Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 11

Mata Mai melilau mencari ruang di dalam almari untuk dia menyangkut pakaian Syamsul yang baru sahaja lepas diangkat dari jemuran. Baru dia sedari bahawa almari itu sudah dipenuhi dengan pakaian lama Irfan yang tak ingin dipakai lagi. Semua pakaian lama yang masih elok, yang telah diasingkan lama dulu untuk dibahagi-bahagikan kepada mereka yang lebih memerlukannya. Malah terlalu lama, hinggakan dia sudah lupa akan pakaian-pakaian itu. Terlalu asyik dengan kekecewaan yang dialamimya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Dua hari selepas mereka menikah dia dan Syamsul  telah kembali ke rumah sewa Syamsul di Syeksyen 27 untuk mengambil semua barang-barang Syamsul  yang masih ditinggalkan di sana. Apartmen tiga bilik yang dikongsi bersama lima rakan yang lain sesungguhnya amat daif keadaannya bila dilihat dari luar. Entah mengapa tiba-tiba terasa sedih dan sayu  dengan keadaan penginapan Syamsul  selama ini. Hanya untuk menyewa kediaman yang murah, lelaki ini sanggup tinggal di kediaman sebegitu daif. Entah bagaimana agaknya keadaan di dalam rumah kerana dia hanya menunggu di dalam kereta sementara Syamsul  mengambil barang-barangnya yang tidaklah begitu banyak. Lagipun Syamsul  melarang dia naik ke kediamannya yang terletak di tingkat tiga itu kerana menurut Syamsul  keadaannya tidak sesuai sekali untuk dikunjungi oleh seorang wanita.  Tidak mampu dia bayangkan bagaimana agaknya keadaannya. Tersenyum sendiri bila mengenangkan itu semua.

Terdetik di hatinya persoalan mengapa Syamsul  sanggup tinggal di kediaman murah sebegini. Malah dia juga cuma menggunakan sebuah motosikal buruk untuk ke sana ke mari. Setahu Mai, biasanya seorang tukang masak restoren mendapat upah yang agak lumayan. Tambahan lagi dengan sambutan yang diterima oleh restoren tempat dia berkerja itu. Entah mengapa, tiba-tiba dia jadi tertanya-tanya dengan kehidupan lampau lelaki ini. Terasa ingin mengetahui lebih mendalam lagi tentang dia. Ahhh.... dia sendiri tidak mengerti mengapa terdetik perasaan itu dalam hatinya. 

Shamsul Hasni, setelah hampir seminggu menjadi isteri buat lelaki itu, hatinya masih lagi diburu tandatanya tentang lelaki ini. Terlalu banyak yang tidak diketahuinya. Dia bagaikan berada dalam keadaan yang penuh misteri. Hari kedua selapas bernikah, mereka bersama ke kedai makan Kak Ros. Itupun kerana dia perlu menghantar Syamsul  disebabkan lelaki itu perlu mengambil motosikalnya. Untuk dibawa pulang ke Seksyen 9. Kebetulan dia masih lagi bercuti, jadi dia menawarkan diri untuk menghantar lelaki itu.

Itulah saat pertama kali dia melihat Syamsul  menjalankan tugasnya sebagai tukang masak. Timbul rasa hormat dalam hati apabila masuk sahaja waktu solat maghrib, dia terus bergegas ke masjid yang berdekatan untuk solat berjemaah. selepas Isyak barulah dia kembali untuk meneruskan tugasnya hingga ke pukul dua pagi. Sepanjang waktu itu Mai hanya duduk memerhatikan lelaki yang sudah menjadi suaminya itu sambil berbual bersama Kak Ros. Banyak perkara yang mereka bicarakan. Banyak soalan-soalan yang ditanyakan dan tak mampu dijawabnya. Dan kemudiam hanya alasan bahawa mereka baru berkenalan sahaja yang mampu diberikan kepada Kak Ros. Bila Kak Ros bertanyakan tentang anak-anak Syamsul, hati Mai terasa berdebar-debar. Dia tidak mampu menjawab soalan-soalan wanita yang lebih tua itu. Nasib baik dalam perjalanan ke restoren sebelum itu, Syamsul  telah bercerita serba sedikit mengenai anak-anak dan emaknya. Maka maklumat yang sedikit itulah yang digunakannya untuk menjawab soalan-soalan dari Kak Ros. Dia tahu, dia tak boleh selalu bersama dengan wanita itu kalau dia tidak mahu hakikat perkahwinannya dengan Syamsul  terbongkar nanti. Ah, pastinya malu jika hakikat ini diketahui. 

Setelah menyangkut pakaian Syamsul  di dalam almari, mata Mai tersorot pada beg pakaian Syamsul  yang masih terbiar di tepi dinding berhanpiran katil. Terasa bersalah kernan langsung dia tidak mengendahkan pakaian lelaki itu yang masih belum dikemas biarpun sudah empat hari sejak mereka mengambil pakaian lelaki itu di rumah sewanya. Dia bagaikan langsung tidak mengendahkan kehadiran lelaki di rumah ini. Bukan begitu sebenarnya. Dia tidak berani untuk masuk ke bilik tidur Syamsul  tanpa sebab. Bimbang apa pula kata Syamsul  bila mengetahui dia melakukan itu. Tetapi hari ini, terasa terpanggil untuk masuk ke sini. Bukan untuk mengintip atau pun seumpamanya. Cuma kerana dia ingin menyimpan pakaian lelaki itu yang telah siap dicuci dan dilipat, begitu juga yang perlu disangkut. Tidak mungkin dia akan membiarkan lelaki itu melakukan sendiri tugasan itu walaupun sebelum ini Syamsul  pernah mengatakan bahawa dia tidak perlu bersusah payah menjaga makan dan pakai lelaki itu. Ketika Syamsul  keluar bekerja beginilah dia merasakan masa yang sesuai untuk dia masuk ke bilik dan mengemas apa yang patut.
Pantas sekali dia mengambil  beg kosong dari atas almari dan mula mengemas semua pakaian lama Irfan. Dengan penuh kasih dia membelai dan mencium setiap pakaian itu. Sungguh dia rindu pada lelaki yang telah menghampakan hatinya itu. Sungguh, bila dikenang kembali lelaki ini tidak sepatutnya mendapat kasihnya lagi. Terlalu banyak kekecewaan yang dirasakan sejak tempoh setahun terakhir hidup bersamanya. Tetapi, dia sendiri tidak mengerti mengapa terlalu dalam kasihnya pada Irfan. Biar pun kini dia sudah tidak sepatutnya mengasihi lelaki itu. Biar pun sepatutnya dia menumpahkan kasihnya kepada lelaki yang kini menjadi suaminya. Namun dia pasti, ketiga-tiga mereka mengetahui hakikat pernikahan ini. Buat hatinya sedikit lega dari rasa bersalah kerana teguh cintanya masih lagi tetap pada Irfan.

Perlahan-lahan Mai membuka beg Syamsul  dan mengeluarkan pakaian lelaki itu. Cukup ringkas semua pakaian milik Syamsul. Hanya terdiri dari beberapa helai seluar jeans dan baju T tanpa kolar. Bersesuaian pakaiannya dengan penampilan sewaktu kerjanya. Memang kelihatan agak selekeh, namun, selalunya bersih dengan rambut yang telah dipotong rapi sebelum hari pernikahan mereka tempohari. Kali pertama menemuinya dahulu rambutnya agak kusut masai, mungkin waktu itu Syamsul akan mengikat rambutnya semasa memasak, Mai meneka sendiri. Tiga helai kain pelikat dan dua helai baju Melayu yang digunakan untuk dibawa kedai Kak Ros. Baju yang akan digunakan setiap kali dia ke masjid untuk solat jemaahnya. Dia merenung pakaian lama Irfan yang penuh satu beg, yang baru sahaja dimasukkan ke dalam beg itu sebentar tadi. Itu hanyalah pakaian lama, di tingkat atas, masih ada lagi satu almari pakaian lelaki itu yang masih digunakannya. Yang masih belum diambilnya, kerana menganggarkan bahawa satu hari nanti dia akan kembali bersama Mai. Ah, cukup sederhana lelaki ini berbanding Irfan, detik hati Mai lagi.  

Selesai mengeluarkan semua barang-barang dari beg yang sederhana besar itu, Mai mengangkatnya untuk meletakkan di bawah katil. Tiba-tiba sesuatu yang jatuh dari poket beg itu menggamit perhatiannya. Sebuah album kecil jatuh ke lantai berhampiran kakinya. Perlahan-lahan dia meletakkan kembali beg tersebut dan mencapai album tersebut dengan debaran yang tiba-tiba menyesakkan dadanya. Dengan rasa ingin tahu dia duduk kembali di lantai, menyandarkan diri pada kaki katil dan mula membelek helaian demi helaian album tersebut.

Sekeping demi sekeping foto yang memaparkan sebuah keluarga bahagia terpanpang di hadapan matanya. Dua anak kecil, lelaki dan perempuan yang keletahnya kelihatan amat menggembirakan bermain di gigi pantai. Bersama mereka seorang wanita yang agak berumur, yang Mai jangkakan nenek mereka. Ya, pasti ini anak-anak Syamsul  dan emaknya. Kelihatan ceria sekali bermain di celah-celah deburan ombak yang memukul pantai dalam foto tersebut. Indah sekali pemandangannya. Untuk seketika larut dia dalam keindahan yang dirakamkan. Terasa ingin sekali dia menikmati keindahan itu. Dia menarik nafas panjang.

Satu persatu gambar-gambar itu dibeleknya lagi. Di dalam  gambar yang lain pula terdapat pemandangan di mana di kawasan sebuah rumah yang juga letaknya di tepi pantai. Rumah kampung yang serba sederhana itu menggambarkan suasana sederhana kehidupan mereka di sana. Namun terasa begitu damai sekali. Entah mengapa terasa terpanggil untuk Mai menikmati suasana perkampungan begitu. 

Sedang asyik dia membelek album berkulit kertas itu, tiba-tiba matanya tersorot pada sekeping gambar di helaian akhir album tersebut. Foto seorang wanita pertengahan umur yang manis sekali tersenyum mesra tergambar di situ. Gambar yang sudah agak lama kelihatannya itu diamati dengan teliti sekali. Tarikh yang terpapar di sudut tepi sebelah bawah  foto itu menunjukkan ia diambil kurang lebih lima tahun yang lalu. Terdetik dalam hati Mai, mungkinkah ini adalah foto arwah isteri Syamsul? 

“Ehem...,”

Lamunannya dikejutkan oleh satu suara. Pantas dia berpaling pada suara itu. Syamsul? Sudah  pulang lelaki ini? Matanya pantas sekali menjeling ke arah jam di tepi meja solek. Baru jam sepuluh malam. Dan sepantas itu juga darah seakan tersirap naik ke mukanya. Dia tertangkap sedang menyelongkar barangan Syamsul. Tak mampu dia berkata seketika. Terasa malu dengan perlakuannya menceroboh barang-barang peribadi lelaki itu.  

“Emmm.... maaf... a... saya tengah kemas barang awak tadi... terjumpa pula album ni.... ,” ucapnya dengan rasa bersalah.

Syamsul  yang berdiri memenuhi ruang pintu bilik, kelihatan begitu tinggi sekali dari pandangan mata Mai yang duduk di lantai. Dan seperti biasa kehadirannya yang tiba-tiba begini mampu buat Mai merasa agak takut dengan auranya kelelakiannya. Mereka belum lagi terserempak sejak Mai mula bertugas semula kerana bila sahaja dia pulang ke rumah dari sekolah, Syamsul  sudah keluar untuk ke restoren. Dan Syamsul  hanya pulang selepas dia masuk tidur. Di waktu pagi pula, dia sudahpun meninggalkan rumah sebelum lelaki itu kembali dari masjid berdekatan rumah mereka.  

Syamsul  bergerak perlahan menghampirinya. Matanya tepat memandang pada album di tangan Mai. membuat hati Mai makin berdebar. Bimbang jika Syamsul  marah.

“Apa yang kau tengok?”

“Em... album ni.... jatuh dari beg tu tadi.... saya ... tak sengaja....,”

“Jadi....?”

“Awak... marah ke....?” tanya Mai perlahan. Matanya bult memandang pada Syamsul  yang perlahan duduk di birai katil. “Maaf....,”

“Aku tak marahpun.... gambar anak-anak aku.... mak aku.... kampung aku...,” jelas Syamsul  perlahan.

“Yang ni?” Tanya Mai sambil menunjukkan foto yang sedang dilihatnya sebentar tadi.

“Arwah bini aku...,”

Kata Syamsul  yang sepatah itu membuat Mai jadi semakin berdebar. Sesungguhnya perkataan yang keluar dari bibir Syamsul  tadi dengarnya begitu kasar sekali. Mungkin dirinya juga disebut sebegitu bila dia berbual dengan teman-temannya. Ah... kasar sungguh lelaki ini, bisik hatinya. Namun dalam diam, hatinya sedikit lega  mendengarkan kata-kata Syamsul  yang dia tidak marah kerana Mai menyelongkar harta bendanya  itu.

“Kenapa ni... skodeng barang-barang aku ye?”

“Taklah... mana ada... saya tolong kemaskan saja.... Saya tengok barang-barang tu... masih dalam beg lagi tadi...,” kata Mai dengan teraga-agak.

“Macam mana aku nak simpan... tak ada tempat... almari tu pun penuh aje. baju laki kau tu ke... banyak betul baju dia tu... mengalahkan perempuan...,”

Tersentuh hati Mai mendengarkan komen Syamsul  itu. Tersinggung dia bila mendengarkan Syamsul  mengutuk Irfan begitu. Tetapi di diamkan sahaja. Malas untuk bertekak. Lagipun memang begitu adanya. Irfan memang suka bergaya dan suka membeli belah. Setiap bulan ada sahaja pakaian baru yang dibelinya. Begitu juga Irfan suka sekali membeli belah untuk dirinya, sebelum mereka mula mengalami kemelut dalam rumah tangga mereka, 

“Dah... saya dah simpan semua barang-barang dia. Awak boleh guna almari tu sepenuhnya...,”

Kata Mai sambil bangun untuk meninggalkan bilik itu. Cukup tidak selesa rasanya bila terpaksa berdua begini dalam keadaan Syamsul  yang agak tidak baik moodnya. Kelihatan dalam keadaan yang seperti marah-marah. Sinis sahaja setiap kata-kata yang terbit dari bibirnya. Belumpun sempat dia menjauh, terasa pergelangan tangannya digenggam erat oleh lelaki itu. Ah... siapa lagi kalau bukan dia...

Langkah Mai terhenti. Dan untuk kesekian kalinya hatinya berkecamok lagi. Tasik hatinya dikocak lagi. Syamsul bangun perlahan-lahan dari duduknya. Berdiri betul-betul di belakangnya. Untuk seketika dia dapat merasakan hembusan nafas lelaki itu di telinganya. Buat hatinya terus goyah. Hampir pengsan rasanya dia saat itu. Lemah lututnya bagaikan tidak mampu menanggung berat tubuhnya yang kecil itu.

“Betul ke.... kata kau tu....?” bisik Syamsul  ke telinganya. Sepontan itu dia berpaling memandang wajah lelaki itu yang jaraknya begitu hampir sekali. Terlalu hampir hinggakan hembusan nafas mereka bagaikan bersatu. “Betul ke.... aku dah boleh gunakan sepenuhnya....,” bisik Syamsul  lagi.

Bisikan yang membuat Mai mula mengerti apa yang ingin disampaikan oleh lelaki itu. Serta merta merah padam mukanya yang cerah itu. Merona warna indah di pipinya. Dan buat seketika dia dapat merasakan Syamsul  juga terpaku memandang kepadanya. Menyedarkan dia akan hakikat yang tidak mampu dinafikan. Bahawa dia adalah milik sepenuhnya lelaki ini. 

Pantas sekali dia menjauhkan diri. Bila dia berpaling kembali ke wajah Syamsul  dengan perasaan yang cukup malu, wajah Syamsul  dilihatnya selamba sahaja. Bagaikan tiada apa yang berlaku di antara mereka. Membuatkan terasa membuak-buak kemarahannya serta merta.

“Tolong ye... jangan buat macam tu lagi.....,” katanya separuh menggertak. Suaranya antara keluar dengan tidak. Dia pasti, yakin pasti, suaranya kedengaran hanya di dalam kerongkongnya sahaja. “Tolong hormat sikit....,” bentaknya lagi. Lantas dia berlalu pergi.  Meninggalkan Syamsul  yang pastinya sedang tertawa sinis, mempermainkan perasaannya. 

4 comments:

IVORYGINGER said...

Aura Syamsul bt Mai tkedu ya. (^-^)
Irfan vs Syamsul!!! Syamsul much better. ;D
Bodoh la Mai klu xtau nk nilai mn kaca n mn pmata. Syamsul bw la Mai ke kg. Rsnya mai dah jatuh hati pd pmandangan yg dia lihat dlm album tu.

fyda said...

harap mai kekalla ngan syamsul ek..
next n3 ye cik writer..

blinkalltheday said...

vote 4 syamsul..haha,syamsul kacau mai ea??

alfa syamimi said...

erk! :terkedu: asal kak laila suke sgt buat dua hero ek?? buat susah je sy nak pilih..tatau nk sokong sape...huhu

Post a Comment

Popular Posts