak Rini. Ada ketikanya mereka berdua tertinggal di belakang kerana asyik sekali melihat barangan yang dipamerkan di kedai yang mereka kunjungi.
Fazila tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ada sesuatu yang bagai tersekat di kerongkongnya. Ada sesuatu yang terasa bagai menghiris hatinya. Dia sendiri tidak mengerti perasaan ini. Cemburukah dia melihat kedua mereka semesra itu, sedangkan Faris bagaikan langsung tidak ambil peduli padanya. Mungkinkah tidak terlihat dek mata Faris kehadiran dirinya antara mereka? Hem... cemburu? Beginikah perasaan itu? Bagai belati tajam menusuk ke hatinya.
Walaupun baru kali pertama berjumpa, entah mengapa kehadiran Faris terasa bagaikan menarik perhatiannya. Ada ketikanya tanpa sedar mata Fazila  merenung ke wajah Faris, mengharapkan lelaki juga menyedari kehadirannya. Tapi, dia sedar siapalah dirinya. Terasa bagaikan terhiris hatinya menyedari hakikat itu.
Dan akhirnya setelah seharian bersama, Fazila terpaksa mengalah dengan perasaannya. Dia terpaksa akur dengan hakikat bahawa dia telah terpikat pada Faris. Dia sendiri tidak mengerti bagaimana dia boleh berperasaan begitu. Hatinya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang menarik pada diri lelaki itu. Mungkinkah  ketampanan Faris, atau mungkin wajah dan sikapnya yang serius itu yang terasa begitu menyentuh naluri gadisnya. Ternyata dia cukup berbeza dari Fauzi. Tubuhnya yang tegap sasa, wajahnya yang sederhana tampan dan suaranya yang garau bagaikan menggetar perasaan Fazila. Pertama kali dia merasakan perasaan sebegitu terhadap seorang lelaki.
Dan ada ketikanya apabila dia merasakan seperti sedang di perhatikan oleh Faris. Bila dia berpaling ke arah lelaki itu, dan mata bertentangan, dadanya jadi berdebar-debar. Angaukah dia? Atau sebenarnya hati gadisnya sudah ditusuk dengan panahan asmara lelaki itu? Ah... sungguh dia buntu dengan keadaan itu.
Namun, semua ini bagaikan tidak bermakna buat Faris. Fazila tahu dia bukan seorang yang menarik di pandangan mata Faris. Jika tidak, pasti Faris sudah menegur atau cuba berbicara dengannya bila saja ada waktu yang terluang. Bukankah itu yang selalu dilakukan oleh lelaki bila ada gadis yang menarik perhatiannya? Pun begitu Fazila masih lagi mengumpul anganan. Mengharapkan sesuatu akan dilakukan oleh Faris demi untuk memulakan kata bicara di antara mereka.
Bila petang menjelma dan mereka sudah dalam perjalanan untuk menghantar dia dan Kak Rini pulang, hati Fazila tiba-tiba menjadi cukup sayu. Tidak mungkin hari seperti ini akan berulang kembali dalam hidupnya. Terasa seperti satu kehilangan menerpa di sudut hati. Ya, dia kini sudah merasakan kehilangan lelaki itu kerana tidak ada sesuatu pun yang dia lakukan demi untuk memberikan dia harapan bahawa mereka mungkin akan dapat berkenalan, malah mungkin akan jadi lebih mesra. Sebagai seorang gadis, naluri malunya tidak memungkin dia  untuk memulakan sesuatu di antara mereka. Dia terlalu malu untuk itu. Dan cukup dia resah bila pandangan mata Fauzi bagaikan dapat membaca perasaan yang bergelodak dalam hatinya. Nasib baik Fauzi hanya mendiamkan sahaja, Cuma senyuman di bibirnya sahaja yang seakan-akan berkata, ‘ha... Fazila...’ membuatkan makin perasaan malu memasung lidahnya dari terus berbicara mesra bersama Fauzi seperti kebiasaannya.

****

“Mak aku nak datang merisik engkau esok,”
Kata-kata Fauzi yang kedengaran begitu polos sekali berbicara membuatkan Fazila tersentak. Hampir terlepas gagang telefon yang sedang dalam genggamannya saat itu.
“Kami memang cadang nak balik esok, tapi lepas semuanya selesai. Kalau kau setuju, dia nak terus meminang.,”
Makin Fazila terkejut dibuatnya mendengarkan kata-kata itu.
“Apa ni Fauzi...?”
“Apa ni apa..., kau tak dengar ke apa aku cakap tadi?” tanya Fauzi dengan nada gembira. Bila Fazila diam, dia terus menyambung ayat, “ok, aku ulang... mak aku nak meminang kau, faham?”
“Saya... saya...,” tergamam lagi Fazila mendengarkan kata-kata itu.
Semua ini bagaikan mimpi buat Fazila. Belum pun hilang penat seharian menjadi tourist guide mereka, malam ini dia dikejutkan pula dengan berita ini. Sungguh aku tidak mengerti dengan keadaan ini.

“Tapi Fauzi, hari tu kan saya dah cakap ... saya tak boleh terima awak. Saya ingatkan awak faham maksud saya. Kita sebaya, nanti kalau kita bergaduh, orang nanti cap saya ni  queen control pulak. Memang hari ni tak nampak beza umur kita, tapi esok bila dah...,”
Fazila tidak mampu menghabiskan kata-kata. Segan rasanya untuk menyebut perkataan itu.
 “dah apa.... dah kahwin...? dah beranak pinak...? dah tua....?”
Sampuk Fauzi bagaikan mengerti apa yang ingin Fazila sampaikan.
“Emmm....mmm...”
“Engkau takut nanti engkau nampak lebih tua dari aku masa tu?”
“Emm... mmm..,” aku masih lagi teragak-agak.
“Tak usah risaulah pasal tu... habis, kenapa pulak kalau kau nampak lebih tua dari aku... masa tu kan kau dah jadi kakak ipar aku, memang sepatutnyalah kalau kau tu nampak lebih tua dari aku...,”
Entah mengapa kata-kata itu bagaikan menyentap tangkai hatinya. Lutut Fazila terasa lemah dan longlai, seperti tidak percaya apa yang aku dengarkan sebentar tadi. Kakak ipar? Apa maksud Fauzi?
“Mak aku nak pinang kau untuk Farislah.... jelouse aku kau tau...aku nak kat kau, tapi kau tak nak kat aku. Sayang pulak rasanya sebab aku berkenan betul dengan kau ni. Jadi aku ceritalah pada mak aku. Kebetulan Faris tengah mencari.... ,”

Bla...bla... bla.. Dan kata-kata selanjutnya seperti sudah tidak Fazila dengari lagi. Terkejut tidak terhingga dengan apa yang disampaikan oleh Fauzi. Bagaikan orang yang sedang bingung, Fazila langsung tidak menyedari apabila Fauzi bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak untuk mereka datang merisik. Dan bagaikan faham dengan keadaan dirnya yang  dalam keadaan terkejut, Fauzi meminta untuk berbicara dengan emaknya.
Fazila masih lagi dalam keadaan terkejut apabila Puan Norhayati meletakkan gagang telefon ke tempatnya setelah selesai berbicara dengan Fauzi. Emaknya  lantas memeluk tubuh Fazila sambil membawa anak gadisnya itu duduk di sofa berhampiran dengan Encik Dahlan.
“Emm... mereka datang nak tengok Ila sebenarnya. Buat olok-olok ajak Ila jadi pemandu pelancong. Padahal  nak tengok bakal menantu...,” meleret suara emak menyampaikan berita  kepada abah. Senyum terukir di bibirnya. Dan suaranya kedengaran di telinga Fazila seperti mengusik.  
“Ada apa ni Yati?” tanya abah tanda turut tak mengerti.
“Ini hah, Kak Hasmah.... minta izin dengan saya, nak dagang merisik Ila. Kalau kita setuju, dia nak terus datang meminang. Ye lah... mereka tu jauh. Kiranya datang ni buat sekali arung lah,” jelas emak pada abah. Fazila yang bingung turut mendengar. Masih lagi tak mampu untuk berfikir dengan waras. Terasa bagaikan tidak berpijak di bumi nyata lagaknya.
“Amboi Ila, pandai ye sembunyikan hal ni? Mak kamu yang cekap menelah orang ni pun tak dapat menangkap tujuan sebenar mereka tu datang.” Usik abah pula.
“Ila tak tau abah... mak..., mereka tak cakap apa-apa pun. Ila pun tengah terkejut ni.” Rungut Fazila dengan perasaan yang sungguh tidak dimengertikan.

Jauh di sudut hati, terselit rasa bahagia. Sungguh dia tidak menyangka sebenarnya ada agenda lain yang terselindung di sebalik ajakan mereka pagi tadi. Rupa-rupanya di luar sedar, keluarga Fauzi ingin dia dan Faris bertemu dan berkenalan. Patutlah Fauzi galak mengusik, Makcik Hasmah dan Farisya asyik senyum meleret dan Faris.... Ah, lelaki itu....
Sungguh Fazila tidak menyangka yang Faris sebenarnya menyembunyikan hasrat hatinya sepanjang hari. Mati-mati dia menyangka yang Faris  tidak langsung tertarik kepadanya. Dalam sikap selambanya, rupa-rupanya ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik renungannya yang sekali-sekala jatuh ke wajah Fazila. Tapi, benarkah begitu? Tidakkah semua ini terlalu terburu-buru? Minda Fazila bagaikan masih belum mampu menerima kejutan ini.
“Habis, Yati jawab apa?”
“Saya jemput mereka datang la. Tak kan nak tolak pulak kan? Cuma, saya beritahu mereka, jawapannya kenalah tanya empunya diri dulu,” kata emak samil matanya kembali melirik ke wajah anak gadisnya. Abah turut senyum sambil matanya cuba meneka apa yang ada di dalam hati anak gadisnya itu.
“Hah macamana Ila? Setuju ke mereka nak datang ni?”
Fazila hanya diam, hanya mampu memandang tepat ke dalam mata emak. Tidak pasti apa jawapan yang dia patut berikan. Dalam bahagia terdetik rasa curiga di hatinya. Sejak bila Faris mengenali dirinya? Adakah Fauzi yang menceritakan tentang dia kepada Faris tanpa pengetahuannya? Bukankah dulu, Fauzi yang beria-ia suka padanya, tapi kini mengapakah pula dia akan dirisik untuk abangnya? Adakah kerana Fazila pernah  menolak permintaannya untuk menjadi teman wanitannya menyebabkan Fauzi  memperkenalkan dia kepada abangnya. Dan, apakah perasaan Faris terhadapnya? Sukakah Faris kepadanya? Atau terlalu terdesakkah lelaki itu sehinggakan sanggup meminang dirinya tanpa ada sekelumit pun perasaan terhadapnya? Terlalu banyak persoalan yang merasuk mindanya saat itu.


Bab 3

“Siapa kawan Ila ni? Tak pernah cerita pun pada mak dengan abah?” Encik Dahlan bertanya malam itu selepas Puan Norhayati menceritakan tentang kawan Fazila yang mengajak anaknya itu  menjadi tourist guide keluarganya.
“Kawan satu kelas abah... dia cuti kat sini dengan keluarganya, kata dia... sampai hari Ahad nanti mereka kat sini. Hari ni mak dia nak pergi Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang. Itu yang dia ajak Ila. Ila dah cakap Ila tak tau jalan, tapi dia mintak jugak Ila temankan. Terpaksa Ila ajak Kak Rini sama,”
“Pukul berapa dia orang sampai?”
“Entahlah... tadi dia cakap dah dekat nak sampai nanti dia telefon,”
“Kawan lelakikan? Mak kata namanya Fauzi?”
“Haah...,”
“Hemmm... jaga diri baik-baik...,”
“Insyaallah bah.. Ila  kenal dia, kami rapat... dia tu baik bah.... lagi pun Kak Rini kan ada...,” kata sambil meyakinkan dirinya sendiri tentang keluarga Fauzi yang akan dia temui sekejap saja lagi.
“Dah kenal pun... kenalah jaga-jaga jugak. Yang Ila kenal tu dia, keluarganya entahkan macam mana pun kita tak tau ... dia tu pun entah macam mana kita tak tau...,”sampuk Puan Norhayati menggambarkan kebimbangan yang di rasakan sejak semalam. “Mak pun rasa macam tak sedap hati je... sejak semalam mata ni asyik bergerak je... hati asyik berdebar aje... macam tak senang je rasanya nak lepaskan Ila pergi hari ni...,” sambungnya lagi.
“Sambil-sambil tak sedap hati, siap jugak nasi dagang tu ye? Macam nak sambut tetamu istimewa je ..,” kata Encik Dahlan dengan nada bergurau. Emak mencebirkan bibirnya mendengarkan kata-kata abah. 
“Alah... kebetulan lauknya dah ada... berasnya pun dah ada... buat ajelah. Kita pun boleh makan jugak. Memang dah bercadang nak buat nasi dagang pun pagi ni...,”
“Apa-apapun... Ila yang suka.... nanti dah balik Skudai, susahla nak jumpa nasi dagang sedap macam gini lagi..,” kata Fazila sambil mengangkat ibu jarinya. Senyuman terukir di bibir walapun dalam hati bertandang debaran yang menggila.
“Kak Ila ... ada orang telefon..,” kedengaran jerit Ayis dari ruang hadapan rumah teres di Taman Perumahan Tanjung Chat, yang terletak dalam bandar Kota Bharu itu.
“Haa... mesti itu dia...,” kata Fazila sambil berlari ke ruang hadapan untuk menjawab telefon.
Perlakuan sepontan anak gadisnya itu dipandang penuh minat oleh Encik Dahlan. Matanya kembali tertancap ke wajah isterinya.
“Seronok semacam aje Ila tu Yati? Ada apa-apa ke?” dia bertanya penuh makna.
“Entahla bang... Yati pun rasa semacam je... berdebar-debar je...,”
“Patutla orang tu masuk dia tak nak... orang ni masuk dia tolak... dah ada pilihan hati rupanya...,” kata Encik Dahlan lagi sambil tersengeh.
“Mak... dia orang dah nak sampai tu. Dah dekat dah...,” kedengaran Fazila menjerit dari ruang hadapan.
“Hei... tengoklah anak dara abang tu... terjerit-jerit... kalau orang dengar malu je... hemm..,” keluh Puan Norhayati sambil menggelengkan kepalanya.
“Tak menyempat-nyempat nak bersiaplah tu. Kita suruh terus siap dari tadi dia kata lambat lagi... ini ha...orang dah sampai baru nak tergesa-gesa ..,” keluh Encik Dahlan yang juga tidak puas hati dengan sikap anak gadisnya itu.
Di dalam bilik Fazila jadi serba salah. Satu persatu dia mencuba baju yang harus dia pakai. Rasanya seperti semuanya tidak kena. Semalam dia bercadang untuk memakai baju kurung. Pagi tadi pula dia mengubah fikiran, lantas dia menggosok sehelai baju labuh berupa jubah ringkas yang selalu dikenakannya apabila bertandang ke rumah saudara maranya. Bila dia melihat baju itu kali ini terasa terlalu formal pula untuk dipakai pergi membeli-belah. Lalu dia memilih sehelai baju T yang labuh dan berlengan panjang, dipakai bersama sehelai jeans longgar berwarna biru. Dia melengkapkan semuanya dengan sehelai tudung yang disarungkan ringkas di kepala. Selepas melihat bayangnya di cermin beberapa kali, dia merasa puas hati. Tidaklah terlalu formal rasanya.
Sejak dari tadi kedengaran emak dan abah telah menyambut kehadiran tetamu. Kedengaran riuh sekali seperti masing-masing gembira dengan pertemuan ini. Pelik juga rasa di hati, baru pertama kali bertemu sudah kedengaran begitu mesra sekali. Ah... biarlah mereka, yang penting dia perlu cepat-cepat siap. Segan juga rasanya kerana membiarkan tetamu menunggunya. Malah Ayis pula sudah beberapa kali mengetuk pintu biliknya sejak dari tadi, meminta supaya dia cepat keluar. Entah mengapa dia bagaikan sengaja melambat-lambatkan  diri untuk bersiap. Dan entah mengapa debaran di hati terasa kian menggila di saat itu.
Akhirnya, bila pintu bilik yang dia kongsikan bersama semua adik-adik perempuannya itu diketuk untuk kali ke tiga, Fazila tahu dia tidak sepatutnya berlengah  lagi. Dengan tarikan nafas dan bacaan Bismillah untuk menenangkan debaran yang entah mengapa mengganggunya saat itu, Fazila membuka pintu biliknya yang terus berhadapan dengan ruang tamu rumahnya. Terasa segan sekali apabila dia melihat Fauzi dan emaknya serta dua orang lagi ahli keluarganya sudah duduk di kerusi ruang tamu, berbual dengan abah. Kelibat emak sudah kelihatan masuk ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. 
“Amboi... lamanya anak dara bersiap...,” usik abah, menyebabkan merona wajahnya saat itu. Dia memandang ke wajah abahnya sambil mencebikkan mukanya dengan aksi manja. Tanpa sedar yang dia juga diperhatikan oleh empat pasang mata. Matanya melirik ke arah Fauzi dan jelas kelihatan sahabatnya itu sedang menggelakkannya. Makin merona wajahnya.
“Kenapa Ila tak cakap Fauzi ni anak Kak Hasmah ni...? Kawan abah dulu ni...,” kata Encik Dahlan dengan nada riang. Terkejut Fazila mendengarkan kata-kata abahnya itu. Cepat-cepat dia menghampiri emak Fauzi dan menyalami wanita yang kelihatan beberapa tahun lebih tua dari abah. Perempuan di hadapannya itu memeluk tubuhnya erat sekali. Buat dia makin terkesima.
“Ini rupanya Ila. Dah besar sekarang... masa duduk kat Melaka dulu umurnya berapa ye Dahlan?” tanya emak Fauzi kepada abah.
“Tiga tahun kak...,”
“Hemmm... patutlah hati ni berdebar-debar aje sejak dari semalam. Rupanya nak jumpa kawan lama...,” kata emak Fauzi pula.
Sedikit sebanyak Fazila dapat meneka apa yang berlaku. Bila masa pula mereka ni berkawan? Seingat dia dia tidak pernah kenal wanita di hadapannya ini.
“Mesti Ila tak ingat... kalau dah umur tiga tahun mana nak ingat lagikan? Dulu selalu dia manja dengan Faris ni. Mana pergipun dia mesti ikut. Si Fauzi ni pulak suka sangat mengusik dia. Selalu sangat menangis kena usik... siap Faris pulak yang kena pujuk.... ingat tak Faris?”
“Entah la mak.... dah lama sangat....,”
Garau kedengaran suara itu di telinga Fazila. Ingin sekali dia mengangkat muka menatap wajah itu, tetapi entah mengapa ada rasa malu yang menyapa hati. Dia sendiri hairan dengan apa yang dirasakan itu. Selalunya dia tidak begitu. Dia bukan jenis pemalu orangnya. Tetapi kali ini.... dan... ah ... kenapa ada debar di hati .... Sungguh berbeza suara itu dari suara Fauzi yang selalu kedengaran ceria.
“Makcik duduk dulu ye.... Ila nak ke dapur, tolong mak...,” katanya sambil melemparkan senyuman manis kepada Fauzi yang juga diam tidak menyapanya. Sebelum berlalu ke dapur sempat lagi Fazila bersalaman dengan adik perempuan Fauzi yang memperkenalkan dirinya sebagai Farisya. Lantas dia mengajak Farisya turut sama ke dapur.
Dalam sibuk keluar masuk dari dapur ke meja makan untuk menghidangkan juadah sarapan pagi, telinga Fazila sedikit pun tidak dibiarkan sepi dari mendengar perbualan abah dengan Makcik Hasmah, emak Fauzi. Kedengaran satu persatu cerita lalu yang mereka perbualkan. Seorang demi seorang sahabat yang mereka sebut, bertanyakan perkhabaran lama. Sesekali kedengaran Fauzi dan abangnya Faris menjawab pertanyaan-pertanyaan yang abah tanyakan kepada mereka. Hemmm... abah kalau dah bercakap, memang susah mahu berhenti, rungut Fazila dalam hati.
Akhirnya setelah semuanya siap, emak menjemput semua untuk sama-sama menghadap meja menjamu selera dengan juadah pagi itu. Nasi dagang berlaukkan gulai ikan aya serta sambal ikan, juga sedikit kuih muih yang abah belikan awal pagi tadi di warung berhampiran. Kelihatan laju sekali semuanya makan, terutamanya Fauzi. Sememangnya tadi emak telah meminta Fazila supaya memberitahu Fauzi dan keluarganya supaya tidak singgah untuk makan di mana-mana kerana juadah istimewa telah disediakan untuk mereka.
“Sedap nasi dagang ni... mana nak jumpa yang rasa macam ni kat KL tu...,” puji Fauzi apabila dia dihulurkan dengan pinggan nasi tambah. Tersenyum emak bila dipuji begitu. Ala... tu nak cover malu sebab makan banyakla tu.... bisik hati Fazila.
"Ini biasa je Fauzi, banyak lagi kedai-kedai yang jual nasi dagang sedap kat sini,” kata emak merendah diri.
“Tapi makcik... masakan kat rumah macam ni lagi sedap... homemade orang kata...  mana boleh tanding...,” jawab Fauzi lagi yang kelihatan sudah hilang malunya dengan emak dan abah.
“Eh.. nanti akak nak la resepinya Yati... dulu ada cuba buat, belajar dengan jiran... orang Kelantan jugak... tapi tak jadi macam ni.... ,” kata Makcik Hasmah.
“Ala.. Senang aje mak... ambil aje Ila ni jadi menantu... boleh suruh dia yang masakkan. Kan Faris?” kata Fauzi sambil mengangkat keningnya kepada Faris, tanpa segan mengusik Fazila di hadapan semua orang. Kata-katanya itu yang mengundang tawa dari semua yang ada.
Saat itu Fazila merasa sungguh malu. Tidak tahu di mana mahu dia letakkan mukanya. Sungguh Fauzi nak kena agaknya, detik hatinya. Matanya turut mengerling selintas untuk melihat reaksi Faris. Pertama kali bertentang mata, terasa bertambah panas wajah Fazila  apabila dia mendapati lelaki itu turut merenungnya dengan senyum terukir di bibir. Ah, sungguh dia merasa tidak selesa berada di dalam situasi sebegini.
“Alah... nak suruh Ila masak? Alamatnya makan nasi mentahlah jawabnya. Bukannya pandai pun dia tu. Masa makcik engkau masak ni, dia tengah dok tidur lagi. Kalau nak tau Ila ni, kalau tak dipaksa datang ke dapur menolong, alamatnya berpeluh sorang-soranglah makcik kau kat dapur tu..,” usik abahnya pula.
Kata-kata abah yang mulanya disangkanya akan menjadi penyelamat dirinya, rupa-rupanya turut sama menjadikan dia bahan lawak untuk mereka. Sungguh dia tidak menyangka yang abah juga akan turut mengusiknya di hadapan mereka. Ah, malu sungguh dia rasakan.
“Abah ni... ,” katanya separuh merajuk sambil bangun untuk ke dapur. Menyibukkan diri untuk mengambil air minuman yang telah luak di tekoh. Rasanya bagaikan tidak mahu dia keluar semula ke ruang makan bila mendengarkan galak tawa mereka yang menghantar dia ke dapur sebentar tadi.
Sesungguhnya ahli keluarga Fauzi memang mesra orangnya. Sekian lama tidak berjumpa tidak membataskan kemesraan  antara mereka dengan emak dan abahnya yang sememangnya peramah. Tambahan lagi mereka sebenarnya sudah kenal lama, cuma terpisah oleh waktu. Cuma Fazila melihat, Faris agak pendiam orangnya, tidak seperti Fauzi, emaknya dan Farisya. Sejak mereka tiba tadi, baru beberapa kali lelaki itu bersuara. Itu pun hanyalah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan kepadanya. Selain dari itu dia lebih banyak tersenyum sahaja. Agak jauh berbeza perwatakkannya dari Fauzi dan Farisya yang asyik riuh berkata-kata, mengusik dan bergurau dalam berbicara.

****
“Nasib baik Kak Rini sanggup temankan Ila. Kalau tak tak tau rasanya macam mana nak hadap keluarga ni..,” bisik Fazila semasa mereka menjemput kakak sepupunya  untuk turut bersama menjadi tourist guide bagi keluarga ini.
“La... kenapa pulak..?” tanya Kak Rini yang usianya hampir sepuluh tahun lebih tua dari Fazila.
Kak Rini masih belum berkahwin dan bertugas sebagai seorang guru. Orangnya cepat mesra dan memang sangat suka shopping. Sesuai sekali Fazila memilih kakak sepupunya ini untuk membantunya dalam tugasannya itu.
“Manalah Ila tau jalan nak ke Pengkalan Kubur tu....,” rungut Fazila.
“Dah tu... kenapa terima... tolak ajelah...,”
“Tak sampai hatila pulak kak...,”
“Tak sampai hati ke... atau....,” meleret suara Kak Rini mengusiknya. Matanya menjeling kepada kedua-dua lelaki yang berada dalam kereta yang sedang menunggunya.  “handsome tu... mamat tu.... yang mana satu ni... yang adik ke... yang abangnya...?” sambung Kak Rini lagi.
Aduhai... Fazila  mencebirkan bibirnya tanda tidak suka diusik. Kenapalah semua orang asyik mengusiknya hari ini? Sungguh tak faham rasanya. Namun begitu dia sungguh-sungguh rasa bersyukur kerana Kak Rini sanggup menemaninya. Kalau tidak sudah pasti dia akan menolak pelawaan mereka.
Sikap Kak Rini yang peramah nampaknya mampu memeriahkan suasana yang sudah sememangnya ceria. Sepanjang perjalanan mereka bagaikan sudah lama kenal. Ada sahaja celoteh yang membuatkan mereka ketawa. Berada di kalangan keluarga itu, bagaikan menonton rancangan Raja Lawak. Ada sahaja perkara lucu yang diperkatakan hinggakan tak kering gusi dibuatnya.
Ternyata Makcik Hasmah, emak Fauzi memang suka membeli-belah. Tiba sahaja di Rantau Panjang, dia kelihatan bagaikan tidak sabar-sabar untuk memulakan aktiviti membeli-belah. Satu persatu kedai yang ingin dia jelajahi sehinggakan hampir semua deretan kedai yang ada di situ dikunjunginya. Gerai-gerai di dalam pasar juga dijelajahi satu persatu. Tangannya sarat membawa beg plastik berisi pelbagai barangan yang dibeli. Dan semua yang ada menjadi mangsanya, terpaksa menjadi kuli tukang angkut barangnya. Adoiii.....
Setelah hampir dua jam berjalan Makcik Hasmah kelihatan sudah mula keletihan. Lalu Kak Rini mengajak mereka rehat seketika dan menjamu selera di sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis kuih-muih dan makanan ringan. Masing-masing memilih juadah yang mereka gemari. Fauzi, Farisya dan Kak Rini memilih pulut durian manakala Fazila, Makcik Hasmah dan Faris pula memilih pulut pauh. Kemanisan pulut yang dimakan bersama buah pauh dan santan itu kelihatan amat digemari oleh Makcik Hasmah. Habis sepiring pulut yang dihidangkan. Faris pula kelihatan seperti tidak begitu menggemari rasa hidangan tersebut. Mungkin kerana lemak santan yang digunakan membuatkan Faris terasa muak untuk menghabiskannya.
“Kenapa tak habiskan ni Faris?” kata Makcik Hasmah menegur anaknya.
“Manis la mak... buah mangga Faris ni dah habis. Kalau ada lagi, taklah manis sangat rasanya pulut ni sebab buah tu masam-masam sikit...”
“La... kan dah memang makanan orang Kelantan ni manis-manis semuanya.... macam orang-orangnya la.... ,’ kata Fauzi menyampuk.
Mulutnya laju sekali mengunyah pulut durian yang terhidang di hadapannya. Mungkin pulut durian kurang manis rasanya kerana pelanggan sendiri yang menambah gula di dalam hidangan itu. Jadi bagi mereka yang suka manis, boleh menambah gula dengan kadar yang banyak, tetapi kalau yang tidak suka manis, bolehlah kurangkan gulanya. Tetapi untuk pulut pauh, pulutnya itu sendiri telah digaul dengan santan dan gula. Dan dihidangkan dengan santan pekat yang telah dimasak dan dicampur dengan sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak santan tersebut.
“Kalau nak kurangkan manis, tambahla buah pauhnya...,” perlahan Fazila memberikan cadangan.
“Haah... tambahlah... nanti kurangla sikit rasa manisnya...,” kata Makcik Hasmah sambil senyum.
Faris terus memberikan senyuman kepada Fazila sehinggakan terkedu seketika Fazila melihatkan senyuman itu. Cepat-cepat dia melarikan pendangannya kepada Makcik Hasmah untuk menutup debaran di hatinya. Perilakunya itu dipandang dengan penuh minat oleh Fauzi. Hati anak muda itu sedikit terguris, tetapi cuba untuk tidak diendahkannya. Dia meyakinkan dirinya bahawa semua ini adalah takdir. Dia tidak boleh memaksa Fazila untuk menyukainya. Dan jika Fazila sukakan Faris, seperti apa yang dia lihat sekarang, dia harus menerima semua itu dengan tangan terbuka. Dia tidak pernah melihat gadis ini tergamam dan malu-malu sebegitu di hadapan mana-mana lelaki sebelum ini. Mungkinkah Faris orangnya?
Semua perkara yang diinginkan Fazila kelihatan begitu berpihak pada Faris. Faris memenuhi semua kriteria yang pernah Fazila sebut kepadanya dahulu tentang calon suami yang dia mahu. Lebih berusia, lebih matang, lebih baik, dan.. lebih handsome.... aduhai.... terjerut perasaannya mengingatkan kata-kata Fazila itu. Namun dia menghormati kehendak gadis itu meskipun dia tahu syarat yang terakhir itu cuma satu gurauan yang keluar dari bibir munggil Fazila. Fazila bukanlah seorang yang terlalu memilih untuk berkawan. Dia mesra orangnya dan tidak suka membuatkan orang marah padanya. Selalu dia mengambil berat tentang kesusahan teman-temannya. Meskipun begitu, ada juga keadaan di mana gadis ini melakukan saja apa yang dia mahu sesuka hatinya. Walaupun tidak sempurna, Fazila masih lagi antara calon  yang memenuhi kehendaknya dalam senarai calon gadis-gadis yang dia minati. Walaupun adakalanya mulutnya terlalu telus dalam berkata-kata, namun sifat itulah yang membuatkan Fauzi menyukainya. Fazila bukan seorang yang suka berpura-pura hanya untuk memuaskan hati orang lain. Dia bukan seorang yang hipokrit.  Dan Fauzi tahu, Faris juga sukakan gadis yang sebegitu. Selera mereka biasanya sama.

Popular Posts