Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 6


Ahad itu, Fazila kembali ke kampus UTM Skudai yang terletak di selatan tanah air setelah hampir tiga bulan berada di kampung. Kebosanan dengan perjalanan dengan bas yang mengambil masa hampir sepuluh jam itu bagaikan tidak dirasakan dek kerana ada sesuatu yang mendebarkan tetapi indah memenuhi ruang ingatannya. Cincin merisik dan meminang yang bertakhta di kedua jari manisnya, kiri dan kanan, ditatap penuh rasa serba salah. Di sepanjang waktu itu dia asyik terbayangkan wajah Faris, yang kini telah dinaik tarafkan kepada ‘Abang Faris’ oleh emak dan abah.
Hampir-hampir Fazila tidak dapat membayangkan bagaimana  raut wajah itu di matanya. Maklumlah, waktu itu terasa malu sekali untuk terang-terangan menatap wajah lelaki itu. Kalaulah bukan dek kerana gambar-gambar kenangan yang diambil oleh Kak Rini dan juga adiknya Hafiz, sudah tentu saat ini wajah itu sudah jadi berbalam dalam ingatannya.
Di saat dia keluar ke ruang tamu untuk diperkenalkan kepada keluarga sebelah pihak Abang Faris semalam, terdengar bisik-bisik dari tetamu perempuan yang hadir. Bukannya ramaipun yang hadir dari pihak mereka.Sekadarlima orang termasuk Makcik Hasmah dan Farisya. Tetamu lelaki  juga seramai lima orang termasuk Fauzi dan Abang Faris. Majlis yang diadakan itu ringkas sahaja kerana terlalu tergesa-gesa dijalankan. Setelah cincin merisik dan cincin pertunangan disarungkan ke jari manisnya oleh Makcik Hasmah, Fazila bersalam dengan semua tetamu wanita. Tidak mampu untuk dia gambarkan bagaimana perasaannya bila dia tiba-tiba menjadi perhatian semua orang. Debaran di dadanya bagaikan gendang dipalu, mengegarkan seluruh tubuhnya. Mak Long Habsahnya yang berada di sisi saat itu menggenggam tangannya erat untuk melegakan rasa seram sejuk yang dia rasakan terlahir dek rasa gementar.
“Macam berjanji-janji aje kan? Mukapun dah ada iras-iras ni. Lebih kurang sama aje nampaknya,” Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata salah seorang tetamu lelaki semalam.
“Itulah yang dikatakan jodoh. Ikut orang tua-tua, kalau seiras macam ni, katanya serasi. Aman rumah tangganya nanti...,” kedengaran suara lain pula yang menyambut.
“Insyaallah.... begitulah hendaknya....,” sahut abah pula. Menambah lagi rasa malu di hati Fazila.
Abang Faris.... sungguh kenangan antara mereka terlalu sedikit untuk dikenang. Malah, bagaikan tiada langsung kenangan itu untuk diingati. Bertemu hanya dua kali dan setiap renungannya hadir tanpa sepatah kata. Namun bicara hati mereka saat sejenak mata bertentangan semalam  bagaikan menyatakan segalanya. Kehadiran lelaki itu di majlis pertunangan mereka semalam bagaikan menambahkan lagi kayakinan Fazila terhadap perasaan lelaki itu kepadanya. Meskipun Abang Faris hanya duduk di luar rumah bersama Fauzi sepanjang perbincangan diadakan, masih Fazila dapat rasakan kehadirannya. Apa lagi yang dia inginkan selain dari ketulusan hati Abang Faris untuk membina bahagia bersama dirinya?
Mungkin saat ini hati mereka masih belum mampu untuk berbicara kata-kata cinta. Tapi kesungguhan Abang Faris  untuk menjadikan dirinya sebahagian dari hidup lelaki itu begitu meyakinkan Fazila. Selama ini belum ada lelaki yang setulus itu ingin menjalinkan hubungan dengannya. Kalau ada pun yang menyapa untuk berkenalan, kebanyakkannya mengharapkan sesuatu yang tak mampu untuk dia berikan. Dia tidak mampu pergi jauh dalam hubungan yang tidak tahu ke mana arah tujuannya.

****

Seperti yang dia jangkakan, kejutan ini mengundang pelbagai tohmahan dari teman-teman sekuliahnya. Masing-masing begitu terperanjat dengan keberanian Fazila  menerima perhubungan ini. Mengikat tali pertunangan tanpa ada apa-apa rasa cinta yang tersemai dalam hati. Yang paling terkejut ialah Nadia kerana langsung dia tidak menyangka semua itu akan berlaku. Kebetulan mereka bertemu setelah Nadia tiba petang itu di rumah sewa yang pernah mereka diami bersama semasa sama-sama di tahun akhir pengajian tempohari. Nadia datang untuk membawa barang-barang yang Fazila tinggalkan di rumah Nadia sepanjang tempoh permohonan melanjutkan pengajiannya di proses baru-baru ini.
“Eee... berani ye engkau terima dia?” kata Nadia ketika Fazila menyampaikan berita itu kepadanya.
“Insyaallah, dia jodoh aku agaknya,” kata Fazila separuh yakin.
“Tapi Ila, engkau tak pernah kenal dia kan? Macamana engkau boleh yakin dengan dia?”
Fazila menarik nafasnya panjang. Cuba meyakinkan dirinya sendiri dengan semua yang terjadi ini.
“Aku ada satu rahsia, nak dengar tak?” kali ini kata-katanya itu cuba ditegaskan demi untuk meyakinkan Nadia. Sedangkan di dalam hatinya sendiri pun masih ada keraguan dengan semua yang berlaku ini
“Apa?”
“Masa bulan puasa lepas, kitakan buat Qiamullail kat masjid, engkau ingat tak?”
Kelihatan Nadia mengaggukkan kepalanya.
“Lepas solat Hajat malam tu, aku ada mohon pada Allah, minta Allah kurniakan aku dengan suami yang soleh untuk bawa aku ke jalan yang diredhoi. Aku yakin, sekarang ni Allah dah kurniakan doa aku tu,”
“Eii... berani ye engkau. Dia tu kan orang yang engkau tak kenal. Manalah tau kut-kut dia tu iblis bertopengkan manusia,”
Tersentuh hati Fazila mendengarkan kata-kata pedas Nadia. Saat itu terasa hatinya bagaikan diramas. Bagaikan ada suara-suara halus yang berbisik mengiakan kata-kata Nadia itu. Mengapa selama ini aku tidak pernah terfikir akan kemungkinan itu?
“Ila, taulah engkau tu baik, tapi janganlah engkau fikir semua orang tu baik macam engkau. Sepatutnya kenalah ada sikit rasa curiga. Jangan senang-senang nak percaya pada orang,”
“Tapi, yang introduce tu kan Fauzi, adik dia Nad... Takkan lah Fauzi nak aniya aku. Kalau abang dia jahat, takkan dia nak kenalkan kami.”
“Mana kita tahukan?”
Terdiam Fazila mendengarkan kata-kata Nadia. Ya, kemungkinan yang tidak sekali-kali dapat dia nafikan.
“Itulah engkau Ila, bukannya tak ada yang nakkan engkau. Bila ada, engkau buat jual mahal. Macamana lelaki berani nak dekat dengan engkau. Tengoklah Baharin, Jamal, Tojo... Dia orang tu kata, susah sangat dia orang nak tackle engkau. Sampaikan dia orang tu semua back off..., surrender. Yang buat betting pun ada, siapayang berjaya ajak kau keluar dating, dapatlah habuannya. Ada pulak yang minta kita orang dapat pujuk kau supaya dia orang dapat bawa engkau keluar. Siap nak belanja kita makan kalau dia orang berjaya. Kita orang je yang tak berani nak cakap kat kau, takut kau marah... hehehe... ,” kata Nadia, ketawa sambil membuka rahsia yang dia simpan selama ini. Bulat mata Fazila mendengarkan semua itu. Memang selama ini dia tidak tahu sampai ada yang hingga ke tahap itu. Terkedu seketika jadinya.
“Aku tak sukalah Nad.. orang yang nak main-mainkan aku macam tu. Kalau nak, biarlah buat betul-betul. Jangan nak main-main...,” kata Fazila dengan nada sinis.
“Siapa kata dia orang nak main-main. Ada tu yang memang serius nak kenal kau. Kalau tak jumpa, tak dapat cakap dengan kau, mana nak kenal? Dia orang tegur, request friend, hantar pm( personnal massage)  kat facebook kau tak layan. Dia orang nak call, kau tak ada telefon... kalau cakap berdepan, kau selalu buat tak layan...strictpada benda-benda yang penting je....  cakap pun sikit-sikit... lepas tu kata ada hallah... ada kerjalah....orthodoks betul...,”
“Nad, biarlah kau nak kata aku orthodoks ke... apa ke... yang penting aku bahagia. Aku bukan rajin sangat nak layan borak yang entah apa-apa. Pasal  facebook pulak, bukan aku rajin sangat nak layan facebook tu. Setakat nak bersembang kosong kat maya gitu... buang masa aku aje... kalau sekali-sekala tu tak apalah jugak.... Kita ni tengah belajar, kalau asyik dok layan fb, kerja utama tak jadi nanti. Kau taulah, fb tu macam berhantu. Sejam chatting pun macam sekejap aje aku rasa. Kalau yang tegur elok-elok tu oklah jugak, tapi kalau yang pm benda ngarut-ngarut malaslah aku nak layan. Sebab tu aku malas nak selalu online. Lagipun, aku cuma online kat pusat pelajar atau libruary aje sebab kat sana ada wifi. Kat rumah sewa, kalau nak browsing cari maklumat untuk assignment, baru aku guna broadband aku tu. Jimatlah sikit aku punya broadband...,” panjang lebar Fazila memberikan hujahnya.
“Kedekut tak habis-habis...,” komen Nadia.
“Aku kena kedekut la dalam hal-hal gitu Nad... aku tak nak membazir. Aku bukannya anak orang senang... boleh belanja lavish macam kau orang... ,” jelas Fazila lagi tentang keadaan dirinya yang sudah sedia diketahui oleh Nadia.
Nadia mencebirkan bibirnya.
“Iyelah... dah berapa puluh kali kau cakap kat aku.... ,” katanya sambil menyambut kata-kata Fazila dengan bersahaja.
“Kau janganlah kutuk aku... jangan sebab dia orang tak dapat contact aku, kau kutuk aku pulak.... kecik hati ni tau...,” kata Fazila manja.
Dia sekadar berkata-kata, sedangkan dia tahu Nadia tidak pernah memandang dirinya rendah kerana keadaan hidupnya yang serba kekurangan. Malah Nadialah yang sering membantu tiap kali dia dalam kesusahan. Selalu menabur budi yang diberikan dalam keadaan yang langsung tidak mampu dia menolaknya. Dan dia cukup tahu bahawa Nadia ini cukup ikhlas orangnya. Tidak pernah meminta apa-apa balasan dari dirinya. Cuma yang selalu dia tidak tahan ialah mulut Nadia yang sering dalam gurauannya, kuat sekali mengutuk dirinya. Ada kalanya ingin saja dia jahit mulut yang juga sering manis bergula itu.
“Jual mahal ..,” ulang Nadia lagi sambil menjelirkan lidahnya.
Pantas Fazila memukul  bantal spongebobnya ke tubuh Nadia yang duduk di sebelahnya di atas katil tempat dia tidur. Setelah permohonan pengajiannya diluluskan, dia telah menghubungi Pak Hamzah untuk menempah bilik paling kecil di rumah sewa tiga bilik itu. Kebetulan bilik itu memang disewakan untuk seorang penghuni kerana saiznya yang kecil. Bilik itu dilengkapi dengan sebuah katil bujang, sebuah almari kecil dan sebuah meja. Dia lebih suka untuk tidak berkongsi bilik dengan kawan-kawan lain. Cukup sekadar berkongsi rumah sewa sahaja. Dua bilik lagi dihuni oleh lapan orang teman sebilik lain yang merupakan juniornya di kampus. Dulu dia dan Nadia berkongsi bilik yang lebih luas bersama dua orang lagi teman. Sekarang, Nadia tidak lagi tinggal bersamanya kerana sedang mencari kerja yang sesuai untuk dirinya.  Minggu hadapan Nadia akan menghadiri satu temuduga di salah sebuah kilang di Pasir Gudang untuk jawatan jurutera pengeluaran.
“Nad... engkau tau ajelah. Dia orang tu, sikit-sikit nak ajak keluar. Kononnya nak kenal hati budilah katakan.... Mana boleh macam tu. Takkan lah aku nak langgar pesan mak abah aku pulak. Berdosa tau,”
“La, sebab tulah aku ajak kau double date dulu. Bukannya kau keluar berdua aje dengan Tojo tu. Itupun tak sempat apa-apa engkau dah balik, tinggalkan Tojo seorang-seorang. Siapalah tak marah. Kalau aku jadi dia pun, tentu aku marah jugak,”
“Hah, double date apa? Keluar aje bersama. Bila dah sampai kat sana, engkau dengan Man tinggalkan aku dengan dia. Mana boleh macam tu. Itulah yang aku balik tu,”
“Yelah... kau tu jual mahal sangat, bila ada yang nak berkenalan kau jual mahal. Sekarang ni, bila dah desperate, ha... ikut saja siapapun yang masuk meminag... terus terima... kalau jadi apa-apa... merana badan...  baru engkau tahu,”
“Apa? Kau kata aku desperate?” kata Fazila sambil membulatkan matanya tanda terkejut.
“Yelah, desperatelah tu. Dah habis belajar pun belum ada boyfriend. Habis  tu siapa aje yang masuk meminang, terus terima. Tak ke desperate namanya tu?”
Gulp, tak mampu dia menjawab kata-kata Nadia itu. Terdasakkah dirinya bila dia menerima pinangan ini akibat dari rasa yakin dengan ketulusan hati Abang Faris? Kata-kata Nadia itu memberi kesan ke atas dirinya. Membuatkan dia terus rasa serba-salah. Bimbang dengan kemungkinan yang satu itu.

****

“Macam mana ye prof, tajuk kajian saya tu?”
Professor Rukiyah menatap kertas kerja Fazila yang bertajuk ‘Local Laboratory Ventilation Unit” yang telah dihantarnya minggu lepas untuk diteliti. Wanita berusia pertengahan tiga puluhan itu mengangguk-angguk perlahan sambil tersenyum.
“Ok... saya minat dengan tajuk  awak ni Fazila, menarik... dan saya rasa boleh di buat ni. Cuma awak rasa sempat tak nak siapkan dalam masa satu tahun?  Nampaknya ada bahagian fabrikasi bahan ni, lepas tu kena buat kajian untuk  hasil dapatannya ni. Sempat tak?”
“Insyaallah prof... saya akan cuba. Saya dah pergi jumpa juruteknik kat makmal tu, dia kata kalau budget ada, insyaallah boleh buat sebab kita boleh gunaventilation system yang dah sedia ada. Cuma saya perlu lengkapkan dengan sensor yang sesuai untuk detact fumes atau gas-gas bahaya hasil dari ujikaji bahan kimia. Kalau sensor tu ada, programnya boleh dibuat untuk sistem detect dan janakan suction system untuk sedut keluar gas-gas beracun tu...,” terang Fazila panjang lebar.
“Ok, saya nampak ada beberapa rujukan yang awak gunakan ni... agak meyakinkan. Emmm... program jenis apa awak nak gunakan? PLC(Programable Logic Controller) ke atau PIC (Programmable Intergrated Circuit)?”
“Masih belum pasti lagi prof. Saya perlu buat kajian lagi. PIC lebih murah.. tapi kalau diikutkan, PLC lebih reliable. Mungkin saya akan gunakan PLC. Tapi, saya masih perlu buat lebih banyak bacaan lagi..,” kata Fazila untuk menyakinkan Professor Ruquiyah tentang projeknya itu.
“Memang... tapi nampaknya kertas cadangan awak ni masih belum betul-betul kukuh, jadi saya nak awak tambahkan lagi litreture review supaya lebih menyakinkan. Cuba cari jenis-jenis sensor yang mampu kesan gas-gas bahaya itu. Atau kalau tak ada sensor yang sesuai, awak mungkin perlu buat variables untuk setiap asap dan particles yang merbahaya dan masukkan dalam program awak supaya program tu dapat kenalpasti  bahan-bahan itu,” jelas Professor Ruquiyah pula panjang lebar.
“Ok ... insyaallah prof, saya akan cuba,”
“Kalau ada apa-apa masalah, awak boleh jumpa saya... just give me a call ya... atau email?” kata Professor Ruquiyah dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.
“Baiklah prof...,” jawab Fazila, juga dengan senyuman manis, menunjukkan dia berpuashati dengan cara Professor Ruquiyah memberikan nasihatnya. Sekurang-kurangnya Professor Ruquiyah memberikan cadangan yang baik untuk dia meneruskan kajiannya itu.
Sememangnya Professor Ruquiyah Hanim adalah idolanya sejak dari tahun satu pengajiannya. Wanita ini pernah mengajar dia dalam kursus Teknologi Bahan iaitu salah satu kursus yang dia ambil semasa di tahun tiga dulu.Sejak itu dia selalu mengikuti perkembangan pensyarahnya itu. Kelembutan dan ketegasannya itu membuatkan Fazila turut menyimpan cita-cita untuk menjadi pensyarah sepertinya. Dan apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian tempohari, Professor Ruquiyah adalah pilihan utamanya untuk dijadikan pensyarah penyelia bagi kajian thesisnya. Tambahan lagi beliau adalah salah seorang pakar dalam bidang pemprograman sistem automasi yang melibatkan penggunaan PLC dan PIC.
Sambil mengemaskan bahan bacaan yang dia berikan untuk semakan oleh Professor Ruquiyah sebentar tadi, Fazila jadi teragak-agak. Ada sesuatu bantuan yang ingin dia minta dari wanita itu, tetapi dia tidak pasti patut atau tidak dia meminta darinya. Mungkinkah wanita ini akan melayan permintaannya itu? Atau mungkinkah dia akan menyusahkan Professor Ruquiyah nanti?
“Kenapa Fazila? Nampak macam ada sesuatu aje yang awak nak cakap pada saya?”
“Emmm... ada prof... Cuma... saya segan sikit ni... hal peribadi ni prof..,” jawab Fazila sambil senyum.
“Cakaplah... apa dia...?” terpamer riak yang menggambarkan perasaan terkejut wanita itu.
“Emmm.... saya ni tengah cari kerja sampingan prof... saya ingat nak ajar tuisyen, atau jadi pembimbing peribadi untuk budak-budak yang akan ambil periksa...,” katanya perlahan-lahan. Matanya bulat memandang ke dalam mata Professor Ruquiyah. Bersedia untuk soalan-soalan yang pastinya akan ditanya oleh wanita di hadapannya itu.
“Ok...? Awak tak cuba pergi kat mana-mana pusat tuisyen? ”
“Ada jugak... tapi kalau kat situ saya terikat dengan jadual. Saya ingat .. saya nak buat yang freelance prof. Jadi saya bebas... tak terikat, ”
“Owh.... ok.... jadi apa yang saya boleh bantu?”
“Emm... boleh tak prof cuba tanya-tanyakan mana-mana pensyarah yang boleh ambil saya kerja jadi chaperone untuk anak-anak mereka...?,”
“Owh.... ok.... bagus jugak tu... tapi... tak ganggu masa belajar awak ke?”
“Insyaallah tak prof, saya nanti cuba arrange masa supaya tak ganggu masa belajar saya. Mungkin masa hujung minggu, atau kalau malam mungkin saya boleh jadi peneman mereka sambil saya buat kerja saya...,” jelas Fazila untuk pertanyaan itu.
“Boleh saya tanya soalan peribadi sikit tak?” tanya Professor Ruquiyah selepas seketika.
Fazila Cuma menganggukkan kepalanya. Ada debar di hati saat menanti soalan itu.
“Setakat ni siapa yang keluarkan perbelanjaan untuk awak belajar ni?”
Lega hatinya mendengarkan persoalan yang diajukan. Sangkanya Professor Ruquiyah akan bertanyakan tentang mengapa dia perlukan kerja tersebut.
“Abah saya prof... sementara belum dapat biasiswa ni.Tapi saya tak nak susahkan dia... saya bukan anak orang berada. Kenalah cari duit tambah prof,”
“Hemmm... awak tak cuba dapatkan biasiswa? Atau buat pinjaman? Ataupun mohon buat Research Assistant untuk fakulti?”
“Offer untuk RA pula masih belum dibuka untuk pelajar semester satu prof. Semester kedua baru dapat mohon jadi RA.Saya baru saja mohon biasiswa prof, jadi sementara nak dapat biasiswa ni... kenalah cari sumber lain... pinjaman, rasanya saya kena cuba elakkan, lagipun masa buat degree dulu, hutang dah berlambak. Kalau boleh.... saya tak nak tambah hutang....,”
“Wah.. baguslah kalau awak berpandangan begitu... sebelum mula kerja dah ada hutang, jadi cubalah elakkan kalau boleh. Ok... subjek apa yang awak boleh ajar?
“Mungkin, subjek Sains... Matematik....? ,” jawab Fazila.
“Untuk budak tingkatan berapa?”
“Sampai tingkatan limalah kut prof...,”
“Ok.... nanti saya tanyakan... saya pun macam berminat juga... saya ada anak yang sekarang dalam tingkatan dua, tahun depan tingkatan tiga... kalau ada yang temankan dia belajar malam-malam tentu dia suka. Saya selalu sibuk, outstation sana sini. Suami saya pun sama... jadi selalu dia mengadu pasal kami tak ada. Orang gaji Indonesia kami, setakat nak temankan bolehlah.Tapi kalau nak mengajar, tak mampulah dia. Selama ni mereka dua beradik tu saya hantar pergi tusyien, tapi itulah... bila saya atau suami kena pergi outstation, tak ada yang boleh hantar dan ambil mereka tu... Mereka tu ada bapa saudara yang belajar kat sini, tapi masih susah jugak nak minta tolong. Ada masanya dia pun sibuk jugak.... ,”
Tidak semena-mena terbit rasa gembira di hati Fazila. Professor Ruquiyah ada anak yang perlukan perhatian seseorang? Alhamdulilllah... mungkin ini rezeki buat dirinya.
 “Owh.... berapa orang anak prof?” tanya Fazila dengan penuh minat.
“Dua orang... yang sulung tingkatan dua, lelaki, adiknya...perempuan, sekarang dalam tahun lima,”
“Wahhh.... Mesti anak-anak prof sweet kan...?”
“Hemmm... biasalah Fazila...., budak-budak... kalaupun sweet, tetap memeningkan kepala...,” katanya sambil senyum.
Fazila juga turut senyum. Dalam hatinya dia merasa cukup bersyukur.
“Jadi, bila awak boleh datang ke rumah? Boleh kenal-kenal dengan mereka?”
“Dah confirm ke prof nakkan khidmat saya?”
“Tak ada masalah.... datang aje ke rumah saya... nanti saya bagikan alamatnya. Upahnya tak payah bimbang... awak ada kenderaan ke nak ke rumah saya?”
Fazila tersenyum sambil perlahan-lahan menggelengkan kepalanya..
“Tak prof... saya naik bas je... eh... lupa nak tanya, kat mana rumah prof?”
“Saya tinggal kat Taman Universiti... susah sikit kalau naik bas... tak apalah awak naik teksi... saya kira bayaran upahnya sekali dengan tambang teksi. Kalau bila-bila jadual kita boleh match... boleh awak tumpang saya balik aje...,”
“Owh..... tak menyusahkan prof ke nanti?”
“Tak.. saya pun nak bantu awak juga... bukan mahal pun tambang teksi tu ke rumah saya...,” kata Professor Ruquiyah dengan senyuman yang cukup menawan.
Seketika itu juga Fazila jadi makin semakin hormat pada pensyarahnya ini. Sudahlah cantik, baik pula... ucapan Alhamdulillah berbisik di hatinya. Moga Allah merahmatinya dunia dan akhirat.    


Popular Posts