Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 17

“Unie, hari ni nak masak apa?”
Suara Kak Pah, pembantu rumahku mengejutkan aku terlalu asyik dengan rancangan televisyen pagi Sabtu itu.
“Masak ajelah apa-apa Kak Pah. Tapi jangan banyak. Unie rasa macam tak selera nak makan. Abang Izwan pun tak balik sini hari ni,” jawabku lemah.
Cuti hujung minggu itu Abang Izwan memenuhi gilirannya pulang ke rumah Kak Reen. Selepas pulang dari kerja semalam, dia singgah sebentar untuk bertanyakan khabarku. Aku marah padanya kerana sepatutnya dia pulang terus ke rumah Kak Reen. Apa tidaknya, baru sahaja tengahari itu dia menghantarku pulang dari hospital selepas ditahan selama lima hari di wad ibu mengandung.
Kandunganku sudah masuk ke bulan ke enam. Sepanjang tempoh itu, sudah tiga kali aku di tahan dalam wad akibat dari alahan yang teruk. Aku masih tidak mampu untuk mengekalkan  sebahagian makanan yang aku jamah dalam tempoh masa yang lama. Jika aku mampu makan, selang beberapa minit aku akan berlari ke bilik air kerana muntah.
Keadaanku ini ternyata amat merisaukan Abang Izwan. Pada bulan pertama dia pulang dari London, dia menghabiskan hampir sepanjang waktu jaganya di rumahku. Sudah menjadi rutin hariannya untuk menghantar dan mengambilku di tempat kerja. Dia tidak membenarkan aku memandu  sendirian. Pernah sekali aku pitam sewaktu memandu, sehinggakan aku mengalami kemalangan kecil. Nasib baik ketika itu aku memandu dengan perlahan. Aku tidak dapat mengawal keretaku dan melanggar kereta yang sedang berhenti di persimpangan lampu trafik.
Pulang dari kerja dia pasti akan  singgah di rumahku walaupun pada hari-hari yang sepatutnya dia memenuhi giliran Kak Reen. Bila aku suarakan hal itu dia akan katakan dia singgah sebentar sahaja. Namun selalunya, dia pasti akan bersamaku sehingga ke malam hari. Selepas memastikan aku makan walaupun sedikit, dan tidak muntah barulah dia pulang ke rumah Kak Reen.
Cukup aku rasa bersalah dengan keadaan itu. Pasti Kak Reen merasa tersingung dengan sikap tidak adilnya itu. Abang Izwan pula langsung tidak memperdulikan nasihatku supaya memenuhi hak Kak Reen. Sering dia mengatakan Kak Reen tentunya faham dengan keadaanku yang masih lagi mengalami alahan walaupun kandunganku sudah masuk ke bulan yang ke enam.
“Kak Pah masak tomyam ye....? Unie rasa itu je yang Unie boleh makan. Tapi jangan pedas tau,”
“Ok,” katanya dengan nada riang
“Masak lebih sikitpun tak apa, nanti boleh bawa balik untuk anak-anak kat rumah,”
“Encik Izwan tak balik sini hari ni?”
“Tak Kak Pah, dia kat rumah Kak Reen hari ni,” jawabku ringkas.
Aku yang masih terbaring di sofa ruang tamu hanya memandang pada Kak Pah yang sedang menyapu di situ. Terkilan di hati kerana terpaksa mengambil pembantu rumah akibat dari keadaan kesihatanku yang sungguh tidak menentu ini. Pernah dulu aku bercita-cita untuk tidak mengambil pembantu rumah. Ingin melakukan sendiri semua kerja-kerja rumah.
Aku ingin mendapatkan pahala sebagai isteri yang redha kerana berkhidmat dengan penuh ikhlas untuk suaminya. Ingin menjadi seperti Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang sentiasa taat kepada suaminya Saidina Ali yang miskin dan buruk parasnya. Namun mana mampu aku melakukan itu. Ada ketikanya aku sihat dan mampu untuk melakukan kerja-kerja ringan. Dan di waktu yang lain pula aku cukup lemah, sehinggakan untuk mengangkat tubuh dari perbaringan pun aku tidak mampu.
Seringkali aku terpaksa mengambil cuti sakit. Prfessor Ahmad, bosku merangkap dekan di jabatanku juga sudah lali dengan masalahku ini. Dia cukup memahami orangnya. Sedikit pun dia tidak merungut dengan apa yang berlaku kepadaku malah bia turut bersimpati dengan apa yang aku alami. Pernah sekali ketika aku terpaksa di tahan di hospital, dia mengunjungiku bersama-sama beberapa teman yang lain. Sugguh dia seorang yang perihatin terhadap orang bawahannya.
Di awal kehamilanku dulu, doktor yang merawatku mengatakan alahan akan hilang bila masuk ke bulan keempat dan seterusnya. Tapi, kini aku di bulan ke enam, masih lagi tiada perubahan. Bila ditanyakan pada doktor, dia mengatakan bahawa ada segelintir wanita yang hamil akan mengalami alahan sehingga ke tarikh dia melahirkan anaknya. Aku mungkin termasuk di dalam golongan itu.
Aduh... sungguh seksa rasanya. Patutlah Allah telah mewajibkan setiap anak mentaati kedua ibu-bapanya. Kalau dulu aku hanya mendengar tentang perkara itu dan meyakininya tanpa banyak soal. Tapi kini, bila aku mengalami sendiri keadaan sebegitu, barulah aku memahami hakikat itu.
Patutlah diumpamakan syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu.  Simbolik yang menggambarkan betapa seorang ibu itu perlu di hormati dek kerana deritanya dia mengandungkan seorang insan yang bergelar anak. Jika dalam keadaan mengandung, seksa ini yang dirasakan oleh seorang ibu, bayangkan bagaimana pula seksanya apabila dia melahirkan dan membesarkan anaknya itu.
“Kak Pah...,” seruku perlahan.
“Ya Unie,”
“Kenapa alahan Unie ni teruk macam ni? Orang lain Unie tengok ok aje masa mengandung. Kawan-kawan kat tempat kerja Unie, tak ada pun yang macam ni. Sampaikan malu rasanya bila terpaksa selalu ambil cuti sakit. Nasib baiklah boss Unie tu faham keadaan Unie, kalau tidak... tak taulah macamana,”
“Entahlah Unie, akak manalah tahu... kena tanya doktor tu...hehehe,” kata Kak Pah sambil ketawa. Dia memang terkenal dengan sikap suka ketawanya. Aku senyum lemah melihatkan telatahnya itu.
“Alah... Unie tu, kalau En Izwan balik, mesti sihatnya. Kita orang perempuan ni, bila mengandung kadang-kadang tu ikut perasaan sangat. Akak dulu, bila mengandung kalau Abang Ucup tu tak ada, sihat aje. Macam-macam boleh buat. Tapi bila dia ada, mulalah tunjuk lembik. Penatlah... loyalah... nak makan itulah... nak inilah... Sebenarnya nak bermanja...,” katanya sambil ketawa lagi. Aku turut senyum.
“Tapi kan kak, Unie bukannya buat-buat... Unie memang tak larat,” kataku bagaikan mengadu padanya.
Dia yang kini sudah bekerja denganku selama lebih tiga bulan sudah cukup mesra denganku. Dan aku, yang begitu memerlukan teman yang memahami situasiku, begitu mudah percaya padanya. Meluahkan hampir semua keresahanku kepadanya.
“Sabar je lah Unie, kita masa mengandung ni, banyak dapat pahala dari Allah tau. Bila bersalin nanti, lagi banyak Allah bagi pahala kat kita. Hem... rugi kalau kahwin tapi tak nak mengandung, tak nak beranak. Dah hilang satu punca pahala free dari Allah,” ucapnya dengan nada yang bersungguh-sungguh.
Aku senyum sahaja. Benar katanya itu. Aku sedikit pun tidak mampu menyanggahnya. Cuma yang aku tidak tahan adalah rasa lemah dan tidak selesa yang aku rasakan kini. Dengan loyanya, dengan sakit-sakit badannya dan dengan perut yang sudah mula memboyot. Semuanya memberikan keadaan yang tidak selesa buatku. Membuatkan ada ketikanya minda jahatku berbisik, bahawa inilah kali terakhir aku akan mengandung. Selepas ini, tidak lagi aku mahu menghadapi situasi yang begini. Sungguh menyeksakan.
****
Bunyi deruan enjin kenderaan yang berhenti di depan pintu pagar rumah mengejutkan aku dari tidur petangku yang tidak begitu lena. Perlahan-lahan aku bangkit dari sofa tempat aku berbaring. Aku mengintai keluar pintu gelangsar untuk melihat siapa yang datang waktu tengahari begini. Demi terpandang akan dia aku jadi kaget. Bukankah dia sepatutnya tidak ke mari hari ini? Bukankah hari ini dia milik Kak Reen? Mengapa pula kini dia santai sekali melangkah masuk ke rumahku ini semasa sepatutnya dia di rumah Kak Reen?
Senyumannya yang lebar mematikan segala persoalan di hatiku. Riak gembira di wajah itu terasa begitu mendamaikan hati yang dilanda keresahan sejak pagi lagi. Rindu yang bergayut di dahan rasa cepat-cepat terbang melayang. Ah... mengapa begini mudah hati ini terlena dengan cinta yang dicurahkan dengan begitu ikhlas sekali? Hingga sering aku lupa dengan hakikat yang tidak mampu untuk kami sama-sama hindari, bahawa ada hati yang dilukai dengan sikap tidak adilnya ini.
Dia duduk di sisiku yang sedang bersandar di sofa. Aku senyum padanya. Lantas diraihnya jemariku lalu dibawa ke bibirnya.
“Dah makan?”
Itu soalan pertama darinya? Aku cuma mengangguk.
“Tak muntah?”
“Belum lagi...,” jawabku lemah.
“Belum lagi? Janganlah muntah.... risau abang,”
Aku cuma senyum lucu bila mengingatkan sudah beberapa kali aku muntah di dadanya, di ribaannya  dan di dalam dakapannya. Mungkin kerana itu dia kini jarang sekali memelukku selepas aku makan. Sering aku merasa loya dan muntah hanya kerana bau tubuhnya yang sepatutnya cukup menggoda naluri wanitaku.
“Abang dah makan?”
Dia mengangguk. “Kat rumah Kak Reen,” katanya sambil senyum. Dia mempamerkan beg plastik yang mengandungi bekas makanan di dalamnya.
“Kak Reen kirim salam. Dia buat puding untuk Unie,”
Aku senyum lagi. Bahagia rasanya di hati bila aku mendapat perhatian begini dari Kak Reen. Sejak aku hamil dia tidak lagi meminggirkanku. Begitu juga dengan Mak Ngah, yang sentiasa bertanyakan khabarku. Sering ada sahaja buah tangan dan kiriman salam dari mereka untukku. Cuma aku sahaja yang tidak mampu untuk membalas setiap kirimannya. Sering bekas makanan kirimannya terpaksa aku hantar kembali kepadanya kosong tanpa apa-apa juadah sebagai balasan.
Ah... sungguh bahagia rasanya apabila merasakan diri ini kembali diterima dalam keluarga sendiri. Perhatian yang mereka berikan bagaikan merawat segala luka yang pernah aku alami satu ketika dulu. Saat aku mula-mula dipinggirkan, walaupun dia sendiri yang memujuk rayu aku untuk menerima semua itu.
Cuma yang masih mampu membawa gundah di hati waktu itu ialah apabila  mengenangkan begaimana penerimaan emak mertuaku terhadap diriku. Masih lagi ada riak dingin terhadapku walaupun tidak sehebat waktu aku mula-mula menikahi Abang Izwan dulu. Namun aku terus bersabar. Mungkin lama-kelamaan dia akan menerima diri ini. Terutamanya apabila aku melahirkan seorang cucu yang selama ini cukup dinantikan olehnya.
“Nak makan sekarang?”
Rasa bahagia yang membanjiri ruang hati membuatkan aku begitu teruja dengan pelawaannya. Mengangguk laju seperti anak kecil yang ditawarkan dengan gula-gula. Mataku bulat memandang ke wajahnya. Hilang seketika rasa tidak selesa yang aku rasakan akibat alahanku.
“Sukalah tu...,” ucapnya lembut sambil dia mengusap pipiku.
Dapat aku lihat ada sinar  yang terpancar di matanya. Mungkin dia juga cukup teruja melihatkan kegembiraan di wajahku. Lantas perlahan dia menyentuh hujung hidungku dengan bibirnya. Perlakuan yang membuatkan aku terhidu bau haruman yang dipakainya. Tidak semena-mena, terasa perutku bergelodak, tekak ku mual dan aku..... uwek...uwek...uwek... Ah, aku muntah lagi di atas dadanya.
“Unie....,’
Terkebil-kebil aku memandang ke wajahnya. Dia memandang ke arah baju T jenama Polonya yang kini sudah disimbahii oleh muntahku sebentar tadi. Aku hanya mampu memandang ke wajahnya.  Rasa bersalah datang lagi. Tapi, apa mampu aku lakukan. Bila rasa mual itu datang,  aku sedikitpun tidak mampu untuk menahan diri dari memuntahkan apa yang ada di dalam perutku ini.
“Habis.... baju abang ni....,”
Aku hanya mampu senyum lagi.
“Sorry... nanti... Unie basuh ye....,” kataku lemah sekali.
Aku manjakan suaraku untuk mengurangkan rasa marahnya. Kak Pah yang sedang melangkah dari arah dapur mendekati kami. Lantas ketawa besar terhambur dari kedua-dua bibirnya. Aku hanya senyum tawar pada mulanya. Memandang ke wajah Abang Izwan yang memandangku dengan riak separuh geram.
Tapi sedikit demi sedikit dia tidak mampu bertahan. Akhirnya pecah juga tawa di bibirnya. Tidak mampu menahan rasa gembiranya, dia menarikku ke dalam pelukannya. Aku tidak mampu mengelak, menyebabkan pakaianku juga sudah terpalit dengan muntahku sendiri.
****
“Abang... sepatutnya janganlah datang ke sini masa giliran Kak Reen. Mesti dia kecil hati abang buat macam ni,”
Kami sedang berbaring santai di depan televisyen ketika itu. Sama-sama menonton  rancangan yang sedikit pun tidak menarik minat kami saat itu. Kami hanya menikmati suasana bahagia apabila menghabiskan masa bersama. Aku yang sedang berbaring mengiring, berbantalkan lengan sasanya memandang lembut ke wajahnya.
Kak Pah telah lama pulang sebaik sahaja Abang Izwan tiba tadi. Tidak ingin mengganggu katanya. Ah... berada berdua begini, sesungguhnya mampu  menaikkan kemesraan antara kami. Bercerita tentang aktiviti harian sambil menikmati juadah minum petang dalam suasana yang sungguh romantis begini. Dalam keadaan lemahku begitu, sesungguhnya aku amat mendambakan keintiman yang sebegini.
Setelah sama-sama mandi dan membersihkan diri dari muntahku sebentar tadi, Abang Izwan memaksa aku makan lagi. Kali ini, aku terpaksa menelan puding yang Kak Reen kirimkan melaluinya tadi. Sedap dan cukup manis rasanya. Namun aku cuma berani makan sedikit sahaja. Bila aku makan dalam jumlah yang sedikit, kemungkinan untuk  aku muntah akan berkurangan. Itu nasihat doktor sebelum aku keluar dari wad semalam. Makan sedikit-sedikit, tetapi kerap. Mungkin dengan cara itu masalah mual dan muntahku mampu aku hindari.
“Tak apalah Unie, Kak Reen faham. Lagipun, abang nak buat apa kat rumah dia kalau weekend macam ni? Asyik tengok TV, tidur...bangun,  makan... tengok TV... lepastu ... tidur lagi..., boring betul... ,”
“Abang tak ajak Kak Reen keluar? Pergi  jalan-jalan.... makan-makan.... Kalau dengan Unie selalu ajak keluar. Unie tak larat nak keluar sekarang ni. Asyik nak muntah aje rasanya. Abang ajaklah Kak Reen...,” ucapku mengingatkannya dengan sikapnya yang satu itu.
“Malaslah jalan-jalan dengan dia. Serius aje... nak pegang tangan pun tak bagi, malu kononnya. Dengan Unie, seronok. Unie tak marah kalau abang pegang tangan Unie, peluk pinggang Unie, bahu Unie,” sambil mengucapkan kata-kata itu, dia mengusap lembut perutku yang telah mula memboyot, menampakkan usia kandunganku itu.
“Tak baik tau... dulu abang kata nak adil. Abang buat macam ni... tak adil tau. Nanti, elok-elok Kak Reen baik dengan Unie, lama-lama jadi tak baik sebab marahkan kita,”
“Insyaallah... tak kannya.... Dia sekarang kan tengah tumpang gembira. Sama-sama tunggu baby dalam perut ni lahir,”
“Tapi... abang masih lagi tak adilkan? Kalau Unie jadi Kak Reen, mesti rasa kecil hati dengan abang. Berdosa tau bang... buat dia macam tu. Dia pun nak bersama abang jugak,”
“Alah, masa abang kat rumah dia, bukannya dia nak layan abang sangat. Selalunya ada aje kerja yang nak buat. Nak kemas rumahlah, nak cuci tandaslah..., nak tanam bungalah. Bukannya dia nak duduk dekat abang, berbual-bual, bercerita, macam yang Unie buat ni. Asyik sangat dengan kegemaran dia. Lepas tu, cerewet sangat. Nak makan depan TV tak bagi, takut bersepahlah. Padahal bukannya abang ni makam macam budak-budak. Bersepah sana, bersepah sini. Lepas tu nak manja-manja macam yang kita buat ni pun tak boleh, ” katanya sambil mencebirkan bibirnya.
Ternyata dia tidak suka dengan sikap cerewet Kak Reen itu. Cepat-cepat aku menampar-nampar perlahan mulutnya dengan jari-jemariku.
“Dahsyat la abang ni.... tak baik tau cerita pasal dia pada Unie macam ni tau. Mengumpat...,” dalam rasa lemahku ini masih lagi aku dapat mengesan sikapnya yang terlalu polos membicarakan soal rumah tangganya dengan Kak Reen. Sesuatu yang tidak sepatutnya dia luahkan kepada orang lain.
“Tak apalah... dia faham, lagipun dia kata, petang ni dia ada kelas aerobik. Daripada abang duduk seorang-seorang kat rumah tu, baik abang datang sini. Boleh manja-manja dengan Unie macam ni, emmm .. seronokkan...,” katanya sambil mencium mataku.
Kali ini kehadirannya yang begitu hampir di sisiku sudah tidak lagi membawa rasa mual padaku. Dia tidak lagi memakai haruman yang sering membuatkan perutku bergelodak. Sudah serik agaknya asyik menadah muntahku. Aku ketawa halus. Gembira dengan perhatiannya itu.
“Nanti... kalau kena muntah lagi?” ucapku manja.
“Tak kesah, kalau sepuluh kali kena muntah Unie, sepuluh kalilah boleh mandi dengan Unie, mmm.... seronok,” bisiknya di telingaku.
Ah... kata-kata yang diucapkannya itu membawa seribu rasa bahagia di sudut hati ini. Sungguh aku leka dengan kebahagiaan yang aku kecapi waktu itu. Lupa... lupa aku dengan kesedihan yang di alami oleh seorang lagi isterinya di sana.... Ah... kejamnya kami... menyinggung hatinya yang sering dalam keresahan.

3 comments:

IVORYGINGER said...

unie oh unie. kenapa la sll fikirkan org ln. tlalu baik hati pun bahaya takut org ambik kesempatan. lg 1 bila ada dgn suami xyah la sebut nama kak reen.

Christine Zye said...

huhuu..baiknya hati Unie ye..
x sabar nak tgu the next entry nye...
cepat2 ye kak laila

Chenta Eyfa Latieyfa said...

tapi unie nih terlalu baik sgt la..asyik2 pk sal kak reen.

Post a Comment

Popular Posts