Bab 17
Suasana di Lapangan Terbang
Sultan Ismail Petra petang itu begitu sibuk sekali dengan penunpang-penumpang
yang baru sahaja tiba melalui penerbangan sebelah petang dari Kuala Lumpur. Kelihatan juga sebuah
kapalterbang yang sedang menunggu masa untuk berlepas. Mai melangkah perlahan menuju
ke balai ketibaan. Dia tidak perlu mengambil apa-apa bagasi kerana hanya
membawa sebuah beg bimbit kecil serta sebuah beg kertas yang mengandungi
sedikit buah tangan buat keluarga Syamsul.
Semalam dia buntu memikirkan
apa buah tangan yang patut dibelikan buat keluarga Syamsul. Akhirnya dia
mengambil keputusan untuk membeli sebuah kereta kawalan jauh untuk anak lelaki Syamsul
serta sebuah buku cerita untuk anak
gadis Syamsul. Bagi emak mertuanya dia membelikan sehelai kain pasang untuk
dibuat baju dan buat adik ipar perempuannya dia membelikan sehelai selendang
berwarna ungu. Sungguh dia tidak pasti samada pilihannya itu akan dapat
memenuhi selera mereka sedangkan dia sendiri tidak tahu bagaimana kegemaran
mereka semua. Namun setelah diyakinkan oleh Kak Gee, bahawa pastinya mereka
akan suka dengan apa sahaja pemberian pertama darinya, barulah Mai terasa
sedikit yakin dengan apa yang dibelinya itu. Menurut Kak Gee, bukan apa yang
diberi itu yang utama dalam hal ini, tetapi keikhlasan memberi itu sebenarnya
yang mampu menarik minat seseorang untuk menerima apa juga pemberian.
Setelah tiba di balai ketibaan barulah Mai
mengaktifkan telefon bimbitnya. Terdapat beberapa panggilan dan satu pesanan
ringkas dari Syamsul yang sudah pastinya
membawa getaran debar di hatinya.
‘Kenapa datang tak bagitahu dulu... bukan ke aku dah cakap, kita
selesaikan hal kita bila aku balik Shah Alam nanti...’
Ringkas... tapi padat mesej
yang ingin disampaikan. Syamsul
sesungguhnya tidak memerlukan dia di sisi. Malah suaminya itu masih
marah seperti waktu dia meninggalkannya dua minggu yang lalu. Sebelum menaiki
kapal terbang sebelum berangkat tadi, dia telah menghantar pesanan ringkas ke
telefon Syamsul untuk memberitahu akan
kedatangannya ini. Selepas menghantar SMS itu, dia cepat-cepat mematikan
telefon bimbitnya seperti yang di arahkan oleh peramugari yang bertugas. Tidak
mahu menerima apa-apa panggilan dari Syamsul
yang pastinya akan melarangnya dari datang.
Dan kini, setibanya dia di
sini, terasa amat janggal sekali. Sepanjang dalam penerbangan tadi dia
memikirkan tentang hal ini. Menyesali setiap apa yang pernah dikatakan pada
Syamsul hinggakan ego suaminya itu
tercabar. Tanpa sedar perlakuan dan kata-katanya telah mencalar perasaan lelaki
itu. Pun begitu dia cukup tidak mengerti. Bukankah di awal perkahwinan ini
telah dinyatakan semuanya. Bahawa ini semua cuma sementara. Namun, mengapa bila
ini terjadi, bagai ada rasa kecewa yang melanda hati. Mengapa Syamsul menunjukkan kemarahannya bila dia menyatakan
apa yang berlaku tempohari antara mereka adalah kerana Irfan? Bukankah dia
sudah tahu itu semua?
Sedang dia berkira-kira untuk
mendapatkan teksi ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di mana
emak mertuanya di tempatkan, telefonnya berbunyi. Nama Syamsul terpapar di skrin. Dan debar di hati
tiba-tiba jadi kencang. Cepat-cepat dia menjawab panggilan itu.
“Mai kat mana ni?” sapaan
Syamsul kedengaran lembut di telinganya.
Walaupun ada sedikit nada marah, dia bagaikan dapat mendengar kerisauan pada
suara yang bagaikan berbisik di telinganya. Terasa seperti hatinya dibelai
lembut sekali mendengarkan namanya disebut sebegitu. Dia memejamkan mata
menikmati perasaan itu. Inilah pertama kali namanya disebut dalam perbualan
antara mereka sejak dinikahi oleh lelaki ini. Bagaikan indah terasa di hati.
“Mai
kat airport... Baru saja sampai...
Tadi ... kena matikan telefon masa dalam kapalterbang,” jawabnya.
Entah mengapa dia bagaikan
ingin berbisik manja ke telinga Syamsul. Bagaikan ingin meraih simpati buatnya
supaya tidak dimarahi. Tidak mahu rasanya tindakannya ini disalah ertikan oleh
Syamsul. Dan entah mengapa debar di hatinya bagaikan makin kencang bila
mendengarkan suara itu. Terasa bagaikan ingin meluahkan rasa rindu... Rindu????
“Habis sekarang kat mana ni?”
“Tengah nak tempah teksi. Mai
... pergi ke hospital terus ye?” dia
bertanya perlahan. Mengharapkan Syamsul
tidak lagi marah kepadanya.
“Terpulang pada Mailah. Aaa...
aku boleh datang ambil ... kalau kau sudi nak naik motosikal cabuk aku,”
biarpun terasa bagaikan disindir, namun hatinya seperti berlagu riang. Debar di
dada kian kencang.
“Emm... tak menyusahkan a....
awak ke?” Sahutnya bagaikan meraih simpati. Entah mengapa ingin sekali dia
menggunakan panggilan abang pada Syamsul. Tapi dia mengubah fikiran di saat
akhir.
“Tak, aku boleh tingalkan emak
ni kejap. Lagipun dia tengah tidur ni..,” jawab Syamsul bersahaja. “Tunggu aku datang,” sambung
lelaki itu dalam nada mengarah.
“Ok...,”
Dan talian diputuskan. Mai
memejamkan matanya sambil menarik nafas panjang. Terasa serba salah jadinya.
Bagaimana dia akan menghadapi suaminya itu? Akan dimarahikah nanti? Apa yang
harus diperkatakan bila bersama dengannya nanti? Dia mengeluh perlahan. Cuma
mampu mengharapkan Syamsul tidak lagi marah
kepadanya.
****
Serba salah jadinya. Kalau
diikutkan hatinya ingin sekali dia menyuruh Mai kembali ke Kuala Lumpur dalam
penerbangan yang selanjutnya. Cukup marah rasanya bila Mai menghantar pesanan
ringkas kira-kira satu jam tadi untuk memberitahunya yang dia akan datang.
Masalah emaknya masih lagi belum selesai, timbul pula masalah dari perempuan
yang sepatutnya mendamaikan jiwanya ini.
Setelah seminggu berada di bawah pemerhatian di wad
Cardiac Care Unit (CCU), Hospital Universiti Sains Kubang Kerian, emaknya
ditempatkan di Wad Medikel di hospital yang sama sejak seminggu yang lalu
sementara menunggu masa untuk menjalani rawatan selanjutnya. Buat masa ini
apa-apa rawatan masih lagi belum dapat dilakukan kerana menunggu kelulusan
pembayaran kos rawatan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut pegawai
di jabatan tersebut, tempoh kelulusan itu bergantung kepada proses yang perlu
mereka jalankan. Mungkin akan mengambil masa lebih sebulan. Dan kini dia telah
pun berkampung di Hospital USM selama dua minggu. Bila sahaja dia dibenarkan
berada di sisi emaknya, dia pasti akan berbuat begitu. Dan bila waktu doktor
membuat lawatan untuk memberikan rawatan yang diperlukan, dia terpaksa
meninggalkan emaknya buat seketika. Untuk meninggalkan hospital dia tidak
sanggup sama sekali. Bimbang jika sesuatu berlaku kepada emaknya semasa dia
tiada di situ. Lantas dia menjadi penunggu setia di luar wad tersebut.
Kedatangan Mai yang sungguh
tidak disangkanya ini membuatkan terasa sedikit gundah berpaut di tangkai hatinya.
Bagaimana nanti dia akan menjalankan tugasnya sebagai anak jika Mai ada dan
‘menganggu’nya? Tidakkah nanti Mai akan menyusahkannya dengan terpaksa
menghantarnya pulang ke rumah emaknya yang jauh nun di Pantai Melawi? Perlukah
dia membenarkan Mai menemui emaknya dalam keadaannya yang daif begitu? Dan
mungkinkah emaknya akan dapat menghidu kedinginan hubungan dia dan Mai? Cukup
risau rasanya dia bila memikirkan kemungkinan kesihatan emaknya akan makin
terganggu dengan kehadiran Mai.
Dari jauh dapat dilihatnya Mai
yang sedang duduk di sebuah bangku di dalam bangunan lapangan terbang tersebut.
Kelihatan isterinya itu sedang resah sekali. Isteri.... dia mengeluh perlahan.
Sememangnya Mai sudah menjadi isterinya dengan erti kata yang sebenarnya. Bila
mengingatkan peristiwa yang berlaku pagi itu, bagaikan bertandang sejuta
resah rindu di hatinya. Membuatkan ingin sekali dia mengelus pipi
mulus wanita itu. Membuatkan dia menginginkan peristiwa itu berulang lagi..
lagi... dan lagi.... ahhh....
Sejenak kemudian Mai berpaling ke arahnya.
Seperti dapat merasakan dirinya sedang diperhatikan, terus pandangan mata
mereka bertaut. Terdiam Syamsul seketika
di tempat dia berdiri. Mata itu kelihatan bagaikan bercahaya, mematrikan pandangannya terhadap kedua-dua bola mata
hitam milik Mai. Dan dapat dilihatnya Mai juga bagaikan terpaku seketika.
Syamsul melangkah lambat menghampiri Mai yang
perlahan-lahan bangun bila melihat suaminya itu
menghampirinya. Tepat memandang ke dalam mata masing-masing. Sama-sama
cuba mencari apa yang tersembunyi di sebalik renungan masing-masing. Bila Mai
tidak mampu meneka apa yang tersirat di dalam hati Syamsul dia menutup resahnya dengan sekumtum senyum
yang pastinya kelihatan hambar. Syamsul
turut mengukirkan senyum tawar. Terasa ingin sekali dia menghulur tangan
bersalam dengan Syamsul , tetapi bila melihatkan raut wajah Syamsul yang seakan-akan tidak senang, dia
membatalkan keinginan itu.
“Maaf... Mai tak minta izin
dulu nak datang..,” katanya perlahan. Sapanya itu di sambut dengan tawa sinis
dari Syamsul.
“Sejak bila kau mula minta izin
dari aku bila nak buat apa-apa...” sindirnya.
Mai diam. Rasa tersinggung di
hatinya dibiarkan sahaja. Bukankah dia yang memulakan semua ini. Syamsul baik kepadanya di awal pernikahan mereka
dulu. Tetapi sikap acuh tak acuhnya sendiri yang menyebabkan lelaki ini
bagaikan membencinya. Di tambah lagi dengan apa yang berlaku pada mereka dua
minggu yang lalu. Entah mengapa terasa begitu sayu di hatinya bila merasakan
bahawa ada kebencian di hati lelaki itu buatnya.
“Emak a... awak macam mana?”
“Emm... ok... ,”
“Masih di hospital lagi kan?”
“Hem..,”
“Awak datang sini, siapa yang
jaga dia ..,”
“Aku tinggalkan dia sekejap.
Lagipun dia tengah tidur tadi masa aku tinggalkan dia tadi...,”
“Maaf sebab susahkan awak. Tadi...
Mai ingat nak naik teksi aje....,”
“Huh... tambang teksi dari sini
mahal...,” kata Syamsul seolah-olah
mencemuh. “Buat apa bazirkan duit. Tapi... tak kesahlah kan? Sebab duit kau
banyak..,”
Sinis lagi suara itu membuatkan
tersentuh lagi hati Mai dibuatnya. Namun sekali lagi didiamkannya. Nasihat Kak
Gee semasa dalam perjalanan menghantarnya ke Lapangan Terbang Subang tengahari
tadi masih diingatnya. Jangan dilawan cakap suami. Cuba bersabar dengan
kernahnya. Dia akur, barpun di merasakan tidak selayaknya dia dilayan sebegitu.
Tapi dalam keadaan marah, dia tidak mahu memperbesarkan masalah di antara
mereka. Sarang tebuan jangan dijolok. Dia sudah cukup sedar tentang itu.
Pengalaman semasa diceraikan Irfan dengan talak tiga dahulu masih lagi melekat kemas
di hatinya.
“Jom..,” kata Syamsul sambil mengangkat beg Mai. Dengan membimbit
beg yang mengisi buah tangan untuk anak-anak Syamsul serta emaknya, dia menurut langkah
Syamsul perlahan-lahan menuju ke
motosikal Syamsul yang diparkir di luar
bangunan lapangan terbang tersebut.
“Harap kau tak malu naik
motosikal buruk aku ni...,” sinis lagi kata-kata Syamsul di telinganya. Dan di diamkan lagi. Malas
untuk bertekak. Namun di hati kecilnya terdetik rasa gerun. Dia pernah
mengalami kemalangan semasa kecil apabila membonceng dengan arwah ayahnya. Dan
sehingga ke hari ini dia tidak pernah lagi membonceng motosikal. Fobianya masih
terasa sehingga ke hari ini.
Syamsul mengambil beg yang dibimbit oleh Mai dan
meletakkan ke dalam raga motosikal yang terletak di bahagian hadapan tempat
duduk. Perlahan dia menghulurkan topi keledar yang dipinjamnya dari ahli
keluarga salah seorang pesakit yang menghuni wad yang sama dengan emaknya. Melihatkan Mai agak
kekok untuk mengikat topi keledar itu, dia membantu, membuatkan kedudukan
mereka begitu rapat sekali. Dan matanya terus merenung ke wajah manis Mai
sepanjang masa dia membantu Mai mengikat tali topi keledarnya. Perlakuan yang
membuatkan resah di hati Mai tak mampu di bendung. Mai cuba merenung kembali ke
dalam mata suaminya itu. namun tidak mampu bertahan lama. Lantas matanya jatuh
ke leher Syamsul yang setentang dengan
wajahnya. Mula merasakan sesuatu yang tidak enak mengetuk pintu hatinya. Suatu
getar yang cukup asing dan tidak pernah dirasakannya selama ini. Dan wajah selamba Syamsul membuatkan dia merasa bersalah kerana
membiarkan hatinya disapa perasaan itu. Bukankah dia yang meletakkan pelbagai
syarat dia awal cerita antara mereka?
Tanpa kata dan masih dengan
wajah selamba, Syamsul menunggang dan
menghidupkan injin motosikal. Kemudian dia memberi ruang untuk Mai membonceng
di belakangnya. Dalam debar yang tak mampu diseka, Mai melangkah perlahan
menghampiri motosikal usang Syamsul. Cuba untuk berlaku berani sedangkan dalam
hati tuhan sahaja yang tahu perasaan takutnya. Dia berpegang kemas pada hujung
baju T Syamsul. Tidak tahu di mana untuk meletakkan kedua-dua tangannya.
Genggamannya yang kemas itu menyebabkan Syamsul
menyedari ketakutan yang dirasakannya.
“Engkau takut ke?” tanya
Syamsul sambil berpaling kepadanya. Mata
mereka bertatapan lagi. Mai hanya mengangguk tanpa kata. Membawa senyum di
bibir Syamsul. Dia tidak pasti apa maksud senyuman itu. Kelihatan seperti
sinis, tetapi cukup melegakan kerana Syamsul
tahu akan apa yang dirasakan.
Dan tanpa disangka-sangka Syamsul menarik kedua-dua tangannya sehingga
melingkari tubuh lelaki itu. Dalam rasa terkejut Mai memejamkan matanya,
memeluk tubuh lelaki di hadapannya itu. Menikmati perasaan indah yang
melingkari hatinya. Cuba untuk mengerti tentang apa yang dirasakannya itu. Satu
rasa indah yang bagaikan mengelus perasaan. Membuatkan dia tertanya-tanya dan
keliru.
“Pegang kuat-kuat... aku suka tunggang
motosikal laju-laju...,” kata Syamsul
dalam nada mengusik. Dan Mai dapat melihat sebaris senyuman terukir di
pinggir bibir Syamsul. Dan hatinya sudah tidak hiraukan apa maksud senyuman
itu. Dia hanya ingin melayani perasaannya di saat ini. Perasaan indah... dalam
suasana yang cukup indah. Dan bila Syamsul
mula menggerakkan motosikalnya itu, dia mengeratkn lagi pelukannya pada
tubuh lelaki yang memenuhi ruang ingatannya sejak dua minggu ini. dia
merebahkan kepalanya di belakang Syamsul dan menikmati perasaan indah yang dirasakan.
Dan dia tidak ingin mengingatkan yang lain saat ini. Hanya dia...
****
Mendung yang melatari langit
petang itu membawa rasa sejuk di hati Syamsul. Suasana bertukar dari panas
menjadi redup dan hujan renyai-renyai yang tiba-tiba turun di awal November itu
bagaikan mengelus hatinya. Pelukan kemas Mai di pinggangnya membuatkan damai
menyelubungi hatinya. Ah... rindu itu makin kemas berpaut di tangkai rasanya.
Ya... rindu... dan dia ingin menikmati perasaan ini selagi dia diberi peluang
ini.
Tiba-tiba telefon bimbitnya
begitu nyaring sekali berbunyi, mengejutkan Syamsul dari melayan perasaan damai yang dihayatinya
sejak motosikalnya meninggalkan pagar lapangan terbang lima belas minit yang
lalu. Pelukan Mai di pinggangnya terasa seperti lingkaran kasih yang tidak
ingin sekali dileraikan. Terlalu asyik dengan perasaan indah yang dirasakan.
Namun dia tahu, dia perlu melepaskan pelukan itu demi untuk menjawab telefon.
Perlahan-lahan dia memberhentikan motosikalnya di pinggir jalan. Terasa yang
Mai cepat-cepat melepaskan tubuhnya sebaik sahaja motosikal berhenti di bahu
jalan. Sebelum sempat menjawab telefon, Syamsul
berpaling ke arah Mai. Bibirnya
mengukir lagi senyuman mengusik seperti tadi.
“Seronok...?,” dia bertanya sepatah
sambil membawa telefon bimbitnya ke telinga. Sambil itu sekuntum senyum mengusik meniti di bibirnya. Senyuman dan
kata-kata yang membawa rona merah di pipi Mai, namun wanita muda itu hanya diam
sambil memerhatikan Syamsul yang masih
lagi duduk di hadapannya. Tidak tahu apa yang harus diperkatakannya. Matanya
hanya merenung wajah lelaki yang sedang bercakap di telefon. Dia dapat melihat
bagaimana tiba-tiba wajah Syamsul yang
sebelum itu tersenyum sinis sambil mengusiknya, berubah ke raut penuh kebimbangan.
“Apa...? Bila ...,?” Kata Syamsul dengan nada penuh kerisauan.
Syamsul diam seketika mendengar kata-kata dari si
pemanggil. Perbualan yang kelihatan membuat Syamsul resah turut sama membuat hatinya berdebar.
Makin terukkah keadaan emak mertuanya itu?
“Ya... ya... saya datang..,”
balas Syamsul kemudiannya. Lantas dia mematikan telefon bimbitnya. Matanya
memandang ke wajah Mai dengan pandangan penuh kerisauan. Membawa tanda tanya di
hati wanita muda itu.
“Kenapa...?”
“Mak aku......,” kata Syamsul cemas.
“Kenapa dengan mak...?”
“Dia... tenat semula... dia
orang masukkan ke CCU. Aku kena cepat,” katanya lagi sambil memandu
motosikalnya semula.
Dan kali ini, Syamsul memang memandu motosikalnya dengan laju
sekali. Membuat Mai makin merasa takut dengan keadaan itu. Dan, bagaikan terasa
bersalah di hatinya kerana menyebabkan Syamsul
terpaksa meninggalkan emaknya seketika semata-mata untuk menjemputnya.
14 comments:
lama tunggu citer ni >.<
hehehe, cpt sambung ye kak x)
citer akak memang best...nk lagi...dan lagi...
Saya suka dengan cerita ini. memang terbaikkk la... Harap kak laila akan cepat sambung cerita ni. memang menarik sangat. Harap2 nanti biarlah Mai dengan Syamsul. Tak suka dengan Irfan tu.
da kua da cte nie..alah mntak2 smpat la jmpe mak dia,de la ksmpatan knl ngn fmly suami dia
best kak.....sambung lagi. Suka cerita ni. lain dari yang biasa dibaca.
entah kenapa bila ternampak blog hani dah update, hati saya berdebar-debar..mungkin sbb rindu dgn Mai n Samsul..
terima kasih krn update cerita ini..
harap kami x tunguu terlalu lama nnti...
-che`lenn-
cerita ni memang best...tapi kak hanni kenapa lambat sangat update????...kalau boleh jangan la lama sangat...hihihi..
Saya stju ngan cik.farisya...tapi lambt sgt nk kluar nxt n3. ..N x puas bace pendek. .Hehehe plzz cpt skit ya
best2..akak,update la slalu ye..cite ni best..hihi
suke cter ni..tp naper slow sgt?..
More please Laila... Publisher... please publish...
Jalan cerita bagus tapi setiap bab baru peminat harus tunggu terlalu lama.. Bimbang pembaca hilang mood.. 2 minggu untuk satu bab adalah munasabah. Teruskan berkarya mengikut idea sendiri tanpa dipengaruhi kehendak jalan cerita pembaca/komentar.
terima kasih atas komen-komen di atas...
insyaallah kak laila akan cuba cepatkan update postings. agak sibuk sejak kebelakangan ni... thanks semua.... kerana sudi mengikuti kisah ini...
Cik Writer, sy selalu tertunggu-2 akan bab seterusnya. Agak lambat posting boleh buat saya jln citenya. Harap Writer dapat buat posting cepat-2. x sabar nk tahu kisah selanjutnya ttg Syamsul dgn Mai
Post a Comment