Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 26
Sarah berlari ke sana dan ke mari di taman permainan itu. Lepas satu, satu permainan yang ada di situ itu dinaikinya. Gelongsor, buaian kecil, kuda mainan dan juga jongkang jungkit, semuanya ingin dicubanya. Gembira sekali dia dalam dunianya. Ketawa sendirian apabila ada yang menggeletek hatinya. Pengasuhnya juga pandai sekali melayan kerenahnya. Sabar sekali dia menuruti tubuh kecil itu berpindah dari satu permainan ke permainan yang lain.
Mataku terus-terusan menetap tubuh kecil itu. Ah ... sungguh aku rindu padanya. Dua minggu aku tidak dapat kemari. Dua minggu lepas aku terpaksa bekerja walaupun di hari minggu  kerana memantau proses peperiksaan bagi pelajar Program Pengajian Jarak Jauh. Minggu berikutnya pula aku ke rumah ibu-bapa Suzana di Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Meriah sekali majlis tersebut. Aku yang berada di sana selama dua hari dikejutkan dengan kehadiran jiranku, Umar Rafiki.
Terasa bagaikan di awang-awangan apabila melihatkan dia melangkah menghampiri aku ketika menyaksikan Suzana dan Haziq yang sedang bersanding di atas pelamin. Entah mengapa, tiba-tiba terlintas di hatiku bahawa satu hari nanti aku juga akan berada di situ. Dan dia akan berada di sampingku. Ah Munirah ... mengapa pula ke situ fikiranmu? Bodohnya kamu memasang angan-angan sebegitu. Tidak... tidak mungkin itu akan jadi kenyataan. Tidak sedarkah engkau akan siapa dirimu. 
Cepet-cepat aku memejamkan mataku, cuba membuang jauh semua angan-angan gila itu. Aku sedikit pun tidak layak untuk mengangan-angankan perkara itu. Aku harus menumpukan kembali perhatianku pada Sarah. Segala-galanya tentang Sarah amat membahagiakan hati ini. Sudah terlalu lama rasanya aku hanya memandang dari jauh tubuh kecil itu. Sudah terlalu lama rasanya aku menanti dengan sabar saat-saat aku berani untuk menghampirinya. Hari ini aku nekad, aku akan mendekatinya. Aku ingin mendengar suaranya. Tempoh tiga bulan hanya memandang dari jauh akan aku akhiri hari ini.
Perlahan-lahan aku menarik nafas dan memulakan langkah menghampirinya.  Aku tahu aku perlu berhati-hati supaya pengasuhnya tidak akan mensyaki apa-apa.  Sarah sedang menunggang sebuah kuda permainan yang dipasang pada  sebuah spring besar. Terbua-buai tubuh kecil itu apabila dia menghayunkan tubuhnya ke hadapan dan ke belakang mengikut hayunan spring tersebut.  Wajahnya yang ceria menggambarkan keseronokkan yang dirasakannya.
Pengasuhnya kini sedang duduk berbual bersama dengan seorang pengunjung yang turut sama membawa anaknya ke sini. Kepenatan agaknya ke sana sini malayan Sarah dari tadi. Sesekali matanya menjeling ke arahku. Dalam asyik berbual dia mengawasi Sarah dengan begitu teliti sekali. Mungkin curiga dengan niatku mendekati tubuh kecil itu. Lega rasanya di hati bila dia hanya memandang dari tempat duduknya kira-kira 20 meter dari tempat aku berdiri.
“Adik...,” tegurku perlahan.
Sarah berpaling kepadaku. Dan, demi  mata itu tertancap ke dalam mataku, sejuta rasa yang sukar aku mengertikan menggetar tubuhku. Terasa sesak nafasku seketika memandang ke dalam mata itu. Air mata bahagia lantas bergenang di tubir mata. Setelah sekian lama, kini aku kembali dapat bertentang mata dengannya. Kalau dulu dia cuma tersenyum bila diagah. Berbicara mesra dengan bahasa bayinya yang sedikitpun tidak aku mengertikan. Dengan wajah mulus seorang bayi kecil yang cukup bersih dan suci dari sebarang dosa dan noda. Dan kini wajah kecil itu masih lagi kelihatan bersih dan suci. Membuatkan aku terpaku, tidak mampu berbuat apa-apa.
Dia tersenyum kepadaku. Perlakuan sepontan yang menyebabkan aku kehilangan kata-kata. Terpaku aku menatap wajahnya. Matanya bersinar lembut bagaikan kolam yang tenang airnya. Bagaikan sempurna hidup ini hanya dengan menatap ke dalam matanya. Damai aku rasakan sebentar tadi berkocak hebat. Tidak aku menyangka begini hebatnya debaran di hati yang aku rasakan saat ini.
Kalau boleh ingin sekali aku memeluknya di situ. Tetapi, aku tidak mahu membuatkan dia terkejut dan menangis. Aku tidak mahu kenaifan di matanya bertukar kepada rasa takut dengan tindakan drastikku. Saat ini, biarlah nikmat ini aku rasakan satu persatu. Aku juga tidak mahu menarik perhatian pengasuhnya. Bimbang jika perlakuanku yang keterlaluan itu akan menyebabkan Sarah tidak lagi dibenarkan ke mari. Mana mungkin aku mampu menahan sedih dan kecewaku jika aku tidak lagi dapat menatap wajahnya. Aku masih belum lagi punya kekuatan untuk berhadapan dengan ayahnya. Aku... tidak mahu berhadapan dengannya. Tidak pada saat ini.
Perlahan aku duduk bertinggung di sebelahnya. Mata kami kini searas. Dia terus menatap ke dalam mataku. Membawa sejuta rasa bahagia di hatiku. Masa bagaikan terhenti seketika. Dan di dalam ruang waktu itu, hanya aku dan dia sahaja yang ada di situ.
“Mama....,” ucapnya lembut.
Terkesima aku dibuatnya. Hampir luluh jantungku mendengarkan ucapan kalimah yang amat berharga itu. Air mata yang bergenang tadi, kini menitis jatuh di pipi. Bagaikan sesak nafasku saat itu. Dan bicaraku juga jadi bungkam. Dia kenal siapa diri ini? Adakah kalimah itu diucapkan secara sedar? Atau hanya meniti di bibirnya tanpa dimengertikan maksudnya?
“Unie...,”
****
Tanganku Kak Reen genggam erat sekali. Segera rasa resahku tadi hilang serta merta. Sesungguhnya dia tidak membenci diri ini. Dan sesunguhnya sedikitpun dia tidak marah kerana aku berada di sini, bersama Sarah. 
“Sejak bila Kak Reen tahu yang Unie selalu datang ke mari?” tanyaku perlahan.
Aku tertangkap kini. Akhirnya apa yang aku ingin hindari diketahui juga oleh Kak Reen. Dan pasti... aku yakin pasti... selepas ini Abang Izwan juga akan tahu tentang perkara ini. Kebimbangan menyelinap masuk memenuhi ruang hati. Mampukah aku menghadapi saat itu nanti? Berhadapan dengannya dalam keadaan marahnya?
“Dah lama...,”
Dia mengeluh perlahan. Aku juga bagaikan tidak mampu untuk meneruskan bicara. Menunggu dia meneruskan kata-katanya.
“Bila Aida cakap ada orang selalu perhatikan Sarah bermain, akak dah syak, mesti orang itu Unie. Sejak mak cakap yang Unie dah balik dan minta alamat dan nombor telefon Kak Reen, akak dah tahu, mesti Unie akan datang jumpa akak. Tak sangka sampai begini lama, Unie masih lagi belum hubungi akak,”
Terperanjat aku mendengarkan kata-katanya itu. ya, sepatutnya aku sedar bahawa Mak Ngah pastinya akan menceritakan hal kepulanganku kepadanya. Dia tentu dapat tahu dari Mak Ngah. Tetapi, adakah Abang Izwan juga tahu? Tidakkah dia marah?
“Unie takut kak... Bimbang nanti akak tak akan benarkan kami berjumpa. Takut nanti .... Abang Izwan buat sesuatu, supaya Unie tak dapat tengok Sarah lagi. Masa jumpa Mak Ngah dulu, dia kata Abang Izwan betul-betul marah pada Unie,” kataku dengan teragak-agak. Untuk menyebut nama lelaki itupun terasa amat benci sekali.
Kak Reen terdiam. Dia memandang tepat ke dalam mataku. Mengeluh perlahan sambil mengangguk. Satu perlakuan yang  mengesahkan apa yang dikatakan oleh Mak Ngah.
“Memang dia marah sangat pada Unie. Inipun dia tak tahu yang Unie datang intai Sarah. Kalau dia tahu, mesti dia tak benarkan Aida bawa Sarah ke sini,”
“Akak... tak marah... Unie jumpa Sarah?”
“Untuk apa akak marah Unie? Akak tak boleh pisahkan antara seorang anak dengan ibunya kan? Walau apa pun yang terjadi, dia tetap anak Unie kan?” ucapnya dengan deraian airmata yang laju mengalir di pipi.  
Aku turut sama menangis. Terkejut sungguh bila mendengarkan kata-kata itu. Sesungguhnya aku selama ini telah salah sangka padanya. Selama ini aku benar-benar menyangka yang dia yang menyebabkan aku dan Abang Izwan terpisah. Tapi, kata-katanya itu menyedarkan aku pada satu hakikat. Kak Reen pastinya tidak salah dalam hal ini. Bukan dia yang memisahkan kami. Bukan dia yang mempengaruhi Abang Izwan seperti yang dikatakan oleh Suzana apabila surat cerai itu aku terima lama dulu. Tidak mungkin dia puncanya jika setulus ini kata-katanya.
“Selama ni Kak Reen rasa bersalah sangat bila biarkan Abang Izwan ceraikan Unie dulu.  Langsung tak sangka dia akan buat macam tu. Bila ingatkan Unie yang duk kat sana seorang-seorang, Kak Reen rasa berdosa sebab tak nasihatkan dia. Tentu Unie sedih sangat masa tu kan?”
“Separuh mati kak...,” jawabku perlahan. Airmataku seka lagi. “Sampai hari ni... sakitnya masih ada kat sini,” kataku sambil meletakkan tapak tanganku di dada.
“Unie betul-betul cintakan dia?” dia bertanya perlahan, meminta kepastian.
“Siapa yang tak cintakan suaminya kak..., walau sebusuk manapun dia, sejahat mana pun dia, seorang isteri wajib mencintai suaminya kan? Macam akak, walau macam mana derita pun akak bila dia kahwin dengan Unie, akak tetap cintakan dia kan?”
“Unie masih cintakan dia sekarang?”
Aku diam, tidak mampu berkata-kata. Cintakah aku padanya? Masih adakah perasaan itu pada lelaki ini yang satu hari dulu amat aku sanjungi sebagai seorang suami? Yang  sesungguhnya telah merobek segenap kepercayaanku terhadap insan bernama lelaki. Yang membuatkan aku tidak lagi berani untuk meneruskan masa depanku dengan kaum sepertinya. Saat itu wajah Umar Rafiki melintas di depan mata. Lalu aku menggelengkan kepalaku perlahan.
“Cinta Unie dah mati kak. Kepercayaan Unie dah hilang untuk lelaki. Unie tak akan percaya lagi pada lelaki,”
Kak Reen terdiam.
“Cuma sekarang ni, Unie nak tahu kenapa kak? Kenapa dia tiba-tiba ceraikan Unie?Apa salah Unie sampai tiba-tiba aje dia buat keputusan macam tu?”
“Akak tak tahu Unie. Akak dah tanya dia, tapi... dia tak beritahu sebabnya. Akak rasa puncanya berlaku masa dia ke sana. Dia rahsiakan apa yang berlaku masa dia kat sana. Mulanya dia kata, dia nak habiskan masa sebulan dengan Unie. Cadangnya nak bawa Sarah sekali, tapi kebetulan masa tu Sarah kena demam campak. Jadi dia pergi sendiri. Tapi tak sampai seminggu dia dah balik semula. Dia murung sangat. Bila Kak Reen tanya kenapa, dia diam. Apa sebenarnya yang berlaku masa tu Unie?”
Aku diam seketika. Kata-katanya itu mengiakan apa yang diberitahu oleh Mak Ngah kepadaku dulu.
“Unie tak tau kak... Unie tak jumpa pun dengan dia. Sebenarnya...bila dia pergi? Kenapa dia tak beritahu Unie dia nak ke sana?”
“Masa tu Unie tengah cuti semester. Akak ingat lagi... dia minta akak tanya bila Unie cuti. Lepas tu dia book tiket ke sana. Katanya nak buat surprise untuk Unie,”
“Kalau masa cuti semester kali pertama kat sana dulu, Unie ikut penasihat Unie pergi cari maklumat untuk kajian Unie. Masa tu kami pergi ke kilang-kilang dan industri-industri untuk edarkan soal selidik dan dapatkan data untuk kajian tu. Kami pergi dengan kawan-kawan, enam orang semuanya. Lebih kurang dua minggu kami ke sana. Sambil tu kami jalan-jalan, melawat sekitar kawasan menarik kat Australia tu. Unie tak tahu pun dia nak pergi. Dan, masa tu Unie rasa macam dah beritahu Kak Reen dalam facebook yang Unie nak pergi kan? Dia tak tau tahu ye?”
Air mata yang mengalir sudah reda semula. Mataku terus memandang pada Sarah  yang masih asyik bermain gelongsor. Persoalan dalam hati cuba aku cari jawapannya. Namun aku buntu lagi. Apa yang berlaku sebenarnya di sana?
“Entahlah Unie, akak pun lupa pasal perkara tu. Mungkin masa tu akak lupa nak beritahu dia. Sebab tu akak rasa bersalah sangat sekarang ni,”
“Pelik ye... Apa yang berlaku sebenarnya masa tu? Kebetulan masa tu cuti, jadi ramai yang tak ada kat kampus. Ada yang balik ke Malaysia, ada yang pergi jalan-jalan. Jadi tak ada sesiapapun yang beritahu Unie yang dia datang masa tu. Sampailah masa Unie pergi jumpa Mak Ngah hari tu. barulah Unie tahu yang dia pernah ke sana,” 
“Mesti ada sesuatu yang berlaku masa tu kan?” kata Kak Reen penuh tanda tanya. Kelihatannya seperti dia serba salah.
Ya, timbul tanda tanya di hatiku. Tanda tanya yang hanya boleh dirungkai oleh Abang Izwan. Tiada siapapun yang tahu apa yang berlaku ketika itu. Kalaupun ada yang tahu, pastinya orang itu mendiamkan dirinya atas sesuatu sebab. Ah... buntu aku untuk memikirkannya.
“Kak, satu lagi yang Unie nak tahu,” tanyaku dalam rasa serba salah. Namun aku perlu tahu tentang ini. Aku tidak mahu berteka-teki tentang perkara ini.
“Apa dik…?” Tanya Kak Reen kepadaku semula.
“Emmm…  betul ke macam yang akak cakap dalam surat akak pada Unie dulu? Betul ke… selama ni dia tipu Unie, cakap yang dia cintakan Unie semata-mata nak perangkap Unie supaya kahwin dengan dia? Sedangkan … dia sebenarnya nakkan anak aje? Bila dah dapat Sarah, dia tak perlukan Unie lagi? Macam yang akak cakap dalam surat tu? ” kataku menuntut penjelasan.
Kelihatan Kak Reen resah. Dia bagaikan serba salah, tidak mampu untuk berkata-kata seketika. Tiba-tiba dia memelukku. Pecah tangisannya saat itu. Membawa rasa hairan dan terkejut yang amat sangat di hatiku melihatkan perlakuannya itu.
“Maafkan Kak Reen Unie, masa tu akak tak tahu apa nak cakap. Unie desak akak nak tau punca dia ceraikan Unie. Abang Wan pulak marahkan akak bila dia tahu Unie berhubung dengan akak. Dia suruh akak cakap apa aje supaya Unie berhenti ganggu kami. Dan... masa tu, akak tak tahu nak cakap apa. Jadi.... akak tulislah apa yang terlintas di hati akak masa tu..., maafkan akak Unie....,” katanya dalam tangis yang kian menjadi-jadi.
Sekali lagi aku terkejut mendengarkan kata-katanya itu. Benarkah begitu? Benarkah Kak Reen berdusta tentang perkara itu? Cukup tidak aku percaya dengan kata-katanya itu. Ah ...  aku sendiri sudah tidak tahu apa yang patut aku percayakan lagi.... Semuanya buntu saat ini.
Kehadiran Sarah yang tiba-tiba naik ke ribaanku mengejutkan kami. Di tangannya tergenggam sebatang aiskrim. Dia menyuakan kepadaku, meminta aku membuka plastik aiskrim tersebut. Terkejut dengan perlakuan sepontan itu, menyababkan aku berpaling kepada Kak Reen.
“Mama buka...,” ucapnya manja. Sambil matanya merenungku penuh mengharap.
Aku lantas memeluk tubuh kecil itu sambil turut sama menangis. Terharu kerana Kak Reen membenarkan anak ini mengenaliku sebagai mamanya. Kak Reen tersenyum pahit sambil menyeka airmatanya.
“Sebab rasa bersalah biarkan Abang Izwan ceraikan Unie, akak buat keputusan supaya Sarah kenal Unie. Akak harap sekurang-kurangnya Unie tak terus marahkan akak,”
Dan aku menangis lagi. Terharu mendengarkan kata-katanya itu Terharu dengan pengorbanannya itu. Dia sebenarnya boleh menyembunyikan hakikat ini dari Sarah.  Dia sebenarnya mampu untuk membiarkan Sarah terus menyangkakan bahawa dialah ibunya, sekurang-kurangnya hingga Sarah sudah cukup besar untuk memahami keadaan ini. Namun dia tidak melakukan itu. Ah... aku silap lagi bila aku mencurigai Kak Reen. Silap lagi....

Perlahan Umar Rafiki  menolak troli menaiki lif yang sedarhana besar itu. Troli yang sarat dengan kotak-kotak barang-baranganku itu memenuhi hampir keseluruhan ruang di dalam lif. Dia masuk dan berdiri betul-betul di hadapan pintu lif. Aku yang mendahuluinya sebentar tadi berada di bahagian dalam lif tersebut, memandang ke wajah Suzana dengan pandangan merayu. Janganlah Suzana biarkan aku sendirian dengannya di dalam lif ini. 
Aku tidak sanggup bersendirian dengan lelaki ini walaupun hanya dalam jangkamasa yang singkat. Apa yang perlu aku katakan padanya nanti? Suzana tersenyum sekilas sambil matanya melatari wajahku. Bagaikan ada riak nakal  yang dapat aku kesan di wajahnya saat itu.
“Naik dululah, dah tak muat ni,” kata Suzana dengan senyuman yang meleret.
“Ok...,” ucap Umar Rafiki dengan nada girang.
Pantas sekali dia menekan butang menutup pintu lif. Mungkinkah dia sedar dengan riak di wajah Suzana? Ah, malunya. Kalaulah dia sedar, tentu dia akan menyangkakan bahawa kami ini perasan. Pasti dia akan mengatakan aku ini bagaikan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Ah, malu... sungguh malu aku rasakan saat itu.
Dalam diam aku dapat merasakan matanya merenung tepat ke wajahku. Aku memberanikan diri untuk membalas pandangannya. Menarik nafas perlahan. Aku mengukir sekilas senyum kepadanya. Cuba buat selamba dengan perhatian yang diberikan kepadaku itu. Ah... Munirah, janganlah terlalu telus hinggakan dia dapat mengesan debar di hatimu. Beranikan diri, untuk menghadapinya. Jangan bodohkan dirimu.
“Sebenarnya kita... belum berkenalan dengan erti kata sebenarnya kan?” dia membuka kata.
“Emm... ya...,” jawabku ringkas
“Saya, Umar Rafiki bin Haji Safuan... dan awak... Munirahkan?”
Aku mengangguk perlahan. Rasa hairan hinggap di hati. Bagaimana dia tahu namaku? Ah... mungkin tadi, ketika bersama dengan Suzana.
“Emmm... saya menyusahkan encik aje,” ucapku perlahan.
“Menyusahkan apa pulak?”
“Encik ada hal kan tadi? Sekarang ni... susah-susah pulak tolong saya angkat barang,”
It is Umar Rafiki ok. Jangan berencik dengan saya. Selalunya kawan-kawan panggil Umar. tapi...saya lebih suka kalau awak panggil saya... Rafiki,” ucapnya lembut.
Dia senyum lagi. Ah... tampan sekali wajah lelaki ini. Aku menelan air liur, terkedu seketika memandang senyumannya yang cukup menawan itu. Degup jantungku bagaikan rebana sedang di palu. Berdengung bunyinya, menggetarkan sukma. Ah….  
“Dan... boleh saya panggil awak Unie?” pintanya perlahan.
Segan rasanya di hati bila ada yang memanggil aku dengan panggilan itu. Selalunya aku hanya bahasakan diriku dengan nama penuh dikalangan mereka yang baru aku kenali. Panggilan Unie hanyalah digunakan oleh keluarga dan rakan terdekat sahaja. Namun akhirnya aku menganggukkan kepalaku. Dia senyum lagi. Kelihatan begitu berpuashati.
 “Tak ada yang susahnya. Saya sebenarnya nak ke gym tadi. Bila nampak awak dengan kawan-kawan awak tu tengah angkat barang, terfikir pulak nak bantu. Sama macam buat workout kat  gym jugakkan? Sekurang-kurangnya berhasil jugak bila membantu macam ni kan?”
Katanya dengan senyuman yang terus meniti di bibir.  Ah... tidakkah dia tahu bahawa senyumannya itu cukup-cukup menggoda hati wanitaku ini. Dan, aku bagaikan terpaku dengan ketampanannya terus memandang ke wajahnya. Rupa-rupa dari aktiviti sebegitulah dia mendapat susuk tubuh yang begitu sasa. Bersenam bila ada kelapangan waktu. Tanpa sedar pandangan mataku jatuh pula ke tubuh sasanya denga rasa kagum.
Tiba-tiba dia berdehem sambil terus senyum. Ah, dia perasan rupa-rupanya dengan perlakuan luar sedarku itu. Lantas ku rasakan semua darah menyerbu ke mukaku. Malunya... tertangkap sedang memerhatikannya begitu. Aku mengalihkan pandanganku ke arah lain.
Ruang yang terhad dalam lif itu membuatkan lebih sukar untuk aku melarikan pandanganku dari tubuhnya yang berada betul-betul di hadapanku. Hanya kotak-kotak di atas troli sahaja yang boleh aku pandang. Cuma Allah sahaja yang tahu betapa malunya aku saat itu.
Perjalanan lif ke tingkat sebelas bagaikan berjam-jam lamanya aku rasakan. Aku cuma mampu mendiamkan diri saat itu. Sudahlah aku tertangkap merenung tubuh sasanya sebentar tadi. Dan kini lidahku pula kelu untuk berkata-kata. Sememangnya aku bukan seorang yang ramah berbicara. Terutamanya dengan lelaki ini. Yang sering membuatkan aku jadi serba-salah dalam setiap pertemuan.
Pintu lif terbuka seketika kemudian melegakan perasaanku. Perlahan-lahan dia menarik keluar troli yang sarat dengan kotak itu. Aku pula membantu dengan menolak  troli tersebut. Kami beriringan ke pintu utama unit apartmenku yang jaraknya kira-kira 300 meter dari lif.
Pergerakan kami agak perlahan kerana troli yang agak berat itu sukar untuk dikawal. Keadaan  tayar troli yang sudah agak usang itu membuatkan ia sukar untuk bergerak lancar. Aku membantu dia menolak. Ah, sabar sekali dia melakukan kerja yang sepatutnya tidak dilakukannya itu.
“Boleh saya tanya sesuatu pada Unie?” dia bertanya. Kelihatannya seperti ada sesuatu yang bermain dimindanya.
“Tanya apa..., tanyalah...kalau saya boleh jawab, saya akan jawab,” kataku perlahan. Ya, lelaki sebaik ini tidak mungkin akan bertanyakan soalan-soalan yang tidak elok. Mungkin ada sesuatu kemusykilan tentang diri ini yang bertapak di hatinya.
“Kak Pah beritahu saya... Unie dah kahwin dan ada anak, tapi... mana mereka?” tiba-tiba dia bertanya. Soalan yang sungguh tidak aku jangkakan keluar dari bibirnya.
Aku jadi terkedu dengan soalannya itu. Dia kenal Kak Pah? Aku terhenti di tempat aku berdiri dan hanya mampu memandang ke wajahnya. Cukup terperanjat dengan luahan kata-kata yang sungguh tidak aku sangka akan keluar dari bibirnya. Dia juga terhenti bila melihatkan aku berhenti dari meneruskan langkah. Dia berpaling memandang ke wajahku dengan riak hairan di matanya.
“Kenapa?” riak hairan sebentar tadi bertukar menjadi bimbang.
“Encik Umar kenal Kak Pah?”
Dia lantas senyum bila mendengarkan pertanyaanku itu. Kini riak lega pula terbayang di matanya.
“Huh... ingatkan kenapa Unie berhenti. Ingatkan sakit ..., tiba-tiba aje pucat muka awak tu,”
“Encik Umar kenal Kak Pah?” ulangku lagi. Bergetar suaraku kali ini. Menzahirkan perasaan resah yang tersimpan di hatiku.
Dia menganggukkan kepalanya perlahan.
Please... call me Rafiki, dan... ye saya kenal Kak Pah. Dia tu pembantu rumah saya. Jom..., ”
Aku mengangguk perlahan mendengarkan kata-kata itu.Dia bergerak semula. Mahu tak mahu aku terpaksa mengikut langkahnya. Tiba di hadapan unit apartmenku, aku jadi serba-salah. Kalau aku bukan kunci pintu itu, pastinya dia akan turut masuk ke dalam apartmenku. Aku tidak sepatutnya bersendirian dengan dia di dalam rumahku. Aku perlu menunggu Suzana, Haziq dan Hariz tiba dahulu. Barulah aku boleh membuka pintu itu.
Lambat-lambat aku menyelongkar kunci pintu dari dalam beg sandangku. Sengaja mengambil masa untuk mencari kunci itu. Hai ... mana Suzana dan Haziq ni. Aku resah, jika boleh aku tidak ingin untuk membicarakan tentang kisah silamku. Terutamanya dengan dia... yang baru aku kenali dengan erti kata yang sebenarnya ini.
“Unie  belum jawab lagi soalan saya,”
Aku menarik nafasku perlahan. Cuba untuk mengumpulkan kata-kata yang sepatutnya aku bicarakan. Patutkah aku mengherdiknya, memarahinya dan meminta supaya dia jangan menjaga tepi kainku? Patutkah aku katakan begitu setelah dia bersusah-payah membantuku saat aku dalam kesukaran begini?
“Saya ingatkan tadi, Haziq tu suami Unie. Tapi bila dengar yang dia akan kahwin dengan kawan awak tu, saya jangka dia bukan orangnya kan?”
Entah mengapa aku rasakan dia begitu ingin tahu tentang siapa suamiku. Maksudku... bekas suamiku. Munkinkah itu yang menyebabkan dia mendekati kami sebentar tadi. Untuk mengetahui kisah silamku. Ah.... perlukah aku ceritakan kepadanya? Agar tidak lagi timbul tanda tanya di hatinya?  Aku menelan air liurku perlahan. Masih menatap ke dalam matanya.  Rasa sayu mengenangkan Sarah mula kembali menjeruk hati ini.
“Kenapa Unie?”
“Kami... dah berpisah,” jawabku dengan perasaan yang cukup sayu.
Bukan sayu mengenangkan hubungan yang tidak berkekalan kini. Tetapi, sayu kerana mengenangkan ada jiwa kecil yang menjadi mangsa akibat dari perpisahan yang tidak ku pinta ini.
Suasana sepi seketika. Dia memandangku dengan pandangan yang terkejut. Mungkin baru menyedari bahawa pertanyaannya sebentar tadi menyebabkan parut lukaku berdarah kembali. Aku dapat rasakan airmataku bergenang di tubir mata. Kesedihan kembali merenggut hati ini setiap kali kata-kata itu perlu aku ucapkan. Setiap kali aku mengenangkan Sarah yang menjadi mangsa. Atau.. apakah aku yang menjadi mangsa sebenarnya?
“Maaf... saya... tak bermaksud nak buat Unie sedih... ,” ucapnya perlahan bila melihatkan aku menyeka airmata yang mula mahu menerjah turun di pipiku. Aku menarik nafasku perlahan.
It’s ok...,” kataku sambil berpaling ke arah  pintu apartmentku.
Tiba-tiba sahaja kunci rumah yang aku cari sebentar tadi sudah berada dalam tanganku. Menggeletar tanganku untuk membuka pintu itu. Dalam gementar begitu, terjatuh kunci yang aku pegang. Dan bagaikan orang dungu, aku tergamam seketika. Merenung sahaja kunci yang sudah berada hampir dengan kakiku.  
Perlahan dia mendekati aku yang sedang gamam. Kami sama-sama duduk bertinggung untuk mengambil kunci itu. Saat itu tanpa sedar jemarinya menyentuh jari-jariku. Bagaikan terkena kejutan elektrik, aku terpaku di situ. Seketika... untuk seketika waktu dia mengenggam erat tanganku. Bagaikan ingin menyuntik sedikit kekuatan di hati ini.
“Maaf... biar saya bukakan pintu tu,” ucapnya perlahan.
Kedudukan kami terlalu rapat saat itu. Sehinggakan aku dapat rasakan desiran nafasnya menampar ke pipku. Dapat menghidu bau wangian yang digunakannya. Dan dapat merasakan panahan matanya di jantungku. Suatu keadaan yang cukup tidak selesa buat diriku.
Lantas aku bangun dengan pantas. Menarik tanganku yang erat dalam gengamannya. Dengan mudah dia melepaskannya. Mungkin baru sedar dengan perlakuannya itu. Aku menghela nafasku dan berdehem beberapa kali. Ah... aku perlu tabah, kerana setiap kali aku bertemu dengan seseorang yang aku kenali, pastinya persoalan itu yang akan ditanya. Jika beginilah reaksiku, aku hanya akan memalukan diriku sahaja.
Dia turut bangun dengan kunci yang jatuh tadi sudah berada di tangannya. Aku cuba untuk menjarakkan kedudukan kami tetapi troli yang betul-betul berada di belakangku menghalang aku dari berbuat begitu. Terdongak aku merenung ke dalam matanya. Bagaikan terkunci pandangan mata kami membuatkan aku tidak mampu untuk berpaling ke arah lain. Satu rasa yang begitu asing mengocak tangkai hati ini. Rasa ingin disayangi... ingin dikasihi dan... ingin dicintai...
“Ya Allah... dari tadi belum buka pintu tu lagi?” sergahan Suzana mengejutkan aku yang hanyut sebentar tadi. Hanyut dalam resahku, dalam gundahku dan dalam anganku.
****
“Kak Unie, ini kena mesti pekena pizza lepas ni tau. Kena makan keju banyak-banyak... nak kembalikan tenaga yang hilang ni...,”
Kami ketawa mendengarkan kata-kata Hariz yang bergema dalam unit apartmen  sewaanku itu. Unit yang sederhana kelengkapannya berbanding dengan kelengkapan di rumah Umar Rafiki yang kulihat dulu lalu pastinya akan berubah penampilannya jika aku berjaya untuk membelinya nanti.
“Alah kau ni Hariz ... pantang disuruh buat kerja sikit,  ada je upah yang diminta... Bukannya banyak sangat pun barang yang diangkat.” rungut Haziq.
“Mestilah bang... Riz kan kurus, kenalah tukar balik lemak-lemak yang dah tukar jadi tenaga ni. Kenalah build up muscle ni semula...,”
“Hei brother... orang nak build up muscle, kenalah buat kerja banyak-banyak... Bukannya makan banyak-banyak,” ucap Suzana.
“Haah ye... lupa... Nak kena tanya abang Umar, macamana dia dapat muscle macam tu,” kata Hariz sambil memuncungkan bibirnya ke tubuh Umar Rafiki.
Lelaki itu yang sedang mengangkat kotak dari troli untuk diletakkan ke lantai senyum kembali kepada remaja berusia enambelas tahun itu.
“Boleh Riz... jom... join abang jogging  dan work out very weekend,”
“Boleh... boleh...you name the place and I will be there,” kata Hariz penuh yakin.
“OK, pagi-pagi Ahad,  kita solat Subuh dekat Masjid UPM, lepas tu kita jogging kat kawasan tu. Nak?”
Haziq ketawa besar mendengarkan kata-kata Umar Rafiki.
“Hariz...? Nak  pergi workout every weekend...? Early in the morning pulak tu..? impossible... imposibble...,”
“Kenapa pulak Ziq?” tanya Umar Rafiki.
“Kalau weekend, tak pukul 12 tak bangunnya Umar. Itupun sebab lapar. Bangun, tak sempat mandi dah meluru ke dapur, cari makanan. Macam mana nak jogging? Jogging atas katil boleh la,” kata-kata Haziq itu disambut oleh ketawa oleh semua. 
Aku cuma senyum, cuba untuk memaniskan muka. Debar dengan insiden di muka pintu sebentar tadi masih terkesan di hatiku. Sesekali pandangan Umar Rafiki yang turut sama ketawa jatuh ke wajahku. Bila dia tersenyum kepadaku, aku senyum kembali. Cuba untuk menutup perasaan yang ku rasakan tadi. Perasaan yang amat asing yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Yang langsung tidak pernah aku rasakan sepanjang tempoh perkahwinanku yang singkat dengan Abang Izwan dulu.
“Kat mana nak letak kotak-kotak ni?” tanya Umar Rafiki sambil matanya mengelus lembut ke wajahku.
Entah mengapa, setiap kali berbicara denganku, aku dapat rasakan seperti pandangan matanya begitu syahdu sekali. Bagaikan setiap pandangannya itu tersirat seribu makna. Dia bagaikan ingin menyatakan sesuatu kepadaku. Menyampaikan satu hasrat yang sungguh tidak berani untuk aku impikan. Membuatkan aku malu sendiri. Membuatkan aku berangan-angan sendiri. Ah... lelaki ini. Mengapa hadirnya cukup membawa resah di hati ini?
“Letakkan aje kat dalam bilik tu,” jawabku sambil melarikan pandanganku ke arah Suzana yang sedang memandang padaku.
Aku dapat rasakan Suzana seperti dapat mengesan rasa tidak selesaku berada berhampiran lelaki ini. Pasti dapat merasakan bagaimana resahku apabila di perhatikan dan direnung selembut itu. Setiap apa yang ingin aku lakukan pasti akan dibantunya. Bila sahaja aku cuba untuk mengangkat sesuatu, pastinya dia akan berada di sisiku untuk mengambil alih apa yang aku lakukan. Membuatkan aku merasa serba-salah dengan perhatian yang diberikan.
“Kak Unie, orderlah pizza... please....,” rayuan Hariz membuatkan aku mengalihkan perhatianku kepadanya.
Aku senyum padanya. Cuba mengalih pandangan semua dari hakikat bahawa adanya hubungan perasaan antara aku dan Umar Rafiki.
“Sekejap ye Riz... siap angkat semuanya, kita pergi makan kat sana ye? Lagi seronok rasanya kan?”
Wow.... best,” kata Hariz sambil mengangkat ibujarinya. “Abang Umar ikut ye...,”
“Hei... mestilah.. bila lagi nak rasa Kak Unie belanja kan?” ujarnya sambil sekali lagi matanya mengelus ke wajahku.
Aku menarik nafas panjang. Baru sahaja sebentar tadi aku berdoa dalam hati supaya dia tidak akan ikut sama. Berharap sangat agar dia ada hal lain untuk diselesaikan. Namun, kata-katanya sebentar tadi kelihatan begitu yakin sekali bahawa aku pasti tidak akan terlepas dari ekorannya. Tapi, dengan rasa bersalah aku mengakui, ada damai di hati ini bila aku mendengarkan kata-katanya itu. Ah ... lelaki ini, sungguh dia mampu membawa seribu rasa di hati ini. Resah, damai, gundah, bahagia, benci..., rindu.... Ah... Munirahhhh?
Selesai semua kerja memunggah barang-barangku, kami ke restoran Pizza Hut di Taman Equine untuk menjamu selera di situ. Aku bersama Suzana menaiki kereta Haziq manakala Umar Rafiki mengundang Hariz untuk menunggang motosikal berkuasa tingginya ke sana.
Entah mengapa sejak aku pulang dari Australia, aku tidak nafikan inilah saat paling bahagia yang aku rasakan. Dan aku sedar, apa sebenarnya yang menyebabkan aku merasa cukup bahagia. Perasaan yang cukup salah itu cuba aku buang dari terus-terusan membelai hati ini. Aku tidak mungkin akan biarkan ia terus membelai jiwaku begini. Semua ini salah. Salah sama sekali.
Aku tidak layak untuknya, kalaulah itu yang diinginkannya. Aku... janda anak satu... pastinya tidak layak untuknya. Namun saat ini, biarlah  aku hanyut seketika dalam anganku itu. Biarlah aku membelai jiwaku dengan perasaan ini. Bila tiba masanya nanti, aku pasti akan membuang jauh anganku ini. Biarlah untuk seketika ia terus menjadi mimpi bahagia yang sesekali hadir dalam hidupku yang sering derita ini.
Bab 24
Dan hari ini, bermulanya sebuah mimpi indah.... mungkinkah bahagia kini akan ku miliki......
Aku  mengangkat kotak-kotak yang berisi barang-barang peribadiku satu persatu dari bonet kereta. Ah berat sungguh. Semasa mengangkat masuk ke kereta di rumah Suzana tadi, tidaklah terasa seberat ini.
“Eiii apa lah yang kau letak dalam kotak ni Unie? Besi waja ke? Beratnya bukan main...,” rungut Suzana yang turut sama mengangkat kotak-kotak itu.
Aku hanya ketawa perlahan mendengarkan kata-kata Suzana. Apa tak beratnya, semua kotak-kotak itu mengandungi koleksi buku-buku yang aku simpan sejak kecil lagi. Setiap kali aku berpindah, koleksi buku itu akan aku bawa bersama. Dari buku ilmiah, buku-buku keagamaan, buku-buku motivasi, hinggalah novel-novel dari karya penulis kegemaranku.
Semuanya masih elok keadaannya walaupun telah ada dalam simpananku sejak dari usia sepuluh tahun lagi. Semasa di Australia, separuh dari buku-buku itu aku tumpangkan di rumah Suzana dan manakala selebihnya aku tumpangkan di rumah Mak Ngah. Kini, bila aku berpindah ke rumah sewaku, buku-buku itu aku angkut kesemuanya. Beberapa buah kotak lagi telah dibawa oleh Haziq ke lif. Dia bersama adiknya Hariz turut sama membantu aku berpindah hari ini.
Aku tidak lagi mahu ia mengambil ruang di rumah sahabat karibku yang akan melangsungkan pernikahannya dua minggu dari sekarang. Suzana pada mulanya meminta aku terus tinggal di rumahnya. Namun mana mungkin aku melakukan itu.
Aku ingin dia mengecap kebahagiaan yang sepenuhnya, tanpa gangguan dari sesiapa, terutamanya diriku ini. Sudah banyak aku menyusahkan dia dalam usia persahabatan kami yang menjangkau ke tahun yang ke sepuluh ini.
“Aku pelik betullah kau ni, kotak-kotak buku bukan main banyak lagi. Kalau pakaian... Cuma dua beg kecil aje. Terbalik dengan aku. Baju aku bukan main banyak mengalahkan model, buku... hehehe... boleh kira dengan jari,”
Aku senyum lagi mendengarkan komennya itu. Memang Suzana seorang yang begitu menjaga penampilannya. Asalkan ada sahaja fesyen dan trend terkini pasti dia akan membelinya. Lain daripada aku yang lebih gemar menghabiskan duitku untuk bahan-bahan bacaan yang mampu menyuntik ilmu ke dalam mindaku. Ada ketikanya aku sendiri tidak faham bagaimana kami boleh jadi begini rapat sedangkan kami mempunyai keperibadian dan kegemaran yang berlainan.
Namun keakraban itu terpaksa aku renggangkan sedkit kini. Di hatinya sudah ada satu ruang istimewa untuk orang lain. Aku akur dengan keadaan itu. Lantas segera ingatanku melayang kepada peristiwa dua minggu lalu. Peristiwa yang kini sering mengganggu tidur dan jagaku. Yang sering bila hadirnya, mampu membuatkan aku tersenyum seketika.
Dua minggu yang lalu setelah meninggalkan unit apartmen yang menjadi rebutan antara aku dengan lelaki misteri yang kutemui minggu lepas, aku telah bertanyakan kepada pengawal keselamatan apartmen ini tentang kemungkinan ada unit lain yang ingin disewakan. Lantas dia memberikan aku kad nama agen yang menguruskan urusan penyewaan unit-unit pangsapuri itu.
Akhirnya selepas membuat temujanji dengan gadis yang cukup sofistikated itu, aku menemui sebuah unit yang tidak kurang sesuainya untukku. Cuma unit ini terletak di tingkat sebelas. Lebih tinggi dari unit yang aku kunjungi dulu di tingkat empat. Kelengkapan dalam unit ini juga tidak selengkap kelengkapan dalam unit yang menjadi rebutan antara aku dengan lelaki itu dulu.
Itu tidak menjadi masalah bagiku. Asalkan kelengkapan asasnya cukup, itu sudah memadai bagiku. Aku terus bersetuju untuk menyewa unit ini kerana kedudukannya yang dekat dengan tempat kerjaku di UPM. Menurut agen itu, tuan punya unit ini berhajat untuk menjual unit itu. Hatiku terasa teruja untuk membelinya.
Lantas aku berkira-kira untuk berurusan dengan pihak bank untuk tujuan pembelian itu. Aku juga telah bertanyakan kerani di pejabat untuk urusan jual beli melalui pinjaman pembelian perrumahan bagi kakitangan kerajaan. Suasana persekitaran unit apartmen ini sungguh sesuai bagiku. Kedudukannya yang berhampiran dengan tempat kerjaku juga menarik minat untuk aku membeli unit pangsapuri ini. Suzana juga bersetuju dengan hasratku itu.
“Assalamualaikum...,”
Sapaan sesorang membuatkan aku dan Suzana mendongak ke arahnya. Terpana aku seketika. Berdiri tinggi di hadapanku kini ialah lelaki misteri itu. Yang sejak akhir-akhir ini sering menghantui tidur dan jagaku. Sejak kami bertemu di dalam komuter tak berapa lama dulu. Sejak pertemuan yang cukup memalukanku di unit apartmen  sewaannya dua minggu lalu. Sejak tanpa segan silu, dia bagaikan menjadi tetamu kehormat di dalam mindaku. Dan sejak dengan mudahnya dia meletakkan dirinya dengan selesa sekali dalam hati ini. Hati yang selama ini bagaikan mati untuk mengenang seseorang selain dari Sarah.
Ah... baru sahaja wajahnya terlintas di mindaku sebentar tadi. Senyumannya yang cukup mesra dan menggoda itu terus menyapa masuk ke dalam hati ini. Lantas membawa debar yang tidak terhingga di jiwa ini. Debar yang tidak pernah aku rasakan selama ini. Tidak dengan mana-mana lelaki. Malah Abang Izwan pun tidak mampu membawa debar sebegini di saat-saat bahagiaku bersamanya lama dahulu. Terpaku aku di hadapannya menatap senyuman itu, bibir itu dan.... mata itu.
“Waalaikumsalam...,” jawabku sambil menarik nafas perlahan. Cuba untuk menenangkan resah di jiwaku dan debar di dadaku.
Suzana aku lihat terus ternganga di sebelahku. Mata hitamnya terus memandang pada lelaki di hadapan kami. Lantas aku menyikunya. Menyedarkan dia dari keadaannya yang terpegun itu.
“Dah jumpa rumah lain? How sad...,” katanya lembut. Masih dengan nada menyindir.
“Ehem...,” aku berdehem membetulkan suaraku yang terasa begitu sukar untuk keluar.
Masih ada lagi sisa-sia debar di dadaku. Tidak sesekali aku menyangka yang kami akan bertemu lagi. Terutama dalam jangkamasa yang begini singkat.
“Kat blok yang sama ya? Tingkat berapa?”
“Em... tingkat sebalas...,” entah mengapa laju saja aku menjawab.
Dalam rasa serba salah aku menganggukkan kepalaku. Lebih untuk menyakinkan diri sendiri dengan reaksiku terhadapnya. Terkejut sebenarnya mengapa dengan mudah aku memberitahunya di mana unit yang aku sewa. Dia senyum lagi.
“Tawaran saya hari tu masih lagi terbuka tau... tertunggu-tunggu juga saya jawapan dari awak... samada nak pindah masuk tinggal dengan saya ataupun tidak,” katanya sambil ketawa perlahan.
Ah... dia menyindirku lagi. Menyebabkan makin merona merah di wajahku. Mengarut sungguh dia.... Mana mungkin itu akan berlaku. Sungguh dia sangat suka mengusikku. Hish...
Well... boleh saya bantu?” katanya sambil matanya memandang sekilas kepada kotak-kotak baranganku yang sudah tersusun berhampiran dengan kami.
“A... em... tak payah... saya...,”
“Boleh... boleh... encik...., memang kami perlukan bantuan. Dua jejaka tu tak cukup untuk bantu kami...,” sampuk Suzana laju sekali sambil matanya memandang pada Haziq dan Hariz yang dari jauh kelihatan menghampiri kami. Dia menyiku lenganku, menyebabkan terasa begitu panas sekali wajahku saat itu.
“Sekejap ye, saya tanya pengurus blok ni kalau-kalau ada troli, tak perlulah mengangkat semua ni. Banyak juga barang-barang awak ye?” katanya sambil matanya melatari wajahku menyebabkan aku makin bertambah malu dengan sikapnya yang begitu polos merenungku.
“Sekejap ye...,” katanya sambil berlalu pergi. Sambil itu matanya terus memandang padaku dengan sebaris senyum terukir di bibir.
Kami hanya memandang sahaja dia meninggalkan kami dan berlalu ke bangunan apartmen yang bersebelahan di mana ditempatkan ruang pejabat pengurusan kedua-dua blok apartmen ini. Suzana menyentap tanganku menyebabkan tubuhku berpaling menghadapinya padanya.
Unie, you’re blushing....,” nyaring suaranya terjerit sambil tersenyum melihatkan wajahku. Matanya bersinar-sinar memancarkan rasa hatinya saat itu. Dia kelihatan begitu teruja sekali.  “I’ve never seen you’re blushing before...,” katanya mengusik. Semakin panas aku rasakan wajahku saat itu.
“Eh.. mana ada... Engkau ni...,” kataku menutup malu.
Lantas aku kembali memberikan perhatianku kepada kotak-kotak yang masih belum kuangkat dari bonet kereta. Cuba untuk mengalih perhatiannya kepada perkara lain.
“Betul ke dia tu Unie..., yang kau kata berebut kondo dengan kau dulu tu? Orang yang sama kita jumpa hari tu. Dah empat tahun kan? Dah lain rupa dia, makin matang. Dulu muka dia childish sikitkan? Wah...., handsomenya,” kata Suzana dengan wajah yang cukup ceria.
“Siapa yang handsome ni Su....,” suara Haziq menampar di dinding telinga kami. Dia sudah ada di sisi kami rupa-rupanya.
“Ni Ziq.... Unie dah jumpa boy friend lama dia...,”
“Su...,” kataku marah.
“Mana kak Su?” tanya Hariz yang juga kelihatan teruja. Matanya melilau memandang ke arah lelaki itu.
“Siapa Su... yang lelaki tadi tu ke?”
“Haah.... long lost boy friend,”
“Suzana... dahlah... nanti aku cubit kang ha....,” kata lantas jejariku mencubit lengannya.
Dia ketawa mengekek. Membawa tawa ke bibir Haziq dan Haris. Aku memasamkan mukaku. Sudah cukup malu aku rasakan pada lelaki yang masih belum aku ketahui namanya itu, sekarang dia memalukan aku di hadapan tunangnya pula.
“Dia ke mana?”
“Entah... katanya nak pergi ambil troli. Baikkan tu... Teringin jugak dia membantu jejaka-jejaka separuh macho ni...,”
“Siapa? Siapa yang Su kata separuh macho...?” tanya Haziq.
Dia mula mendekati Suzana sehingga berada betul-betul di hadapan tunangnya itu. Mendepakan tangannya pura-pura untuk memeluk Suzana. Hariz sudah ketawa kuat melihatkan gurauan bakal pengantin baru itu. Suzana cepat-cepat melarikan dirinya dan berselindung di belakangku sambil menjelirkan lidahnya kepada tunangnya itu. Ah ... cukup manja sekali kelihatan mereka berdua. Bahagia meniti hari-hari terakhir dengan status tunangan. Nampak sekali sudah tidak sabar-sabar untuk menamatkan status itu. 
“Mana boleh....buat macam tu. Kenalah dapatkan lesen dulu tau...,” kata Suzana.
“Nanti... dua minggu lagi dapat lesen... kita tengok siapa yang macho..,’ ugut Haziq mesra.
“Hei.. dah lah kau orang ni... Depan orang pun nak manja-manja macam ni. Tunggulah dua minggu lagi...,” ucapku pantas.
Tubuh ku terhoyong hayang bila Suzana mendakapku dari belakang. Cuba mengelak dari gurauan tunangnya yang masih berpura-pura untuk menangkapnya. Hampir jatuh aku di situ. Terlalu asyik kami dengan ketawa dan gurauan dua sejoli itu hinggakan kami tidak sedar bahawa lelaki misteri itu sudah berada di sebelahku. Bila dia berdeham barulah kami sedar dia sudah di situ.
“Ada apa dua minggu lagi?” tanya dia dengan mesra.
“Dua minggu lagi ada orang naik pelamin bang... Dah tak sabar-sabar nampaknya ni...,” kata Hariz kepada lelaki itu.
Dia tersenyum memandang kepada merpati dua sejoli itu. Kemudian matanya kembali tertancap ke wajahku. Sekali lagi ada debar di dadaku. Dan dia bagaikan dapat mengesannya, mengenyitkan matanya kepadaku.
Perlakuan yang menyentap jantungku saat itu. Menyebabkan tersekat seketika nafasku. Membuatkan aku lupa seketika ada orang lain bersama kami. Membuatkan aku terus memandang ke matanya yang seakan-akan mengelus lembut di wajahku. Membuatkan aku lupa diri...lupa siapa aku...
“Oh..., ye ke... ni mesti kena jemput saya ni...,” katanya sambil perlahan sekali mengalih pandangannya kepada Haziq. Terasa seolah-olah dia tidak mahu melepaskan pandangnya kepadaku. Membuat aku terasa perasan seketika. Dia menghulurkan tangannya untuk berjabat salam dengan Haziq. Dua tangan mereka kemas bersalaman.
“Haziq...,”
“Umar Rafiki...,”
Entah mengapa, saat itu aku menahan nafasku. Aku bagaikan ternanti-nanti untuk mendengar ucapan perkenalan mereka. Dan telingaku bagaikan telinga tikus, cuba untuk menangkap suaranya yang menyebut namanya itu. Umar Rafiki, bisikku dalam hati. 



Bab 23
“Abang, tolonglah... Unie tak sanggup tinggalkan dia. Dia kan tengah menyusu, nanti macamana dia kalau Unie tak ada...,”
“Terpulanglah pada Unie, syarat yang keduanya macam tu. Apa-apa pun abang tak akan benarkan Unie bawa dia dalam umur sekecil ni. Lainlah kalau dia dah besar. Unie ingat senang ke nak besarkan anak kat tempat orang macam tu. Tambah lagi Unie sorang-sorang kat sana nanti,”
“Abang... orang lain tu boleh bawa anak-anak mereka. Tak kanlah Unie tak boleh... ,”
“Orang lain pergi dengan suaminya. Ada yang akan jaga anaknya. Abang tak boleh buat macam tu. Abang tak boleh nak ambil cuti tanpa gaji untuk ikut Unie ke sana. Abang ada dua isteri yang abang kena tanggung. Kalau abang cuti, Kak Reen macamana? Tak kanlah kita nak tinggalkan dia kat sini sorang-sorang...,”
Aku sudah mula menangis mendengarkan kata-katanya itu. Tidak pernah terlintas di fikiranku untuk meminta dia melakukan itu. Aku tahu, dia punya tanggungjawab ke atas Kak Reen.  Aku langsung tidak pernah meminta supaya dia mengikutku ke sana. Mengapa ini yang dijadikan alasan olehnya untuk aku meninggalkan Sarah di sini bersamanya?
“Siapa nak jaga dia kat sini...,” kataku akhirnya. Terasa lemah sekali bila membayangkan bagaimana nanti kerinduanku nanti jika aku meninggalkan Sarah  di sini.
“Kak Reen kan ada. Dia boleh jaga Sarah. Dia pun sayangkan Sarah...,”
Terkejut aku mendengarkan kata-katanya itu. Sanggupkah aku meninggalkan Sarah pada Kak Reen. Memang aku tahu, Kak Reen sayangkan Sarah. Bagaimana nanti kalau anakku itu tidak mengenali aku sebagai ibunya. Bagaimana nanti jika dia menyangkakan Kak Reen itu ibunya?
“Tapi... nanti dia tak kenal Unie sebagai ibunya... nanti dia... ingatkan Kak Reen ibunya... Unie tak sanggup kalau benda-benda macam tu berlaku. Unie tak nak benda-benda macam tu berlaku. Dia anak Unie,” rayuku dengan suara yang lembut sambil mengesat airmataku yang mengalir di pipi.
Mengenangkan perpisahan yang bakal berlaku begini pun hatiku sudah jadi cukup sebak. Belum lagi menghadapi perpisahan itu. Mana  mungkin aku mampu hidup tanpa Sarah di sisiku. Tidak mungkin..... Sungguh aku berharap supaya dia mengubah fikirannya.
“Unie jangan fikir bukan-bukan. Kak Reen mesti akan jaga dia dengan baik. Lagipun sekarang ni kan banyak cara nak berhubung. Facebook ada, email, YM..... Masalah macam yang Unie risaukan tu tak  akan timbul,”
Aku terdiam mendengarkan kata-katanya itu. Ah, ada benarnya, tetapi aku masih tidak sanggup meninggalkan Sarah, buah hati pengarang jantungku itu.
“Bukannya abang tak bagi Unie bawa Sarah terus. Nanti bila semua masalah Unie dah selesai kat sana, masa Unie cuti semester ke, abang sendiri akan bawa dia bercuti ke sana. Mungkin bila dia dah besar sikit, Unie boleh bawa dia tinggal kat sana. Tapi buat masa ni, dia tu kecil sangat lagi untuk Unie bawa dan jaga dia sorang-sorang,”
“Abang sengaja bagi syarat tukan? Sengaja nak pisahkan Unie engan Sarah kan? Nak buat Unie buat serba salah nak terima tawaran tu kan?” tuduhku sambil menyeka airmata yang menitis di pipi saat itu aku rasakan dialah lelaki yang paling kejam di atas muka bumi ini kerana memberikan syarat itu.
“ Unie, bukannya abang nak pisahkan Unie dengan dia. Cuma, abang tak yakin aje kalau Unie boleh selesaikan masalah ni seorang sekarang ni. Mana nak selesaikan masalah pendaftaran lagi, mana nak selesaikan masalah tempat tinggal lagi. Unie pergi dulu... lepas dah selesai semuanya,  abang akan  bawa dia ke sana. Ok?” akhirnya suaranya berubah lembut, memujuk. Tiada lagi ketegasan seperti sebentar tadi.
Semalaman aku merayu padanya supaya tidak perlu aku memenuhi syarat yang keduanya itu. Sudah habis alasan yang aku berikan dipatahkannya. Pelbagai cara aku lakukan untuk memujuknya. Namun satu pun tidak mampu mengubah pendiriannya. Dia terus berkeras dengan syaratnya itu. Dia mahu aku mahu pergi untuk meneruskan cita-citaku dan meninggalkan Sarah di sini bersamanya. Hinggakan akhirnya aku memangis, merajuk hati kerana ketegasannya yang menyakitkan hatiku.
Aku kecewa.... terlalu kecewa dengan syarat yang diberikannya itu. Untuk apa aku dibenarkan pergi sekiranya aku terpaksa memenuhi syarat itu. Aku tidak akan pergi. Tidak.... Aku nekad. Jika itulah syarat yang diberikannya, aku rela tidak memenuhi cita-citaku itu. Biarlah aku memperhambakan diri ini untuk cintaku. Cinta padanya dan pada Sarah. Aku tidak sanggup, sampai bila-bila pun aku tidak akan sanggup.
Dan dia... seperti selalu, akan memujukku dengan membuatkan aku hanyut dalam dakapannya. Terlena lagi dalam belaian kasihnya. Walaupun  saat itu, dalam hati kecilku sungguh aku tidak rela melayan naluri lelakinya dek kerana rajuk yang menyelubungi hati. Lantas dia menggunakan haknya sebagai seorang suami untuk mengukuhkan alasannya mengapa aku perlu melayannya.
Aku akur akhirnya. Sangkaku dengan melayaninya aku akan mampu memujuknya supaya tidak menetapkan syarat itu. Tapi sangkaanku meleset sama sekali. Dia terus dengan syarat itu. Menyebabkan sehingga ke keesokkan paginya aku terus merajuk. Terus-terus mendiamkan diriku tanpa mahu berbicara dengannya. Aku buat endah tak endah padanya. Sehinggakan bila Kak Pah tiba untuk memulakan tugas hariannya, wanita itu perasan dengan sikap murungku.

****

“Prof, mcamana kalau saya tak terima tawaran tu?” tanyku kepada Professor Ahmad pagi itu.
Aku perlu membuat keputusan hari itu juga. Tarikh untuk aku sepatutnya memberikan jawapanku akan tamat hari itu. Aku masih lagi tidak mampu membuat apa-apa keputusan. Buntu jadinya bila aku terpaksa memilih antara dua, cita dan cinta. Pastinya aku memilih cinta. Kerana itulah yang mampu membuatkan aku terus menongkah arus kehidupan. Yang memberikan aku kekuatan untuk terus bertahan dalam hidup bermadu.
Kasih, sayang dan cintaku untuk Sarah melebihi segala-galanya. Dialah yang membuat aku terus bertahan dalam kemelut cinta tiga segi antara aku, Kak Reen dan Abang Izwan. Pada ketika hatiku resah kerana ditinggalkan Abang Izwan untuk memenuhi giliran Kak Reen, bayi kecil yag masih belum mengerti apa-apa itulah yang menjadi penawar duka.  Membuatkan aku lupa seketika pada resah itu.
“Eh, kenapa pula... awak kan dah cakap nak pergi. Dah cakap nak terima tawaran tu. Kenapa pula nak tolak. Rugilah...,”
“Em... suami saya...,”
“Dia tak benarkan ke?”
Aku diam. Ya, mungkin... mungkin dia sebenarnya tidak membenarkan aku pergi. Tetapi kerana tidak mahu kelihatan terlalu kejam kepadaku dia menetapkan syarat itu. Mengharapkan aku yang membuat keputusan sendiri dalam keadaan yang terpaksa. Mungkin nanti dengan mudah dia dapat menyalahkan aku jika sesuatu berlaku di masa akan datang. Cukup sakit hati ini ku rasakan kerana sikapnya itu.
“Kalau dia tak benarkan, lebih baik awak jangan pergi. Nanti lain pulak jadinya. Saya tak suka benda macam ni berlaku,”
“Bukan dia tak benarkan. Cuma, dia tetapkan syarat,”
“Syarat apa?”
“Saya tak boleh bawa baby saya prof. Macamana saya nak terima kalau macam tu. Baby saya tu kecil lagi,”
“Ooh... ingatkan dia tak bagi...,”
“Awak tak jelaskan pada dia ke?”
“Dah prof, dia suruh saya pergi dulu. Nanti bila saya dah settle down, ada rumah dan bila saya atau dia cuti,  barulah dia akan bawa baby saya ke sana,”
Professor Ahmad kelihatan diam seketika. Memandangku dengan wajah yang bersimpati. Namun simpatinya itu sedikit pun tidak mampu untuk melegakan resahku.
“Pendapat saya lah kan, betul apa yang dia cakap tu. Awak baru pertama kali nak ke sana. Nanti, mesti dia banyak masalah. Saya rasa baik awak pergi dulu, selesaikan satu persatu masalah kat sana. Bila dah selesai semuanya, bolehlah kalau awak nak bawa anak awak pun. Kalau bawa dia  nanti susuh pulak awak nak selesaikan masalah awak tu. Kalau pun awak mampu buat, kesianlah pada anak awak tu nanti. Nak selesaikan masalah, awak kena ke sana kemari. Takkanlah anak sekecil itu awak nak usung ke sana sini. Nanti sakit, awak juga yang susah,” 
Aku memandang wajah Professor Ahmad dengan pandangan yang serba salah. Memang, aku akui kebenaran kata-katanya. Sejak semalam lagi aku sedar tentang itu bila Abang Izwan menjelaskan mengapa dia memberikan syarat itu kepadaku. Tapi hati ini terasa begitu berat untuk menerimanya. Walaupun aku telah melakukan sembahyang Istkharah, hatiku masih lagi buntu. Tidak tahu untuk memilih yang mana satu.
“Terpulanglah pada awak Munirah. Keputusan di tangan awak. Cuma saya nak ingatkan, apa juga keputusan awak, harap jangan ada yang rugi nanti. Fikirlah dulu. Awak ada masa sampai petang ni ye?” katanya bagaikan memahami kemelut di hatiku.
“Baiklah Prof...,” jawabku perlahan.
Tengahari itu aku menghubungi Suzana. Marah dia kerana aku meletakkan aku di tempat terakhir untuk bertanyakan masalahku ini. Bukan begitu maksudku. Dia merupakan satu-satu sahabat sejatiku. Tetapi sudah terlalu banyak masalahku yang aku bebankan di kepalanya.  Sudah terlalu banyak aku menyusahkannya selama ini.
“Engkau ni... lepas satu... satu masalah yang menimpa. Aku sendiri pun tak faham tau kenapalah kau ni banyak sangat masalahnya...,” ucapnya apabila aku mula menyuarakan masalah yang aku hadapi saat itu.
“Aku... ni orang yang malang kot. Asyik menyusahkan orang aje. Kalau orang dulu-dulu kata, pembawa sial kan?” jawabku perlahan.
“Hish kau ni... apa yang kau mengarut macam tu. Tak baik tau.., mana ada orang yang bawa sial dalam dunia ni. Allah cipta kita ni semuanya ada rezeki masing-masing. Kalau yang terima banyak dugaan macam kau ni maknanya Allah sayangkan kau. Dia nak duga setakat mana iman kau. Kalau kau cepat mengalah, rugilah kau. Sebab kalau kau terus kuat, kau akan dapat ganjaran yang setinggi-tingginya,”
Aku senyum mendengarkan kata-katanya itu. Hem ...  sejak bila agaknya kawan aku yang seorang ini sudah pandai mengeluarkan kata-kata nasihat yang sebegini? Satu perkembangan yang baik.
“Eh... aku ni macam ustazahlah pulakkan? Hehehe...,” dia tergelak sendiri.
Aku turut ketawa perlahan. Hilang seketika gundah yang melanda hati mendengarkan gurauannya itu.
“So, macamana? Kau dah buat keputusan?”
Aku mengeluh perlahan. Tidak pasti apa yang patut aku katakan. Serba salah jadinya.
“Aku dah tak tahu apa lagi yang patut aku fikirkan. Aku nak sangat pergi. Kau tahukan? Itu cita-cita aku sejak dulu. Sebelum kahwin dengan Abang Izwan. Bila cita-cita tu hampir dapat aku capai, macam ni pula jadinya. Syarat dia tu berat sangat untuk aku penuhi. Nak minta nasihat Kak Reen, aku rasa mesti dia suka dengan syarat ni,” luahku satu persatu.
“Eh... kau tak rasa ke, kut-kut Kak Reen yang bagi cadangan Abang Izwan kau tu supaya dia bagi syarat macam ni?”
“Maksud kau, Kak Reen yang nak aku tinggalkan Sarah kat sini?” saat itu hatiku berdetik sendiri.
“Haah...,”
Mungkinkah? Mungkinkah Kak Reen yang menasihatkan Abang Izwan seperti yang aku pinta padanya beberapa hari yang lalu.
“Ah... tak mungkinlah. Memang Kak Reen sayang sangat pada Sarah. Nak selalu bersama Sarah. Tapi tidak mungkin dia mencadangkan syarat sebegini. Kak Reen baik, tidak mungkin dia sanggup memisahkan aku dari Sarah, walau betapa sayangnya dia pada Sarah,”
“Manalah taukan? Bukan ke dia ada minta kau tinggalkan Sarah pada kau hari tu. Kau sendiri yang cakap dengan aku kan?”
“Memang dia pernah minta aku tinggalkan Sarah pada dia. Tetapi bila aku beritahu pada dia yang aku tidak akan lakukan itu, dia akur. Dia kata dia faham dengan perasaan aku tu. Tak kan lah...,”
“Kau baik-baik Unie, dia tu madu kau. Memanglah dia baik. Tapi apa yang ada dalam hati dia kita tak tau kan? Entah-entahkan lepas dapat jaga Sarah nanti hubungan kau dengan Abang Izwan kau tu pun dia nak pisahkan, ”
“Hish kau ni... jangan cakap benda yang tak baik macam tu tentang Kak Reen. Dia yang beria-ia nak aku dan Abang Izwan kahwin. Dia yang satukan kami. Tak kan lah dia nak pisahkan kami pulak,” tidak... Tak mungkin.....
Suzana diam mendengarkan kata-kataku itu. Matanya terus memandang ke dalam mataku penuh simpati.
“Kau ni... terlampau percaya sangat pada dia kan?”
“Mestilah, dia dah macam kakak aku kau tahu. Dulu kami kongsi semua perkara... Bukan setakat barang-barang kami aje. Semuanya..., masa gembira, masa sedih, masa ada masalah. Tentang boyfriend dia, tentang secret admirer dia... semuanya,”
“Dan sekarang kamu berdua share suami pulakkan?”
Aku diam sambil senyum mengingatkan semua itu.
“Hem... dan anak... dia sayang sangat dengan Sarah. Tak mungkin dia nak pisahkan kami. Akupun dulu dah janji akan bahagiakan semuanya, Abang Izwan, Kak Reen dan Mak Ngah. Mungkin kalau aku tinggalkan Sarah untuk dua tiga bulan ni, aku dapat bahagiakan dia. Mungkin betul kata Abang Izwan dan Prof Ahmad. Lebih baik kalau aku tinggalkan Sarah untuk sementara waktu ni. Bila aku  semua masalah aku dah selesai kat sana nanti... aku akan ambil balik Sarah,”
“Kau pasti ke ni Unie, memang benda yang kau katakan tu betul belaka. Aku tak nafikan. Tapi,  kau pasti ke yang kau tak akan menyesal ambil keputusan ni nanti?”
Aku diam. Serba salah lagi. Ya, mungkin ini yang terbaik untuk kami. Terbaik untukku, untuk Abang Izwan dan untuk Kak Reen. Juga untuk cinta hatiku.... Sarah.
****
Seminggu dari tarikh aku akan berangkat, Abang Izwan sentiasa berada di sampingku. Giliran Kak Reen diabaikannya. Ingin berada di sampingku yang pastinya akan dirinduinya nanti. Ingin menghabiskan waktu indah itu bersamaku sebelum aku meninggalkan mereka pergi katanya. Kata-kata yang membuatkan aku terus merasa bersalah mengambil keputusan untuk menyambung pengajianku di satu tempat yang begitu jauh.
Bila aku nyatakan kemungkinan Kak Reen tersinggung, dia katakan bahawa Kak Reen mengerti akan keadaan kami. Dan selepas ini, bila aku telah pergi dia akan menjadi milik Kak Reen sepenuhnya. Begitu juga Sarah. Sekurang-kurangnya sehingga aku benar-benar bersedia untuk membawa Sarah bersamaku nanti.
Hakikat itu memang sudah aku ketahui. Sejak aku nekad menerima tawaran pengajian ini aku sudah tahu itu yang bakal berlaku. Dan segala kata nasihat dari Suzana yang sering menampar-nampar di gegendang telingaku juga membuatkan aku sedar akan hakikat ini.
Aku tahu yang dia akan kembali menjadi hak milik Kak Reen sepenuhnya. Semua ini akan  aku tinggalkan. Demi cita-cita, aku abaikan cintaku.  Sanggup mengabaikan dia dan Sarah, kata Suzana. Kalaulah Suzana tahu apa perasaanku saat itu, sudah pasti dia tidak akan berkata begitu. Aku cukup-cukup rasa bersalah kerana mengambil keputusan itu.
Segala persiapan untuk pergi aku buat dengan rasa tawar hati. Ada ketikanya aku seperti sudah kalah, ingin kembali menolak tawaran ini. Namun, aku kata-kata perangsang dari Professor Ahmad dan juga Kak Reen membuatkan semangatku kembali berkobar-kobar.
Ya, tempoh dua tahun bukanlah lama. Sepanjang waktu itu  Kak Reen berjanji akan menjaga Sarah sebaiknya. Dan bila kelapangan, Abang Izwan akan membawa Sarah ke sana. Itu janjinya. Dan aku, menaruh kepercayaan yang tinggi padanya.  
Tiba hari yang dijanjikan untuk aku meninggalkan semuanya aku kalah lagi. Aku menangis semahu-mahunya. Tubuh kecil Sarah aku dakap erat sepanjang hari. Seerat kasihku padanya. Aku tidak sanggup meninggalkan mereka.   Saat itu ingin sekali rasanya aku memberhentikan waktu.
Namun masa bergerak begitu pantas menghampiri ke waktu aku akan berangkat.  Untuk kesekian kalinya aku menyesali keputusanku ini. Aku tidak kuat rupa-rupanya untuk menghadapi semua ini.
Apabila Abang Izwan menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk kami berangkat aku menangis lagi. Bila aku nyatakan bahawa aku tidak sanggup meninggalkan mereka, dia memujukku lagi, mendakap erat tubuhku yang terasa bagaikan lemah tak bermaya. Menyuntik kembali semangatku yang hilang.
Dia berjanji, bila ada kelapangan akan datang menjengukku, membawa Sarah kepadaku. Semua ini demi cita-citaku, katanya. Kalau tidak hari ini, perpisahan ini mungkin akan berlaku juga di masa akan datang. Jadi, biarlah kami menghadapinya sekarang. 
Saat kaki ini melangkah menuju ke balai berlapas, mataku tidak lepas-lepas memandang kepada mereka. Abang Izwan berdiri segak di samping  Kak Reen yang sedang mendukung Sarah. Ah... sungguh mereka kelihatan seperti sebuah keluarga bahagia. Cukup sedih kerana sepatutnya akulah yang berdiri di situ.
Tapi, tekad yang aku bina untuk memburu cita ini membuatkan aku terus melangkah. Tanpa sedar, langkah yang aku atur itu sebenarnya mengundang bahana dalam hubungan kami. Dan sungguh tidakku duga, semalam yang ku tinggalkan itu rupanya menjadi satu titik hitam yang bakal mengubah masa depan kami. Masa hadapanku, Abang Izwan, Kak Reen dan Sarah.

Popular Posts