Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 20
Hari ini, hati ku terguris pedih.... jiwaku dilanda sepi. Namun…, ada debar dalam hati....

Setiap hujung  mingguku kini aku habiskan dengan mengintai Sarah bermain. Ada ketikanya dia langsung tidak datang ke taman tersebut. Tertunggu-tunggu aku dibuatnya. Namun aku tidak pernah jemu untuk menunggu. Dapat memandangnya dari jauh pun sudah cukup bagiku.
 Pada awalnya aku datang ke sini dengan menaiki komuter. Perjalanannya  tidaklah  mengambil masa yang  lama untuk tiba dari rumah Suzana di  USJ Subang Jaya ke Shah Alam. Jadi aku rasakan rutin mingguanku ini tidaklah begitu membebankan. Tetapi setelah tiga minggu bekerja kereta yang aku beli siap sepenuhnya. Kini aku tidak lagi perlu menyusahkan Suzana. Lagipun aku tidak mahu menganggu aktiviti hujung minggunya iaitu keluar bersama tunangannya Haziq.
Mereka kini begitu sibuk dengan persediaan persiapan perkahwinan mereka. Dan hati ini cukup sayu rasanya bila mengenangkan temanku kini sudah berpunya. Sudah ada seseorang yang lebih penting baginya antara kami. Dan aku yakin, suatu hari nanti aku perlu pindah dari rumahnya. Perlu menyewa di tempat lain bila Suzana akan melangsungkan perkahwinannya kelak.
Hakikat ini menyebabkan aku jadi sayu. Semampu mungkin aku tidak ingin kehilangan dirinya, satu-satunya teman yang aku ada. Walaupun sudah beribu kali dia menyatakan bahawa hubungan kami tidak akan berubah setelah dia berkahwin nanti, aku tahu hakikat sebenarnya. Dia tidak mungkin akan sentiasa ada di samping ku seperti dulu lagi.
Petang Sabtu itu aku kembali lagi ke sini. Termasuk kali ini sudah sebulan aku mengunjungi taman permainan yang sering Sarah kunjungi ini. Menjadi penunggu tetap di sini setiap hujung minggu. Namun sehingga lewat petang, Sarah belum lagi datang bermain di sini. Sudah puas rasanya aku menunggu. Gundah di hati ini tidak mampu untuk aku bendung. Sakitkah dia atau demamkah anakku itu?
Perasaan bimbangku tidak mampu untuk aku bendung lagi hinggakan aku memberanikan diri untuk pergi ke rumah Kak Reen. Mengintai kelibat tubuh kecil itu dari jauh. Lega kembali bertandang dalam hati bila melihatkan tubuh kecil itu sedang lincah bermain air. Turut sama dengan ayahnya yang sedang membasuh kereta. Dari jauh aku hanya memandang dengan perasaan yang cukup hiba.
 Itulah kali pertama aku melihat dia. Entah apa yang ku rasakan saat aku menatap wajahnya yang sedang ketawa sambil menyemburkan air pili ke tubuh Sarah. Dia kelihatan sedikit kurus dari dulu. Namun masih tetap setampan dulu. Terjerut rasa hati kecil ini melihatkan dia selapas tiga tahun terpisah. Bagaikan ada satu simpulan yang menjerut saluran pernafasanku saat itu. Menyebabkan aku bagaikan tidak mampu untuk bernafas seketika. Airmataku bergenang lagi di tubir mata.
Anak kecilku itu pula tertawa mengekek-ngekek penuh gembira. Menembak ayahnya dengan senapang air. Kedua-duanya sudah basah lencun. Sungguh.... sungguh sayu hatiku menyaksikan kegembiraan itu. Ingin sekali aku berlari mendapatkan mereka. Ingin sekali aku turut bermain bersama, menjadi sebahagian dari kegembiraan itu.
Namun, keinginan itu mati bila tiba-tiba kelihatan Kak Reen keluar ke halaman. Dengan bahagia sekali turut sama bermain air di situ. Aku hanya mampu menelan air liur waktu itu. Hanya mampu menjadi pemerhati dari jauh.  Sungguh... sungguh aku terpinggir.
Aku yang sepatutnya berada di situ. Menikmati kegembiraan yang mereka nikmati saat itu. Namun, di sini aku terpinggir. Hanya mampu untuk melihat kebahagiaan yang ada di depan mata tanpa mampu untuk merasainya. Hak ku kini dinafikan. Sungguh... sungguh kejam manusia  yang  bernama Muhammad Izwan. 
Aku berlalu pergi selepas itu. Untuk apa aku terus merobek hati ini dengan menyaksikan kebahagiaan mereka. Untuk apa aku harus menonton sebuah cerita bahagia yang sering aku dambakan selama ini. Aku ingin pergi jauh, jauh dari derita ini. Tidak mahu terus terbelenggu dalam perasaan yang sungguh menyakitkan begini. Namun, mana mampu aku lakukan itu. Mana mampu aku lupakan cinta itu? Walaupun kini ia tidak lagi bermakna untukku. Bak kata Filianti Vee dalam lagunya…… yang kini sering menyesakkan nafasku setiap kali aku mendengarnya. Yang sering aku putarkan di prakam CDku biarpun setiap kali mendengarnya akan ada airmata yang akan membanjiri pipi ini.
Bila cinta kini
Tak lagi bermakna
Yang ku rasa kini
Hanyalah nestapa
Di tinggalkan cinta masa lalu
Dulu kau tawarkan
Manisnya janjimu
Dan ku sambut itu
Dengan segenap hatiku
Bila engkau pergi
Tinggalkan ku
Hilangnya cintamu
Menusuk hatiku
Hingga ku memilih
Cinta yang fana
Perginya dirimu
Merobek jantungku
Hingga ku terjatuh
Dalam harapan
Dan kini…. Aku cuma mampu membina sebuah harapan. Harapan yang sungguh sukar untuk aku capai. Yang mungkin tidak akan mampu untukku gapai. Bodohnya aku kerana terus mengharapkannya. Bodohnya aku…

****
Aku memandu kereta MyVi baruku perlahan-lahan menghampiri kawasan pangsapuri Seri Pinang di kawasan Sri Kembangan. Setelah  hampir sebulan mencari-cari aku akhirnya diketemukan dengan Encik Zulkifli, pengawal keselamatan di fakulti tempat aku bekerja. Dia mengatakan salah seorang pensyarah di fakultiku itu mahu menyewakan pangsapurinya itu kerana dia ke luar negara untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah.
Sudah lebih dua bulan dia meninggalkan Malaysia dan unit pangsapuri bertaraf sederhana yang terletak di pingir Bukit Ikhlas itu masih lagi kosong. Aku cukup teruja mendengarkan perkara itu kerana sememangnya aku kini sedang mencari rumah seumpama itu untuk aku sewa. Keadaannya yang ringkas dan ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan oleh penginapan berbentuk apartmen sesungguhnya amat sesuai untuk orang seperti aku yang menyewa bersendirian.
Setelah mengambil kunci dari Encik Zulkifli lepas waktu pejabat tadi, aku terus ke sini. Ingin sekali aku melihat keadaan unit pangsapuri yang dikatakan lengkap dengan perabotnya. Kata En Zulkifli, sekiranya aku menyewa di situ, aku tidak perlu membeli apa-apa perabot tambahan. Semua kelengkapan dapurnya sudah cukup lengkap. Aku cuma perlu membawa pakaian dan beberapa barangan peribadiku sahaja. Cukup teruja dengan tawarannya itu, aku terus datang ke mari. Sekiranya aku bersetuju dengan keadaan unit itu, aku boleh terus membayar deposit dan pindah ke sini.
Sudah tiba masanya aku pindah dari rumah Suzana. Lagipun dia akan melangsungkan perkahwinannya sebulan sahaja lagi. Selepas itu pasti Haziq tunangnya itu akan berpindah masuk ke rumahnya. Atau mungkin sebaliknya dia yang akan berpindah masuk ke rumah milik Haziq yang terletak di Ukay Perdana.
En Zulkifli tidak dapat menemaniku untuk datang melihat rumah ini. Beliau sedang bertugas sehingga tamat shiftnya jam 10.00 malam nanti. Aku lantas mengambil keputusan untuk datang sendiri sahaja. Lagipun selepas ini aku akan tinggal di sini sendirian. Jadi, aku perlulah biasakan diri dengan keadaan itu.
Aku memasukki kawasan apartmen itu selepas meninggalkan kad pengenalanku di pondok pengawal. Terus aku mencari kawasan parkir dan menaiki lif ke tingkat empat blok A apartmen tersebut.
Menurut Encik Zulkifli, hampir 90 peratus penduduk di apartmen itu ialah kaum cina. Unit yang akan aku sewa itu letaknya di tingkat empat, dengan nombor lot 44. Suatu nombor yang dianggap sial oleh kaum cina. Keadaan itulah yang menyebabkan tiada yang ingin menyewa kondo itu.
Malah yang menyedihkan, ada segelintir kaum melayu yang juga terpengaruh dengan kepercayaan itu. Aku sedikit pun tidak mengendahkan kepercayaan yang dianggap khurafat dalam agama Islam yang menjadi peganganku. Asalkan unit itu baik keadaannya dan cukup selesa untuk diduduki, aku sanggup untuk menyewanya.
Tiba di hadapan pintu bernombor 44, cepat-cepat aku membuka kunci pintu jeriji dan pintu utamanya. Perlahan-lahan aku memberi salam dan menapak masuk ke rumah tersebut. Suasananya agak malap kerana langsir pintu gelangsarnya tertutup. Aku memandang sekeliling sebelum meneruskan langkah kakiku memasukki unit pangsapuri itu.
Pada pandangan mataku, hiasan dalamannya ringkas dan cantik. Terus aku rasa jatuh cinta dengan rumah itu. Tapi aku tahu sebelum membuat keputusan, aku perlu melihat rumah itu secara keseluruhannya. Tidak mahu nanti terpaksa menyewa rumah yang bermasaalah.
Aku mendekati pintu gelangsar dan menarik langsir yang tertutup. Pemandangan dari luar tingkap agak menarik. Pangsapuri yang terletak di pinggir bukit itu memberikan pemandangan kawasan perumahan yang terbentang luas. Tentu di waktu malam, pemandangannya indah sekali, dengan lampu-lampu yang memberikan cahaya yang mendamaikan. Dari beranda unit pangsapuri ini pula aku dapat melihat pemandangan kolan renang yang agak besar yang terletak betul-betul berhadapan dengan beranda tersebut.
Aku tersenyum sendiri, bila membayangkan aktiviti hujung mingguku nanti iaitu melihat anak-anak kecil mandi manda di situ. Lantas ingatanku menerawang jauh ke Shah Alam. Kelibat Sarah segera menggamit hatiku untuk mengangankan sesuatu yang cukup indah. Ya.... mungkin satu hari nanti Sarah akan turut mandi di kolam renang di bawah sana. Ah.. bahagia sungguh aku rasakan jika saat itu benar-benar muncul dalam hidup ini.
Aku kembali mengatur langkah ke bahagian dapur. Kelihatannya ruang itu agak luas, mungkin sudah dibaikpulih oleh tuan rumah asalnya. Agak berbeza rekabentuk ruang ini berbanding dengan unit yang bersebelahan dengannya. Terdapat dapur keluli tahan karat dua tungku, oven, peti sejuk dan sebuah mesin basuh. Cukup lengkap semuanya. Terasa cukup berpuas hati dengan kelengkapan yang ada. Sewanya yang diberitahu oleh Encik Zulkifli tadi pun berpatutan dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan.
Memang sesungguhnya pemilik rumah ini cukup teliti orangnya kerana dia telah menetapkan syarat supaya orang yang belum berkahwin sahaja yang boleh menyewa unit ini. Tujuannya hanya satu, iaitu tidak mahu unit ini dirosakkan sekiranya ia disewa oleh orang yang telah berkeluarga. Selalunya jika keluarga yang menyewa, keadaan rumah sewa pastinya akan terjejas nanti. Terutamanya sekiranya keluarga itu mempunyai anak-anak  yang masih kecil.
Dengan perasaan ingin tahu aku membuka peti ais yang agak besar itu. Timbul rasa hairan di hati  kerana ianya terpasang dan di dalamnya terdapat beberapa botol air mineral, minuman 100 plus dan juga pelbagai jenis makanan segera. Nampaknya tuan punya rumah ini telah meninggalkan makanan yang belum dimasak. Aku mengeluarkan bekas-bekas makanan itu seperti roti canai segera, piza segera dan bebegapa jenis makanan segera lain.
Aku meneliti tarikh luputnya. Jika makan ini ditinggalkan oleh pemilik rumah ini pastinya sudah dua bulan ia di situ. Pastinya sudah melampaui tarikh lupusnya. Tetapi agak pelik juga rasanya bila aku lihat tarikh luputnya masih jauh lagi. Makanan  itu  pula masih kelihatan segar seolah-olah baru sahaja lagi diletakkan di situ. Dalam bekas sayur-sayuran pula kelihatan beberapa jenis sayur dan buah-buahan yang masih segar. Pelik.. pelik sungguh ... seolah-olah baru sahaja dimasukkan ke dalam peti ais itu.
“Hei.... siapa awak...? Apa yang awak buat dalam rumah saya ni...?,”


Bab 21
Hampir pengsan aku bila mendengarkan herdikan itu. Terlepas beberapa plastik makanan yang berada di tanganku. Bagaikan mahu pecah dadaku dek rasa terkejut. Berdiri di hadapanku seorang lelaki yang cukup tinggi orangnya. Berkulit sawo matang, dengan rambut yang hitam lebat. Kedua tangannya mencekak di pinggangnya tanda terkejut dan marah melihatkan aku di situ.
Buat seketika aku bagaikan bingung dengan keadaan itu. Siapa dia? Sejak bila dia berada di situ? Selepas memasukki rumah ini tadi seingat aku, aku telah mengunci pintu utama. Sesuatu yang selalu aku lakukan setiap kali aku memasukki rumah untuk tujuan keselamatan diri ini. Tidak.. tidak pernah aku biarkan pintu rumah tidak berkunci demi untuk menjaga keselamatan diri. Jadi, dari mana datangnya lelaki ini?
Tubuhku tidak semana-mena menggeletar. Sepontan mataku melilau ke arah beranda. Tidak logik rasanya jika dia masuk melalui pintu di beranda kerana unit ini berada di tingkat empat.  Tidak mungkin ada hantu yang mucul di siang hari. Hantu...?
Kami seakan-akan kelu saat itu. Masing-masing tidak mampu mengeluarkan walau sepatah kata pun. Hanya memandang tepat ke wajah masing-masing. Mata hitamnya melatari di segenap sudut wajahku, menyebabkan semangatku bagaikan goyah untuk terus melawan pandang.
Lantas aku mengelipkan mataku untuk membuang resah akibat diperhatikan dengan begitu teliti sekali. Ada riak marah di wajahnya, masih bersisa meskipun sajak dari tadi lagi kami terus berpandangan.  Dan... entah mengapa aku seperti pernah melihat wajah di hadapanku itu tapi di mana ...? Ah... aku buntu...
Terasa begitu lama sekali kami berpandangan begitu. Terus kaku pada kedudukan tadi.
“Siapa awak ni...? Apa awak buat dalam rumah saya ni...?” akhirnya dia bersuara, memecahkan kebisuan itu.
“Rumah awak....? Maaf... saya tak faham... rumah ni ... sepatutnya kosong kan? Saya yang nak sewa rumah ni....,” kataku separuh berani.
“Sorry miss... rumah ni dah tak kosong lagi... saya baru saja bayar deposit semalam dan hari ni... dah pun pindah masuk,”
“Tapi saya... Encik Zul tu cakap.... rumah ni... masih kosong.... saya suka rumah ni... saya... nakkan  rumah ni...,”
Dia ketewa perlahan.
Suit yourself... awak boleh pindah masuk bila-bila awak suka. Lagipun masih ada bilik yang kosong... and I think... it might be fun  to be accompanied by someone as sweet as you...,” katanya dengan nada mengusik.
Entah mengapa aku seperti dapat mendengar nada sinis dalam suaranya itu. Aku menarik nafas panjang. Masih lagi bingung dan bagaikan tidak mampu untuk memikirkan duduk perkara yang sebenarnya. Kata En Zulkifli, rumah ini masih belum disewakan, masih kosong.
Pastinya ada salah faham di sini. Mengapa pula lelaki ini mangatakan dia sudah membayar deposit dan berpindah masuk ke sini. Pada siapa dia membuat pembayaran deposit itu. Berapa orangkah yang menjadi ejen mempromosikan rumah ini?
“Encik... ni mesti ada salah faham ni. Saya... dah setuju nak sewa rumah ni. Pembayaran depositnya pun akan saya buat esok,”
“Ok...ok...ok... miss.. kita kira macam ni lah.... siapa yang bayar deposit dulu... dialah yang berhak atas rumah ni. Kecuali... kalau awak  nak pindah masuk, duduk dengan saya....,”
Mendengarkan kata-katanya itu aku jadi panas hati. Aku mengetap bibir. Ah... lelaki ini langsung tidak ada sikap gentleman. Sepatutnya dia mengalah dengan wanita lemah seperti aku. Ini tidak, aku pula yang terpaksa beralah kepadanya.
“Encik... saya perlukan rumah ni. Ia dekat dengan tempat kerja saya. Lagipun ia cukup selamat untuk saya. Saya perempuan, saya perlukan rumah yang ada sekuriti macam rumah ni. Encik lelaki.. senang nak cari rumah sewa. Kat mana-mana pun encik boleh menyewa...,” kataku dengan nada yang agak marah.
Ah... terlalu terdesakkah aku hinggakan aku sanggup berkata begitu padanya. Menggunakan kelemahanku sebagai wanita untuk dijadikan alasan. Dia senyum lagi. Ah... kacak sekali wajahnya. Siapa dia? Artis terkenalkah? Aku pernah lihat wajah itu. Tapi di mana ye? 
Dia yang kini berdiri betul-betul di hadapanku meletakkan kedua-dua sikunya di atas kaunter yang memisahkan kami. Dia terus memandang tepat ke dalam mataku sambil menampung dagu dengan kedua-dua tangannya. Matanya langsung tidak melepaskan renungannya ke dalam mataku. Saat itu ada debar di dada. Ada resah dalam jiwa. Baru aku sedar ketika ini aku hanya berduaan dengannya di dalam rumah ini.
Dengan pintu utama yang dikunci dari dalam, apa-apa saja boleh dia lakukan padaku dalam keadaanku begini. Dan.... mungkin.... mungkin kalau kami tertangkap, dalam keadaan berdua begini, akulah yang pasti dipersalahkan kerana memasukki unit apartmen ini. Ah... baru aku sedar akan situasiku yang amat merbahaya begini.
“Setiap orang ada alasannya kan? Saya pun ada alasan untuk terus tinggal kat sini. Satu, saya dah bayar deposit. Dua... saya dah pindah masuk.. dan tiga... saya pun suka rumah ni... Tawaran masih terus terbuka... Nak kongsi rumah ni dengan saya? Tak perlu apa-apa bayaran... Jadi peneman pun dah cukup bagus bagi saya...”  usiknya sambil matanya masih terus menatap wajahku, mataku dan seluruh tubuhku. Ada senyum tesungging di bibirnya yang kelihatan cukup menawan itu.
Saat itu aku terasa bagaikan matanya mampu untuk menerobos masuk ke dalam mataku dan terus menyaksikan rasa gundah dalam hati ini. Aku menarik nafas panjang sambil perlahan-lahan bergerak keluar dari dapur itu. Perasaan takut yang mula menyelinap masuk ke hati ini membuatkan aku rasa aku terpaksa untuk beralah. Aku... berada dalam suasana yang cukup merbahaya kini.
“Emm... oklah... a... kalau macam tu tak apalah... Saya... pergi dulu,” kataku gugup.
Sungguh... sungguh aku gugup saat ini. Dia yang masih terus berdiri di kaunter sedikit menghalang pergerakkanku untuk keluar dari dapur. Senyum sinis masih terukir di bibirnya.
“Emm... minta  lalu ye encik... saya nak keluar ni...,”
Sedaya mungkin aku cuba untuk berlagak berani. Cuba untuk tidak menampakkan keresahan yang mula bertapak dalam hati apabila renungannya yang tajam itu bagaikan anak panah yang menusuk masuk ke dalam hatiku. Dia bergerak selangkah memberi ruang untuk aku melepasinya. Lantas aku mengambil beg tanganku dan juga kunci rumah yang aku letakkan di atas meja makan semasa aku masuk tadi.  Cepat-cepat aku berlalu ke pintu utama. Ingin cepat-cepat berlalu dari situ. Ingin pergi jauhkan diri dari renungan yang cukup menggoda itu.
Thats it? Macam tu aje...? Awak nak mengalah macam dulu juga...?” dia bertanya.
Pertanyaan yang membawa sedikit rasa hairan di hatiku. Aku mengerutkan dahiku tanda tidak mengerti. Macam dulu...? Apa  maksudnya? Namun dek rasa gundah yang begitu membingungkan ini,  aku abaikan rasa hairanku. Yang aku tahu, aku perlu pergi jauh darinya. Tiba di pintu utama aku terus membuka pintu itu dan bergerak keluar.
Miss...the offer is still on...,” panggilnya.
“A.. tak pelah... encik ambillah rumah ni... ada salah faham je sikit... sorry,” kataku akhirnya.
Cepat-cepat aku menyarungkan kasutku dan melangkah untuk pergi. Saat itu barulah aku menyedari terdapat sepasang kasut dan sepasang selipar di muka pintu rumah. Bermakna dia sudah berada di dalam rumah ketika aku memasukki rumah tersebut. Ah... bagaimana aku boleh terlepas pandang perkara tersebut?
Sekilas aku berpaling ke arahnya. Ketika itu dia sudah berada pada jenang pintu.  Matanya masih terus merenung wajahku yang pastinya saat ini sedang merah menahan malu. Ah... bodohnya aku kerana terburu-buru memasukki rumah itu. Cepat-cepat aku berpaling untuk pergi. Malu terasa menghambat di hati.
Miss.... wait.... ,” serunya membuatkan aku terhenti seketika.
Aku kembali berpaling ke padanya. Menanti apa yang akan diperkatakannya. Namun dia kelihatannya mengambil masa yang agak lama untuk berkata-kata. Hanya senyuman itu yang masih melekat di bibirnya.
“Saya masih ingat lagi... those big brown eyes... and that sweet little mole of yours....,”
Terkesima aku di situ. Langkah yang baru sahaja aku mulakan terhenti di situ. Baru  sahaja beberapa minggu lalu aku dengar kata-kata itu. Lantas  aku merenung tepat ke dalam matanya.
Ah... bagaimana aku boleh lupa pada wajah itu? Yang pernah satu ketika dulu mencuri satu ruang dalam hati ini. Senyum itu? Yang sering sekali begitu sinis menyindirku.  Mata itu? Yang  sering di setiap pertemuan, merenungku dengan penuh tajam sekali. Tiga kali... ya tiga kali.... Bagaimana aku boleh lupa padanya......?
Aku perlu lari dari mata itu... ya... aku perlu pergi dari situ. Mata yang terlalu menggoda naluri wanitaku itu. Yang pada pertemuan kali  pertama dulu,  mampu mengocak kedamaian di tasik hati ini walau saat itu aku telah dimilikki. Tidak... aku tidak mahu lagi menatap ke dalam mata itu. Kerana saat ini ia masih lagi mampu untuk membawa seribu resah di hatiku.
Dengan senyuman yang menggambarkan seribu rasa rasa gundah, aku mengangguk perlahan dan cepat-cepat berlalu. Dalam kalutku tidak aku sedari , aku terlanggar dengan seorang wanita yang agak rendah dan gempal tubuhnya. Hampir aku jatuh di situ. Wanita itu memelukku, menghalang dari aku tersembam di lantai koridor itu.
“A... maaf kak, saya tak sengaja...,”
Kataku sambil senyum padanya. Hatiku yang masih kalut dengan resahku tadi membuatkan aku tidak perasan siapa yang berada di hadapanku itu.
“Unie...,”
Sapaan wanita itu padaku membuatkan aku tidak jadi untuk meneruskan langkah kakiku. Perlahan aku berpaling padanya. Entah mengapa perasaan gembira terus sahaja menyelubungi hati ini. Menemui seseorang yang pernah begitu mengambil berat tentang diri ini satu waktu dulu membuatkan hatiku  amat teruja. Aku lantas memeluknya erat.
“Kak Pah...,”
Nama itu ku seru dengan rasa yang cukup bahagia sekali. Sungguh aku tidak menyangka yang aku amat amat merindukannya.
“Unie dari mana ni?”
“A...tengah tengok rumah sewa. Kawan sama-sama kerja dengan Unie cakap, rumah ni belum ada penyewanya. Itu yang Unie datang tengok tu. Dah berkenan pun. Ingat esok nak bayar depositnya. Tapi.... tengok-tengok dah ada orang yang sewa,” jelasku panjang lebar setelah aku merungkaikan pelukan kami.
“Dah lama ke Unie balik dari sambung belajar?” tanya Kak Pah dengan mesra.
“Dah dekat dua bulan. Emmm Kak Pah apa khabar ...? Makin sihat nampaknya,” kataku sambil perlahan mataku melirik pada lelaki itu yang masih lagi berdiri di depan pintu rumahnya. Bila terpandangkan dia yang masih lagi merenungku, aku cepat-cepat mengalih pandangan ke arah lain. Kak Pah seperti dulu ketawa kuat sekali mendengarkan gurauanku itu. Kami sama-sama memandang pada tubuhnya yang sedikit gempal berbanding dengan tiga tahun yang lalu.
Pergerakkan di pintu unit pangsapuri yang aku tinggalkan sebentar tadi menyebabkan mataku kembali tertemu dengan mata lelaki itu. Ah... dia masih di situ. Untuk apa dia terus berdiri di situ? Tidak mungkin dia terlalu berminat pada diri ini sehinggakan dia  masih lagi mahu melihat reaksiku ketika bertemu dengan Kak Pah. Aku mesti cepat lari dari situ. Aku tidak mahu terus menjadi bahan tontonannya, bahan sindirannya dek sebab salah faham sebentar tadi.
“Unie nak sewa kat sini? Kenapa? Rumah Unie dulu tu macamana? Encik Izwan... Sarah ... ke mana? Tak kan lah nak duduk pangsapuri macam ni...,”
Kata-kata Kak Pah membawa satu perasaan sayu dalam hati. Aku menelan air liur. Oh... kiranya dia masih belum mengetahui kisah dukaku.
“Emmm... panjang ceritanya Kak Pah.. Mungkin satu hari nanti... Unie ceritakan,” ucapku dengan nada yang cukup sayu.
“Kenapa Unie,” dengan nada hairan sekali dia bersuara. Matanya terus-terusan menjelajahi wajah sayu ku. Tiba-tiba hati ini jadi sebak lagi. Aku perlu pergi dari sini.  Aku tidak boleh terus berada di sini. Aku tidak mahu menangis di sini. Tidak di tempat terbuka begini. Rasa kecewa kerana terlepas peluang untuk menyewa unit pangsapuri itu tadi kini bercampur baur dengan rasa sedih yang kembali bertandang di hati.
“Unie, kena pergi dulu ye Kak Pah, nanti... kita jumpa lagi ye... Unie, pergi dulu,”
Lantas aku cepat-cepat berlalu pergi. Meninggalkan Kak Pah yang  pastinya hairan dengan reaksiku ini. Dan, meninggalkan mata itu  yang masih lagi terus merenungku tanpa sepatah kata.

4 comments:

sueada said...

olooooolooooo
knp la en izwan tue mcm tue???
xsukeeeeee

Anonymous said...

biar la unie dgn mamat bru tuh
xde la sakit sgt hati unie
huhu

Anonymous said...

betul betul...
biar padan muka izwan tue...
jealous tak tentu pasal...
tapi biarlah sarah dgn unie....
or at least sarah tahu kewujudan unie...

Anor said...

kesian dgn unie ye.. sekiranya izwan tlh
mempersiakan biarlah unie mendapat
pengganti yg baru yg boleh membahagiakan
unie. semuga sarah tau yg unie itu
adalah ibunya...macam ada chemistry pula
dgn mamat yg baru unie jumpa.
cepat sambung ye

Post a Comment

Popular Posts