Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 12

Satu persatu langkah Mai di perhatikan. Dia tidak mahu mengganggu Mai jika wanita itu berteman. Dia perlu memerhatikan terlebih dahulu. Jika Mai berseorangan, barulah dia akan mendekati Mai. Tidak mahu nanti jika dia dipersalahkan kerana mengintai isteri orang. Isteri orang.... dua patah kata yang bagaikan merodok hatinya setiap kali terlintas di fikirannya sejak Mai menikahi lelaki itu.

Mereka tidak lagi berhubung sejak berbicara dalam telefon lebih dua minggu yang lalu. Sewaktu  Mai memarahinya kerana menyembunyikan hakikat bahawa Syamsul  tidak akan melepaskannya kecuali bekas isterinya itu meminta perpisahan. Setiap hari dia cuba menghubungi Mai melalui telefon, namun tidak diangkatnya. Email dan tegurannya di maya juga tidak di hiraukan. Merajuk rupa-rupanya.

Lantas segaris senyuman tersungging di bibirnya yang agak kebiru-biruan kini dek kerana kuatnya merokok. Tambahan sejak perpisahannya dengan Mai, tabiat merokoknya menjadi-jadi. Setiap kali terkenangkan bekas isterinya itu, dia pasti akan cuba merawat hatinya dengan menyalakan api di rokoknya. Tanpa sedar, hati yang ingin dirawat itu sebenarnya semakin hari semakin parah. Parah dek kerana kehilangan cinta yang  selama ini haknya. Dan parah lagi  kerana  memilih jalan yang membawa bahana kepada dirinya sendiri.

Setelah yakin bahawa Mai keseorangan, Irfan melangkahkan kakinya meninggalkan keretanya yang telah di parkir berhampiran deretan kedai. Dia telah mengekori Mai Sejak kereta Mai meninggalkan pintu pagar sekolah tadi lagi. Sudah beberapa hari dia bagaikan hampir gila rasanya. Tengahari selepas keluar makan, dia pasti akan mengintai bekas isterinya itu. Pada mulanya, ketika Mai maih bercuti, dia setia menanti di kawasan berhampiran rumah Mai. Dan  sejak Mai mula kembali bekerja, di pintu pagar sekolah Mai lah tempat dia menekur, menahan perasaan rindu.

Irfan menanti lagi dengan penuh sabar. Menunggu hingga Mai keluar dari kedai alat tulis yang dikunjunginya. Lega hatinya apabila melihat Mai sedang membuat pembayaran di kaunter. Hatinya penuh dengan debaran yang mengocak perasaannya bila terpandangkan wajah ayu dan lembut isterinya itu. Ahhh.... bekas isteri...., bisik hatinya yang sedaya mungkin cuba untuk melupakan hakikat tersebut.

“Mai...,” sapanya lembut apabila Mai melangkah keluar dari kedai.

Dapat dia melihat betapa terkejutnya Mai kerana disapa tiba-tiba begitu. Bulat matanya memandang ke wajah Irfan, menambahkan lagi rasa rindu yang membuak di dada lelaki itu. Ingin sekali rasanya dia menarik tubuh lembut itu ke dalam dakapannya  untuk meluahkan segala rasa yang menggetarkan jiwa lelakinya. Dia mengeluh perlahan. Ah... cukup dia rindu pada wajah ini.

“Ápa abang buat kat sini?” tanya Mai dengan nada terkejut. Sungguh terkejut dia akan kehadiran Irfan. Sememangnya dia sering mengharapkan lelaki ini hadir di sisi. Mengimpikan kenangan-kenagan lalu untuk kembali semula. Namun mampukah mereka?

“Perlu abang cakap kenapa?” Irfan menjawab dengan satu pertanyaan. Pertanyaan yang  kedua-dua mereka tahu apa jawapannya.

Mai diam matanya melilau memandang suasana sekeliling mereka. Pancaran matahari lewat tengahari itu bagaikan menyelar di mukanya. Dan biasanya bila matahari menginjak ke ufuk barat, hujan akan mula turun, membawa dingin ke segenap alam. Begitulah cuaca di pertengahan tahun begini. Namun, memikirkan tentang panas terik matahari dan dingin hujan patang langsung tidak mampu membuat dia lupa pada hakikat yag ada di depan mata.

Dalam perbualan telefon di hari pernikahannya tempohari, dia sudah tidak tahu berapa banyak kemarahan yang dihamburkan kepada Irfan atas sikapnya menyembunyikan rahsia tentang perkahwinan ini. Terlalu banyak sehinggakan terasa seperti tiada lagi kata-kata yang ingin dilafazkan saat ini. Marahnya masih terasa dengan sikap Irfan yang mentingkan diri. Hinggakan sanggup membiarkan dia yang menanggungnya sendirian.

“Kita bincang sikit... boleh?” tanya Irfan seolah-olah begitu mengharapkan pertemuan ini. Lama Mai diam sambil memikirkan apa yang  patut dibincangkan lagi. Sudah tiada apa yang boleh dibincangkan lagi. Syamsul  tetap dengan pendiriannya untuk tidak melepaskan dirinya sehinggalah dia yang memohon untuk  dilepaskan. Sesuatu yang tidak sepatutnya seorang isteri lakukan. Dan meletakkan dirinya dalam keadaan yang cukup serba salah.

“Kita nak cakap tentang apa lagi bang?”

“Tentang kita...,”

“Dah tak ada apa-apa lagi tentang kita,”

“Mai... siapa kata tak ada..., selagi kita hidup, harapan tu tetap ada,”

“Yelah tu.... Mai lah yang kena berkorban semuanya kan? Sedangkan abang senang-senang je,”

“Siapa kata abang senang,”

“Memang abang senang. Mai yang kena hadapi semuanya...,”

“Mai ingat abang senang sekarang ni? Abang lagi susah hati tau...,” ucap Irfan dengan nada sedih. “Tiap malam ingatkan Mai dengan lelaki tu,”

Mai diam. Hanya memandang ke wajah Irfan tanpa sepatah kata. Lantas Irfan meraih tangannya. Mengambil beg plastik yang sarat berisi alat tulis yang dibeli oleh Mai sebentar tadi. Mai hanya membiarkan sahaja perlakuan Irfan itu.

“Banyak beli barang?”

“Barang pusat sumber sekolah...,” jawab Mai ringkas.

“Sejak bila Mai jadi guru pusat sumber?”

“Mmm... sejak kita berpisah. Mai minta ditugaskan kat situ, nak kurangkan rasa sunyi. Kerja kat pusat sumber banyak...,” jawabnya perlahan. Irfan mengeluh perlahan mendengarkan kata-kata Mai itu. Matanya terus melatari wajah mulus Mai. Menyesali setiap detik yang berlalu sejak dia melafazkan talak tiga tempohari.

“Kita ... pergi minum kat kedai tu boleh? Orang tak ramai kat situ. Boleh kita bincang sikit,”

Mai melihat jam di tangannya. Pukul tiga petang. Ia, kalau dia balik ke rumah sekarang tentu Syamsul  masih ada di rumah. Jika oleh dia tidak mahu terserempak dengan lelaki itu. Tidak mahu  bertembung walaupun mereka sebumbung sekarang ini.

“Jom...,: kaya Irfan dengan nada memujuk.

“Ok....” perlahan sekali Mai menjawab.

Mai menurut langkah Irfan memasuki restoren yang berdekatan. Dia terus membiarkan Irfan membawa beg plastik berisi barangan untuk pusat sumber sekolahnya.  Dalam berjalan beriringan begitu, ada ketikanya jari jemari Irfan cuba untuk menggenggam jari jemarinya. Mai cuba untuk mengelak. Menarik tangannya dengan lembut, tetapi Irfan bagaikan begitu nekad untuk menunjukkan pada semua yang Mai adalah miliknya.

“Abang... boleh tak jangan buat macam tu...,” pinta Mai terhadap Irfan.

Irfan terkaku seketika. Ah... untuk seketika dia jadi lupa akan batasan.

Cepat-cepat Mai menjauhkan diri sisi Irfan. Cuba sebaik mungkin untuk menjaga maruahnya sebagai seorang wanita yang kini sudah menjadi milik orang. Dia tidak akan sekali-kali menjatuhkan maruahnya itu. Terlalu banyak yang perlu dijaganya. Di perlu dipandang tinggi sebagai seorang guru yang sepatutnya mendidik anak muridnya dengan menunjukkan tauladan yang baik. Bukannya berpoya-poya berpegangan tangan dengan lelaki yang bukan sesiapa lagi padanya.

Bukannya mudah, sememangnya amat payah sekali bila yang berada di sebelahnya ini adalah seorang yang paling disayangi, yang masih di rindui dan yang terus dicintai. Dia dapat melihat bagaimana Irfan terkejut dengan kata-katanya tadi. Namun kedua-duanya hanya diam. Hanya merenung ke wajah masing-masing. Dan dalam hati masing-masing mengharapkan mereka sendiri mampu memahami keadaan yang sedang dihadapi. 

Akhirnya mereka mengambil tempat di satu sudut dalam restoren tersebut. Suasana awal petang yang panas memijar itu menyebabkan keadaan di dalam dan di luar restoren agak lengang. Kebanyakkannya lebih sanggup untuk berdiam diri di dalam rumah atau di tempat terselindung dari terik panas mentari yang menyelar kulit waktu itu.

 “Abang rindu Mai,” tiba-tiba Irfan meluahkan rasanya. Membuat Mai terpana seketika. Matanya mengelus lembut di wajah kesayangannya itu.

“Bang... Mai pun rindu abang juga, tapi kita dah tak boleh macam dulu... kita...,” kata-kata Mai terhenti dek rasa sebak yang tiba-tiba memenuhi ruang rasanya. Dia bagaikan tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya itu. Dan yang pasti... dia tidak mampu menyebutnya lagi... tidak mampu....

Bicara mereka terhenti seketika apabila pelayan restoren tiba untuk mengambil pesanan. Mai diam, hanya membiarkan Irfan membuat pesanan untuknya. 

“Mai marah abang ye?” Irfan memulakan bicara bila pelayan restoren berlalu selepas mengambil pesanan. Irfan  hanya memesan dua gelas minuman sejuk sahaja untuk mereka berdua.

“Buat apa nak marah bang, semuanya dah tak bererti lagi...,” jawab Mai sambil mengeluh berat. Berat sekali runtunan perasaannya ketika ini.

“Mai marah abang kan?” Irfan mengulang lagi pertanyaan.

Mai diam. Lama sekali mereka membisu tanpa bicara. Melayan perasaan masing-masing.

“Tolong Mai ... cakaplah sesuatu... Jangan diam macam ni. Abang tau Mai marahkan abang. Betulkan?  Sebab abang tak beritahu yang dia tak akan lepaskan Mai,”

“Abang tipu Mai ...,”

“Tak sayang......, bukan tipu... Cuma tak beritahu aje...,”

“Samalah tu... ,” ucap Mai dengan nada penuh kesal. Matanya tertancap ke wajah sugul Irfan. Sakit hatinya sungguh tak mampu nak ditahan lagi. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia meninggalkan Irfan saat ini. Namun dia sedar, selagi mereka tidak membincangkan perkara ini, selagi itulah semuanya tidak akan selesai.

“Abang tau tak macam mana Mai rasa bila dia beritahu perkara tu pada Mai hari tu. Macam nak runtuh rasanya langit tau bang... sekarang ni Mai lah yang kena tanggung semuanyakan? Mai lah yang kena minta cerai kalau Mai nak dia lepaskan. Biar  semua orang kata Mai ni teruk sangat... sanggup minta cerai dengan suami semata-mata nak kahwin dengan lelaki lain...” bentak Mai dengan perasaan marah.

“Mai... bukannya abang nak buat macam tu.... Abang buat macam tu sebab nak pastikan Mai setuju kahwin dengan dia...   Kalau tidak nanti abang kena cari orang lain. Kan susah nanti. Dia dah sanggup. Jadi abang tak sanggup nak lepaskan peluang ni...,”

Mai diam. Tak pasti apa yang harus dikatakannya.hanya merenung ke dalam gelas air barli sejuk yang dihantar oleh pelayan restoren sebentar tadi. Sungguh dia merasakan dirinya bagaikan dipermainkan. Dipergunakan untuk memenuhi kemahuan lelaki di hadapannya ini. Sebelum menikahi Syamsul, dia begitu yakin bahawa mereka akan dapat kembali bersama. Hinggakan dia lupa bahawa antara dia dan Irfan sudah terlalu jauh. Namun kini, dia mula menyedari hakikat bahawa semua ini adalah hanya satu mimpi. Dan entah bila, dia pasti yang dia akan terjaga nanti.

“Mai, abang nak tanya sesuatu...,”

Mai hanya diam sambil memandang ke wajah Irfan dengan pandangan bersahaja. Jelas kelihatan terpamer rasa kecewa di wajah lelaki itu.

“Mai dengan Syamsul  dah.....,” terasa berat sekali untuk Irfan meluahkan kata-kata itu.

Tersirap darah Mai. dia mengerti apa yang ingin disampaikan kepadanya. Pucat seketika wajahnya. Dan Irfan bagaikan menyedari kata-katanya itu lah yang menyebabkan perubahan di wajah Mai.

“Bukannya apa Mai, abang nak tahu, kalau Mai dengan dia dah bersama, mungkin abang boleh desak dia untuk lepaskan Mai,”

Terperanjat sekali lagi bila Mai mendengarkan kata-kata Irfan itu. Matanya kembali singgah ke wajah Irfan.  Bagaikan tak percaya apa yang didengarnya itu.

 “Abang ingat Mai ni apa? Abang tau tak, bila abang cakap macam tu, Mai rasa macam Mai ni kotor sangat... macam pelacur... macam tak ada harga diri... ,”

“Mai ...,”

“Abang ingat Mai ni semurah itu.... abang ingat mudah ke bang... nak bersama dengan orang yang kita tak cinta.!” Bentak Mai.

Pelanggan di meja yang berdekatan sudah mula memandang kepada mereka bila kata-kata Mai itu menarik perhatian mereka. Ada yang kelihatan berminat untuk mendengar dan ada juga yang memandang mereka dengan perasaan jengkil. Mungkin tidak suka dengan sikap mereka yang membincangkan hal-hal peribadi di tempat terbuka begini.

“ Jangan abang ingat Mai ni murah macam tu...,”

Menyedari kata-kata Mai yang makin marah itu, pantas sekali Irfan bangun dan menariknya keluar dari restoren. Dia menghulurkan sekeping wang kertas RM10 kepada pelayan restoren tanpa berkata apa-apa. Pantas sekali meninggalkan restoren itu dengan pandangan pelbagai rupa oleh pelanggan lain yang berada di situ.

“Abang nak bawa Mai pergi mana ni... Mai tak nak ikutlah...,” bentak Mai bila mereka melangkah keluar dari restoren. Jelas kelihatan raut wajah geramnya kepada Irfan.

“Sabar dulu Mai ... dengar dulu...,”

“Nak dengar apa lagi bang... nak dengar apa lagi....!,” kata Mai  dengan sebak yang tiba-tiba terasa mencengkam di dadanya. Terketar bibirnya yang mula menahan tangis. Bila tiba mereka di kereta Irfan, perlahan lelaki itu menolak dia masuk ke dalam kereta. Dan entah mengapa Mai hanya mengikut sahaja. Mungkin kerana ketika itu dia tidak mampu untuk menahan kesedihan yang kembali melanda hatinya. Dia sudah tidak mampu lagi menahan tangis. Irfan mengambil tempat di tempat duduk pemandu. Tetapi dia tidak memandu. Mereka hanya diam di dalam kereta. Angin sejuk dari alat penghawa dingin kenderaan yang dihidupkan enjinnya oleh Irfan memberika suasana nyaman di dalam kereta.

Lama mereka dia, cuba menghayati permasalahan yang mereka alami ini.

“Abang nak buat Mai macam pelacur ke bang...?” kata Mai , memecahkan kebisuan.

“Tidak Mai ... tak.... abang cuma nak supaya kita dapat kembali bersama. Abang rindu Mai, abang terasa kehilangan Mai, abang tak sanggup terus kehilangan Mai,” ketika Irfan mengucapkan kata-kata itu, airmata yang merembes di tubir matanya turut menitis di pipinya. Perlahan dia menyeka airmata itu. Lantas dia memegang tangan Mai, mengharapkan bekas isterinya itu memahami mengapa dia melakukan semua itu.

“Mai kena faham kenapa abang buat macam ni. Tak ada sebab lain Mai, kecuali sebab itu. Abang nak kita kembali bersama...,”

Apa lagi yang mampu dikatakannya. Kekesalan yang menghantui lena dan jaganya sejak enam bulan terakhir ini begitu kuat merenggut tangkai hatinya. Berpaut kemas di jiwanya, membawa duka yang tak ada penghujungnya. Dan mereka hanya mampu berpandangan, dalam linang airmata yang tidak mampu di bendung lagi.

5 comments:

blinkalltheday said...

sian mai dgn irfan..tp, salah irfan terlalu lancang lefazkan talak 3 terus..x mustahil klu mai cerai dgn syamsul nti irfan ulang lagi perkara yg sama..

Anonymous said...

tapi bukan ke tak sah sesuatu perceraian itu sekiranya si suami menceraikannya tatkala si suami sedang berada dalam paras kemarahan. bukan ada hadis ke yang menerangkan sedikit pasal perceraian. harap komen ini dibalas dan dianalisa... rasa tak logik pulak. heee...eee

alfa syamimi said...

sayu la n3 kali ni... tatau nk sokong sape. irfan tu pun ok sbenarnya..tp a bit bodo la, lancang sgt. huh

Seorg wanita... said...

Huhu.. sian kat Mai... tapi saya memang tak suka irfan ni.. mementingkan diri sendiri.. tapi masih belum insaf dan terima hakikat dia dan Mai dah jauh berbeza... biarlah Mai kekal dgn Samsul yg jauh berganda2 baiknya drp Irfan... moga terbuka hati Mai utk terima Samsul sbg suami.. :-)

Nono said...

Alahai lambatnya SCB 13....

Post a Comment

Popular Posts