Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

SYKT - KOMEN ANDA DIPERLUKAN

Salam pada semua yang membaca,

e-novel Semalam yang Kutinggalkan setakat ini telah ditulis sebanyak 26 bab. Sehingga sekarang, ia nampaknya kurang dapat  menarik minat pembaca. Kak Laila masih lagi mencari kelemahan dalam enovel SYKT ini. Mungkin disebabkan olrh jalan ceritanya lembab atau bahasanya kurang menarik  Untuk itu, kak laila amat memerlukan komen dari semua yang membaca. Akak sedia menerima apa-apa sahaja.komen membina tersebut. Sekiranya ada pendapat yang ingin diberikan untuk memperbaikinya, silalah komen di sini supaya kita dapat kongsi bersama dan seterusnya kak laila dapat memperbaikinya.

Komen ye, bantu akak yang tengah buntu macam mana nak mempastikan cerita ni jadi terus menarik...Setiap pendangan itu akan akak terima secara positif. Sekiranya nampak kelemahannya, silalah highlightkan secara jelas.


thanks... kerana sudi mengikuti blog ini. semuga terhibur dan boleh mengambil iktibar darinya.


LAILA HANNI

Bab 11
“Itulah engkau.... nak marahkan orang tu agak-agaklah sikit....,” rungut Suzana semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya petang itu.
Aku diam cuma. Fikiranku jauh melayang, mengenangkan lelaki itu. Sepanjang waktu makan dia terus memandangku dengan wajahnya yang begitu muram sekali. Hanya ketika dia berbicara dengan gadis sunti di hadapannya sahaja dia mempamerkan wajah ceria untuk gadis itu. Kemudian bila matanya kembali menatap wajahku, dia masam lagi. Perlakuan yang sungguh menggetarkan sukmaku.
“Kau ni kenapa hah... Sejak kahwin ni lain macam aje aku tengok. Emo sangatlah. Pagi tadi kau menangis sedih bila aku tanya tentang Abang Izwan kau tu. Petang ni pulak... tak pasal-pasal nak marahkan orang macam tadi tu,” rungutnya lagi.
Aku masih lagi tidak mengendahkan kata-katanya itu walaupun aku tahu ada kebenarannya. Entah mengapa wajah kacak lelaki tadi terus-terusan memenuhi ruang ingatanku. Memang dia kacak. Kalau dalam situasi berbeza mungkin aku boleh terpikat padanya. Hish... Unie, kau tu isteri orang. Macam mana pula kau boleh berfikiran begitu? Berdosa bila hati digoda syaitan sebegitu. Berdosa lagi jika aku melayan godaan itu.
Memikirkan tentang lelaki lain selain dari suami sendiri merupakan satu dosa besar. Salah satu zina hati yang akhirnya jika dilayan mampu untuk membawa diri seseorang itu ke arah perkara yang terlarang. Cepat-cepat aku beristighfar dan membetulkan semula bisik di hatiku. Namun kata-kata lelaki itu sewaktu melintasi meja kami saat dia berjalan keluar dari restoran, bagaikan terus menggamit memoriku untuk megingatinya.
You owe me an apology,” katanya dengan suara tegas. Melihatkan aku terdiam sambil memandang padanya dia menyambung kata-kata, “Anyhow... mata awak cantik sangat. Dan... tahi lalat kat tepi bibir tu, memikat sangat... Saya tak akan lupakan tahi lalat tu...,” katanya sambil mengenyitkan matanya kepadaku.
Kata-kata yang  membuatkan aku tergamam tanpa kata. Dia berlalu pergi meninggalkan aku yang terkedu. Mataku dan mata Suzana bersatu dalam diam. Ternyata temanku itu juga terkejut dengan kata-kata itu, sehinggakan dia turut tergamam.
Mengenangkan kata-kata itu, jejariku  terus menyentuh lembut pada tahilalat sebesar kepala mancis yang elok letak duduknya di sisi kiri bawah bibirku. Senyum kembali menguntum di bibirku. Jarang sekali ada yang memujiku sebegitu. Entah mengapa, timbul rasa bahagia di hatiku.
“Hah... tu dok beranganlah tu... Ingat kawan... kau tu dah ada suami. Berdosa tau ingatkan orang lain selain dari suami sendiri,”
Kata-kata Suzana mengambalikan aku dari lamunanku yang terlarang itu. Cepat-cepat aku buang jauh lamunan itu. Aku mengeluh perlahan, sedikit kecewa kerana terpaksa melepaskan kenangan itu pergi. Namun, aku terpaksa berbuat begitu. Tidak mahu terus digoda dek syaitan yang sering menyesatkan.
“Menyampah aku... ada ke patut dia puji engkau macam tu. Aku yang minta maaf dengan dia tau. Dia sikitpun tak tengok aku. Patutnya akulah yang dia kena puji.  Akukan kan anak dara lagi. Engkau tu dah jadi isteri orang tau....,” rungutnya lagi.
“Dah lah Su, manalah dia tahu aku ni dah kahwin. Kau pula kenapa tak pergi jumpa dia, berkenalan. Barulah dia tahu yang kau dah terpikat pada dia,”
“Dah, dia asyik dok tengok kat kau aje..., sampaikan ada orang tu perasan pulak,”
Aku mencebikkan bibirku.
“Aku...? Perasan...? Mengarutlah kau ni...,”
'”Habis tu... kalau tak namanya perasan... kenapa pula kau dok berangan ... Ingatkan dia ye.... Hoi.... Abang Izwan tu kau nak campak kat mana? Kau tu baru dua minggu kahwin tau.... Ingat tu....,”
“Mana ada aku ingatkan dia... kau ni mengarutlah...,” kataku cuba untuk menutup perasaanku sebentar tadi. Terlalu poloskah perlakuanku tadi hinggakan Suzana dapat mengesannya? Atau dia cuma mahu mendugaku?
Kami terdiam agak lama. Menikmati celoteh DJ dan juga irama lagu yang berkumandang dari corong radio di dalam keretanya. Masing-masing mula memasang angan-angan bila mendengarkan suara Jamal Abdillah mengalunkan lagu popularnya, Penghujung Rindu. Lantaran itu ingatanku kembali mengingati suami yang ku rindukan saat itu. Dalam hatiku, aku amat berharap agar Abang Izwan juga sedang memikarkan tentang aku seperti aku memikirkan tentang dia.
Bila kekasih mengundang aku pulang
Mahligai menanti penuh gemilang
Bila kekasih menyingkap tabir cinta
Tiada terbatas dengan kata-kata
 Ah... kala itu, perasaan bahagia sejak aku  menemui kembali cintaku padanya tidak mampu untuk ku gambarkan dengan kata-kata...

Dapatkah aku membalas dengan air mata
Tanda syukur menerima
Setelah sekian lama
Menghamba hidup pada dunia
Ya, selama ini perasaan itu hanya terkubur nun jauh di sudut hati. Dan syukur sekali aku rasakan kerana dia mampu mengembalikan perasaan ini di hatiku...

Seribu tahun takkan sama
Sesaat bersatu dalam nyata
Kerna kasih ku sanggup korbankan
Jasad dan nyawa

Kasih yang mampu membuatkan aku sanggup berkorban, demi menzahirkan harapan semua yang disekelilingku, Kak Reen, Mak Ngah dan yang istimewa sekali Abang Izwan...

Terang bulan kerana mentari
Hadir bayang kerana cahaya
Begitulah cinta kita
Tiada jarak pemisah lagi
Tiada garis sempadan budi
Aku terima dan jua memberi
Seikhlas hati

Seiklas hati aku berkorban demi cintaku untuk semuanya...

Seribu tahun dan sejuta langkah
Seribu tahun bersinar cinta
Kita bertemu di penghujung rindu
Dan akhirnya... aku dan dia.. bertemu di penghujung rindu. Semuga bahagia kini milikku...
Namun, saat itu wajah Kak Reen melintas di depan mata. Ah... sering rasa bahagia yang bertandang di hati akan dikocakkan oleh realiti. Aku tidak mampu membuang hakikat ini. Mana mungkin bahagia ini menjadi milikku secara total. Mana mungkin aku hindari wajah itu dari menghantui kebahagiaan yang aku dambakan ini. Tidak mungkin... 
“Kau tau Unie, aku rasa peliklah tengok kau dengan Abang Izwan ni,” suara Suzana mengganggu lamunanku.
“Pelik apa pula,”
“Kau cakap, kau terima Abang Izwan  sebab Kak Reen. Tapi, aku rasa kau sebenarnya masih ada hati lagikan pada dia. Itu sebabnya kau terima dia kan?”
Sebelum sempat aku berkata apa-apa Suzana mengangkat jari telunjuknya kepadaku.
“Kau jangan nak bohong pada aku ...,” katanya bagaikan memberi amaran.
Aku terdiam. Sesuatu yang selama ini hanya disebut dalam hatiku, kini ditimbulkan olehnya. Ah... pandai sungguh dia menduga. Apa yang boleh aku katakan untuk menafikannya.
“Kau ni... sengaja nak cari masalah tau. Kalau kau tunggu sekejap aje... hah dua minggu aje dari tarikh kau kahwin, kan kau jumpa dengan mamat tu tadi. Entahkan dia tu pun jodoh kau kalau kau tunggu. Ini tidak, asal aje ada orang approach, kau terima aje. Tak fikir panjang. Kau tu muda lagi. Umur baru 24 tahun, dah jadi isteri muda orang,”
“Su... kau ni jangan nak mengarut, dah jodoh aku dengan Abang Izwan. Apa aku nak buat. Mungkin bila aku kahwin dengan dia ni... aku dapat bahagiakan ramai orang. Kak Reen dan Mak Ngah pun boleh tumpang gembira, kalau aku dapat bagi mereka anak kan?”
“Dan kau sendiri macamana? Boleh bahagia ke engkau tu. Yang aku nampak macam tak bahagia aje. Terpaksa cari kawan kat luar rumah,”
Terdiam aku seketika. Ah... benar katanya itu. Aku mengeluh seketika kemudian.
“Aku bahagia Su, janganlah kau risau pula. Aku cukup bahagia sekarang.... mungkin dengan caraku sendiri... Tak payahlah kau risau ye...,”
Entah mengapa, kata-kata yang keluar dari bibirku itu bagaikan tidak mampu untuk meyakinkan diriku sendiri.    
****
Malam itu aku terlena di sofa di hadapan televisyen. Keletihan dek terlalu banyak berjalan hari ini. Seawal jam sembilan aku sudah ghaib ke alam mimpi. Entah mengapa aku merasa begitu penat sekali. Selalunya aku mampu untuk meronda seharian dengan Suzana di Mid Valley tanpa rasa penat. Kepalaku juga terasa amat pening sekali. Mungkin tanda-tanda awal aku akan diserang demam atau selsema. Ah, biarlah... mungkin jika aku berehat, penyakit itu akan dapat aku hindari.
Namun, keesokkan paginya aku masih lagi mengalami pening kepala. Malah keadaanku lebih teruk dari semalam. Aku muntah sebaik sahaja bangun dari tidur. Tubuhku lemah tidak bermaya. Akhirnya aku terpaksa ke klinik untuk mendapatkan cuti sakit. Perkara pertama yang ditanya oleh doktor semasa merawatku ialah adakah aku sudah berkahwin dan adakah berkemungkinan aku hamil. Terkejut bukan kepalang bila mendengarkan kata-katanya itu. Mungkinkah? Mungkinkah secepat itu? Baru sahaja dua minggu aku bernikah dengan Abang Izwan. Ah... perasaan gembira di hatiku tidak mampu aku gambarkan. Kalaulah aku mengandung, alangkah bahagianya Abang Izwan dan semastinya Kak Reen juga.
Namun menurut doktor, terlalu awal untuk dia mengesahkan perkara itu. Aku diminta untuk datang semula selepas tiga minggu untuk mengesahkannya. Tanda-tanda penat, pening kepala, bertambah selera makan malah mual dan muntah-muntah adalah tanda-tanda kehamilan. Ia boleh berlaku terutamanya di awal kehamilan. Dan dalam kes-kes tertentu ada wanita yang hamil mengalaminya seawal lima minggu  kehamilan. Dalam hati aku berdoa sekiranya aku hamil, diharap aku tidak akan mengalami alahan yang teruk. Memandangkan aku akan tinggal sendirian ketika Abang Izwan memenuhi giliran Kak Reen. Aku tidak mahu ada apa-apa masalah yang akan timbul pula akibat dari kehamilanku ini nanti. 
Aku nekad, keadaanku itu tidak akan aku ceritakan kepada Abang Izwan. Sekurang-kurangnya tidak sehinggalah doktor mengesahkannya nanti. Aku tidak mahu dia terlalu berharap. Mungkin kesihatanku ini terganggu bukan kerana hamil. Tetapi hanya kerana aku mengalami demam  ataupun selsema. Sekurang-kurangnya dia tidak akan kecewa lagi jika ini semua hanya tanda-tanda palsu. Doktor juga sudah berpesan supaya aku mengelakkan diri dari mengambil apa-apa ubat yang mungkin boleh memudharatkan kandunganku sekiranya aku benar-benar hamil. Beliau hanya mencadangkan supaya aku berehat dan mengambil beberapa jenis permakanan tambahan yang boleh  menyegarkanku.
Seharian aku hanya mampu tidur sahaja. Kalau tidak di bilik, aku lena di sofa ruang tamu. Suhu badanku yang semakin meningkat mengesahkan bahawa aku mengalami demam panas. Terasa sakit seluruh tubuhku. Semua urat sarafku  terasa begitu lenguh sekali. Ketika Abang Izwan pulang dari kerjanya kira-kira jam enam petang terkejut sekali dia melihatkan keadaanku.
“Kenapa tak beritahu abang Unie demam ni?” katanya sambil meletakkan tangannya ke dahiku. Kain tuala kecil yang kubasahkan tadi sudah hampir kering. Lantas dia membasahkan semula kain itu dan meletakkan di atas kepalaku.
“Dah makan ubat?”
Aku hanya mengangguk, membohonginya. Tidak mahu lagi memberitahunya keadaan yang belum pasti itu. Nasib baiklah doktor telah membekalkan ubat demam kepadaku. Dia mengatakan bahawa ubat itu cukup selamat untuk dimakan oleh wanita baru hamil. Tetapi aku telah mengambil keputusan untuk tidak memakan ubatku selagi belum perlu. Selagi aku mampu untuk bangun ke bilik air, selagi itulah aku nekad untuk tidak memakan ubat tersebut. Bimbang sekiranya ubat itu memberi kesan sampingan kepada kehamilanku, sekiranya ia berlaku. 
“Bang, maaf ye...,”
“Kenapa sayang?”
“Unie tak larat nak masak,”
“Tak apa, nanti abang masak. Unie dah makan ke belum? Tengahari tadi makan apa? Kenapa tak telefon abang? At least abang boleh balik hantarkan makanan,” soalnya bertubi-tubi. Belum sempat aku menjawab satu soalan, dia sudah bertanyakan soalan yang lain.
“Tak lalu..., tak ada selera,” bisikku lemah.
Abang Izwan memandangku dengan penuh rasa simpati. Mungkin simpati melihatkan keadaanku yang amat lemah itu. Lantas dia bangun ke dapur. Seketika kemudian dia keluar dengan menatang dulang yang berisi segelas susu suam dan sepiring biskut. Dia membantu aku duduk dan mula menyuapkan makanan tersebut ku mulutku. Bila aku enggan membuka mulutku, dia lantas memujukku. Mengucup dahiku, mataku dan bibirku sehinggalah aku membuka mulut.
Ah... dalam kesakitanku tu, terselit rasa bahagia dilayan begitu. Kalaulah dia mampu sentiasa berada di sampingku begini, alangkah bahagianya.  Saat itu aku merasa cukup terharu. Beginikah layanannya terhadap Kak Reen ketika dia sakit. Terlintas rasa cemburu di hati ini dengan kemungkinan itu.  Rasa yang menjeruk perasan hinggakan aku mengeluh perlahan. Sedih kerana aku terpaksa berkongsi rasa ini dengan orang lain.
Setelah habis tiga keping biskut dan segelas susu, dia meletakkan kembali gelas ke atas dulang. Lantas dia duduk di sampingku dan memelukku bahuku erat sekali.
“Panas sangat badan Unie ni. Betul ke Unie dah makan ubat?”
“Dah... ,” jawabku perlahan.
“Unie rindu abang ye? Tengok tu, tiga hari tak jumpa dah demam. Demam rindukan?”
Ah... dalam keadaanku begini masih lagi dia mampu bergurau. Aku hanya senyum sekilas. Hendak tersenyum pun malas sekali rasanya. Cuma kini terasa amat bahagia berada di dalam pelukannya.
“Abang rindu sangat pada Unie ..., kalau boleh tak nak rasanya abang tinggalkan Unie,” kataya lembut.
“Tak boleh macam tu bang...,” kataku lemah.
“Habis... Unie tengah demam ni,”
“Insyaallah esok oklah...,”
“Kalau tak ok?”
“OK... Unie kan dah ada ubat...,”
“Unie ni... sakit macam ni pun masih nak ingatkan orang lain...,”
“Kak Reen sihat ke?”
“Sihat... dia kirim salam pada Unie, Unie tak usah risaukan mereka,”
“Waalaikummussalam,”
“Esok abang cuti, boleh jaga Unie,”
“Abang ... Unie ok...,”
“Not another word ok?”              
Dalam engganku terselit rasa bahagia.

Bab 10
Memang sesungguhnya hidup bermadu bukanlah satu kehidupan yang semanis madu itu sendiri. Aku sendiri masih tercari-cari bagaimana mulanya nama itu boleh dipilih untuk menggambarkan kehidupan berpoligami. Mungkin itulah yang menyebabkan Allah telah menyediakan Payung Siti Fatimah untuk para isteri  yang redha dengan kehidupan berpoligami. Derita hati tuhan sahaja yang tahu. Bisikan syaitan yang sering menggoda, supaya timbul rasa cemburu dan irihati bukanlah mudah untuk disingkirkan dari mengganggu ketenteraman di jiwa. Sering ia merenggut-renggut perasaan ketika leka itu datang bertakhta di hati.
“Kau ni kenapa Unie, awal-awal lagi dah sampai kat rumah aku ni,” tanya Suzana apabila aku melangkah masuk ke rumahnya pagi Ahad itu.
“Tak boleh ke aku datang? Atau kau ada plan lain ke hari ni?” kataku pantas. “Maaflah... sebab tak telefon dulu. Selepas mandi tadi aku terus bersiap dan datang ke mari,”
Saat  itu hatiku merasa sungguh sebak dek rasa rindu yang membuak-buak pada Abang Izwan. Sudah dua hari dia di rumah Kak Reen. Hari ini hari Ahad. Kebetulan minggu ini adalah giliran Abang Izwan menghabiskan hari minggunya di rumah Kak Reen. Termasuk hari ini sudah tiga hari dia di sana.
Awal pagi lagi dia sudah menelefonku bertanyakan khabar. Menitipkan rindu di skrin telefon bimbitku dalam keadaan bersembunyi. Katanya saat itu dia menelefonku dari dalam bilik mandi. Tidak mahu Kak Reen berkecil hati jika dia tahu kami berhubungan di kala Abang Izwan sepatutnya berada di sisinya. Dia terpaksa akur dengan janjinya untuk adil dalam menetapkan giliran kami. Walaupun saat ini dia juga merinduiku separuh mati katanya.
Sebelum dia menghubungiku pagi tadi, aku sudah akur dengan keadaan ini. Telah dapat menerima segalanya dengan penuh redha. Tapi, demi sahaja aku mendengar bicaranya, aku terus jadi sebak. Lantas aku mengambil keputusan untuk ke rumah Suzana. Menghabiskan hari mingguku bersamanya.
“Tak ada... Cuma tengahari ni aku ingat nak pergi Mid Valley kejap. Dah lama tak pergi ronda-ronda kat sana. Bolehlah singgah MPH jap. Intai novel baru. Yang ada dalam koleksi semua dah dibaca,”
“Ok... bolehlah aku ikut nanti,” jawapku sambil tersenyum puas.
“Eh... engkau tu dah jadi isteri orang. Tak marah ke Abang Izwan kau tu nanti kalau keluar merambu dengan anak dara macam aku ni. Hari ni giliran dia kat sana ye. Itu yang kau cari aku tu. Kalau tak, nak tanya khabar aku pun kau malaskan?”
Aku cuma senyum bodoh untuk menutup rasa bersalahku. Memang itu yang berlaku. Sepanjang tempoh dua minggu selepas bernikah, aku sekalipun tidak pernah menelefonnya bertanyakan khabar. Terlalu indah detik-detik bersama Abang Izwan aku rasakan. Hinggakan aku lupakan segalanya. Hanya dia yang memenuhi segenap ruang hidupku saat dia di sisi.
“Jom breakfast, aku beli nasi lemak ni tadi kat gerai dekat rumah aku tu. Sedap tau. Ada sambal tumis kerang ... ada rendang lagi....mmmm,” kataku untuk cuba melarikan diri dari topik yang Suzana persoalkan.
“Itu nak lari dari topik la tu...,” katanya sambil matanya menjeling padaku.
Bibirnya menguntum senyum. Biar pun betapa sinisnya aku rasakan senyuman itu, aku tetap membalasnya. Dia satu-satunya temanku yang sanggup menerima keputusanku walau bagaimana bodoh sekali pun keputusan yang aku buat. Sesungguhnya dia memang tidak suka pernikahan ku dengan Abang Izwan. Dia menentangnya habis-habisan sebelum kami bernikah. Tetapi setelah keputusan itu aku ambil, dia akur. Malah dia sanggup mendoakan kebahagiaan untukku. Dan saat ini hanya dia yang ada untukku. Satu-satunya teman yang mampu menceriakan perasaanku.
Kami duduk menghadap sarapan pagi yang aku bawa. Dua cawan milo ‘kaw’ yang masih berasap dia sediakan untuk kami. Tanpa sepatah kata aku menikmati nasi lemak yang memang ternyata sedap itu. Nasi lemak Kak Timah ini diperkenalkan oleh jiranku kepada Abang Izwan semasa kami mula-mula berpindah ke rumah sewa selepas berkahwin tempohari. Dan disebabkan tidak mahu kehabisan nasi inilah, maka pagi-pagi lagi aku sudah keluar rumah. Selepas membeli, aku terus memandu ke rumah Suzana.
“So, macamana hidup berumah tangga?”
Soalan Suzana yang keluar tiba-tiba dari mulutnya membuatkan aku tersedak. Cepat-cepat aku mencapai air milo panasku dan meneguk laju. Lebih pantas pula aku meletakkan kembali mug itu.  Tumpah sedikit air milo yang masih berasap itu dan terkena pada jari tangan kiriku. Kepanasan itu ternyata membuatkan aku terkejut. Pijar terasa bibirku. Aku mengibas-ngibas jejariku  untuk mengurangkan rasa pedih pada jari jemariku itu. Mataku menjeling padanya sambil aku mencebikkan bibirku padanya.
“Itulah... minum tak baca bismillah...,”
Aku senyum kembali padanya sambil berdehem beberapa kali.
“Nak ubah topik lagi?”
“Mana ada aku ubah topik..,”
“Habis tu... soalan aku kau tak jawab, ”
Aku diam. Mengapa saat itu dia mesti bertanyakan soalan yang meresahkan jiwaku? Tak bolehkah kalau dia tanya tentang perkara lain? Perkara  yang lebih menggembirakan mungkin?
“Seronok...,” kataku sepatah.
Suzana merenung tepat ke wajahku. Menantikan kata-kataku yang selanjutnya.
“Habis tu hari ni....? Seronoklah ye... bila suami kena pergi rumah isteri pertama?” katanya menyindir.
Tersentuh hatiku mendengarkan kata-katanya itu.
“Entahlah Su, aku nak cakap apa pun tak tau. Seronok memang la seronok, bila dia ada dekat aku. Tapi bila tiba giliran Kak Reen, sedih pula rasanya,”
“Alah engkau yang tempahkan? Kau terima ajelah...,”
Aku memandang ke wajah Suzana yang terus menyuapkan nasi lemaknya tanpa memandang padaku. Memang tersentuh hati ini dengan kata-katanya. Namun, aku tak mampu untuk membencinya hanya kerana bisa kata-katanya itu. Dia satu-satunya teman yang aku ada. Yang sejak di tahun pertama pengajianku dulu menjadi tempat aku mengadu dukaku. Hubungan kami sudah terlalu erat untuk aku putuskan hanya kerana kehadiran Abang Izwan dalam hidupku.
“Itulah Su, masa mula-mula Abang Izwan nak buat giliran malamnya, hati aku dah rasa kecut sangat. Masa mula-mula kereta dia bergerak keluar dari pintu pagar rumah pagi itu hati aku dah mula rasa hiba,” aku memulakan cerita. Meluahkan apa yang aku rasa.
Masih aku ingat lagi malam itu, saat pertama kali Abang Izwan memulakan giliran membahagi malamnya. Malam itu aku manangis terus-terusan. Entah pukul berapa aku terlena pun aku tidak pasti. Yang  pastinya malam itu dia mesti pulang ke rumah Kak Reen, selepas tujuh hari kami bersama menghabiskan masa-masa yang begitu indah sekali. Aku tahu di mana hakku sebagai isteri kedua, tetapi masih lagi hati ini tersentuh dengan hakikat itu.
Abang Izwan telah menetapkan pembahagian malamnya selam dua hari di rumah kami. Dua malam di rumah Kak Reen dan kemudian dua malam pula di rumahku. Manakala hari minggu pula dia akan bergilir pulang antara rumah kami. Jika minggu ini dia habiskan bersamaku, minggu depan pula dia akan menghabiskan sehari hari minggunya di rumah Kak Reen.
 “Lepas pukul 12 malam aku masih lagi tak dapat lena. Aku terus pergi buat sembahyang malam. Solat hajat, solat taubat dan macam-macam solat lagi. Aku buang jauh  semua perasaan jahat yang ganggu tidur aku malam tu. Kak Reen tu terlalu baik dengan aku. Aku tidak sepatutnya simpan rasa cemburu dan iri hati pada Kak Reen. Kalau bukan kerana dia tak kan aku dan Abang Izwan akan kahwin,” kataku perlahan.
Ya,  kalau tidak kerana keizinannya, tak mungkin aku akan menemui kembali cintaku yang telah lama terkubur pada Abang Izwan, detik hatiku sendiri. Kata-kata itu tidak mampu aku ucapkan di hadapan Suzana. Selama ini aku hanya memberi alasan permintaan Kak Reen yang menyebabkan aku bersetuju menerima Abang Izwan. Tidak pernah aku nyatakan perasaan sebenarku padanya. Pasti Suzana akan marah padaku kerana masih lagi menyimpan perasaan sebegitu kepada Abang Izwan. Setelah sekian lama menyangka perasaan itu telah terkubur. 
“Kau tahu tak? Ke mana sahaja aku pergi, macam ade aje yang mengutuk, mengata aku perampas suami orang.  Tiap kali aku tengok ada yang berkumpul di satu-satu tempat, aku jadi curiga. Mula menyangka yang bukan-bukan. Bila sahaja aku pergi dekat mereka, cepat-cepat mereka tukar topik lain untuk berbual. Mesti mereka sebenarnya cakap pasal aku. Jiran-jiran aku pulak sikit pun tidak membantu legakan rasa sedih kat hati aku ni. Sebelum Abang Izwan mulakan giliran malamnya, dia beritahu jiran sebelah yang aku  ni isteri keduanya. Kata dia... dia buat tu supaya ada yang boleh menjenguk kalau aku dalam kesusahan. Masalahnya sekarang ni satu taman tu dah tahu tentang aku. Yang perempuan kat taman tu dah pandang aku semacam aje. Tapi, apa boleh aku buatkan?  Macam yang kau katakan tadi, semua ni aku sendiri yang tempahkan?” keluhku panjang.
Seleraku yang tadinya meluap-luap menginginkan nasi lemak itu jadi terbantut. Diragut dek perasaan sedih yang mula bertakhta di hati. Suzana juga terhenti dari terus menyuap nasi lemaknya. Dia berpaling kepadaku seketika. Mungkin bila melihat ada riak sedih di mataku dia mengusap lembut pipiku dengan tangan kirinya. Cuba melegakan perasaan gundahku itu.
“Dahlah... jangan sedih macam ni... Nanti tengahari kita pergi Mid Valley, window shopping. Mesti kau gembira.  Ok ?”
****
“Hei Unie tengok ni... cantikkan gelang ni...,”
Suzana menbelek-belek gelang kristal yang baru dibelinya. Pastinya sedang mengkagumi keindahan kemilau batu kristal swarovski yang bergemerlapan di pergelangan tangannya. Aku yang ketika itu sedang mengintai-intai meja kosong di dalam restoren Kenny Roger Roosters itu membuat endah-tak endah dengan gelagatnya. Restoren yang penuh sesak itu menjadi pilihan kami untuk makan tengahari itu. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja aku terasa ingin menjamah hidangan di situ.
Kecur liurku bila teringatkan ayam bakarnya yang dimakan bersama tiga pasta pilihan dan muffin pisangnya. Hem ... tentu sedap sekali rasanya. Pelayan restoren yang tersenyum kepadaku memberi isyarat supaya kami mengikutnya. Nampaknya sudah ada satu meja yang telah dikosongkan. Kami mengikuti langkah anak muda itu ke satu meja yang dikhaskan untuk dua orang. Hati terasa amat bersyukur kerana akhirnya kami mendapat tempat untuk makan di sini.
Kalau melihatkan pelanggan yang panjang beratur di luar restoren, tentunya sampai petang restoran ini akan dipenuhi pelanggan. Tidak kurang dari tiga puluh orang yang beratur di situ, aku menghitung satu persatu. Satu senario biasa di sini setiap tibanya hari minggu. Setelah mengambil tempat duduk, pandanganku kembali kepada Suzana. Tak sudah-sudah dia membelek gelang di tangannya.
Suzana memang bergaya orangnya. Koleksi aksesori kristalnya sudah begitu banyak tidak terhitung. Namun masih lagi setiap kali keluar membeli-belah dia akan membeli sesuatu untuk dirinya. Di segi pemakaiannya pula, dia sentiasa mengikut trend semasa.  Lain pula dengan diriku. Aku lebih suka dengan kesederhanaan. Bukan tidak suka bergaya, tetapi tidak tergamak pula rasanya bergaya sakan dengan aksesori yang berlebihan dan pakaian yang dihiasi manik-manik bertaburan. Bagaikan hendak pergi kenduri pula rasanya dengan pakaian sebegitu.
Ada ketikanya hatiku teringin juga untuk memakai pakaian seperti itu. Tetapi  bila mengenangkan betapa cerewetnya untuk menjaganya aku batalkan niatku. Ah... lebih senang dengan gaya sempoiku. Cukuplah sekadar pakaianku itu menutup auratku. Cukup sekiranya pakaianku itu cukup longgar dan tidak menyerlahkan lekuk-lekuk di tubuhku ini. Cukup juga bagiku sekiranya tudungku cukup labuh bagi menyembunyikan dadaku dari ditatap oleh lelaki lain selain dari Abang Izwan.
“Eh Unie, mana beg plastik novel yang aku beli tadi...,”
Tiba-tiba lamunanku dikejutkan oleh suara kalut Suzana. Kelihatan dia sedang membelek-belek beg palstik yang diletakkan di tepi meja.
“Tak adalah Unie ...,”
“Kau letak kat mana? Cuba cari, ada tak?”
“Tak ada lah... , alamak apa aku nak buat ni... lima buah novel aku beli tadi. Kalau hilang habislah aku...,” dia mengeluh hampa.
“Kau tertinggal kot, cuba ingat kita lalu kat mana tadi,”
“Haah lah... agaknya tertinggal kat kedai kristal tu tadi kot. Aku pergi tengok kejap ye? Kau tunggu aku kat sini Ok?
“Pergilah..., jangan lama-lama sangat tau..,”
Dia lantas bangun meninggalkanku. Tidak lama selepas dia pergi, tiba-tiba perutku terasa memulas. Pedih sekali rasanya. Memang sejak menjamah nasi lemak Kak Timah yang pedas membara pagi tadi, perutku mula meragam. Selalunya tidak begitu. Selalunya sambal yang lebih pedas daripada itupun aku mampu menghabiskannya tanpa sebarang masalah. Tapi kali ini, ia membuatkan perutku meragam walaupun aku memakan hanya beberapa suap sahaja pagi tadi.
Kalut rasanya hatiku. Macamana ni, kalau ditinggalkan meja itu sekarang pastinya akan ada yang mendudukinya. Nak menunggu Suzana kembali, terasa seperti tak sempat pula.  Bimbang pula kalau-kalau aku ter.... di sini. Pasti malu nanti. Aku perlahan-lahan bangun. Beg plastik yang berisi barangan yang kami beli sebentar tadi aku kutip satu-persatu. Lantas aku memanggil salah seorang pelayan yang berdekatan.
“Dik... akak ada emergencylah... kena pergi toilet. Meja ni... jangan berikan pada orang lain ye? Nanti sekejap lagi kawan akak datang,” kataku meminta pengertian darinya.
“OK kak, barang tu letak kat kaunter tu. Nanti hilang, susah pulak...,” jawabnya.
Lega terasa di hatiku dengan pengertiannya. Aku cepat-cepat meninggalkan restoren itu untuk ke bilik air. Sambil itu aku menelefon Suzana memberitahunya situasiku saat itu. Tidak  mahu dia bimbang pula nanti bila melihatkan aku tiada di restoren itu. Hampir sepuluh minit juga aku di bilik air. Selepas selesai qada hajatku, cepat-cepat aku bergegas kembali ke restoren. Pasti Suzana sudah kembali ke situ. Mungkin pesanan kami sudah sampai dan dia sudah pun kenyang menjamu seleranya. Aku menjilat bibirku mengenangkan Kenny Roger Rooster yang menjadi idamanku. Hemm... yummy... Hai mulut, entah kenapa dua tiga hari ini seleraku bertambah. Macam selera gajah pulak tu. Dan bila aku menghajatkan sesuatu, bagaikan tidak sabar-sabar rasanya untuk aku menikmatinya. Kalau berterusan begini, pasti naik pula berat badanku nanti. 
Namun, setibanya aku di meja kami, lain pula yang jadinya. Kelihatan di situ, seorang pemuda sedang santai menjamu selera. Bersamanya seorang gadis sunti yang ku kira mungkin adiknya. Hatiku tiba-tiba jadi meluap-luap marah. Mengapa pula meja kami diduduki orang lain? Dan, mereka kelihatan telah menerima pesanan yang kemungkinan besarnya makanan yang aku dan Suzana pesan tadi. Aku mendekati mereka  dengan perasaan marah sekali.
“Encik ni... kenapa duduk kat meja saya...?” kataku marah tanpa berfikir panjang.
Dia yang baru sahaja mula menyuapkan makanannya terus terdiam. Perlahan-lahan dia mendongak memandang ke wajahku yang pastinya sedang mencuka saat itu. Ooops, kacaknya.... detik hatiku.
“Mana ada nama atas meja ni yang kata meja ni hak awak. Dah kosong, kami duduklah...,”
“Tadi kami duduk kat sini... saya keluar kejap aje dah ada orang lain duduk. Itu ha... yang awak makan tu, mesti makanan yang kami pesan...,”
Lelaki itu meletakkan makanannya lantas bangun dengan perlahan. Ternyata dia jauh lebih tinggi dari aku. Mataku hanya separas dadanya. Aku terpaksa mendongak untuk memandang ke wajahnya. Keadaan yang mampu menggugat kemarahan yang aku rasakan. Timbul pula sedikit rasa takut di hatiku. Hanya dengan ketinggiannya sahaja aku sudah merasa kecut perut sebegini.
“Cakap baik-baik sikit ye... Siapa suruh awak tinggalkan meja ni. Dan makanan ini kami yang pesan. Awak ingat awak aje yang mampu makan kat sini. Kami ni lebih dari mampu tau tak....,” katanya dengan nada suara yang menggetarkan sukmaku. Tergambar api kemarahan di matanya.
Masyaallah, apa yang telah aku lakukan ini. Aku bukannya pandai bergaduh. Tapi, melihatkan dia tadi, hatiku cukup panas sehinggakan aku bertindak di luar kawalanku. Aku jadi terkedu melihatkan kemarahannya. Aku memandang ke kiri dan kanan. Semua pelanggan restoren yang duduk di meja berdekatan kelihatan sedang memandang pada kami. Ah... malunya. Bagaimana aku boleh mencetuskan situasi memalukan sebegini? Tanpa disedari, aku menzahirkan sikap bodohku ini. Aku terasa mata lelaki itu terus memandang padaku. Kemarahannya masih jelas kelihatan bila mataku menjeling sekilas ke wajahnya. 
Dalam kekalutan yang aku rasakan, kelibat Suzana muncul dari pintu masuk restoren. Di tangannya terbimbit sebuah beg plastik dengan lebel MPH. Terus hatiku kembali lega melihatkannya. Suzana selalunya mahir dalam dalam situasi sebegini. Dia memang pandai bergaduh. Tidak seperti aku yang sering beralah dengan keadaan. Dia mendekati kami. Bersamanya pelayan restoren yang aku minta untuk memerhatikan meja ini supaya tidak diduduki oleh orang lain.
“Kenapa ni Unie?” tanya Suzana.
“Ini... encik ni Su, dia duduk kat meja kita masa aku keluar sekejap tadi,” kataku seperti mengadu kepada Suzana. Kelihatan Suzana juga sudah mula marah.
“Kak... maaf, tadi saya tak sempat beritahu kawan saya yang meja ni dah ada pelanggannya. Dia bagi meja ni pada encik ni. Kami dah sediakan meja lain untuk akak. Itu di sana, mari....,” kata  pelayan restoren yang berada di belakang Suzana sebelum sempat dia berkata apa-apa.
Tiba-tiba hatiku jadi kecut lagi bila mendengarkan kata-kata pelayan itu. Alamak,  memanglah situasi ini sungguh memalukan. Sepatutnya aku bertenang dan menghubungi pelayan itu dahulu sebelum datang  dan marah-marah pada lelaki ini. Kelihatan gadis sunti yang duduk berhadapan dengannya juga sudah mula panik dengan keadaan itu. Matanya laju sahaja memandang kepada lelaki itu, kemudian kepadaku sebelum kembali semula ke wajah lelaki itu.
“Maaf encik..., tadi memang akak ni duduk kat sini. Tapi... dia ada emergency. Jadi tinggalkan meja ni sekejap. Encik... teruskanlah makan ye. Jangan marah ye... kesilapan kami sebenarnya,” kata pelayan itu pula kepada lelaki itu.
Dia mengetap bibirnya. Mendengus marah. Kelihatan rahangnya bergerak-gerak menahan kemarahannya. Aku terus memalingkan wajahku ke arah lain. Tidak mampu untuk berhadapan dengannya. Malu dengan diriku sendiri. Bila pelayan restoren itu meninggalkan meja itu, aku menuruti langkahnya tanpa sepatah kata. Malu untuk berpaling dan meminta maaf kepadanya. Kesal sungguh rasa di hati kerana membiarkan emosi mempengaruhi akalku sebentar tadi. Hei... Unie ... Unie ....
“Maaf encik... kawan saya tu tak tahu... maaf ye...,” kedengaran Suzana memohon maaf sebelum dia juga mengikuti kami.
Setelah mengambil tempat di meja yang jaraknya selang tiga meja dari meja yang diduduki lelaki itu, aku menjeling sekilas kepadanya. Dia sudah mengambil tempatnya semula. Matanya masih lagi tertancap ke wajahku. Masam sekali mukanya. Mungkin masih menahan marah. Kulit sawo matangnya kelihatan semakin gelap. Mungkin darahnya naik ke kepala dek rasa marahnya kepadaku.
Sebentar kemudian,  pelayan tadi menghulurkan makanan yang kami pesan tadi. Namun, semangatku yang tadi berkobar-kobar untuk menghabiskan makanan kali ini jadi terbantut semula. Seleraku hilang lagi. Terasa mual pula tekakku untuk menghabiskan ayam bakar ini. Tambahan lagi dengan insiden yang memalukan tadi.  Dan mata itu.... yang terus memandang wajahku... dengan kemarahan yang masih bersisa.
Bab 9
Wajah Mak Ngah yang kelihatan serba salah sejak aku mula tiba sebentar tadi ku tatap dengan perasaan yang berbelah bagi. Pagi-pagi lagi aku sudah nekad bahawa hari ini juga aku akan pergi mencari Sarah. Rinduku padanya sudah aku rasakan begitu menbuak-buak. Wajahnya yang sering aku tatap dalam dinding facebook Kak Reen menyedarkan bahawa anakku itu kini sudah besar. Manis dan comel sungguh anak gadisku itu pada usia tiga tahun.
Pada waktu awal perpisahan dulu, aku dan Kak Reen  begitu akrab berhubung melalui alam maya itu. Pada hari-hari permulaan aku menjejakkan kaki ke Australia untuk menyambung pengajianku, seperti yang dijanjikan, ada sahaja berita mengenai Sarah dan Abang Izwan yang sampaikannya untukku. Abang Izwan yang selalunya sibuk dengan tugasnya memang amat jarang sekali menghubungiku.
Seperti biasa, dia dengan sikapnya yang tidak betah untuk berbicara melalui talian telefon. Setiap kali menelefonnya, pasti perbualan kami hanya setakat bertanyakan khabar dan menyampaikan apa-apa perkara yang penting sahaja. Terlalu cepat dia ingin memutuskan talian.  Hanya bila rindu yang datang tak mampu kubendung,  barulah aku menghubunginya. Pun begitu bicara kami selalunya tidak lama. Selepas sahaja menyampaikan rasa rindu yang bersarang di hati, talian diputuskan.
Kak Reenlah yang menjadi penghubung tetap antara kami. Berkirim salam, menyampaikan berita dan sebagainya. Namun selepas enam bulan perpisahan berlaku, bicara antara aku dan Kak Reen mula menjadi semakin kurang. Kesibukkanku dengan pengajianku menyebabkan aku jadi leka dan tidak menyedari akan tanda-tanda masalah itu mula timbul.
Kak Reen juga mula menyepikan diri. Ada ketikanya bila aku menegurnya di alam maya itu, dia hanya mendiamkan diri. Abang Izwan pula bagaikan sudah mula mengelak dari berbicara denganku melalui telefon. Bicaranya juga sudah tidak seromantis selalu. Dan entah mengapa aku tetap juga tidak mengendahkan perubahan ini. Sangkaku ini perkara biasa. Setiap kali aku bertanyakan khabar bila mereka akan datang mengunjungiku, Abang Izwan bagaikan cuba untuk mengubah topik perbualan.
Janji Abang Izwan untuk membawa Sarah kepadaku rupanya tidak kesampaian. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh Kak Reen untuk mengelak dari aku terus mendesak Abang Izwan menunaikan janjinya untuk membawa Sarah kepadaku. Dan aku yang sedar waktu itu betapa sukarnya jika aku membawa Sarah bersamaku terus membiarkan keadaan itu. Ya, mungkin aku tidak mampu untuk menjaga Sarah sendirian di sana. Rakyat Malaysia di Autralia sememangnya ramai, tetapi tidak ramai yang aku kenali hati budinya. Dan rasanya waktu itu aku lebih mempercayai bahawa Sarah lebih selamat berada di bawah jagaan ayahnya sendiri.
Setelah hampir tiga bulan aku bagaikan bercakap sendirian, aku mula berhenti menegur Kak Reen di alam maya. Seringkali aku hanya membiarkan sahaja facebook atau emailku sentiasa berada dalam talian. Menanti dan menanti setiap kali dia menghantarkan perkabaran tentang dirinya dan Sarah di situ. Semua perubahan itu hanya mula aku sedari selepas setahun tempoh pemergianku ke sana. Setelah surat dari Abang Izwan yang sungguh tidak ku duga isi kandungannya tiba ke ribaanku.
Mengapa...? Mengapa aku diperlakukan sebegitu? Mengapa hanya melalui sekeping kertas? Sekeping kertas putih yang menjadi wakil darinya, melafazkan kata-kata yang cukup menggegarkan suluruh  jantungku, memusnahkan harapanku dan meranapkan anganku. Bagaikan tercabut nyawaku saat aku membaca coretannya itu. Lafaz yang sesungguhnya tidak mungkin akan dapat diterima oleh seorang isteri yang tidak mengetahui apa alasannya si suami berbuat begitu. 
Selepas dari itu, setiap kali aku cuba berhubung secara online dengannya, Kak Reen  terus mengelakkan diri dan mematikan taliannya. Langsung tidak mahu menjawab semua persoalan yang aku berikan. Berdiam diri dari soalan-soalanku yang memohon penjelasan darinya.  Bila aku menelefon pula, ternyata dia telah menukar nombornya. Sama seperti Abang Izwan, yang terus dan terus mengelak dariku.
Desakan demi desakan aku luahkan. Tidak dapat menghubungi talian telefon bimbitnya, aku hubungi pula telefon di tempat kerjanya. Saban hari aku menghubingi Abang Izwan untuk menuntut penjelasan.  Dan mereka terus-terusan mengelak dariku. Sehinggakan apabila aku pulang ke Malaysia selama seminggu semasa cuti pertengahan semester pengajianku, juga mereka mengelakkan diri dariku. Sanggup pergi melancong ke Eropah selama tiga minggu.
Kepulanganku ketika itu aku rasakan amat merugikanku. Sudahlah aku terpaksa membayar tambang yang mahal untuk pulang ke mari, malah bila tiba di sini orang yang ingin aku temui pula tiada. Sungguh... sungguh aku amat kecewa ketika itu. Kesedihanku tidak tertanggung rasanya. Aku  yakin mereka sengaja mengelak dari bertemu denganku kerana aku telah memberitahu Kak Reen tentang kepulanganku itu. Tak mungkin kalau perkara itu hanya kebetulan berlaku.
Bila ditanyakan kepada bekas emak dan ayah mertuaku, mereka hanya mengatakan mereka tidak tahu apa-apa.  Malah mereka turut terkejut dengan berita itu. Sedikitpun Abang Izwan tidak pernah memberitahu mereka tentang perkara itu. Sungguh... sungguh aku tidak mengerti dengan keadaan itu. Sungguh  maruahku terasa dicampakkan jauh ke dasar jurang yang tidak tergapai dek tangan ini. Aku tidak mampu untuk mengutipnya kembali.
Aku terus mendesak dan mendesak Kak Reen untuk memberikan alasan setelah aku dapati Abang Izwan diam membisu. Desakan-desakan yang mungkin menyebabkan dia merasa bosan denganku. Akhirnya sekeping surat aku terima darinya. Surat yang menghancur luluhkan harapanku untuk terus membina bahagia bersama mereka. Surat yang menjelaskan segalanya. Betapa selama ini aku tidak pernah memberikan apa-apa makna dalam hidup Abang Izwan. Betapa selama ini aku hanya diperalatkan mereka untuk mendapatkan Sarah. Betapa aku cuma dijadikan batu sandaran untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mampu untuk dia sempurnakan.
Surat yang tidak lepas dari memohon seribu kemaafan dariku itu menyedarkan hakikat bahawa sebenarnya tiada cinta untuk diri ini dari Abang Izwan. Selama ini semuanya dusta semata-mata. Dusta yang sungguh menyakitkan. Tergamak sungguh mereka memperlakukan aku sebegitu. Setelah selama ini aku korbankan segalanya untuk mereka. Tergamak mereka menghancurkan segalanya.
Selepas dari peristiwa itu, aku tidak lagi mengganggu mereka. Aku bagaikan sudah mati. Aku hanya hidup atas kekuatan yang Allah berikan untuk aku terus bernafas. Hari-hari aku lalui bagaikan dalam keadaan luar sedar. Aku jadi sedar  diri akan siapa diri ini. Aku diperalatkan dengan begini kejam sekali. Sungguh tidak aku menyangka mereka tergamak melakukan sebegitu kepadaku. Sungguh aku tertipu dengan pembohongan yang dilakukan. Sungguh kejam mereka. Sungguh kejam....
 “Bila Unie sampai dari Australia?”
Pertanyaan Mak Ngah mengembalikan aku dari lamunanku. Aku cuba menghadiahkan senyuman kepadanya. Ingin mengembalikan kemesraan yang pernah terjalin satu masa dulu. Perasaan serba-salahnya masih lagi jelas di penglihatanku.
“Dah dua hari Mak Ngah,” jawabku jujur.
“Sekarang ni tinggal kat mana? Kenapa tak balik ke sini?”
Entah mengapa aku bagaikan dapat merasakan ketidakjujurannya dalam mempelawa aku supaya pulang ke rumahnya ini. Aku tidak yakin dengan sikapnya yang seakan-akan pura-pura baik itu.
“Unie tumpang rumah kawan kat Subang Jaya. Insyaallah nanti nak cari rumah sewa yang dekat sikit dengan Serdang. Bila dah mula kerja nanti, taklah jauh sangat nak berulang ke tempat kerja,” jawabku perlahan.
Mak Ngah terdiam lagi. Mungkin menanti apa yang ingin aku persoalkan. Ya, memang sesungguhnya kami tak mungkin akan dapat lari dari hakikat sebenar kehidupan ini. Kalau dulu dia mungkin boleh mengelak dari pertanyaan demi pertanyaan yang aku persoalkan.  Jarak yang memisahkan kami menyebabkan dia mampu untuk terus diam membisu. Namun kini tidak akan aku biarkan lagi persoalan-persoalan itu menghambat diri ini.
Aku inginkan kepastian. Cuma yang pastinya bukan dari dia. Selain dari Abang Izwan, tak akan ada orang lain yang mampu merungkaikan tanda tanya yang bersarang dalam hati ini. Kak Reen juga pastinya tidak akan mampu.
“Kak Reen tinggal kat mana sekarang Mak Ngah?”
Terdiam dia mendengarkan soalan yang keluar dari bibirku. Mungkin dia telah menjangkakan aku akan bertanyakan soalan itu.
“Unie dah banyak kali telefon dia, tapi dia tak jawab. Sejak Unie terima... surat cerai dari Abang Izwan....,” aku bertanya perlahan dengan sebak yang kembali menyelinap masuk ke dalam dada.
Mataku yang mula berkaca aku pejamkan seketika. Aku tidak mahu menangis sekarang.  Sudah terlalu banyak aku menangis sejak dua tahun yang lalu. Jika aku menangis lagi saat ini, aku pasti persoalan yang ingin aku ketahui tidak akan terjawab. Aku telah diceraikan. Hakikat itu sudah lama berlalu. Dan aku juga telah menerima hakikat itu. Setelah kenyataan itu aku baca sendiri dari surat Kak Reen yang menghancur luluhkan segenap jiwa ragaku. Cuma kini yang menjadi persoalannya ialah mengapa. Mengapa aku diperlakukan sebegitu?
Namun saat ini bukan persoalan itu yang ingin aku dengar dari Mak Ngah. Yang ingin aku ketahui ialah di mana Sarah. Kerana saat dan ketika ini aku ingin sekali menemuinya. Sudah terlalu lama aku membiarkan perpisahan ini menjerut perasaanku. Saat  ini ingin sekali aku melepaskan rindu yang sarat bersarang di hati. Ingin sekali aku menyambung kembali tali yang telah putus itu. Diputuskan oleh tangan-tangan manusia yang kejam.
“Unie nak minta alamat dan nombor telefon dia boleh tak? Unie rindu sangat pada Sarah,”
Aku  tidak lagi mampu membendung kesedihan yang aku rasakan. Tumpah airmataku akhirnya di hadapan Mak Ngah. Mak Ngah juga tidak mampu menahan tangisannya. Dia mendekatiku sambil memeluk tubuhku. Untuk pertama kalinya aku meluahkan semua kesedihan yang aku rasakan kepada seseorang selain dari Suzana dan  Zaimah, teman rapatku semasa di Australia.  Tiada seorang pun yang tahu tentang masaalahku dulu kecuali mereka berdua dan juga Puan Anderson, kauselorku semasa di Curtin University yang terletak di kampus Bentley, Perth.
Selama dua tahun menanggung derita di Perth, semua kesedihan ini aku pendam sendirian. Tidak ramai di kalangan teman sekuliahku yang tahu derita di hatiku ini. Mereka mungkin boleh menduga bahawa aku punya masalah besar dalam rumah tangga sehingga aku diceraikan oleh Abang Izwan. Sehinggakan aku terpaksa menangguh pengajianku selama lebih enam bulan setelah aku diceraikan. Di sana masalah itu tidak pernah aku kongsi bersama sesiapa pun kecuali dengan Puan Anderson dan Zaimah. Merekalah yang banyak memberikan dorongan kepadaku untuk menghadapi keadaan itu. Membuatkan aku kembali tabah mengharungi kehidupanku di sana. Tabah untuk menamatkan pengajianku dan seterusnya kembali ke Malaysia untuk menyelesaikan masaalah yang sekian lama tertangguh ini.
“Sejak Izwan ceraikan Unie, dia tukar tempat kerja. Sekarang dia tak kerja kat Bangi lagi. Mereka dah pindah ke Shah Alam, sejak Kak Reen dengan Abang Izwan kau tu pindah kerja kat sana,” jelas Mak Ngah.
Aku mengangguk dalam tangisanku. Ah... sungguh Abang Izwan nekad meninggalkan tempat kerjanya yang sudah sekian lama menjadi tempat dia mencari rezeki. Aku masih ingat lagi satu ketika dulu dia pernah mengatakan bahawa dia akan setia di tempat kerjanya dahulu. Dia senang bekerja di situ. Tiada banyak masalah yang membebankan di situ, katanya dulu. Tapi kini, hanya kerana masalah yang timbul antara kami, dia sanggup meninggalkan tempat kerja lamanya dan bekerja di tempat lain. Begitu nekad dia ingin membuang kenangan aku dalam hidupnya. Tapi mengapa? Mangapa?
Hampir satu jam aku dan Mak Ngah berbual. Panjang ceritanya. Terlalu banyak yang ingin dikongsi bersama. Namun, dia masih terus menghindarkan dirinya dari membicarakan tentang punca perceraianku. Mungkin dia juga tidak tahu punca sebenarnya perpisahan itu. Dan aku juga sepertinya, cuba untuk tidak menyebut tentang kisah duka itu. Bukan dia tempatnya untuk aku mempersoalkan mengapa Abang Izwan menghantarkan surat berisi coretan lafaz talak untukku. Bukan dia yang sepatutnya menjelaskan duduk perkara sebenarnya. Jadi, tidak ingin aku membebankan kepalaku dan juga Mak Ngah mengenai perkara itu. Ada sesuatu yang lebih indah untuk kami bicarakan saat ini.
Ya, Sarah. Segalanya tentang Sarah yang menjadi butir bicara kami. Selepas berlakunya peristiwa hitam itu, hampir saban minggu Kak Reen memasukkan gambarnya bersama Sarah ke facebook. Aku  sendiri tidak mengerti mengapa dia melakukan itu sedangkan tidak sesekalipun dia menjawab teguranku. Mungkin dia hanya mahu aku melihat keadaan Sarah. Tidak lebih dari itu. Malah aku juga keliru mengapa selama ini tidak pernah sedikitpun dia menyentuh tentang Abang Izwan di situ. Mungkin untuk memastikan agar aku tidak akan tahu apa-apa tentang bekas suamiku itu.
Semua gambar-gambar anak gadisku itu dikeluarkan Mak Ngah untuk aku tatapi. Walaupun sebahagian besarnya ada dalam simpananku, aku tetap juga menatap gambar-gambar tersebut. Semua gambar-gambar yang dimasukkan ke dalam facebook oleh Kak Reen telah aku simpan dalam komputer ribaku. Tak kurang banyaknya juga yang aku telah cetak dan simpan di dalam album untuk aku tatapi saat-saat rindu datang melanda. Dan sepanjang waktu itu, pastinya ada airmata yang terus menemaniku, berlinangan jatuh di pipi.
Namun semua ini tidak cukup bagiku. Setakat memandang wajah bundarnya yang saling tak tumpah dengan wajahku masih belum cukup bagiku. Aku ingin memeluk tubuhnya, menghidu bau manisnya tubuh anak gadisku itu, menyentuh kulit lembutnya dan mendengar suara ciliknya. Suara itu pasti lembut dan manja megalunkan pertanyaan demi pertanyaan seperti yang sering dilakukan oleh anak kecil seusia dengannya.  Aku ingin dia mendakap tubuhku, mencium pipiku, bermesra denganku dan akhirnya terlena di ribaanku. Dan pada saat ini terasa sanggup aku lakukan apa sahaja supaya semua itu dapat aku kecapi. Sungguh rinduku padanya tidak mampu untuk aku bendung lagi.
“Mak Ngah, tak boleh ke kalau Unie nak jumpa dia?” akhirnya aku bertanya sekali lagi tentang itu. Menyatakan hasrat hati melalui soalan itu. Mak Ngah menatap wajahku dengan penuh sayu. Mungkin dia mengerti perasaan yang berkocak di jiwaku. Dia juga seorang ibu. Pastinya dia mengerti perasaanku sebagai seorang ibu. Bagaimana rindunya hati seorang ibu terhadap anaknya.  
“Kalau Mak Ngah bagi alamat dan nombor telefon rumahnya, Unie jangan telefon waktu malam ye?” katanya perlahan. Membawa rasa hairan di hatiku.
“Kenapa Mak Ngah?”
“Nanti kalau Izwan tahu dia mesti marah. Dulu... dia selalu pesan supaya jangan beritau Unie kalau Unie telefon. Dia... dia.. tak nak Unie dekat dengan Sarah,”
Berderau darahku mendengarkan kata-kata Mak Ngah itu. Begitu bencinya Abang Izwan terhadapku. Hinggakan dia tidak mahu aku mendekati anak kami. Bukti cinta kami yang  pernah satu ketika dulu begitu bersemarak menghiasai dunia kecil kami. Ketika hanya dia sahaja yang bertakhta di ruang hatiku. Yang memberikan nafas pada cintaku saat aku merasa begitu terasing. Ketika hidupku terasa dipinggirkan kerana menjadi orang ketiga di dalam rumahtangganya. Dan kini dia ingin memisahkan kami. Mengapa? Apa dosaku padanya?
Mengapa sekejam ini tindakannya terhadap diriku? Ketika diceraikan melalui sepucuk surat dua tahun lalu, aku masih lagi boleh menahan sabar walaupun kecewaku saat itu bagaikan separuh mati kurasakan. Tapi kini, mendengar kenyataan Mak Ngah sebentar tadi, nafasku bagaikan tersekat di kerongkong, tubuhku terasa bagaikan dicincang lumat. Bagaikan gelap dunia aku rasakan saat ini.
“Kenapa Mak Ngah...? Apa salah Unie padanya Mak Ngah? Sampai macam tu sekali bencinya dia pada Unie? Apa yang Unie dah buat?” pecah lagi tangisku di hadapan Mak Ngah. Kali ini aku tidak mampu untuk berselindung lagi. Pertanyaaku kini terus menjurus kepada persoalan yang cuba kami hindari tadi.
“Selama kat sana... Unie tak pernah sekalipun sakitkan hatinya. Masa nak pergi dulu pun Unie dah minta izin dari dia. Memang Unie tahu dia tak suka Unie pergi,” kataku dalam tangisku.
Mak Ngah diam tidak bersuara. Dia turut sama mengetap bibirnya. Turut sama menahan tangisnya. Menyebabkan makin hiba lagi perasaanku. Melihatkan dia diam, aku menyambung bicara.
“Unie langsung tak sangka yang dia akan marah Unie sampai macam tu sekali. Masa mula-mula pergi... dia ok... bila Unie telefon dia jawab elok aje. Siap beritahu Unie yang dia rindukan Unie. Tapi... tiba-tiba aje dia diam, tak nak cakap dengan Unie, tak nak jawab panggilan Unie. Tanpa sebab dia ceraikan Unie. Bila tanya Kak Reen, lain pula katanya. dia kata sebenarnya Abang Izwan bukannya suka pada Unie. Mereka cuma nakkan Sarah aje. Sebab tu dia ceraikan Unie,”  aku meratap lagi.
Mak Ngah memelukku erat. Dia turut sama menangis bersamaku.
“Mak Ngah tak tau Unie, dah puas Mak Ngah tanya Kak Reen. Dia cakap dia pun tak tahu  apa-apa....  Yang tahu cuma Izwan. Tak pernah sekalipun dia ceritakan apa yang berlaku masa dia ke sana dulu...,” ucap Mak Ngah. Jejarinya mengusap airmata di pipi ini. Kemudian dia mengusap pula airmata di pipinya yang turun laju bak air sungai yang mengalir deras.
Timbul rasa hairan di hatiku saat mendengarkan kat-kata Mak Ngah. Abang Izwan pernah ke sana? Bila? Mengapa aku tidak tahu tentang itu?
“Apa maksud Mak Ngah? Abang Wan pernah ke sana? Bila? Unie tak tahupun?” ku ulangi pertanyaan yang mula mengasak di mindaku.
“Masa tu, lepas lebih kurang enam bulan Unie pergi, dia ke sana. Dia memang tak bagi kami beritahu Unie. Katanya nak bagi kejutan pada Unie. Sebulan dia ambil cuti untuk bersama Unie. Dia kata masa tu Unie pun cuti semester. Mulanya dia nak bawa Sarah sekali. Tapi kebetulan masa tu Sarah kena demam campak. Jadi dia terpaksa pergi sendiri,” uapnya panjang lebar.
“Unie tak jumpa pun dia Mak Ngah. Bila dia pergi? Kenapa tak jumpa pun dengan Unie?” tanyaku penuh hairan.
“Ha... dia pergi. Tapi, tak sampai seminggu dia balik semula. Sikapnya berubah terus. Dia jadi pendiam. Lama juga dia macam tu. Sarah pun dia tak hiraukan masa tu. Dan... akhirnya dia beritahu kami dia dah ceraikan Unie. Adalah, dekat tiga bulan lepas dia ke sana. Dia siap lafazkan depan Mak Ngah. Siap minta Pak Long kau jadi saksi dia. Kami sendiri pun tak tau apa yang berlaku semasa dia kat sana. Cuma dia asyik ulang..., cakap Unie dah curang padanya...,”
Hampir pengsan aku mendengarkan kata-kata Mak Ngah itu. Terasa  lemah dan longlai tubuhku mendengarkan kata-kata Mak Ngah. Selama  ini aku tidak pernah tahu yang dia pernah ke sana. Langsung tidak pernah diberitahu tentang kehadirannya. Apa yang berlaku sebenarnya sehinggakan dia bertindak begini? Curang? Apa maksudnya aku curang padanya? Tidak pernah sesekalipun dalam hidup ini aku melakukan itu. Malah, kehidupan yang maha mencabar saat jauh darinya membuatkan aku lebih tabah melawan pelbagai godaan yang datang melanda.
Memang aku akui bukan tiada yang cuba menggodaku semasa di sana. Seawal bulan pertama aku di sana, hatiku sudah mula disapa oleh lelaki-lelaki penggoda yang ingin mengambil kesempatan ke atas jarak yang memisahkan kami. Masih aku ingati lagi sikap Rosyam, teman sekuliah yang pernah memujuk rayu supaya kami menjalani hubungan sulit di sana. Pernah dia berkata padaku bahawa aktiviti kami di sana pastinya tidak akan dapat dihidu oleh Abang Izwan dan juga isterinya.

Aku nekad ketika itu menjauhi dirinya. Cukup rimas aku dengan sikap gatal lelaki itu. Lantas aku meminta beberapa orang sahabat supaya menasihatinya. Namun, dia masih meneruskan sikap gatalnya terhadapku.Akhirnya bila aku sudah tidak tahan lagi dengan sikapnya itu, aku  dengan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa kampus. Dia kemudiannya dipanggil untuk diberikan nasihat.

Sehinggalah peristiwa dia memalukan dirinya sendiri, dengan memasukki bilik tidurku di rumah sewaku. Nasib baiklah ketika itu aku tiada di bilik. Perbuatannya itu rupanya ada yang memerhatikan dan menyampaikannya ke padaku. Lantas aku membuat laporan lagi. Akhirnya dia dipanggil dan diberi amaran akan digantung pengajian atas alasan disyakki cuba mengganggu ketenteraman individu. Selepas itu dia tidak lagi mengganggu ku. Aku bagaikan bebas dari gangguannya selepas itu. Mungkin dia tahu, dia telah bertemu buku dengan ruas.
Memang aku akui bukan tiada yang cuba menggodaku semasa di sana. Seawal bulan pertama aku di sana, hatiku sudah mula disapa oleh lelaki-lelaki penggoda yang ingin mengambil kesempatan ke atas jarak yang memisahkan kami. Masih aku ingati lagi sikap Rosyam, teman sekuliah yang pernah memujuk rayu supaya kami menjalani hubungan sulit di sana. Pernah dia berkata padaku bahawa aktiviti kami di sana pastinya tidak akan dapat dihidu oleh Abang Izwan dan juga isterinya.
Aku nekad ketika itu menjauhi dirinya. Cukup rimas aku dengan sikap gatal lelaki itu. Lantas aku meminta beberapa orang sahabat supaya menasihatinya. Namun, dia masih meneruskan sikap gatalnya terhadapku. Sehinggalah peristiwa dia memalukan dirinya sendiri, dengan memasukki bilik tidurku di rumah sewaku. Nasib baiklah ketika itu aku tiada di bilik. Perbuatannya itu rupanya ada yang memerhatikan dan menyampaikannya ke padaku. Dia kemudiannya dipanggil untuk diberikan nasihat. Akhirnya bila aku sudah tidak tahan lagi dengan sikapnya itu, aku  dengan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa kampus. Dia dipanggil dan diberi amaran akan digantung pengajian atas alasan disyakki cuba mengganggu ketenteraman individu. Selepas itu dia tidak lagi mengganggu ku. Aku bagaikan bebas dari gangguannya selepas itu. Mungkin dia tahu, dia telah bertemu buku dengan ruas.    
Peristiwa yang berlaku seawal lima bulan pertama aku di sana, tidak pernah aku ceritakan kepada Abang Izwan. Aku tidak ingin dia risau dengan keadaanku di sana. Dia pasti marah dan cemburu lantas bertindak memaksa supaya aku pulang segera. Pastinya dia akan melakukan sesuatu supaya aku terpaksa pulang dan meneruskan pengajianku di Malaysia. Sedangkan aku tidak mahu itu berlaku. Aku hanya ingin meneruskan dan menamatkan pengajianku dan kembali ke Malaysia secepat mungkin. Sehingga kini aku masih menganggap peristiwa itu cumalah satu rentetan sejarah yang langsung tidak memberi apa-apa makna dalam hidupku.



********
Untuk pembaca sekelian, 
satu lagi bab dalam SYKT yang amat susah untuk Kak Laila buat. Harap dikomen supaya jika ada kesilapan, Kak Laila boleh perbaiki.  Kak Laila perlukan sangat komen dari semua. Thanks kerana membaca

Popular Posts