Bab 16
Satu peratu mukasurat dalam buku anak muridnya diselak.
Sejak dari tadi lagi dia cuba menumpukan perhatiannya kepada kerja memeriksa
buku latihan anak muridnya. Namun tulisan kecil anak-anak itu bagaikan tidak
kelihatan di mata. Terlalu larut dia dalam menung yang panjang. Terlalu leka
dia dengan ingatannya terhadap lelaki itu. Hatinya terus tertanya, mengapa...
mengapa dan mengapa...
Tujuh tahun dia bersama Irfan, namun bila lelaki ini
hadir dalam hidupnya, kenangan bersama Irfan terasa seperti sudah lenyap begitu
sahaja. Dia mata dan di hatinya kini hanya ada lelaki itu sahaja. Tiap
tingkahnya dan tiap bicaranya sering menyapa lena dan jaga Mai sejak
akhir-akhir ini. Dia sendiri jadi tidak mengerti dengan apa yang dirasakan itu.
Puas dia cuba untuk membuang jauh ingatan ketika mereka bersama lebih seminggu
yang lalu. Namun semakin dia cuba melupakan, semakin dia tidak mampu membuang
wajah itu dari kotak fikirannya. Wajah yang penuh dengan aura kelelakiannya,
yang terkadang kelihatan serius dan terkadang pula kelihatan begitu mesra. Ah...
sungguh dia tidak mengerti perasaan yang dirasakan kini. Sungguh...
“Mai ....,”
Lamunannya dikejutkan oleh satu suara. Di cuba untuk
fokus terhadap suara itu dan mencari dari mana arah datangnya. Akhirnya matanya
tertumpu pada wajah Kak Gee yang perlahan-lahan mengambil tempat di kerusi
kosong di sebelahnya.
“Dari tadi akak perhatikan Mai ni... asyik menung aje.
Ingatkan siapa ni?” kata Kak Gee
bagaikan menduga.
Mai hanya membalas sapa itu dengan senyum hambar.
“Hemm.. ingatkan cik abang ye?” kata Kak Gee menduga
lagi.
“Tak adalah kak..,”
“Orang baru kahwin la katakan.... dok sana menung... dok
sini menung... kalau boleh nak duduk dekat dia je sepanjang masa kan?” usik Kak
Gee lagi.
Cepat sekali tangan Mai hinggap di lengan Kak Gee yang
berisi itu dan serentak itu juga Kak Gee mengadoi perlahan dek cubitan manja
wanita muda di hadapannya. Biar pun kelihatan mesra dan manja, sedikitpun tidak
terlepas riak sedih dan gundah wanita muda itu di pinggir matanya. Wajah Mai
yng kelihatan memerah menahan malu itu ditatapnya lembut.
“Kenapa ni.... macam susah hati aje akak tengok?”
akhirnya dia bertanya selepas agak lama menunggu Mai membalas bicara. Namun
diamnya Mai membuatkan dia dapat menghidu keresahan itu.
“Tak adalah kak....,” kata Mai , cuba mengelak.
“Akak tengok Mai macam tak nak cakap je dengan akak sejak
Mai kahwin ni. Akak ada buat salah ke dengan Mai?”
“Tak lah kak... mana ada...,” jawab Mai lagi. Masih cuba
bertingkah.
“Habis tu.... Mai macam tak nak mesra je dengan orang
lain sekarang. Kami semua perasan tau yang Mai macam nak mengelak dari kami
semua,”
Terdiam Mai seketika mendengarkan kata-kata Kak Gee itu.
Sungguh dia tidak menyangka bahawa begitu sikapnya sejak akhir-akhir ini.
Terlalu leka dengan kesedihan di hatinya hinggakan tanpa sedar dia meminggirkan
diri.
“Mai
da macam nak asingkan diri aje dari kami semua. Dulu, masa Mai bercerai dengan
Irfan pun macam ni. Jadi akak dapat rasa, mesti Mai sedang susah hati kan
sekarang ni? Sebab tu selalu muram je... tak nak lagi mesra-mesra dengan kami
semua. Akak pun perasan yang Mai sekarang ni asyik sibukkan diri dengan
kerja-kerja pusat sumber tu kan? Kenapa Mai? Cakaplah pada akak, kalau akak
dapat tolong, mungkin ringan sikit beban di hati Mai tu,”
Mai memandang sayu ke wajah Kak Gee. Kalaulah dia mampu
membuka semua rahsia ini, sudah lama dia lakukan itu. Kalaulah dia mampu
menceritakan bagaimana dia dan Irfan terlalu nekad untuk kembali bersama
sehingga sanggup mengundang seorang asing dalam hubungan mereka. Dan kalaulah
dia mampu menceritakan bagaimana orang
asing itu kini sudah mula berani singgah di hatinya. Namun dia tidak sanggup
melakukan sesuatu yang akan memburukkan namanya sendiri, bagaikan meludah ke
langit. Tidak... dia tidak akan melakukan itu.
“Ceritalah Mai ...., suami baru Mai ni tak baik dengan
Mai ke? Dia ada apa-apakan Mai ke?”
Pantas sekali Mai menggelengkan kepalanya. Kak Gee, Mai
yang jahat dengan dia kak, bisik hatinya. Dan kalau boleh ingin sekali dia
meluahkan kata-kata itu. Namun bagaikan tersekat di kerongkongnya semua
kata-kata itu.
“Dia baik kak... Cuma...,” terhenti bicara itu.
“Cuma apa Mai ?”
“Sekarang ni dia tak ada... balik kampung dah seminggu
lebih...,”
Kak Gee tersenyum sambil mengeluh bila mendengarkan
kata-kata Mai itu.
“Oh... rindula ni ye? Buat penat aje akak meneka macam-macam,”
Mai diam, tidak mampu mengiakan kata-kata itu. Malah
tidak pernah pun dia terfikir akan itu. Dia tidak mahu mengiakannya. Biarpun di
sudut hatinya bagaikan mahu melakukan itu.
“Kenapa dia balik kampung?” tanya Kak Gee lagi.
“Mak dia sakit..,”
“Sakit apa..?”
“Kena serangan jantung kak..,”
“Oh... kesiannya... bila lagi...,”
“Hari Jumaat minggu lepas dia kena. Hari Sabtu
Syamsul balik,” jawab Mai perlahan.
“Mai tak balik
sama ke?”
“Tak kak..,”
Mai terdiam bila melihat Kak Gee memandangnya dengan
perasaan hairan. Fikirannya buntu memikirkan perasaan yang dirasakannya saat
ini.
“La... kenapa tak balik sama...? Hujung minggu baru ni
pun Mai tak balik?”
Mai menggelengkan kepalanya perlahan.
“Masyaallah Mai ... kenapa tak balik? Cuti Mai dah habis
ke?”
“Ada dua hari lagi kak,”
“Mak mertua sakit, Mai tak balik? Kecil hati orang tua
tu. Balikla Mai, jenguk dia kat sana. Weekend
ni dah tak ada aktiviti sekolah kan? Minggu depan budak-budak dah periksa.
Bolehla Mai balik kampung sehari dua. Ambil flight
je kalau tak larat nak naik bas. Jauhkan kampung dia tu. Kat Kelantan kan?”
Mai hanya menganggukkan kepala. Hatinya tertanya-tanya
patutkah dia pulang ke kampung Syamsul ? Tidakkah lelaki itu akan marah
kepadanya jika dia berbuat begitu.
“Tempah aje tiket kapalterbang tu... lambat-lambat nanti
kang habis. Tiket ke Kelantan bukan boleh buat main-main. Kawan akak kata kalau
nak buat tempahan ke sana, kena buat awal-awal. Kalau dekat sangat dengan masa
nak pergi nanti, habisla pulak tiket tu. Kena naik bas. Tidak ke susah... Nanti
akak boleh tolong hantarkan Mai ke lapangan terbang,”
Mai memandang ke wajah kak Gee. Hatinya teragak-agak.
“La... apa terkebil-kebil lagi ni. Ni hah... cepat...
komputer pun dah online ni. Buka aje
laman web syarikat penerbangan. Kalau naik Firefly, lagi senang sebab dekat
dengan sekolah kita ni. Tak payahlah kena pergi jauh-jauh ke Sepang,”
Kak Gee bagaikan terhidu rasa teragak-agak di hati Mai.
Terasa agak hairan dengan keadaan itu tetapi dia tidak bertanya lebih lanjut
berkenaan perkara itu. Tangannya pantas sekali melayari laman web syarikat
penerbangan Firefly untuk memeriksa samada tiket ke Kelantan untuk hari Jumaat
akan datang masih boleh di tempah atau tidak.
“Hah... ada pun lagi. Akak tempahkan untuk Mai ye? tapi
Mai kena bayar sendirilah...,” katanya sambil ketawa. Cuba untuk mengendurkan
riak yang kelihatan tegang di wajah Mai.
“Nanti dulu kak..,” pantas sekali Mai bersuara.
“La.. apa yang nanti pulak ni. Mak mertua kita ni macam
mak sendiri tau Mai. sakit dia, macam sakit suami kita. Sepatutnya Mai balik
dulu lagi, masa Syamsul balik hari tu,”
“Dia yang tak bagi Mai balik kak..,” jawab Mai perlahan.
Terdiam seketika Kak Gee mendengarkan kata-kata Mai. Makin bertambah hairan dia
dengan jawapan Mai sebentar tadi.
“La.. kenapa pulak... tak patutla macam tu...,”
“Dia tak bagitau Mai pun,,, tiba-tiba aje dia balik, dah
kat stesen bas baru dia cakap kat Mai,”
Berkerut kening Kak Gee mendengarkan kata-kata Mai.
“Eii... betullah akak tak faham apa yang berlaku ni
sebenarnya. Mai dengan Syamsul ni kahwin
ke apa ni. Dah lah hari tu lepas kahwin tak balik kampung. Sampai dah lebih
sebulan belum jumpa mak mertua lagi. Masa akak dengar perkara tu, akak dah
pelik dah. Ini sekarang ni... dengar macam ni pulak. Betul.... Tak faham betul
akak ni... ,” rungut Kak Gee.
Mai terus lagi diam. Tak berani meluahkan semua rahsia
yang disimpan selama ini. Telah penat dia menahan rasa. Telah penat rasanya dia
menyembunyikan rahsia ini tanpa ada sesiapapun untuk dia meluahkan semuanya.
“Akak tak akan faham kak... tak ada yang akan faham..,”
katanya tiba-tiba sambil terhembur tangisnya.
Saat itu tangisan tidak lagi mampu dibendung lagi. Telah
terlalu penat dia menahan tangis selama ini. Cepat-cepat Kak Gee memeluknya.
Matanya melilau memerhatikan sekeliling. Semua guru yang berada di dalam bilik
guru ketika itu tercengang-cengang melihatkan Mai yang kini sedang menangis
hiba. Tanpa segan silu lagi dia menghamburkan segala rasa yang tersimpan di
hati. Kekecewaan yang tersimpan dalam diam terluah semuanya. Beberapa orang guru
wanita cepat-cepat menghampiri mereka. Masing-masing cuba untuk mendengar butir
bicara yang mereka kongsi bersama. Cepat-cepat Kak Gee menarik Mai yang sedang
menangis untuk ke bilik solat yang terletak di penjuru bilik guru itu. Mereka
memerlukan sedikit privasi. Beberapa orang guru wanita turut sama mereka. Turut sama membantu memapah Mai yang sudah
tidak mampu berjalan sendiri. Keadaannya itu membuatkan dia mendapat perhatian
semua yang ada di bilik guru lewat pagi itu. Kebetulan waktu itu adalah waktu rehat
bagi pelajar tahap satu. Maka, ramai jugalah guru yang berada di bilik itu
untuk turut sama merehatkan diri.
Setibanya mereka di bilik solat, Kak Gee meminta
guru-guru lain meninggalkan mereka. Yang tinggal hanyalah Ustazah Faridah yang
selama ini juga agak rapat dengan Mai. Mereka berdua hanya diam tanpa
bertanyakan apa sebenarnya yang berlaku. Memberikan ruang untuk Mai menagis,
meluahkan segala yang terbuku di hati.
Hampir 10 minit Mai menangis di dalam pelukan Kak Gee.
Ustazah Faridah hanya diam sambil menggosok-gosok belakang Mai. Cuba untuk mengembalikan
semula semangat Mai yang hilang seketika
tadi. Sesekali dia juga turut sama memeluknya sehingga tangis wanita muda itu
mula reda.
“Kenapa ni Mai? Apa yang dah berlaku sebenarnya ni?”
tanya Kak Gee perlahan.
“Mai tak tau nak cakap macam mana kak..,” katanya dalam
esak tangis.
“Apa dia buat pada Mai ?”
“Dia... tak bagi Mai balik dengan dia... kami gaduh hari
tu...,”
“Ya Allah... Mai tahu tak, kita ni isteri Mai, kalau
bergaduh, kita kenalah sama-sama bertolak ansur. Kalau dia marah, mengalahlah
dulu. Bila dia dak ok, barulah kita bincang. Tak boleh buat keras hati
masing-masing..,”
Mai diam lagi. Memang dia sebenarnya yang memulakan
semuanya. Dia menduga hati Syamsul
sehingga suaminya itu jadi cukup marah dan menawarkan untuk berpisah
selepas hal emaknya selesai nanti. Pada waktu itu Mai begitu yakin bahawa itu yang dia mahukan.
Berpisah dan memulakan kembali hidupnya bersama Irfan. Namun kini dia sendiri
sudah tidak yakin lagi. Dia sendiri sudah buntu dengan perasaannya ini. Aura
kelelakian Syamsul begitu kuat sekali
bertaut di hatinya. Tidak pernah dia merasakan ini semua sejak dulu, saat dia
mula mengenali Irfan. Memang dulu dia dan Irfan bercinta, tetapi bukan ini yang
dirasakan selama dia bersama Irfan.
“Mak dia tu macam mana sekarang? Dah okay ke?”
“Entah kak... sejak balik dia belum lagi telefon ..,”
“Mai ada telefon dia?”
Mai menggelengkan kepala. “Mai cuma sms dia aje... tapi
tak berjawab. ..,”
Kak Gee mengeluh perlahan. Dia tidak tahu punca
perbalahan pasangan muda itu. Dan jika boleh dia tidak mahu tahu. Biarlah apa
juga masalah mereka, lebih baik dia tidak tahu. Yang dia ingin lakukan saat itu
ialah cuba untuk menyatukan keduanya. Biar mereka berdua sahaja yang
menyelesaikan permasalahan ini.
“Akak rasa Mai mesti balik kampung Syamsul weekend ni,” akhirnya Kak Gee memberikan
cadangan.
“Mai takut dia marah.. dia tak bagi Mai ikut..,”
“Apa yang kamu berdua gaduhkan sampai macam tu sekali
marahnya. Hinggakan mak dia sakit dia tak bagi Mai balik dengan dia? Dia kecil
hati sebab Mai tak nak balik kampung dengan dia ye?” tanya Kak Gee penuh
hairan.
Mai hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak ingin
berkongsi cerita. Perlakuan ini menyebabkan Kak Gee makin hairan. Di hatinya
mula terdetik suatu keyakinan bahawa Mai kini sedang menyembunyikan masalah
yang lebih besar. Masalah yang mungkin berpunca dari perkahwinannya. Atau
mungkin juga dari perceraiannya yang lepas. Hatinya terus tertanya-tanya.
“Macam mana marah pun dia, Mai tetap isteri dia. Mai
perlu berada di samping dia masa dia susah macam ni...,” kata Ustazah Faridah
yang sejak tadi lagi lebih suka mendengar tanpa menyampuk bila mendengarkan
kisah itu.
“Tapi...,”
“Tak ada tapi- lagi... hujung minggu ni Mai balik
kampung. Jangan cakap apa-apa kat dia... bila dah sampai, baru Mai telefon
dia. Kalaupun dia marah, Mai diam aje. Bila dia tengok Mai sanggup balik
untuk jumpa mak dia, mungkin dia tak marah lagi pada Mai. orang lelaki ni Mai,
kalau tengok kita menurut cakap dan ambil berat pasal orang yang dia sayang,
mesti hilang marah dia tu...,”
Mai hanya diam memandang wajah Kak Gee. Entah mengapa
hatinya bagaikan pecaya itulah yang akan berlaku bila dia pulang ke kampung
Syamsul nanti. Ingin sekali dia
menceritakan segalanya supaya Kak Gee dan Ustazah Faridah faham akan duduk
perkara yang sebenarnya. Bukan kerana dia enggan pulang ke kampung Syamsul yang menjadi penyebab Syamsul marah kepadanya. Ada sebab lain yang lebih
besar lagi. Sebab yang berpunca dari dia sendiri. Namun dia bagaikan tidak
sanggup membuka pekong di dada. Menceritakan segala-galanya hanya akan
menyebabkan segala rahsia perkahwinan ini terbongkar. Yang pastinya ini akan
memalukan dirinya dan juga Irfan. Tidak... dia tidak akan melakukan itu...
13 comments:
hope syamsul xmarah lagi
lamanya tggu cite ni kak laila...siannye lah mai...dlm dilema skrg ni...irfan pun, jgn lah keras sgt kt mai tu...hope irfan x marah2 lagi kt mai nti...kak sambung lagi taw..
mitak2 mai jadi blik kg... hrap2 hati syamsul ejuk sikit.
Harap sangat Mai dapat terima nasihat dari Kak Gee dan Ustazah Faridah..... Cubalah berbaik dengan Syamsul.... dan harap sangat Syamsul jagan ego pulak.... jangan ada yang pandang serong dengan hubangan ini..... Mai, Irfan adalah masa lalu ok....
harap2 mai blik kg.cepat2 selesaikan masalah..
spttnya mai kena fikir..klu pun dia dan irfan berbaik..belum tntu irfan tak buat perangai lgi..
shamsul da ckup baik tpi mai tak nmpk smua tu sbb dia masih fikirkan irfan..
cuba buka mata tu luas sikit mai..
best kak hehe..
Kak laila lama saya tunggu citer ni..knapa lama sangat...harap2 Mai ikut nasihat kak gee balik kampung shamsul...mudah-mudahan shamsul sejuk hati tengok mai prihatin kat keluarga dia...
nak lagi...
best... kak hanni.. sambung le cpt2...
lama ye tunggu smbgan citer ni.... smpai termimpi2 taw... harap2 cepat la smbg nex entry ye. suker sgt2 citer ni
cepat-cepat le sambung. tak sabar nak tunggu nih :))))
NAPE LAMA SANGAT X UPDATE...RINDU LAKS DENGAN CITER NIE...COZ JLN CITER DIA LAIN DARI YG LAIN;O)
laila cepat la sambung n3 ni.hari2 tgok blog klu2 dh ada n3 baru tapi x de jugak
thanks for this n3. Sy suka sgt, cuma berharap sekali kasih Mai beralih ke Syamsul. Ingin lihat mereka berdua bahagia. biar Irfan merana gara-2 kebodohannya sendiri. Good luck dear...:-)
Post a Comment