Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Perlahan Umar Rafiki  menolak troli menaiki lif yang sedarhana besar itu. Troli yang sarat dengan kotak-kotak barang-baranganku itu memenuhi hampir keseluruhan ruang di dalam lif. Dia masuk dan berdiri betul-betul di hadapan pintu lif. Aku yang mendahuluinya sebentar tadi berada di bahagian dalam lif tersebut, memandang ke wajah Suzana dengan pandangan merayu. Janganlah Suzana biarkan aku sendirian dengannya di dalam lif ini. 
Aku tidak sanggup bersendirian dengan lelaki ini walaupun hanya dalam jangkamasa yang singkat. Apa yang perlu aku katakan padanya nanti? Suzana tersenyum sekilas sambil matanya melatari wajahku. Bagaikan ada riak nakal  yang dapat aku kesan di wajahnya saat itu.
“Naik dululah, dah tak muat ni,” kata Suzana dengan senyuman yang meleret.
“Ok...,” ucap Umar Rafiki dengan nada girang.
Pantas sekali dia menekan butang menutup pintu lif. Mungkinkah dia sedar dengan riak di wajah Suzana? Ah, malunya. Kalaulah dia sedar, tentu dia akan menyangkakan bahawa kami ini perasan. Pasti dia akan mengatakan aku ini bagaikan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Ah, malu... sungguh malu aku rasakan saat itu.
Dalam diam aku dapat merasakan matanya merenung tepat ke wajahku. Aku memberanikan diri untuk membalas pandangannya. Menarik nafas perlahan. Aku mengukir sekilas senyum kepadanya. Cuba buat selamba dengan perhatian yang diberikan kepadaku itu. Ah... Munirah, janganlah terlalu telus hinggakan dia dapat mengesan debar di hatimu. Beranikan diri, untuk menghadapinya. Jangan bodohkan dirimu.
“Sebenarnya kita... belum berkenalan dengan erti kata sebenarnya kan?” dia membuka kata.
“Emm... ya...,” jawabku ringkas
“Saya, Umar Rafiki bin Haji Safuan... dan awak... Munirahkan?”
Aku mengangguk perlahan. Rasa hairan hinggap di hati. Bagaimana dia tahu namaku? Ah... mungkin tadi, ketika bersama dengan Suzana.
“Emmm... saya menyusahkan encik aje,” ucapku perlahan.
“Menyusahkan apa pulak?”
“Encik ada hal kan tadi? Sekarang ni... susah-susah pulak tolong saya angkat barang,”
It is Umar Rafiki ok. Jangan berencik dengan saya. Selalunya kawan-kawan panggil Umar. tapi...saya lebih suka kalau awak panggil saya... Rafiki,” ucapnya lembut.
Dia senyum lagi. Ah... tampan sekali wajah lelaki ini. Aku menelan air liur, terkedu seketika memandang senyumannya yang cukup menawan itu. Degup jantungku bagaikan rebana sedang di palu. Berdengung bunyinya, menggetarkan sukma. Ah….  
“Dan... boleh saya panggil awak Unie?” pintanya perlahan.
Segan rasanya di hati bila ada yang memanggil aku dengan panggilan itu. Selalunya aku hanya bahasakan diriku dengan nama penuh dikalangan mereka yang baru aku kenali. Panggilan Unie hanyalah digunakan oleh keluarga dan rakan terdekat sahaja. Namun akhirnya aku menganggukkan kepalaku. Dia senyum lagi. Kelihatan begitu berpuashati.
 “Tak ada yang susahnya. Saya sebenarnya nak ke gym tadi. Bila nampak awak dengan kawan-kawan awak tu tengah angkat barang, terfikir pulak nak bantu. Sama macam buat workout kat  gym jugakkan? Sekurang-kurangnya berhasil jugak bila membantu macam ni kan?”
Katanya dengan senyuman yang terus meniti di bibir.  Ah... tidakkah dia tahu bahawa senyumannya itu cukup-cukup menggoda hati wanitaku ini. Dan, aku bagaikan terpaku dengan ketampanannya terus memandang ke wajahnya. Rupa-rupa dari aktiviti sebegitulah dia mendapat susuk tubuh yang begitu sasa. Bersenam bila ada kelapangan waktu. Tanpa sedar pandangan mataku jatuh pula ke tubuh sasanya denga rasa kagum.
Tiba-tiba dia berdehem sambil terus senyum. Ah, dia perasan rupa-rupanya dengan perlakuan luar sedarku itu. Lantas ku rasakan semua darah menyerbu ke mukaku. Malunya... tertangkap sedang memerhatikannya begitu. Aku mengalihkan pandanganku ke arah lain.
Ruang yang terhad dalam lif itu membuatkan lebih sukar untuk aku melarikan pandanganku dari tubuhnya yang berada betul-betul di hadapanku. Hanya kotak-kotak di atas troli sahaja yang boleh aku pandang. Cuma Allah sahaja yang tahu betapa malunya aku saat itu.
Perjalanan lif ke tingkat sebelas bagaikan berjam-jam lamanya aku rasakan. Aku cuma mampu mendiamkan diri saat itu. Sudahlah aku tertangkap merenung tubuh sasanya sebentar tadi. Dan kini lidahku pula kelu untuk berkata-kata. Sememangnya aku bukan seorang yang ramah berbicara. Terutamanya dengan lelaki ini. Yang sering membuatkan aku jadi serba-salah dalam setiap pertemuan.
Pintu lif terbuka seketika kemudian melegakan perasaanku. Perlahan-lahan dia menarik keluar troli yang sarat dengan kotak itu. Aku pula membantu dengan menolak  troli tersebut. Kami beriringan ke pintu utama unit apartmenku yang jaraknya kira-kira 300 meter dari lif.
Pergerakan kami agak perlahan kerana troli yang agak berat itu sukar untuk dikawal. Keadaan  tayar troli yang sudah agak usang itu membuatkan ia sukar untuk bergerak lancar. Aku membantu dia menolak. Ah, sabar sekali dia melakukan kerja yang sepatutnya tidak dilakukannya itu.
“Boleh saya tanya sesuatu pada Unie?” dia bertanya. Kelihatannya seperti ada sesuatu yang bermain dimindanya.
“Tanya apa..., tanyalah...kalau saya boleh jawab, saya akan jawab,” kataku perlahan. Ya, lelaki sebaik ini tidak mungkin akan bertanyakan soalan-soalan yang tidak elok. Mungkin ada sesuatu kemusykilan tentang diri ini yang bertapak di hatinya.
“Kak Pah beritahu saya... Unie dah kahwin dan ada anak, tapi... mana mereka?” tiba-tiba dia bertanya. Soalan yang sungguh tidak aku jangkakan keluar dari bibirnya.
Aku jadi terkedu dengan soalannya itu. Dia kenal Kak Pah? Aku terhenti di tempat aku berdiri dan hanya mampu memandang ke wajahnya. Cukup terperanjat dengan luahan kata-kata yang sungguh tidak aku sangka akan keluar dari bibirnya. Dia juga terhenti bila melihatkan aku berhenti dari meneruskan langkah. Dia berpaling memandang ke wajahku dengan riak hairan di matanya.
“Kenapa?” riak hairan sebentar tadi bertukar menjadi bimbang.
“Encik Umar kenal Kak Pah?”
Dia lantas senyum bila mendengarkan pertanyaanku itu. Kini riak lega pula terbayang di matanya.
“Huh... ingatkan kenapa Unie berhenti. Ingatkan sakit ..., tiba-tiba aje pucat muka awak tu,”
“Encik Umar kenal Kak Pah?” ulangku lagi. Bergetar suaraku kali ini. Menzahirkan perasaan resah yang tersimpan di hatiku.
Dia menganggukkan kepalanya perlahan.
Please... call me Rafiki, dan... ye saya kenal Kak Pah. Dia tu pembantu rumah saya. Jom..., ”
Aku mengangguk perlahan mendengarkan kata-kata itu.Dia bergerak semula. Mahu tak mahu aku terpaksa mengikut langkahnya. Tiba di hadapan unit apartmenku, aku jadi serba-salah. Kalau aku bukan kunci pintu itu, pastinya dia akan turut masuk ke dalam apartmenku. Aku tidak sepatutnya bersendirian dengan dia di dalam rumahku. Aku perlu menunggu Suzana, Haziq dan Hariz tiba dahulu. Barulah aku boleh membuka pintu itu.
Lambat-lambat aku menyelongkar kunci pintu dari dalam beg sandangku. Sengaja mengambil masa untuk mencari kunci itu. Hai ... mana Suzana dan Haziq ni. Aku resah, jika boleh aku tidak ingin untuk membicarakan tentang kisah silamku. Terutamanya dengan dia... yang baru aku kenali dengan erti kata yang sebenarnya ini.
“Unie  belum jawab lagi soalan saya,”
Aku menarik nafasku perlahan. Cuba untuk mengumpulkan kata-kata yang sepatutnya aku bicarakan. Patutkah aku mengherdiknya, memarahinya dan meminta supaya dia jangan menjaga tepi kainku? Patutkah aku katakan begitu setelah dia bersusah-payah membantuku saat aku dalam kesukaran begini?
“Saya ingatkan tadi, Haziq tu suami Unie. Tapi bila dengar yang dia akan kahwin dengan kawan awak tu, saya jangka dia bukan orangnya kan?”
Entah mengapa aku rasakan dia begitu ingin tahu tentang siapa suamiku. Maksudku... bekas suamiku. Munkinkah itu yang menyebabkan dia mendekati kami sebentar tadi. Untuk mengetahui kisah silamku. Ah.... perlukah aku ceritakan kepadanya? Agar tidak lagi timbul tanda tanya di hatinya?  Aku menelan air liurku perlahan. Masih menatap ke dalam matanya.  Rasa sayu mengenangkan Sarah mula kembali menjeruk hati ini.
“Kenapa Unie?”
“Kami... dah berpisah,” jawabku dengan perasaan yang cukup sayu.
Bukan sayu mengenangkan hubungan yang tidak berkekalan kini. Tetapi, sayu kerana mengenangkan ada jiwa kecil yang menjadi mangsa akibat dari perpisahan yang tidak ku pinta ini.
Suasana sepi seketika. Dia memandangku dengan pandangan yang terkejut. Mungkin baru menyedari bahawa pertanyaannya sebentar tadi menyebabkan parut lukaku berdarah kembali. Aku dapat rasakan airmataku bergenang di tubir mata. Kesedihan kembali merenggut hati ini setiap kali kata-kata itu perlu aku ucapkan. Setiap kali aku mengenangkan Sarah yang menjadi mangsa. Atau.. apakah aku yang menjadi mangsa sebenarnya?
“Maaf... saya... tak bermaksud nak buat Unie sedih... ,” ucapnya perlahan bila melihatkan aku menyeka airmata yang mula mahu menerjah turun di pipiku. Aku menarik nafasku perlahan.
It’s ok...,” kataku sambil berpaling ke arah  pintu apartmentku.
Tiba-tiba sahaja kunci rumah yang aku cari sebentar tadi sudah berada dalam tanganku. Menggeletar tanganku untuk membuka pintu itu. Dalam gementar begitu, terjatuh kunci yang aku pegang. Dan bagaikan orang dungu, aku tergamam seketika. Merenung sahaja kunci yang sudah berada hampir dengan kakiku.  
Perlahan dia mendekati aku yang sedang gamam. Kami sama-sama duduk bertinggung untuk mengambil kunci itu. Saat itu tanpa sedar jemarinya menyentuh jari-jariku. Bagaikan terkena kejutan elektrik, aku terpaku di situ. Seketika... untuk seketika waktu dia mengenggam erat tanganku. Bagaikan ingin menyuntik sedikit kekuatan di hati ini.
“Maaf... biar saya bukakan pintu tu,” ucapnya perlahan.
Kedudukan kami terlalu rapat saat itu. Sehinggakan aku dapat rasakan desiran nafasnya menampar ke pipku. Dapat menghidu bau wangian yang digunakannya. Dan dapat merasakan panahan matanya di jantungku. Suatu keadaan yang cukup tidak selesa buat diriku.
Lantas aku bangun dengan pantas. Menarik tanganku yang erat dalam gengamannya. Dengan mudah dia melepaskannya. Mungkin baru sedar dengan perlakuannya itu. Aku menghela nafasku dan berdehem beberapa kali. Ah... aku perlu tabah, kerana setiap kali aku bertemu dengan seseorang yang aku kenali, pastinya persoalan itu yang akan ditanya. Jika beginilah reaksiku, aku hanya akan memalukan diriku sahaja.
Dia turut bangun dengan kunci yang jatuh tadi sudah berada di tangannya. Aku cuba untuk menjarakkan kedudukan kami tetapi troli yang betul-betul berada di belakangku menghalang aku dari berbuat begitu. Terdongak aku merenung ke dalam matanya. Bagaikan terkunci pandangan mata kami membuatkan aku tidak mampu untuk berpaling ke arah lain. Satu rasa yang begitu asing mengocak tangkai hati ini. Rasa ingin disayangi... ingin dikasihi dan... ingin dicintai...
“Ya Allah... dari tadi belum buka pintu tu lagi?” sergahan Suzana mengejutkan aku yang hanyut sebentar tadi. Hanyut dalam resahku, dalam gundahku dan dalam anganku.
****
“Kak Unie, ini kena mesti pekena pizza lepas ni tau. Kena makan keju banyak-banyak... nak kembalikan tenaga yang hilang ni...,”
Kami ketawa mendengarkan kata-kata Hariz yang bergema dalam unit apartmen  sewaanku itu. Unit yang sederhana kelengkapannya berbanding dengan kelengkapan di rumah Umar Rafiki yang kulihat dulu lalu pastinya akan berubah penampilannya jika aku berjaya untuk membelinya nanti.
“Alah kau ni Hariz ... pantang disuruh buat kerja sikit,  ada je upah yang diminta... Bukannya banyak sangat pun barang yang diangkat.” rungut Haziq.
“Mestilah bang... Riz kan kurus, kenalah tukar balik lemak-lemak yang dah tukar jadi tenaga ni. Kenalah build up muscle ni semula...,”
“Hei brother... orang nak build up muscle, kenalah buat kerja banyak-banyak... Bukannya makan banyak-banyak,” ucap Suzana.
“Haah ye... lupa... Nak kena tanya abang Umar, macamana dia dapat muscle macam tu,” kata Hariz sambil memuncungkan bibirnya ke tubuh Umar Rafiki.
Lelaki itu yang sedang mengangkat kotak dari troli untuk diletakkan ke lantai senyum kembali kepada remaja berusia enambelas tahun itu.
“Boleh Riz... jom... join abang jogging  dan work out very weekend,”
“Boleh... boleh...you name the place and I will be there,” kata Hariz penuh yakin.
“OK, pagi-pagi Ahad,  kita solat Subuh dekat Masjid UPM, lepas tu kita jogging kat kawasan tu. Nak?”
Haziq ketawa besar mendengarkan kata-kata Umar Rafiki.
“Hariz...? Nak  pergi workout every weekend...? Early in the morning pulak tu..? impossible... imposibble...,”
“Kenapa pulak Ziq?” tanya Umar Rafiki.
“Kalau weekend, tak pukul 12 tak bangunnya Umar. Itupun sebab lapar. Bangun, tak sempat mandi dah meluru ke dapur, cari makanan. Macam mana nak jogging? Jogging atas katil boleh la,” kata-kata Haziq itu disambut oleh ketawa oleh semua. 
Aku cuma senyum, cuba untuk memaniskan muka. Debar dengan insiden di muka pintu sebentar tadi masih terkesan di hatiku. Sesekali pandangan Umar Rafiki yang turut sama ketawa jatuh ke wajahku. Bila dia tersenyum kepadaku, aku senyum kembali. Cuba untuk menutup perasaan yang ku rasakan tadi. Perasaan yang amat asing yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Yang langsung tidak pernah aku rasakan sepanjang tempoh perkahwinanku yang singkat dengan Abang Izwan dulu.
“Kat mana nak letak kotak-kotak ni?” tanya Umar Rafiki sambil matanya mengelus lembut ke wajahku.
Entah mengapa, setiap kali berbicara denganku, aku dapat rasakan seperti pandangan matanya begitu syahdu sekali. Bagaikan setiap pandangannya itu tersirat seribu makna. Dia bagaikan ingin menyatakan sesuatu kepadaku. Menyampaikan satu hasrat yang sungguh tidak berani untuk aku impikan. Membuatkan aku malu sendiri. Membuatkan aku berangan-angan sendiri. Ah... lelaki ini. Mengapa hadirnya cukup membawa resah di hati ini?
“Letakkan aje kat dalam bilik tu,” jawabku sambil melarikan pandanganku ke arah Suzana yang sedang memandang padaku.
Aku dapat rasakan Suzana seperti dapat mengesan rasa tidak selesaku berada berhampiran lelaki ini. Pasti dapat merasakan bagaimana resahku apabila di perhatikan dan direnung selembut itu. Setiap apa yang ingin aku lakukan pasti akan dibantunya. Bila sahaja aku cuba untuk mengangkat sesuatu, pastinya dia akan berada di sisiku untuk mengambil alih apa yang aku lakukan. Membuatkan aku merasa serba-salah dengan perhatian yang diberikan.
“Kak Unie, orderlah pizza... please....,” rayuan Hariz membuatkan aku mengalihkan perhatianku kepadanya.
Aku senyum padanya. Cuba mengalih pandangan semua dari hakikat bahawa adanya hubungan perasaan antara aku dan Umar Rafiki.
“Sekejap ye Riz... siap angkat semuanya, kita pergi makan kat sana ye? Lagi seronok rasanya kan?”
Wow.... best,” kata Hariz sambil mengangkat ibujarinya. “Abang Umar ikut ye...,”
“Hei... mestilah.. bila lagi nak rasa Kak Unie belanja kan?” ujarnya sambil sekali lagi matanya mengelus ke wajahku.
Aku menarik nafas panjang. Baru sahaja sebentar tadi aku berdoa dalam hati supaya dia tidak akan ikut sama. Berharap sangat agar dia ada hal lain untuk diselesaikan. Namun, kata-katanya sebentar tadi kelihatan begitu yakin sekali bahawa aku pasti tidak akan terlepas dari ekorannya. Tapi, dengan rasa bersalah aku mengakui, ada damai di hati ini bila aku mendengarkan kata-katanya itu. Ah ... lelaki ini, sungguh dia mampu membawa seribu rasa di hati ini. Resah, damai, gundah, bahagia, benci..., rindu.... Ah... Munirahhhh?
Selesai semua kerja memunggah barang-barangku, kami ke restoran Pizza Hut di Taman Equine untuk menjamu selera di situ. Aku bersama Suzana menaiki kereta Haziq manakala Umar Rafiki mengundang Hariz untuk menunggang motosikal berkuasa tingginya ke sana.
Entah mengapa sejak aku pulang dari Australia, aku tidak nafikan inilah saat paling bahagia yang aku rasakan. Dan aku sedar, apa sebenarnya yang menyebabkan aku merasa cukup bahagia. Perasaan yang cukup salah itu cuba aku buang dari terus-terusan membelai hati ini. Aku tidak mungkin akan biarkan ia terus membelai jiwaku begini. Semua ini salah. Salah sama sekali.
Aku tidak layak untuknya, kalaulah itu yang diinginkannya. Aku... janda anak satu... pastinya tidak layak untuknya. Namun saat ini, biarlah  aku hanyut seketika dalam anganku itu. Biarlah aku membelai jiwaku dengan perasaan ini. Bila tiba masanya nanti, aku pasti akan membuang jauh anganku ini. Biarlah untuk seketika ia terus menjadi mimpi bahagia yang sesekali hadir dalam hidupku yang sering derita ini.

10 comments:

Anonymous said...

best cite ni.
nak smbungnnya lg.
akak post n3 bru tu cpt2 ye.
x mo tunggu lama2.

aqilah said...

suka...suka sangat!!!!
nak Umar dgn Unie...........
biar izwan sedar, yg dia rugi amat teramat rugi sbb lepaskan Unie....................

MaY_LiN said...

alahai..
rafiki mengorat unie ya..

norsuriati said...

apapun nasib anak unie perlu dibela..sian dia x dapat kasih ibu sejati..biarlah kebenaran unie tersingkap baru izwan sedar siapa salah siapa benar

Anor said...

sokong dgn komen hazulfa biar bekas
suami unie tau siapa dipehak yg benar
dan akan menyesal dgn apa yg telah
dilakukan terhadap unie dan unie akan
dpt hak penjagaan anaknya kembali. hendak
unie dgn rafiki berkawen dn akan meniti
kebahagiaan didlm rumah tangga. cepatlah
sambung ye hanni....

Anonymous said...

mintak2 la hubungan unie dgn umar kali ni menjadi

einaa_akemi said...

cepat la sambung,nak tau pasal unie dgn sarah..biar abang izwan menyesal,sape suruh kejam sangat dekat Unie

Rohaida Rahman said...

wahhhh dalam hati unie ada taman, best ni, mmg dah tiba masa unie buang resah....
apa yg umar cuba sampaikan tu? berdebar ni...

Anonymous said...

klu penulis wat Unie blk kpd Izwan..,aduhhhh rasanya x nak baca lagi arr ...
sbb nak Unie nikah dgn Umar Rafiki & memiliki anak...mesti best

Seorg wanita... said...

Jodohkanlah Unie dgn Umar Rafiki... biar Rafiki yg akan mengubat luka dan kecewa Unie..yg akan menghapus air mata Unie..

Post a Comment

Popular Posts