Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 2

Keresahan hatinya dapat aku lihat ketika kami bertemu petang itu. Pertemuan yang mengundang seribu persoalan di hati ini. Untuk apa pertemuan ini? Saat dia meminta aku menunggunya di sini, aku jadi terpana. Tidak pernah kami bertemu di tempat lain selain dari waktu kami sama-sama kebetulan pulang ke rumah Mak Ngah. Sememangnya sejak lima tahun kebelakangan ini aku cuba mengelak dari bertemu dengannya. Bukan mengelak dari dia sebenarnya tetapi dari bertemu dengan Abang Izwan, suaminya.
Sejak mereka kahwin lima tahun lalu, hidup ku tak sudah-sudah diganggu oleh Abang Izwan. Seminggu sebelum mereka kahwin, Abang Izwan menjadi penunggu setia di hadapan rumah sewaku. Kebetulan tempat kerjanya di Bangi berdekatan dengan kampus pengajianku waktu itu di Serdang. Pagi dia pasti akan menungguku di depan rumah sewa. Aku tidak tahu bagaimana dia tahu di mana letaknya rumah sewaku itu. Mungkin dia mengekoriku waktu aku pulang dari pertemuan kami dulu.

Masih kuingat lagi, dalam pertemuan itu dia mengajak aku berkahwin. Dia sanggup meninggalkan Kak Reen katanya. Sanggup menghancurkan harapan kakak sepupuku itu. Sanggup memalukan emaknya yang mengatur pernikahannya dengan Kak Reen. Katanya, pasti nanti emaknya akan dapat menerima kami semula sekiranya kami pandai mengambil hati orang tua itu. Tapi, sanggupkah aku? Sanggupkah aku melukakan hati seorang yang aku hormati? Seorang yang sering menjadi tempat aku mengadu selama ini. Seorang yang amat mengambil berat pada diriku sejak semua ahli keluargaku pergi lama dahulu.

Tidak... aku tidak akan sanggup melakukan itu. Kasihku pada Mak Ngah dan Kak Reen lebih dalam dari cintaku padanya. Memang dulu aku mencintai dirinya. Tapi, bagiku itu cuma cinta monyet yang aku lalui di zaman remajaku. Hadirnya hanya seketika. Bagaikan monyet, melompat ke dahan yang lain, perasaan itu berubah. Tapi yang nyata dia tidak begitu. Katanya cintanya bagaikan sungai yang mengalir ke lautan. Semakin jauh alirannya, semakin luas sungai itu. Dan bila tiba ke destinasinya, cinta itu menjadi seluas lautan.

Waktu itu sungguh hati ini jadi terpana dengan kata-kata itu. Hampir di luar sedarku aku tergoda, terpesona dengan lembut bicaranya. Nasib baiklah aku mampu kembali ke alam nyata. Menolak cintanya yang hadir pada saat yang sungguh tidak sesuai. Waktu itu aku baru sahaja memulakan pengajianku di tahun pertama. Tumpuanku sepenuhnya adalah untuk pengajianku. Bukan untuk cinta, malah jauh lagi untuk berumah tangga. Malah waktu itu juga amat tidak sesuai untuk dirinya. Dia akan berkahwin dalam masa tujuh hari. Dengan kakak sepupuku sendiri.

Kecewa Abang Izwan padaku tidak lama. Selepas dari itu saban hari dia terus menungguku. Semua rutin harianku dalam pengetahuannya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana dia mengetahui jadual waktu kuliahku. Pagi dia setia menungguku di rumah sewa. Dia menghantarku sebelum masuk kerja. Petang pula dia menungguku di pintu pagar fakulti. Seminggu dia lakukan itu. Dan aku dalam serba salah, tak mampu mengelakkan diri dari perhatiannya. Sehinggalah ke hari terakhir dia bekerja sebelum mula bercuti untuk majlis pernikahannya. Aku merayu supaya dia menerima takdir yang ditentukan ini.

Waktu itu, ada rasa hairan berbisik di hati. Mengapa dia tidak berterus terang sahaja pada Kak Reen. Kalau benar-benar dia cintakan aku mengapa dia tidak nekad untuk meneruskan hubungan kami seperti yang sering dikatakannya. Mengapa kata-kata itu hanya yang diluahkan padaku? Mengapa dia tidak berani untuk menghadapi semua orang terutamanya emaknya dan Kak Reen. Dia tidak berani meluahkan semua yang pernah diucapkan ke telingaku kepada mereka. Pertanyaan-pertanyaan itulah yang menyedarkan aku tentang hakikat bahawa Abang Izwan bukanlah seorang yang berani berhadapan dengan masalah. Di mulut lain bicaranya, tetapi tingkahnya sedikitpun tidak menggambarkan seperti apa yang dibicarakannya. Dia pengecut sebenarnya. Sikap yang benar-benar mematikan keyakinan yang cuba disemaikannya di hatiku waktu itu.

Dan kini, setelah lima tahun, aku masih lagi cuba menjauhkan diri darinya. Mungkin perhatiannya sudah tidak seperti dulu. Mungkin dia sudah jelas kini bahawa aku tidak akan menyahut kehendaknya itu. Malah, di setiap pertemuan aku cuba sekali mengelakkan diri dari berada di sisinya. Rimas... rimas aku dengan renungan matanya yang sering mengekori ke mana aku pergi. Aku tak tahu samada Kak Reen sedar akan perhatian suaminya terhadap diri ini. Mungkin dia sedar tapi dia cuba buat tak endah. Tambahan lagi dengan sikapku yang sering menjauhkan diri dari Abang Izwan. Mungkin Kak Reen mempercayai diriku. Yakin bahawa aku tidak akan mengganggu rumah tangganya. Dan atas dasar kepercayaan ini aku sebaiknya cuba menjaga maruah diri.

Wajah sugul Kak Reen di hadapanku aku tatapi lembut. Mengapa ada resah itu? Mungkinkah kerana masalah yang dihadapi dalam rumah tangganya sudah semakin meruncing kini? Bukan aku tidak tahu, rumah tangga Kak Reen tak bahagia. Bagaimana mampu bahagia jika si suami bersikap begitu. Tak sudah-sudah mengejar adik sepupu isterinya sendiri. Itu yang dilakukan padaku. Ada ketikanya di hadapan Kak Reen sendiri. Tak pelik kalau dia juga bersikap begitu dengan perempuan-perempuan lain. Mungkin dia juga punya hubungan sulit dengan perempuan lain. Mungkinkah pertemuan ini adalah untuk meluahkan rasa hatinya yang tersinggung dengan sikap suaminya?

“Kak Reen ... kenapa ni?” tanyaku lembut. Jejarinya ku raih lantas ku genggam erat. Seerat rasa kasihku padanya.

Ketika matanya beralih kepadaku jelas kelihatan airmata bergenang di situ. Lantas satu-satu menitis di pipi. Dia sebak, menahan tangis. Pertama kali aku melihat airmatanya. Pertama kali dia tidak mampu menahan sedihnya di hadapanku. Tidak pernah dia begini. Selalunya dia kuat menghadapi masalahnya. Kemandulannya yang disahkan doktor dua tahun lalu menambahkan lagi masalah dalam perkahwinanya. Diburukkan lagi dengan sikap ego Abang Izwan untuk tidak mengambil anak angkat. Mak Ngah memberitahuku sejak disahkan mandul, Kak Reen sudah beberapa kali meminta izin dari Abang Izwan untuk mengambil anak angkat bagi memenuhi kesunyian rumahtangga mereka. Tapi Abang Izwan tidak membenarkan. Dia mahukan anaknya sendiri. Yang lahir dari benihnya sendiri.

Ah... lelaki. Egonya tidak pernah mengenal perasaan gundah seorang isteri. Sikap yang menyebabkan aku makin tidak suka pada Abang Izwan. Mujurlah dulu dia bukan jodohku. Kalau tidak, tak pasti bagaimana untuk aku tangani masalah dengan suami yang bersikap sebegini. Tidak pernah perihatin dengan perasaan seorang isteri.

“Unie tahukan masalah akak?” tanya dia dalam tangisnya.

Aku hanya mengangguk. Sebenarnya aku tidak tahu masalah mana yang meresahkannya. Kemandulannya atau sikap mata keranjang suaminya.

“Abang Wan minta nak kahwin lain...,”

Terkejut besar aku mendengarkan kata-kata Kak Reen. Sudah aku menyangka itu yang akan berlaku. Bila Abang Izwan enggan mengambil anak angkat seperti yang dicadangkan oleh semua orang, bagaikan ada satu bisikan di telingaku bahawa dia sebenarnya ingin kahwin lain. Dasar lelaki, senang sekali mengambil sesuatu keputusan. Tambahan lagi masalah ini berpunca dari si isteri. Senang sekali mereka meletakkan kesalahan pada si isteri. Senang sekali mereka menjadikan masalah ini sebagai satu alasan untuk membahagi kasih. Tidakkah pernah dia memikirkan apa perasaan si isteri bila ini yang dipinta? Sudahlah tertekan akibat dari kekurangan diri, ditambah lagi dengan sikap suami yang tidak pernah peka dengan perasaan kecewa siisteri. Dalam hati aku mengutuk keras sikap Abang Izwan.

“Dia nak kahwin dengan Unie ...,”

Masyaallah.... mengucap panjang aku mendengarkan kata-kata Kak Reen. Sesuatu yang di luar jangkaanku. Aku tahu dia suka padaku, tetapi tidak pernah terlintas di hati ini yang dia sanggup meminta itu dari Kak Reen. Terasa gelap seketika pandanganku. Tersekat nafasku. Tak mampu untuk aku berkata-kata. Aku hanya mampu memandang ke wajah Kak Reen dengan rasa yang cukup tidak aku mengertikan. Terperanjat? Benci? Marah? Sakit hati? Ah.... lelaki itu.

“Kenapa Unie tak pernah beritahu akak yang Unie pernah kenal dia dulu? Pernah bercinta dengannya?” dia terdiam selepas kata-kata itu keluar dari bibirnya. Dapat ku dengar betapa sukarnya dia melafazkan kata-kata yang terakhir itu. Aku hanya mampu mengelengkan kepala. Masih kelu tak bisa berkata-kata.

Lama kami terdiam. Airmataku sudah mula mengalir di pipi. Sedihku terluah semuanya. Bukan sedih dengan diri ini tetapi dengan keadaan diri Kak Reen. Dengan nasib Kak Reen. Wanita sebaik dia tidak sepatutnya diberi layanan sebegini oleh suami. Aku tak tahu bagaimana keadaan dalam rumah tangganya. Tidak pernah sekalipun aku bertanya bagaimana layanan Abang Izwan terhadapnya. Tidak mahu menjaga tepi kain orang kononnya. Cuma pada pengamatanku, dulu mereka amat mesra. Sehinggakan sesekali timbul curiga di hatiku dengan pengakuan cinta Abang Izwan padaku dulu. Tapi sejak akhir-akhir ini bagaikan dapat kuhidu masalah antara mereka.

“Unie ....?” mata Kak Reen tak lepas dari memandang ke wajahku. Bagaikan meminta penjelasan dariku.

“Apa yang Abang Wan cakap dekat akak tentang kami?” aku bertanya kembali.

“Dia kata... dia cintakan Unie ... Sejak dulu lagi... Hanya pada Unie ...,'”

Tangisan Kak Reen makin jelas. Bergetar tubuhnya meluahkan segala rasa kecewanya. Aku turut sama menangis. Memeluk tubuhnya yang meratap nasib diri. Terasa amat bersalah saat itu kerana aku yang menjadi punca kesedihannya. Aku tidak bersalah dalam hal ini. Tergamak sungguh Abang Wan menceritakan segala rahsia ini kepada Kak Reen. Mengapa? Hanya kerana keinginannya memiliki diri ini? Atau hanya kerana egonya untuk mendapatkan seorang zuriat? Ah... kejamnya lelaki ini...

3 comments:

Anonymous said...

nakkk lggg....

anajoe said...

tau takpe! suka suka :)

hazulfa said...

good job teruskan

Post a Comment

Popular Posts