Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 24
Dan hari ini, bermulanya sebuah mimpi indah.... mungkinkah bahagia kini akan ku miliki......
Aku  mengangkat kotak-kotak yang berisi barang-barang peribadiku satu persatu dari bonet kereta. Ah berat sungguh. Semasa mengangkat masuk ke kereta di rumah Suzana tadi, tidaklah terasa seberat ini.
“Eiii apa lah yang kau letak dalam kotak ni Unie? Besi waja ke? Beratnya bukan main...,” rungut Suzana yang turut sama mengangkat kotak-kotak itu.
Aku hanya ketawa perlahan mendengarkan kata-kata Suzana. Apa tak beratnya, semua kotak-kotak itu mengandungi koleksi buku-buku yang aku simpan sejak kecil lagi. Setiap kali aku berpindah, koleksi buku itu akan aku bawa bersama. Dari buku ilmiah, buku-buku keagamaan, buku-buku motivasi, hinggalah novel-novel dari karya penulis kegemaranku.
Semuanya masih elok keadaannya walaupun telah ada dalam simpananku sejak dari usia sepuluh tahun lagi. Semasa di Australia, separuh dari buku-buku itu aku tumpangkan di rumah Suzana dan manakala selebihnya aku tumpangkan di rumah Mak Ngah. Kini, bila aku berpindah ke rumah sewaku, buku-buku itu aku angkut kesemuanya. Beberapa buah kotak lagi telah dibawa oleh Haziq ke lif. Dia bersama adiknya Hariz turut sama membantu aku berpindah hari ini.
Aku tidak lagi mahu ia mengambil ruang di rumah sahabat karibku yang akan melangsungkan pernikahannya dua minggu dari sekarang. Suzana pada mulanya meminta aku terus tinggal di rumahnya. Namun mana mungkin aku melakukan itu.
Aku ingin dia mengecap kebahagiaan yang sepenuhnya, tanpa gangguan dari sesiapa, terutamanya diriku ini. Sudah banyak aku menyusahkan dia dalam usia persahabatan kami yang menjangkau ke tahun yang ke sepuluh ini.
“Aku pelik betullah kau ni, kotak-kotak buku bukan main banyak lagi. Kalau pakaian... Cuma dua beg kecil aje. Terbalik dengan aku. Baju aku bukan main banyak mengalahkan model, buku... hehehe... boleh kira dengan jari,”
Aku senyum lagi mendengarkan komennya itu. Memang Suzana seorang yang begitu menjaga penampilannya. Asalkan ada sahaja fesyen dan trend terkini pasti dia akan membelinya. Lain daripada aku yang lebih gemar menghabiskan duitku untuk bahan-bahan bacaan yang mampu menyuntik ilmu ke dalam mindaku. Ada ketikanya aku sendiri tidak faham bagaimana kami boleh jadi begini rapat sedangkan kami mempunyai keperibadian dan kegemaran yang berlainan.
Namun keakraban itu terpaksa aku renggangkan sedkit kini. Di hatinya sudah ada satu ruang istimewa untuk orang lain. Aku akur dengan keadaan itu. Lantas segera ingatanku melayang kepada peristiwa dua minggu lalu. Peristiwa yang kini sering mengganggu tidur dan jagaku. Yang sering bila hadirnya, mampu membuatkan aku tersenyum seketika.
Dua minggu yang lalu setelah meninggalkan unit apartmen yang menjadi rebutan antara aku dengan lelaki misteri yang kutemui minggu lepas, aku telah bertanyakan kepada pengawal keselamatan apartmen ini tentang kemungkinan ada unit lain yang ingin disewakan. Lantas dia memberikan aku kad nama agen yang menguruskan urusan penyewaan unit-unit pangsapuri itu.
Akhirnya selepas membuat temujanji dengan gadis yang cukup sofistikated itu, aku menemui sebuah unit yang tidak kurang sesuainya untukku. Cuma unit ini terletak di tingkat sebelas. Lebih tinggi dari unit yang aku kunjungi dulu di tingkat empat. Kelengkapan dalam unit ini juga tidak selengkap kelengkapan dalam unit yang menjadi rebutan antara aku dengan lelaki itu dulu.
Itu tidak menjadi masalah bagiku. Asalkan kelengkapan asasnya cukup, itu sudah memadai bagiku. Aku terus bersetuju untuk menyewa unit ini kerana kedudukannya yang dekat dengan tempat kerjaku di UPM. Menurut agen itu, tuan punya unit ini berhajat untuk menjual unit itu. Hatiku terasa teruja untuk membelinya.
Lantas aku berkira-kira untuk berurusan dengan pihak bank untuk tujuan pembelian itu. Aku juga telah bertanyakan kerani di pejabat untuk urusan jual beli melalui pinjaman pembelian perrumahan bagi kakitangan kerajaan. Suasana persekitaran unit apartmen ini sungguh sesuai bagiku. Kedudukannya yang berhampiran dengan tempat kerjaku juga menarik minat untuk aku membeli unit pangsapuri ini. Suzana juga bersetuju dengan hasratku itu.
“Assalamualaikum...,”
Sapaan sesorang membuatkan aku dan Suzana mendongak ke arahnya. Terpana aku seketika. Berdiri tinggi di hadapanku kini ialah lelaki misteri itu. Yang sejak akhir-akhir ini sering menghantui tidur dan jagaku. Sejak kami bertemu di dalam komuter tak berapa lama dulu. Sejak pertemuan yang cukup memalukanku di unit apartmen  sewaannya dua minggu lalu. Sejak tanpa segan silu, dia bagaikan menjadi tetamu kehormat di dalam mindaku. Dan sejak dengan mudahnya dia meletakkan dirinya dengan selesa sekali dalam hati ini. Hati yang selama ini bagaikan mati untuk mengenang seseorang selain dari Sarah.
Ah... baru sahaja wajahnya terlintas di mindaku sebentar tadi. Senyumannya yang cukup mesra dan menggoda itu terus menyapa masuk ke dalam hati ini. Lantas membawa debar yang tidak terhingga di jiwa ini. Debar yang tidak pernah aku rasakan selama ini. Tidak dengan mana-mana lelaki. Malah Abang Izwan pun tidak mampu membawa debar sebegini di saat-saat bahagiaku bersamanya lama dahulu. Terpaku aku di hadapannya menatap senyuman itu, bibir itu dan.... mata itu.
“Waalaikumsalam...,” jawabku sambil menarik nafas perlahan. Cuba untuk menenangkan resah di jiwaku dan debar di dadaku.
Suzana aku lihat terus ternganga di sebelahku. Mata hitamnya terus memandang pada lelaki di hadapan kami. Lantas aku menyikunya. Menyedarkan dia dari keadaannya yang terpegun itu.
“Dah jumpa rumah lain? How sad...,” katanya lembut. Masih dengan nada menyindir.
“Ehem...,” aku berdehem membetulkan suaraku yang terasa begitu sukar untuk keluar.
Masih ada lagi sisa-sia debar di dadaku. Tidak sesekali aku menyangka yang kami akan bertemu lagi. Terutama dalam jangkamasa yang begini singkat.
“Kat blok yang sama ya? Tingkat berapa?”
“Em... tingkat sebalas...,” entah mengapa laju saja aku menjawab.
Dalam rasa serba salah aku menganggukkan kepalaku. Lebih untuk menyakinkan diri sendiri dengan reaksiku terhadapnya. Terkejut sebenarnya mengapa dengan mudah aku memberitahunya di mana unit yang aku sewa. Dia senyum lagi.
“Tawaran saya hari tu masih lagi terbuka tau... tertunggu-tunggu juga saya jawapan dari awak... samada nak pindah masuk tinggal dengan saya ataupun tidak,” katanya sambil ketawa perlahan.
Ah... dia menyindirku lagi. Menyebabkan makin merona merah di wajahku. Mengarut sungguh dia.... Mana mungkin itu akan berlaku. Sungguh dia sangat suka mengusikku. Hish...
Well... boleh saya bantu?” katanya sambil matanya memandang sekilas kepada kotak-kotak baranganku yang sudah tersusun berhampiran dengan kami.
“A... em... tak payah... saya...,”
“Boleh... boleh... encik...., memang kami perlukan bantuan. Dua jejaka tu tak cukup untuk bantu kami...,” sampuk Suzana laju sekali sambil matanya memandang pada Haziq dan Hariz yang dari jauh kelihatan menghampiri kami. Dia menyiku lenganku, menyebabkan terasa begitu panas sekali wajahku saat itu.
“Sekejap ye, saya tanya pengurus blok ni kalau-kalau ada troli, tak perlulah mengangkat semua ni. Banyak juga barang-barang awak ye?” katanya sambil matanya melatari wajahku menyebabkan aku makin bertambah malu dengan sikapnya yang begitu polos merenungku.
“Sekejap ye...,” katanya sambil berlalu pergi. Sambil itu matanya terus memandang padaku dengan sebaris senyum terukir di bibir.
Kami hanya memandang sahaja dia meninggalkan kami dan berlalu ke bangunan apartmen yang bersebelahan di mana ditempatkan ruang pejabat pengurusan kedua-dua blok apartmen ini. Suzana menyentap tanganku menyebabkan tubuhku berpaling menghadapinya padanya.
Unie, you’re blushing....,” nyaring suaranya terjerit sambil tersenyum melihatkan wajahku. Matanya bersinar-sinar memancarkan rasa hatinya saat itu. Dia kelihatan begitu teruja sekali.  “I’ve never seen you’re blushing before...,” katanya mengusik. Semakin panas aku rasakan wajahku saat itu.
“Eh.. mana ada... Engkau ni...,” kataku menutup malu.
Lantas aku kembali memberikan perhatianku kepada kotak-kotak yang masih belum kuangkat dari bonet kereta. Cuba untuk mengalih perhatiannya kepada perkara lain.
“Betul ke dia tu Unie..., yang kau kata berebut kondo dengan kau dulu tu? Orang yang sama kita jumpa hari tu. Dah empat tahun kan? Dah lain rupa dia, makin matang. Dulu muka dia childish sikitkan? Wah...., handsomenya,” kata Suzana dengan wajah yang cukup ceria.
“Siapa yang handsome ni Su....,” suara Haziq menampar di dinding telinga kami. Dia sudah ada di sisi kami rupa-rupanya.
“Ni Ziq.... Unie dah jumpa boy friend lama dia...,”
“Su...,” kataku marah.
“Mana kak Su?” tanya Hariz yang juga kelihatan teruja. Matanya melilau memandang ke arah lelaki itu.
“Siapa Su... yang lelaki tadi tu ke?”
“Haah.... long lost boy friend,”
“Suzana... dahlah... nanti aku cubit kang ha....,” kata lantas jejariku mencubit lengannya.
Dia ketawa mengekek. Membawa tawa ke bibir Haziq dan Haris. Aku memasamkan mukaku. Sudah cukup malu aku rasakan pada lelaki yang masih belum aku ketahui namanya itu, sekarang dia memalukan aku di hadapan tunangnya pula.
“Dia ke mana?”
“Entah... katanya nak pergi ambil troli. Baikkan tu... Teringin jugak dia membantu jejaka-jejaka separuh macho ni...,”
“Siapa? Siapa yang Su kata separuh macho...?” tanya Haziq.
Dia mula mendekati Suzana sehingga berada betul-betul di hadapan tunangnya itu. Mendepakan tangannya pura-pura untuk memeluk Suzana. Hariz sudah ketawa kuat melihatkan gurauan bakal pengantin baru itu. Suzana cepat-cepat melarikan dirinya dan berselindung di belakangku sambil menjelirkan lidahnya kepada tunangnya itu. Ah ... cukup manja sekali kelihatan mereka berdua. Bahagia meniti hari-hari terakhir dengan status tunangan. Nampak sekali sudah tidak sabar-sabar untuk menamatkan status itu. 
“Mana boleh....buat macam tu. Kenalah dapatkan lesen dulu tau...,” kata Suzana.
“Nanti... dua minggu lagi dapat lesen... kita tengok siapa yang macho..,’ ugut Haziq mesra.
“Hei.. dah lah kau orang ni... Depan orang pun nak manja-manja macam ni. Tunggulah dua minggu lagi...,” ucapku pantas.
Tubuh ku terhoyong hayang bila Suzana mendakapku dari belakang. Cuba mengelak dari gurauan tunangnya yang masih berpura-pura untuk menangkapnya. Hampir jatuh aku di situ. Terlalu asyik kami dengan ketawa dan gurauan dua sejoli itu hinggakan kami tidak sedar bahawa lelaki misteri itu sudah berada di sebelahku. Bila dia berdeham barulah kami sedar dia sudah di situ.
“Ada apa dua minggu lagi?” tanya dia dengan mesra.
“Dua minggu lagi ada orang naik pelamin bang... Dah tak sabar-sabar nampaknya ni...,” kata Hariz kepada lelaki itu.
Dia tersenyum memandang kepada merpati dua sejoli itu. Kemudian matanya kembali tertancap ke wajahku. Sekali lagi ada debar di dadaku. Dan dia bagaikan dapat mengesannya, mengenyitkan matanya kepadaku.
Perlakuan yang menyentap jantungku saat itu. Menyebabkan tersekat seketika nafasku. Membuatkan aku lupa seketika ada orang lain bersama kami. Membuatkan aku terus memandang ke matanya yang seakan-akan mengelus lembut di wajahku. Membuatkan aku lupa diri...lupa siapa aku...
“Oh..., ye ke... ni mesti kena jemput saya ni...,” katanya sambil perlahan sekali mengalih pandangannya kepada Haziq. Terasa seolah-olah dia tidak mahu melepaskan pandangnya kepadaku. Membuat aku terasa perasan seketika. Dia menghulurkan tangannya untuk berjabat salam dengan Haziq. Dua tangan mereka kemas bersalaman.
“Haziq...,”
“Umar Rafiki...,”
Entah mengapa, saat itu aku menahan nafasku. Aku bagaikan ternanti-nanti untuk mendengar ucapan perkenalan mereka. Dan telingaku bagaikan telinga tikus, cuba untuk menangkap suaranya yang menyebut namanya itu. Umar Rafiki, bisikku dalam hati. 


12 comments:

shafira_majid said...

bestnya cerita ni, harap ada kebahagian yang menanti utk munirah...cepat ya sambung, x sabar nak baca yg seterusnya.....

Anonymous said...

sweet...

Anonymous said...

best3, at least ade sinar bahagia untuk uni wlwpon secebis..lupe kan dulu kesedihan dgn izwan tu,,
fight for sarah, ok??

korro suffian said...

hati dah terbagi dua ni skgr... tak tau samada nak pilih izwan atau umar tu yang akan jadi hero...
apa2 jelah yang ptg unie bahagia dah cukup...

MaY_LiN said...

wawawa..
nak kenal ngan abang umar gak..
hihihi

anajoe said...

caiyook!

Anonymous said...

nk unie ngan umar hehehe...

aqilah said...

yup!!! lupakan izwan..........

Anonymous said...

hai umar, selamat berkenalan hahahaha...
lupakan izwan, tumpukan pada umar..
semoga unie dpt balik anaknya...

AniLufias said...

nak Unie dgn Umar...
x nak Unie dgn izwan...

Chenta Eyfa Latieyfa said...

nape tekan bab 25 still kua bab 24 nih..huhuhu

laila hanni said...

Aduh Chenta... silap masukkan link ni... kalau Chenta tak tegur akak pun tak perasan ni.... kalau nak baca bab 25, Chenta kena click dekat Blog Archive untuk bab 25 ok...? maaf.. kalau sempat nanti akak baiki...

Post a Comment

Popular Posts