Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 18
Aku serba salah. Tawaran yang dibuat oleh Professor Ahmad pagi tadi dirasakan tidak sepatutnya aku tolak. Ini peluang untukku meningkatkan diriku dalam kerjayaku. Sekiranya aku menerima tawaran itu, aku mampu memenuhi cita-citaku yang terbengkalai satu waktu dulu. Jika aku mampu mengetepikan semua masalahku, aku pasti akan berjaya nanti. Itu kata Prof Ahmad. Aku juga berpendapat begitu.
“Ini peluang bagi awak Munirah. Bila Salleh menolak tawaran ini, pihak universiti terpaksa cari penggantinya. Kalau tidak, peruntukan biasiswa tu akan ditarik balik. Jadi, kitalah yang rugi nanti. Salleh tolak tawaran tu sebab masalah peribadi. Emaknya sedang nazak dan dia tak sanggup nak tinggalkan emak dia dalam keadaan macam tu kat sini. Saya panggil awak ni sebab dulu awak pernah beritahu yang awak nak sambung belajar lagi. Kalau awak isi borang untuk mohon tawaran tu, insyaallah saya akan sokong awak," panjang lebar Professor Ahmad menerangkan tentang tawarannya itu.

Hatiku melonjak riang. ini peluang yang aku nantikan selama ini. tapi, bagaiama dengan Abang Izwan?

" Jadi..., macamana?” tanya dia lagi bila melihatkan aku terdiam.
“Saya... kena bincang dengan suami saya dulu prof. Perkara macam ni... saya tak boleh buat keputusan sendiri,”
“Oklah, bincang dulu dengan suami, nanti beritahu saya jawapannya ye. Tapi, kena cepat sebab tawaran tu akan dibawa ke mesyuarat esok. Kalau awak bagi jawapannya cepat, insyaallah saya boleh sokong permohonan awak itu  dalam meeting esok,”
“Insyaallah, prof, petang ni saya berikan jawapannya,” 
Bagaimana aku mampu berikan jawapannya dalam tempoh tidak sampai sehari. Hari ini pula giliran Abang Izwan di rumah Kak Reen. Aku telah menelefon pejabatnya sebentar tadi, tapi kata temannya, dia mengambil cuti rehat hari ini. Segan rasanya untuk aku menghubunginya di rumah Kak Reen.  Pasti akan menyinggung perasaan Kak Reen nanti. Tapi, perkara ini perlu aku sampaikan kepadanya. Aku sungguh-sungguh ingin menerima tawaran yang begini baik.
Aku memandang lagi ke arah telefon bimbitku untuk entah yang keberapa kali.  Lantas aku menarik nafas panjang dan mendail nombor Abang Izwan. Aku mengetap bibir sambil menanti panggilaku di jawab. Dengan rasa gementar, aku mengusap perutku yang kini begitu sarat. Usia anak dalam kandunganku yang memasukki bulan yang ke lapan itu bagaikan menyuntik semangat untuk aku menghadapi situsi begini.
“Helo Unie,”
Mesra sekali suara Kak Reen di hujung talian. Suara yang menggetarkan hatiku. Ah, mengapa Kak Reen pula yang mengangkat telefon Abang Izwan. Tidak bekerjakah dia hari ini? Kemana perginya suamiku itu? Mungkin mereka telah merancang untuk menghabiskan hari ini bersama. Sama-sama bercuti untuk melakukan aktiviti bersama. Tercuit hatiku bila memikirkan kemungkinan itu. Langsung Abang Izwan tidak memberitahuku tentang perkara itu. Tidak  semena-mena rasa cemburu datang berlari-lari menghambat rasa damai di hati. Namun, cepat-cepat aku buang perasaan itu. Aku tidak mahu perasaan begitu meracuni fikiranku saat itu.
“A... Kak Reen, a... apa khabar,” ucapku dengan rasa bersalah. Aku tidak sepatutnya menghubunginya ketika giliranya di sana. Tambahan lagi dia bercuti ketika ini. Adakah panggilan ini akan menimbulkan rasa marah di hati Kak Reen? Aku mengetap bibir sambil mendengar reaksi darinya. Marahkah dia...?
“Baik... kenapa ni Unie, ada apa-apa masalah ke?”
Aku rasakan aku dapat mendengar sedikit resah pada suaranya itu. Mungkin dia menyangka aku ingin meminta Abang Izwan datang kepadaku. Seperti yang sering aku lakukan ketika ada masalah akibat alahanku. Tapi selalunya Abang Izwan yang menjawab telefon ketika aku bermasalah. Tidak pernah dia yang menjawab telefon Abang Izwan jika aku yang menghubungi suamiku itu.
“Tak... tak ada apa-apa...,” aku dia seketika. Malu untuk meneruskan bicaraku. “A...Abang Izwan ada tak?”
“Abang Izwan baru aje tidur lepas sarapan tadi. Dia ... penat sebab semalaman dia berjaga siapkan report untuk audit kat tempat kerja dia semalam. Sekarang ni qada tidurlah  tu... Kenapa Unie nak bercakap dengan dia ke?”
Entah mengapa, aku bagaikan dapat merasakan ada nada yang tidak jujur pada suara Kak Reen. Berbohongkah dia dengan keadaan Abang Izwan ketika itu? Ah... tidak mungkin. Kak Reen pastinya tidak akan berbuat begitu. Dia seorang wanita yang baik. Dia pastinya tidak akan berbohong padaku hanya kerana tidak mahu aku berbicara dengan Abang Izwan. Ya, tentunya Abang Izwan sekarang benar-benar letih kerana menyiapkan tugasnya semalam.
“Unie ... ada hal sikit nak cakap dengan dia. Pasal tawaran biasiswa sambung belajar,” jawabku perlahan.
“Ye ke... Unie dapat tawaran ke?”
“Macam ni Kak Reen, tadi dekan fakulti Unie panggil Unie. Dia beritahu ada seorang staf tu tolak tawaran biasiswa yang dah diluluskan untuknya sebab emaknya sakit. Jadi, dekan offer tawaran tu pada Unie,”
“Habis, Unie terima ke?”
“Em... itu yang nak cakap kat abang tu. Nak tanya dia , boleh tak Unie terima. Sayang rasanya sebab prof tu kata dia akan sokong Unie kalau Unie sanggup gantikan tempat staf yang tolak tawaran tu,”
“Unie nak cakap pada Abang Izwan lah ni ye. Tapi Unie, Kak Reen kesian nak kejutkan dialah, baru aje dia tidur tu. Lena sungguh ni..., macam nilah, nanti dia bangun, akak beritahu dia ye?”
“Emm... tapi, Unie kena isi borang  jawapannya petang ni juga. Prof nak bawa ke mesyuarat pagi esok,”
“Tak apalah, nanti akak cakap kat abang. Unie isi dulu barang tu, lepas tanya abang nanti, barulah Unie tandatangan dan hantar borangtu. Jangan risaulah... nanti Abang Izwan bangun Kak Reen beritau dia. Ok?”
“Em... , nanti minta dia telefon Unie balik ye?” pintaku dengan rasa serba salah.
“Insyaallah...,”
Namun, permintaanku tidak dipenuhinya sehingga ke petang hari. Apa patut aku lakukan? Aku sepatutnya menghantar borang permohonanku itu sebelum waktu pejabatku tamat. Dokumen-dokumen itu perlu disediakan oleh kerani fakulti sebelum tamat waktu kerja hari ini untuk dibawa oleh Professor Ahmad ke dalam mesyuarat awal pagi esok. Dengan rasa serba salah, aku menghubungi semula Abang Izwan petang itu. berharap kali ini supaya dia yang mengangkat telefon. Bukannya Kak Reen.
“Hello....,”
Ah... suara Kak Reen lagi. Aku mengeluh perlahan.
“Kak...,”
“Emm Unie, Abang Izwan tak balas ye telefon Unie tadi. Akak dah beritahu dia tadi yang Unie telefon,” laju sekali Kak Reen menerangkan situasinya di sana sebelum sempat aku berkata apa-apa.
“Dia ada tak kak... boleh Unie cakap dengan dia?” entah mengapa, kata-kataku saat itu kedengarannya seperti rayuan di telingaku sendiri. Aku merayu untuk bercakap dengan suamiku sendiri. Dengan maduku. Ah.... aku mengeluh lagi.
“Dia tak adalah Unie, pergi kedai sekejap. Katanya nak gunting rambut. Lupa nak bawa telepon dia ni hah sebab tengah charge tadi,”
“Em... habis macamana ni kak, Unie kena hantar borang permohonan ni sebelum balik kerja hari ni,” kataku lagi separuh merayu.
“Macam nilah, Unie hantar aje. Akak rasa Abang Izwan benarkan sebab dia selalu beritahu akak yang Unie nak belajar lagi. Lagipun bukannya masalah besar kan? Nak sambung study aje, bukannyanya ka ke mana-mana pun kan?”
“Tapi..., biasiswa ni untuk ke oversea kak. Budget tu untuk ke Australia. Kalau Abang Izwan tak setuju macamana kak?”
Kak Reen terdiam sebentar.
“Kalau Unie mohon sekarang bila perginya. Macamana dengan keadaan Unie sekarang ni?” kedengaran begitu perihatin sekali suara Kak Reen. Lega hatiku kerana dia mengambil berat.
“Em... prof kata, selalunya jawapan untuk tawaran tu akan diberikan selewat-lewatnya hingga pengambilan pelajar untuk semester akan datang.  Selalunya pengambilan dibuat pada bulan Jun. Masa tu nanti Insyaallah  Unie dah bersalin.  Due Unie kan bulan Mac nanti, lebih kurang sebulan lagi. Lagipun kata Prof Ahmad, kalau dah dapat nanti, Unie mungkin boleh minta tangguh sehingga akhir tahun ni. Masa tu baby Unie ni dah besar sikit. Dah tak ada masalah kalau Unie nak bawa dia ke sana kan kak?”
“Em.....,” jawab Kak Reen ringkas.
Kedengarannya seperti sedang memikirkan sesuatu. Agak lama dia diam. Aku juga diam memikirkan masaalahku ini. Ah... sungguh...sungguh aku ingin menerima tawaran yang  aku impi-impikan selama ini.
“Macam nilah Unie, akak rasa, Unie isi dan hantar aje borang tu. Nanti akak cakap kat Abang Izwan. Dia mesti setuju nanti. Kalau dia tak setuju, akak rasa Unie boleh tolak balik tawaran tu kan?” kata Kak Reen akhirnya.
Entah mengapa, aku bagaikan yakin dengan kata-katanya itu. Ah... pastinya   Abang Izwan akan bersetuju dengan permintaanku itu. Mungkin  dia tidak akan marah dengan keputusanku itu. Dan betul kata Kak Reen, jika dia tidak setuju, aku tetap boleh menolak tawaran itu.
“Oklah..., Unie hantarlah borang tu. Nanti Kak Reen beritahu abang ye,” jawabku dengan senyum yang mekar di bibir. Ah, akhirnya cita-citaku termakbul juga. Peluang untuk aku melanjutkan pengajianku terbentang luas kini.
****
Kemarahan Abang Izwan terpamer jelas di wajahnya. Aku jadi kecut perut. Tidak pernah aku lihat dia semarah itu. Sungguh aku rasa cukup bersalah ketika itu kerana mengambil keputusan yang aku buat berdasarkan nasihat Kak Reen. Sungguh aku tidak sangka dia tidak akan bersetuju dengan alasan-alasan yang aku berikan sebentar tadi. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Hanya berdiam diri di sofa sambil menundukkan wajahku. Anak dalam kandunganku bergerak-kuat sekali, seolah-olah mengerti perasaan takutku saat itu.
“Pandai-pandai je Unie buat keputusan, sikitpun tak tanya abag dulu,” katanya dengan nada marah dan kesal.
“Unie dah telefon abang, Kak Reen kata...,”
“Lantaklah apa Kak Reen kata, sepatutnya Unie tunggu dulu. Tanya abang dulu,” herdiknya membuatkan aku terdiam, tidak berani untuk bersuara.
“Tapi... Unie kena hantar borang tu hari tu juga, kalau tak...,” kataku akhirnya dengan nada yang cukup perlahan. Cuba untuk menerangkan duduk perkara yang sebenarnya.
“Takkanlah langsung tak boleh tunggu...,” herdiknya lagi.
Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Airmata mula merembes di tubir mata. Pantas laju menuruni di pipiku. Sungguh aku tidak menyangka dia akan marah begini. Dia menyangka aku membelakangkannya dengan keputusanku ini. Sudah berulang kali aku cuba memberitahunya tentang masalahku itu, tentang mengapa perlunya aku menghantar borang itu dalam kadar segera.
Namun, dia sedikit pun tidak mahu mendengar penjelasanku itu. Terus-terusan menyalahkan aku kerana nekad menghantar borang permohonan itu tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Sungguh...sungguh aku tidak pernah tahu sikapnya yang sebegini. Dan sungguh.... sungguh aku rasa bersalah kerana terlalu mengikut kehendak diri ini untuk menyambung pengajian. 
“Unie minta maaf bang..., kalau macam tu,  nanti... Unie beritahu prof yang... Unie nak tarik balik permohonan tu,” jawabku perlahan.
“Terpulang... kan Unie pandai buat keputusan sendiri, buat apa tanya abang lagi. Mentang-mentanglah sekarang ni dah sihat sikit, alahan dah kurang sikit, terus aje nak buat keputusan sendiri...,” ucapnya lantas berlalu pergi.
Dia keluar meninggalkan aku termanggu di situ. Keretanya perlahan meninggalkan rumah kami. Meninggalkan bersama seribu rasa bersalah di dalam hati ini. Meninggalkan seribu rasa kecewa di jiwa ini. Sungguh aku tidak menduga dengan sikapnya yang sebegitu.
Sepanjang lebih lapan bulan kami berkahwin itu kali pertama dia menunjukkan sikap egonya. Sikap yang lansung tidak mahu mendengar penjelasan dariku. Yang ada di hatinya waktu itu hanya rasa kemarahan yang meluap-luap. Hingga dia lupa bahawa hati ini cukup terluka dengan sikapnya itu. Tidakkah dia boleh seketika... untuk seketika waktu mendengar apa yang ingin aku perkatakan. Tidakkah dia rasakan perlunya penjelasan dari diri ini berhubung dengan perkara itu. Terus marah-marah dan berlalu pergi.
Ah... lelaki. Mentang-mentanglah kuasa di tangannya, maka dia ingat dia mampu buat apa jua keputusan. Mampu berkata sesuatu itu mengikut apa yang terlintas dibenaknya tanpa mengambil kira perasaan seorang isteri.  Aku akur, kini aku mengerti mengapa dia tergamak menduakan Kak Reen. Melukakan hati seorang isteri semata-mata untuk memiliki diri ini. Menjadikan alasan kemandulan Kak Reen untuk memenuhi kehendaknya. Ah... aku terjerat kini dalam cinta tiga seginya. Cinta yang sungguh tidak aku mengertikan. Ah... Abang Izwan.
Aku tidak tahu jam berapa dia pulang malam itu. Bila aku terjaga dari tidurku jam 3.00 pagi, aku dapati dia sudah terlena di sofa ruang tamu.  Pertama kali dalam tempoh aku menjadi isterinya dia meninggalkan tempat tidurnya. Satu-satunya cara yang disarankan dalam Islam untuk seorang suami lakukan demi untuk menunjukkan betapa dia marah dan tidak bersetuju dengan mana-mana kesilapan yang dilakukan oleh seorang isteri.
Sungguh dia marah padaku hinggakan dia sanggup membiarkan aku tidur sendirian dalam waktu gilirannya di rumahku. Sungguh hatiku terluka saat itu. Dan sungguh aku menyesali apa yang telah aku lakukan sehingga mencabar kewibawaannya sebagai seorang suami.
Namun, tidakkah dia boleh sedikit bertolak ansur dengan ku? Tidakkah dia boleh, untuk seketika mendengarkan penerangan dariku dan memaafkan kesilapan ini.  Sekurang-kurangnya aku ingin dihormati sebagai seorang isteri. Ingin suaranya didengar, pendapatnya diterima dan kehendakknya difahami. Bukan  sekadar hanya dijadikan alat untuk memenuhi kehendak naluri lelaki seorang suami. Bukan hanya untuk menghangatkan ranjang tempat tidurnya.  Dan bila ada sedikit silap yang dilakukan di luar sedarku, aku dimarahi, diherdik dan disindir. Begitukah selayaknya seorang isteri dilayan oleh seorang suami yang pernah mengakui cintanya separuh mati?  Ah..... geramnya.
Apa lagi yang  mampu aku lakukan? Dengan keadaanku yang sudah sedikit pulih dari alahan teruk yang aku alami selama ini, aku diduga pula dengan masalah begini. Untuk bersuara lantang aku tidak mampu, bimbang dikatakannya isteri yang durhaka. Akhirnya semua ini aku terpaksa lalui dengan rasa cukup bersalah. Kebisuannya cukup-cukup membuatkan aku rasa akulah isteri yang paling malang saat itu kerana bertindak di luar keredhaannya....

2 comments:

Wild Cherry said...

Kak Reen punye pasal la nie... kan unie da kene marah.. Ape la abg izwan nie dgr laa pnjelasan unie dulu.. Entah entah kak reen tipu ckp yg abg izwan tido..

Anonymous said...

tak baik tuduh kak reen...betullah 2 nasihat kak reen spya jgn lps peluang klu X stju bolih tolak cuma bedosa sbb blkgkn suami...apa2 pn suami kena dulukan.

Post a Comment

Popular Posts