Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 19
Masuk hari yang ke sepuluh menghadapi kebisuannya, aku tidak mampu lagi menahan perasaan. Tanpa mampu menanggung rasa bersalah yang terus-terusan merenggut perasaan, aku menghubungi Kak Reen. Demi mendengarkan kesedihan dari nada suaraku dia cepat-cepat bertanyakan apa masalah yang membawa gundah di hatiku.
Dan tanpa mampu menahan perasaan, aku luahkan segalanya kepadanya. Tentang marah Abang Izwan terhadapku. Tentang rasa bersalah terhadap keputuan yang aku ambil tanpa bertanyakan persetujuannya itu. Dan tentang perasaan kecewaku dengan sikap egonya yang tidak sesekali mahu mendengar penjelasan dariku itu.
“Habis, dia tak ambil dan hantar Unie ke tempat kerja lagi ke sekarang?” kedengaran suara Kak Reen dengan nada risau.
“Dia balik... dia masih lagi ambil dan hantar Unie, macam biasa. Tapi... dia tak bercakap  dengan Unie. Dia diam aje bila Unie tegur dia. Dia langsung tak nak layan cakap-cakap Unie. Unie rasa bersalah sangat kak... Dia buat Unie macam orang asing aje dalam rumah ni,” aku mengadu kepadanya.
Kedengaran dia mengeluh di hujung talian.
“Eiii... Abang Izwan ni, tak faham betul lah akak.... takkanlah perkara kecil macam ni pun dia nak marah sampai macam tu,” rungutnya.
“Dia kata... dia kata Unie belakangkan dia masa ambil keputusan hantar borang biasiswa tu,”
“Hemmm... susah betul dealing dengan orang yang tinggi egonya ni. Selalu macam ni... semua nak kita ikut cakap dia. Abang tu memang macam tu lah Unie. Tak sangka pulak benda macam ni boleh buat dia marah sampai macam tu sekali. Kalau akak tahu macam ni jadinya, tak kan beraninya akak suruh Unie isi dan hantar borang tu. Sekarang ni, akak pun rasa bersalah dengan Unie sebab beri cadangan tu dulu,” dapat aku dengar nada kesal pada suaranya.
“Unie pun menyesal kak sebab buat macam tu. Tak berbaloi rasanya apa yang Unie buat tu bila ingatkan dia boleh marah sampai macam ni,”
“Akak minta maaf ye Unie. Akak yang cadangkan Unie buat macam tu dulu,”
“Tak adalah kak, bukan salah akak. Unie yang salah sebab ikutkan sangat hati ni nak sambung belajar. Sampaikan Unie lupa yang benda tu boleh sebabkan dia kecil hati dan marah. Tapi, sekarang ni Unie tak tau apa lagi Unie boleh buat untuk pujuk dia. Tak tau apa yang Unie boleh buat supaya dia maafkan Unie,” aku mengeluh lagi. lega rasanya hati ini saat itu bila masalah yang terbeban di mindaku ini aku luahkan kepada seseorang.
“Unie nak akak terangkan pada dia ke?”
“Tak payahlah kak, Unie ... cuma nak luahkan perasaan ni pada seseorang. Rasa tensoin sangat dengan perangai dia tu. Dia memang selalu macam tu ke kak?”
“Emm.. memanglah... kalau dia rasa nakkan sesuatu ke, atau kita tak dengar cakap dia ke... memang dia selalu diam macam tu. Kita kenalah pandai-pandai pujuk dia. Nak harapkan dia yang tegur kita dulu jangan haraplah... Orang tua merajuk ni Unie, buruk tau...,” dia berhenti seketika. Mengeluh perlahan.
“Itulah kak… menyesal sangat sebab tak Tanya dia dulu…,” keluhku perlahan.
“Tak apalah... nanti akak cuba pujuk dia ye, Unie janganlah risau pulak. Selalunya tak lama merajuknya tu. Lepas ni kalau Unie pujuk, mesti ok balik,” katanya dengan yakin.
Aku senyum sambil mengetap bibir menahan rasa. Ah... nasib baik aku mengadu pada Kak Reen. Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang patut dilakukan dalam situasi yang sebegitu. Dia sudah lama menjadi isteri Abang Izwan. Sudah kenal sikapnya luar dan dalam.

****
“Kau mengadu pada dia Unie, pada madu kau?”
Bulat mata Suzana memandang ke wajahku dengan perasaan cukup hairan. Ada sedikit riak marah di wajahnya.
“Dia tu sepupu aku Su,” jawabku lemah. “aku tak tau nak cerita pada siapa masa tu. Lagipun dia yang nasihatkan aku supaya hantar borang tu,”
“Engkau tak rasa ke yang dia sebenarnya nak laga-lagakan kau dengan Abang Izwan kau tu. Tak kanlah dia tak tahu perangai suaminya tu.  Sepatutnya dia nasihatkan kau supaya tanya dulu suami kau tu. Ini tidak dia yang suruh kau isi, lepas tu bila Abang Izwan tahu, dia marahkan kau.”
Terdiam aku mendengarkan kata-kata Suzana. Mungkinkah ada benarnya kata-kata itu? Terdetik di hati kecilku akan kemungkinan itu.
“Haah la Su, Kak Reen tahu Abang Izwan ada sikap ego dan tidak suka dibelakangkan bila  sesuatu keputusan itu nak dibuat. Kenapa  dia cadangkan supaya aku teruskan dengan keinginanku tu. Aku pula waktu itu benar-benar percaya padanya. Mudah aje aku ikut cakap dia,”
“Kau kena hati-kati dengan dia tau Unie, jangan nanti terlalu percayakan dia, kau yang makan hati nanti,” kata Suzana lagi, terus-terusan menjentik rasa curiga di hatiku.
“Tapi kenapa dia buat macam tu?”
“Agaknya dia tak suka dengan hubungan kau dengan Abang Izwan. Agaknya dia dah mula ada rasa dengki dan iri hati sebab Abang Izwan sayangkan kau,”
“Tapi, kenapa pula Kak Reen nak dengki, dulu dia yang cukup pasrah dengan hubugan kami ini. Dia yang minta aku kahwin dengan Abang Izwan. Takkan lah dia pula yang nak kami berpecah belah,”
“Hati orang Unie..., manalah kita tahu,”
Aku mengetap bibirku. Terasa ada benarnya juga dengan kata-kata Suzana. Mungkinkah sudah ada rasa cemburu di hati Kak Reen terhadapku? Ah... aku tak mengerti.
“Mana tak timbul parasaan tu kat hati dia? Dia kahwin dengan Abang Izwan lima tahun tak dapat anak. Kau pulak kahwin tak sampai sebulan dah mengandung. Lepas tu, Abang Izwan pulak sayang pada kau. Asyik balik rumah kau walaupun masa giliran dia. Lebih teruk lagi, bila kau dapat alahan teruk macam ni, Abang Izwan kau tu lagilah lebihkan kau. Pergi  dan balik kerja... berhantar.... berambil... Kalau aku jadi dia aku pun cemburu tau...,”
Ah... benar juga kata-kata Suzana itu. Dalam leka melayan rasa bahagia yang aku alami dalam melayari bahtera rumah tangga bersama Abang Izwan, aku jadi lupa dengan kemungkinan itu. Aku  jadi alpa dengan keadaan yang memungkinkan hatinya dijentik rasa cemburu dan iri hati sebegitu. Oh... sungguh aku silap menduga perasaannya. Tidak aku sangka sikap lekaku ini sebenarnya yang membawa kepada situasi sebegini.
Namun, apabila marah dan rajuk Abang Izwan kembali reda, keresahan hatiku dengan kemungkinan itu juga kembali lega. Sesungguhnya Kak Reen tidak pernah bersikap begitu. Cuma aku sahaja yang berperangsangka di hati. Dia yang memujuk dan menjelaskan duduk perkara sebenarnya kepada Abang Izwan. Dia yang menerangkan situasi aku yang serba salah ketika keputusan itu aku ambil. Mudah sekali dia merawat rajuk di hati Abang Izwan.
Beberapa hari selepas aku mengadu masalah kami padanya, dia menghubungiku semula untuk memberitahu tentang itu. Malah dia turut menasihatiku supaya memujuk hati Abang Izwan bila dia pulang dari kerja nanti. Kepulangan Abang Izwan petang itu aku sambut dengan mesra sekali. Kembalinya  petang itu, tiada lagi wajah muram dan tegang seperti ketika dia mula-mula  marah padaku dua minggu sebelum itu. Peluang itu aku ambil sebaik-baiknya untuk memujuk hatinya. 
Nasib baiklah alahan ku sudah agak berkurangan di saat-saat akhir kehamilanku itu. Aku sudah mampu untuk memasak makanan ringkas, yang tidak perlu ditumis. Petang itu setelah sekian lama meninggalkan tugasku di dapur, aku sediakan hidangan makam malamnya dengan bantuan kak Pah.  Sungguh situasiku itu kelihatannya mampu memujuk hatinya. Dia makan dengan begitu berselera sekali. Dan kesempatan itu aku ambil dengan cepat-cepat memohon maaf pada Abang Izwan.
“Lain kali Unie jangan buat macam tu lagi tau. Ada apa-apa hal, bincang dulu. Jangan ambil keputusan sendiri,” katanya selepas kata maaf ku pohon.
Aku cuma menganggukan kepalaku. Nekad di hati untuk tidak mengulangi kesilapan sebegitu. Dan nekad di hati untuk tidak mencurigai Kak Reen lagi. Dia terlalu baik kepadaku. Sungguh aku menyesal kerana membiarkan hatiku berperasangka terhadapnya sebelum ini. Tidak sepatutnya aku terpengaruh dengan kata-kata Suzana yang memang tidak suka dengan pernikahanku dengan Abang Izwan sejak dari dulu lagi. Tidak... dia tidak mungkin akan cuba mengeruhkan hubungan aku dengan Abang Izwan. Hati Kak Reen terlalu suci untuk melakukan sesuatu seperti itu.
****
Sesungguhnya benar apa yang sering aku dengar dari mulut Kak Pah. Bila seorang wanita mengandung dengan mengalami alahan yang teruk, Allah akan permudahkannya di saat dia melahirkan. Sesungguhnya itu yang aku alami. Sakit bersalinku hanya sekejap sahaja. Kebetulan malam itu adalah malam giliran Abang Izwan pulang ke rumahku. Seawal jam 5.00 petang lagi aku sudah mula merasa tidak selesa.
Pukul 8.00 malam itu aku dibawanya ke hospital selepas air ketubanku pacah. Dan aku selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang comel dengan berat 2.7 kg tepat jam 10.27 malam. Semuanya aku lalui dengan keadaan yang sungguh tenang sekali. Abang Izwan yang sentiasa bersamaku saat kelahiran anak sulung kami itu tidak sudah-sudah memberi semangat untuk aku terus menahan kesakitan yang aku rasakan ketika melahirkan  insan kecil itu.
Saat bayi perempuan berkulit cerah, dan berambut lebat itu dibawa ke ribaanku, tiada kata yang mampu aku ucapkan untuk menggambarkan rasa bahagia yang aku rasakan. Sesungguhnya  Allah maha besar, hilang melayang semua kesakitan yang aku alami saat dia dilahirkan sebentar tadi.  Yang ada ketika itu hanyalah sejuta rasa bahagia yang tidak mampu aku ungkapkan.
Tangisannya yang bergema memecah suasana malam yang damai sebelum itu, membawa seribu rasa yang sungguh tidak dapat aku gambarkan. Airmata berlinangan di pipi saat pertama kali aku meribanya. Dengan bantuan jururawat yang membawanya kepadaku, aku diajar cara-cara untuk menyusukannya. Dan anak kecil yang kelaparan itu bagaikan anak burung, dengan lahap sekali menggomol dadaku untuk mencari susu ibunya. Dan sekali lagi, pertama kali aku menyusukannya, tidak terucap rasa bahagia yang aku rasakan saat itu. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kebahagaiaan itu.
Dan sesungguhnya kebahagiaan ini tidak aku rasakan seorang diri. Abang Izwan juga turut bahagia. Terpancar riak kegembiraan itu diwajahnya dan pada airmata yang bergenang di tubir matanya. Pertama kali aku melihat airmata kegembiraannya. Pertama kali dalam usia perkahwinan kami yang belum pun cukup setahun itu, aku merasakan bahawa bahawa aku telah mengambil keputusan yang tepat kerana menikahinya. 
Sepanjang waktu dia bersamaku, matanya tidak lepas-lepas merenung wajah polos bayi kecil kami itu. Dan tidak lepas-lepas dia mengucup lembut di dahiku penuh syahdu.  Melimpah ruah seribu rasa bahagia di hati kami berdua.
Kehadiran Kak Reen, Mak Ngah dan kedua mertuaku juga meggambarkan kebahagiaan yang tidak bertepi. Hilang melayang semua rasa gundahku dengan penerimaan emak mertuaku terhadapku selama ini. Senyuman gembira tidak pernah lekang dibibirnya sepanjang waktu dia bersama kami. Malah dia turut sama menawarkan diri untuk menjagaku di dalam wad malam itu.
Tidak lepas-lepas matanya memandang wajah sikecil yang begitu baik sikapnya malam itu.  Masing-masing bagaikan tidak mahu meninggalkan wad itu walaupun malam sudah menginjak ke pukul 1.00 pagi. Akhirnya apabila jururawat meminta supaya mereka memberi ruang untuk aku berehat, barulah mereka bergerak meninggalkan aku, Abang Izwan dan bayiku yang baru lahir itu.
Wajah bahagianya aku tatap lembut. Anak  kecilku itu diletakkannya di dalam babycrip di sebelah katilku. Begitu kekok sekali kelihatan dia meletakkan anak kami itu perlahan-lahan. Lantas dia mengambil tempat di atas katil pesakit bersebelahan denganku. Mendakapku mesra, dengan kucupan di segenap ruang di wajahku.
“Abang.. janganlah macam ni... tak selesa rasanya. Unie kan tengah kotor ni... nanti kena darah nifas Unie kat abang... kan susah nak sembahyang pagi esok,” kataku lemah. Keletihan kerana proses kelahiranku tadi mula aku rasakan.
“Abang mandilah esok..., apa susahnya...,” katanya lembut.
Aku cuma senyum mendengarkan kata-katanya itu.  Hanya mampu melayan rasa bahagia yang meliputi hatiku saat itu. Dalam keadaan yang letih sebegitu, kami terlena diulit rasa bahagia yang tidak bertepi.
****
“Masyaallah.... encik.... kenapa tidur atas katil pesakit ni......,”
Tiba-tiba satu suara nyaring mengejutkan kami yang sedang lena nikmati syahdunya rasa bahagia di hati. Perlahan-lahan aku berpaling ke arah pintu wad kelas pertama itu. Seorang jururawat yang berusia separuh umur berdiri di situ sambil bercekak pinggang. Sempat lagi mataku meneliti waktu di jam dinding berhadapan dengan katil. Baru pukul 5.00 pagi rupanya. Ddan dalam mamai aku tersenyum kepadanya.
Wajah selambanya bagaikan cuba untuk menyembunyikan riak  lucu yang jelas terpapar di situ. Sungguh aku tahu dia cuba untuk menahan senyuman dari terukir di bibirnya. Tangan Abang Izwan yang melingkar di tubuhku aku tolak perlahan. Dia menarik nafas dan menggeliat dengan perlahan. Turut mamai dengan lenanya yang begitu nyenyak sekali di sebelahku, di atas katil pesakit itu. Apabila dia membuka matanya sebuah ciuman dihadiahkan ke kedua belah pipiku.
“Encik ni... kalau pun dah tak sabar-sabar, kut ye pun tunggulah lepas empat puluh hari. Isteri  encik ni baru aje lepas bersalin semalam. Kalau macam ni, tak sampai setahun lagi lah Puan Munirah masuk balik ke wad ni...,” bebelnya sambil berjalan masuk ke dalam wad itu dengan menolak alat untuk membaca tahap  tekanan darahku.
Abang Izwan ku lihat hanya tersenyum di sebelahku sambil menyilangkan kedua belah tangan di belakang kepalanya dengan gaya yang cukup santai. Kelihatannya sedikitpun tidak tergugat dengan kehadiran jururawat itu.
“Dah... baik encik turun. Bagi isteri encik ni berehat dulu... sekurang-kurangnya dua tahun tau...,”
“Alah kak... bukan buat apa-apa pun....”
“Tak buat apa-apa kata encik.... itu yang cium-cium tu apa....,” katanya sambil tersenyum. Akhirnya dia tidak mampu menahan bibirnya dari mengukir senyum.
Abang Izwan juga senyum sambil perlahan-lahan bangun dari katil. Dia duduk di birai katil bersebelahan denganku.   Matanya  merenung jauh ke dalam mataku. Sebuah keluhan keluar dari bibirnya yang mengukir senyuman bahagia.
“Ingat tu Unie, temujanji kita dengan akak ni sebelas bulan lagi. Kali ni... lelaki pulak ye....,” suaranya dikuatkan sambil matanya meleret kepada jururawat yang masih tercegat mencekak pinggang di kaki katilku.
“Encik kata apa tadi...?,”
Lantas Abang Izwan ketawa, diikuti dengan aku dan jururawat itu. Ah.... sungguh bahagia sekali. Semuga kebahagiaan ini milik kami hingga ke akhir hayatku. 

2 comments:

aqilah said...

dapat rasakan,...punca keretakan unie dgn abg izwan, berpunca dgn kak reen dan salah sangka abg izwan pada unie.............apapun, i follow.......

IVORYGINGER said...

ala kak hanni, sungguh bahagia hidup abg izwan n unie pd ketika ini. rsnya mmg abg izwan syg sgt kat unie. klu boleh xmau la depa bpisah terus. xkan xde chance tuk depa rujuk smula. pkahwinan diorg musnah sbb org ketiga. klu dtgk abg izwan kdg2 mcm kerbau di cucuk hidung bila kak reen ada. dia cam dguna2. huh... tp bila ngan unie dia cam diri dia sndr. hope pbuatan kak reen tu tbongkar one day. n sal slh faham kat australia thurai dgn sndr. sbb bukan salah unie. ni mesti keja jantan keparat yg nk kat unie. mesti ada fitnah dia bgtau abg izwan. huh... hope unie n abg izwan will be back together. hero baru skdr mjd phurai pd mslh lol. ;D

Post a Comment

Popular Posts