Bab
28
“Mai…. Bangun… dah dekat
subuh…,”
Lembut sekali suara
itu mengejutkan dia dari tidurnya. Membawa senyum ke bibirnya dalam lena yang
masih lagi mahu memautnya agar jangan terjaga.
“Mai ... bangun
sayang...,” pujuk suara itu lagi.
Lantas dalam
matanya masih terpejam, Mai memaut manja
leher sipemanggil itu.
“Tak nak buka
mata.... nak ...,” lantas dia juihkan bibirnya manja sekali.
Syamsul jadi terkedu dengan kemanjaan yang terpamer
di depan mata. Untuk diakah? Ataupun siapa yang ketika ini bermain di minda
separuh sedar isterinya itu. Dia mengetap bibir tanda geram. Namun dalam geram
yang dirasakan, godaan itu sedikit pun tidak mampu untuk dia tolak. Lantas
dengan rakus sekali, dia mencium bibir yang ternyata sedang menanti untuk
disentuh.
Demi tersentuh
sahaja dua bibir itu, barulah Syamsul
sedar bahawa dia sudah melakukan satu kesilapan. Dia silap kerana yang
pasti dia tidak mampu untuk melepaskan bibir itu. Dia ingin terus menikmati
keindahannya. Lalu tanpa menghiarukan apa sahaja kemungkinan yang bakal
berlaku, dia semakin rakus meratah bibir munggil milik Mai. Dan dia membiarkan
sahaja logik akal dari terus berbicara
tentang apa yang patut dibuat dan apa pula yang tidak patut. Dia hanya mengikut
naluri yang kini menyatakan bahawa itu adalah haknya. Dan dia inginkan haknya
sebagai seorang lelaki, juga sebagai seorang suami. Hak yang selama ini telah
dinafikan.
Mai juga hanyut dan
terus hanyut. Sejak dari tadi dia telah
bangkit dari keadaan separa sedarnya. Dan kini dalam keadaan sedar
sepenuhnya dia tidak mahu melepaskan semua rasa itu. Biarlah mereka terus
hanyut. Dia tidak lagi mahu menafikan segalanya. Dia ingin menikmatinya, kini
dan selamanya. Bukankah itu haknya sebagai seorang isteri. Tiada siapa... tidak
ada sesiapa pun yang boleh menghalang dirinya dari menikmati semua ini... dan
yang pastinya tidak sesekali Irfan.
Hanyut mereka
bagaikan bahtera berlayar di samudera rasa yang tidak bertepi. Tiada kata yang
terlafaz, hanya terzahir dalam rindu yang tidak pernah terucap. Namun rindu
itulah yang memaut dua jiwa untuk terus tenggelam dalam lautan kasih seluas
saujana mata memandang. Dan bila bahtera cinta itu kembali singgah ke muara,
masih lagi tiada kata yang mampu terucap. Tidak perlu bersuara, kerana desah
nafas mereka telah menceritakan
segala-galanya.
Dan entah mengapa,
saat itu Mai tidak mampu untuk memandang sedikit pun ke wajah suaminya. Terasa
malu dengan dirinya sendiri kerana terlalu larut dia menikmati apa yang dia
pernah nafikan selama ini. Terasa begitu bersalah kerana menafikan hak
suaminya, setelah hampir tiga bulan kini usia pernikahan mereka. Teringat dia
akan kata-kata ustazah Faridah beberapa hari yang lalu dalam perbualan mereka,
bahawa betapa seorang isteri itu dilaknati Allah sehinggalah dia kembali ke
pangkuan suaminya. Mungkin tepat sekali kenyataan itu kerana saat ini hatinya
terasa begitu tenang sekali, tidak lagi dihantui rasa bersalah seperti
hari-hari yang sebelumnya.
“Mai ...,” bisik
Syamsul di telinganya. Dia diam, menghayati perasaan indah yang dirasai
dengan bisik itu.
“Mai ...,” ulang Syamsul lagi bila Mai tetap diam.
“Emmm..,”
“Abang bukan
bermimpikan?” tanya Syamsul perlahan.
Dia cukup sabar menantikan jawapan dari Mai.
“Tak... Mai juga
tak bermimpi...,” lama sekali baru dia menjawab pertanyaan Syamsul itu tadi.
“Dah hampir tiga bulan..
maksudnya Mai ...,”
Jari Mai menyentuh
lembut bibir Syamsul. Cuba untuk mendiamkan apa sahaja yang mungkin keluar dari
bibir Syamsul. Bila Syamsul terdiam, dia
menggelengkan kepalanya.
“Hem... sekarang
bukan masanya kita bincang perkara ni. Kita kena solat dulu..,” bisik Mai
sambil matanya tersorot ke jam di meja kecil sebelah katil. Jam menunjukkan ke
pukul 6.15 pagi. Ada riak tidak puas hati di mata Syamsul. Namun dia terpaksa
akur dengan waktu yang begitu mencemburui meraka. Lalu dia bangun dan duduk di
birai katil. Dia ingin sekali senyum untuk menyatakan rasa bahagianya. Tetapi
tidak berani untuk berbuat begitu. Tidak berani menaruh harapan. Tidak akan
mengharapkan apa-apa sehingga dia cukup pasti dengan kebahagiaan yang terpamer
di mata Mai sebentar tadi. Dia perlu bersabar untuk mengukir senyum sehinggalah
semuanya akan jadi lebih pasti nanti. Buat masa ini, simpan dulu senyum itu
Syamsul , hatinya berbisik sendiri.
“Jom, mandi.... dan
solat bersama...,” ucapnya untuk menutup perasaan ragunya dengan penerimaan Mai
terhadap dirinya pagi ini. Sungguh total penerimaan itu, bagaikan diserahkan
segalanya tanpa ragu dari pihak Mai. Sehinggakan ada rasa takut di hatinya
kalau-kalau Mai melakukan semua ini sekali lagi kerana Irfan. Dan masih dia
merasakan ragu-ragu akan kemungkinan Irfan sudah ada menunggu di mana-mana,
untuk menanti dia mengucapkan lafaz talak buat Mai.
Dengan terlintasnya
kemungkinan itu di hatinya, Syamsul
mengetap bibir menahan marah. Ah... kalau benar begitu, bermakna dia
membiarkan dirinya dipermainkan lagi oleh Mai. Dan patutkah dia bergelar dayus
lagi? Cepat sekali dia bangun meninggalkan Mai untuk ke bilik air yang terletak
di dapur rumahnya itu. Dan sikapnya yang tiba-tiba dingin itu membuat Mai jadi
terpinga-pinga.
Sebentar tadi cukup
mesra suara itu berbisik di telinganya. Menuntut jawapan yang diperlukannya.
Tapi, mengapa tiba-tiba sahaja dia
berubah dingin. Apakah salahnya kali ini? bisik hatinya. Dia tidak melakukan
apa-apa kesilapan. Dia telah mencurahkan segenap perasaannya sebentar tadi.
Apakah Syamsul tidak memahaminya?
Malas untuk melayan
perasaan kecewa Mai bangun dan menapak ke dapur. Sambil menanti gilirannya
untuk mandi, dia menjerang air untuk menyediakan sarapan pagi. Seketika
kemudian Shuhaida menyertainya di dapur.
“Nak masak apa pagi
ni kak?”
“Entahla Su... apa
yang ada untuk kita masak?”
“Macam-macam
ada....,” kata Shuhaida dalam nada lawak.
Mai tersenyum
sambil cuba menyembunyikan keresahan di hatinya.
“Akak belum mandi?”
tanya Shuhaida.
“Belum, tunggu abang
siap..,”
“Eh... abang tak
pergi masjid pagi ni?” tanya Shuhaida dalam kehairanan. Sesuatu yang jarang
berlaku pada abangnya.
“Tak sempat, emm...
tadi... terlewat bangun..,”
“Owh...,” kata
Shuhaida dalam senyum mengusik.
Pada waktu yang
sama Syamsul keluar dari bilik mandi.
Cepat-cepat Mai melangkah untuk melepaskan diri dari usikan Shuhaida. ‘Hei...
gadis ni, tak padan dengan usianya yang masih terlalu muda, suka sangat
mengusik..,’ dia merungut dalam hatinya.
Dari dalam bilik
mandi dia dapat mendengar Shuhaida berkata sesuatu kepada Syamsul. Dia tidak
tahu apa yang dibualkan antara mereka, tetapi dia pasti, mesti Shuhaida
mengusik abangnya. Syamsul kedengaran
gelak besar lalu berkata, ‘hei... awak tu anak dara lagi....’ Dan saat itu ada
senyum yang terpanggil untuk menghiasi bibir Mai. Terasa lega bila mendengarkan
Syamsul tidak lagi dalam keadaan marah.
Lantas cepat-cepat dia mandi untuk menyucikan diri dari hadas besar. Dan
mengambil wuduk untuk sama-sama solat subuh.
Bila Mai kembali ke
bilik, dia melihat Syamsul sedang
menunggunya untuk solat bersamanya. Terharu di hati bila melihatkan
Syamsul begitu mementingkan solat
berjemaah. Dia masih ingat kata-kata Ustazah Faridah, betapa sekiranya seorang
suami sempat solat subuh di masjid, tentunya ganjaran pahala yang diterimanya
akan berlipat ganda. Dan dia tahu jika dia berusaha untuk pastikan Syamsul sempat solat subuh di masjid, dia juga akan
mendapat gajarannya. Bukankah itu yang telah dijanjikan untuk isteri yang
mentaati suaminya? Akan menerima pahala ganjaran atas semua kebaikkan yang
dilakukan oleh suami, asal sahaja dia redha. Lantas dia berjanji dalam hatinya
akan mempastikan selepas ini Syamsul
tidak akan lalai dalam solat berjemaah. Dan dia tidak akan menggoda
Syamsul di saat-saat begitu lagi.
Senyuman kembali terukir di bibirnya bila mengingatkan itu. Dan dengan hati
yang tenang, dia mula mengangkat takbir untuk solat yang diimamkan oleh
suaminya... Syamsul Hasni.
Selesai solat,
Syamsul terus bangun dan keluar dari
bilik tanpa menghiraukannya. Sekali lagi hatinya tersentuh. Mengapa
Syamsul bersikap dingin terhadapnya
selepas saat-saat yang begitu indah yang mereka lalui tadi? Tidakkah itu semua
bermakna baginya? Bukankah itu semua itu adalah bukti penerimaan Mai
terhadapnya?
Dengan rajuk yang
singgah sebentar di hati, Mai mengambil masa yang agak panjang untuk bersiap
dan keluar dari bilik tidur. Tiada sesiapa pun yang ada di ruang tengah rumah,
lalu dia terus ke dapur. Saat itu dilihat Makcik Nisah dan Wawa sedang duduk
bersila di atas pangkin tempat mereka menghadapi sarapan pagi. Manakala
Shuhaida pula sedang melakukan sesuatu di sinki. Cepat-cepat dia mengukirkan
senyuman pada semua. Tidak ingin perasaan sedihnya dapat dilihat oleh mereka
kerana yang pastinya mesti Shuhaida akan bertanyakan apa puncanya. Dia tidak
mahu sesiapa tahu insiden kecil yang berlaku antara dia dan Syamsul pagi tadi. Itu rahsia mereka suami isteri.
Tidak perlu diwar-warkan sehingga seluruh dunia tahu pula nanti. Ternyata rasa
sedih itu hilang serta-merta bila senyumannya bersambut mesra oleh emak
mertuanya.
“Mai ... mari kita
makan...,”
“Ya mak... sedapnya
bau... Ida masak apa ni..?”
“Pulut pagi kak ...
dengan ikan masin...,”
“Wah.. sedap ni..,”
Shuhaida berpaling
kepadanya sambil memberikan senyuman mesra.
“Mestilah... tengok
la siapa yang masak...,” kata Shuhaida sambil tersengih menampakkan giginya
yang agak tidak teratur itu.
“Nah, ambil piring
ni...,” kata Makcik Nisah sambil menghulurkan piring kepada Wawa yang duduk di
antara dia dengan Mai. Wawa diam tak berkata apa-apa. Dia menumpukan perhatian
sepenuhnya kepada juadah di hadapannya.
“Wawa .. bagi piring ni kat umi Wawa tu...,” kata Makcik Nisah dengan nada lembut tapi tegas.
Cepat-cepat Wawa
mengambil piring dari tangan tok wannya dan menghulurkannya kepada Mai tanpa
sedikit pun memandang pada Mai.
“Terima kasih
sayang...,” ucap Mai dengan lembut sekali. Dia terus duduk bersimpuh di sebelah anak itu. Wawa cuma diam tanpa
berkata apa-apa.
“Nabil mana Wawa ?
Tak nampak pun? Tidur lagi ke?” tanya Mai untuk memulakan bicara dengan gadis
sunti yang berdiam diri. Dia tidak pasti panggilan apa untuk dia bahasakan
dirinya kepada Wawa. Patutkah dia membahasakan dirinya umi sedangkan dia tahu
Wawa tidak suka? Dia tidak akan menggunakan panggilan itu jika Wawa tidak suka.
“Tengah mandi
kak... dari tadi lagi tu. Senyap aje dalam bilik mandi tu..,” kata Shuhaida
sambil mendekati pintu bilik mandi. Dia mengetuk pintu yang diperbuat dari zing
aluminium. Bergegar pintu itu bila di ketuk.
“Nabil ... cepat.... umi nak makan
dengan Nabil ni..,” laungnya kepada Nabil.
“Uuuu..... sejuk la
Chu Ida...,” kedengaran Nabil merengek dari dalam bilik mandi.
“Hah... kalau
sejuk, mandi la cepat-cepat,” kata Shuhaida lagi.
Terus Mai teringat
kepada pancuran air panas yang dibelinya tempohari.
“Emmm... mak, Mai
ada belikan alat pemanas air untuk kita pasang dalam bilik mandi tu. Nanti
bolehla minta sesiapa pasangkan..,”
“Alat apa tu Mai ?”
“Alat tu, kita
sambung ke paip air. Bila kita buka suis, nanti air masuk dalam alat tu dan keluar
air panas dari paip air hujan dia tu. Kan senang tu... tak payahla Ida masakkan
air panas untuk mak, Wawa dan Nabil mandi pagi-pagi. Tambah lagi musim hujan
macam ni, memang sejuk sangat..,” kata Mai sambil ingatannya kembali ke hari
dia mandi di awal pagi dua minggu yang lalu. Ketika hujan turun tanpa henti
selama tiga hari di sini. Insiden yang menyebabkan dia membeli pemanas air itu
untuk kemudahan semua di sini. Makcik Nisah mengangguk-anggukkan kepalanya
untuk menunjukkan tanda dia mengerti, walaupun tidak sepenuhnya.
“Nanti bolehla
minta sesiapa yang boleh pasangkan ye?” kata Mai.
“Hemm... nanti kita
tanya abang, rasanya dia tahu macam mana nak pasang kut...,” ucap Shuhaida
perlahan.
Dia kini sudah mengambil tempat di sisi Mai untuk turut sama
bersarapan.
“Haah... nanti tak
payahla bayar upahnya... buat membazir saja..,” kata Makcik Nisah.
Terdiam Mai
mendengarkan kata-kata emak mertuanya. Sehingga begitu sekali mereka berkira
dalam memenuhi keperluan harian. Hinggakan upah yag sedikitpun berkira untuk
dikeluarkan demi untuk kemudahan hidup mereka.
“Tak mahal ke bil
letriknya nanti kak?” tanya Shuhaida
lagi.
“Emmm... tak pasti
pulak Ida..,” jawab Mai dengan rasa bersalah. Adakah dia sudah menyebabkan
keluarga ini terpaksa menanggung beban bil yang tidak sepatutnya. Masyaallah,
tidak pernah dia terfikirkan semua itu. Yang dia tahu hanyalah untuk memberikan
keselesaan untuk mereka.
Sememangnya
keluarga Syamsul hidup dalam keadaan
yang agak daif. Tiada alat elektrik yang mereka gunakan kecuali televisyen yang
sudah agak lama, sebuah radio usang dan peti sejuk yang juga daif kelihatannya.
Kelangkapan dapur juga hanya menggunakan dapur gas. Tiada mesin basuh, periuk
nasi elektrik dan semua kelengkapan untuk memudahkan penggunaan harian mereka.
Kipas pula hanya ada dua buah yang merupakan kipas mudah alih, untuk memudahkan
di bawa ke mana ia diperlukan.
Dia faham kini. Setiap perbelanjaan mereka begitu
diambil kira. Sebaik mungkin mereka cuba mengurangkan bebanan yang perlu
ditanggung oleh Syamsul. Cukup dia terharu dengan keadaan itu. Bagaimana dia
mampu membantu untuk menaikkan taraf hidup mereka? Memang mereka miskin harta,
tetapi tidak miskin kasih sayang. Itu yang membuatkan dia cukup senang berada
di sini. Dan sungguh dia tidak mahu menjadi beban buat Syamsul, malah juga
keluarganya.
“Abang Syam ke mana
Ida?” dia bertanya akirnya. Sememangnya sejak dari tadi dia ingin bertanyakan
soalan itu. Namun tidak ingin dilihat seperti tidak tahu apa-apa tentang
aktiviti suaminya.
“Abang pergi ambil
tulang dan daging lembu untuk buat sup nanti. Hari-hari dia tempah dengan Pak
Cik Arshad yang jual daging tu. Biasanya lepas ambil daging tu dia terus pergi
gerai untuk mula masak..,”
“Awalnya..,”
“Kena awal la
kak... nanti daging tu tak sempat empuk.
Biasanya pukul 12.00 dah mula jual meehoon sup dia tu. Kalau lambat, marah la
pulak pelanggan yang datang nak beli. Abang kata awal-awal berniaga ni...
kenala jaga hati pelanggan. Kalau tak nanti pelanggan tak percaya pada kita,”
“Ohh....,”
“Ada sesiapa ke
tolong dia kat situ?”
“Ada Mai, Hafiz,
anak Mek Yah..., sepupu mereka ni. Anak abang Derasid tu. Kebetulan dia tak ke
laut sebab musim tengkujuh ni... Mek Yah pun ada. Pagi sampai tengahari dia
jual nasi kat warung tu. Tengahari sampai petang abang pulak jual meehon sup,
kuetiaw sup, dan mee sup... ,” sampuk emaknya.
“Jadi ke Kak Yah
nak jual goreng pisang nanti mak?” tanya Shuhaida kepada emaknya.
“Entahla..., jadi
kut. Kena cari tok peraih pisang dulu... kalau tak ada pisang, macam mana nak
jual kan?” katanya sambil tertawa perlahan. Dan tawanya itu disambut oleh Mai
dan Shuhaida. Cuma Wawa sahaja yang terus diam sambil menghabiskan pulut dalam
piringnya.
Dalam suasana penuh
kegembiraan itu, tiba-tiba pintu bilik mandi terbuka dengan kuatnya,
menyebabkan semua yang ada terperanjat. Tubuh Nabil yang tidak diliputi dengan
seurat benang itu terus berlari keluar dari bilik mandi.
“Sejukkk..... Chu
Ida....,” katanya sambil menggeletar. Bibirnya kelihatan biru menahan
kesejukkan. Sepontan rasa simpati singgah di hati Mai.
“Hei Nabil.... tak malu....,”
jerit Wawa dalam keadaan yang kelam kabut begitu.
Nabil yang baru
menyedari kehadiran Mai cepat-cepat duduk mencangkung untuk menutup muka kerana
malu. Perlakuan luar sedar yang membuatkan semua ketawa. Wawa yang sudah siap
makan terus bangun dan mendapatkan kain tuala lusuh milik anak kecil itu yang
tersangkut di tali yang terletak berhampiran bilik mandi. Dia cepat-cepat
membalutkan tubuh Nabil untuk menutup malu adiknya.
Mai tersenyum
melihatkan perlakuan sepontan Wawa itu. Dia tahu, Wawa cukup sayangkan Nabil,
dari cara dia begitu mengambil berat terhadap adiknya itu. dia cuba melindungi
Nabil dalam apa keadaan sekalipun. Dalam hatinya terdetik rasa bangga kerana
sikap perihatin Wawa terhadap adiknya. Menunjukkan selama ini marah Wawa pada
Nabil bukanlah kerana adiknya yang nakal, tetapi kerana keadaan Mai yang
dianggap mengganggu hidup mereka. Perlahan Mai mengeluh. Dia perlu menangani
masalah ini, segera ... Tapi, bagaimana? Apa harus dia lakukan, agar dia tidak
kehilangan semua ini? Bagaimana...?
25 comments:
sian lak kat mai..ish syamsul nih!
Best... tp nak lagi...
Ishhhh... Syamsul ni!!! Mai dah menyerah pun nak sangsi lagi... :/
Syamsul masih ragu2 dengan keikhlasan Mai...nampaknya Mai kena berterus terang dengan Syamsul secara lisan, baru Syamsul faham kot?...kak laila memang super duper bestttt...nak lagi..harap akak cepat2 update next chapter yer..
pendam lagi.... bila la nak terungkai segalanya. cik writer, jgn la lama sgt mcm Semalam Yg Kutinggalkan... tak sabar ni nak tahu mcm mana kesudahan kisah depa ni :)
Mai berterus terang dengan Syamsul supaya Syamsul x bersangka buruk apa yang Mai buat itu... walaupun niat Mai ikhlas.... dan tentu Syamsul pun kena berterus terang juga...
hadoii.. xhabis2 syamsul nie nak salah faham
Bilalah Mai nak berterus terang kat Syamsul. Apa salahnya Mai yg mulakan dulu dari terus-menerus biarkan Syamsul bersangka yang bukan-2.
Komunikasi amatlah penting dlm membentuk keluarga bahagia, kalau masing-2 asyik saling memendam rasa sampai bila perkara ni nak selesai. Mai, cubalah bawa berbincang dgn Syamsul tentang hati dan perasaan supaya tidak menyesal suatu hari nanti.
Yeay... langkah pertama - dah buat.... Sekarang, kena perbanyakkan meluahkan isi hati pulak... suara...suara..suara.... hihihi....
Nak entry lagi... tak cukup.... hihihi...
Tahniah LH. entry yang tak pernah mengecewakan. dan setiapnya akan buat pembaca tak sabar nak tunggu next part. part perasaan terpendam ni yang buat orang tak sabar. bila semua dah terungkai kira citer dah abis la...^_^
...mai kena mulakan dululah, luah isi hati. lelaki ni ego sikit.....
dgn wawa pun mai kena atur strategi jugak tu...susah jugak tu
Gelodak dua jiwa yang semakin berperang angkara dek terlalu memendam rasa.. Syamsul terlalu takut menghadapi diri disingkir.. Mai pula terlalu yakin Syamsul mampu mentafsir kehendak hatinya melalui gerak-laku.. Lontaran rasa yang cukup syahdu. Suka sangat akak. Nyata meraih bahagia tidak semudah merelaikannya.. :-)
rasa nak ketuk je kepala syamsul ni..nape suka sangt buat andaian bukan2..mai teruskan usaha nk tambat hati syam n wawa.. harap kebahagiaan milik mereka selamanya
lack of communication...mcm ni smpai sudah la byk mslh akan timbul.
ala...sikitnya, xpuas baca, smbung cepat2 ye...
hope Mai cepatkan atur strategi clearkan problem diorang ni, hehe, nak tengok Syam ngan Mai bahagia sekeluarga
tamola sham cenggitu
cerita ni mmg lain dr yang lain.. mmg best! harap kak laila update cepat2 ye...
salam dik..
E3 yg memberikan kita satu harapan agar perkawenan mereka ini akan sampai kehjg hayat mereka..
Kenapalah sisyamsul tu sengal tak bertempatkan? Dah Mai memberikan segalanya pada dirinya..masih kah perlu ada rasa ragu dihati..kalo difikir secara akal yg waraskan..sudah tentu Mai telah mencintai dirinya..kerana tidak semua benda mampu diluahkan oleh seorg wanita yg bernama Mai..perilakunya sahaja terhadap dirinya dan keluarganya akan tidak dapat diagak..kan..
cepatlah sambung dik nak..tahu..macam mana Mai berdepan dengan hubby nya yg sengal tu..
Salam... tahniah di atas kelahiran novel seterusnya kak... wah! blog dah bertukar wajah ya... lama x jenguk... cantik...
N3 yg bestttt!! Tk puas la baca.. ;)
kalau boleh akak update la n3 3x seminggu..geram dgn syamsul ni,mai pulak kena la luahkan..
alaaa...macamana nak bagi syamsul faham yang mai sukakan dia? gerammnya..susah2 sangat kena face to face la..saya yang tak sabar pulak nak tengok kebahagiaan diaorang
Salam, Harap Mai dan Syamsul dapat cinta sejati mereka jika mereka berterus terang. Mai kena usaha main peranan skit untuk dapatkan cinta Syamsul, Wawa dan Nabil...
Salam, Bila nak sambung n3 ya dah rindu dengan Mai dan Syamsul ni...
Post a Comment