Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Salam kepada semua,


Kepada sesiapa yang ingin membeli novel Syurga Di Wajahmu siap dengan tanda tangan kak Laila, boleh membuat tempahan terus dari Kak Laila. Harga Novel ialah RM18.00 dan kos penghantaran adalah RM6.00 bagi semenanjung manakala RM9.00 bagi Sabah /Sarawak. Sesiapa yang berminat, sila hubungi Kak Laila melalui personal message di dinding facebook kak Laila iaitu dengan alamat ID Laila Hanni.

Ingin sekali Kak Laila mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan yang diberikan. Sungguh rasa terharu sekali dengan sambutan pembaca di blog. terima kasih sekali lagi. Nantikan pula novel Semalam Yang Ku Tinggalkan dalam versi cetak.


Salam sayang dari ku,


Laila Hanni

Bab 8
Mai merenung ke luar tingkap kereta Toyota Viosnya. Fikirannya kosong sejak semalam. Hatinya berdarah dan dirasakan bagaikan  tidak mampu untuk diubati lagi. Belum pun hilang lagi perasaan gundahnya akibat dari perkahwinan ini, Irfan datang dengan membawa satu lagi berita yang cukup memeranjatkannya. Lelaki yang kini suaminya ini, meminta supaya mereka tidak berkahwin atas dasar cina buta. Tidak sah  dan dilaknati Allah katanya perkahwinan sebegitu. Jadi, atas dasar apakah perkahwinan ini? Apakah mereka akan melayari perkahwinan ini seperti pasangan-pasangan biasa yang lain?
Irfan mengatakan bahawa Syamsul sengaja memberitahunya di saat-saat akhir sebelum pernikahan ini dilangsungkan. Katanya Syamsul  amat memerlukan wang upahnya. Dia tidak mahu mereka mengubah fikiran jika diberitahu awal tentang perkara itu. Setelah semua urusan selesai, pastinya Mai dan Irfan malu untuk menarik balik semua yang telah dirancang ini. Sudahlah begitu, kata-kata Kak Gee yang mengganggunya sejak seminggu lalu, ketika dia menjemput teman sekolahnya ke majlis pernikahannya ini juga mengganggu fikirannya.
“Mai  ni... kenapa tak beritahu awal-awal yang Mai dah nak cari pengganti Irfan. Kalau akak tahu dari awal lagi akak boleh rekomenkan kawan akak ni. Dia ni bujang trang tang tang lagi. Akak nak cakap pada Mai takut Mai kata akak ni melampau pulak. Baru aje bercerai dah nak kahwin lain,”
Mai hanya diam sahaja. Dia tidak mampu berkata-kata. Jikalah Kak Gee tahu yang dia akan menikah kerana ada agenda lain disebaliknya, pasti Kak Gee marah.
“Mai  sunyi kak. Bila ada yang sampaikan hajatnya nak kahwin dengan Mai, Mai setuju aje,” bohongnya.
“Macamana Mai jumpa dengan dia?”
“Ada kawan yang kenalkan,” jawabnya perlahan. Ah... dia berbohong lagi.
“Dia kerja kat mana,”
“Kerja biasa je kak,”
“Yelah... kerja biasa tu kerja apa? Cikgu jugak ke?”
“Tukang masak... ,” jawabnya perlahan. Terasa agak malu dengan pekerjaan bakal suaminya itu.
“Ohh... senanglah lepas ni, Mai tak payah lagi nak masak untuk dia. Dia yang masak untuk Mai kan?” kata Kak Gee sambil ketawa. “Irfan dah tahu?” tanyanya tiba-tiba.
Mai hanya menganggukkan kepalanya. Dia yang rancang semua ni kak, detik hatinya.
“Apa dia kata?” soal Kak Gee lagi.
Serba-salah untuk Mai menjawabnya. Dia tidak sanggup berbohong. Tapi dia juga tidak sanggup untuk membuka rahsia ini.
“Entah?” lama kemudian dia menjawab soalan itu.
“Mai  tak sedih ?” tanya Kak Gee lagi. Suaranya berubah dari nada riang sebentar tadi kepada nada sayu.
Pertanyaan itu membuatkan Mai sedikit tergelak. “Sedih kenapa pulak?” jawabnya, masih dalam keadaan serba-salah dalam hal ini.
“Ye lah... Irfan kan masih sayang pada Mai? kalau Mai kahwin, macamana perasaan dia agaknya ye?” tanya Kak Gee seolah-olah menduga.
Mai merenung jauh. Kalaulah panahan mata boleh menembuskan sehelai kertas, pastinya kertas-kertas ujian anak murid yang sedang diperiksa olehnya itu sudah tembus semuanya. Akhirnya dia mengeluh perlahan. Cuba meyakinkan dirinya, bahawa apa yang akan dilaluinya ini nanti adalah sesuatu yang betul.
“Antara Mai dengan dia dah tak ada harapan nak balik semula kak. Biarlah, lama-lama oklah dia tu,” jawabnya perlahan. Dan pastinya nanti, selepas diceraikan, Mai akan dapat kembali padanya kak, bisik Mai dalam hati. Begitu yakin dia saat  kata-kata itu terlintas di hatinya.
Namun kini dia seperti tidak yakin dengan bisikan itu lagi. Kata-kata Irfan tentang syarat yang diberikan oleh lelaki ini supaya mereka bernikah bukan atas dasar cina buta seakan-akan telah membuatkan keyakinannya jadi goyah. Bagaimana nanti jika Syamsul  tidak mahu menceraikannya? Hatinya di rasuk rasa bimbang. Ah....
Keluh kesahnya itu seperti dapat dikesan oleh Syamsul. Terasa seperti sedang direnung, Mai mengerling seketika kepadanya. Ah... memang benar, Syamsul  sedang mencuri pandang ke wajahnya.  Lantas  Mai melarikan matanya semula. Syamsul terus  memandu dengan tenang sekali. Seakan-akan sedikit pun perkara ini tidak meresahkannya.
Matanya terus merenung barisan kilang-kilang yang berderet di dalam perjalanan mereka dari Seksyen 27 ke Seksyen 9, Shah Alam. Malas untuk berfikir tentang masalah yang baru diketahuinya semalam, Mai memejamkan matanya melayan lagu-lagu yang diputarkan di radio.
“Penat?” suara Shamsul  mengganggu lamunannya.
Perlahan Mai  membuka matanya untuk kembali menatap wajah lelaki itu. Entah mengapa satu perkataan terlintas di hatinya saat itu. Kacak.... Mengapa dulu dia tidak sedar akan hakikat itu. Waktu pertama kali bertemu dulu dia terlalu leka melayan resahnya akibat dari perbuatan Irfan. Sehinggakan waktu itu dia tidak dapat mengesan ketampanan wajah lelaki ini. Tambahan lagi ketika itu dia kelihatan berserabut dengan jambangnya yang tidak dicukur dan rambutnya yang panjang mencecah  ke bahu.
Pertama kali dia melihat Syamsul  ketika lelaki ini  melangkah masuk ke masjid tempat mereka diijab kabulkan tadi, hatinya merasa sedikit keliru. Betulkah lelaki yang segak berbaju melayu teluk belanga ini adalah Shamsul Hasni? Rambutnya sudah dipotong pendek. Jambangnya yang berserabut sudah dirapikan menampakkan ketampanannya yang sebenar. Tubuhnya yang  tinggi walaupun agak kurus kelihatan segak dan sasa dalam baju melayu berwarna hijau kepala itik. Sehinggakan sedikit pun Mai tidak perasan dengan kakinya yang tempang bila dia berjalan.
Kak Ros yang menyewakan pakaian pengantin mereka. Pelawaan wanita separuh umur itu untuk menyediakan pelamin untuk mereka bersanding ditolak keras oleh mereka berdua. Akhirnya Kak Ros membuat keputusan supaya sekurang-kurangnya mereka mengenakan pakaian yang sedondon, yang selayaknya dipakai oleh pengantin. Dia yang memilih persalinan ini. Katanya mereka berdua kelihatan secocok dengan warna yang dipilihnya ini.
Mai menggelengkan kepalanya lantas berkata, “bukan penat dengan apa yang berlaku hari ni.”
“Habis tu?” tanya Syamsul  setelah agak lama diam menumpukan perhatiannya kepada pemanduannya. Ah... benci betul dia dengan apa yang berlaku hari ini sampai untuk menyebut perkataan nikah pun dia tidak sanggup, getus hati Syamsul.
“Penat bila ingatkan semua yang berlaku sejak enam bulan ni. Betul-betul mencabar minda saya,” ucap Mai perlahan.
Syamsul  senyum.
“Kalau semuanya kita hadapi dengan tenang, tentu tak penat jadinya. Tentu kita jumpa satu demi satu jalan penyelesiannya,” ucap Syamsul  penuh makna.
“Huh... macam kita sekarang? Ini jalan penyelesaian yang kita jumpa untuk masalah saya ni kan?”
Syamsul  diam mendengarkan kata-kata Mai itu. Kemudian dia mengangguk perlahan tanpa membalas pandang.
“Mungkin satu hari nanti kita lebih faham mengapa semua ini berlaku. Mungkin  ada hikmahnya bila Allah jadikan semua ni...,”
“Tapi bila nak selesaikan masalah kita ni, timbulkan masalah lain pulak kan,” kata Mai sinis.
“Maksud engkau?” tanya Syamsul hairan. Dia bagaikan dapat menghidu ketidakpuasan hati Mai.
Mai diam seketika. Matanya tersorot lagi pada deretan kilang-kilang yang tersergam megah di sepanjang jalan.
“Semalam Irfan beritahu yang awak tak akan lepaskan saya dalam masa terdekat ni,” kata Mai  tanpa memandang ke wajah Syamsul.
Syamsul  menarik nafas panjang.
“Kita baru saja kahwin tiga jam yang lalu, dan sekarang kita dah nak cerita pasal cerai ke?” katanya sinis.
Kata-kata itu menyebabkan Mai memandang ke wajah Syamsul dengan perasaan yang agak jengkel. Dahinya berkerut.
“Bukan ke itu tujuan utama saya kahwin dengan awak? Awak hanya cina buta dalam hubungan kita ni. Dah lupa?”
“Pada asalnya memang macam tu.... Tapi kita tak boleh lari dari hukum Mai. Bila kita mengaku yang kita ni Islam, kita kena ikut segala perintah yang Allah berikan. Macam juga bila kita kerja di satu-satu tempat. Bila kita dah mengaku kita kakitangan kat tempat tu, kita kena ikut peraturan tempat kerja tu kan?” sinis Syamsul  bertanya untuk mengukuhkan alasannya.
Dalam mendengar kata-kata Syamsul  yang panjang lebar itu, sempat lagi Mai mendengar nama manjanya meniti di bibir lelaki itu. Pertama kali lelaki ini menyebut nama manjanya, bagaikan ada getar di hatinya. Cepat-cepat dia menyeka perasaan itu. Tidak mahu membiarkan perasaan yang sebegitu mula berpaut pada hati. Dia hanya ingin perasaan itu  hanya berlaku bila dia bersama Irfan. Tidak dengan lelaki lain. Terutamanya dengan lelaki yang kini bergelar suaminya ini.
“Masa mula-mula jumpa Irfan dulu, aku nekad nak kan upah yang dia nak berikan tu. Dengan duit tu aku boleh buka perniagaan baru. Tapi, bila aku balik, hati aku jadi tak tenang.  Entah kenapa aku rasa ada benda yang tak kena. Sebab tu aku pergi jumpa ustaz yang mengajar dekat masjid tempat kita nikah tadi. Aku tanya dia, samada betul ke tindakan aku ni,” Syamsul  berhenti seketika.
Matanya menyorot sekilas ke wajah Mai yang begitu asyik merenung ke wajahnya. Renungan yang menggetarkan perasaannya. Perlahan dia menarik nafas, cuba menenang getaran di hatinya itu. Kemudian kembali menumpukan perhatiannya kepada pemanduannya.
“Ustaz tu jelaskan semuanya. Haram dan dilaknat Allah katanya. Kalau aku ambil duit yang tak berkat tu untuk mulakan perniagaan,  perniagaan aku nanti pasti tak akan diberkati. Aku tak nak macam tu.... Sebab itulah aku jumpa Irfan dan beritahu dia awal-awal lagi. Dia setuju,”
Berkerut kening Mai mendengarkan kata-kata Syamsul.
“Bila awak beritahu perkara ni pada dia?”
“Hari pertama kita jumpa dulu. Aku  minta dia bincang dengan engkau dan dapatkan persetujuan kau dulu. Aku tak nak ada yang tidak setuju sampaikan lepas ni timbul masalah lain. Tapi dia kata engkau mesti setuju. Aku  ingat dia dah bincang tentang perkara ni dengan engkau,”
Mai mengetap bibir lembutnya. Perlakuan luar sedar yang tidak lepas dari pandangan mata Syamsul. Makin kuat getaran hati lelakinya. Mengapa begini mudah wanita ini menggetarkan perasaannya. Kalau dengan Imah atau wanita lain yang hadir sekali sekala dalam hidupnya dia tidak pernah merasakan getaran sebegini. Mengapa bersama Mai mudah sekali dia kecundang? Mungkinkah kerana status sebagai isteri itu mampu mengubah semua  ini? Membuatkan dia merasakan ada sesuatu yang istimewa dalam hubungan ini berbanding debgan hubungannya dengan wanita lain?
“Abang Ifan kata, awak baru beritahu dia perkara tu. Dia kata.... awak yang beritahu saat-saat akhir sebelum kita nikah. Supaya saya tak batalkan. Dia kata... awak betul-betul perlukan duit tu...,” katanya sambil mengeluh.
Terperanjat Syamsul  dengan kenyataan itu. Namun dia diamkan apa yang ada dalam hatinya. Tertanya sendiri mengapa Irfan berbohong begitu. Apa tujuannya?
“Awak tak bohong kan? Tak tipu saya kan?” kata Mai meminta kepastian. Seakan-akan tidak yakin dengan kata-kata Syamsul  sebentar tadi.
“Kenapa pula aku nak bohong pada engkau?” jawab Syamsul  tenang.
Mai mengalihkan pandangannya. Memandang ke hadapan sambil mengeluh perlahan.
“Dia ... bohong pada saya....,” kata Mai sambil terus mengetap bibirnya. Perasaan sedih kembali menyelinap  masuk ke dalam hatinya.   Terasa tersinggung dengan sikap Irfan. Terasa dirinya dipermainkan. Mengapa Irfan berbuat begitu? Tidakkah dia boleh berterus terang?
“Mungkin dia ada sebab lain...? kita tak tahu apa yang ada dalam hatinya kan?” kata Syamsul  perlahan.
Hatinya bagaikan terjerut. Menyesalkah Mai kerana sikap Irfan ini? Atau adakah kekesalan yang terpamer di wajahnya itu menggambarkan rasa hati yang jengkel dengan pernikahan ini? Dia sepatutnya berbincang sendiri dengan Mai sebelum mereka bernikah. Selama ini dia mempercayai Irfan akan menerangkan segalanya kepada Mai. Sedikit pun dia tidak menyangka Irfan akan membuat keputusan sendiri.
“Engkau menyesal kita nikah?” dia bertanya lama kemudian.
Mai juga mengambil masa yang cukup lama untuk menjawab. Dan bila akhirnya dia berkata-kata, bicaranya itu sekali lagi menjerut hati Syamsul.
“Tidak.... sebab pernikahan kita ini akan  dapat kembalikan saya pada dia,”
Syamsul  diam sambil  melayan hatinya yang terjerut dek kata-kata itu. Mai juga membisu kerana saat itu dia sendiri bagaikan tidak yakin dengan kata-katanya sendiri.
****
Mereka tiba ke rumah Mai kira-kira jam 6.30 petang. Mai cepat-cepat naik ke bilik di tingkat atas meninggalkan Syamsul  termanggu sendirian di ruang tamu. Dia perlu solat Asar kerana waktu yang sudah begitu lewat. Syamsul  telah bersolat semasa di restoran Kak Ros tadi. Manakala dia pula terasa agak janggal untuk solat di sana kerana suasana yang agak asing tanpa sedikit pun privasi di ruang rehat restoren tersebut. Walaupun ruang solat itu bersih, tetapi keadaan yang agak bersepah itu membuatkan dia rasa enggan untuk bersolat di situ.
Dia tidak biasa dengan keadaan bersepah kerana rumahnya sentiasa berkemas rapi. Sedikit sampah pun tidak pernah dibiarkan bersepah di lantai. Pantas sekali tangannya untuk membersihkan segala kekotoran yang ada di situ. Sikap cerewet yang sering ditegur oleh Kak Gee, sehinggakah teman sekerjanya itu  selalu mengatakan bahawa dia bernasib baik kerana tidak punya anak-anak yang menyepahkan rumahnya. Kalau tidak, pastinya akan jadi ibu yang cukup garang dengan sikap budak-budak yang sememangnya gemar untuk menyepahkan rumah. 
Selepas mandi dan solat, barulah dia teringat pada Syamsul  yang ditinggalkan di ruang tamu tingkat bawah rumahnya itu. Bila dia menapak ke bawah, di dapati lelaki itu tiada di ruang tamu. Dia meninjau-ninjau keluar. Terdetik di hatinya kemungkinan Shamsul Hasni sudah meninggalkan rumah itu. Mungkin tersinggung kerana ditinggalkan sendirian. Atau terasa tidak betah untuk terus menjadi suaminya.
Dalam hati dia berharap supaya perkara itu berlaku. Jika boleh dia ingin perkara sebegitu berlaku. Dia tidak tahu bagaimana untuk dia melayan lelaki itu. Perlukah dia melayannya dengan istimewa selayaknya sebagai seorang suami? Atau bagaimana? Hatinya jadi serba salah.
Bunyi deruan air di sinki dapur menyebabkan dia sedar bahawa lelaki itu masih ada lagi di dalam rumah. Lantas dia turut ke dapur. Dilihatnya Syamsul  sedang membasuh tangannya di sinki. Di atas dapur sudah terjerang gulai kenduri tengahari tadi yang sedang dipanaskan. Sebelum pulang tadi Kak Ros telah membekalkan mereka dengan juadah dari kenduri tadi untuk mereka makan malam nanti.
“Awak lapar ke?” dia bertanya pada Syamsul  yang tidak menyedari kehadirannya.
Pertanyaan itu membuatkan Syamsul  terperanjat. Cepat sekali dia berpaling pada Mai. Perlakuan pantas sebegitu membuatkan dia hilang keseimbangan. Kakinya yang tempang itu menyebabkan dia hampir jatuh. Cepat-cepat dia berpaut pada bahagian tepi sinki. Namun bahagian yang basah itu ternyata licin menyebabkan tangannya terlepas pegangannya dan hilang keseimbangan. Terus dia jatuh terduduk di lantai.
Terjerit Mai melihatkan tubuh yang begitu tinggi itu jatuh di hadapannya. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan Syamsul  yang sedang terduduk di lantai. Wajahnya menunjukkan kerisauan apabila melihat Syamsul  terjatuh kerana terperanjat dengan sapaannya.
“Awak tak apa-apa ke? Maaf, saya buat awak terkejut,” katanya cemas sambil tangannya memegang lengan lelaki itu.
Dengan pantas dia melutut di sebelah lelaki itu dan dalam kekalutannya, kakinya tersadung pada alas kaki yang diletakkan di hadapan sinki. Dia jatuh di ke atas  Syamsul  lantas tubuh mereka bersentuhan dalam keadaan yang cukup intim. Dan dengan tindakan refleksi, tangan kiri Syamsul memeluk pinggang Mai erat sekali.
Terkesima kedua-duanya di atas lantai di hadapan sinki. Buat seketika mereka hanya memandang ke dalam mata masing-masing. Pertama kali bersentuhan selepas upacara membatalkan air sembahyang tengahari tadi mengundang rasa yang cukup tidak selesa di hati masing-masing. Lantas cepat-cepat Mai membetulkan kedudukannya supaya ada jarak antara tubuh mereka.
“Maaf.... saya... tak sengaja...,” ucapnya perlahan. Agak terkejut dengan apa yang berlaku. Matanya kembali mengerling sekilas ke wajah Syamsul  yang kelihatan tersenyum selamba. Terasa agak malu dengan keterlanjuran sebentar tadi.
“Tak apa... aku yang salah, jatuh macam nangka busuk kan?” kata lelaki itu sambil tersenyum lagi.
Pertama kali Mai melihat senyuman yang sungguh menawan begitu. Selama ini keadaan di antara mereka selalunya agak tegang hinggakan dia tidak pasti bagaimana wajah Syamsul  ketika tersenyum.  Malah dia merasakan sehingga kini tidak pernah sekali pun dia  melihat Syamsul tersenyum semesra itu. Selalunya dia agak serius dan selalu tenggelam dalam dunianya sendiri, sering termenung sendirian. Seperti sedang memikirkan sesuatu.
Cepat-cepat Mai bangun dengan debaran di hati. Dia cuba meredakan debaran itu dengan menghulurkan tangannya untuk Syamsul  berpaut. Namun, debaran itu jadi kian kencang saat jejari mereka bersentuhan lagi. Dia dapat merasakan kembali kehangatan pelukan lelaki itu sebentar tadi. Menyebabkan wajahnya kemerah-merahan menahan malu. Sungguh dia tidak menyangka tubuh yang kurus itu mempunyai lengan yang kuat sekali. Dapat dirasakan kekuatan itu sebentar tadi.
Syamsul  turut bangun dari duduknya dengan bantuan Mai. Terdetik sedikit rasa malu di hatinya kerana jatuh begitu.
“Aku ni macam lemah sangatkan? Kena tegur sikit dah jatuh,” ucapnya untuk membuang rasa malu itu.
Mai hanya tersenyum. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Debar di hatinya bagaikan tidak mampu untuk diseka. Lantas dia berpaling ke arah periuk di atas dapur. Gulai yang dipanaskan sudah mengelegak.
“Awak panaskan gulai tu? Pandai pula awak cari periuk ni?”
“Susah juga. Habis pintu kabinet tu aku buka. Akhir sekali jumpa juga. Kak Ros pesan tadi gulai ni kena panaskan. Kalau tak dipanaskan,  basi nanti. Lauk lain tak apalah kalau  terus masukkan ke dalam peti sejuk.” Katanya Syamsul  selamba.
Hatinya juga cukup berdebar dengan insiden sebantar tadi. Namun dia mampu menyembuyikan perasaannya dengan cukup baik sekali. Kalaupun ada terpamer sedikit debaran itu, Mai pasti tidak menyedarinya kerana sibuk melayan debaran di hatinya sendiri. Malah matanya juga turut dilarikan ke arah lain, tidak mampu menatap wajah suaminya itu.
“Malam ni aku rasa tak nak makan nasi. Dah muak rasanya seharian asyik hidu bau gulai ni aje. Nanti lepas sembahyang, aku masakkan sesuatu yang istimewa untuk kita,” ucap Syamsul.
Tangan Syamsul  mula membuka pintu kabinet untuk mencari bahan-bahan yang boleh di masak. Mai hanya memerhatikan sahaja. Terdetik di hati ini, betapa selesanya lelaki ini masuk ke dalam hidupnya. Tanpa segan silu dia menyelongkar isi kandungan di kabinet. Mungkinkah tanpa segan silu juga dia akan mampu menyelongkar segenap ruang lain dalam hidupnya, dalam mindanya dan mungkin juga dalam hatinya satu hari nanti? Dan entah mengapa kata-kata terakhir Syamsul  tadi bagaikan kedengaran romantis sekali di telinganya.

Popular Posts