Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 3

Aku tidak mampu untuk memujuk Kak Reen. Akhirnya aku cuma turut menangis bersamanya. Menyatakan kekesalan di hati melalui perlakuanku. Ketika rembang senja menjelma, aku membawa dia pulang ke rumah sewaku. Langsung tidak menawarkan untuk menghantar dia pulang ke rumahnya. Pasti saat ini dia tidak mahu bertemu dengan Abang Wan. Pasti saat ini dia hanya ingin bersendirian. Aku hanya mampu memerhatikan semua perlakuannya. Selepas solat Maghrib dia mecapai naskah Al Quran milikku yang terletak di kepala katil. Naskah yang sentiasa berada dalam capaian tanganku. Salah satu dari alat untuk meredakan resahku pada saat ia datang bertandang.

Selesai solat Isyak aku mendekati Kak Reen. Duduk bersemuka dengannya. Nyata dia tidak mahu memandang ke wajahku. Dia melarikan matanya ke arah lain saat aku memandang tepat ke wajahnya. Marahkah dia padaku? Aku perlu perbetulkan apa jua tanggapan buruknya terhadapku. Aku tak mahu kata-kata Abang Wan mampu menyebabkan dia membenci diri ini. Sekali-kali aku tidak rela hubungan ini putus akibat salah fahamnya terhadapku.

“Kak Reen, akak jangan salah anggap pada Unie ye?” aku mulakan bicara.

“Sejak bila Unie ada hubungan dengan Abang Wan?” perlahan dia bertanya. Suaranya kedengaran begitu sakit sekali untuk dikeluarkan dari bibir. Aku bagaikan terkedu. Mindaku ligat menyusun kata. Aku perlu berhati-hati menuturkan bicara. Perlu memujuk hatinya yang kini sedang terluka.

“Kak Reen, anggaplah perasaan budak kecil berumur 13 tahun tu hanyalah cinta monyet. Kisah tu dah lama berlalu. Waktu Unie kat sekolah menengah lagi,” kataku sambil mata terus menatap wajahnya.

Aku ingin telus kepadanya hari ini. Aku ingin meluahkan segalanya. Biar dia tahu. Biar dia tidak menyalahkan aku. Perasan itu wujud lama dulu. Waktu mereka masih belum dipertemukan. Dan bila bertemu kembali, aku sedikitpun tidak pernah melayan perasaan Abang Wan. Walaupun dia memujuk rayu, itu hanya berlaku sebelum mereka berkahwin. Selepas perkahwinan mereka aku tidak pernah memberi peluang untuk Abang Wan berbicara soal hati. Kalaupun ada berbalas kata, hanyalah untuk bertanya khabar. Tidak... tidak pernah kami berbicara tentang cinta yang telah hilang lama dulu. Hanya ekor mata dan renungannya sahaja yang menyedarkan aku bahawa masih ada lagi rasa cintanya untukku.

“Unie kenal dia masa tingkatan satu Kak Reen. Kami dulu satu sekolah. Dia abang angkat Unie dulu. Lepas kami STPM kami berpisah. Itu aje. Cuma itu saja hubungan kami. Kami hanya jumpa seminggu sebelum Kak Reen kahwin. Ingat lagi kan masa Kak Reen balik dari pergi membeli-belah barang hantaran dengan dia?”

“Lepas tu apa hubungan Unie dia?” kelihatan wajah Kak Reen yang tadi tenang mula berubah riak. Kemarahannya sedikit demi sedikit mula terserlah. Aku menarik nafas panjang. Bersedia untuk menerima apa juga kemungkinan yang datang.

“Tak ada apa-apa hubungan kak. Dia ajak Unie keluar esoknya. Dia jelaskan semuanya tentang hubungan akak dengannya. Dia ... em..... ,” aku terdiam seketika. Hampir sekali aku menceritakan padanya bagaimana Abang Izwan memujukku untuk kahwin dengannya. Ah... aku tidak boleh ceritakan perkara itu. biarlah kata-kata itu terus menjadi rahsia antara aku dan Abang Wan. Aku tak akan menyemarakkan lagi perasaan syak wasangka Kak Reen.

“Dia ajak Unie kahwinkan masa tu?”

Kata-kata Kak Reen melenyapkan tekadku sebentar tadi. Pasti... pasti Abang Wan yang memberitahunya tentang ini. Selain dari aku, siapa lagi yang tahu tentang rayuannya itu kalau bukan dia. Ah.... kejam sungguh lelaki itu. Mengapa mesti dia menceritakan semua. Tidakkah dia tahu betapa sakitnya hati seorang wanita jika mengetahui bahawa ada orang lain yang lebih dicintai oleh suaminya? Bahawa dirinya hanyalah pilihan kedua? Yang dinikahi hanya kerana memenuhi syarat tuntutan nafsu semata-mata? Ah... kejam sungguh Abang Wan.

“Betulkan?” tanya Kak Reen lagi. pasti dia dapat mengagak perasaan gundahku dengan pertanyaanya itu. lantas dia tersenyum sinis. “Patutlah... masa tu dia sibuk sangat. Seminggu sebelum kami nikah dia tak layan Kak Reen macam biasa. Telefon pun dah tak sempat. Kalau Kak Reen tak telefon dia, memang sunyi sepilah antara kami. Masa tu dia kata dia sengaja tak nak jumpa, tak nak call. Nak bagi thrill sikit masa nak nikah. Rupa-rupanya dia tengak kejar Unie kan masa tu. Tengah pujuk Unie supaya terima dia kan? Habis, akak dia nak campak kat mana?”

Tangisan Kak Reen pecah lagi. Kali ini aku turut menangis bersamanya. Apa yang dapat aku katakan lagi? Semua kata-katanya itu ada kebenarannya. Tak mampu untuk aku menyangkalnya lagi. Lama sunguh kami begitu. Esak tangisnya bagaikan meruntun hatiku ini. Menyebabkan rasa bersalahku datang lagi. Tapi, ini bukan salahku. Aku tidak meminta dia berbuat begitu dulu. Malah aku sedaya mungkin cuba menjauhkan diri. Kata-kata Kak Reen itu juga menyedarkan aku tentang sikap sebenar Abang Wan.
Rupa-rupanya saat dia memujuk rayu diri ini, masih lagi dia mampu berbicara dusta pada Kak Reen. Tak mampu untuk berterus terang dengan Kak Reen. Ah... mujurlah saat itu aku tidak termakan dengan pujuk rayunya. Dasar lelaki....

“Lepas kahwin dia layan Kak Reen baik sangat. Sungguh Kak Reen gembira masa tu. Ingatkan dah jumpa cinta sejati. Ingatkan dia dapat terima Kak Reen seadanya. Tapi, bila sehari demi sehari harapan yang kami bina untuk dapatkan anak berkecai, dia mula buat perangai...,”

“Dia ... buat apa pada Kak Reen?”

Mata Kak Reen beralih ke wajahku. Memandang jauh ke dalam mataku seolah-olah mencari sesuatu. Mungkinkah dia ingin melihat kejujuranku? Dia tersenyum kemudiannya.

“Unie tak usah risau. Abang Wan tak pernah sekalipun naik tangan pada Kak Reen. Dia layan Kak Reen dengan baik. Cuma, dia jadi seorang yang menyendiri. Tak nak lagi kongsi masalahnya dengan Kak Reen. Dan masa tu akak ingat, hatinya sudah mula berubah. Pernah waktu kami bersama dia tersasul sebut nama orang lain. Bukan nama akak. Waktu tu akak sedih sangat. Dia bersama kita, tapi yang ada di hatinya orang lain. Unie tahu nama siapa yang disebutnya?”

Aku bagaikan dapat menduga. Tapi aku menggelengkan kepala. Tak mahu menerima hakikat itu.

“Nama Unie ...,” pecah lagi tangisannya saat itu. Dan sungguh aku tak mampu berbuat apa-apa saat itu. Aku meraih tubuh Kak Reen ke dalam pelukakanku. Ingin sekali meredakan kesedihannya. Kalau aku berada di tempatnya, pasti aku juga akan menangis begini.

“Masa tu akak mula mengagak yang dia ada hati pada Unie. Masa tu juga akak perasan yang Unie selalu elakkan diri dari dia. Lepas doktor sahkan akak ni mandul, dia makin teruk. Langsung dia tak sembunyikan perasaan dia pada Unie. Akak diamkan sebab akak tahu dia cuma bertepuk sebelah tangan. Sampailah minggu lalu, dia terus terang pada akak... Dia cakap.. dia nak kahwin lain. Dan jelas dia sebut, dia nak kahwin dengan Unie.”

Aku terus memandang wajah Kak Reen yang penuh dengan derita itu. Ah ... kuat sekali wanita di hadapanku ini. Kuat sekali dia menerima hakikat ini. Dan... kejam sungguh Abang Wan. Sungguh aku tak sangka begini tekad hatinya.

“Masa tu dia beritahu akak yang dia memang ada hubungan dengan Unie. Akak ingatkaN hubungan kamu berdua baru sekarang terjalin. Sebab tu akak nak jumpa Unie. Nak dengar penjelasan dari Unie. Rupa-rupa yang dia maksudkan hubungan lama dulu. Maaf Unie, akak dah salah sangka tadi,”

Saat itu sungguh terharu rasa di hati. Sempat lagi Kak Reen memohon maaf dariku. Sepatutnya aku yang memohon maaf dari dia. Kerana aku, kekalutan berlaku dalam rumahtangganya. Sungguh serba salah aku rasakan.

“Sepatutnya Unie yang kena minta maaf pada akak... Unie yang menyebabkan semua ni..., Unie sanggup pergi jauh dari sini kak kalau itu yang akak mahu,” ucapku tanpa ragu.

Ya, aku sanggup pergi. Aku sanggup lari dari kekalutan ini. Aku tidak mahu menjadi sembilu dalam rumah tangganya. Aku tidak akan sanggup untuk menjadi duri dalam daging, mencucuk hatinya dengan setiap perlakuanku. Aku sanggup tinggalkan semua di sini jika itu mampu untuk mengembalikan semula kedamaian dalam rumah tangganya. Mungkin benar kata Abang Wan lama dulu. Mana mungkin dia mampu melupakan aku jika setiap hari namaku disebut ke telinganya dan kelibatku sering di depan matanya. Mungkin jika aku menjauhkan diri dia mampu untuk kembali menyemai kasihnya pada Kak Reen. Kak Reen hanya senyum sinis mendengarkan kata-kataku. Mungkin tidak yakin dengan kesanggupan ini.

“Unie nak lari dari dia?” katanya sambil mata hitamnya melatari seluruh wajahku. “Unie belum kenal dia rupanya. Dia bukan seorang lelaki yang mudah mengalah. Kalau itu maunya, pasti dia tidak akan lepaskan sehingglah dia dapat apa yang diinginkan. Lima tahu akak bersamanya Unie ... ,”

Hatiku jadi berdebar bila mendengarkan kata-kata Kak Reen. Benar... aku tak nafikan hakikat itu. Dulu waktu di sekolah, enam bulan dia mengejarku. Memujuk dan merayuku untuk menerima cintanya. Tak pernah dia kalah dengan keenggananku. Setiap kelemahanku dijadikan peluang untuknya mendekatiku. Dalam pertemuan kali kedua, dia masih lagi menunjukkan kesunguhannya. Walaupun tindakannya tidak sedikit pun menggambarkan apa yang ada di hatinya, kesungguhan itu masih ada. Mungkin dia tidak mampu menolak takdir waktu itu. Mungkin kata-kataku tentang murka seorang ibu yang mampu menyebabkan dia jadi anak durhaka, sedikit sebanyak telah menggugat kesungguhannya. Mungkin juga ketegasanku untuk tidak melukakan hati Mak Ngah dan Kak Reen menyebabkan dia sedar hakikat bahawa dia telah ditakdirkan untuk menjadi suami Kak Reen. Ah... sungguh aku tidak mengerti akan sikap lelaki ini.

“Unie bertuah....,” perlahan sekali kata-kata itu diucapkannya. Berkerut dahiku untuk memahami maksud kata-kata Kak Reen itu.

“Dapat meraih cintanya...,”

“Kak... tak sepatutnya dia curahkan cintanya pada Unie. Akak lebih berhak kan?”

Kak Reen senyum lagi. Perasaan kecewanya jelas terpamer di wajahnya, di matanya dan pasti juga di hatinya. “Unie tentu lebih tahu hakikat sebenarnya kan?”

Terdiam lagi aku mendengarkan kata-katanya. Ah... apa patut aku lakukan untuk memperbetulkan keadaan ini? Mungkinkan jika aku dapat memujuk Abang Izwan, dia akan kembali pada Kak Reen.

“Kalau Unie jumpa Abang Wan... Boleh tak kak?”

“Untuk apa Unie? Nak pujuk dia? Makin dalam cinta dia pada Unie nanti,”

Terdiam lagi aku di situ. Lama kami begitu. Melayan perasaan. Akhirnya dengan serba-salah Kak Reen meraih jejariku. Memandang tepat dalam mataku.

“ Unie.... tolong akak ye?”

“Tolong apa kak? Cakaplah.... kalau Unie boleh buat ... Unie akan tolong. Demi akak...,”

Linangan airmatanya membasahi pipi. Sungguh berat sekali aku rasakan untuk dia menuturkannya.

“Unie kahwin dengan Abang Wan....,”

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts