Bab 32
“Kan
Wawa dah kata... bila Wawa cakap semua tak mau dengar... sekarang ni tengok apa
dah jadi dengan Nabil....?” jeritan Wawa bergema di ruang tamu rumah kecil itu.
Suasana yang sudah kalut itu jadi makim kelam kabut dengan jeritannya itu.
“Mandikan
dia.... mandikan....,” kata Makcik Nisah dalam kekalutan itu. Dia juga terkejut
apabila sebaik sahaja tiba ke rumah, tiba-tiba anak kecil itu rebah dan
terbelalak biji matanya. Mata hitamnya memandang ke atas dan tubuhnya jadi
kejang. Belum sempat mereka berbuat
apa-apa, tubuh itu mula tertarik-tarik kekejangan. Mulut serta hidungnya mula kebiru-biruan dan
air liurnya mula meleleh.
Suasana yang cukup asing bagi Mai itu
membuatkan dia bagaikan panik seketika. Shuhaida cepat-cepat mengangkat tubuh
Nabil yang tiba-tiba kejang itu. Terasa begitu berat sekali walaupun selama ini
anak kecil itu biasa dikendongnya dengan mudah. Keadaan tubuh Nabil yang kejang
dan tidak mampu dikawalnya menyebabkan tubuh itu sukar diangkat. Cepat-cepat
dia membawa anak saudaranya itu ke bilik mandi. Dia bagaikan tahu apa yang
patut dilakukannya. Dan dalam kekalutan itu Mai cuba untuk membantu dengan
mengikut langkah Shuhaida ke bilik mandi dan mula menjiruskan air sejuk di
kepala Nabil seperti yang diminta oleh Shuhaida. Basah lencun tubuh mereka
bertiga disimbah air.
Setelah
seketika, keadaan Nabil mula kembali reda. Tubuhnya tidak lagi kejang. Perlahan
Mai mengambil Nabil dari pegangan Shuhaida. Dia mengendong Nabil keluar dari
bilik mandi dan kembali ke sisi emak mertunya yang sudah sedia dengan sehelai
kain untuk menadah lelehan air yang menitis dari tubuh Nabil. Dalam kekalutan
itu Wawa menghampiri Mai dan mula menumbuk tubuh wanita muda itu. Keadaan
menjadi lebih kelam kabut.
“Wawa
dah cakap jangan bawa Nabil.... ,” jeritnya lagi.
“Wawa...
jangan buat umi macam tu..,” kata Makcik Nisah dengan nada cemas.
“Dia
bukan umi Wawa .... bukan umi Wawa ....,” kata anak gadis itu penuh emosi.
Mai
yang sedang meletakkan Nabil jadi terkedu. Tersentuh hatinya akibat kata-kata
Wawa itu. Dia sememangnya tahu selama ini yang Wawa tidak suka akan dirinya.
Namun sungguh tidak dia menyangka sehingga begini sekali kebencian itu. Cepat-cepat
dia meletakkan Nabil berdekatan dengan
Makcik Nisah. Dan cepat-cepat juga dia
bangun dan menjauhkan diri apabila terus-terusan diserang oleh Wawa dalam
marahnya. Terasa sakit bila Wawa menumbuk lengannya. Dia tidak mampu
mengelakkan diri kerana tergamam.
“Wawa....,”
tiba-tiba jerit Shuhaida bergema dari arah dapur. Cepat-cepat gadis itu berlari
memeluk Wawa. Cuba menghalang Wawa dari terus menumbuk tubuh Mai. Bila sahaja tindakan
Wawa yang seolah lupa diri itu dapat di kawal, cepat-cepat Mai berlalu
meninggalkan ruang itu. Tidak tahu ke arah mana untuk dia tuju, Mai
melangkahkan kakinya turun ke halaman. Terasa begitu dibenci di saat itu,
terasa begitu tersentuh hatinya, hingga tidak mampu dibendung lagi air mata
dari menitis menuruni pipi gebunya. Dia duduk diam di anak tangga paling
bawah. Masih bagaikan bingung dengan
tindakan Wawa. Agak lama dia di situ sambil mendengar kekalutan dari dalam
rumah bila kedengaran keras sekali suara
Shuhaida memarahi Wawa. Dia ingin memberhentikan semua itu. Dia tidak mahu Wawa
dimarahi kerana dia. Anak gadis itu mungkin telah tidak mampu mengawal
emosinya. Namun dia hanya terkedu di situ, tanpa mampu berbuat apa-apa.
Tiba-tiba
dia teringat pada Nabil. Cepat-cepat dia melangkah semula menaiki tangga ke
atas rumah. Wawa kelihatan sedang menangis di riba neneknya. Mungkin akibat
dimarahi oleh Shuhaida sekejap tadi. Shuhaida pula sedang menanggalkan pakaian
Nabil yang sedang terbaring lesu di sebelah neneknya. Lalu Mai terus
mendapatkan Nabil tanpa menghiraukan Wawa. Dia perlu pastikan anak itu dalam
keadaan baik, walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang sepatutnya dia lakukan.
“Apa
nak buat ni mak?” dia bertanya perlahan pada Makcik Nisah.
“Tak
apa.. tunggu sekejap. Kalau tak habis lagi sawannya, kena bawa ke hospital.
tapi kalau dah reda, dia tidur, kita demah aje dengan air sejuk. Nanti begi
ubat yang kena masukkan kut punggung tu. Rasanya ada lagi ubat tu dalam peti
sejuk. Ida, pergi tengok sekejap,” kata Makcik Nisah perlahan.
Tangan
kiri wanita seperuh umur itu mengusap kepala Wawa yang masih menangis di
ribanya. Manakala tangan kanannya pula meraba tubuh Nabil yang telah di
tanggalkan pakaiannya oleh Shuhaida sebentar tadi. Mai mengambil kain tuala
kecil yang ada di tangan Shuhaida. Kain itu dibasahkan dalam sebekas air dan
digunakan untuk mendemah tubuh Nabil yang masih panas. Anak kecil itu kelihatan
seperti terlena. Dalam kekalutan itu, mereka tidak sedar bahawa Syamsul telah pulang dan sudah pun berada di belakang
Mai.
“Kenapa
ni...,” kedengaran risau sekali suaranya.
“Huh...
Syam ... dah balik... tak perasan tadi...,” kata Makcik Nisah dengan suara yang
terkejut.
“Kenapa
Nabil? Kena sawan ke....,” katanya sambil dengan payah dia berlutut di sebelah
anak kecil itu.
“Mai
bawa dia ke bandar Kota Bharu tadi. Dia nak ikut sangat. Masa kat sana elok je,
tapi elok-elok je sampai ke rumah, tengah kami sibut angkat barang-barang yang
kami beli tadi, dia kena sawan...,” kata Mai menjelaskan keadaan ketika itu.
“Bang....
ni ubatnya. Nasib baik ada satu lagi.,” kata Shuhaida yang tiba dari dapur
bersama ubat demam yang perlu dimasukkan melalui punggung untuk mendapatkan
kesan yang paling cepat pada tubuh pesakit. Cepat-cepat Syamsul memasukkan ubat itu ke tubuh Nabil sedang
anak kecil itu masih lagi lena. Mata Syamsul
kemudiannya memandang kepada Wawa yang sedang menangis di riba neneknya.
“Kenapa
Wawa tu?”
“Itulah...
tadi dia...,” cepat Shuhaida cuba mnyampaikan cerita kepada Syamsul .
“Tak...
Wawa tadi takut.... sedih tengok Nabil,” pantas sekali Mai menyampuk. Dia tidak
perlu menjelaskan semuanya kepada Syamsul. Dia pasti Syamsul akan marah sekiranya tahu tentang amukan Wawa
terhadapnya. Biarlah, biar semuanya dirahsiakan dari pengetahuan Syamsul . Dia
tidak mahu anak itu dimarahi oleh ayahnya lagi. Walaupun hatinya tersinggung
sebentar tadi, masih dia tidak mahu Wawa diapa-apakah oleh Syamsul. Dia pernah
melihat Syamsul memarahi Wawa kerana
dia.
“Kena
bawak ke hospital ke Syam?” tanya emaknya untuk mengalih topik yang
diperbualkan. Dia juga pasti bahawa mereka perlu sembunyikan perkara ini dari
Syamsul. Nahas Wawa jika Syamsul tahu
apa yang telah dilakukannya kepada Mai sebentar tadi.
“Rasa
macam tak payah lah mak. Dah ok ni, Cuma kena demah dengan air sejuk. Dia pun
dah tidur. Nanti esok, kita pergi hospital...,” kata Syamsul perlahan.
“Tapi
ubat dia dah habis bang. Yang ada ubat makan saja. Kalau malam ni dia kena
sawan lagi, ubat yang masukkan kut punggung dah habis. Tak apalah, malam ni
bawa dia ke klinik. Sekurang-kurangnya kalau dia kena sekali lagi, ubatnya dah
ada..,” ujar Mai memberikan pendapat.
Syamsul hanya menganggukkan kepalanya sambil
berpaling sekali lagi kepada Wawa. Dia mengusap perlahan kepala anak gadisnya
yang masih menangis di ribaan neneknya.
“Wawa...
dah la menangis tu, adik dah ok tu.... nanti Wawa jagakan adik ye?” katanya memujuk.
****
Wawa
menangis dan terus menangis. Sepanjang malam dia baring di sebelah adiknya.
Matanya terus memandang ke wajah Mai yang terus-terusan berjaga sambil
tangannya tanpa letih mendemah tubuh Nabil ketika suhu badannya naik. Entah
bila wanita itu tidurpun dia tidak pasti. Yang pastinya setiap kali terjaga dia
dapat Mai masih lagi belum lena. Tangannya terus memegang tubuh Nabil yang
tidak memakai baju. Seolah-olah sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
Dia
berpaling ke sebelah kirinya. Wajah ayahnya yang sedang lena menggamit
pandangannya. Mereka sekeluarga semuanya tidur di luar malam itu bersama Nabil.
Masing-masing bagaikan enggan untuk meninggalkan adiknya itu, lantas semuanya
tidur bersamanya beralaskan hamparan toto. Hujan yang turun renyai malam itu
yang membuatkan suasana sekeliling jadi lebih nyaman. Sekurang-kuragnya ia
dapat membantu melegakan keadaan Nabil dari terus meningkat suhu badannya.
Dia
kembali berpaling pada Mai yang berada di sebelah Nabil. Mengecilkan matanya
supaya Mai tidak menyedari yang dia sudah terjaga. Memerhatikan wanita itu yang
sesekali memandang kepadanya. Entah
mengapa satu perasaan timbul di hatinya. Perempuan ini sepatut tidur saat ini,
namun dialah yang begitu setia menjaga Nabil. Terasa kesal di hatinya kerana
berkelakuan seperti yang dilakukannya petang tadi. Dan sedikit pun dia tidak
dimarahi apabila wanita itu menyembunyikan apa yang telah berlaku dari
pengetahuan ayahnya.
“Wawa...
tidur ye... nanti pagi, Wawa boleh tolong jagakan adik. Kalau umi ngantuk, Wawa
ada...,” kata wanita itu kepadanya dengan nada yang begitu perlahan sekali.
Kata-kata yang buat dia jadi terkedu. Lantas, tanpa sedar dia mengangguk
perlahan.
“Ya
umi...,” bisiknya. Dia mengharapkan wanita itu mendengar kata-katanya itu.
Namun, kalaupun dia mendengar, wanita itu bagaikan buat-buat tidak tahu akan
panggilannya itu. Dan dia diam, tidak mampu untuk terus berkata apa-apa. Hanya
sebak merajai rasa.
Kata-kata
yang begitu perlahan dari bibir Wawa itu melintas di telinga Mai. Dia tidak pasti
benar atau tidak apa yang dia dengar, namun entah mengapa hatinya terasa begitu
berbunga saat itu. Terasa di terima sepenuhnya dalam keluarga ini. Dan tidak
syak lagi, detik inilah yang dinanti-nantikan selama ini. Saat dia diterima
menjadi sebahagian dari mereka semua.
Keesokkan
harinya Nabil masih lagi demam tak berkutik. Masih lagi tidak mampu aktif
seperti biasa. Masih lagi tubuhnya panas membahang. Ini membuatkan Mai jadi
kembali risau dan tidak sanggup meninggalkannya walaupun seketika. Dia mendemah
tubuh kecil itu dengan air sejuk yang dicampur dengan ais. Seketika sahaja
basahnya, dan bila kembali kering, dia mendemah lagi sehinggakan basah lencun kain yang mengalas tempat
tidur anak itu. Nabil hanya dibaringkan di atas lamtai beralaskan tikar dan
kain. Menurut emak mertunya ini adalah untuk memastikan tubuhnya tidak kembali
panas secara mendadak. Dalam masa yang sama juga dia menghulur gelas air sejuk
ke bibir Nabil, cuba memujuk supaya anak kecil itu meneguk air tersebut.
“Wawa,
boleh tengokkan adik kejap tak? Umi nak jemur kain,” katanya perlahan terhadap
Wawa yang sedang menonton televisyen berhampiran dengannya.
Wawa
berpaling dan mengangguk perlahan. Ada sedikit senyum terukir di pinggir
bibirnya. Walau dia tidak berkata apa-apa, Mai sudah rasa cukup senang kerana
tidak ada tanda-tanda protes dari anak gadis itu seperti yang selalunya
berlaku. Perlahan dia menghulurkan buku yang dibelinya semasa keluar dengan
Shuhaida dan Nabil semalam. Sememangnya dia ingin menghadiahkan Wawa dengan
sebuah novel awal remaja tulisan seorang penulis terkenal tanah air.
“Semalam
umi belikan ini untuk Wawa, nanti bacalah ye?” ucapnya ringkas.
Wawa
memandang sejenak pada novel tersebut. Perlahan dia menyambut huluran Mai
sambil senyum. Mai menarik nafas panjang, dan juga tersenyum senang.
“Wawa...
umi sebenarnya ada nak minta sesuatu pada Wawa...,”
Wawa
hanya memandang ke dalam matanya tanpa sepatah kata. Persoalan yang terlihat di
matanya sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia juga ingin tahu apa yang
ingin di minta oleh Mai.
“Umi
tau, Wawa tak suka panggil umi dengan panggilan tu kan? Umi tau, umi tak akan
dapat ganti umi Wawa yang dah tak ada. Tapi umi suka sangat nak jadi kawan
Wawa. Umi nak tumpang kasih dengan Wawa, sebab umi tak ada anak sendiri macam Wawa
dengan Nabil. Umi pun tak ada kawan macam ayah Wawa, macam Su Ida, tak ada mak
macam Tok Wan. Jadi kalau boleh umi nak menumpang kasih dengan keluarga Wawa.
Boleh kan?” katanya dengan nada yang sebak. Matanya mula berkaca.
Wawa
diam, seakan-akan tak mampu berkata apa-apa. Dia tahu dia agak keterlaluan bila
menunjukkan tanda protesnya terhadap Mai. Tapi, dia tidak suka semua perhatian
diberikan kepada wanita ini. semenjak dia ujud dalam keluarganya, semua orang
memandang tinggi kepadanya sehinggakan lupa bahawa pada awal perkahwinan
ayahnya dulu, Mai sombong. Langsung tidak pernah bertanyakan khabar mereka,
apatah lagi pulang ke kampung ini demi untuk menemui mereka.
“Wawa
ada nak cakap apa-apa ke pada Umi?” tanya Mai bila melihatkan Wawa seperti
sedang memikirkan sesuatu. “Kalau ada cakaplah... Umi nak dengar. Nanti, kalau
ada yang umi buat tak betul, umi boleh baiki.” Sambungnya perlahan.
“Emmmm....,”
kelihatan Wawa teragak-agak.
“Cakapla...
umi janji, umi tak marah...,” katanya memujuk.
“Umi
tak benci Wawa nanti?”
“Tak
sayang... cakaplah...,”
“Emmm...
masa umi baru kahwin dengan ayah, kenapa umi tak balik sini? Umi tak suka
dengan kami ye?”
Bagai
tersirap darahnya saat itu bila mendengarkan persoalan yang bermain di minda
anak gadis itu. Seketika dia terdiam memikirkan bagaimana untuk dia menjawab
soalan polos itu demi untuk menjaga hati anak ini dan secara tak langsung,
tidak menjatuhkan maruah dirnya.
“Tak
Wawa... masa tu kebetulan umi sibuk, tak ada cuti. Lagipun, masa tu anak murid
umi kat sekolah dah dekat nak periksa. Umi tak boleh cuti. Dan, masa tu jugak,
umi silap. Umi takut Wawa dengan Nabil tak boleh terima umi... umi takut nak
balik sini...,” ucapnya perlahan memberi alasan.
“Masa
tu Wawa ingat umi tak suka kami, sebab tu tak nak balik jumpa kami. Bila cakap
kat Tok Wan, dia marah Wawa sebab fikir macam tu. Lepas tu bila umi balik,
semua orang sayang umi. Semua cakap pasal umi. Asyik-asyik cerita pasal umi.
Wawa jadi marah .. sebab Wawa tak suka umi ganti umi Wawa...,”
Mai
terdiam seketika. Dia bagaikan faham apa yang Wawa rasakan.
“Wawa,
umi tak pernah niat nak ambil tempat umi Wawa. Umi cuma nak tumpang kasih aje. Umi
tak ada siapa-siapa kat dunia ni kecuali ayah Wawa, Wawa, Nabil, Tok Wan, dan
Su Ida...,”
“Mak
dan ayah umi ?”
“Semua
dah meninggal. Ayah umi masa umi belajar kat universiti. Mak umi meninggal
beberapa tahun yeng lepas. Sejak itu, umi memang tak ada siapa-siapa,” dan saat
itu ingatannya kembali ke wajah sugul Irfan, yang begitu mengharapkan dia
kembali.
“Ohhh...,”
kata Wawa sambil menganggukkan kepalanya.
Mai
diam seketika sambil memikirkan sesuatu. Ya, dia perlu lakukan sesuatu. Mungkin
ini mampu memperbaiki hubungannya dengan Wawa.
“Emmm...
macam ni... apa kata, kalau lepas ni, Wawa jangan panggil umi dengan panggilan
tu lagi boleh..?”
Berkerut
kening Wawa mendengarkan permintaan Mai tersebut.
“Habis...
Wawa nak panggil apa..?”
“Wawa
panggil... emmm.... mama...?”
Wawa
diam seketika.
“Nabil?”
“Nabil
pun... panggil mama...,”
Wawa
diam lagi, bagaikan tidak mampu menangkap maksud butir bicara yang keluar
dari mulut Mai.
“Macam
ni.... Wawa kan tak suka umi.... ehh.. mama... ganti tempat umi Wawa kan? Dan
umi... ehhh... lupa lagi... mama.... pun
tak nak ambil tempat umi Wawa...Jadi Wawa panggil saja... mama. Jadi, Wawa tak
akan rasa yang mama nak ambil tempat umi Wawa,” kata Mai perlahan-lahan. Cuba
untuk buat Wawa tidak terkeliru dengan kata-katanya.
“Habis...
semua dah panggil umi kan?”
“Senang
aje... nantilah umi... ehhh... salah jugak lagi.... mama... tau apa yang nak mama buat...,” kata Mai
sambil tersenyum. Hatinya terasa senang sekali saat itu. da senyuman itu
disambut dengan senyum manis dari Najwa.
Malam
itu, ketika masing-masing sedang rehat menantikan waktu untuk melelapkan mata,
Mai membuat pengumuman kepada semua supaya mulai esok, dia tidak lagi dipanggil
‘umi’. Dia menyatakan bahawa dia tidak layak untuk menggantikan tempat umi
mereka. Tetapi dia cukup ingin menjadi sebahagian dari hidup mereka sebagai
seorang mama. Buat seketika Nabil bagaikan termangu seketika bila mendengarkan
kata-kata Mai. Namun kemudian dia senyum kembali kerana dia juga sukakan
gelaran baru untuk ‘mama’nya itu.
****
Irfan
menumbuk meja kerjanya. Geram hatinya dengan sikap Mai yang buat tidak endah
dengan dirinya. Panggilan ke telefon bimbitnya hanya masuk ke peti pesanan
suara. Sejak mula cuti sekolah tempohari dia mencari Mai kerana dia pasti bekas
isterinya itu akan pulang ke kampung Syamsul
atas alasan ibu mertuanya sakit. Namun di sebalik alasan itu dia tahu,
Mai sememangnya sudah mula suka pada Syamsul. Kalau tidak, mana mungkin sikap
Mai berubah sehinggakan dia sudah tidak lagi ingin bermesra dengannya seperti
dahulu. Waktu awal pernikahan Mai dengan
Syamsul dulu, dia dengan mudah sekali
menjawab panggilan telefon maupun teguran-tegurannya di maya. Mereka biasa
berhubung di facebook ataupun YM. Walaupun dia tahu Mai marah kerana dia menipu
bekas isterinya itu tentang rancangan Syamsul untuk tidak menceraikan Mai
secepat yang diharapkannya, Mai masih menjawab telefon, maupun teguran-tegurannya
dalam prasarana telekomunikasi di maya.
Namun ada ketika Mai sendiri yang menghubunginya menyatakan rasa rindu
yang melanda hatinya.
Tapi
kini, Mai sudah mula menghindari dirinya. Bermula dengan sikapnya yang
mencurigakan beberapa minggu lalu, iaitu menutup telefonnya untuk mengelakkan
dari dirinya dihubungi, kemudian pulang ke kampung Syamsul di waktu cuti sekolah ini dan kini menutup
talian telefonnya sekali legi, Irfan benar-benar yakin bahawa Mai sememangnya
ingin mengelakkan dirinya dari dihubungi. Dia cuba menghubungi talian Syamsul ,
namun ternyata nombor yang dia dailnya tiada dalam perkhidmatan. Kedua-dua
mereka sememangnya mengelakkan diri darinya.
Mereka
tidak kenal siapa dirinya. Dan nampaknya Mai juga masih belum kenal siapa dia.
Dia tidak akan berdiam diri, bila dirinya dikhianati sebegini.
19 comments:
wahhh perang camm nk stat je keke,.cpt2 hupdate ye cik writer keke
alahai irfan..cukuplah ..mengejar mai yg telah menjadi hak org..bina lah hidup baru dengan wanita lain yg lebih baik kerana ibu kau mana suka Mai kan..
Satu perubahan yg baik untuk Mai bila wawa dapat menerimanya sebagai ibu tiri..dan bila lah agaknya mai akan menukar sekolah dan mengajar dikampung dekat dengan syamsul dan anak anak tirinya..ini juga boleh dapat menjauhkan fitnahnya dengan irfan..
Khianat pe benndanyaa.. Sapa suro ngko perangaii cmmtu..pdn la bini pon da tamau.
Tmpg hepi utk mai ;)
Seronoknya sbb Wawa dah mula menerima mamanya....Yeay...
Tapi the storm is brewing - Irfan lak nak buat hal lah pulak.... Ggggrrrr......
Alhamdulillah bila Wawa dah mula terima Mai. Dia nampak keikhlasan Mai dan rasa sayang Mai pada Nabil.
Irfan tu memang mamat sengal la. perasan diri tu bagus sangat. rasa geram je dengan si Irfan tu. masih tak sedar diri lagi tu, sendiri buat salah, expect org lain yg betulkan salah dia. let her go, Mai is not your destiny anymore. Get a life man!
konflik sudah mari...kak laila harap2 jangan la konflik yg berat2 sangat ye...harap yg baik2 saja ye...hihihi...
ape lah yang irfan nak wat ye?jgn lah pisah kan mai dengan keluarga mertua nye irfan,tak baik tau....carik lah lain n lepas kan mai...tak suke lah kalu irfan cuba nak porak peranda umah tangga mai yang dah nampak kebahgian nye...pleeease lah irfan!!
x sedar diri irfan tu
suke sgt kat crita ni
bagusla wawa da baik ngan mama
Salam, nampaknya hubungan Mai dengan Wawa dan family Syamsul bertambah erat. Cuma nampaknya rahsia perkahwinan mereka akan terbongkar nanti sebab Irfan dah naik angin. Hendaknya biarlah Mai pregnant, supaya bertambah erat hubungan Mai dan Syamsul. Biar family Irfan tau bahawa Mai bukan menantu mereka lagi dan perangai Irfan menceraikan Mai sampai talak 3 tu.
Yes!! Hikmah drp Nabil demam, pulihkan hubungan Mai dan Wawa.. :-) Pandai Mai tackle hati Wawa, mudah-mudahan makin ceria mereka sekeluarga.. :-)
Bab Irfan ni, mmg nak perang dunia nanti tapi harapnya taklah sampai ke pengetahuan keluarga Syamsul..kesian kat diorang, yg tak tau dan tak terlibat dlm arrangment tu. sebaliknya biarlah between mereka bertiga dan keluarga Irfan sahaja.. tutup buku yg bkaitan dgn Irfan..
Thanks, Kak Laila.. :-) citer yg best & mantopp...!!
Akhirnya Mai dapat merasakan kasih sayang yang selama ini dia impikan. Namun kisahnya dgn Irfan masih belum tamat lagi, ini akan menjejaskan hubungan yang baru terbina. Harap-2 Syam dan Mai dapat mempertahankan perkahwinan yg baru nak berputik. Perkara ini harus diselesaikan segera, sebelum Ifran musnahkan segala-galanya..
Dah terbiasa dipanggil Umi, tersasul je nak bahasakan mama.
Tak kenal maka tak cinta, Wawa benci Mai pun bersebab.
Bila dah nampak keikhlasan Mai mesti Wawa dapat terima.
Jaga² dengan Irfan. Ape yang nak dibuat erk.
LH, ada sambung lagi ke ni?
Semoga Mai dan Syamsul akan bahagia dan menghadapi apa jua rintangan dan halangan dari Irfan ....
Irfan ambil ja Shuhaida ganti tempat Mai lah.... Shuhaida pun baik juga....
gila talak btl irfan ni... bahaya btl.... hope mai & syamsul bahagia akhirnya.....
Terkesan. Tibalah saat yang mungkin bakal merentap seluruh kebahagiaan yang baru ingin bersemi. Tuntutan untuk dilunasi pasti akan mengundang banyak hati yang terluka lebih parah lagi. Sungguh, sesaat bukan cukup untuk mengatasi segala kemelut lebih-lebih lagi ianya melibatkan jiwa nan rapuh sepertinya Wawa dan Nabil. Oh, Laila akak sangat mengasihani dua jiwa kecil ini yang akan turut terheret sama. Syamsul, kebijaksaan dirimu sebagai nakhoda pastinya akan lebih hebat teruji untuk mengemudi bahtera melalui ombak ganas membadai..
Teruskan menulis Laila… Semoga karekter Syamsul ciptaan Laila mampu menjadi sandaran bagi adik-adik yang bakal menyerah sebuah pengabdian cinta luhur dan Irfan sebuah imiginasi khalifah yang hanya perlukan hanya sesaat untuk merencana keruntuhan namun juga mahukan sesaat untuk membinanya semula…. (maaf, cumanya Irfan punyai persamaan dengan Izwan ya.. pandangan peribadi akak)
thanks Anon... untuk komen ni.... ya mungkin ada persamaan di sini antara Izwan dan Irfan.... kerana selalunya yang melakukan sesuatu tanpa memikirkan natijahnya lah yang sering mendapat bahana kesusahan dan keresahan dalam hidupnya
Post a Comment