Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 15

Bunyi tapak kaki kecil yang berlari mendekatinya buat resah di hati Syamsul  hilang melayang. Gembira sungguh hatinya bila mendengarkan bunyi itu. Kali terakhir dia pulang ke kampung ialah seminggu sebelum dia menikahi Mai. Tujuannya waktu itu adalah untuk membawa emaknya ke Shah Alam untuk majlis perkahwinannya. Namun disebabkan kesihatan emaknya yang tidak mengizinkan, emaknya menolak dengan harapan dia akan pulang bersama Mai selepas mereka berkahwin. Namun hajat itu masih belum sampai bila dengan terus terang Mai meletakkan syarat dalam perkahwinan mereka. Syarat yang membuatkan dia begitu tawar hati untuk melaksanakan hasrat emaknya itu. Malah, dia terpaksa mencipta pelbagai alasan untuk menjelaskan mengapa dia dan Mai tidak dapat pulang ke kampung selepas majlis itu berlangsung.

Dan bila kali ini dia pulang sendirian, dia pasti, tentunya pelbagai persoalan akan timbul. Setakat ini dia masih buntu dengan alasan yang harus diberikan. Nasib baik Shuhaida tidak bertanyakan dia tentang perkara itu semasa mereka bertemu di hospital tadi. Timbul sedikit kesal di hati kerana menolak pelawaan Mai untuk pulang bersama semalam. Sekurang-kurangnya jika Mai pulang bersama, dia tidak perlu memberikan alasan-alasan yang tidak munasabah.

Derap kaki yang pantas berlari tadi tiba-tiba terhenti dan sepasang tangan kecil terasa memeluk erat di pehanya membuatkan dia terhoyong-hayang untuk menstabilkan kedudukannya. Dia  tersenyum riang. Sengaja di biarkan tangan itu memeluknya kuat. Pura-pura baru menyedari akan hadirnya si kecil itu.

“Erk... hei siapa ni ... kuatnya tangan dia... peluk kaki ayah ni....,” dalam nada terkejut Syamsul  pura-pura merungut.

Terdengar suara si kecil tertawa mengekek-ngekek. Hilang melayang segala resah yang menyelubungi hatinya sebentar tadi. Perhatiannya kini di tumpukan sepenuhnya kepada anak kecilnya itu. Perlahan dia berpaling melihat si kecil yang tegak berdiri hanya separas pangkal pehanya. Senyuman itu memang tak pernah dilupakannya. Malah senyuman itulah yang sering dirinduinya. Sering mengharapkan ia hadir di setiap detik waktu yang dia ada. Namun, tekad memisahkan mereka. Biarlah untuk seketika ini, dia jauh dari senyum itu. Akan tiba saatnya nanti senyum itulah yang akan kembali mewarnai hari-harinya.

“Ayah... Nabil la niii....” ucapan manja dari anak kecil berusia lima tahun itu singgah di telinganya. Segera dia bertinggung untuk menyamakan aras wajahnya dengan wajah anak kecil itu. Dia memeluk kemas tubuh anak yang dirinduinya itu. Senyuman si kecil yang kelihatan begitu nakal sekali bagaikan air dingin yang membasahi hatinya. Membuatkan hilang segala rindu yang dirasakan selama ini.

“Nabil rupanya.... ingatkan siapa tadi... kuat betul anak ayah sekarang ni... nasib baik ayah tak jatuh tadi...,” katanya dengan gurau yang begitu mengujakan. Anak kecil itu ketawa mengekek lagi.

“Nabil makan banyak...tau yah... Cik Yah cakap kalau makan banyak nanti kuat,”

“Ia...? Nabil makan apa?”

“Makan nasi lah... dengan lauk ayam...,” jawabnya dengan manja.

“Wah... mesti best ni,”

“Nanti Nabil nak makan lauk yang ayah masak ... boleh?”

Syamsul  ketawa kuat sekali. Meluahkan rasa bahagia yang menyelubungi hatinya saat itu.

“Mestilah boleh...,” ucapnya sambil memeluk erat tubuh kecil itu kembali. “Kak Wawa mana?” tanya dia, menduga si kecil.

“Sekolah...,”

“Ohhh...,”

Senyum masih lagi mekar di bibirnya melihatkan wajah mulus anak kecil itu. Mata yang bercahaya itu sering mengingatkan dia kepada Suzana. Mana mungkin dia mampu melupakan arwah isterinya itu sedangkan segala-galanya tentang dia ada pada raut wajah anak-anaknya. Nabil mewarisi lirikan mata Suzana sedangkan Wawa mewarisi semua apa yang pernah ada pada Suzana. Semakin dia membesar kini, semakin itulah dia menunjukkan raut wajah dan perwatakan Suzana. Ya, Suzana hidup dalam anak gadisnya Najwa.  

“Mana Cik Yah?”

“Kat atas... masak,” jawab Nabil ringkas.

“Cik Yah masak apa hari ni?”

“Entah...,”

“Jom kita naik...?”

“Jom...,”

Perlahan Syamsul berdengket-dengket bertapak menaiki tangga ke atas rumah sepupunya. Buat sementara waktu ini Nabil dan Najwa terpaksa tinggal di sini. Dan sekarang, setelah dia pulang untuk mengambil alih tugas Shuhaida menemani emak mereka di hospital, bolehlah adiknya itu kembali menjaga anak-anaknya di rumah mereka. Setidak-tidaknya anak-anak tidak lagi akan menyusahkan sepupunya, Kak Mariah.

Kepulangannya itu di sambut mesra oleh Kak Mariah. Dia merasa amat terhutang budi kepada sepupunya itu. Biarpun dari keluarga yang susah, hidup dalam serba kekurangan, dia masih lagi sanggup mengambil alih penjagaan anak-anaknya sementara mereka dalam kesusahan begini.

Makan tengahari itu, nasi yang berlaukkan ulam pegaga, pucuk ketereh dan dan pucuk serai kayu dicicah dengan budu yang diletakkan seulas durian. Ikan kembong bakar menaikkan lagi selera anak muda yang sudah sekian lama tidak menikmati juadah kegemarannya itu. Seringkas itu sahaja juadahnya, namun sudah mampu membuatkan dia menambah nasi hingga tiga pinggan. Sudah sekian lama dia tidak makan sebanyak itu. Kak Mariah dan suaminya Abang Derasid, cukup teruja melihatkan Syamsul  makan begitu berselera sekali.

“Isterinya tak balik sekali Syam?” tanya Abang Derasid tiba-tiba.

Terhenti seketika suapannya. Sungguh dia tidak menyangka soalan itu akan terlantun di saat-saat begini.

“Tak bang... esok dia mengajar. Susah jugak sebab cuti dah tak ada. Dah  habis dia ambil masa kami kahwin hari tu..,” Syamsul  beralasan.

Abang Derasid mengangguk. Namun Syamsul  dapat rasakan anggukan itu bagai dapat membaca bahawa tiada keikhlasan dalam ucapannya itu.

 Tengahari itu Syamsul  merehatkan diri seketika sebagai persediaan untuk menemani emaknya di hospital malam nanti. Sebenarnya dia tidak begitu memerlukan rehat itu. Dia hanya ingin sendirian, tanpa gangguan, tanpa pertanyaan-pertanyaan yang membuatkan dia terpaksa berbohong tentang Mai. Satu persatu pertanyaan tentang Mai yang dari Nabil yang terpaksa dijawabnya. Kenapa dia tidak turut sama balik dengan ayah, mengapa dia tidak pernah menelefon bertanyakan khabar, mengapa umi barunya itu tidak membelikan apa-apa hadiah untuk dia dan kakaknya. Dan satu persatu Syamsul terpaksa menjawab pertanyaan demi pertanyaan itu dengan pembohongan. Menyesali setiap pembohongan yang terpaksa dia ucapkan. Malah kini dia menyesali keputusannya untuk membantu pasangan itu untuk kembali bersama, lalu memberikan harapan palsu untuk anak kecilnya ini. Harapan yang tidak mungkin akan jadi kenyataan. Dalam kesalan itu dia terpaksa akur dengan kesilapan yang dia telah lakukan. Sungguh-sungguh dia menyesali segalanya. Dan akhirnya dalam kesalan yang tidak berkesudahan itu, dia lena bersama Nabil, menantikan Najwa pulang dari sekolah.
****
Najwa tiba dari sekolah tepat jam 4.15 petang. Hari Ahad dia terlibat dengan kelas Fardhu Ain menyebabkan waktu pulangnya adalah pada jam 4.00 petang. Sejak dari tadi lagi hatinya cukup teruja kerana kepulangan ayahnya. Bagaikan tidak sabar rasanya hati kecilnya untuk menemui ayah dan mungkin emak tirinya.
Bila mengingatkan kehadiran perempuan itu, hatinya menjadi sakit. Mengapa ayah perlu kahwin lain? Tidakkah dia sayang pada ummi? Mengapa perlu ada orang lain dalam hidup mereka? Mengapa perlu mereka memasukkan orang lain dalam keluarga mereka? Sungguh dia tidak mengerti mengapa.
Setiba di rumah kak Yah, hatinya hampa apabila melihat ayahnya sedang lena bersama Nabil. Terasa ingin sekali dia mengejutkan ayah untuk meleraikan sejuta rasa rindu yang bersarang di hatinya. Namun terasa kasihan pula bila melihatkan ayah keletihan. Dalam hati tertanya-tanya di manakah gerangan emak tirinya. Bila tiada kelibat wanita lain yang kelihatan di dalam bilik tidur tempat ayahnya dan Nabil terlena, hatinya bertambah hairan. Ah..., lantaklah.... bisik Najwa dalam hati.
Cepat-cepat Najwa kembali ke dapur untuk mencari sedikit makanan bagi melegakan rasa lapar. Tengahari tadi dia cuma makan dua keping keropok lekor di sekolah sementara menunggu kelas fardhu ain bermula. Setibanya di dapur, dia melihat Cik Yah sedang menyendukkan nasi ke pinggan.
“Ha... basuh tangan tu Wawa... nanti makan nasi ni...,”
“Hem...,” dia bergumam sendiri. Kak Mariah memandang anak gadis sunti itu dengan pandangan simpati. Najwa memang kelihatan sedang bersedih. Sejak kematian umminya lima tahun yang lalu, anak kecil yang pada waktu itu berusia empat tahun masih belum kenal apa erti kematian. Namun dengan kematian itu, dia menjadi anak yang suka menyendiri. Tambahan lagi apabila kawan-kawan lain punya ibu dan bapa. Sedangkan dia, tak punya sesiapa. Ayah yang ada pula jauh dari mata.

“Orang tu mana Cik Yah?” soalan terpacul dari bibir munggil anak gadis sunti itu setelah sekian lama dia diam sambil menyuap nasi ke mulutnya. Kak Yah yang sedang menggoreng jemput-jemput pisang sedikit terperanjat mendengarkan panggilan yang digunakan oleh Najwa. Dia tahu siapa yang dimaksudkan, tetapi diam, buat-buat tidak tahu.
“Siapa Wawa...  ?” Lama kemudian barulah dia bersuara.
Najwa diam sambil meneruskan suapan. Lama sekali dia diam.
“Wawa ...?” tanya Kak Mariah lagi.
 “Ala... orang yang ayah kahwin tu..,”
“Wawa ... jangan panggil dia macam tu... dia kan umi Wawa sekarang..,” pujuk Kak Marih.
“Siapa kata dia umi Wawa...,” keras kedengaran kata-kata itu buat Kak Yah terkejut dengan sikap anak gadis itu. Lantas dia menggelengkan kepalanya.

“Tak baik Wawa cakap macam tu. Ayah kan dah kahwin dengan dia, mestilah dia dah jadi umi Wawa...,” kata Kak Yah bersahaja sambil meneruskan kerjanya. Perhatiannya terus diberikan kepada jemput-jemput yang sedang digoreng di dalam kuali.
Tetapi bunyi dentuman kuat di belakangnya membuatkan dia terkejut. Dia berpaling pada Najwa yang sedang berdiri di tepi meja. Kerusi yang diduduki Najwa sudah terbalik di lantai. Anak gadis sunti itu pula kelihatan begitu marah sekali memandang kepadanya.
“Tak nak... Wawa tak nak... Wawa nak umi Wawa ... tak nak orang lain....,” jeritnya sambil menangis. Pantas sekali kakinya melangkah pergi meninggalkan nasi yang masih berbaki di pinggan.
****
Dentuman kuat dari arah dapur mengejutkan Syamsul  dari lenanya. Sebentar kemudian kedengaran suara Wawa menjerit dalam tangis yang bagaikan membentak. Dalam sedar tak sedar dia tidak dapat menangkap apa yang diperkatakan oleh anak gadisnya itu. Namun dari tangisan dan jeritan itu dia bagaikan dapat meneka tentang kesedihan yang sedang dialami Najwa. Sebentar kemudian kedengaran bunyi hentakan kaki yang berlari di atas lantai kayu rumah papan itu bersama dengan tangisan sendu seorang anak gadis.
Perlahan dia bangun supaya pergerakannya itu tidak mengganggu Nabil yang sedang lena berbantalkan lengannya. Seketika dia merenung anak kecilnya itu. Alangkah  baiknya jika Najwa bersikap seperti Nabil? Labih senang menerima apa sahaja yang dikatakannya. Tidak banyak membantah. Malah ada ketikanya lupa tentang sesuatu yang tidak begitu menarik minatnya. Larut dalam dunia kanak-kanaknya bersama dengan Ultraman dan Kamen Ridernya. Dua watak superhero yang menjadi pujaannya.
Dia dapat mengesan penolakkan Najwa pada keputusannya untuk berkahwin dengan Mai sejak kali pertama dia memberitahu perkara itu kepada keluarganya. Waktu itu dia tidak menjelaskan tentang mengapa perkahwinan itu perlu dilaksanakan. Emaknya dan Shuhaida  dapat menerimanya dengan baik sekali. Malah kelihatan begitu teruja sekali. Nabil hanya terkebil-kebil bagaikan tidak mengerti. Tapi Najwa terus memasamkan mukanya tanda protes. Apabila dia menunjukkan foto Mai kepada emaknya, Najwa sedikit pun tidak menunjukkan minatnya untuk menatap foto itu. Terus sahaja diam di tepi pintu tempat dia duduk memeluk pehanya sejak dari awal perbualan dimulakan. Waktu itu hanya Nabil sahaja yang terlompat-lompat ria melihatkan kecantikan Mai yang bakal menjadi ibunya.  Bila mengenangkan kembali sikap teruja Nabil untuk menerima Mai, terkilan rasa di hatinya dengan sikap Mai yang bagaikan acuh tidak acuh untuk mengenali keluarganya terutamanya anak-anaknya. Sikap dingin yang timbul kerana kesombongan dan keangkuhan untuk kembali kepada Irfan. Hinggakan dia tidak langsung menghiraukan apa pun juga yang berlaku dalam hidupnya kini. Yang ada di mata Mai hanya Irfan. Hinggakan sanggup menyerahkan diri kepadanya demi kerana ingin cepat dapat kembali semula bersama Irfan.
Mengenangkan itu terasa bagaikan membuak kembali rasa marahnya kepada Mai. Egonya  sebagai lelaki dan suami terasa begitu tercabar sekali. Walaupun waktu itu Mai bagaikan turut  menikmati semua keindahan yang mereka kongsi bersama, dia jadi ragu-ragu. Adakah mungkin waktu itu Mai membayangkan Irfan? Bukan dia yang sedang berada bersamanya? Ah.... Tiba-tiba tubuhnya menggeletar akibat perasaan marah yang dirasakannya. Lantas dia bangun dan meninggalkan Nabil yang sedang lena.
Keluar sahaja dari bilik tempat dia dan Nabil terlena sebentar tadi dia terus ke dapur untuk menemui Kak Mariah. Kelibat dan suara Najwa tidak lagi kelihatan. Hanya Kak Mariah sahaja yang kelihatan sedang bingung di dapur.
“Kak...,” tegurnya membuatkan Kak Mariah berpaling kepadanya.
“Hah Syam... dah bangun kamu?”
“Dah.... .” jawabnya ringkas. Mananya menatap ke dalam mata kak Mariah. Cuba meneka apa yang ada di dalam hati wanita yang lebih tua daripadanya itu.
“Najwa tak suka ke Syam nikah dengan isteri  Syam tu?” Cepat sekali kak Mariah bertanya untuk meleraikan kebingungan di hatinya. Belum sempat lagi dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi berhampiran meja makan, soalan cepu emas itu sudah ditnyakan. Terdiam seketika Syamsul  memikirkan bagaimana dia harus menjawab soalan itu.
“Syam ... Kak Yah tanya ni....,”
“Ya kak... Syam dengar...,”
“Kenapa Syam kahwin juga walaupun anak-anak tak suka? Sekurang-kurangnya kenalkanlah dulu, biar anak-anak berkenan...,”
Terdiam lagi dia mendengarkan kata-kata itu. Ah .... dia sendiri tidak pernah memikirkan itu. Yang dia tahu, pernikahannya dengan Mai bukannya untuk selamanya. Maka untuk apa perlu dia mengharapkan anak-anaknya suka dengan Mai. Malah, dia juga tidak nampak mengapa perlu dia  merapatkan jurang antara Mai dan anak-anaknya.
“Kita ni Syam..,kalau nak kahwin tu... kenalah pikat hati anak dulu. Barulah senang... Kahwin ni bukan perkara main-main. Kita kahwin nak sampai ke akhir hayat kalau boleh kan?”
Syamsul  hanya diam mendengarkan kata-kata Kak Mariah. Tak mampu berkata apa-apa. Juga tidak mahu membuka pekong di dada. Cepat-cepat dia bangun. Tidak mahu lagi di hujani pertanyaan demi pertanyaan dari kakak sepupunya itu.

“Syam nak siap-siap pergi temankan mak ni Kak Yah. Lewat Syam sampai nanti kang, lewat pulaklah Shuhaida dapat balik,” katanya sambil berlalu pergi. Kak Mariah hanya memandang Syamsul  meninggalkannya. Menggeleng-gelengkan kepalanya dengan sikap berahsia anak muda itu.

Popular Posts