Bab 21
Sebaik sahaja masuk waktu maghrib, Mai mandi dan
menunaikan solat sendirian. Dia merasa agak hairan kerana tidak ada sedikit pun
kelihatan kelibat Shuhaida mau pun Syamsul
di rumah. Sepetang dia terlalu asyik bersama Nabil di tepi pantai
sehinggakan tidak sedar waktu yang berlalu. Bila dia dan Nabil pulang ke rumah,
kedua-duanya sudah tidak ada. Yang ada hanyalah Najwa yang seperti minggu
lepas, cuba untuk mengelakkan diri darinya. Mahu ditanya kemana ayahnya pun
terasa malas bila melihatkan muncungnya yang begitu panjang. Bukan Mai tidak
berani tetapi malas untuk melayan kerenah anak itu dalam keadaan yang sebegitu.
Dan anak gadis itu seperti biasa hanya memandangnya dari ekor mata sahaja.
Bagaikan begitu membenci akan kehadirannya. Dia dapat merasakan bahawa Najwa bagaikan
menyimpan dendam di hati terhadapnya. Sesuatu yang membuatkan Mai merasa begitu
bingung sekali.
Duduk di hadapan television bersama Nabil di sebelahnya
malam itu membuatkan timbul pula satu perasaan bahagia di hatinya. Pertanyaan
demi pertanyaan dari Nabil berkenaan dengan rancangan television yang tersiar malam itu
membuatkan Mai merasakan satu lagi pengalaman baru dalam hidupnya. Kelengkapan
television yang begitu asas sekali dan tanpa kemudahan astro, menyebabkan
siaran yang mampu ditonton adalah amat
terhad sekali. Namun, siaran yang jarang sekali dia tonton di rumahnya di Shah
Alam bagaikan menggamit minatnya untuk dia terus menonton bersama Nabil di saat
ini. Dan kali ini, dia langsung tidak merasakan dia membuat keputusan yang silap
untuk kembali semula ke kampung kecil ini. Dan,
tanpa ragu lagi dia pasti akan kembali untuk menghabiskan percutian
akhir tahunnya selama lebih sebulan di sini nanti.
Cuti sekolah akan bermula dua minggu sahaja lagi. Selama
tempoh itu nanti dia akan pastikan dia akan menggunakan setiap saat di sini
nanti sebaiknya. Dia mungkin tidak akan mengalami situasi sebenar berada di
kampung sebegini di tahun-tahun akan datang apabila dia dan Irfan dapat kembali
bersama. Mengingatkan hakikat itu membuatkan Mai merasakan lebih baik untuk dia
tidak memikirkan perkara itu buat masa ini. Sekarang, yang dia inginkan hanyalah untuk menikmati saat-saat yang ada.
Saat manis bersama Nabil, bersama alam semulajadi yang cukup indah... dan
bersama Syamsul yang penuh dengan misteri.
Tangannya mengelus buku catatan yang diberikan oleh
Shuhaida sebaik sahaja dia sampai petang tadi. Buku catatan lama yang kemas
tersimpan itu mengandungi sajak-sajak yang di tulis oleh Syamsul. Dia hanya
mampu mengamatinya secara sepintas lalu petang tadi sebelum Nabil sibuk
mengajaknya ke tepi pantai. Dan sekarang, masih lagi Nabil cuba untuk
mendapatkan perhatiannya hinggakan dia masih lagi tidak mampu menghayati
kandungan buku catatan kecil yang ditulis dengan tulisan yang kemas dan rapi
sebegitu. Dalam diam dia berjanji pada dirinya untuk membacanya nanti sebelum
melelapkan mata. Sungguh hatinya cukup teruja untuk membaca sesuatu yang
ditulis oleh lelaki yang penuh dengan misteri itu.
Matanya menjeling ke arah Najwa yang kelihatan begitu
asyik menyiapkan kerja sekolahnya di satu sudut ruang itu. Mata anak gadis itu
sesekali menjeling ke arah television yang sedang terpasang. Dia tahu, dari
perlakuannya itu, Najwa juga terasa ingin menonton rancangan yang disiarkan.
Tetapi mungkin disebabkan kehadirannya di situ membuatkan bagai ada protes dalam hati Najwa untuk
bersamanya menikmati saat indah yang dikongsi bersama dengan Nabil.
“Nabil ... nanti Nabil tanya Kak Wawa .. ayah dengan Su
Ida pergi ke mana ye?” bisiknya kepada anak kecil di sebelahnya.
“Kak Wawa... ayah ngan Chu Ida pergi mana...?” lantas
suara Nabil bergema kuat sekali bertanyakan kepada kakaknya. Menjeritkan
kata-kata itu dari tempat duduknya di sebelah Mai.
“Nabil... kenapa jerit macam ni... kan ummi suruh pergi
tanya perlahan-perlahan....,” ucap Mai perlahan sambil matanya menjeling kepada
Wawa. Nabil terus bangun dan berlari mendapatkan kakaknya.
“Kak Wawa, ayah ngan Chu Ida pergi mana?” ulang Nabil
kepada kakaknya. Wawa yang dari tadi kelihatan tidak mampu menumpukan
perhatiannya kepada kerja sekolahnya memandang ke wajah adiknya dengan bibir
yang muncung. Ada tanda marah di situ.
“Kenapa ni kacau akak nak buat kerja sekolah. Pergilah
tengok tv tu...,” tengkingnya dengan suara yang begitu keras sekali. Terkejut
Mai dengan perlakuan yang dipamerkan secara tiba-tiba itu. Najwa memuntahkan amarahnya kepada Nabil atas tanda
protesnya terhadap Mai sebenarnya. Berlanjutan dengan itu tercetus pergaduhan
antara mereka berdua.
“Nabil tanya je... tak boleh ke?” jerit Nabil kembali.
Buat Mai makin terpinga-pinga. Dia tidak pernah mengalami situasi sebegini. Di
sekolah dia biasa menghadapi masalah pergaduhan kecil di antara anak muridnya.
Namun situasi pergaduhan tanpa sebab sebegini amat asing baginya.
“Mengacau je...,” bentak Najwa. Kata-kata itu ternyata
membuatkan Nabil marah. Lantas dia mengambil pensel Najwa dan melemparkan
kepada kakaknya dengan marah. Saat itu Mai sedar bahawa dia perlu melakukan
sesuatu untuk meleraikan pergaduhan ini. Cepat-cepat dia bangun apabila
melihatkan Najwa bangun untuk melakukan sesuatu kepada adiknya. Dan belum
sempat dia melakukan apa-apa, tamparan jejari Najwa telah singgah di pipi adiknya.
Tangisan kesakitan dari Nabil bergema begitu kuat sekali membuatkan Mai dengan
pantas sekali mendapatkan anak kecil itu. Lantas dia memeluk Nabil sebelum
sempat dia bertindak untuk membalas perbuatan kakaknya itu.
“Dah.... dah... Nabil jangan macam ni... mari.. mari kita
pergi duduk kat sana...,” pujuk Mai untuk meredakan keadaan.
Terasa amat bersalah kerana dia yang meminta Nabil untuk
bertanyakan soalannya tadi. Sedikit pun dia tidak menyangka ia akan menimbulkan
situasi sebegini. Terasa cukup marah pada Najwa atas tindakannya yang
keterlaluan itu. tetapi dia membiarkan sahaja amarah anak gadis itu. Dia perlu
memujuk Nabil saat itu.
“Kakak... kakak buat Nabil ... kakak jahat...,”
“Syhhh... jangan cakap macam tu....,”
“Habis... kenapa Nabil kacau akak buat kerja... nak
tengok tv.. tengok je lah.... benci betul...,” ucap Najwa, memotong kata-kata
Mai dengan keadaan marah.
“Nabil tanya aje... ummi suruh tanya pasal ayah....,”
kata Nabil.
“Ok... ok... dah... dah...,” kata Mai perlahan sekadar
untuk meredakan kemarahan kedua anak-anak itu.
“Ummi? Siapa ummi .... siapa? Dia bukan ummi kita... ummi
kita dah mati.... dah mati...,” jerit Najwa.
“Najwa.....,” bagai halilintar suara lelaki itu bergema
dari arah pintu. Syamsul yang datangnya entah dari mana segera mendapatkan
Najwa dan tanpa mampu di sekat, jari jemarinya singgah di pipi anak gadisnya.
Terpana semua yang ada. Sungguh Mai terkejut
dengan keadaan itu. Terlalu leka dia memujuk Nabil sehinggakan sedikit pun dia tidak
menyedari kepulangan suaminya itu.
“Syam ....,” ucap Mai sambil tangannya memegang tangan
suaminya.
“Kenapa Wawa cakap macam tu?” herdik Syamsul tanpa menghiraukan panggilan Mai yang
bertujuan untuk meredakan keadaan.
“Memang... dia bukan ummi Wawa ... ummi Wawa dah mati....
Wawa tak nak dia jadi ummi Wawa.. tak nak...,” jeritnya kepada ayahnya.
“ Wawa ...,”
“Wawa benci ayah... benci...,” jeritnya lagi.
Syamsul menggenggam jari-jemarinya.
Terasa ingin sekali dia menampar pipi itu sekali lagi.
Najwa terus menangis dan melarikan dirinya ke dalam bilik
yang dikongsinya bersama Shuhaida. Kuat sekali dia menghempas pintu. Sakit di
pipinya dirasakan tidak seberapa dibandingkan dengan sakit di hatinya saat itu.
Ternyata ayahnya lebih mementingkan emak
tirinya dari dia. Benci sungguh hatinya menerima hakikat itu. Sejak mengahwini
perempuan itu, perhatian ayah tidak lagi tertumpu kepada mereka. Ayah jarang
pulang ke kampung lagi. Kalau dulu, ayah akan balik dua minggu sekali. Tapi
sejak berkahwin lebih dua bulan yang lalu, hanya sekali ayahnya balik iaitu
sebulan yang lalu. Kalau bukan kerana Tok Wannya sakit sekarang ini, pastinya
ayahnya masih lagi leka dengan isteri barunya. Sakit sungguh hatinya saat itu.
****
Syamsul merenung jauh di kegelapan malam. Deruan ombak
yang sayup kedengaran begitu keras menghempas pantai bagaikan mengocak badai
gelora di hatinya. Tiap patah kata-kata Wawa sebentar tadi mengusik
perasaannya. Dia akur dengan keadaan ini. Wawa tidak dapat menerima Mai. Dia
juga dapat melihat betapa terusiknya hati Mai bila Wawa menjeritkan kata-kata
itu tadi. Hinggakan tanpa sedar dia menampar pipi anaknya. Dia sendiri tidak
sedar akan perlakuannya itu. Selama ini dia jarang sekali meletakkan jarinya ke
tubuh Wawa. Apa tidaknya, anaknya itu tidak pernah membuatkan dia marah. Namun
sikap Wawa yang begitu biadap sebentar tadi mambuatkan dia tidak mampu menahan
perasaan marahnya. Akhirnya hinggaplah tamparannya di pipi Wawa. Nasib baik Mai menghalangnya dari melakukan
sesuatu yang tidak sepatutnya.
“Syam ....,”
tiba-tiba kedengaran namanya diseru dengan nada yang sedikit kuat. Terlalu
asyik Syamsul dengan menungannya
hinggakan dia tidak menyedari kehadiran Mai di sisinya. Dia menarik nafas sambil berpaling kepada
suara lembut itu. Lantas hatinya terus bergetar bila menyedari Mai berdiri
terlalu hampir dengannya sehinggakan tubuh mereka bersentuhan. Dia mengangkat
keningnya demi untuk menutup perasaannya saat itu.
“Mai nak minta maaf...,” ucap Mai perlahan. Kata-kata
yang membawa kerut di kening Syamsul.
“Kenapa pulak?”
“Emm... tadi... Mai yang sebabkan Wawa marah.... Mai tak
sangka dia tak sukakan Mai sampai macam tu sekali...,”
“Dia tak sepatutnya cakap biadap macam tu. Aku tak ajar anak
aku biadap..,” kata Syamsul dengan nada
yang masih geram.
“Tapi, awak tak patut pukul dia macam tu..,”
Tingkah Mai buat
dahi Syamsul makin berkerut. Isterinya
ini masih lagi ingin membela Wawa walaupun ternyata dirinya dibenci oleh
anaknya. Mengapa Mai masih melakukan sebegitu? Semata-mata kerana hendak
memenangi hati Wawakah atau untuk memenangi hati dia? Tapi untuk apa?
“Habis.. nak biarkan aje...? Biar dia terus jadi budak
biadap macam tu..,”
“Memangla tak baik dia cakap macam tu... tapi bukan ke
lebih baik kalau kita cakap elok-elok dengan dia. Saya tak pernah terniat nak ambil
alih tempat ummi dia. Saya....,”
“Hahhh... tak payah awak ingatkan kenapa kita kahwin.
Saya tahu semuanya kerana Irfan kan? Jadi, awak nak terus terang kat Wawa yang
awak nanti akan minta cerai dengan saya? Yang kita ni kahwin olok-olok saja.
Awak ingat dia faham semua ni?” kata Syamsul
dengan nada sinis sekali.
“Bukan itu maksud saya...,”
“Habis... apa maksud engkau?”
Kelu Mai seketika. Terdiam dia dalam mengatur bicara.
Syamsul dalam keadaan tertekan. Sudahlah
kerisauan tentang keadaan emaknya baru sahaja reda, kini dia dibebani lagi
dengan masalah anaknya itu. Mai tahu dan mengerti perasaan suaminya itu. namun
sikap degil lelaki ini bagaikan tidak mampu untuk dia tangani. Terpaksa dia
berkira-kira dengan setiap patah kata yang perlu diluahkannya supaya tidak lagi
menjadi bahan sindiran lelaki ini. Untuk tidak membuatkan keadaan jadi lebih
tegang, dia cuba menceriakan suasana. Tersenyum lembut sambil menatap wajah
suaminya.
“Emm.. biarlah... nanti biar saya cakap dengan dia. Saya
tak nak dia terus kecil hati dengan saya,”
“Kau nak cakap apa?”
“Adalah...,” ucap Mai sambil mengangkat bahunya. Menimbulkan
keadaan yang sungguh santai antara mereka. Buat seketika hati Syamsul bagaikan terhibur dengan perilaku Mai yang
tanpa disedarinya kelihatan sebegitu manja.
“Esok pukul berapa nak ambil mak?” ucap Mai cuba menukar
topik.
Syamsul diam
seketika. Untuk membawa emak keluar dari hospital, pastinya akan memakan
belanja lagi. Walaupun kos perubatan ditanggung oleh pihak Jabatan Kebajikan
Masyarakat, dia tidak pasti bagaimana pula keadaannya dengan kos-kos lain
semasa emaknya di hospital. Adakah akan mencukupi nanti dengan wang yang ada di
tangannya. Sudah lebih dua minggu dia tidak bekerja. Dan selama ini wang
simpanannya sudah makin luak sedikit demi sedikit.
“Pagi... aku pergi... nanti kalau mak dah boleh keluar
wad, Ida bawak dia balik dengan teksi,”
“Eh... haah ye...
mana Ida?” tanya Mai dengan rasa hairan.
Saat itu baru Mai teringat kembali kepada Shuhaida. Punca
yang menyebabkan berlaku pergaduhan antara Wawa dan Nabil sehinggakan Wawa
merajuk membawa diri ke dalam bilik. Dan sehinggakan dia terpaksa memujuk Nabil
dari tangisnya sehinggakan anak kecil itu terlena di pangkuannya.
“Malam ni dia temankan mak. Dia suruh aku balik malam
ni... lepaskan rindu pada engkau..,”
Terkesima Mai dibuatnya. Dan untuk seketika debaran
hatinya memalu di dada. Sungguh dia tidak menyangka Syamsul akan berkata begitu. Dengan segera darah
menyerbu ke muka. Buat wajah lembut itu kelihatan indah dalam tatap mata
suaminya.
“Aa.... emmm...,”
“Hem... kenapa gamam.... bukan ke itu yang sepatutnya...
dah lama berpisah. Tentunya rindukan?”
Mai terdiam lagi. Mula memuncungkan bibirnya tanpa sedar.
“Buatlah muncung macam tu... nanti aku cium kang...,”
makin galak Syamsul mengusik.
“Hah... awak ni...,”
Lantas Mai terus masuk ke dalam rumah. Meninggalkan
Syamsul keseorangan untuk terus
menikmati bunyi deruan ombak yang begitu gemersik sekali di bawa angin malam ke
telinganya. Dingin yang terasa dek hujan yang turun seketika tadi bagaikan
memberikan kesegaran buat hatinya. Untuk
seketika waktu, bersama Mai tadi dia jadi lupa dengan keresahan yang dialaminya
sebelum ini. Ternyata Mai mampu membuatkan resahnya hilang seketika bila
bersama. Usikan-usikan dan sindiran-sindiran yang dilafazkannya mampu
membuatkan Mai merengus geram. Dan saat sebegitu bagaikan membawa satu rasa
bahagia di hati, bila wajah itu berlalu dengan muncung dan juga rajuk yang
bagaikan minta untuk dipujuk. Mai ... oh Mai .... begitu mudah sekali untuk
diduga hatinya. Dan Syamsul tersenyum kembali.
****
Mai jadi resah. Dia memandang di sekelilingnya. Bagaimana
nanti jika Syamsul ingin tidur di
biliknya. Bilik itu agak sempit dan hanya memuatkan sebuah katil dan almari
usang. Hanya terdapat ruang yang amat sempit antara keduanya. Ruang yang hanya
mampu menempatkan sehelai sejadah untuk bersolat. Dia sepatutnya memberi ruang
milik Syamsul ini kepada suaminya untuk merehatkan diri kerana dia yang hanya menumpang
di sini.
Dalam keadaan resahnya itu, pintu bilik terkuak dari luar
tanpa diketuk. Makin kuat debaran di hati Mai. Makin dia merasa resah apabila
Syamsul menghampirinya.
“Huh.... takut ke?” tegur Syamsul sambil matanya memandang ke wajah Mai yang
resah sambil duduk di birai katil.
“Mana ada...,” sepontan kata-kata itu keluar dari bibir
Mai. Lantas menjemput tawa di bibir Syamsul. Masih lagi wanita ini cuba untuk
menafikan sesuatu yang begitu telus di pandangan mata.
Syamsul membuka pintu
almarinya dan mengeluarkan pakaiannya. Sambil berlalu ke tempat kain tualanya tersidai
di sudut bilik, dia terus ketawa.
“Macam mana nanti ye....?” dia bertanya dengan suara yang
leweh.
Mai diam, cuba untuk memahami maksud soalan itu. Dahinya
berkerut memandang ke wajah Syamsul. Namun apa yang diharapkan tidak juga tiba.
Syamsul tidak meneruskan kata-kata itu.
Buat dia jadi makin tertanya-tanya
maksud kata-kata Syamsul.
“Macam mana apa...?” akhirnya terkaluar soalan itu dari
bibirnya. Tidak mampu lagi untuk cuba menyelesaikan teka-teki yang sememangnya
tidak berpihak kepadanya.
Syamsul senyum.
Ah... masih lagi begitu telus isterinya ini. Tiap persoalan pasti tidak mampu
dia biarkan berlalu tanpa jawab. Syamsul terus tersenyum sambil berlalu ke
pintu bilik. Dia suka dengan keadaan itu... suka sekali.
Sambil menolak
pintu bilik untuk keluar, persoalan di minda Mai terjawab apabila bagaikan
menyindir, Syamsul berkata, “sekarang
ni... bila sebilik dengan aku sekejap macam ni pun kau dah takut. Macam mana
nanti ye, sebulan kau nak sebilik dengan aku....?” dengan kata-kata itu
Syamsul keluar sambil terus ketawa
perlahan.
Terkedu Mai mendengarkan kata-kata itu. Langsung dia
tidak terfikirkan soal itu bila dia menyatakan bahawa dia akan berada di sini
sepanjang cuti sekolah nanti. Lalu bagaimana? Hatinya dikocak debaran yang
makin menggila. Membuatkan seluruh tubuhnya menggeletar saat itu.
10 comments:
Menarik jln ceritanya... Unik dan membuatkan ku ingin mengetahui what's next....
alahai..comel je mai yer..blur gitu..sambung lagi kak..
menggigil seluruh badanlah kalau dah sebulan dok serumah..
haha.
rindunya dgn cerita ni kak laila...
huhu
Salam Ramadhan Al-Mubarak. Thanks for the new n3. Syahdunya! Tersentap hati akak bila membaca '... apabila dia dan Irfan dapat kembali bersama'. Janganlah pisahkan Syamsul dan Mai! Bila dan bersama sebulan nanti harapnya adalah sinar kasih yang akan menjalar buat mereka...
kak laila.. lama tgu n3 nie.. best.. walaupun shamsul dingin dgn mai dia ttp ambil berat..hehhheeh.. nak lagi
Laila, terima kasih. Akhirnya saya dapat juga tgk ada 2 n3 dlm masa sebulan.
'Sesaat cukup bagiku' ini mmg mencabar minda awk, terlalu byk yg perlu difikirkan terutama sekali bagaimana olahan jln cerita yang memerlukan awk fokus semasa menulisnya. Syabas kerana berjaya, saya harap n3 baru nnt Mai dah tahu perasaan dia sebenarnya kat Syamsul.
thanks Has.. memang mencabar. bulan puasa pulak malam tak leh nak berkarya.weekend je ada masa sikit.nampaknya kena tunggu lepas raya baru blh pulun balik...
wassalam .... :)
yeay, akhirnya kak Laila tunaikan permintaan kitorang untuk menambah n3 baru setiap bulannya, tak delah angau menunggu n3 baru bulan hadapan, hehe. thanks k Laila, ^_^. nice n3, dan jangan pisahkan May ngan Syamsul ye, sayang diorang, hehe.
muda13
saya suka watak Syam ni...dia xdelah benci sgt kat Mai. mcm merajuk sikit. hehe..Mai pon cute jer..siap muncung2 mulut lg..
Post a Comment